13 Februari 2019

PELAJARAN BERGUNA BUAT SOLSKJAER DAN TUGAS BERAT MENANTINYA 7 MAC NANTI




Mereka datang ke Old Trafford tanpa Neymar dan Edinson Cavani tetapi hal tersebut tetap tidak membuatkan kualiti Paris St Germain berkurangan. Meskipun pada mulanya barisan pertahanan Manchester United diramal berdepan tugas mudah berikutan tersisihnya Neymar dan Cavani namun perkara sebaliknya berlaku apabila pelawat selesa membawa pulang bekalan dua gol ke Paris menjelang aksi kedua nanti.

Babak pertama berlangsung dengan agak `ketat’ hingga memaksa pengadil perlawanan melayangkan lima kad kuning kepada Ashley Young, Paul Pogba (United), Presnel Kimpembe, Juan Bernat dan Julian Draxler (PSG). PSG mencipta dua peluang terbaik mereka di babak pertama menerusi Angel Di Maria namun percubaan bintang Argentina itu tersasar manakala Kylian Mbappe pula gagal menyempurnakan peluang dalam situasi satu lawan satu.

United sempat menguji Gianluigi Buffon di gawang pelawat namun percubaan Marcus Rashford dari sudut sempit berjaya ditepis keluar lagenda Itali itu. Ketika barisan hadapan United bergelut dalam usaha mereka memecah benteng pertahanan pelawat yang diketuai Thiago Silva, kecederaan yang dialami Jesse Lingard dan Anthony Martial di penghujung babak pertama menyukarkan lagi misi mereka dalam perlawanan ini.

United akhirnya dihukum hanya lapan minit selepas babak kedua dilangsungkan apabila Kimpembe mudah menolak masuk bola hantaran dari sepakan sudut Angel Di Maria. Tujuh minit selepas itu giliran Mbappe pula menewaskan David De Gea selepas bintang muda itu mudah memanfaatkan hantaran Di Maria dari sebelah kiri. Selepas gol kedua tersebut, pelawat lebih tenang mengawal permainan manakala United pula masih gagal memberikan ancaman serius kepada Buffon dipintu gol mereka.

United Gagal Berikan Ancaman Kepada Buffon

Inilah antara hakikat yang perlu diakui sepanjang aksi 90 minit perlawanan. Boleh dikatakan barisan hadapan United gagal mengerah Buffon beraksi di tahap terbaiknya apabila setiap gerakan-gerakan yang dilakukan mereka mudah dibaca dan berjaya dipatahkan pertahanan pelawat. Sudah tentu saya memilih Marquinhos sebagai pemain paling menyinar sepanjang perlawanan kerana berjaya melaksanakan tugasnya sebagai pemain tengah bertahan dengan sangat cemerlang.

Menyedari bahawa Solskjaer menggunakan kekuatan dan kemahiran Pogba ketika membina permainan United, Marquinhos ditugaskan Thomas Tuchel untuk membayangi Pogba hampir sepanjang perlawanan. Strategi Tuchel untuk melumpuhkan Pogba berhasil menerusi peranan yang dimainkan Marquinhos hinggakan tonggak United itu gagal beraksi seperti biasa. Ketika Pogba berjaya dineutralkan, United pula semakin hilang kreativiti ketika menyerang sebaik sahaja Martial dan Lingard tersisih dari persaingan akibat kecederaan.

Satu `Shot On Target’

Unted melepaskan 10 percubaan sepanjang 90 minit perlawanan, namun dari jumlah tersebut hanya satu tepat ke sasaran. Satu-satunya percubaan tepat yang dilakukan United kearah pintu gol PSG ialah menerusi rembatan Marcus Rashford di babak pertama. Catatan ini merupakan catatan terburuk yang dilakukan United dalam aksi Liga Juara-Juara di Old Trafford sejak Februari 2005.

Pada musim 2004-05, situasi sama berlaku ketika United berdepan AC Milan, juga dalam saingan pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Juara-Juara. Aksi yang dilangsungkan di Old Trafford itu menyaksikan Nani muncul satu-satunya pemain United yang melakukan percubaan tepat kearah pintu gol Milan yang dikawal Dida. United tewas perlawanan tersebut menerusi jaringan tunggal perlawanan yang dihasilkan Hernan Crespo diminit ke-79.

Sanchez Yang Mengecewakan

Kedatangan Solskjaer ke Old Trafford Disember tahun lalu bukan sahaja memberikan impak kepada prestasi pasukan malah beberapa pemain seperti Paul Pogba, Anthony Martial, Marcus Rashford dan Victor Lindelof turut merasai kesan positif kehadiran lagenda itu. Malangnya hal sama tidak dinikmati Alexis Sanchez, pembelian sensasi yang dilakukan Jose Mourinho Januari tahun lalu.

Meskipun kehadiran Sanchez pada awalnya digembar-gemburkan bakal menjadikan barisan hadapan United lebih digeruni, beliau sebaliknya tenggelam meskipun muncul pemain yang menerima gaji paling lumayan di Old Trafford. Kedatangan Solskjaer tidak mampu mengubah nasib Sanchez, malah kelibat bintang Chile itu juga semakin hilang dari radar rencana taktikal beliau.

Selepas tampil selama 20 minit di Craven Cottage Sabtu lalu sebagai pemain gantian, Sanchez sekali lagi memulakan aksi di bangku simpanan awal pagi tadi. Kehadiran beliau di atas padang di penghujung babak pertama gagal memberikan impak kepada corak serangan United malah lebih malang hantaran-hantaran yang dilakukannya mudah dibaca serta dipatahkan lawan.

Sejak menyertai United lebih setahun lalu, Sanchez hanya mampu menjaringkan lima gol dan apabila menyentuh isu prestasi bekas bintang Arsenal dan Barcelona itu, Solskjaer berkata, “Berkaitan soal Sanchez, saya tidak mampu melakukan apa-apa. Ketika di atas padang dia perlu mencari semula potensi sebenarnya kerana kami tahu ada pemain berkualiti di sana”.

Hilang Dominasi Di Bahagian Tengah

Kekalahan ini menandakan bahawa `bulan madu’ Solskjaer di Old Trafford juga sudah berakhir. Bermain di gelanggang sendiri tetapi hanya mampu melepaskan satu percubaan tepat adalah gambaran sebenar bagaimana PSG mendominasi persaingan di bahagian tengah. Hampir sepanjang perlawanan, PSG lebih dominan dalam setiap perebutan bola di kawasan tengah padang tatkala barisan tengah United gagal bergerak sepertimana biasa.

Dalam saingan peringkat tinggi seperti Liga Juara-Juara, penting untuk sesebuah pasukan menguasai bahagian tengah, tetapi awal pagi tadi Ander Herrera, Paul Pogba dan Nemanja Matic gagal mengimbangi lima `midfielder’ lawan dalam duel-duel di kawasan tengah padang. Kunci perlawanan berjaya direbut pelawat hinggakan United kelihatan seperti sebuah pasukan yang tidak berada dalam kelas sama berbanding lawan mereka itu.

Berdasarkan statistik perlawanan yang dikeluarkan ESPN, PSG menguasai 56% penguasaan bola selain berjaya mencipta 17 peluang jaringan gol sepanjang 90 minit tempoh perlawanan (berbanding United yang mencipta 11 peluang jaringan gol). Statistik ini jelas menunjukkan bahawa PSG barisan yang lebih unggul dalam aspek penguasaan di bahagian tengah, jadi satu tugas sukar buat Solskjaer untuk aksi kedua nanti tambahan pula United bakal beraksi tanpa Pogba.

Masih Adakah Peluang?

Ketinggalan dengan defisit dua gol dan kemudiannya terpaksa beraksi di gelanggang lawan pula pada aksi kedua nanti, ramai pihak mengatakan bahawa United sudah boleh melupakan misi mereka dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini. Jika berhajat mara ke suku akhir, United perlu bermain 200% lebih baik di Parc des Princes berbanding aksi pertama mereka di gelanggang sendiri.

Lebih daripada itu United juga perlu mengubah sejarah yang membabitkan persaingan di peringkat kalah mati di Liga Juara-Juara. Untuk rekod, dari 34 pasukan yang tewas di gelanggang sendiri pada aksi pertama pusingan kalah mati, tiada satu pun pasukan yang mampu mara ke pusingan berikutnya. Statistik tersebut menunjukkan betapa beratnya tugas United untuk melakukan kebangkitan di Parc des Princes 7 Mac nanti.

United masih perlu mengharungi 90 minit tempoh permainan di Parc des Princes dan selagi wisel penamat aksi kedua belum ditiupkan, kita masih mampu berharap agar keajaiban bakal berlaku. Sejak kekalahan kepada Real Madrid di peringkat sama pada saingan musim 2017-18, tiada satupun pasukan selepas itu yang mampu menewaskan PSG di Parc des Princes. Tetapi itu tidak bermakna bahawa peluang United sudah tertutup rapat.

7 Mac nanti, United perlu pergi ke sana, bermain seperti biasa dan cuba menampilkan aksi jauh lebih baik berbanding apa yang mereka pamerkan di Old Trafford. Kekalahan ini merupakan kenyataan pahit untuk ditelan, tetapi dunia belum kiamat dan United masih punya peluang untuk cuba memadam kelebihan dimiliki lawan. Gunung ada untuk didaki, masalah ada untuk disesesaikan dan musuh pula ada untuk dikalahkan. Semoga 7 Mac nanti ada keajaiban besar berlaku di Parc des Princes...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan