Tiada kejutan sepertimana di
Paris dan kini tamat sudah perjuangan Manchester United dalam saingan Liga
Juara-Juara musim ini selepas mereka tewas 0-3 kepada Barcelona dalam
perlawanan kedua peringkat suku akhir di Nou Camp awal pagi tadi. Kemenangan
menerusi agregat (4-0) ini juga menyaksikan Barca mara ke peringkat separuh
akhir Liga Juara-Juara buat pertama kali sejak 2015. Meskipun tampil
menyakinkan di permulaan babak pertama terutamanya menerusi percubaan Marcus
Rashford yang singgah ke palang gol, United akhirnya terpaksa akur bahawa Ernesto
Valverde memiliki kesebelasan yang jauh lebih baik berbanding mereka.
Tersingkir dari saingan Liga
Juara-Juara pastinya menghadirkan tekanan yang bukan sedikit buat Ole Gunnar Solskjaer
apatah lagi di peringkat awal kehadiran Babyfaced
Assassins di Old Trafford, United pernah mengharungi sebelas perlawanan
tanpa kalah. Kini misi yang tinggal untuk disempurnakan barisan kendalian
beliau ialah cuba menamatkan saingan liga di posisi empat teratas bagi
membolehkan mereka kembali beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim hadapan. Kekalahan
besar kepada Barca ini juga satu isyarat buat Solskjaer bahawa banyak kerja
yang perlu beliau lakukan untuk meningkatkan kualiti skuadnya bagi menghadapi
saingan musim hadapan.
United
Yang Jauh Tertinggal
Peringkat suku akhir adalah
langkah paling jauh yang mampu digapai United bersandarkan kepada barisan
pemain yang ada, dan di Nou Camp, Barca menunjukkan kepada kita bahawa kualiti
yang dimiliki gergasi Catalan itu jauh meninggalkan United. Pada usia 33 tahun,
Ashley Young terlalu tua untuk menyaingi pemain kelas dunia seperti Lionel
Messi, manakala kehadiran Phil Jones dan Chris Smalling di benteng tengah
United tidak langsung membantu meringkankan beban David De Gea.
Di bahagian tengah,
gerakan-gerakan yang dilakukan Barca kerap kali menembusi celah antara Fred dan
Scott McTominay, manakala Paul Pogba berdepan kesukaran membangunkan serangan
atau melepaskan percubaan-percubaan yang boleh menguji Marc-Ander ter Stegen.
Marcus Rashford dan Anthony Martial ada potensi yang sangat besar untuk muncul penggempur
handalan suatu hari nanti tetapi di Nou Camp awal pagi tadi, Lionel Messi
mengajar mereka makna sebenar kualiti ketika melakukan penyudah.
Kekalahan 0-4 secara agregat
ini merupakan kekalahan paling besar yang dialami United dalam sejarah
penyertaan mereka di pentas Liga Juara-Juara. Secara keseluruhan juga, selepas
tamat aksi di Nou Camp, kita terpaksa mengakui bahawa United memang jauh
ketinggalan dari segi kualiti berbanding Barca. Menyentuh tentang hal tersebut
Solskjaer berkata, “Kami sudah menunjukkan kemampuan maksima kami untuk sampai
ke peringkat ini. Tetapi berbezaan antara dua pasukan ini sangat jelas. Saya
akui finishing mereka sangat
luarbiasa”, kata Solskjaer dalam sidang media.
Titik
Kelemahan United
Di peringkat liga, gawang
United sudah dibolosi sebanyak 44 kali dan angka ini hampir dua kali ganda dari
jumlah gol yang membolosi gawang mereka musim lalu. Musim lalu United hanya
membenarkan gawang mereka dibolosi sebanyak 28 kali, sekaligus muncul di tangga
kedua sebagai pasukan paling kurang dibolosi selepas Manchester City (bolos 27
gol) dalam saingan Liga Perdana. Di antara kelab yang berada di kelompok enam
teratas, United muncul pasukan paling banyak dibolosi, malah catatan Newcastle
United (bolos 43 gol) yang kini berada di tangga ke-15 lebih baik berbanding skuad
kendalian Solskjaer.
Catatan ini sebenarnya sangat
membimbangkan untuk kelab besar seperti United dan di Nou Camp, prestasi Chris
Smalling, Phil Jones, Ashley Young dan Victor Lindelof sekali lagi menjadi
sorotan utama. Malang untuk seorang pemain berpengalaman seperti Ashley Young
melakukan kesilapan mudah hingga terhasilnya gol pertama lawan. Begitu juga blunder yang dilakukan penjaga gol kelas
dunia seperti David De Gea hingga membolehkan Lionel Messi menjaringkan gol
kedua peribadinya dalam perlawanan itu. Bolos dua gol dalam tempoh hanya empat
minit selepas permulaan menyakinkan akhirnya membunuh segala harapan untuk
United melakar sebarang kejutan sepertimana yang dilakukan mereka di kota
Paris, 7 Mac lalu.
Selepas berakhirnya era Rio
Ferdinand dan Nemanja Vidic, United masih tercari-cari pertahanan tengah kelas
dunia untuk mereka letakkan di posisi tersebut. Setakat ini Smalling mahupun Jones
yang sebelumnya pernah diplotkan sebagai pengganti Rio serta Vida gagal
menghampiri prestasi dua lagenda itu sebagai pengawal benteng pertahanan
United. Penampilan Lindelof pula masih boleh diperdebatkan manakala Eric Bailly
yang cemerlang pada musim pertamanya di Old Trafford tiba-tiba merosot secara drastik.
Jadi untuk musim depan, sektor pertahanan bakal diberikan perhatian khusus oleh
Solskjaer untuk diperkuatkan menerusi pembelian baharu yang pastinya bakal
dilakukan beliau.
Musim
Tanpa Kejuaraan
Selepas disingkirkan Derby
County dalam saingan Piala Liga dan kemudiannya giliran Wolverhampton Wanderers
pula menamatkan perjuangan United dalam saingan Piala FA, tersingkirnya barisan
The Red Devils di peringkat suku akhir
Liga Juara-Juara bakal menyaksikan mereka menamatkan saingan musim ini tanpa
sebarang kejuaraan. Di peringkat liga pula tiada apa yang mampu dilakukan
United selain cuba sedaya mungkin menamatkan saingan musim ini di kelompok
empat teratas bagi membolehkan mereka kembali beraksi di saingan Liga
Juara-Juara musim hadapan.
Buat masa ini kita akui
sahaja hakikat bahawa United tidak memiliki skuad yang kompetitif bagi
membolehkan mereka mara lebih jauh dalam saingan Liga Juara-Juara. Musim panas
ini akan menjadi tempoh yang sangat menarik, kerana saya ingin melihat maneuver United sebaik jendela
perpindahan pemain dibuka. Semoga kali ini Solskjaer tidak mengulangi kesilapan
yang pernah dilakukan Louis Van Gaal ketika beliau tertipu dengan pesona Angel
di Maria, atau ketika Jose Mourinho mendapatkan Alexis Sanchez dari Arsenal...Glory
Glory Manchester United – Azhar Johar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan