16 Mei 2013

ALASAN MENGAPA ROONEY HARUS PERGI


Mutakhir ini ramai yang meramalkan bahawa karier Wayne Rooney bersama Manchester United menuju penghujung jalan. Selepas Sir Alex mendedahkan bahawa Rooney meminta supaya United menjualnya musim panas ini, tiada apa yang boleh diharapkan penyokong-penyokong United kecuali menghitung hari-hari terakhir bekas pemain Everton itu di Old Trafford. Jika memang benar Rooney mahu meninggalkan United, apakah keputusan yang diambilnya itu tepat? Ini bukanlah kali pertama Rooney meminta untuk dijual kerana bintang England itu pernah melakukannya pada 2010. Selepas ditawarkan dengan kontrak baru yang lumayan, Rooney akhirnya melakukan  pusingan U dalam tempoh 24 jam dan kekal bersama United hingga sekarang. Walau bagaimanapun situasi kali ini tampak berbeza apatah lagi selepas Sir Alex sendiri mengumumkan pengundurannya dari kerusi pengurus United. Tambah memburukan keadaan buat Rooney, David Moyes yang memang diketahui pernah berkonfrontasi dengannya sebelum ini akan mengganti tempat Sir Alex. Mungkin anda beranggapan saya agak keterlaluan jika mengatakan inilah waktu yang tepat untuk Rooney meninggalkan United. Saya ada alasan untuk berkata begitu atas beberapa sebab yang saya fikirkan logik antaranya ialah faktor jaminan dalam kesebelasan utama, peranan yang dimainkan sejak tibanya Robin Van Persie, tekanan media, David Moyes dan hubungannya dengan penyokong-penyokong. Jika ada benar-benar penyokong setia United anda tentunya mengikuti perkembangan Rooney baik di dalam mahupun luar padang serta sikapnya. Rooney bukan seorang individu yang penyabar di mana nalurinya mudah terusik jika kehendaknya tidak dipenuhi dan salah satunya ialah tampil dalam kesebelasan utama. Musim ini, Rooney hanya tampil sebanyak 26 perlawanan dalam saingan liga dan menjaringkan 12 gol. Enam perlawanan Rooney masuk sebagai pemain gentian, manakala lima perlawanan lagi dia tidak berjaya menghabiskannya selama 90 minit. Atas alasan apa sekalipun, sejak akhir-akhir ini Rooney sudah mula tersisih, jadi adalah lebih baik jika dia mula mencari kelab baru yang memang memerlukan tenaganya, sekaligus memenuhi keinginannya bermain dalam setiap perlawanan. Di awal musim ketika Sir Alex menandatangani Robin Van Persie dari Arsenal, ramai pihak menjangkakan bahawa kombinasi Rooney dan Van Persie mampu mengulangi semula kehebatan gandingan maut Dwight Yorke dan Andy Cole dari skuad juara treble 1999. Walau bagaimanapun saya boleh katakan bahawa ramalan itu sebenarnya tidak menjadi kenyataan, bahkan kehadiran Van Persie sebenarnya membuatkan kedudukan Rooney sebagai penyerang utama semakin tersisih.

Musim ini Rooney lebih banyak bertindak sebagai pengumpan dengan kawasan permainannya lebih banyak berlegar di bahagian tengah. Dengan adanya Shinji Kagawa, kedudukan Rooney ketika ini benar-benar terancam dan jika Moyes menandatangani beberapa pemain baru musim panas ini, tiada jaminan untuk Rooney disenaraikan dalam kesebelasan utama. Untuk itu, Rooney harus mencari kelab baru yang mana persaingan tidak begitu sengit seperti Arsenal contohnya. Sejak menyertai United pada 2004, Rooney menjadi perhatian media-media di England, kebanyakkan laporan-laporan yang mereka terbitkan tentang Rooney lebih banyak berunsur negatif. Tekanan demi tekanan yang diberikan media di England sedikit sebanyak mempengaruhi prestasi Rooney di atas padang. Hanya ada satu cara sahaja untuk Rooney keluar dari belenggu ini, iaitu berhijrah ke luar negara. Bermain dengan kelab luar akan menghindarkan Rooney dari perhatian media-media England yang cukup terkenal dengan “kekejaman” mereka. Tanpa tekanan keterlaluan dari media, pemain yang memiliki sikap panas baran tetapi berbakat besar seperti Rooney mampu menterjemahkan prestasi terbaiknya di atas padang dan menjadikan dia lebih matang. Faktor hubungan Rooney dengan pengurus baru United, David Moyes juga perlu diberikan perhatian sewajarnya. Meskipun kedua-duanya mengakui hubungan mereka kembali jernih selepas terjejas teruk berikutan penerbitan autobiografi Rooney, tetapi ramai yang percaya ikatan (hubungan) itu tidak skuat dulu. Kedatangan Moyes musim panas ini bagi menggantikan Sir Alex mungkin mencetuskan semula sengketa lama dan jalan terbaik buat kedua-duanya terutama Rooney ialah keluar dari Old Trafford bagi mengelakkan konfrontasi di bilik persalinan. Akhir sekali faktor yang boleh mendorong Rooney memilih jalan keluar ialah hubungannya dengan penyokong-penyokong United. Seperti yang sudah saya sebutkan di atas, ini adalah kali kedua Rooney meminta supaya dirinya dijual. Tindakan kali kedua yang dilakukan Rooney pasti mengundang perseteruan dengan penyokong-penyokong United dan bibit-bibit awal sudah kelihatan semasa upacara penyerahan trofi Liga Perdana, Ahad lalu. Rooney diejek penyokong-penyokong ketika dia menerima medal kejuaraan. Beberapa pemain senior United juga diberitakan kurang senang dengan tindakan terbaru Rooney hingga dikhuatiri boleh menjejaskan keharmonian pasukan. Jadi tindakan paling bijak yang boleh dilakukan Rooney ketika ini ialah dengan memilih jalan keluar, satu tindakan yang dilihat bagus buat pasukan dan juga kariernya sendiri. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan