25 April 2019

BERHENTI BERHARAP KEPADA POGBA



Kepulangan semula Paul Pogba ke Old Trafford pada musim panas 2016 membawa segunung harapan bahawa beliau bakal mengembalikan status Manchester United sebagai kesebelasan yang dicemburui dan digeruni bukan sahaja di England malah Eropah. Ketika itu United sudah memiliki pengendali berprofil tinggi serta penuh karisma dalam batang tubuh Jose Mourinho, manakala kepulangan semula Pogba ke pangkuan kelab selepas empat musim berkelana di Serie A saya anggap pelengkap kepada misi United untuk kembali berada di puncak hierarki Liga Perdana.

Kepulangan beliau berserta label selaku pemain termahal dunia memberikan harapan besar agar pemenang medal Piala Dunia ini mampu mengubah nasib United menerusi sentuhan magisnya di bahagian tengah. Di Serie A, Pogba sudah membuktikan bahawa Sir Alex Ferguson silap ketika membuat pertimbangan semasa membenarkan beliau menyertai Juventus pada 2012. Dengan jersi belang hitam putih Juventus, Pogba melaungkan kepada dunia bahawa beliau bakal muncul bintang besar suatu hari nanti saat membantu skuad Old Lady menjulang Scudetto empat musim berturut-turut.

Mungkin Ole Gunnar Solskjaer juga merasakan perkara yang sama ketika beliau mula mengambilalih tugas dari Mourinho Disember tahun lalu selepas bekas pengendali FC Porto, Chelsea, Real Madrid dan Inter Milan itu dipecat. Gol demi gol, assist demi assist yang disumbangkan Pogba seolah-olah memberikan nafas baharu kepada karier beliau di Old Trafford meskipun sebelumnya digembar-gemburkan tidak gembira bermain di bawah arahan Mourinho. Bagaimanapun trend positif yang ditunjukkan Pogba tidak berterusan kerana sejak kebelakangan ini prestasi beliau di atas padang kembali bungkam.

Real Madrid Sebagai Punca?

Pogba yang kita lihat sejak kebelakangan ini ialah Pogba yang sama ketika beliau bermain di bawah arahan Mourinho. Hilang sudah visi tinggi dalam permainannya, tumpul kreativiti selaku penggerak jentera tengah malah Anthony Martial, Marcus Rashford atau Romelu Lukaku sentiasa tertunggu-tunggu di manakah umpanan-umpanan berkualiti dari kaki Pogba untuk mereka sudahkan ke gawang lawan. Tidak adil juga untuk meletakkan 100% kesalahan di bahu Pogba tetapi selaku pemain termahal dalam skuad United, harapan penyokong terhadap beliau sudah tentu tinggi mengunung.

Anehnya prestasi merudum Pogba bermula sejak timbulnya cerita-cerita tentang minat Real Madrid yang mahu membawa beliau beraksi di Santiago Bernabeu. Malah Zinedine Zidane sendiri tidak pernah menyembunyikan ketertarikan beliau terhadap prospek bahawa Pogba bakal mengemudi jentera tengah skuadnya musim hadapan. Aksi menentang Everton tempohari merupakan prestasi paling buruk yang pernah saya lihat dipamerkan Pogba. Jadi tidak hairanlah mengapa portal Manchester Evening News memberikan rating hanya satu mata sebagai penilaian kepada prestasi beliau dalam perlawanan itu.

Duri Yang Patut Dicabut

Jika Mourinho melabelkan Pogba sebagai `yang mulia, lagenda United yang kini bertugas sebagai pundit iaitu Gary Neville pula melabelkan Pogba sebagai `duri yang patut dicabut’. Anggota Class of 92 itu mahukan Pogba membuat keputusan dengan segera tentang masa depannya bersama United. Meski pun Gary begitu bengang dengan attitude yang ditunjukkan Pogba namun bekas bek kanan unggul era Fergie itu masih menaruh harapan agar Pogba memilih untuk kekal bersama kelab. Menurut Gary, Pogba boleh menjadi pemain yang jauh lebih bagus untuk United jika beliau tampil lebih serius ketika berada di atas padang dan berkelakuan seperti seorang pemimpin.

Contoh pemain seperti Bryan Robson, Eric Cantona dan Roy Keane inilah yang sudah lama hilang dalam kem United sejak sekian lama. Menurut Gary, Pogba boleh menjadikan Robson sebagai contoh terbaik tentang bagaimana Captain Marvel itu berdepan tempoh-tempoh sukar di Old Trafford sepanjang pertengahan dekad 80an hingga akhirnya beliau berjaya membantu United menjulang kejuaraan Liga Perdana pada musim 1992-93. Jika Gary sedikit lunak bila bercakap tentang Pogba lain pula nada yang disuarakan Jamie Carragher terhadap warga Perancis itu.

Jika Gary menganggap Pogba berpotensi menjadi pemimpin, Carra pula menyebut Pogba tidak layak dilabel sebagai pemain kelas dunia apatah lagi diletakkan sebaris dengan lagenda kelab seperti Robson. Masalah terbesar yang ada dalam diri Pogba dari kaca mata Carra ialah konsistensi. Tidak sepertimana Robson yang menurut Carra mampu tampil konsisten setiap minggu, tiada apa yang boleh di harapkan dari Pogba. Sorotan kepada Pogba nampaknya tidak akan terhenti sehinggalah beliau memutuskan sama ada kekal bersama kelab atau berpindah ke Sepanyol menyertai sama ada Real Madrid ataupun Barcelona musim panas nanti.

Menanti Ketegasan Ole

Melihat Solskjaer meninggalkan padang dengan wajah suram selepas United tewas 0-2 kepada City antara momen yang paling mengharukan musim ini. Kekalahan kepada City itu juga menyaksikan United sudah tewas lima dari tujuh aksi terakhir liga mereka sekaligus menjejaskan peluang The Red Devils beraksi di Liga Juara-Juara musim hadapan. Tidak perlu meratap terlalu lama kerana secara matematiknya United masih berpeluang menamatkan saingan liga musim ini diposisi empat teratas asalkan mereka menang baki tiga perlawanan selepas ini sambil mengharap Arsenal, Chelsea atau Spurs keciciran mata.

Apa yang perlu dilakukan Solskjaer selepas ini ialah melihat semula karakter pemain yang ada dalam pasukannya. Solskjaer perlu melihat pemain mana yang masih mahu bertarung untuk kelab, pemain mana yang sekadar menjadi penumpang dan pemain mana yang hatinya sudah tidak lagi berada di Old Trafford. Solskjaer perlu memastikan pemain-pemain yang ada dalam skuadnya semasa aksi pra musim nanti ialah mereka-mereka yang sedia `memberikan hatinya untuk United’, bukan mereka yang cuba berlagak seperti superstar ketika di atas padang.

Saya menanti Solskjaer mengotakan kata-katanya bahawa beliau akan melepaskan beberapa pemain yang dilihatnya sudah tidak memiliki rasa ghairah menyarung jersi kelab. Sangat menarik untuk melihat `duri’ mana yang bakal dicabut keluar oleh Solskjaer nanti... mungkin sedikit sakit pada awalnya tapi saya percaya United akan kembali berjalan seperti biasa selepas `duri’ itu dikeluarkan. Untuk mencabut `duri’ itu keluar, Solskjaer bukan sahaja perlukan ketegasan tetapi juga keberanian untuk melakukannya. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan