11 Februari 2019

PSG...UJIAN SEBENAR KEMAMPUAN SOLSKJAER?




“Tiada harapan”...itulah perkataan pertama yang tergambar di fikiran saya sebaik sahaja Manchester United diundi berdepan Paris St Germain dalam pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Juara-Juara. Dengan situasi dalam pasukan yang tidak menentu, pemain-pemain hilang motivasi hingga menjejaskan prestasi keseluruhan pasukan serta corak permainan membosankan yang diterapkan Jose Mourinho, peluang United ketika itu untuk menyingkirkan PSG adalah hampir mustahil.

Bagaimanapun itu cerita dua bulan lalu kerana kini situasi sudah berubah 360º. Saya masih mengakui bahawa PSG antara skuad terbaik di Eropah menerusi kualiti yang dimiliki barisan pemain-pemainnya, jadi tidak hairanlah mengapa Romelu Lukaku melabelkan mereka sebagai barisan pilihan berbanding United. Akan tetapi pasca pemecatan Mourinho, United juga sudah mengalami perubahan drastik dalam tempoh dua bulan terakhir bukan sahaja tentang prestasi mereka di atas padang tetapi juga `mood’ pemain-pemainnya.

Ya....sejak ditangani Ole Gunnar Solskjaer, United sudah berubah dari barisan yang `lesu’ kepada barisan yang digeruni. Sejak ditangani Solskjaer juga United sudah mengharungi 11 perlawanan (dalam semua kejohanan) tanpa kalah, dan tambah menarik mereka kini melonjak dari tangga keenam liga ke kedudukan keempat. Jika dilihat prestasi United dua bulan lalu, saya tidak percaya yang mereka mampu berada di kedudukan empat teratas, apatah lagi menyingkirkan skuad serba lengkap seperti PSG di pentas Eropah.

Selepas melihat segala `keajaiban’ yang berlaku dalam tempoh dua bulan terakhir, tidak salah kiranya anda mula bersikap optimis tentang peluang United mara lebih jauh dalam kempen Eropah mereka musim ini. Saya meletakkan PSG sebagai pasukan pilihan tetapi dalam masa yang sama tidak mustahil untuk United menyingkirkan mereka dan mara ke peringkat suku akhir berdasarkan prestasi terkini serta `mood’ pemain-pemain sejak ketibaan Solskjaer di Old Trafford 21 Disember lalu.

Tiru Cara Lyon

4 Februari lalu, Olympique Lyon memberikan kekalahan pertama kepada PSG di Ligue 1 musim ini. Meskipun sempat ketinggalan menerusi jaringan Angel Di Maria seawal minit ke-7, Lyon kemudiannya bangkit menerusi dua gol jaringan Moussa Dembele dan Nabil Fekir untuk memberikan tiga mata berharga kepada tuan rumah.

Sudah tentu, Solskjaer yang berada di Stadium Groupama menyaksikan perlawanan tersebut  boleh belajar sesuatu hasil dari kemenangan Lyon itu. Sepanjang perlawanan Memphis Depay, Nabil Fekir dan Bertrand Traore mendedahkan kepada Solskjaer bahawa kubu pertahanan PSG yang diterajui Thiago Silva dan Presnel Kimpembe tidaklah sekebal mana.

Di Stadium Groupama, Silva dan Kimpembe berdepan isu kepantasan dalam usaha mereka mengekang asakan trio Lyon itu, jadi saya berharap Solskjaer boleh menggunakan aset kepantasan dan teknik yang ada pada Jesse Lingard, Anthony Martial dan Marcus Rashford dalam misi menembusi benteng pertahanan lawan.

Dalam perlawanan itu PSG menguasai penguasaan bola sepanjang perlawanan menerusi pendekatan hantaran-hantaran pendek yang dilakukan mereka, tetapi skema permainan Lyon menyebabkan Edinson Cavani dan Kylian Mbappe berjaya dineutralkan. Tanguy Ndombele dan Houssem Aouar pula melaksanakan tugas bertahan dengan cukup cemerlang terutamanya ketika mereka merantai pergerakan Cavani dan Mbappe.

Asas Permainan United

Asas permainan United di bawah kendalian Solskjaer sebenarnya sangat mudah dan ringkas. Untuk memenangi perlawanan bola perlu dibawa ke hadapan, itulah situasi yang dapat anda lihat dalam perlawanan-perlawanan United terutamanya sepanjang tempoh dua bulan terakhir. Berbanding Jose Mourinho yang lebih konservatif, corak permainan United kini lebih `ringkas’ tetapi menghiburkan menerusi pendekatan Solskjaer yang memberikan kebebasan kepada pemain-pemainnya ketika beraksi.

Pemain-pemain kini tidak lagi takut melakukan kesilapan atau bimbang `dihentam’ dalam sesi wawancara pengurus selepas tamat perlawanan. Selepas menghabiskan tempoh lebih satu dekad kariernya sebagai pemain di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson, Solskjaer sudah tentu sangat faham bagaimana United sepatutnya bermain. Itulah yang dilakukan Solskjaer sepanjang tempoh dua bulan sejak kehadirannya di Old Trafford iaitu mengamalkan pendekatan bolasepak menyerang.

Hal Yang Perlu Diawasi Tuchel

Ketika United bertandang ke Wembley 14 Januari lalu, ramai pihak berpendapat bahawa rekod tanpa kalah Solskjaer pasti akan berakhir. Tottenham Hotspurs dianggap skuad yang lebih baik dan konsisten tetapi United akhirnya pulang ke Old Trafford dengan tiga mata penuh. Begitu juga yang berlaku ketika mereka berdepan Arsenal di Stadium Emirates 12 hari selepas itu dalam saingan Piala FA.

Ketika ramai pihak menjangkakan bahawa sukar untuk United mengulangi pencapaian di Wembley, hal sebaliknya berlaku di Stadium Emirates. Arsenal ketika itu masih segar dengan kemenangan (2-0) mereka ke atas Chelsea tetapi Unai Emery nampaknya tiada jawapan dalam menangani taktik serang balas United. Petr Cech dibolosi sebanyak tiga kali tetapi apa yang menariknya ialah melihat bagaimana gol kedua dan ketiga United dihasilkan, iaitu menerusi taktik serang balas pantas.

Spurs dan Arsenal adalah contoh terbaik bagaimana United menghukum lawan dengan cara klasik mereka. Ketika lawan leka menyusun serangan, mereka akhirnya dihukum hanya menerusi dua atau tiga sentuhan yang berakhir dengan jaringan gol. Serang balas adalah kunci kekuatan United sejak sekian lama, manakala Solskjaer pula memiliki pemain-pemain seperti Marcus Rashford, Alexis Sanchez, Anthony Martial dan Jesse Lingard yang memiliki kepantasan untuk melaksanakan taktik tersebut.

Ujian Sebenar Buat Solskjaer

Sama ada Neymar dan Edinson Cavani ada ataupun tidak dalam senarai skuad yang akan dibawa Thomas Tuchel ke Old Trafford nanti, jagoan Ligue 1 itu tetap skuad yang dilimpahi kualiti dan perlu dihormati. Jika mereka turun tanpa Neymar dan Cavani, pasti akan ada perubahan taktikal serta formasi yang yang bakal digunakan Tuchel nanti.

Sangat menarik untuk menyaksikan pertembungan di bahagian tengah membabitkan Paul Pogba, Nemanja Matic, Ander Herrera, Marquinhos, Marco Verratti dan Julian Draxler. Begitu juga halnya membabitkan Marcus Rashford dan Kylian Mbappe, dua bintang muda dalam pembikinan yang bakal menggalas tugas selaku penggempur utama untuk kedua-dua pasukan.

Awal pagi Rabu ini, PSG hadir untuk memberikan cabaran seterusnya buat Solskjaer dan skuad bimbingannya. Jika dua bulan lalu tidak banyak harapan yang mampu diletakkan untuk United mara ke peringkat seterusnya, kini situasi adalah sebaliknya. Di pentas domestik, Solskjaer berjaya membangkitkan kembali naluri pemusnah United tetapi Liga Juara-Juara pastinya menghidangkan cabaran berbeza buat beliau.

Menyingkirkan jagoan kota Paris itu yang sudah mendominasi bolasepak Perancis menerusi lima kejuaraan liga dalam tempoh enam tahun terakhir adalah cara terbaik untuk Solskjaer membuktikan kemampuannya serta menutup mulut mereka-mereka yang masih meragui kemampuannya. Meskipun bukan mudah, tetapi bukan mustahil juga untuk Solskjaer memenangi adu taktik beliau dengan Tuchel di atas padang nanti...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan