11 Jun 2019

CONTOHI DAN BELAJARLAH DARI KEBANGKITAN LIVERPOOL



Sebagai penyokong Manchester United saya tidak akan pernah `menyukai’ Liverpool. Jadi terus terang saya katakan bahawa selepas melihat skuad The Reds itu menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali keenam, saya sangat-sangat kecewa. Secara peribadi, saya memang mengharapkan agar Tottenham Hotspurs keluar sebagai pemenang dalam aksi final yang dilangsungkan di Stadium Wanda Metropolitano itu, tetapi takdir sudah menentukan bahawa Liverpool adalah raja pentas Eropah musim ini.

Ketepikan tentang `kemandulan’ 29 tahun mereka dalam menjulang trofi Liga Perdana, kerana pada awal pagi 2 Jun lalu mereka melunaskannya dengan kejuaraan keenam trofi Liga Juara-Juara dalam sejarah kelab dari Merseyside itu. Kejayaan mereka menewaskan Spurs dalam aksi final itu bagaikan tamparan hebat ke muka saya, apatah lagi selepas melihat pencapaian United yang sekadar berada di posisi keenam liga sekaligus gagal beraksi di Liga Juara-Juara musim hadapan.

Sangat menyedihkan apabila kota Manchester kini sudah dikuasai oleh warna biru berikutan kejayaan Manchester City mempertahankan kejuaraan Liga Perdana buat musim kedua berturut-turut. Dan luka penyokong-penyokong United bertambah parah apabila mereka menyaksikan pula bagaimana Jordan Henderson menyamai pencapaian Emlyn Hughes, Phil Thompson, Graeme Souness dan Steven Gerrard selaku kapten The Reds yang pernah merasai nikmat menjulang trofi saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu.

United Yang Jauh Ketinggalan

Saya pasti tiada seorang pun di antara kita (penyokong-penyokong United) yang mahu melihat `rival abadi’ seperti Liverpool berada di hadapan kita dan melihat bagaimana girangnya Henderson menjulang trofi Liga Juara-Juara adalah satu kelukaan yang dahsyat. Sir Matt Busby sentiasa memiliki cara bagaimana beliau mahu mengatasi cabaran yang dilontarkan Bill Shankly dan skuad bimbingannya. Begitu juga bagaimana perkasanya Sir Alex Ferguson memacu barisan pemainnya ketika menidakkan `ngauman’ Gerard Houllier serta Rafa Benitez.

Namun ketika ini United seolah-olah sekadar melihat pesaing-pesaing yang lain seperti Liverpool mengorak langkah lebih jauh meninggalkan mereka. Jika Ole Gunnar Solskjaer berhasrat mahu menjadikan United sebagai pencabar yang jauh lebih serius berbanding musim lalu, beliau sepatutnya menjadikan apa yang dilakukan oleh Jurgen Klopp sepanjang empat musim beliau di Anfield sebagai model pelajaran terbaik. Atau lebih tepatnya, pencapaian Liverpool musim ini bukan sekadar patut dicemburui tetapi boleh dijadikan motivasi untuk Solskjaer mengemudi kebangkitan semula United.

Perlukan Kesabaran

Untuk melihat United kembali bangkit ke zaman kegemilangan mereka perlukan proses yang panjang serta kesabaran tinggi baik dari pihak pengurusan mahupun penyokong. Itulah yang berlaku di Anfield hinggakan musim ini Liverpool hampir sahaja menamatkan kemarau 29 tahun kejuaraan liga serta menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali keenam. Kuasa penyokong juga menyaksikan regim George Gillet dan Tom Hicks akhirnya berjaya diruntuhkan hingga memaksa mereka menjual semua kepentingan kepada Fenway Sports Group yang diketuai John W Henry.

Di tangan Henry, Liverpool secara perlahan-lahan mula bangkit dari lena yang panjang. Tidak seperti sebelumnya, mereka mula merekrut pemain yang difikirkan memiliki kemampuan untuk beradaptasi dengan plan taktikal pasukan. Dan paling penting mereka juga akhirnya berjaya memilih seorang individu yang tepat untuk diletakkan di kerusi panas selaku pengurus menerusi kehadiran Jurgen Klopp. Klopp secara perlahan-lahan mula mencetuskan impak kehadirannya di Anfield menerusi kejayaan mengemudi The Reds mara ke pentas akhir Liga Europa pada 2016 (mereka tewas 1-3 kepada Sevilla).

Pada tahun yang sama juga (2016), Liverpool mara ke pentas akhir Piala Liga namun hajat Klopp menjulang trofi pertamanya selaku pengurus Liverpool dinafikan Manchester City yang menang menerusi penentuan sepakan penalti. Pada musim 2017/18, Klopp sekali lagi berjaya mengemudi Liverpool mara ke pentas akhir, kali ini dalam saingan yang lebih tinggi iaitu Liga Juara-Juara. Kecederaan yang dialami Mohammad Salah diminit ke-31 selain kesilapan persis pemain amatur yang dilakukan Loris Karius di gawang mereka menyaksikan Liverpool sekali lagi kempunan selepas tewas 1-3 kepada Real Madrid.

Percaturan Tepat

Siapa sangka pemain seperti Sadio Mane, Mohammad Salah, Georginio Wijnaldum dan Roberto Firmino kini muncul antara tonggak penting di Anfield meskipun mereka direkrut dari kelab-kelab kelas pertengahan. Paling mencuri tumpuan ialah melihat bagaimana Klopp berjaya menggilap potensi Mo Salah hinggakan bintang antarabangsa Mesir itu muncul pemain yang jauh lebih bagus selepas beliau kembali semula ke kancah saingan Liga Perdana pada 2016.

Selepas Mane, Firmino, Wijnaldum dan Salah, Liverpool sekali lagi melakukan pembelian bijak menerusi pelaburan yang dilakukan mereka ke atas Virgil Van Dijk musim lalu. £75 juta yang dibelanjakan mereka demi mendapatkan tandatangan bekas pertahanan Southampton itu nyata berbaloi apabila Van Dijk memainkan peranan penting di benteng pertahanan The Reds hingga menyaksikan mereka muncul pasukan paling kurang dibolosi dalam saingan Liga Perdana musim lalu.

Jangan lupakan juga keberadaan Alisson Becker di gawang The Reds yang akhirnya melengkapkan `puzzle’ di sektor barisan belakang mereka. Sepanjang empat musim Klopp di Anfield, hanya sembilan pemain dari era Kenny Dalglish dan Brendan Rodgers yang masih kekal dalam pasukan. Bandingkan pula situasi Jose Mourinho pada musim terakhirnya di Old Trafford di mana beliau memiliki 13 pemain yang direkrut ketika era Sir Alex Ferguson, David Moyes dan Louis Van Gaal.

Visi Yang Hilang

Kejayaan Liverpool menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali keenam pastinya bakal menjadikan mereka lebih bernafsu dalam misi menamatkan kemarau 29 tahun kejuaraan liga di Anfield. Klopp sudah memiliki aset yang lengkap dalam skuadnya, bermula dari benteng pertahanan hinggalah ke barisan hadapan. Saya yakin musim hadapan mereka bakal lebih digeruni selaku pencabar kejuaraan Liga Perdana.

Di Old Trafford pula situasi sebaliknya terpaksa dihadapi Solskjaer bilamana beliau terpaksa bekerja keras membina semula United `yang sudah runtuh’. Dalam tempoh lima tahun terakhir, United seolah-olah sudah kehilangan visi dan falsafah mereka. Meskipun memiliki sokongan kewangan yang kuat, United tidak memiliki asas kukuh dalam skuad mereka sepertimana yang dimiliki Tottenham Hotspurs, Manchester City dan Liverpool.

Yang dimiliki Solskjaer cumalah pemain-pemain usang seperti Phil Jones, Chris Smalling dan Ashley Young peninggalan dari era Fergie manakala nama-nama seperti Paul Pogba, Marcus Rashford, Jesse Lingard, Romelu Lukaku, Fred dan Anthony Martial masih gagal menyerlah. Musim panas ini bakal menjadi tempoh yang sangat kritikal buat United kerana penyokong mahu melihat maneuver mereka dalam usaha mendapatkan pemain-pemain baharu bagi memperkuatkan pasukan.

Misi Membangkitkan`Setan Merah’ Yang Masih Tidur

Tatkala United berdepan musim serba suram, hati penyokong-penyokong mereka diubati dengan aksi Treble Reunion yang dilangsungkan pada 27 Mei lalu. Aksi membabitkan skuad musim 1998/99 United menentang kesebelasan pilihan Bayern Munich itu diadakan bagi memperingati tempoh 20 tahun kejayaan gemilang kelab menjulang kejuaraan treble.

Menyaksikan lagenda-lagenda United seperti David Beckham, Jaap Stam, Gary Neville, Peter Schmeichel, Paul Scholes, Dwight Yorke dan Andy Cole kembali beraksi di atas padang memang mengasyikkan. Terus terang saya katakan bahawa meskipun ia cuma perlawanan pertunjukkan, semangat menyaksikan lagenda-lagenda United itu kembali menendang bola meresap hingga ke tulang sum-sum berbanding melihat Jesse Lingard atau Marcus Rashford bermain.

Aksi Treble Reunion itu memang mengundang seribu nostalgia tetapi dalam masa yang sama juga menimbulkan persoalan adakah United mampu bangkit mengulangi pencapaian gemilang yang dilakukan oleh skuad Treble 99  itu di masa hadapan? Tatkala `Sang Burung’ sudah terbang tinggi, si `Setan Merah’ pula nampaknya masih terlena sambil dibuai nostalgia kegemilangan silam. Kejayaan Liverpool bukan sahaja wajar dicemburui tetapi perlu juga dicontohi meskipun pahit untuk ditelan. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

02 Jun 2019

AXEL TUANZEBE...ALTERNATIF TERBAIK DALAM MISI MEMPERBAIKI KEROSAKAN BENTENG PERTAHANAN UNITED?



Benteng pertahanan antara masalah paling besar yang perlu diselesaikan Ole Gunnar Solskjaer jika beliau tidak mahu mimpi buruk musim lalu berulang kembali tatkala beliau bakal menikmati musim penuhnya sebagai pengendali United musim hadapan (2019/20). Melihat kepada penampilan Chris Smalling dan Phil Jones sepanjang musim lalu, United jelas perlukan suntikan tenaga baharu di benteng pertahanan mereka jika mahu memberikan cabaran secara serius Manchester City, Liverpool, Tottenham Hotspurs, Chelsea ataupun Arsenal.

Ketika ini ada beberapa nama pertahanan tengah handalan yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford dan sudah tentu Matthijs de Ligt berada di kedudukan teratas pilihan penyokong-penyokong United. Pesona de Ligt menerusi penampian gemilang yang dipamerkan beliau di benteng pertahanan Ajax Amsterdam meletakkan anak muda ini rebutan kelab-kelab gergasi Eropah. Dengan segala kemelut yang melanda United, saya tidak fikir de Ligt akan memilih Old Trafford sebagai destinasi pilihan sebaik beliau meninggalkan Johan Cryuff Arena nanti.

Setakat ini de Ligt masih belum membuat sebarang keputusan kelab mana yang bakal beliau wakili musim hadapan tetapi menerusi laporan-laporan media yang diterbitkan, Camp Nou nampaknya bakal menjadi destinasi pilihan beliau. Selain de Ligt, ada beberapa nama lagi yang dikaitkan bakal memperkuatkan benteng pertahanan United musim hadapan seperti Kalidou Koulibaly, Harry Maguire dan Milan Skrniar. Bagaimanapun setakat ini masih belum ada tanda-tanda jelas`maneuver’ yang dilakukan United untuk mendapatkan khidmat mereka.

Perlukah Kita Panik?

Jika rencana tidak berjalan seperti yang diharapkan dan jika pemain-pemain yang disasarkan enggan menyertai United, apakah pilihan lain yang boleh diambil Solskjaer dalam usaha beliau menampung kebocoran yang berlaku di benteng pertahanan skuadnya? Jawapannya ialah berikan peluang kepada bakat-bakat muda lulusan akademi United. Di benteng pertahanan, satu nama yang pada pandangan saya paling memukau musim lalu ialah Axel Tuanzebe.

Selain Dean Henderson yang cemerlang mengawal gawang Sheffield United, Tuanzebe pula mengharungi musim penuh memberangsangkan sebagai pemain pinjaman di benteng pertahanan Aston Villa. Persembahan terpuji yang dipamerkan pemain muda ini berjaya membantu The Villans kembali beraksi di pentas Liga Perdana selepas mereka menewaskan Derby County dalam aksi play off yang dilangsungkan di Wembley, 27 Mei lalu.

Dalam aksi selama 90 minit ketika berdepan Derby, Tuanzebe tampil solid di benteng pertahanan Villa menerusi catatan 100% tackle bersih manakala peratusan ketepatan hantaran yang dilakukan beliau mencapai 78%. Selain daripada itu, sepanjang perlawanan beliau juga melakukan lima kali recoveries ball dan satu intercept. Catatan ini pada pandangan saya merupakan satu catatan yang sangat impresif buat seorang pemain muda yang baru berusia 20 tahun seperti beliau.

Tonggak Penting

Perjalanan karier Tuanzebe di Villa Park selaku pemain pinjaman pada awalnya tidak berjalan seperti yang diharapkan. Menyertai Villa pada separuh musim 2017/18, Tuanzebe terpaksa dipulangkan kembali ke Old Trafford selepas beliau mengalami kecederaan yang menyaksikan pemain berdarah Congo ini hanya tampil dalam lima aksi bersama skuad kendalian Steve Bruce.

Selepas pulih sepenuhnya dari kecederaan, Tuanzebe kembali semula ke Villa Park untuk meneruskan proses pembelajaran beliau sebagai pemain pinjaman. Kali ini beliau mendapati teraju pengendali berubah tangan dari Steve Bruce kepada Dean Smith. Di bawah kendalian Smith, posisi Tuanzebe berubah dari bek kanan kepada pertahanan tengah di mana beliau digandingkan bersama Tyrone Mings.

Keputusan Smith mengubah posisi Tuanzebe sebagai pertahanan tengah berhasil apabila pemain itu berjaya membentuk gandingan ampuh bersama Tyrone Mings di benteng pertahanan Villa. Akhirnya seperti yang anda dapat saksikan, Villa berjaya kembali semula `ke pangkuan’ Liga Perdana selepas tersingkir pada 2016. Jika tidak kerana kecederaan metatarsal yang dialaminya musim ini, Tuanzebe mungkin mampu melakukan lebih 30 penampilan untuk The Villans.

Kekuatan Tuanzebe

Dean Smith melabelkan Tuanzebe sebagai seorang prospek bintang masa depan. Menurut Smith, pemain ini memiliki teknik yang bagus, kelajuan, tenang ketika menguasai bola serta sangat berdisiplin dalam menyerap taktikal pasukan. Jadi tidak hairanlah mengapa dalam tempoh semusim setengah di Villa Park, beliau disayangi penyokong-penyokong Villa.

Ketika sektor pertahanan tengah United menjadi sasaran kritikan, memanggil pulang pemain ini saya fikir adalah alternatif terbaik yang boleh dilakukan Solskjaer bagi memperkasakan benteng pertahanannya. Tuanzebe adalah prospek masa depan United dan beliau memang sudah dipersiapkan ke arah itu sejak era Jose Mourinho lagi.

Sepanjang dua musim beliau beraksi untuk skuad utama (sebelum dipinjamkan ke Aston Villa), Tuanzebe sempat bermain sebanyak lapan perlawanan, di mana lima daripadanya menyaksikan pintu gol United gagal ditembusi lawan. Selain memiliki skill yang bagus sebagai pemain pertahanan, Tuanzebe juga memiliki gaya kepimpinan ketika di atas padang. Mungkin juga statusnya sebagai kapten pasukan di akademi membantu beliau menangani sebarang tekanan ketika bermain.

Hal ini sebenarnya turut diakui oleh Paul McGuiness yang juga merupakan jurulatih skuad U-18 United. Menurut McGuiness, gaya kepimpinan Tuanzebe mirip kepada Gary Neville, jadi tidak hairanlah mengapa beliau dijadikan role model oleh para juniornya di akademi. Untuk rekod, kontrak Tuanzebe bersama United akan berakhir pada Jun 2020, jadi saya berharap Solakjaer sudah memiliki perancangan terhadap masa depan pemain muda ini.

Percaya Kepada Bakat Muda

Melihat kepada perkembangan terkini, saya fikir sudah tiba masanya untuk Solskjaer berani melakukan percaturan dengan menyandarkan kepada generasi muda sebagai teras kekuatan skuadnya. 23 tahun lalu, United berjaya menjulang kejuaraan Liga Perdana (musim 1995/96) selepas Fergie melakukan pembersihan dalam skuadnya dan kini Solskjaer mungkin boleh meniru pendekatan yang sama.

Solskjaer mungkin tidak mampu mengikut jejak gemilang skuad muda 1995/96 United yang berjaya menjulang trofi Liga Perdana, tetapi bukanlah satu dosa yang terlalu besar jika beliau percaya bahawa bakat muda seperti Tuanzebe sepatutnya sudah mula diberikan peluang memperagakan aksi bersama skuad utama.

Saya percaya sepertimana Fergie pada musim 1995/96, Solskjaer juga perlukan dorongan dari bakat-bakat muda United bagi membolehkan beliau melakukan perubahan yang signifikan. Dalam proses itu sangat menarik juga untuk melihat sejauh mana tahap kesabaran penyokong-penyokong kerana saya percaya dalam tempoh dua tahun dari sekarang United tidak akan memenangi sebarang trofi...kecuali jika ada keajaiban besar berlaku. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar 

07 Mei 2019

KELUARLAH DARI BAYANG-BAYANG FERGIE



Ketika beliau memulakan tugasnya sebagai pengendali United Disember tahun lalu, penyokong meletakkan segunung harapan agar barisan The Red Devils kembali semula kepada DNA asal permainan mereka, iaitu permainan menyerang dan menghiburkan. Sebagai bekas pemain yang selama sebelas musim bermain di bawah arahan Sir Alex Ferguson, memang wajar harapan tinggi itu diletakkan di bahu beliau terutamanya selepas saban minggu penyokong dihidangkan taktik `parkir bas’ Jose Mourinho yang membosankan.

Memang ada `sentuhan’ Fergie dalam corak permainan United, itulah yang dapat anda lihat pada lapan aksi pertama mereka dalam semua kejohanan di bawah kendalian Solskjaer. Di atas padang, United kembali kepada corak permainan menyerang yang menghiburkan, menghukum lawan mereka menerusi taktik serang balas pantas, manakala pemain-pemain pula seolah-olah sudah terlepas dari belenggu. Bagaimanapun `bulan madu’ Solskjaer tidak bertahan lama dan kini beliau akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa kualiti United cuma melayakkan mereka untuk berada di posisi keenam liga.

Solskjaer yang dahulunya cuba meniru segala pendekatan Fergie akhirnya secara perlahan-lahan mula pasrah dan menyerah. Dalam beberapa perlawanan terakhir, Solskjaer cuba beradaptasi dengan budaya bolasepak semasa yang jauh berbeza berbanding ketika zaman beliau sebagai pemain. “Zaman sudah berubah, dan kami tidak mungkin dapat `menyalin’ semula Fergie kerana beliau adalah pengurus yang unik. Kami memiliki generasi pemain berbeza dan kami mesti melakukannya dengan cara kami sendiri”, kata Solskjaer dalam satu temuramah bersama Fox Sport.

Ole Bukan Fergie

Sir Alex Ferguson memang individu yang unik dan pengurus yang istimewa. Fergie tiada duanya dalam dunia bolasepak dan mana-mana individu yang cuba `menjadi Fergie’ tidak akan mampu melangkah jauh. Fergie punya gaya dan cara tersendiri dalam melatih para pemainnya, bukan sekadar terbatas kepada gaya bolasepak menarik atau menggunakan senjata `hair dryer treatment’ nya untuk menyerang para pemainnya yang bermain di bawah par.

Fergie adalah seorang pengurus yang cepat beradaptasi dengan situasi semasa. Contoh paling baik adalah bagaimana beliau menukar sistem tradisional  4-4-2 yang kaku kepada lebih fleksibel di saat Jose Mourinho  tiba di Stamford Bridge dan mula menganggu dominasi United. Selain adaptasi, Fergie juga sangat terkenal kerana memiliki barisan pejuang yang sanggup mati di atas padang demi dirinya dan aset terpenting inilah yang tidak dimiliki Solskjaer dalam skuadnya.

Suka atau tidak, kita terpaksa mengakui bahawa United ketika ini tidak memiliki pejuang hebat seperti Roy Keane, Nemanja Vidic, Paul Scholes, Ryan Giggs atau Wayne Rooney dalam struktur kesebelasan mereka. Dan paling parah, Solskjaer juga tidak memiliki pemain yang betul-betul mampu melaksanakan plan permainannya dengan berkesan hingga akhirnya mereka berdepan situasi tidak menentu seperti sekarang.

Harus diingat bahawa kesuksesan Fergie tidak datang sekelip mata. Sepertimana Solskjaer, Fergie juga berdepan kesukaran pada peringkat awal ketibaan beliau di Old Trafford. Hanya selepas tujuh tahun barulah Fergie berjaya mengemudi United menjulang trofi liga yang gagal mereka menangi selama 26 tahun. Ya...waktu juga diperlukan Solskjaer untuk beliau menjadi sukses sepertimana Fergie dan proses ke arah itu memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.

Adakah Kita Mampu Bersabar?

Dua faktor yang sudah hilang dalam kem United selepas persaraan Fergie, iaitu masa dan kesabaran. Jika tidak mahu menerima nasib yang sama seperti dialami David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho, Solskjaer perlu menyakinkan pihak pengurusan kelab bahawa beliau perlu diberikan peluang untuk membina semula pasukan mengikut acuannya sendiri.

Atau lebih tepatnya Solskjaer perlu diberikan peluang membina dinasti dan menerapkan falsafah bolasepaknya sendiri. Mungkin dalam tempoh selama tiga tahun (hingga kontrak Solskjaer tamat), United tidak akan memenangi sebarang trofi tetapi kita mungkin boleh belajar dari apa yang berlaku di Anfield dalam tempoh beberapa tahun terakhir.

Walaupun Jurgen Klopp masih belum mampu membawa sebarang trofi kejuaraan ke Anfield, namun beliau berjaya menjadikan Liverpool skuad yang meingkat saban musim. Selain dari beberapa pembelian bijak yang dilakukan Klopp, beliau juga berjaya membentuk identitinya sendiri menerusi falsafah gegenpressing yang diterapkan dalam permainan skuad The Reds.

Untuk berlaku adil, saya menganggap musim ini cumalah musim pengenalan buat Solskjaer kerana beliau datang ketika kelab sudah mengharungi separuh perjalanan liga. Tidak banyak yang mampu dilakukan Solskjaer untuk menyelamatkan United dengan pemain yang ada, tetapi musim hadapan bakal menghadirkan cabaran berbeza buat beliau.

Mampukah penyokong bersabar melihat United gagal memenangi sebarang trofi selama tiga tahun sementara Solskjaer dalam proses membina skuad impiannya sendiri? Atau beliau juga bakal menjadi mangsa ketidaksabaran penyokong dan pihak pengurusan kelab sepertimana yang berlaku ke atas David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho? Tugas menggantikan Fergie memang bukan satu tugas yang mudah dan mungkin juga salah satu kerja paling sukar di dunia. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

29 April 2019

AARON WAN-BISSAKA....`KUDA HITAM' YANG PATUT BERADA DALAM RADAR BURUAN SOLSKJAER



Antonio Valencia, Guillermo Varela, Matteo Darmian dan Ashley Young antara pemain yang pernah digunakan untuk bertindak sebagai bek kanan selepas persaraan Gary Neville pada 2011. Bagaimanapun tiada seorang pun di antara mereka yang boleh dibandingkan dengan Gary, pemain yang selama berbelas tahun diamanah oleh Sir Alex Ferguson untuk mengawal sektor kanan pertahanan United menerusi 400 penampilan yang dilakukannya dalam saingan Liga Perdana. Gary bukanlah pertahanan kanan yang memiliki teknik sebagus Dani Alves tetapi kekuatan mentalnya, work rate yang tinggi, bijak membaca situasi permainan dan daya kepimpinan yang dimiliki beliau menjadikan Gary aset tidak ternilai pernah dimiliki Fergie dalam skuadnya.

Sejak Gary mengumumkan persaraan lapan tahun lalu, United bergelut mencari pengganti setanding yang mampu mengisi posisi ditinggalkan beliau. Ketika karier Antonio Valencia di Old Trafford semakin menghampiri penghujung jalan, manakala prestasi Ashley Young pula sering dijadikan sasaran kritikan, sektor pertahanan kanan pastinya bakal diberikan fokus utama Ole Gunnar Solskjaer untuk beliau perkuatkan musim panas ini. Bercakap tentang soal perpindahan pemain, Solskjaer sudah menegaskan bahawa beliau mahukan agar semua proses transaksi diselesaikan sebelum skuadnya berangkat ke Australia bagi menghadapi aksi-aksi persiapan pra musim.

Misi Mencari `Gary Neville Baharu’

Berbanding menandatangani pemain-pemain bertaraf bintang yang sudah berumur, Solskjaer dikhabarkan lebih tertarik merekrut pemain-pemain muda untuk dijadikan sebagai prospek jangka panjang dalam skuadnya. Untuk itu, nama pemain-pemain muda yang sedang melonjak naik mula dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford dan antaranya ialah Aaron Wan Bisakka. Melihat kepada apa yang berlaku musim ini, saya percaya sektor pertahanan kanan antara masalah yang mahu segera diselesaikan Solskjaer.

Sejak 2011, United memang bermasalah mencari pengganti Gary dan meskipun Antonio Valencia kemudiannya berjaya ditransformasikan untuk mengisi posisi tersebut oleh Louis Van Gaal, kita perlu mengakui hakikat bahawa bintang Ecuador itu bukanlah bek kanan tulen. Ketika kecederaan mula menjadi `teman akrab’ Valencia, United jelas ketandusan bakat di posisi bek kanan hingga memaksa Solskjaer terus mengerah kudrat pemain veteran seperti Ashley Young meskipun penampilan beliau sering dijadikan sasaran kritikan.

Dalam misi mencari `Gary Neville baharu’, Solskjaer sebenarnya tidak perlu melakukan pencarian ke negara lain kerana di hadapan mata beliau sudah ada pemain muda berbakat besar yang sedia untuk diletakkan dalam radar buruannya. Pemain yang saya maksudkan sudah tentu Aaron Wan-Bissaka. Dengan nilai dianggarkan sekitar £40 juta, tidak sukar buat kelab besar seperti United membawa keluar pemain berdarah Congo ini keluar dari Selhurst Park musim panas nanti.

Kepercayaan Hodgson

Krisis kecederaan yang melanda benteng pertahanan Crystal Palace musim lalu rupa-rupanya satu rahmat buat Aaron apabila beliau diberikan peluang oleh Roy Hodgson untuk melakukan penampilan pertama bersama skuad senior Palace.  Aaron melakukan debut di Liga Perdana ketika Palace berdepan Tottenham Hotspurs pada 25 Februari 2018 dan sejak itu beliau secara perlahan-lahan mula menyingkirkan Timothy Fosu-Mensah dari posisi bek kanan skuad The Eagles.

Meskipun Aaron pada peringkat awal karier beliau di akademi Palace bermain sebagai pemain sayap (kanan), penampilan terpuji yang dipamerkan pemain kelahiran Croydon ini sebagai bek kanan ketika berdepan Spurs, Manchester United dan Chelsea mula mencuri perhatian Hodgson. Kejayaan beliau dinobatkan sebagai pemain terbaik bulanan kelab tiga kali berturut-turut musim lalu (Ogos, September dan Oktober) mengukuhkan lagi cengkaman Aaron selaku pilihan utama di sektor kanan pertahanan Palace.

Kelebihan Dan Kekurangan

Kemampuan melakukan tackle adalah antara aset penting yang perlu ada kepada mana-mana pemain pertahanan. Salah satu kelebihan yang ada dalam diri Aaron ialah tackle yang dilakukannya sering memberikan masalah kepada mana-mana pemain hadapan lawan. Secara purata, beliau melakukan 4.1 tackle dalam setiap perlawanan, dan meskipun catatan ini jauh dari apa yang dilakukan oleh pemain tengah Everton, Idrissa Gueye (14.5 takcle per perlawanan), peratus ketepatan tackle  yang dilakukan Aaron (68%) antara yang tertinggi di Liga Perdana.

Selain daripada itu, kualiti ketika bertahan menyaksikan beliau sudah melakukan 85 intercept, 285 kali memenangi perebutan bola, 147 clearance, 43 kali memenangi perebutan bola tinggi dan 5 kali melakukan block. Saya tidak meragui kualiti defensif yang dimiliki pemain berusia 21 tahun ini, tetapi untuk menjadi pemain sehebat Gary, beliau juga perlu bagus ketika menyerang. Mengikut statistik yang dikeluarkan selepas Palace mengharungi 36 aksi liga, Aaron cuma mampu menyumbang 2 assist dan melakukan 73 hantaran lintang (peratus ketepatan hantaran lintangnya cuma 21%).

Sasaran Musim Panas

Prestasi cemerlang yang dipamerkan Aaron musim ini menjadikan beliau antara sasaran terhangat sebaik jendela perpindahan pemain musim panas dibuka nanti. Bukan hanya United yang berminat mendapatkan tandatangan beliau kerana kelibat Aaron khabarnya turut diintai Pep Guardiola dan Unai Emery. Aaron Wan-Bissaka antara pemain muda meningkat naik dan nama yang patut berada dalam radar buruan Solskjaer dalam usaha beliau merombak dan meremajakan skuadnya musim hadapan.

Jika Solskjaer berjaya menandatangani Aaron musim panas nanti, ini adalah detik permulaan dalam usaha pengendali itu membina semula benteng pertahanan United yang hampir roboh berteraskan kepada kekuatan bakat-bakat muda sebagai prospek jangka panjang. Sangat sukar untuk menemukan semula bakat sebagus Gary Neville, tetapi dalam diri Aaron Wan-Bissaka sudah terlihat potensi besar untuk beliau muncul antara fullback handalan di Liga Perdana atau mungkin juga dunia suatu hari nanti. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

25 April 2019

BERHENTI BERHARAP KEPADA POGBA



Kepulangan semula Paul Pogba ke Old Trafford pada musim panas 2016 membawa segunung harapan bahawa beliau bakal mengembalikan status Manchester United sebagai kesebelasan yang dicemburui dan digeruni bukan sahaja di England malah Eropah. Ketika itu United sudah memiliki pengendali berprofil tinggi serta penuh karisma dalam batang tubuh Jose Mourinho, manakala kepulangan semula Pogba ke pangkuan kelab selepas empat musim berkelana di Serie A saya anggap pelengkap kepada misi United untuk kembali berada di puncak hierarki Liga Perdana.

Kepulangan beliau berserta label selaku pemain termahal dunia memberikan harapan besar agar pemenang medal Piala Dunia ini mampu mengubah nasib United menerusi sentuhan magisnya di bahagian tengah. Di Serie A, Pogba sudah membuktikan bahawa Sir Alex Ferguson silap ketika membuat pertimbangan semasa membenarkan beliau menyertai Juventus pada 2012. Dengan jersi belang hitam putih Juventus, Pogba melaungkan kepada dunia bahawa beliau bakal muncul bintang besar suatu hari nanti saat membantu skuad Old Lady menjulang Scudetto empat musim berturut-turut.

Mungkin Ole Gunnar Solskjaer juga merasakan perkara yang sama ketika beliau mula mengambilalih tugas dari Mourinho Disember tahun lalu selepas bekas pengendali FC Porto, Chelsea, Real Madrid dan Inter Milan itu dipecat. Gol demi gol, assist demi assist yang disumbangkan Pogba seolah-olah memberikan nafas baharu kepada karier beliau di Old Trafford meskipun sebelumnya digembar-gemburkan tidak gembira bermain di bawah arahan Mourinho. Bagaimanapun trend positif yang ditunjukkan Pogba tidak berterusan kerana sejak kebelakangan ini prestasi beliau di atas padang kembali bungkam.

Real Madrid Sebagai Punca?

Pogba yang kita lihat sejak kebelakangan ini ialah Pogba yang sama ketika beliau bermain di bawah arahan Mourinho. Hilang sudah visi tinggi dalam permainannya, tumpul kreativiti selaku penggerak jentera tengah malah Anthony Martial, Marcus Rashford atau Romelu Lukaku sentiasa tertunggu-tunggu di manakah umpanan-umpanan berkualiti dari kaki Pogba untuk mereka sudahkan ke gawang lawan. Tidak adil juga untuk meletakkan 100% kesalahan di bahu Pogba tetapi selaku pemain termahal dalam skuad United, harapan penyokong terhadap beliau sudah tentu tinggi mengunung.

Anehnya prestasi merudum Pogba bermula sejak timbulnya cerita-cerita tentang minat Real Madrid yang mahu membawa beliau beraksi di Santiago Bernabeu. Malah Zinedine Zidane sendiri tidak pernah menyembunyikan ketertarikan beliau terhadap prospek bahawa Pogba bakal mengemudi jentera tengah skuadnya musim hadapan. Aksi menentang Everton tempohari merupakan prestasi paling buruk yang pernah saya lihat dipamerkan Pogba. Jadi tidak hairanlah mengapa portal Manchester Evening News memberikan rating hanya satu mata sebagai penilaian kepada prestasi beliau dalam perlawanan itu.

Duri Yang Patut Dicabut

Jika Mourinho melabelkan Pogba sebagai `yang mulia, lagenda United yang kini bertugas sebagai pundit iaitu Gary Neville pula melabelkan Pogba sebagai `duri yang patut dicabut’. Anggota Class of 92 itu mahukan Pogba membuat keputusan dengan segera tentang masa depannya bersama United. Meski pun Gary begitu bengang dengan attitude yang ditunjukkan Pogba namun bekas bek kanan unggul era Fergie itu masih menaruh harapan agar Pogba memilih untuk kekal bersama kelab. Menurut Gary, Pogba boleh menjadi pemain yang jauh lebih bagus untuk United jika beliau tampil lebih serius ketika berada di atas padang dan berkelakuan seperti seorang pemimpin.

Contoh pemain seperti Bryan Robson, Eric Cantona dan Roy Keane inilah yang sudah lama hilang dalam kem United sejak sekian lama. Menurut Gary, Pogba boleh menjadikan Robson sebagai contoh terbaik tentang bagaimana Captain Marvel itu berdepan tempoh-tempoh sukar di Old Trafford sepanjang pertengahan dekad 80an hingga akhirnya beliau berjaya membantu United menjulang kejuaraan Liga Perdana pada musim 1992-93. Jika Gary sedikit lunak bila bercakap tentang Pogba lain pula nada yang disuarakan Jamie Carragher terhadap warga Perancis itu.

Jika Gary menganggap Pogba berpotensi menjadi pemimpin, Carra pula menyebut Pogba tidak layak dilabel sebagai pemain kelas dunia apatah lagi diletakkan sebaris dengan lagenda kelab seperti Robson. Masalah terbesar yang ada dalam diri Pogba dari kaca mata Carra ialah konsistensi. Tidak sepertimana Robson yang menurut Carra mampu tampil konsisten setiap minggu, tiada apa yang boleh di harapkan dari Pogba. Sorotan kepada Pogba nampaknya tidak akan terhenti sehinggalah beliau memutuskan sama ada kekal bersama kelab atau berpindah ke Sepanyol menyertai sama ada Real Madrid ataupun Barcelona musim panas nanti.

Menanti Ketegasan Ole

Melihat Solskjaer meninggalkan padang dengan wajah suram selepas United tewas 0-2 kepada City antara momen yang paling mengharukan musim ini. Kekalahan kepada City itu juga menyaksikan United sudah tewas lima dari tujuh aksi terakhir liga mereka sekaligus menjejaskan peluang The Red Devils beraksi di Liga Juara-Juara musim hadapan. Tidak perlu meratap terlalu lama kerana secara matematiknya United masih berpeluang menamatkan saingan liga musim ini diposisi empat teratas asalkan mereka menang baki tiga perlawanan selepas ini sambil mengharap Arsenal, Chelsea atau Spurs keciciran mata.

Apa yang perlu dilakukan Solskjaer selepas ini ialah melihat semula karakter pemain yang ada dalam pasukannya. Solskjaer perlu melihat pemain mana yang masih mahu bertarung untuk kelab, pemain mana yang sekadar menjadi penumpang dan pemain mana yang hatinya sudah tidak lagi berada di Old Trafford. Solskjaer perlu memastikan pemain-pemain yang ada dalam skuadnya semasa aksi pra musim nanti ialah mereka-mereka yang sedia `memberikan hatinya untuk United’, bukan mereka yang cuba berlagak seperti superstar ketika di atas padang.

Saya menanti Solskjaer mengotakan kata-katanya bahawa beliau akan melepaskan beberapa pemain yang dilihatnya sudah tidak memiliki rasa ghairah menyarung jersi kelab. Sangat menarik untuk melihat `duri’ mana yang bakal dicabut keluar oleh Solskjaer nanti... mungkin sedikit sakit pada awalnya tapi saya percaya United akan kembali berjalan seperti biasa selepas `duri’ itu dikeluarkan. Untuk mencabut `duri’ itu keluar, Solskjaer bukan sahaja perlukan ketegasan tetapi juga keberanian untuk melakukannya. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

23 April 2019

OLE, KORBAN DARI SKUAD USANG UNITED?



Bolehkah kita melupakan sebarang impian mahu melihat Manchester United menamatkan saingan liga musim ini di kedudukan empat teratas selepas kekalahan besar lagi memalukan yang dialami mereka ketika berdepan Everton di Goodison Park kelmarin? Kemenangan besar (4-0) yang dilakar Everton itu juga menyaksikan skuad The Toffees menyertai Newcastle United, Manchester City dan Chelsea sebagai kesebelasan yang pernah menewaskan United dengan margin jaringan empat gol sepanjang sejarah Liga Perdana.

Kita terpaksa mengakui bahawa Everton adalah kesebelasan yang jauh lebih unggul berbanding United sejak minit pertama permainan meskipun Ole Gunnar Solskjaer menurunkan barisan `hampir terbaiknya’ di Goodison Park. Ketumpulan trio jentera serangan yang dibarisi Romelu Lukaku, Anthony Martial dan Marcus Rashford selain persembahan buruk benteng pertahanan antara penyakit yang perlu segera diubati oleh Solskjaer jika beliau tidak mahu United berdepan nasib lebih buruk pada baki perlawanan mereka selepas ini.

Pertama Kali Sejak 1981

Kekalahan besar kepada Everton kelmarin menyaksikan barisan kendalian Solskjaer menyamai pencapaian skuad  United pada musim 1980-81 bimbingan Dave Sexton yang tewas lima perlawanan berturut-turut di gelanggang lawan. Selain itu empat gol yang menembusi pintu gol David De Gea juga menyaksikan gawang United sudah dibolosi 48 gol dalam saingan liga setakat ini. Menurut catatan OPTA, ini merupakan rekod bolos terburuk pernah dialami United sejak musim 1989-90, dimana pada musim tersebut pihak lawan berjaya menembusi gawang Jim Leighton sebanyak 47 kali.

Buruknya Kualiti Pertahanan United

Sudah berkali-kali disebut bahawa titik kelemahan paling ketara United musim ini ialah benteng pertahanan mereka dan di Goodison Park prestasi buruk yang dipamerkan Victor Lindelof, Chris Smalling, Phil Jones dan Diogo Dalot memudahkan lagi kerja-kerja barisan hadapan Everton menembusi pintu gol David De Gea. Apa lagi yang boleh anda katakan selepas menyaksikan pintu gol United dibolosi tujuh gol dalam tempoh hanya empat hari selain bersetuju dengan cadangan Gary Neville agar Solskjaer melakukan rombakan besar di benteng pertahanan skuadnya bagi menghadapi saingan musim hadapan.

Mengikut statistik, lima dari tujuh gol yang dilepaskan United dari dua perlawanan terakhir mereka dihasilkan lawan menerusi percubaan dari luar petak penalti. Dan di Goodison Park kegagalan benteng pertahanan menutup ruang membolehkan Everton menjaringkan gol menerusi dua percubaan jarak jauh hasil ledakan Gylfi Sigurdsson dan Lucas Digne. Jones dan Smalling antara dua pertahanan paling berpengalaman dimiliki United tetapi sejak akhir-akhir ini kemampuan mereka selaku `komander’ di barisan belakang mula diperdebatkan baik oleh penyokong mahupun penganalisis.

Jones dan Smalling seperti sudah mencapai tahap statik dalam permainan mereka manakala Lindelof yang sering disebut-sebut sebagai pertahanan terbaik United musim ini masih di bawah standard pertahanan kelas dunia. Apa yang perlu dilakukan Solskjaer musim panas nanti ialah mendapatkan seorang pertahanan berprofil tinggi bagi mengukuhkan benteng skuadnya. Mungkin Liverpool boleh dijadikan contoh terbaik apabila kedatangan Virgil Van Dijk berjaya mengubah wajah pertahanan The Reds hinggakan mereka muncul sebagai kesebelasan paling kurang dibolosi setakat ini.

Patutkah Pogba Dan De Gea Dijual?

Saya tidak pernah meragui kualiti yang ada dalam diri David De Gea mahupun Paul Pogba. Berbanding yang lain, mungkin hanya mereka berdua pemain kelas dunia yang ada dalam skuad United ketika ini. Bagaimanapun sejak kebelakangan ini komitmen De Gea dan Pogba terhadap kelab mula diperdebatkan tatkala Real Madrid sering disebut-sebut sebagai destinasi yang bakal dituju dua pemain ini. Kontrak De Gea akan tamat pada Jun 2020 selepas United mengaktifkan klausa lanjutan kontrak beliau selama semusim, manakala Pogba pula akan kekal di Old Trafford sehingga 2021.

Hingga kini baik De Gea mahupun Pogba masih membisu berhubung masa depan mereka di Old Trafford. Mungkin juga tarikan beraksi di Santiago Bernabeu menyumbang kepada prestasi tidak menentu De Gea dan Pogba sejak kebelakangan ini. De Gea melakukan kesilapan mudah hingga membolehkan Lionel Messi menjaringkan gol kedua Barcelona ketika United dan gergasi Catalan itu berdepan dalam saingan Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu. Di Goodison Park pula, tidak banyak yang mampu dilakukan De Gea bagi menyelamatkan United hinggakan gawang beliau dibolosi sebanyak empat kali.

Di Nou Camp dan Goodison Park, Pogba kembali kepada prestasi hambarnya di era Jose Mourinho apabila beliau gagal melaksanakan tugasnya selaku penggerak jentera tengah United. Selepas prestasi buruk yang dipamerkan anak-anak buahnya ketika berdepan Everton, Ole Gunnar Solskjaer memberikan isyarat bahawa beliau sudah bersedia melepaskan beberapa tonggak utama dalam skuad yang ada sekarang dalam usahanya merevolusikan United. Kritikan yang dilemparkan Solskjaer ke atas pemainnya selepas aksi buruk menentang Everton mungkin yang paling keras sejak beliau tiba di Old Trafford Disember tahun lalu.

Ketika ditanya pihak media tentang rasa tanggungjawab pemain terhadap kelab, Solskjaer dengan keras berkata, “Saya tidak tahu. Anda sepatutnya bertanyakan soalan ini kepada mereka. Jika anda mahu bermain untuk kelab ini, anda harus memberikan yang terbaik. Saya inginkan kejayaan di sini tetapi ada antara pemain yang tidak akan berada dalam bahagian (kejayaan) tersebut”. Bagi Jamie Carragher yang juga merupakan lagenda Liverpool, beliau tanpa berselindung mengatakan bahawa United sepatutnya menjual De Gea dan Pogba musim panas nanti.

Mengambil contoh Liverpool yang pernah ditinggalkan Robbie Fowler, Luis Suarez dan Steven Gerrard, Carragher berkata, “Ketika saya di Liverpool, kami memiliki beberapa pemain hebat seperti Stevie Gerrard, Robbie Fowler dan Luis Suarez yang anda fikir bahawa kami tidak boleh kehilangan mereka. Saya fikir De Gea cuba mengawal kontraknya, begitu juga dengan Paul. Buat keputusan yang betul dan dapatkan pemain lain. Jangan lupa betapa besarnya kelab dan kuasa yang mereka ada. Jangan biarkan pemain ini mengawal kontrak mereka dan menunjukkan sikap yang kurang baik. Singkirkan saja mereka”.

Secara peribadi saya berpendapat jika United gagal bermain di Liga Juara-Juara musim hadapan, mereka sepatutnya sudah bersedia membiarkan tonggak pasukan seperti De Gea dan Pogba mencari haluan baharu. Selain De Gea dan Pogba, lima lagi pemain yang semakin menghampiri pintu keluar dari Old Trafford ialah Ander Herrera, Juan Mata, Romelu Lukaku, Eric Bailly dan Alexis Sanchez. Tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara memang menyakitkan tetapi kekalahan besar kepada lawan domestik seperti Everton saya fikir benar-benar meragut motivasi para pemain menjelang baki empat lagi perlawanan selepas ini.

Jangan Salahkan Solskjaer

Meskipun berjaya mengubah penampilan United di peringkat awal ketibaan beliau di Old Trafford Disember tahun lalu, Solskjaer akhirnya terpaksa berdepan tekanan hebat selepas melihat skuad kendaliannya mengalami penurunan prestasi secara drastik. United mengalami enam kekalahan dari lapan perlawanan terakhir mereka dalam semua kejohanan, manakala bukan sedikit penyokong yang mula sangsi dengan kemampuan skuad The Red Devils ini layak ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan. Hentaman Everton di Goodison Park memang menyakitkan jadi saya faham apa yang anda rasakan ketika ini.

Ketika kritikan demi kritikan mula menerpa ke arah Solskjaer, kita juga perlu mengakui bahawa beliau sebenarnya mewarisi skuad `yang sakit dan usang’ peninggalan Sir Alex Ferguson, David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho. Bahkan ketika ini pun Solskjaer terpaksa menyandarkan harapan kepada pemain-pemain `usang’ yang ditinggalkan Fergie seperti Ashley Young, Chris Smalling dan Phil Jones untuk mengawal benteng pertahanan United. Itu belum lagi diambilkira prestasi `yoyo’ membabitkan pemain-pemain berpengaruh seperti Paul Pogba, Jesse Lingard, Marcus Rashford dan Anthony Martial yang sering menimbulkan tanda tanya.

Di sebalik semua itu, Solskjaer pada pendapat saya sudah melakukan tugasnya dengan baik, mengubah United dari kesebelasan terumbang-ambing yang pada awalnya tidak diberikan sebarang harapan kepada antara pesaing merebut kedudukan kelompok empat teratas. Begitu juga dengan kemampuan kelab mara hingga ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara. Secara ringkasnya ini bukanlah `skuad Solskjaer’ kerana beliau terpaksa menggunakan set pemain yang ada hasil campuran dari sisa peninggalan Fergie, Moyes, Van Gaal dan Mourinho.

Jika mahu dibandingkan dengan barisan pemain dimiliki Manchester City, Liverpool dan Tottenham Hotspurs, United pada pandangan saya tertinggal jauh dari segi kualiti. Tugas berat yang bakal menanti Solskjaer bukan meletakkan United di posisi empat teratas, tetapi misi besarnya ialah meningkatkan kualiti pasukan agar setanding Manchester City, Liverpool dan Spurs sebelum musim baharu bermula nanti. Dengan wang yang bakal diberikan kepada beliau untuk dibelanjakan, Solskjaer berpeluang membentuk skuad impiannya sendiri. Berharaplah agar Solskjaer sukses di sini kerana sangat indah melihat United berjaya di tangan lagenda mereka sendiri. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

17 April 2019

UNITED YANG JAUH KETINGGALAN




Tiada kejutan sepertimana di Paris dan kini tamat sudah perjuangan Manchester United dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini selepas mereka tewas 0-3 kepada Barcelona dalam perlawanan kedua peringkat suku akhir di Nou Camp awal pagi tadi. Kemenangan menerusi agregat (4-0) ini juga menyaksikan Barca mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara buat pertama kali sejak 2015. Meskipun tampil menyakinkan di permulaan babak pertama terutamanya menerusi percubaan Marcus Rashford yang singgah ke palang gol, United akhirnya terpaksa akur bahawa Ernesto Valverde memiliki kesebelasan yang jauh lebih baik berbanding mereka.

Tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara pastinya menghadirkan tekanan yang bukan sedikit buat Ole Gunnar Solskjaer apatah lagi di peringkat awal kehadiran Babyfaced Assassins di Old Trafford, United pernah mengharungi sebelas perlawanan tanpa kalah. Kini misi yang tinggal untuk disempurnakan barisan kendalian beliau ialah cuba menamatkan saingan liga di posisi empat teratas bagi membolehkan mereka kembali beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim hadapan. Kekalahan besar kepada Barca ini juga satu isyarat buat Solskjaer bahawa banyak kerja yang perlu beliau lakukan untuk meningkatkan kualiti skuadnya bagi menghadapi saingan musim hadapan.

United Yang Jauh Tertinggal

Peringkat suku akhir adalah langkah paling jauh yang mampu digapai United bersandarkan kepada barisan pemain yang ada, dan di Nou Camp, Barca menunjukkan kepada kita bahawa kualiti yang dimiliki gergasi Catalan itu jauh meninggalkan United. Pada usia 33 tahun, Ashley Young terlalu tua untuk menyaingi pemain kelas dunia seperti Lionel Messi, manakala kehadiran Phil Jones dan Chris Smalling di benteng tengah United tidak langsung membantu meringkankan beban David De Gea.

Di bahagian tengah, gerakan-gerakan yang dilakukan Barca kerap kali menembusi celah antara Fred dan Scott McTominay, manakala Paul Pogba berdepan kesukaran membangunkan serangan atau melepaskan percubaan-percubaan yang boleh menguji Marc-Ander ter Stegen. Marcus Rashford dan Anthony Martial ada potensi yang sangat besar untuk muncul penggempur handalan suatu hari nanti tetapi di Nou Camp awal pagi tadi, Lionel Messi mengajar mereka makna sebenar kualiti ketika melakukan penyudah.

Kekalahan 0-4 secara agregat ini merupakan kekalahan paling besar yang dialami United dalam sejarah penyertaan mereka di pentas Liga Juara-Juara. Secara keseluruhan juga, selepas tamat aksi di Nou Camp, kita terpaksa mengakui bahawa United memang jauh ketinggalan dari segi kualiti berbanding Barca. Menyentuh tentang hal tersebut Solskjaer berkata, “Kami sudah menunjukkan kemampuan maksima kami untuk sampai ke peringkat ini. Tetapi berbezaan antara dua pasukan ini sangat jelas. Saya akui finishing mereka sangat luarbiasa”, kata Solskjaer dalam sidang media.

Titik Kelemahan United

Di peringkat liga, gawang United sudah dibolosi sebanyak 44 kali dan angka ini hampir dua kali ganda dari jumlah gol yang membolosi gawang mereka musim lalu. Musim lalu United hanya membenarkan gawang mereka dibolosi sebanyak 28 kali, sekaligus muncul di tangga kedua sebagai pasukan paling kurang dibolosi selepas Manchester City (bolos 27 gol) dalam saingan Liga Perdana. Di antara kelab yang berada di kelompok enam teratas, United muncul pasukan paling banyak dibolosi, malah catatan Newcastle United (bolos 43 gol) yang kini berada di tangga ke-15 lebih baik berbanding skuad kendalian Solskjaer.

Catatan ini sebenarnya sangat membimbangkan untuk kelab besar seperti United dan di Nou Camp, prestasi Chris Smalling, Phil Jones, Ashley Young dan Victor Lindelof sekali lagi menjadi sorotan utama. Malang untuk seorang pemain berpengalaman seperti Ashley Young melakukan kesilapan mudah hingga terhasilnya gol pertama lawan. Begitu juga blunder yang dilakukan penjaga gol kelas dunia seperti David De Gea hingga membolehkan Lionel Messi menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan itu. Bolos dua gol dalam tempoh hanya empat minit selepas permulaan menyakinkan akhirnya membunuh segala harapan untuk United melakar sebarang kejutan sepertimana yang dilakukan mereka di kota Paris, 7 Mac lalu.

Selepas berakhirnya era Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic, United masih tercari-cari pertahanan tengah kelas dunia untuk mereka letakkan di posisi tersebut. Setakat ini Smalling mahupun Jones yang sebelumnya pernah diplotkan sebagai pengganti Rio serta Vida gagal menghampiri prestasi dua lagenda itu sebagai pengawal benteng pertahanan United. Penampilan Lindelof pula masih boleh diperdebatkan manakala Eric Bailly yang cemerlang pada musim pertamanya di Old Trafford tiba-tiba merosot secara drastik. Jadi untuk musim depan, sektor pertahanan bakal diberikan perhatian khusus oleh Solskjaer untuk diperkuatkan menerusi pembelian baharu yang pastinya bakal dilakukan beliau.

Musim Tanpa Kejuaraan

Selepas disingkirkan Derby County dalam saingan Piala Liga dan kemudiannya giliran Wolverhampton Wanderers pula menamatkan perjuangan United dalam saingan Piala FA, tersingkirnya barisan The Red Devils di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara bakal menyaksikan mereka menamatkan saingan musim ini tanpa sebarang kejuaraan. Di peringkat liga pula tiada apa yang mampu dilakukan United selain cuba sedaya mungkin menamatkan saingan musim ini di kelompok empat teratas bagi membolehkan mereka kembali beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim hadapan.

Buat masa ini kita akui sahaja hakikat bahawa United tidak memiliki skuad yang kompetitif bagi membolehkan mereka mara lebih jauh dalam saingan Liga Juara-Juara. Musim panas ini akan menjadi tempoh yang sangat menarik, kerana saya ingin melihat maneuver United sebaik jendela perpindahan pemain dibuka. Semoga kali ini Solskjaer tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan Louis Van Gaal ketika beliau tertipu dengan pesona Angel di Maria, atau ketika Jose Mourinho mendapatkan Alexis Sanchez dari Arsenal...Glory Glory Manchester United – Azhar Johar