18 Februari 2019

ALEXIS SANCHEZ...ANTARA GEMILANG YANG KIAN PUDAR ATAU KORBAN SUMPAHAN



Lagenda England, Alan Shearer mengatakan bahawa satu-satunya pemain Manchester United yang gagal menyinar sejak ketibaan Ole Gunnar Solskjaer di Old Trafford ialah Alexis Sanchez. Sanchez tiba di Old Trafford Januari tahun lalu dan dianggap pembelian sensasi yang dilakukan Jose Mourinho dalam misi beliau menjadikan barisan hadapan United lebih tajam dan digeruni.

Reputasinya di Stadium Emirates menerusi 60 gol dari 122 penampilan liga sepanjang empat musim setengah beliau menyarung jersi Arsenal dan kelincahannya bergerak dari sisi kiri atau kanan ketika membelah pertahanan lawan, menjadikan Sanchez idaman penyokong-penyokong United untuk dibawa ke Old Trafford.

Impian penyokong-penyokong yang mahu melihat Sanchez menyarung jersi United akhirnya direalisasikan Mourinho. Sesuai dengan reputasi yang dimiliki beliau, video pengenalan bagi mempromosikan kehadiran Sanchez di Old Trafford juga dianggap antara video pengenalan pemain paling menarik dan kreatif pernah disaksikan oleh peminat-peminat bolasepak.

Gagal Penuhi Jangkaan

Di bawah kendalian Mourinho dan kini Solskjaer pula, prestasi Sanchez nampaknya masih lagi dibawah `standard’ sebenar beliau. Ketika prestasi pemain seperti Marcus Rashford, Anthony Martial, Victor Lindelof, Luke Shaw, Paul Pogba dan Ander Herrera melonjak sejak kedatangan Solskjaer, nasib Sanchez pula sebaliknya.

Saat pertama kali Sanchez diperkenalkan secara rasmi sebagai anggota `The Red Devils’, penyokong-penyokong United percaya bahawa kelab sudah menandatangani pemain yang tepat meskipun dalam masa mereka terpaksa melepaskan Henrikh Mkhitaryan sebagai pertukaran. Tidak cukup dengan itu, Sanchez juga diberikan penghormatan untuk menyarung jersi ikonik nombor 7 United.

Beliau tidak perlu menunggu lama untuk menawan hati kita menerusi ledakan ke gawang Huddersfield pada penampilan pertamanya di gelanggang sendiri. Ketika berdepan Tottenham Hotspurs dalam saingan separuh akhir Piala FA, Sanchez turut menyumbang satu gol, sekaligus membantu United mara ke perlawanan akhir.

Secara keseluruhan, Sanchez meledak tiga gol sepanjang setengah musim pertamanya sebagai pemain United (dua gol dalam saingan liga dan satu gol dalam saingan Piala FA). Jumlah tiga gol yang dijaringkan Sanchez itu memang tidak memadai jika diambilkira reputasi beliau, namun untuk berlaku adil peluang juga patut diberikan kepada Sanchez atas faktor beliau perlu beradaptasi dengan suasana dan gaya permainan bersama kelab baru.

Bagaimanapun selepas lebih setahun perpindahannya ke Old Trafford, Sanchez baru meledak lima gol dari 37 perlawanan, dan itu juga bermakna beliau cuma mampu menjaringkan dua gol musim ini. Sebagai perbandingan, Sanchez hanya memerlukan 11 perlawanan untuk menjaringkan jumlah gol yang sama pada musim terakhirnya di Stadium Emirates.

Apa Masalah Sanchez?

Apa masalah sebenar yang dihadapi Sanchez? Ole Gunnar Solskjaer sendiri tidak tahu apa lagi yang perlu beliau lakukan untuk meningkatkan kembali prestasi Sanchez. Mengingatkan bahawa beliau seorang pemain yang memiliki kepantasan serta skill individu menarik, Sanchez sepatutnya mampu beradaptasi dengan baik menerusi skema permainan United yang diterapkan Solskjaer.

United di bawah kendalian Solskjaer kerap menjadikan sisi sayap sebagai teras kekuatan ketika mereka melakukan serangan. Malangnya faktor tersebut gagal digunakan Sanchez untuk meletakkan beliau selaku antara pemain penting dalam skema permainan Solskjaer. Di sisi kiri, Solskjaer lebih gemar meletakkan Anthony Martial manakala pilihan beliau di sebelah kanan pula ialah Jesse Lingard.

Kesempatan Yang Terbuang

Masih ingatkah lagi anda dengan aksi sukar menentang Leicester City di Stadium King Power 3 Februari lalu? Dalam perlawanan itu Sanchez diturunkan Solskjaer dalam kesebelasan utama United. Aksi menentang Leicester itu juga merupakan kali ketiga Sanchez diletakkan Solskjaer sebagai starter. Apa yang berlaku sepanjang perlawanan atau lebih tepatnya sepanjang 67 minit aksi Sanchez di atas padang?

Berbanding tugasnya menghadirkan ancaman kepada benteng pertahanan Leicester, Sanchez sebaliknya kerap kehilangan bola hingga menyebabkan United terdedah kepada serang balas lawan. Menyedari bahawa tidak banyak impak mampu diberikan Sanchez dalam misi menekan benteng Leicester yang diketuai Harry Maguire dan Jonny Evans, beliau akhirnya digantikan Anthony Martial di separuh masa kedua.

Kutukan Nombor 7

Nombor 7 merupakan nombor paling ikonik dalam senarai susunan nombor jersi di Old Trafford. George Best, Bryan Robson, Eric Cantona, David Beckham dan Cristiano Ronaldo akan sentiasa dikenang sebagai penyarung jersi nombor 7 United paling berjaya. Tetapi terdapat juga sederet senarai pemain yang gagal memenuhi harapan dalam misi menyambung legasi gemilang nombor 7 selepas mereka diberikan tanggungjawab menyarung jersi tersebut.

Selepas pemergian Ronaldo, tiada pemain yang mampu tampil gemilang dengan jersi nombor 7 United itu. Michael Owen, Antonio Valencia, Angel Di Maria, Memphis Depay dan kini Alexis Sanchez pula menerima nasib buruk akibat `sumpahan’ jersi nombor 7 itu. Melihat kepada situasi terkini yang dialami Sanchez, tidak banyak usaha yang mampu dilakukan beliau untuk menyelamatkan kariernya di Old Trafford. Adakah Sanchez mangsa korban terbaru sumpahan jersi nombor 7 yang dulunya dianggap keramat?

Saranan Untuk Sanchez

Ketika prestasinya menyebabkan Solskjaer kebingungan tanpa jawapan dan ketika upah lumayan yang diterimanya diperdebatkan kerana tidak setanding dengan prestasi di atas padang, Sanchez sudah mula disebut-sebut sebagai antara pemain yang bakal diarahkan pergi meninggalkan Old Trafford musim panas nanti.

Kurang minit permainan kerana kegagalan beliau bersaing dengan Marcus Rashford, Jesse Lingard dan Anthony Martial menyebabkan Sanchez mula frustasi. Amat malang apabila memikirkan pemain dengan bakat hebat seperti Sanchez, pemain yang dahulunya pernah meledak 80 gol dan mencipta 65 `assist’ untuk Arsenal gagal memenuhi jangkaan sejak ketibaannya di Old Trafford.

Apa yang boleh dilakukan Sanchez untuk menyelamatkan kariernya? Mungkin saranan dari Marc Overmars yang juga merupakan lagenda Arsenal boleh dipertimbangkan oleh beliau. Menurut Overmars, kembali ke pangkuan Arsenal adalah langkah terbaik yang boleh dilakukan Sanchez untuk melonjakkan semula prestasinya.

Mungkin ada benarnya pendapat yang dilontarkan Overmars ini, kerana selepas pemergian Sanchez, Arsenal juga berdepan kesukaran mencari pemain yang memiliki gaya permainan seperti beliau. Jika kembali semula ke Stadium Emirates, saya percaya Sanchez boleh memainkan peranan penting dalam sistem permainan Unai Emery yang bukan sahaja mementingkan penguasaan bola tetapi juga intensif ketika melakukan tekanan kepada lawan.

Darah Latin Yang Gagal

Kegagalan Sanchez menyinar sejak perpindahannya ke Old Trafford mungkin turut dibantu faktor kecederaan panjang yang dialami beliau sebelum ini. Walau bagaimanapun dalam masa yang sama kita juga perlu melihat kembali ke belakang terutamanya membabitkan sejarah kehadiran pemain-pemain dari benua Amerika Latin ke Old Trafford.

Kleberson, Diego Forlan, Juan Sebastian Veron, kembar Fabio dan Rafael da Silva, Anderson, Fred, Gabriel Heinze, Carlos Tevez, Marcos Rojo serta Angel di Maria gagal memberikan impak atau kekal lama bersama kelab. Mungkin satu-satunya pemain berdarah Amerika Latin yang sukses dalam kariernya di Old Trafford ialah Antonio Valencia.

Tenggelamnya Sanchez bukan sahaja bakal meletakkan beliau dalam `senarai pembelian yang gagal’, tetapi turut menambahkan lagi senarai pemain-pemain dari Benua Latin yang gagal menyinar di Theatre of Dreams. Adakah gemilang seorang pemain bernama Alexis Sanchez ini sudah pudar atau adakah Old Trafford memang bukan `pentas impian’ untuk mana-mana pemain dari Amerika Selatan memperagakan bakat mereka di hadapan para Stretford Enders? Glory Glory Manchester United – Azhar Johar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan