Sir Alex Ferguson sudahpun mengumumkan
pengundurannya secara rasmi, dan kini tumpuan terarah pula kepada Wayne Rooney.
Kelmarin Sir Alex mendedahkan keinginan Rooney meninggalkan Old Trafford
sekaligus mengesahkan spekulasi yang bertiup kencang sebelum ini tentang masa
depan penyerang antarabangsa England itu bersama United. Atas sebab itu jugalah
mengapa Rooney tidak disenaraikan ketika United berdepan Swansea City kerana Sir
Alex berpendapat Rooney “tiada hati” untuk bermain. Jika diambilkira reaksi
penyokong-penyokong United terhadap Rooney semasa upacara penyampaian trofi
Liga Perdana Ahad lalu, kita mungkin sudah boleh menjangkakan bahawa musim ini
mungkin menjadi musim terakhirnya di Old Trafford. Pergolakan yang melanda
karier Rooney sejak akhir-akhir ini mungkin berpunca dari peranan baru yang
dimainkannya dalam kesebelasan utama sejak ketibaan Robin Van Persie musim
panas lalu. Pada usia 27 tahun, Rooney sebenarnya berada dalam tempoh matang bagi
seorang pemain dan dengan bakat yang dimilikinya tidak sukar untuk mencari
kelab besar yang mahukan khidmatnya. Rooney boleh bermain di mana-mana liga
terbaik sekitar Eropah dan jika dia benar-benar mahu keluar dari Old Trafford, namanya
akan berada dalam senarai teratas pengurus-pengurus kelab besar untuk
ditandatangani. Kontrak Rooney bersama United akan berakhir pada 2015 tetapi
tiada tanda-tanda positif menunjukkan bekas penyerang Everton itu akan
menghabiskan kontraknya di Old Trafford. Walaupun Sir Alex menegaskan United
tidak akan membiarkan Rooney pergi manakala penggantinya, David Moyes pula melemparkan
pujian dengan mengatakan bahawa Rooney antara pemain kelas dunia yang dimiliki
United, itu semua tidak akan meredakan sebarang spekulasi tentang masa depan
pemain itu. Jika Rooney mahu menamatkan kariernya di Old Trafford musim panas
ini, David Moyes tidak perlu melihat terlalu jauh bagi mencari pengganti bekas
anak didiknya itu semasa di Goodison Park.
Semua tumpuan kini sebenarnya sedang terarah
kepada bintang yang lebih besar. Menurut laporan Neil Ashton dari Daily Mail, Manchester United ketika ini
sangat yakin dapat membawa pulang superstar
Portugal, Cristiano Ronaldo ke Old Trafford. Spekulasi tentang kepulangan
Ronaldo sudah berleluasa hampir sepanjang musim ini, terutamanya selepas dia
kembali semula ke Old Trafford buat pertama kali Mac lalu sejak berpindah ke
Santiago Bernabeu pada 2009. Ketika itu Ronaldo berjaya membantu Real Madrid
layak ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara selepas menyingkirkan United
menerusi agregat 3-2. Biarpun menjaringkan gol kemenangan Madrid, Ronaldo
diberikan sambutan hangat oleh penyokong-penyokong United dan dihadiahkan
sehelai t-shirt khas penampilan ke-1000 Ryan Giggs yang ditandatangani
pemain-pemain United. Ketepikan dahulu faktor keakraban Ronaldo dengan
penyokong-penyokong United kerana bintang itu punya banyak sebab untuk mempertimbangkan
hasratnya menyarung semula jersi United. Meskipun Sir Alex tidak lagi
menguruskan United, tetapi lagenda itu boleh memainkan peranannya dalam lembaga
pengarah untuk memancing Ronaldo. Jika Rooney dijual musim panas ini, United
juga akan memiliki aliran wang masuk yang besar hasil dari penjualannya dan
boleh digunakan bagi mendapatkan Ronaldo. Bukan sekali dua kita mendengar
keluhan Ronaldo yang mengatakan bahawa dia tidak mendapat sokongan dari
penyokong-penyokong Madrid ketika beraksi di Bernabeu. Di Old Trafford situasinya
jauh berbeza apabila namanya sering dilaung-laungkan penyokong-penyokong United
meskipun dia tidak lagi beraksi untuk United. Liga Perdana mempunyai tarikan dan
kekuatan tersendiri terutama dari segi kewangan. Jika perpindahan Ronaldo (ke
Old Trafford) berjaya dimuktamadkan ia pastinya melibatkan jumlah wang yang
besar, dan sekiranya Ronaldo benar-benar mahu keluar dari Bernabeu, tiada
tempat yang paling sesuai buatnya melainkan Old Trafford. Glory Glory
Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan