09 Ogos 2015

TIDAK CEMERLANG TAPI MEMADAI UNTUK LULUS UJIAN PERTAMA

Jujur saya katakan bahawa ini bukanlah perlawanan pembukaan yang ingin saya saksikan tetapi selepas 90 minit permainan saya tetap boleh menarik nafas lega hasil dari tiga mata yang diperolehi semalam. Saya bersetuju dengan pendapat Mauricio Pochettino bahawa pasukannya tidak bernasib baik selepas jaringan sendiri Kyle Walker di babak pertama menyebabkan Spurs pulang ke kota London dengan tangan kosong.

Secara keseluruhannya, permainan United sendiri sebenarnya kurang lancar walaupun Van Gaal menurunkan empat dari lima pemain baharu yang beliau tandatangani dalam kesebelasan permulaannya. Matteo Darmian, Morgan Schneiderlin dan Sergio Romero lulus ujian pertama mereka dengan cemerlang tetapi Memphis Depay sedikit bergelut di barisan hadapan.

Jika anda mengimpikan ada gol demi gol atau kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sepanjang 90 minit permainan, saya yakin anda pasti kecewa kerana perlawanan semalam bukanlah aksi yang anda harapkan. Perlawanan yang agak `ketat’ serta tempo permainan yang perlahan adalah perkara biasa pada aksi pertama dalam mana-mana kejohanan dan itulah yang dipamerkan kedua-dua pasukan di Old Trafford.

Walaupun saya mengakui bahawa United bernasib baik menang perlawanan ini, namun saya juga tidak boleh menolak ada sisi positif yang dipamerkan barisan The Red Devils sepanjang 90 minit permainan. Paling ketara ialah perubahan di benteng pertahanan terutamanya dengan kehadiran Chris Smalling yang diletakkan bersama Daley Blind selaku bek tengah.

Semasa kempen pra musim, Van Gaal lebih memilih kombinasi Phil Jones/Daley Blind selaku bek tengah tetapi ketiadaan Jones yang dilaporkan mengalami kecederaan membuka peluang buat Smalling diletakkan sebagai starter. Nyata Smalling tidak menghampakan menerusi persembahan menyakinkan yang beliau pamerkan sepanjang permainan.

Saya agak terkejut melihat ketenangan beliau mengawal barisan belakang selain bijak membaca arah gerakan-gerakan serangan yang dilancarkan lawan terutamanya menerusi Harry Kane, Nacer Chadli dan Moussa Dembele. Kombinasi beliau bersama Blind lulus ujian pertama tetapi saya tetap ingin melihat Van Gaal mendapatkan seorang bek tengah baharu sebelum jendela perpindahan pemain musim panas ditutup.

Jika Smalling saya anggap watak penting di benteng pertahanan, saya juga tidak akan sekali-kali menafikan sumbangan Matteo Darmian, Luke Shaw dan Sergio Romero. Darmian cukup solid memainkan peranannya di sebelah kanan, baik ketika bertahan mahupun ketika menyerang, jadi tidak hairanlah mengapa beliau diberikan tepukan gemuruh ketika dikeluarkan di penghujung permainan.

Di sebelah kiri pula, Luke Shaw nampaknya sudah berjaya mengatasi masalah kecergasan yang sering menghantui penampilannya sepanjang musim lalu. Walaupun ini bukanlah persembahan terbaiknya, Shaw tampak semakin yakin mengawal sektornya ketika bertahan dan pantas naik ke atas ketika menyerang. Jika segalanya berjalan lancar buat beliau, saya yakin Shaw sudah bersedia mempertahankan posisinya selaku bek kiri.

Atas alasan apa sekalipun Van Gaal mengetepikan David De Gea semalam, Romero yang menikmati debut kompetitifnya bersama The Red Devils antara pemain United yang paling cemerlang. Beberapa penyelamatan yang dilakukan penjaga gol antarabangsa Argentina ini berjaya menafikan lawan untuk sekurang-kurangnya berkongsi mata.

Prestasi Romero semalam saya anggap satu isyarat buat De Gea bahawa posisinya selaku penjaga gol utama United kini sudah ada pencabarnya. Saya tidak tahu apa kesudahan masa depan De Gea bersama kelab, tetapi jika benar beliau ingin pulang semula ke kota Madrid, sepasang tangan milik Romero sudah boleh diharap untuk mengawal gawang The Red Devils.

Jika benteng pertahanan tampil menyakinkan, begitu juga dengan barisan tengah. Dengan adanya pemain-pemain seperti Michael Carrick, Juan Mata, Morgan Schneiderlin dan Memphis Depay selain kualiti yang ada di bangku simpanan, United tidak bermasalah menguasai sektor di tengah padang kerana itulah yang mereka perlihatkan semalam.

Bagaimanapun, menguasai bola sahaja tidak mencukupi kerana barisan hadapan perlukan umpanan-umpanan berkualiti dari tengah untuk disudahkan. Benarlah kata Van Gaal sebelum ini bahawa beliau perlukan seorang pemain yang memiliki kreativiti sepertimana peranan yang dimainkan Eden Hazard untuk Chelsea atau Neymar Jr di Nou Camp.

Saya masih menanti kesudahan rumour perpindahan Pedro Rodriguez, tetapi jika Van Gaal gagal mendapatkan seorang pemain yang beliau percaya mampu menambahkan kreativiti kepada skuadnya, saya berharap pemain baharu seperti Depay boleh diletakkan harapan untuk menambah variasi kepada gerakan-gerakan serangan United.

Sepanjang aksi semalam, United nampaknya masih terlalu bergantung kepada kelibat Wayne Rooney dalam misi memburu gol. Ketika tempo permainan Liga Perdana masih terlalu asing buat Depay, Rooney pula sering dibayangi Kyle Walker dan Jan Vertonghen hingga membataskan sumbangan keseluruhannya sepanjang 90 minit permainan.

Bagaimanapun sebagai pemain berpengalaman, saya percaya Rooney ada jawapan bagaimana mahu melepasi kekangan `pengawalnya’ selepas ini. Saya berharap pemain seperti Mata boleh memberikan lebih sokongan kepada beliau sambil berharap Depay tidak mengambil masa terlalu lama untuk beradaptasi dengan tempo permainan di Liga Perdana.

Meskipun di awal tadi saya katakan bahawa saya bersetuju dengan pendapat Mauricio Pochettino bahawa Spurs tidak bernasib baik tewas perlawanan ini, tetapi sebagai penyokong United saya juga perlu bersikap positif. Ya, memang benar kemenangan semalam dibantu dengan sedikit tuah tetapi jangan lupakan bahawa pasukan yang memiliki mental juara pada bila-bila masa mampu keluar sebagai pemenang walaupun tidak beraksi dengan baik.

Itulah yang berlaku semalam dan itulah juga yang sering berlaku ketika United di bawah era kendalian Sir Alex Ferguson. Bukan tidak pernah United bermain buruk tetapi kemudiannya muncul sebagai pemenang. Jadi anggap sahajalah bolasepak bukan sekadar tentang pasukan mana yang bermain cantik dan menguasai perlawanan, tetapi elemen tuah adakalanya turut memainkan peranan yang besar.

Bagaimanapun Van Gaal tidak boleh mengharapkan elemen tuah terus menyebelahi skuadnya jika berhasrat membawa pulang trofi Liga Perdana ke Old Trafford. Untuk keluar sebagai juara, United perlu jauh lebih bagus di atas padang berbanding Chelsea, Manchester City, Arsenal, Liverpool ataupun Tottenham Hotspurs kerana tuah tidak akan sentiasa menyebelahi mereka. Ini mungkin bukan permulaan yang sempurna, tetapi penting untuk tidak sumbang pada langkah pertama…Glory Glory Manchester United!!! - AJ

04 Ogos 2015

UNITED PERLUKAN `BOSS' DI BARISAN BELAKANG

"Terima kasih PSG" kerana anda telah memberikan pengajaran berguna buat barisan Louis Van Gaal pada perlawanan terakhir pra musim tempohari. Selepas dibuai dengan kemenangan menyakinkan pada aksi sebelumnya ketika berdepan Barcelona yang juga merupakan juara Eropah, kita akhirnya terpaksa akur bahawa banyak lagi kerja yang perlu dilakukan Van Gaal sebelum skuadnya berdepan cabaran sebenar pada aksi saingan liga Sabtu ini.

Saya tidak khuatir dengan pemergian Angel Di Maria dan siapa yang bakal menggantikan tempatnya, tetapi saya cukup khuatir sekiranya tiada mana-mana pemain pertahanan tengah baharu di bawa masuk kerana itulah posisi yang perlu dberikan perhatian oleh Van Gaal untuk diperkuatkan.

Barisan hadapan PSG berjaya mendedahkan kepincangan benteng pertahanan United ketika Van Gaal bereksperimen dengan menggandingkan Phil Jones dan Daley Blind sebagai bek tengah. Saya akui Jones pemain serba boleh, mampu diletakkan sebagai bek kanan dan pemain tengah bertahan manakala posisi sebagai bek tengah juga bukanlah terlalu asing buat beliau, begitu juga dengan Blind.

Jones ditandatangani Sir Alex Ferguson dari Blackburn Rovers pada 2011 sebagai prospek jangka panjang kepada Gary Neville dan seperti yang kita tahu beliau bukanlah bek tengah tulen. Posisi azalinya ialah bek kanan kerana disitulah  Jones boleh menggunakan kekuatan dan kepantasannya baik ketika melakukan serangan mahupun ketika bertahan.

Lihat di mana kedudukan Jones ketika Blaisse Matuidi menghasilkan gol pertama lawan dan kegagalannya menutup ruang hingga membolehkan Zlatan Ibrahimovic menyusup dari belakang untuk gol kedua. Kedua-dua gol yang dihasilkan PSG adalah menerusi gerakan-gerakan yang mudah, sekaligus mendedahkan betapa perlunya Van Gaal menyuntik perubahan segera di bahagian belakang skuadnya.

Memang benar keputusan perlawanan pra musim bukanlah gambaran sebenar di mana kedudukan United penghujung musim nanti, tetapi perlawanan pra musim juga sepatutnya dijadikan pentas terbaik untuk memperbaiki sebarang kelemahan dan kepincangan dalam pasukan sebelum bermula saingan kompetitif yang panjang nanti.

Saya yakin ramai daripada kita melihat United ketika ini berdepan masalah di bahagian tengah benteng pertahanan mereka dan jalan keluar kepada masalah tersebut ialah mendapatkan seorang bek tengah baharu, bukannya meletakkan Jones atau Blind di posisi tersebut.

Sepertimana Jones, Blind juga saya akui pemain serba boleh kerana kemampuannya beraksi sebagai bek kiri, pemain tengah bertahan dan bek tengah. Blind sepatutnya bukanlah pilihan pertama atau kedua tetapi lebih kepada alternatif terakhir di posisi bek tengah sekiranya Van Gaal berdepan krisis kecederaan di posisi tersebut.

Kesimpulannya, peranan paling ideal buat Blind ialah sebagai bek kiri ataupun pemain tengah bertahan sepertimana yang sering dimainkan beliau musim lalu. Apa yang sangat diperlukan United sekarang ialah seorang koordinator di benteng pertahanan, tugas yang dulunya dipikul Rio Ferdinand ataupun Nemanja Vidic.

Selepas kedua-dua lagenda ini meninggalkan kelab, kita kehilangan sosok pemimpin di benteng pertahanan dan pemain seperti Rio atau Vidic lah yang perlu dicari Van Gaal. Musim lalu saya mengharapkan agar Jonny Evans boleh menjadi inspirasi di bahagian belakang tetapi nampaknya tahap beliau masih terlalu jauh berbanding Rio dan Vidic.

Kesilapan mudah yang dilakukan Evans ketika aksi menentang MK Dons dalam saingan Piala Liga serta insiden membabitkan beliau dengan Papiss Cisse hingga dihukum gantung enam perlawanan antara penyebab mengapa saya mengatakan bahawa beliau tidak mampu memikul tanggungjawab sebagai `bos’ di benteng pertahanan.

Dengan kembalinya United ke pentas Liga Juara-Juara (jika melepasi pusingan play off), sudah tentu ada beban tambahan yang perlu dihadapi kelab berbanding saingan musim lalu. Bagi berdepan jadual padat, Van Gaal perlu bijak melakukan penggiliran pemain dan sudah tentu barisan belakang tidak terkecuali.

Musim lalu Van Gaal mengetengahkan bakat muda di barisan belakang menerusi penampilan Tyler Blackett dan Paddy McNair. Secara keseluruhannya, saya berpendapat Blackett dan McNair lulus ujian sulung mereka di pentas domestik tetapi pesoalannya sekarang adakah mereka sudah bersedia memikul cabaran lebih besar di pentas Eropah pula? Saya rasa tidak.

Di pentas lebih besar seperti Liga Juara-Juara, United memerlukan seorang pemain pertahanan yang ada reputasi serta lebih berpengalaman. Jika Van Gaal meletakkan misi untuk mara sejauh mungkin pada saingan Liga Juara-Juara nanti, beliau tiada pilihan lain selain memperkasakan lagi benteng pertahanan skuadnya.

Meletakkan Daley Blind, Marcos Rojo atau Phil Jones selaku bek tengah bukanlah jalan penyelesaian terbaik. Mereka adalah opsyen sekiranya kelab berdepan krisis kecederaan pemain pertahanan tengah sepertimana Sir Alex Ferguson pernah meletakkan Michael Carrick dan Patrice Evra di posisi tersebut ketika beliau kehilangan khidmat Rio, Vidic, Evans dan Smalling secara serentak.

Walaupun sudah membawa masuk lima muka baharu setakat ini, saya percaya akan ada satu atau dua lagi pembelian terakhir yang bakal dilakukan Van Gaal sebelum pintu perpindahan pemain musim panas ditutup. Jika itu berlaku, saya berharap biarlah salah seorang dari mereka merupakan pemain pertahanan tengah yang mampu bertindak sebagai koordinator di bahagian belakang.

Ketika saingan liga akan berlangsung hanya beberapa hari lagi, saya mula berteka-teki siapakah pemain yang bakal mengisi posisi bek tengah United jika formasi 4-3-3 menjadi pilihan Van Gaal nanti. Aksi pra musim di Amerika Syarikat mungkin boleh memberikan kepada kita sedikit gambaran tentang siapa yang bakal diletakkan di posisi bek tengah saat berdepan Tottenham Hotspurs nanti.

Pada empat aksi pra musim United di Amerika Syarikat, Blind serta Jones bukan sahaja digandingkan bersama sebagai bek tengah, malah kedua-dua pemain ini turut diletakkan sebagai starter ketika berdepan Club America, San Jose Earthquake, Barcelona dan PSG.

Melihat kepada perkembangan terkini, saya yakin tiada bek tengah baharu bakal dibawa masuk dalam tempoh terdekat, jadi saya berharap anda sudah boleh membayangkan dua pemain yang bakal mengisi posisi di bahagian pertahanan tengah United pada aksi pertama liga menentang Spurs nanti.

Jika Van Gaal memutuskan tidak menandatangani mana-mana bek tengah baharu selepas Sergio Ramos terlepas dari jangkauan manakala Nicolas Otamendi pula tampak akan terus kekal di Stadium Mestalla, adakah gandingan Blind dan Jones mampu memikul tanggungjawab selaku bek tengah United?

Meskipun saya sedikit kurang yakin, tetapi dalam masa yang sama adalah tidak adil untuk penilaian dilakukan kepada gandingan Blind dan Jones kerana saingan kompetitif masih belum bermula. PSG berjaya mendedahkan kekurangan di benteng pertahanan tetapi ujian sebenar akan hanya bermula Sabtu ini.

Menarik untuk kita saksikan bagaimanakah nanti benteng pertahanan United menangani ancaman yang bakal diberikan Spurs terutamanya menerusi barisan hadapan mereka yang diterajui Harry Kane. Bukan sekadar tiga mata yang menjadi keutamaan, tetapi saya juga ingin melihat adakah barisan belakang lulus ujian sulung mereka ini dengan cemerlang.

Sama ada Van Gaal akan terus menggunakan gandingan Blind dan Jones atau beliau sudah memikirkan kombinasi lain, Spurs menerusi Harry Kane bakal menjadi ujian sulung terbaik untuk menilai kemampuan sebenar barisan pertahanan United dan semoga mereka mampu mengharungi ujian pertama ini dengan cemerlang.


Van Gaal saat ini bukan sahaja perlukan idea bagaimana mahu meningkatkan kemampuan di benteng pertahanan, tetapi beliau juga sebenarnya perlukan seorang koordinator sebagai pemimpin di barisan belakang skuadnya. Seorang pemimpin seperti Rio atau Vidic amat diperlukan dan itulah jenis pemain yang perlu Van Gaal cari. Jika kelemahan ini berjaya diatasi, barulah perbahasan tentang prospek memenangi trofi kejuaraan akan lebih menarik dan menyakinkan…Glory Glory Manchester United!!! - AJ

29 Julai 2015

LUPAKAN RONALDO

“Cristiano Ronaldo Sasaran United Seterusnya”? Tajuk berita ini memang enak didengar tetapi saya berharap anda tidak mudah terpesona dan kembali berpijak di bumi nyata. Saya akui sesiapapun dikalangan penyokong United (termasuk saya) pasti mengharapkan pemenang Ballon d’Or ini kembali menyarung jersi The Red Devils selepas meninggalkan Old Trafford enam tahun yang lalu.

Ronaldo dan Lionel Messi adalah pemain terbaik di planet ini, di mana kehadiran mereka mampu memberikan kesan besar kepada prestasi mana-mana pasukan yang mereka wakili. Real Madrid dan Barca beruntung kerana memiliki dua pemain ini dalam pasukan mereka manakala kita sendiri pernah menyaksikan impak yang diberikan Ronaldo sepanjang beliau bermain untuk United selama enam musim.

Saya akui bolasepak merupakan permainan berpasukan tetapi adakah Real atau Barca pasukan yang sama jika mereka beraksi tanpa kelibat Ronaldo dan Messi? Tanpa ragu-ragu saya akan katakan tidak. Tanpa Ronaldo dan Messi, Real serta Barca masih dominan di La Liga tetapi saya yakin mereka tidak mampu melakukan hal yang sama ketika beraksi di pentas Eropah.

Jadi mana mungkin Florentino Perez mahupun Josep Maria Bartomeu sanggup melepaskan aset paling berharga mereka kepada mana-mana pasukan biar ditawarkan dengan harga setinggi mana sekalipun. Pada usia mencecah 30 tahun, Ronaldo masih lagi sukar disekat, memiliki sepasang kaki yang pantas, bijak menghidu peluang dan naluri pembunuh yang masih tajam.

Saya yakin Ronaldo akan kekal di Santiago Bernabeu dua atau tiga musim lagi sebelum prstasinya mula merosot akibat faktor usia. Ketika itu, barulah Perez (jika beliau masih kekal di kerusi presiden) sanggup melafazkan `talak’ kepada beliau sepertimana nasib yang menimpa Raul Gonzalez dan Iker Casillas sebelum ini.

Meskipun Louis Van Gaal mengatakan beliau memerlukan seorang penyerang berkualiti bagi menggantikan tempat Robin Van Persie dan Radamel Falcao, saya yakin Ronaldo bukanlah pemain yang beliau maksudkan. Misi membawa keluar Ronaldo dari Santiago Bernabeu adalah misi mustahil sekalipun David De Gea dijadikan sebagai pertukaran.

Mengapa? Kerana seperti yang saya sebutkan tadi Ronaldo merupakan aset paling berharga di Santiao Bernabeu sama seperti Messi di Nou Camp. Jadi beliau bukanlah pemain yang Real mahu letakkan dalam pasaran perpindahan pemain. Sebab kedua sudah tentu tentang wang. Berapa banyak yang perlu United belanjakan seandainya Real mahu melepaskan Ronaldo?

Saya tidak fikir kelab akan memecahkan rekod perpindahan dunia hanya semata-mata mahu membawa Ronaldo pulang semula ke Old Trafford. Meskipun Ronaldo masih pemain terbaik di planet ini, adalah sesuatu yang kurang berbaloi jika kelab terpaksa membayar £80 atau £90 juta untuk seorang pemain yang sudahpun berusia 30 tahun.

United pada pandangan saya sudah memiliki barisan pemain hampir lengkap selepas Van Gaal membawa masuk Bastian Schweinsteiger, Morgan Schneiderlin, Memphis Depay, Matteo Darmian dan Sergio Romero. Cuma apa yang kurang ialah kreativiti dalam permainan mereka sepertimana yang diakui Van Gaal baru-baru ini.

Walaupun menang kesemua tiga perlawanan pra musim mereka setakat ini, Van Gaal mengakui beliau perlu menambah kreativiti dalam skuadnya. Untuk itu saya percaya akan ada satu atau dua lagi pembelian yang bakal beliau lakukan bagi menambah apa yang kurang dalam pasukan sebelum bermulanya cabaran musim baharu.

Pemain mana yang bakal beliau sasarkan selepas ini? Yang pastinya bukan Ronaldo kerana buat masa ini bukan hanya Van Gaal tetapi mana-mana pengurus/jurulatih tidak memiliki peluang walau 1% pun membawa beliau keluar dari Santiago Bernabeu.

Meskipun terdapat beberapa laporan kebelakangan ini yang menyebut tentang rasa tidak puashati Ronaldo terhadap Benitez mahupun Perez, saya nasihatkan anda supaya jangan terbawa-bawa dengan laporan ini kerana akhirnya nanti beliau akan tetap kekal sebagai pemain Real. Apa yang berlaku kepada Sergio Ramos adalah contoh terdekat dan paling baik.

Kesimpulannya, impian mahu menyaksikan Ronaldo kembali ke Old Trafford sebagai pemain United mustahil direalisasikan bukan hanya kerana faktor wang tetapi juga disebabkan keinginan Perez untuk terus mengekalkan beliau di Bernabeu. Biar apa pun yang dilaporkan media, saya percaya Ronaldo tidak akan kemana-mana kerana beliau gembira di sana.

Jika ditakdirkan satu hari nanti Ronaldo meninggalkan Real, itu bukanlah disebabkan kerana beliau memang mahu menyertai pasukan lain tetapi kerana khidmatnya sudah tidak lagi diperlukan Perez. Persoalannya sekarang adakah ketika itu beliau masih relevan membarisi kesebelasan utama United? Saya rasa tidak…Glory Glory Manchester United!!! – A.J

26 Julai 2015

BUKAN SEKADAR AKSI PEMANAS BADAN

Mungkin ada pihak mengatakan kemenangan ke atas Barcelona yang juga merupakan pemenang kejuaraan treble musim lalu bukanlah kemenangan yang penting kerana ia hanyalah perlawanan pra musim bagi kedua-dua pasukan. Ya, saya sedikit sebanyak bersetuju dengan hal itu.

Walau bagaimanapun dalam masa yang sama kita juga perlu mengakui bahawa selaku penyandang trofi Liga Juara-Juara, Barca ada ego yang perlu mereka pertahankan manakala United di bawah kendalian Van Gaal perlu membuktikan bahawa mereka adalah pencabar serius dalam perebutan kejuaraan musim hadapan.

Walaupun sekadar perlawanan pemanas badan pra musim, pertembungan United dan Barca awal pagi tadi sebenarnya agak menarik untuk kita saksikan. Ada aksi berbalas serangan, ada kesungguhan dari pemain kedua-dua pasukan untuk keluar sebagai pemenang serta gol-gol menarik dihasilkan sepanjang 90 minit permainan.

Menang tetap menang walaupun ini sekadar perlawanan pra musim apatah lagi kemenangan itu dicatat ke atas pasukan yang dilabel sebagai `Kelab Terbaik Dunia’ ketika ini. Ada juga yang mengatakan ketiadaan Lionel Messi dan Neymar memberikan kesan kepada persembahan Barca tapi jangan lupakan juga bahawa United dibarisi pemain-pemain muda sepanjang 30 minit terakhir perlawanan.

Paddy McNair, Jesse Lingard, Andreas Pereira, James Wilson, Sam Johnstone dan Tyler Blackett saya harap dapat belajar sesuatu dari perlawanan ini manakala Adnan Januzaj pula membuktikan bahawa beliau adalah antara generasi pemain muda yang bakal menjadi tonggak kelab dimasa hadapan.

Selain kemenangan serta gol yang dihasilkan Wayne Rooney, Lingard dan Januzaj, ada beberapa sisi menarik yang dapat kita ambil dari perlawanan United/Barca awal pagi tadi. Paling menarik ialah kehadiran semula sepasang tangan milik David de Gea di gawang United.

Selepas dua perlawanan pra musim di Amerika Syarikat, inilah kali pertama De Gea beraksi mengawal gawang United selepas pulih dari kecederaan. Aksinya menentang Barca membuktikan kepada kita betapa pentingnya sosok bernama David de Gea ini di gawang.

Di sebalik khabar angin bahawa beliau bakal meninggalkan Old Trafford, De Gea sebaliknya berjaya menggagalkan beberapa percubaan bahaya lawan terutamanya menerusi Sergi Roberto di minit awal permainan dan Luis Suarez. Sepanjang 60 minit permainan, gawang United yang dikawal De Gea gagal ditembusi hinggalah beliau digantikan Sam Johnstone di babak kedua.

Kita tidak pasti apakah kesudahan masa depan De Gea bersama United tetapi melihat kepada sumbangan beliau sejak beberapa musim kebelakangan ini, kelab pada pandangan saya perlu melakukan apa yang terdaya untuk memujuk beliau supaya meletakkan tandatangannya di atas kontrak baharu.

Selain De Gea, saya juga cukup tertarik dengan prestasi yang ditunjukkan Ashley Young dalam perlawanan ini. Mengingatkan kepada prestasi Young sepanjang musim lalu, siapa sangka bahawa beliau pernah dilabel pemain paling flop oleh penyokong-penyokong United ketika kelab di bawah era David Moyes.

Jika setahun lalu ramai di antara kita mahukan agar Young diletakkan dalam senarai pemain yang bakal dijual, tetapi kini kita terpaksa mengakui bahawa sumbangan dan kehadirannya dalam pasukan memang diperlukan. Kehadiran Van Gaal saya anggap berjaya menyelamatkan karier Young di Old Trafford dan tidak keterlaluan juga jika saya katakan selain Rooney serta De Gea, Young adalah pemain terbaik United musim lalu.

Ketika beberapa nama besar yang didatangkan Van Gaal musim panas tahun lalu seperti Angel Di Maria dan Radamel Falcao gagal menyerlah, Young sebaliknya pantas menyesuaikan diri dan cepat faham dengan falsafah bolasepak yang diterapkan Van Gaal.

Awal pagi tadi kehadirannya di sebelah kiri bersama-sama Luke Shaw sering memberikan masalah kepada benteng Barca terutamanya menerusi larian-larian dan umpanan-umpanan silang yang dilakukannya. Meskipun masih dilanda dengan ketidak tentuan berhubung kontraknya yang hanya berbaki setahun, saya yakin Van Gaal akan melakukan apa yang perlu untuk mengekalkan pemain ini di Old Trafford.

Perlawanan-perlawanan pra musim adalah waktu terbaik untuk pemain-pemain muda menikmati peluang penampilan bersama skuad senior dan itulah yang dinikmati Blackett, Lingard, McNair, Johnstone, Pereira, Januzaj dan Wilson sepanjang berada di Amerika Syarikat kali ini.

Semoga generasi pemain-pemain muda United ini boleh belajar sesuatu dari aksi mereka ketika menentang Club America, San Jose Earthquake dan Barca manakala Paris St Germain pula menanti selepas ini. Walaupun ini bukanlah perlawanan kompetitif, peluang berdepan pemain-pemain kelas dunia terutamanya dari Barca dan PSG saya anggap satu fasa pembelajaran yang cukup bagus buat mereka.

Pertembungan menentang lawan seperti Barca tetap menarik untuk disaksikan walaupun ini sekadar perlawanan pra musim. Jadi atas sebab itulah mengapa ramai penyokong-penyokong United sanggup mengorbankan kuota internet mereka dan berjaga diawal pagi bagi menyaksikan perlawanan ini.

Selain aksi menentang kelab terbaik dunia seperti Barca, ada faktor lain sebenarnya yang mendorong saya menyaksikan perlawanan ini dan mungkin ada di kalangan anda juga begitu. Faktor yang saya maksudkan ialah sosok pemain bernama Pedro Rodriguez.

Menyaksikan gerakan-gerakan licik dan bijaknya dari sebelah kiri, fahamlah saya mengapa United tiba-tiba sahaja dikaitkan dengan pemain ini. Jika benar Pedro mahu meninggalkan Nou Camp dan United berjaya mendapatkan khidmatnya, saya yakin beliau mampu meletakkan dirinya sebagai key player dalam barisan Van Gaal.

Jika diberikan pilihan, saya lebih memilih Pedro berbanding Zlatan Ibrahimovic untuk ditandatangani kelab musim panas ini dan selepas menyaksikan aksi beliau awal pagi tadi mungkin anda juga bersetuju dengan pilihan saya. Adakah ini aksi terakhir Pedro bersama Barca? Ya, saya harap begitu.

Kemenangan keatas Barca adalah satu petanda baik sebelum bermulanya musim baharu dan bagus untuk moral para pemain. Kemenangan ini mungkin tidak begitu penting tetapi siapa tahu perlawanan ini juga satu permulaan kepada pertembungan lebih penting antara kedua-dua kelab selepas ini. Jika itu terjadi, saya berharap biarlah ianya berlaku di San Siro 28 Mei nanti…Glory Glory Manchester United!!! - AJ

22 Julai 2015

13 TAHUN YANG LALU....

Pada 22 Julai, 13 tahun yang lalu Sir Alex Ferguson berjaya menandatangani salah seorang prospek bintang masa depan England yang akhirnya muncul lagenda di barisan belakang The Red Devils. Pemain yang dimaksudkan sudah tentu idola saya, Rio Ferdinand.

Rio bukan sekadar pemain pertahanan yang tugasnya mengawal mana-mana penyerang berbahaya pasukan lawan atau melakukan bentesan-bentesan keras bagi mematikan gerakan serangan lawan, tetapi lebih dari itu beliau antara pemain pertahanan penuh karisma ketika beraksi di atas padang.

