21 Februari 2019

HORMATILAH SMALLING




Duet Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic di benteng pertahanan United bukan sahaja diiktiraf sebagai antara pasangan pertahanan tengah terbaik pernah disaksikan di Old Trafford, tetapi juga di Liga Perdana. Jadi bukan tugas mudah untuk Sir Alex Ferguson mempersiapkan generasi pelapis kepada pasangan itu ketika Rio dan Vida mula memasuki fasa-fasa terakhir karier mereka di Old Trafford.

Di Craven Cottage, Fergie melihat bakat seorang remaja yang pada pandangan beliau sangat berpotensi untuk dijadikan pelapis kepada Rio serta Vida, dan remaja yang saya maksudkan ketika itu ialah Chris Smalling. Memiliki ketinggian sempurna serta corak permainan keras, Smalling dinilai Fergie sangat cocok untuk membarisi benteng pertahanan United selepas berakhirnya era Rio dan Vida nanti.

Potensi Smalling sebagai pemain pertahanan masa depan England turut menarik minat Arsene Wenger dan Carlo Ancelotti, hingga memaksa Fergie bergerak lebih pantas. Pada Januari 2010, United akhirnya mengumumkan kejayaan mereka menandatangani Smalling tetapi kelonggaran diberikan kepada Fulham untuk terus menggunakan khidmat pemain itu hingga ke penghujung musim.

Penampilan Ke-300

Pada 8 Ogos 2010, Smalling melakukan penampilan pertama bersama United ketika berdepan Chelsea dalam aksi merebut Perisai Komuniti. Ironinya penampilan ke-300 beliau bersama kelab juga berlaku ketika berdepan lawan yang sama. Aksi liga yang dilangsungkan di Stamford Bridge pada 22 Oktober tahun lalu merupakan penampilan ke-300 Smalling bersama United.

Selepas kembali semula dari bilik rawatan akibat kecederaan, Smalling kemudiannya melakukan sembilan penampilan untuk United.  Bermula sebagai pemain muda yang dibawa Fergie dari Craven Cottage, Smalling kini muncul pemain ketiga paling berpengalaman dalam skuad Ole Gunnar Solskjaer selepas David De Gea (347 penampilan) dan Antonio Valencia (338 penampilan).

Kemampuan Smalling melakukan 309 penampilan (setakat ini) untuk kelab besar seperti United bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan oleh mana-mana pemain. Dan kemampuan beliau untuk terus kekal selama sembilan musim di Old Trafford juga menunjukkan betapa pentingnya peranan beliau di benteng pertahanan United dari era Fergie hinggalah ke era Ole Gunnar Solskjaer.

Bukan Pemain `Kesukaan’

Jika anda bercakap tentang pemain pertahanan kelas dunia, Smalling mungkin bukan setaraf Gerard Pique, Sergio Ramos, Vincent Kompany, Virgil Van Dijk atau Thiago Silva. Smalling juga dikenali sebagai pemain yang kerap melakukan kesilapan mudah ketika bertahan, jadi tidak hairanlah mengapa beliau tidak tergolong dalam kelompok pemain kegemaran penyokong-penyokong United. Bagaimanapun jangan lupakan gol-gol penting terutama menerusi kepalanya yang sering menjadi penyelamat United.

Sudah tentu gol kemenangan jaringan beliau ke gawang Manchester City dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford April tahun lalu akan dikenang sebagai antara gol terpenting pernah disumbangkan Smalling. Ketika kebanyakkan penyokong United berpendapat bahawa Smalling antara pemain yang patut dijual, kelab sebaliknya mengambil keputusan mengekalkan beliau di Old Trafford hingga 2022. Jika anda bukan penggemar Smalling, anda harus bersedia untuk terus menyaksikan kelibat beliau dibenteng pertahanan United selama tiga tahun lagi.

Naluri Fergie

Fergie bukan sahaja berjaya membina reputasi beliau sebagai pengurus lagenda di Old Trafford menerusi deretan trofi yang berjaya dimenanginya, tetapi beliau juga dikenali kerana kemampuannya menghidu bakat-bakat muda terbaik untuk diketengahkan. Meskipun bakatnya bukan dilahirkan dari Akademi United, namun Smalling antara pemain yang cukup bertuah kerana bakat serta potensi beliau berjaya dikesan dan digilap Fergie.

Adalah sesuatu yang sangat hebat untuk seorang pemain yang dua tahun sebelum ketibaannya di Old Trafford cuma bermain di liga separuh profesional. Di Craven Cottage pula, Smalling cuma melakukan 13 penampilan Liga Perdana bersama Fulham sebelum Fergie menandatangani beliau pada Januari 2010. Naluri Fergie ternyata tepat kerana sehingga kini Smalling masih lagi dianggap antara tonggak penting di benteng pertahanan United meskipun lagenda hidup United itu sudah bersara dari dunia kejurulatihan pada 2013.

Peninggalan Era Fergie

Dalam skuad United sekarang, Smalling antara lima pemain dari era Fergie yang masih kekal. Selain beliau, empat pembelian era Fergie yang masih tersisa ialah David De Gea, Antonio Valencia, Phil Jones dan Ashley Young.

Sudah tentu sepertimana empat rakannya itu, Smalling juga sudah merasai nikmat menjulang kejuaraan Liga Perdana, Piala FA, Piala Liga, Perisai Komuniti dan Liga Europa. Kini hanya kejuaraan Liga Juara-Juara satu-satunya trofi yang belum dimenangi Smalling sebagai pemain United.

Di era Solskjaer, beliau nampaknya lebih memilih menggandingkan Victor Lindelof bersama Phil Jones atau Eric Bailly di benteng pertahanan tengah, namun itu bukan bermakna nama pertahanan dari era Fergie ini boleh diketepikan begitu sahaja.

Aksi beliau ketika berdepan Chelsea dalam saingan Piala FA tempohari wajar diberikan pujian, malah Maurizio Sarri turut meletakkan faktor kekuatan benteng pertahanan United yang diterajui Smalling dan Lindelof sebagai antara penyebab tumpulnya barisan The Blues di Stamford Bridge.

Hormatilah Smalling

Menurut Smalling, Didier Drogba dan Bobby Zamora merupakan penyerang paling sukar dihentikan sepanjang kariernya di Liga Perdana. Ya...Drogba dan Zamora antara deretan penyerang ulung yang pernah dihadapi Smalling sepanjang beliau bergelar pemain United. Ketika Drogba dan Zamora sudah bertahun meninggalkan kancah saingan Liga Perdana, satu-satunya cabaran yang masih kekal dan terpaksa dihadapi Smalling dari dulu hingga kini ialah meraih penghormatan dari penyokong sendiri.

Jika segalanya berjalan lancar, Smalling akan bermain untuk United hingga 2022, atau lebih tepatnya mengharungi tempoh 12 tahun karier profesionalnya di Old Trafford. Sekiranya nama Smalling masih kekal dalam perancangan pengurus United untuk saingan musim hadapan, beliau juga bakal mengharungi musim kesepuluhnya di Old Trafford.  Jadi pada tahun hadapan kelab sudah boleh merancang tarikh sesuai untuk mengadakan satu perlawanan testimonial sebagai tanda penghormatan kepada beliau.

Sepanjang sembilan musim kariernya di Old Trafford, Smalling bukanlah pemain yang digemari kebanyakkan penyokong-penyokong United. Bagaimanapun siapa menyangka bahawa beliau kini cuma selangkah untuk meletakkan namanya sebaris dengan Sir Bobby Charlton, Bryan Robson, Brian McClair, Denis Irwin, Roy Keane, Paul Scholes, Gary Neville, Rio Ferdinand, Ryan Giggs, Wayne Rooney dan Michael Carrick sebagai pemain United yang layak diberikan penghargaan testimonial match.

Musim hadapan, United pastinya menjadikan benteng pertahanan mereka sebagai fokus utama untuk diperkuatkan. Jadi sudah tentu akan ada pertahanan baharu yang bakal dibawa masuk, mungkin Kalidou Koulibaly atau sesiapa sahaja. Bagaimanapun dalam masa yang sama, saya juga percaya bahawa kelibat Smalling masih relevan di Old Trafford kerana Solskjaer juga perlukan kualiti yang ada pada beliau bagi membentuk squad depth United. Untuk seorang pemain yang bakal memasuki musim kesepuluhnya di Old Trafford, apa lagi yang diperlukan Smalling selain penghormatan dari penyokong sendiri...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

18 Februari 2019

ALEXIS SANCHEZ...ANTARA GEMILANG YANG KIAN PUDAR ATAU KORBAN SUMPAHAN



Lagenda England, Alan Shearer mengatakan bahawa satu-satunya pemain Manchester United yang gagal menyinar sejak ketibaan Ole Gunnar Solskjaer di Old Trafford ialah Alexis Sanchez. Sanchez tiba di Old Trafford Januari tahun lalu dan dianggap pembelian sensasi yang dilakukan Jose Mourinho dalam misi beliau menjadikan barisan hadapan United lebih tajam dan digeruni.

Reputasinya di Stadium Emirates menerusi 60 gol dari 122 penampilan liga sepanjang empat musim setengah beliau menyarung jersi Arsenal dan kelincahannya bergerak dari sisi kiri atau kanan ketika membelah pertahanan lawan, menjadikan Sanchez idaman penyokong-penyokong United untuk dibawa ke Old Trafford.

Impian penyokong-penyokong yang mahu melihat Sanchez menyarung jersi United akhirnya direalisasikan Mourinho. Sesuai dengan reputasi yang dimiliki beliau, video pengenalan bagi mempromosikan kehadiran Sanchez di Old Trafford juga dianggap antara video pengenalan pemain paling menarik dan kreatif pernah disaksikan oleh peminat-peminat bolasepak.

Gagal Penuhi Jangkaan

Di bawah kendalian Mourinho dan kini Solskjaer pula, prestasi Sanchez nampaknya masih lagi dibawah `standard’ sebenar beliau. Ketika prestasi pemain seperti Marcus Rashford, Anthony Martial, Victor Lindelof, Luke Shaw, Paul Pogba dan Ander Herrera melonjak sejak kedatangan Solskjaer, nasib Sanchez pula sebaliknya.

Saat pertama kali Sanchez diperkenalkan secara rasmi sebagai anggota `The Red Devils’, penyokong-penyokong United percaya bahawa kelab sudah menandatangani pemain yang tepat meskipun dalam masa mereka terpaksa melepaskan Henrikh Mkhitaryan sebagai pertukaran. Tidak cukup dengan itu, Sanchez juga diberikan penghormatan untuk menyarung jersi ikonik nombor 7 United.

Beliau tidak perlu menunggu lama untuk menawan hati kita menerusi ledakan ke gawang Huddersfield pada penampilan pertamanya di gelanggang sendiri. Ketika berdepan Tottenham Hotspurs dalam saingan separuh akhir Piala FA, Sanchez turut menyumbang satu gol, sekaligus membantu United mara ke perlawanan akhir.

Secara keseluruhan, Sanchez meledak tiga gol sepanjang setengah musim pertamanya sebagai pemain United (dua gol dalam saingan liga dan satu gol dalam saingan Piala FA). Jumlah tiga gol yang dijaringkan Sanchez itu memang tidak memadai jika diambilkira reputasi beliau, namun untuk berlaku adil peluang juga patut diberikan kepada Sanchez atas faktor beliau perlu beradaptasi dengan suasana dan gaya permainan bersama kelab baru.

Bagaimanapun selepas lebih setahun perpindahannya ke Old Trafford, Sanchez baru meledak lima gol dari 37 perlawanan, dan itu juga bermakna beliau cuma mampu menjaringkan dua gol musim ini. Sebagai perbandingan, Sanchez hanya memerlukan 11 perlawanan untuk menjaringkan jumlah gol yang sama pada musim terakhirnya di Stadium Emirates.

Apa Masalah Sanchez?

Apa masalah sebenar yang dihadapi Sanchez? Ole Gunnar Solskjaer sendiri tidak tahu apa lagi yang perlu beliau lakukan untuk meningkatkan kembali prestasi Sanchez. Mengingatkan bahawa beliau seorang pemain yang memiliki kepantasan serta skill individu menarik, Sanchez sepatutnya mampu beradaptasi dengan baik menerusi skema permainan United yang diterapkan Solskjaer.

United di bawah kendalian Solskjaer kerap menjadikan sisi sayap sebagai teras kekuatan ketika mereka melakukan serangan. Malangnya faktor tersebut gagal digunakan Sanchez untuk meletakkan beliau selaku antara pemain penting dalam skema permainan Solskjaer. Di sisi kiri, Solskjaer lebih gemar meletakkan Anthony Martial manakala pilihan beliau di sebelah kanan pula ialah Jesse Lingard.

Kesempatan Yang Terbuang

Masih ingatkah lagi anda dengan aksi sukar menentang Leicester City di Stadium King Power 3 Februari lalu? Dalam perlawanan itu Sanchez diturunkan Solskjaer dalam kesebelasan utama United. Aksi menentang Leicester itu juga merupakan kali ketiga Sanchez diletakkan Solskjaer sebagai starter. Apa yang berlaku sepanjang perlawanan atau lebih tepatnya sepanjang 67 minit aksi Sanchez di atas padang?

Berbanding tugasnya menghadirkan ancaman kepada benteng pertahanan Leicester, Sanchez sebaliknya kerap kehilangan bola hingga menyebabkan United terdedah kepada serang balas lawan. Menyedari bahawa tidak banyak impak mampu diberikan Sanchez dalam misi menekan benteng Leicester yang diketuai Harry Maguire dan Jonny Evans, beliau akhirnya digantikan Anthony Martial di separuh masa kedua.

Kutukan Nombor 7

Nombor 7 merupakan nombor paling ikonik dalam senarai susunan nombor jersi di Old Trafford. George Best, Bryan Robson, Eric Cantona, David Beckham dan Cristiano Ronaldo akan sentiasa dikenang sebagai penyarung jersi nombor 7 United paling berjaya. Tetapi terdapat juga sederet senarai pemain yang gagal memenuhi harapan dalam misi menyambung legasi gemilang nombor 7 selepas mereka diberikan tanggungjawab menyarung jersi tersebut.

Selepas pemergian Ronaldo, tiada pemain yang mampu tampil gemilang dengan jersi nombor 7 United itu. Michael Owen, Antonio Valencia, Angel Di Maria, Memphis Depay dan kini Alexis Sanchez pula menerima nasib buruk akibat `sumpahan’ jersi nombor 7 itu. Melihat kepada situasi terkini yang dialami Sanchez, tidak banyak usaha yang mampu dilakukan beliau untuk menyelamatkan kariernya di Old Trafford. Adakah Sanchez mangsa korban terbaru sumpahan jersi nombor 7 yang dulunya dianggap keramat?

Saranan Untuk Sanchez

Ketika prestasinya menyebabkan Solskjaer kebingungan tanpa jawapan dan ketika upah lumayan yang diterimanya diperdebatkan kerana tidak setanding dengan prestasi di atas padang, Sanchez sudah mula disebut-sebut sebagai antara pemain yang bakal diarahkan pergi meninggalkan Old Trafford musim panas nanti.

Kurang minit permainan kerana kegagalan beliau bersaing dengan Marcus Rashford, Jesse Lingard dan Anthony Martial menyebabkan Sanchez mula frustasi. Amat malang apabila memikirkan pemain dengan bakat hebat seperti Sanchez, pemain yang dahulunya pernah meledak 80 gol dan mencipta 65 `assist’ untuk Arsenal gagal memenuhi jangkaan sejak ketibaannya di Old Trafford.

Apa yang boleh dilakukan Sanchez untuk menyelamatkan kariernya? Mungkin saranan dari Marc Overmars yang juga merupakan lagenda Arsenal boleh dipertimbangkan oleh beliau. Menurut Overmars, kembali ke pangkuan Arsenal adalah langkah terbaik yang boleh dilakukan Sanchez untuk melonjakkan semula prestasinya.

Mungkin ada benarnya pendapat yang dilontarkan Overmars ini, kerana selepas pemergian Sanchez, Arsenal juga berdepan kesukaran mencari pemain yang memiliki gaya permainan seperti beliau. Jika kembali semula ke Stadium Emirates, saya percaya Sanchez boleh memainkan peranan penting dalam sistem permainan Unai Emery yang bukan sahaja mementingkan penguasaan bola tetapi juga intensif ketika melakukan tekanan kepada lawan.

Darah Latin Yang Gagal

Kegagalan Sanchez menyinar sejak perpindahannya ke Old Trafford mungkin turut dibantu faktor kecederaan panjang yang dialami beliau sebelum ini. Walau bagaimanapun dalam masa yang sama kita juga perlu melihat kembali ke belakang terutamanya membabitkan sejarah kehadiran pemain-pemain dari benua Amerika Latin ke Old Trafford.

Kleberson, Diego Forlan, Juan Sebastian Veron, kembar Fabio dan Rafael da Silva, Anderson, Fred, Gabriel Heinze, Carlos Tevez, Marcos Rojo serta Angel di Maria gagal memberikan impak atau kekal lama bersama kelab. Mungkin satu-satunya pemain berdarah Amerika Latin yang sukses dalam kariernya di Old Trafford ialah Antonio Valencia.

Tenggelamnya Sanchez bukan sahaja bakal meletakkan beliau dalam `senarai pembelian yang gagal’, tetapi turut menambahkan lagi senarai pemain-pemain dari Benua Latin yang gagal menyinar di Theatre of Dreams. Adakah gemilang seorang pemain bernama Alexis Sanchez ini sudah pudar atau adakah Old Trafford memang bukan `pentas impian’ untuk mana-mana pemain dari Amerika Selatan memperagakan bakat mereka di hadapan para Stretford Enders? Glory Glory Manchester United – Azhar Johar

15 Februari 2019

15 FEBRUARI 2003: INSIDEN `BOOT TERBANG' YANG MENGAKHIRI KARIER BECKHAM DI OLD TRAFFORD




Eric Cantona akan sentiasa diingati kerana pengaruh yang dimainkan beliau sehingga Manchester United berjaya menamatkan kemarau 26 tahun kejuaraan liga mereka pada 1993. Aksi Roy Keane pula akan sentiasa tertanam kemas di benak fikiran kita menerusi semangat juang meluap-luapnya setiap kali mengetuai rakan-rakan sepasukan di atas padang.

Tetapi siapakah pemain United paling mempersonakan sepanjang pertengahan dekad 90an hingga awal era millennium? Jawapannya ialah Encik David Beckham. Berbekalkan wajah tampan, kelincahannya di atas padang, hantaran-hantaran silang mematikan serta ketepatan sepakan-sepakan percumanya, Beckham adalah fenomena baharu di Old Trafford selepas persaraan Cantona.

Bakat Beckham dicungkil dari Akademi United, diberikan peluang tampil bersama skuad utama ketika revolusi besar-besaran yang dilakukan Sir Alex Ferguson ke atas skuadnya pada musim 1995-96 dan akhirnya muncul bintang besar di Old Trafford selepas itu. Beckham tidak dianugerahi dengan skill kawalan bola memukau seperti Ronaldinho atau Diego Maradona tetapi kerja kerasnya di atas padang adalah aset utama permainan beliau.

Selaku individu yang bertanggungjawab menghidu potensi beliau dan memberikan beliau peluang beraksi bersama skuad utama, sudah tentu Fergie sosok paling dihormati Beckham. Dikaca mata Fergie pula, Beckham adalah cermin terbaik buat pemain-pemain muda untuk dijadikan contoh, memiliki stamina luar biasa manakala kerja kerasnya diatas padang sangat dikagumi Fergie.

Meskipun begitu, populariti menggunung Beckham akhirnya mempengaruhi gaya hidup beliau selaku pemain bolasepak. Percintaannya dengan anggota Spice Girls (Posh Spice) menjadikan Beckham sentiasa diburu lensa kamera manakala cerita-cerita luar padangnya sering menjadi tajuk utama akhbar. Hal ini akhirnya melemaskan Fergie, seorang pengendali yang sangat terkenal kerana meletakkan komitmen karier di tempat tertinggi.

Umpama gunung berapi yang menanti masa untuk meletus, kemarahan Fergie terhadap Beckham akhirnya meledak di bilik persalinan pada tanggal 15 Februari 2003. Ya...insiden `boot terbang’ selepas tamat aksi menentang Arsenal dalam saingan Piala FA itu kemudiannya merenggangkan hubungan Fergie dan Beckham selama bertahun-tahun.

Saat perseteruan antara United dan Arsenal begitu membara, manakala kekalahan kepada seteru utama mereka itu turut meranapkan harapan Fergie untuk cuba memenangi kesemua kejuaraan domestik musim tersebut, tanda-tanda letusan kemarahan Fergie sudah boleh dijangka sebaik Jack Winter meniup wisel penamat aksi yang dilangsungkan di Old Trafford itu.

Gol jaringan Edu dan Sylvain Wiltord sudah cukup membuatkan muka Fergie merah padam, manakala prestasi keseluruhan Beckham dalam perlawanan itu menambahkan lagi api kemarahan beliau. Sebaik tamat perlawanan, pemain-pemain sudah mempersiapkan mental mereka bagi berdepan `hair dryer treatment’ Fergie, tetapi Beckham pastinya tidak menjangkan bahawa situasi lebih buruk bakal menantinya.

Menurut Fergie, gol kedua Arsenal berpunca dari kegagalan Beckham menyekat pergerakan Wiltord. “David kerap naik keatas untuk menyerang hingga terlupa untuk turun kebawah ketika bertahan. Dia hanya berlari-lari santai dan tidak mengejar Wiltord yang berada di depannya”, imbas Fergie dalam autobiografi beliau.

Beckham bagaimanapun membalas kritikan Fergie dengan mengatakan bahawa bukan menjadi tanggungjawab beliau untuk melakukan kerja-kerja bertahan hingga menyebabkan perang mulut meletus. Kemarahan Fergie mencapai kemuncaknya, dan longgokan `boot’ pemain di atas lantai dijadikan sasaran beliau.

Longgokan `boot’ berterbangan akibat dari tendangan Fergie dan salah satunya tepat mengenai kening Beckham hingga berdarah. Berang dengan tindakan Fergie, Beckham cuba bertindakbalas tapi sempat dihalang oleh rakan-rakan sepasukan. Seperti dijangka, keesokkan harinya, imej Beckham dengan kening bertampal menghiasi dada-dada akhbar.

Fergie jelas kecewa kerana insiden `boot terbang’ itu berjaya dikesan oleh pihak media. Beliau kemudiannya bersemuka dengan pihak pengurusan kelab dan mengatakan bahawa Beckham harus meninggalkan Old Trafford penghujung musim nanti. Meskipun dirinya terpalit dengan konfrontasi bersama Fergie, Beckham menunjukkan sikap profesionalisme tinggi untuk kelab ketika kariernya di Old Trafford menuju ke penghujung jalan.

Dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Juventus, Beckham muncul inspirasi di sebalik kemenangan United keatas wakil Itali itu menerusi dua `assist’ yang disumbangkannya. Pada aksi terakhirnya bersama United pula, Beckham menjaringkan satu gol indah menerusi sepakan percuma ke gawang Everton di Goodison Park.

Aksi di Goodison Park pada 11 Mei 2003 itu merupakan aksi terakhir Beckham bersama United dan gol jaringan beliau yang menewaskan Richard Wright itu merupakan gol terakhirnya dalam jersi merah United. Pada musim panas 2003, United mengesahkan khabar-khabar angin yang bertiup kencang sebelum ini tentang masa depan Beckham selepas kelab menerima tawaran Real Madrid untuk mendapatkan khidmat bintang sensasi nombor 7 mereka itu.

Dan selepas itu juga Beckham tidak lagi kembali ke Old Trafford sebagai pemain United seperti yang diimpikan oleh penyokong-penyokong. Madrid, Milan, Los Angeles dan Paris ialah destinasi Beckham selepas itu tetapi jika ditanya kelab manakah yang sentiasa berada di hatinya, tanpa ragu beliau akan menyebut “Manchester United”. Jadi tidak hairanlah juga mengapa Beckham masih dicintai penyokong-penyokong United hingga kini...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

13 Februari 2019

PELAJARAN BERGUNA BUAT SOLSKJAER DAN TUGAS BERAT MENANTINYA 7 MAC NANTI




Mereka datang ke Old Trafford tanpa Neymar dan Edinson Cavani tetapi hal tersebut tetap tidak membuatkan kualiti Paris St Germain berkurangan. Meskipun pada mulanya barisan pertahanan Manchester United diramal berdepan tugas mudah berikutan tersisihnya Neymar dan Cavani namun perkara sebaliknya berlaku apabila pelawat selesa membawa pulang bekalan dua gol ke Paris menjelang aksi kedua nanti.

Babak pertama berlangsung dengan agak `ketat’ hingga memaksa pengadil perlawanan melayangkan lima kad kuning kepada Ashley Young, Paul Pogba (United), Presnel Kimpembe, Juan Bernat dan Julian Draxler (PSG). PSG mencipta dua peluang terbaik mereka di babak pertama menerusi Angel Di Maria namun percubaan bintang Argentina itu tersasar manakala Kylian Mbappe pula gagal menyempurnakan peluang dalam situasi satu lawan satu.

United sempat menguji Gianluigi Buffon di gawang pelawat namun percubaan Marcus Rashford dari sudut sempit berjaya ditepis keluar lagenda Itali itu. Ketika barisan hadapan United bergelut dalam usaha mereka memecah benteng pertahanan pelawat yang diketuai Thiago Silva, kecederaan yang dialami Jesse Lingard dan Anthony Martial di penghujung babak pertama menyukarkan lagi misi mereka dalam perlawanan ini.

United akhirnya dihukum hanya lapan minit selepas babak kedua dilangsungkan apabila Kimpembe mudah menolak masuk bola hantaran dari sepakan sudut Angel Di Maria. Tujuh minit selepas itu giliran Mbappe pula menewaskan David De Gea selepas bintang muda itu mudah memanfaatkan hantaran Di Maria dari sebelah kiri. Selepas gol kedua tersebut, pelawat lebih tenang mengawal permainan manakala United pula masih gagal memberikan ancaman serius kepada Buffon dipintu gol mereka.

United Gagal Berikan Ancaman Kepada Buffon

Inilah antara hakikat yang perlu diakui sepanjang aksi 90 minit perlawanan. Boleh dikatakan barisan hadapan United gagal mengerah Buffon beraksi di tahap terbaiknya apabila setiap gerakan-gerakan yang dilakukan mereka mudah dibaca dan berjaya dipatahkan pertahanan pelawat. Sudah tentu saya memilih Marquinhos sebagai pemain paling menyinar sepanjang perlawanan kerana berjaya melaksanakan tugasnya sebagai pemain tengah bertahan dengan sangat cemerlang.

Menyedari bahawa Solskjaer menggunakan kekuatan dan kemahiran Pogba ketika membina permainan United, Marquinhos ditugaskan Thomas Tuchel untuk membayangi Pogba hampir sepanjang perlawanan. Strategi Tuchel untuk melumpuhkan Pogba berhasil menerusi peranan yang dimainkan Marquinhos hinggakan tonggak United itu gagal beraksi seperti biasa. Ketika Pogba berjaya dineutralkan, United pula semakin hilang kreativiti ketika menyerang sebaik sahaja Martial dan Lingard tersisih dari persaingan akibat kecederaan.

Satu `Shot On Target’

Unted melepaskan 10 percubaan sepanjang 90 minit perlawanan, namun dari jumlah tersebut hanya satu tepat ke sasaran. Satu-satunya percubaan tepat yang dilakukan United kearah pintu gol PSG ialah menerusi rembatan Marcus Rashford di babak pertama. Catatan ini merupakan catatan terburuk yang dilakukan United dalam aksi Liga Juara-Juara di Old Trafford sejak Februari 2005.

Pada musim 2004-05, situasi sama berlaku ketika United berdepan AC Milan, juga dalam saingan pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Juara-Juara. Aksi yang dilangsungkan di Old Trafford itu menyaksikan Nani muncul satu-satunya pemain United yang melakukan percubaan tepat kearah pintu gol Milan yang dikawal Dida. United tewas perlawanan tersebut menerusi jaringan tunggal perlawanan yang dihasilkan Hernan Crespo diminit ke-79.

Sanchez Yang Mengecewakan

Kedatangan Solskjaer ke Old Trafford Disember tahun lalu bukan sahaja memberikan impak kepada prestasi pasukan malah beberapa pemain seperti Paul Pogba, Anthony Martial, Marcus Rashford dan Victor Lindelof turut merasai kesan positif kehadiran lagenda itu. Malangnya hal sama tidak dinikmati Alexis Sanchez, pembelian sensasi yang dilakukan Jose Mourinho Januari tahun lalu.

Meskipun kehadiran Sanchez pada awalnya digembar-gemburkan bakal menjadikan barisan hadapan United lebih digeruni, beliau sebaliknya tenggelam meskipun muncul pemain yang menerima gaji paling lumayan di Old Trafford. Kedatangan Solskjaer tidak mampu mengubah nasib Sanchez, malah kelibat bintang Chile itu juga semakin hilang dari radar rencana taktikal beliau.

Selepas tampil selama 20 minit di Craven Cottage Sabtu lalu sebagai pemain gantian, Sanchez sekali lagi memulakan aksi di bangku simpanan awal pagi tadi. Kehadiran beliau di atas padang di penghujung babak pertama gagal memberikan impak kepada corak serangan United malah lebih malang hantaran-hantaran yang dilakukannya mudah dibaca serta dipatahkan lawan.

Sejak menyertai United lebih setahun lalu, Sanchez hanya mampu menjaringkan lima gol dan apabila menyentuh isu prestasi bekas bintang Arsenal dan Barcelona itu, Solskjaer berkata, “Berkaitan soal Sanchez, saya tidak mampu melakukan apa-apa. Ketika di atas padang dia perlu mencari semula potensi sebenarnya kerana kami tahu ada pemain berkualiti di sana”.

Hilang Dominasi Di Bahagian Tengah

Kekalahan ini menandakan bahawa `bulan madu’ Solskjaer di Old Trafford juga sudah berakhir. Bermain di gelanggang sendiri tetapi hanya mampu melepaskan satu percubaan tepat adalah gambaran sebenar bagaimana PSG mendominasi persaingan di bahagian tengah. Hampir sepanjang perlawanan, PSG lebih dominan dalam setiap perebutan bola di kawasan tengah padang tatkala barisan tengah United gagal bergerak sepertimana biasa.

Dalam saingan peringkat tinggi seperti Liga Juara-Juara, penting untuk sesebuah pasukan menguasai bahagian tengah, tetapi awal pagi tadi Ander Herrera, Paul Pogba dan Nemanja Matic gagal mengimbangi lima `midfielder’ lawan dalam duel-duel di kawasan tengah padang. Kunci perlawanan berjaya direbut pelawat hinggakan United kelihatan seperti sebuah pasukan yang tidak berada dalam kelas sama berbanding lawan mereka itu.

Berdasarkan statistik perlawanan yang dikeluarkan ESPN, PSG menguasai 56% penguasaan bola selain berjaya mencipta 17 peluang jaringan gol sepanjang 90 minit tempoh perlawanan (berbanding United yang mencipta 11 peluang jaringan gol). Statistik ini jelas menunjukkan bahawa PSG barisan yang lebih unggul dalam aspek penguasaan di bahagian tengah, jadi satu tugas sukar buat Solskjaer untuk aksi kedua nanti tambahan pula United bakal beraksi tanpa Pogba.

Masih Adakah Peluang?

Ketinggalan dengan defisit dua gol dan kemudiannya terpaksa beraksi di gelanggang lawan pula pada aksi kedua nanti, ramai pihak mengatakan bahawa United sudah boleh melupakan misi mereka dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini. Jika berhajat mara ke suku akhir, United perlu bermain 200% lebih baik di Parc des Princes berbanding aksi pertama mereka di gelanggang sendiri.

Lebih daripada itu United juga perlu mengubah sejarah yang membabitkan persaingan di peringkat kalah mati di Liga Juara-Juara. Untuk rekod, dari 34 pasukan yang tewas di gelanggang sendiri pada aksi pertama pusingan kalah mati, tiada satu pun pasukan yang mampu mara ke pusingan berikutnya. Statistik tersebut menunjukkan betapa beratnya tugas United untuk melakukan kebangkitan di Parc des Princes 7 Mac nanti.

United masih perlu mengharungi 90 minit tempoh permainan di Parc des Princes dan selagi wisel penamat aksi kedua belum ditiupkan, kita masih mampu berharap agar keajaiban bakal berlaku. Sejak kekalahan kepada Real Madrid di peringkat sama pada saingan musim 2017-18, tiada satupun pasukan selepas itu yang mampu menewaskan PSG di Parc des Princes. Tetapi itu tidak bermakna bahawa peluang United sudah tertutup rapat.

7 Mac nanti, United perlu pergi ke sana, bermain seperti biasa dan cuba menampilkan aksi jauh lebih baik berbanding apa yang mereka pamerkan di Old Trafford. Kekalahan ini merupakan kenyataan pahit untuk ditelan, tetapi dunia belum kiamat dan United masih punya peluang untuk cuba memadam kelebihan dimiliki lawan. Gunung ada untuk didaki, masalah ada untuk disesesaikan dan musuh pula ada untuk dikalahkan. Semoga 7 Mac nanti ada keajaiban besar berlaku di Parc des Princes...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

11 Februari 2019

PSG...UJIAN SEBENAR KEMAMPUAN SOLSKJAER?




“Tiada harapan”...itulah perkataan pertama yang tergambar di fikiran saya sebaik sahaja Manchester United diundi berdepan Paris St Germain dalam pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Juara-Juara. Dengan situasi dalam pasukan yang tidak menentu, pemain-pemain hilang motivasi hingga menjejaskan prestasi keseluruhan pasukan serta corak permainan membosankan yang diterapkan Jose Mourinho, peluang United ketika itu untuk menyingkirkan PSG adalah hampir mustahil.

Bagaimanapun itu cerita dua bulan lalu kerana kini situasi sudah berubah 360º. Saya masih mengakui bahawa PSG antara skuad terbaik di Eropah menerusi kualiti yang dimiliki barisan pemain-pemainnya, jadi tidak hairanlah mengapa Romelu Lukaku melabelkan mereka sebagai barisan pilihan berbanding United. Akan tetapi pasca pemecatan Mourinho, United juga sudah mengalami perubahan drastik dalam tempoh dua bulan terakhir bukan sahaja tentang prestasi mereka di atas padang tetapi juga `mood’ pemain-pemainnya.

Ya....sejak ditangani Ole Gunnar Solskjaer, United sudah berubah dari barisan yang `lesu’ kepada barisan yang digeruni. Sejak ditangani Solskjaer juga United sudah mengharungi 11 perlawanan (dalam semua kejohanan) tanpa kalah, dan tambah menarik mereka kini melonjak dari tangga keenam liga ke kedudukan keempat. Jika dilihat prestasi United dua bulan lalu, saya tidak percaya yang mereka mampu berada di kedudukan empat teratas, apatah lagi menyingkirkan skuad serba lengkap seperti PSG di pentas Eropah.

Selepas melihat segala `keajaiban’ yang berlaku dalam tempoh dua bulan terakhir, tidak salah kiranya anda mula bersikap optimis tentang peluang United mara lebih jauh dalam kempen Eropah mereka musim ini. Saya meletakkan PSG sebagai pasukan pilihan tetapi dalam masa yang sama tidak mustahil untuk United menyingkirkan mereka dan mara ke peringkat suku akhir berdasarkan prestasi terkini serta `mood’ pemain-pemain sejak ketibaan Solskjaer di Old Trafford 21 Disember lalu.

Tiru Cara Lyon

4 Februari lalu, Olympique Lyon memberikan kekalahan pertama kepada PSG di Ligue 1 musim ini. Meskipun sempat ketinggalan menerusi jaringan Angel Di Maria seawal minit ke-7, Lyon kemudiannya bangkit menerusi dua gol jaringan Moussa Dembele dan Nabil Fekir untuk memberikan tiga mata berharga kepada tuan rumah.

Sudah tentu, Solskjaer yang berada di Stadium Groupama menyaksikan perlawanan tersebut  boleh belajar sesuatu hasil dari kemenangan Lyon itu. Sepanjang perlawanan Memphis Depay, Nabil Fekir dan Bertrand Traore mendedahkan kepada Solskjaer bahawa kubu pertahanan PSG yang diterajui Thiago Silva dan Presnel Kimpembe tidaklah sekebal mana.

Di Stadium Groupama, Silva dan Kimpembe berdepan isu kepantasan dalam usaha mereka mengekang asakan trio Lyon itu, jadi saya berharap Solskjaer boleh menggunakan aset kepantasan dan teknik yang ada pada Jesse Lingard, Anthony Martial dan Marcus Rashford dalam misi menembusi benteng pertahanan lawan.

Dalam perlawanan itu PSG menguasai penguasaan bola sepanjang perlawanan menerusi pendekatan hantaran-hantaran pendek yang dilakukan mereka, tetapi skema permainan Lyon menyebabkan Edinson Cavani dan Kylian Mbappe berjaya dineutralkan. Tanguy Ndombele dan Houssem Aouar pula melaksanakan tugas bertahan dengan cukup cemerlang terutamanya ketika mereka merantai pergerakan Cavani dan Mbappe.

Asas Permainan United

Asas permainan United di bawah kendalian Solskjaer sebenarnya sangat mudah dan ringkas. Untuk memenangi perlawanan bola perlu dibawa ke hadapan, itulah situasi yang dapat anda lihat dalam perlawanan-perlawanan United terutamanya sepanjang tempoh dua bulan terakhir. Berbanding Jose Mourinho yang lebih konservatif, corak permainan United kini lebih `ringkas’ tetapi menghiburkan menerusi pendekatan Solskjaer yang memberikan kebebasan kepada pemain-pemainnya ketika beraksi.

Pemain-pemain kini tidak lagi takut melakukan kesilapan atau bimbang `dihentam’ dalam sesi wawancara pengurus selepas tamat perlawanan. Selepas menghabiskan tempoh lebih satu dekad kariernya sebagai pemain di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson, Solskjaer sudah tentu sangat faham bagaimana United sepatutnya bermain. Itulah yang dilakukan Solskjaer sepanjang tempoh dua bulan sejak kehadirannya di Old Trafford iaitu mengamalkan pendekatan bolasepak menyerang.

Hal Yang Perlu Diawasi Tuchel

Ketika United bertandang ke Wembley 14 Januari lalu, ramai pihak berpendapat bahawa rekod tanpa kalah Solskjaer pasti akan berakhir. Tottenham Hotspurs dianggap skuad yang lebih baik dan konsisten tetapi United akhirnya pulang ke Old Trafford dengan tiga mata penuh. Begitu juga yang berlaku ketika mereka berdepan Arsenal di Stadium Emirates 12 hari selepas itu dalam saingan Piala FA.

Ketika ramai pihak menjangkakan bahawa sukar untuk United mengulangi pencapaian di Wembley, hal sebaliknya berlaku di Stadium Emirates. Arsenal ketika itu masih segar dengan kemenangan (2-0) mereka ke atas Chelsea tetapi Unai Emery nampaknya tiada jawapan dalam menangani taktik serang balas United. Petr Cech dibolosi sebanyak tiga kali tetapi apa yang menariknya ialah melihat bagaimana gol kedua dan ketiga United dihasilkan, iaitu menerusi taktik serang balas pantas.

Spurs dan Arsenal adalah contoh terbaik bagaimana United menghukum lawan dengan cara klasik mereka. Ketika lawan leka menyusun serangan, mereka akhirnya dihukum hanya menerusi dua atau tiga sentuhan yang berakhir dengan jaringan gol. Serang balas adalah kunci kekuatan United sejak sekian lama, manakala Solskjaer pula memiliki pemain-pemain seperti Marcus Rashford, Alexis Sanchez, Anthony Martial dan Jesse Lingard yang memiliki kepantasan untuk melaksanakan taktik tersebut.

Ujian Sebenar Buat Solskjaer

Sama ada Neymar dan Edinson Cavani ada ataupun tidak dalam senarai skuad yang akan dibawa Thomas Tuchel ke Old Trafford nanti, jagoan Ligue 1 itu tetap skuad yang dilimpahi kualiti dan perlu dihormati. Jika mereka turun tanpa Neymar dan Cavani, pasti akan ada perubahan taktikal serta formasi yang yang bakal digunakan Tuchel nanti.

Sangat menarik untuk menyaksikan pertembungan di bahagian tengah membabitkan Paul Pogba, Nemanja Matic, Ander Herrera, Marquinhos, Marco Verratti dan Julian Draxler. Begitu juga halnya membabitkan Marcus Rashford dan Kylian Mbappe, dua bintang muda dalam pembikinan yang bakal menggalas tugas selaku penggempur utama untuk kedua-dua pasukan.

Awal pagi Rabu ini, PSG hadir untuk memberikan cabaran seterusnya buat Solskjaer dan skuad bimbingannya. Jika dua bulan lalu tidak banyak harapan yang mampu diletakkan untuk United mara ke peringkat seterusnya, kini situasi adalah sebaliknya. Di pentas domestik, Solskjaer berjaya membangkitkan kembali naluri pemusnah United tetapi Liga Juara-Juara pastinya menghidangkan cabaran berbeza buat beliau.

Menyingkirkan jagoan kota Paris itu yang sudah mendominasi bolasepak Perancis menerusi lima kejuaraan liga dalam tempoh enam tahun terakhir adalah cara terbaik untuk Solskjaer membuktikan kemampuannya serta menutup mulut mereka-mereka yang masih meragui kemampuannya. Meskipun bukan mudah, tetapi bukan mustahil juga untuk Solskjaer memenangi adu taktik beliau dengan Tuchel di atas padang nanti...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

10 Februari 2019

TIGA MATA, TANGGA KEEMPAT DAN CABARAN DI PENTAS EROPAH




Selepas berjuang sekian lama, Manchester United akhirnya berjaya merebut posisi empat teratas hasil kemenangan 3-0 yang diraih mereka ke atas Fulham di Craven Cottage semalam. Bermula dari kedudukan keenam liga selepas Ole Gunnar Solskjaer mengambilalih posisi Jose Mourinho, United memintas Arsenal untuk posisi tangga kelima 3 Februari lalu dan semalam mereka memintas Chelsea pula untuk kedudukan tangga keempat.

Siapa sangka dua bulan lalu United berada 11 mata di belakang Chelsea, tetapi kini mereka berjaya menolak skuad bimbingan Maurizio Sarri itu ke tangga kelima dengan kelebihan satu mata. Bagaimanapun Chelsea masih memiliki kelebihan satu perlawanan dan sejauh mana United berjaya mempertahankan posisi keempat liga ini bergantung kepada keputusan pertemuan Manchester City dan Chelsea di Stadium Etihad tengah malam nanti.

Penggiliran Pemain

Menyedari ada perlawanan lebih besar yang perlu dihadapi United selepas ini (menentang Paris St Germain), Solskjaer melakukan rombakan di benteng pertahanan dan barisan depan skuadnya. Di Craven Cottage, Solskjaer menurunkan duet Chris Smalling dan Phil Jones selaku teraju di bahagian tengah benteng pertahanannya manakala Diogo Dalot menggantikan Ashley Young selaku bek kanan.

Di bahagian hadapan pula, tidak sepertimana perlawanan-perlawanan sebelum ini, Solskjaer menggunakan Romelu Lukaku selaku penggempur utama manakala Anthony Martial dan Juan Mata pula bergerak di sebelah kiri dan kanan dalam formasi 4-3-3. Berbanding benteng pertahanan dan hadapan, Solskjaer nampaknya masih memilih trio Nemanja Matic, Paul Pogba dan Ander Herrera bagi mengisi posisi di bahagian tengah.

Catatan Pogba

Dua gol yang dijaringkan Pogba ke gawang Fulham semalam menyaksikan beliau sudah menjaringkan 11 gol dalam saingan liga setakat ini. Jumlah 11 gol yang dijaringkan beliau itu juga menyaksikan Pogba berjaya melepasi angka jaringan dua digit buat pertama kali sepanjang karier profesionalnya.

Untuk rekod jumlah jaringan terbanyak yang dihasilkan Pogba dalam saingan liga berlaku di Serie A pada musim 2014-15 dan 2015-16. Pada musim ketiganya bersama Juventus (2014-15), Pogba menjaringkan lapan gol dan catatan sama diulangi beliau pada musim berikutnya.

Secara keseluruhan Pogba sudah menjaringkan 13 gol untuk United dalam semua kejohanan setakat ini. Dua lagi gol yang dijaringkan beliau ialah pada saingan Liga Juara-Juara. Sudah tentu kebebasan yang diberikan Solskjaer untuk beliau lebih  kerap bermain di petak penalti lawan antara faktor mengapa Pogba mampu melepasi angka jaringan peribadi terbaiknya (dalam saingan liga) sebelum ini.

Gol Solo Martial

Tidak dapat dinafikan antara pemain United yang menikmati impak positif sejak kehadiran Solskjaer di Old Trafford ialah Anthony Martial. Semalam Martial sekali lagi membuktikan potensi besarnya sebagai antara tonggak masa hadapan United menerusi gol solo yang dijaringkannya diminit ke-23.

Setakat ini Martial sudah menyumbangkan sembilan gol untuk United dalam saingan liga musim ini, tetapi apa yang menariknya ialah melihat bagaimana gol ke gawang Sergio Rico itu dihasilkan. Gol menerusi larian solo seperti itu bukan sahaja perlukan skill, tetapi juga keseimbangan, kekuatan dan kepantasan.

Gol menerusi larian-larian seperti itu adalah `trademark’ Martial kerana beliau bukan sahaja memiliki teknik yang bagus tetapi juga kepantasan ketika melakukan larian. Sudah tentu gol kedua United di Craven Cottage semalam turut mengingatkan saya kepada jaringan yang dihasilkan Martial ke gawang Liverpool pada 12 September 2015, iaitu ketika beliau melakukan penampilan pertamanya untuk United.

Solskjaer Masih Lagi `Unbeaten

Sembilan perlawanan liga sudah diharungi United di bawah kendalian Solskjaer dan sehingga kini mereka masih kekal dengan rekod tanpa kalah. Hanya Burnley satu-satunya pasukan yang berjaya mencalar rekod bersih Solskjaer selepas mereka berjaya mencuri satu mata dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford 30 Januari lalu.

Anda akan dilabel sebagai gila jika dua bulan sebelumnya anda mengatakan bahawa United akan menamatkan saingan musim ini di posisi empat teratas. Bagaimanapun segalanya berubah selepas kedatangan Solskjaer kerana sejak kekalahan mengaibkan di Anfield, United kemudiannya mengutip 25 mata dari sembilan perlawanan terakhir mereka.

Satu keajaiban juga untuk melihat bagaimana sekelompok pemain yang pada mulanya seperti hilang arah, tidak bernafsu dan tiada motivasi kini muncul kepada barisan yang digeruni. Apa yang sudah dilakukan Solskjaer? Jawapannya mudah. Tugas Solskjaer sejak 21 Disember lalu bukan sahaja menggantikan posisi Mourinho tetapi yang lebih utama ialah mengembalikan kegembiraan kepada pemain-pemainnya.

United di bawah kendalian Solskjaer bukan sahaja berubah dari segi corak permainan mereka tetapi juga mood pemain ketika mereka beraksi di atas padang. Ketika ditemubual Four Four Two, Solskjaer berkata, “Ini bukan tentang soal bagaimana saya mahu mempertahankan jawatan saya. Manchester United adalah tempat impian semua orang. Tugas saya setidaknya hingga akhir musim ialah mengembalikan mood pemain”.

Waktu Terbaik Hadapi PSG

United sedang menjalani `trend’ positif mereka di bawah kendalian Solskjaer menerusi sembilan perlawanan liga tanpa kalah. Sudah tentu kemenangan di Craven Cottage semalam selain posisi tangga keempat liga sebagai ganjaran bakal memberikan suntikan motivasi tambahan kepada barisan `The Red Devils’ ketika berdepan Paris St Germain, Rabu ini.

Dua jagoan Liga Perdana (Tottenham Hotspurs dan Arsenal) berjaya ditangani Solskjaer, dan awal pagi Rabu nanti Thomas Tuchel bersama barisan bintangnya pula hadir untuk memberikan ujian lebih getir buat United. Usah dibuai keyakinan dengan cerita kecederaan Neymar dan Edinson Cavani kerana gergasi Ligue 1 itu masih memiliki kualiti dalam barisan mereka menerusi kehadiran Kylian Mbappe, Angel Di Maria, Julian Drexler, Adrien Rabiot dan Gianluigi Buffon.

Rahsia di sebalik kebangkitan semula United dalam tempoh dua bulan terakhir bukan hanya berkisar tentang taktikal yang digunakan Solskjaer tetapi juga bagaimana beliau berjaya mengembalikan semula senyuman di wajah pemain-pemainnya. Berbanding 11 aksi domestik sebelum ini, PSG pula bakal menawarkan cabaran berbeza. Selepas tamat aksi di Old Trafford awal pagi Rabu nanti adakah senyuman akan terus terukir di wajah barisan `The Red Devils’? Glory Glory Manchester United!!! –Azhar Johar