Dianugerahkan dengan susuk tubuh yang tegap dan tinggi, kekuatan fizikal mengagumkan, unggul dalam perebutan bola di udara dan bijak meletakkan dirinya di posisi yang betul ketika mematahkan serangan lawan, Rio adalah pertahanan idaman buat mana-mana pasukan ketika zaman emasnya.

Akademi West Ham antara akademi bolasepak yang sentiasa berjaya melahirkan pemain-pemain berkualiti untuk bolasepak England, dan Rio salah seorang dari  produk yang dilahirkan dari akademi tersebut selain Tony Cottee, Paul Ince, Michael Carrick, Jermain Defoe, Joe Cole, Glenn Johnson dan sudah tentu Frank Lampard.

Pada usia 16 tahun, Rio memulakan karier profesionalnya bersama West Ham United di mana beliau melakukan penampilan sulungnya bersama skuad senior The Hammers pada 5 Mei 1996 selepas masuk menggantikan Tony Cottee ketika berdepan Sheffield Wednesday di gelanggang sendiri.

Ketika itu Rio antara pemain muda berbakat di England jadi tidak hairanlah mengapa kelibatnya sering sahaja diintai oleh pencari bakat dari kelab-kelab ternama Liga Perdana. United sebenarnya pernah menunjukkan minat terhadap Ferdinand sebelum mereka akhirnya beralih kepada Henning Berg pada musim panas 1997.

Prestasi cemerlang Rio bersama West Ham menarik minat Leeds United yang ketika itu sering diletakkan antara pencabar kejuaraan Liga Perdana. Pada Januari 2000, Leeds terpaksa membayar €26 juta untuk membawa Rio beraksi di Elland Road sekaligus mencipta rekod perpindahan England.

Bukan itu sahaja, wang sebanyak €26 juta yang dibelanjakan Leeds menyaksikan Rio muncul pemain pertahanan termahal dunia ketika itu. Bagaimanapun karier Rio hanya bertahan satu setengah musim sahaja di Elland Road apabila United melancarkan percubaan kali kedua untuk mendapatkan tandatangannya pada 2002.

Selepas lima tahun, Rio bukan lagi pemain yang sama sejak kali pertama United menunjukkan minat mereka terhadap beliau dan Sir Alex mengakui akan hakikat itu. Jika beliau mahukan salah seorang pemain pertahanan terbaik dunia mengawal barisan belakang skuadnya, jalan terbaik ialah dengan berbelanja besar.

€46 juta yang dibelanjakan United menyaksikan Rio sekali lagi muncul pemain termahal England dan juga pertahanan termahal dunia. Akhirnya pada 22 Julai 2002 Rio secara rasmi diperkenalkan sebagai pemain United. Rekod sebagai pemain termahal dunia yang dipegang Rio bertahan selama 12 tahun sebelum akhirnya dipecahkan David Luiz.

Walaupun keputusan Sir Alex berbelanja besar untuk seorang pemain pertahanan dikritik ramai pihak ketika itu, Rio akhirnya berjaya membuktikan bahawa nilai €46 juta yang dibelanjakan kelab untuk khidmatya lebih daripada berbaloi.

Di Old Trafford, Rio bertahan selama 12 musim dan selama itu jugalah beliau menjadi tonggak di benteng pertahanan serta berjaya membantu kelab memenangi kejuaraan demi kejuaraan.

Sepanjang kariernya bersama United, Rio bermain sebanyak 455 perlawanan, menjaringkan lapan gol, menjulang enam kejuaraan Liga Perdana, satu kejuaraan Piala FA, enam kejuaraan Perisai Komuniti, satu kejuaraan Liga Juara-Juara dan satu kejuaraan Kelab-kelab Dunia.

Selama tempoh 12 musim itu jugalah kita disajikan dengan aksi dari seorang pemain pertahanan penuh bergaya, memiliki keyakinan cukup tinggi ketika bola berada dikakinya, berkemahiran dan langsung tiada simpati kepada mana-mana penyerang lawan.

Walaupun gaya permainan Rio agak keras namun beliau bukanlah seorang pemain pertahanan yang gemar melakukan terjahan secara membabi buta. Rio bijak menunggu detik terbaik ketika melakukan terjahan, jadi tidak hairanlah mengapa hanya sekali beliau dilayangkan kad merah sepanjang 312 penampilannya di Liga Perdana untuk United.

Atas sebab itu jugalah mengapa Sir Alex menamakan Rio dan bukannya Nemanja Vidic sebagai pilihan bersama Jaap Stam di benteng pertahanan dalam kesebelasan terbaik United pilihan beliau.

Setiap yang bermula pasti ada pengakhirannya dan begitulah juga halnya dengan Rio. Selepas 12 musim mengerah keringat dan menabur bakti untuk United, beliau akhirnya mengucapkan salam perpisahan kepada khalayak di Old Trafford pada 2014 dan menyertai Queens Park Rangers sebelum bersara dari karier profesionalnya.

Jika 13 tahun lalu ramai yang mempertikaikan tindakan Sir Alex memecahkan rekod perpindahan England saat beliau menandatangani Rio, tapi akhirnya mereka terpaksa mengakui bahawa Rio adalah antara pembelian terbaik pernah dilakukan pengendali lagenda itu.

Walaupun sudah setahun meninggalkan kelab dan baru-baru ini beliau mengumumkan persaraanya, saya tidak akan pernah melupakan kelibat dan sumbangannya ketika bersama United. Tidak sekali-kali juga saya akan melupakan aksinya `bermain-main’ dengan penyerang lawan di kawasan sendiri ketika zaman kemuncaknya.

Keras, lantang, licik, klinikal, bergaya dan penuh karisma dalam permainannya, hanya itulah perkataan paling tepat untuk saya berikan kepada Rio Gavin Ferdinand. Salah seorang pemain pertahanan terbaik pernah saya saksikan bermain untuk The Red Devils. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

20 Julai 2015

`PEMBELIAN MENGEJUTKAN'...SIAPAKAH PEMAIN YANG DIMAKSUDKAN VAN GAAL?

“Pembelian Mengejutkan”, dua perkataan ringkas yang keluar dari mulut Louis Van Gaal beberapa hari lalu tetapi sudah cukup membuatkan ramai penyokong-penyokong Manchester United gelisah, teruja atau apa sahaja perkataan yang sesuai bagi menggambarkan betapa tidak sabarnya mereka menanti siapakah `Pembelian Mengejutkan’ yang dimaksudkan beliau.

Meskipun sudah berbelanja £80 juta untuk empat pemain baharu setakat ini (Bastian Schweinsteiger, Morgan Schneiderlin, Memphis Depay dan Matteo Darmian), Van Gaal sebaliknya tidak langsung menunjukkan tanda-tanda bahawa beliau sudah berpuashati dengan skuad dimilikinya dan mahu berhenti dari berbelanja.

Selepas bertahun-tahun terbiasa dengan polisi pembelian pemain yang diamalkan Sir Alex Ferguson sepanjang eranya selaku bos di Old Trafford, terus terang saya katakan bahawa saya agak janggal apabila menyaksikan begitu banyaknya wang yang dibelanjakan Van Gaal untuk membawa nama-nama besar seperti Angel Di Maria, Radamel Falcao, Marcos Rojo, Daley Blind dan kini Bastian Schweinsteiger ke Theatre of Dreams.

Berbalik kepada `Pembelian Mengejutkan’ yang bakal dilakukan Van Gaal, saya tertanya-tanya pemain yang bermain di posisi mana bakal beliau bawa masuk nanti sebagai kejutan kepada kita. United pada pandangan saya sudah memiliki kekuatan yang diperlukan di bahagian tengah dengan tambahan midfielder baharu seperti Schweinsteiger dan Schneiderlin.

Walau bagaimanapun penyokong-penyokong United melihat kekuatan di bahagian tengah perlu diseimbangkan dengan kekebalan di benteng pertahanan dan bahagian hadapan pula perlu lebih tajam bagi memburu gol.

Sejak era David Moyes, benteng pertahanan United sering dijadikan sasaran kritikan manakala bahagian hadapan pula semakin hilang ketajaman walaupun musim lalu Van Gaal memiliki trio penyerang berprofil tinggi dalam pasukannya seperti Van Persie, Falcao dan Rooney selaku penggempur.

Dengan perkhabaran bahawa Jonny Evans sudah diberikan lampu hijau untuk meninggalkan kelab manakala Robin Van Persie serta Radamel Falcao pula sudah menyertai Fenerbahce dan Chelsea, saya percaya fokus utama Van Gaal selepas ini ialah menguatkan dua posisi tersebut (pertahanan dan serangan).

Paling kritikal ialah di bahagian serangan kerana selepas Van Persie dan Falcao melangkah keluar, kita hanya memiliki Rooney selaku penyerang paling berpengalaman dan boleh diharapkan bagi memburu gol, manakala James Wilson pula perlukan beberapa tahun lagi untuk menjadi penyerang yang lebih matang.

Kembalinya Javier Hernandez ke pangkuan kelab selepas semusim menyertai Real Madrid sebagai pemain pinjaman tidak langsung meredakan kebimbangan saya tentang masalah ketajaman di bahagian hadapan.

Jadi sudah tentu saya berharap `Pembelian Mengejutkan’ yang bakal dilakukan Van Gaal nanti ialah seorang penyerang berprofil tinggi yang boleh menggantikan tempat Van Persie serta Falcao selain boleh membentuk kombinasi ampuh bersama Rooney di bahagian serangan.

Menerusi laporan-laporan media yang dibaca saban hari, kita sekurang-kurang boleh meramal siapa `Pembelian Mengejutkan’ yang dimaksudkan Van Gaal sambil berharap jika benar rundingan sudah pun dilakukan dengan kelab pemain terbabit, urusan perpindahan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Siapakah sebenarnya `Pembelian Mengejutkan’ yang dimaksudkan Van Gaal? Untuk itu mari kita lihat senarai pemain yang paling berpotensi untuk menjawab teka teki tersebut berdasarkan laporan-laporan yang diterbitkan media sejak kebelakangan ini.


PEDRO RODRIGUEZ

Di kedudukan pertama, saya memilih penyerang ini sebagai pemain paling berkemungkinan bagi menjawab teka teki `Pembelian Mengejutkan’ Van Gaal. Di bawah kendalian Luis Enrique, Rodriguez jarang diberikan kesempatan untuk tampil dalam kesebelasan utama apabila beliau hanya bermula sebagai starter sebanyak 15 kali dari 35 penampilan keseluruhan dalam saingan liga musim lalu.

Dengan kejohanan Euro bakal berlangsung dalam tempoh tidak sampai setahun, situasi ini sebenarnya boleh menjejaskan peluang Rodriguez disenaraikan dalam skuad kebangsaan Sepanyol ke Perancis nanti. Jadi tidak hairanlah mengapa beliau kini mahukan agar pihak pengurusan Barca meletakkan dirinya dalam pasaran perpindahan pemain.

Jangan lupakan juga bahawa Rodriguez sebenarnya memiliki klausa perpindahan £22 juta dalam kontraknya dan jika benar Van Gaal mahu membawa pemain ini beraksi di Old Trafford, United hanya perlu membayar jumlah tersebut untuk membawanya keluar dari Nou Camp.

Selepas melihat kepada semua situasi yang saya sebutkan tadi, maka atas sebab itulah mengapa Rodriguez saya senaraikan di kedudukan teratas sebagai pemain paling berpotensi bagi `Pembelian Mengejutkan’ Van Gaal musim panas ini. Kehadiran Rodriguez yang sudah memenangi pelbagai medal kejuaraan bersama Barca dan skuad kebangsaan Sepanyol saya anggap pelengkap kepada barisan hadapan United.

EDINSON CAVANI

Cavani antara pemain yang sering disebut-sebut menjadi perhatian utama Van Gaal dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini. Walaupun berjaya menjaringkan 31 gol dalam semua kejohanan musim lalu, penyerang antarabangsa Uruguay ini nampaknya masih belum mampu keluar dari bayang-bayang Zlatan Ibrahimovic di kota Paris.

Musim hadapan saya percaya Ibrahimovic akan terus memikul tanggungjawab sebagai penggempur utama Paris St Germain manakala Cavani pula kekal dengan status selaku `Penyerang Nombor Dua’. Jika beliau mahu keluar dari bayang-bayang Ibrahimovic, Cavani tiada pilihan lain selain meninggalkan juara Ligue 1 itu dan United boleh menawarkan tempat kepada beliau selaku penyerang utama.

Faktor Angel Di Maria juga sebenarnya turut memainkan peranan jika perpindahan Cavani mahu direalisasikan. Seperti yang kita tahu, musim lalu Di Maria pernah mendedahkan bahawa kelab yang beliau ingin sertai sebaik meninggalkan Real Madrid ialah PSG dan bukannya United.

Dengan perkhabaran terbaru bahawa PSG berminat mendapatkan tandatangan Di Maria, Van Gaal boleh menggunakan kesempatan ini dengan menjadikan Cavani sebagai pertukaran. Jika ini berlaku `impian’ Di Maria akhirnya tercapai manakala Van Gaal pula berjaya meletakkan salah seorang penyerang terbaik dunia di barisan hadapan skuadnya.

HARRY KANE

Selepas mempamerkan aksi memukau dengan menjaringkan gol secara konsisten untuk Tottenham Hotspurs musim lalu, nama Harry Kane tiba-tiba menjadi sasaran beberapa kelab besar di Liga Perdana dan United tidak terkecuali. Melihat kepada jumlah wang yang terpaksa dibayar Manchester City ke atas Raheem Sterling, saya percaya nilai Kane juga sudah tentu melepasi paras £40 juta.

Jika diambil kira kenyataan Kane sebelum ini bahawa beliau gembira berada di White Hart Lane dan mahu kekal di sana, peluang United mendapatkan khidmat bintang kelahiran akademi Spurs ini tipis. Ditambah pula dengan polisi Daniel Levy berkaitan penjualan bintang-bintang terbaiknya kepada pesaing domestik bakal menyukarkan lagi usaha Van Gaal jika beliau mahu mendapatkan khidmat Kane.

Dalam hal Kane, wang £40 juta bukanlah masalah buat United, tetapi polisi dan sentimen Spurs serta para penyokongnya terhadap pemain ini bakal menyukarkan usaha mana-mana kelab gergasi di Liga Perdana membawa Kane keluar dari White Hart Lane.

ALEXANDRE LACAZETTE

Olympique Lyon memang tidak pernah mengeluarkan kenyataan mahu menjual Lacazette tetapi Herbert Fournier juga pernah menyebut jika ada mana-mana kelab sanggup membayar €50 atau €60 juta, beliau sedia mengucapkan selamat tinggal kepada pemain berusia 24 tahun ini.

27 gol dari 31 penampilan liga membolehkan beliau dinobatkan selaku penjaring terbanyak Ligue 1 musim lalu sekaligus mengetepikan nama-nama besar lain seperti Zlatan Ibrahimovic dan Edinson Cavani. Jadi tidak hairanlah mengapa Lacazette muncul antara nama paling `panas’ sepanjang pasaran perpindahan kali ini.

Saya meminati gaya permainan Lacazette, terpesona dengan kelicikannya menyusup di belakang pertahanan lawan dan cara bagaimana beliau menjaringkan gol. Atas sebab itulah saya berharap ada usaha dari Van Gaal untuk mendapatkan khidmat pemain ini. Jika berjaya, Lacazette adalah `Pembelian Mengejutkan’ bagi saya.

THOMAS MULLER

Selepas berjaya mendapatkan khidmat Bastian Schweinsteiger, fokus United sekali lagi terarah kepada Bayern Munich apabila kini giliran Thomas Muller pula dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford. Jika benar apa yang dilaporkan media tentang pemburuan United ke atas Muller, ia saya anggap satu berita yang memang mengejutkan.

Meskipun Muller diberitakan kurang berpuas hati dengan peranan yang dimainkannya dalam pasukan sejak Pep Guardiola menggantikan Jupp Heynckes, kita juga terpaksa mengakui bahawa beliau masih lagi aset berharga buat juara Bundesliga itu.

Atas sebab itulah mengapa saya melihat peluang membawa pemain ini menyarung jersi United cukup tipis (jika benar ada usaha mendapatkan khidmat beliau) meskipun Bayern sebelumnya `bermurah hati’ melepaskan Schweinsteiger ke Old Trafford.

Walaupun peluang mendapatkan khidmat pemain sebagus Muller saya anggap tipis, namun saya masih berharap ada keajaiban dan kejutan bakal berlaku. Sepertimana Schweini, Muller juga ada hubungan yang baik dengan Van Gaal ketika beliau mengendalikan Bayern pada 2009.

Saya berharap faktor (hubungan baik antara Van Gaal dan Muller) ini boleh membantu selain laporan bahawa United juga sedia membayar berapa sahaja nilai yang diletakkan Bayern ke atas pemain ini. Adakah wang sebanyak £120 juta mampu memaksa Bayern melepaskan seorang lagi pemain terbaik mereka ke Old Trafford?

Akhir sekali mungkin ada yang mengatakan mengapa saya tidak meletakkan Karim Benzema sebagai pemain berpotensi dalam `Pembelian Mengejutkan’ Van Gaal sedangkan pemain ini juga antara nama `panas’ yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford.

Jawabnya mudah kerana Benzema sudah dikaitkan dengan minat United ketika kelab di bawah kendalian Sir Alex Ferguson lagi. Bukan rahsia juga bahawa Sir Alex merupakan peminat Benzema sejak beliau masih bersama Lyon sebelum akhirnya memilih berpindah ke Santiago Bernabeu berbanding Old Trafford.

Perancangan Rafa Benitez yang mahu meletakkan Cristiano Ronaldo sebagai penyerang tengah juga seolah-olah isyarat bahawa tempoh keemasan Benzema bersama Los Blancos bakal berakhir. Jadi bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika musim panas ini Real meletakkan beliau dalam senarai pemain yang ingin dijual.

Cuma apa yang menjadi persoalan sekarang ialah kelab mana bakal dipilih Benzema jika beliau meninggalkan Santiago Bernabeu nanti. Arsene Wenger antara pengendali yang diberitakan serius mahu mendapatkan tandatangan Benzema, tetapi jika kali ini beliau memilih Old Trafford selepas 6 tahun lalu pernah menolak tawaran Sir Alex, perpindahan ini bagi saya bukanlah satu `Pembelian Mengejutkan’…Glory Glory Manchester United!!! – A.J