23 April 2019

OLE, KORBAN DARI SKUAD USANG UNITED?



Bolehkah kita melupakan sebarang impian mahu melihat Manchester United menamatkan saingan liga musim ini di kedudukan empat teratas selepas kekalahan besar lagi memalukan yang dialami mereka ketika berdepan Everton di Goodison Park kelmarin? Kemenangan besar (4-0) yang dilakar Everton itu juga menyaksikan skuad The Toffees menyertai Newcastle United, Manchester City dan Chelsea sebagai kesebelasan yang pernah menewaskan United dengan margin jaringan empat gol sepanjang sejarah Liga Perdana.

Kita terpaksa mengakui bahawa Everton adalah kesebelasan yang jauh lebih unggul berbanding United sejak minit pertama permainan meskipun Ole Gunnar Solskjaer menurunkan barisan `hampir terbaiknya’ di Goodison Park. Ketumpulan trio jentera serangan yang dibarisi Romelu Lukaku, Anthony Martial dan Marcus Rashford selain persembahan buruk benteng pertahanan antara penyakit yang perlu segera diubati oleh Solskjaer jika beliau tidak mahu United berdepan nasib lebih buruk pada baki perlawanan mereka selepas ini.

Pertama Kali Sejak 1981

Kekalahan besar kepada Everton kelmarin menyaksikan barisan kendalian Solskjaer menyamai pencapaian skuad  United pada musim 1980-81 bimbingan Dave Sexton yang tewas lima perlawanan berturut-turut di gelanggang lawan. Selain itu empat gol yang menembusi pintu gol David De Gea juga menyaksikan gawang United sudah dibolosi 48 gol dalam saingan liga setakat ini. Menurut catatan OPTA, ini merupakan rekod bolos terburuk pernah dialami United sejak musim 1989-90, dimana pada musim tersebut pihak lawan berjaya menembusi gawang Jim Leighton sebanyak 47 kali.

Buruknya Kualiti Pertahanan United

Sudah berkali-kali disebut bahawa titik kelemahan paling ketara United musim ini ialah benteng pertahanan mereka dan di Goodison Park prestasi buruk yang dipamerkan Victor Lindelof, Chris Smalling, Phil Jones dan Diogo Dalot memudahkan lagi kerja-kerja barisan hadapan Everton menembusi pintu gol David De Gea. Apa lagi yang boleh anda katakan selepas menyaksikan pintu gol United dibolosi tujuh gol dalam tempoh hanya empat hari selain bersetuju dengan cadangan Gary Neville agar Solskjaer melakukan rombakan besar di benteng pertahanan skuadnya bagi menghadapi saingan musim hadapan.

Mengikut statistik, lima dari tujuh gol yang dilepaskan United dari dua perlawanan terakhir mereka dihasilkan lawan menerusi percubaan dari luar petak penalti. Dan di Goodison Park kegagalan benteng pertahanan menutup ruang membolehkan Everton menjaringkan gol menerusi dua percubaan jarak jauh hasil ledakan Gylfi Sigurdsson dan Lucas Digne. Jones dan Smalling antara dua pertahanan paling berpengalaman dimiliki United tetapi sejak akhir-akhir ini kemampuan mereka selaku `komander’ di barisan belakang mula diperdebatkan baik oleh penyokong mahupun penganalisis.

Jones dan Smalling seperti sudah mencapai tahap statik dalam permainan mereka manakala Lindelof yang sering disebut-sebut sebagai pertahanan terbaik United musim ini masih di bawah standard pertahanan kelas dunia. Apa yang perlu dilakukan Solskjaer musim panas nanti ialah mendapatkan seorang pertahanan berprofil tinggi bagi mengukuhkan benteng skuadnya. Mungkin Liverpool boleh dijadikan contoh terbaik apabila kedatangan Virgil Van Dijk berjaya mengubah wajah pertahanan The Reds hinggakan mereka muncul sebagai kesebelasan paling kurang dibolosi setakat ini.

Patutkah Pogba Dan De Gea Dijual?

Saya tidak pernah meragui kualiti yang ada dalam diri David De Gea mahupun Paul Pogba. Berbanding yang lain, mungkin hanya mereka berdua pemain kelas dunia yang ada dalam skuad United ketika ini. Bagaimanapun sejak kebelakangan ini komitmen De Gea dan Pogba terhadap kelab mula diperdebatkan tatkala Real Madrid sering disebut-sebut sebagai destinasi yang bakal dituju dua pemain ini. Kontrak De Gea akan tamat pada Jun 2020 selepas United mengaktifkan klausa lanjutan kontrak beliau selama semusim, manakala Pogba pula akan kekal di Old Trafford sehingga 2021.

Hingga kini baik De Gea mahupun Pogba masih membisu berhubung masa depan mereka di Old Trafford. Mungkin juga tarikan beraksi di Santiago Bernabeu menyumbang kepada prestasi tidak menentu De Gea dan Pogba sejak kebelakangan ini. De Gea melakukan kesilapan mudah hingga membolehkan Lionel Messi menjaringkan gol kedua Barcelona ketika United dan gergasi Catalan itu berdepan dalam saingan Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu. Di Goodison Park pula, tidak banyak yang mampu dilakukan De Gea bagi menyelamatkan United hinggakan gawang beliau dibolosi sebanyak empat kali.

Di Nou Camp dan Goodison Park, Pogba kembali kepada prestasi hambarnya di era Jose Mourinho apabila beliau gagal melaksanakan tugasnya selaku penggerak jentera tengah United. Selepas prestasi buruk yang dipamerkan anak-anak buahnya ketika berdepan Everton, Ole Gunnar Solskjaer memberikan isyarat bahawa beliau sudah bersedia melepaskan beberapa tonggak utama dalam skuad yang ada sekarang dalam usahanya merevolusikan United. Kritikan yang dilemparkan Solskjaer ke atas pemainnya selepas aksi buruk menentang Everton mungkin yang paling keras sejak beliau tiba di Old Trafford Disember tahun lalu.

Ketika ditanya pihak media tentang rasa tanggungjawab pemain terhadap kelab, Solskjaer dengan keras berkata, “Saya tidak tahu. Anda sepatutnya bertanyakan soalan ini kepada mereka. Jika anda mahu bermain untuk kelab ini, anda harus memberikan yang terbaik. Saya inginkan kejayaan di sini tetapi ada antara pemain yang tidak akan berada dalam bahagian (kejayaan) tersebut”. Bagi Jamie Carragher yang juga merupakan lagenda Liverpool, beliau tanpa berselindung mengatakan bahawa United sepatutnya menjual De Gea dan Pogba musim panas nanti.

Mengambil contoh Liverpool yang pernah ditinggalkan Robbie Fowler, Luis Suarez dan Steven Gerrard, Carragher berkata, “Ketika saya di Liverpool, kami memiliki beberapa pemain hebat seperti Stevie Gerrard, Robbie Fowler dan Luis Suarez yang anda fikir bahawa kami tidak boleh kehilangan mereka. Saya fikir De Gea cuba mengawal kontraknya, begitu juga dengan Paul. Buat keputusan yang betul dan dapatkan pemain lain. Jangan lupa betapa besarnya kelab dan kuasa yang mereka ada. Jangan biarkan pemain ini mengawal kontrak mereka dan menunjukkan sikap yang kurang baik. Singkirkan saja mereka”.

Secara peribadi saya berpendapat jika United gagal bermain di Liga Juara-Juara musim hadapan, mereka sepatutnya sudah bersedia membiarkan tonggak pasukan seperti De Gea dan Pogba mencari haluan baharu. Selain De Gea dan Pogba, lima lagi pemain yang semakin menghampiri pintu keluar dari Old Trafford ialah Ander Herrera, Juan Mata, Romelu Lukaku, Eric Bailly dan Alexis Sanchez. Tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara memang menyakitkan tetapi kekalahan besar kepada lawan domestik seperti Everton saya fikir benar-benar meragut motivasi para pemain menjelang baki empat lagi perlawanan selepas ini.

Jangan Salahkan Solskjaer

Meskipun berjaya mengubah penampilan United di peringkat awal ketibaan beliau di Old Trafford Disember tahun lalu, Solskjaer akhirnya terpaksa berdepan tekanan hebat selepas melihat skuad kendaliannya mengalami penurunan prestasi secara drastik. United mengalami enam kekalahan dari lapan perlawanan terakhir mereka dalam semua kejohanan, manakala bukan sedikit penyokong yang mula sangsi dengan kemampuan skuad The Red Devils ini layak ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan. Hentaman Everton di Goodison Park memang menyakitkan jadi saya faham apa yang anda rasakan ketika ini.

Ketika kritikan demi kritikan mula menerpa ke arah Solskjaer, kita juga perlu mengakui bahawa beliau sebenarnya mewarisi skuad `yang sakit dan usang’ peninggalan Sir Alex Ferguson, David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho. Bahkan ketika ini pun Solskjaer terpaksa menyandarkan harapan kepada pemain-pemain `usang’ yang ditinggalkan Fergie seperti Ashley Young, Chris Smalling dan Phil Jones untuk mengawal benteng pertahanan United. Itu belum lagi diambilkira prestasi `yoyo’ membabitkan pemain-pemain berpengaruh seperti Paul Pogba, Jesse Lingard, Marcus Rashford dan Anthony Martial yang sering menimbulkan tanda tanya.

Di sebalik semua itu, Solskjaer pada pendapat saya sudah melakukan tugasnya dengan baik, mengubah United dari kesebelasan terumbang-ambing yang pada awalnya tidak diberikan sebarang harapan kepada antara pesaing merebut kedudukan kelompok empat teratas. Begitu juga dengan kemampuan kelab mara hingga ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara. Secara ringkasnya ini bukanlah `skuad Solskjaer’ kerana beliau terpaksa menggunakan set pemain yang ada hasil campuran dari sisa peninggalan Fergie, Moyes, Van Gaal dan Mourinho.

Jika mahu dibandingkan dengan barisan pemain dimiliki Manchester City, Liverpool dan Tottenham Hotspurs, United pada pandangan saya tertinggal jauh dari segi kualiti. Tugas berat yang bakal menanti Solskjaer bukan meletakkan United di posisi empat teratas, tetapi misi besarnya ialah meningkatkan kualiti pasukan agar setanding Manchester City, Liverpool dan Spurs sebelum musim baharu bermula nanti. Dengan wang yang bakal diberikan kepada beliau untuk dibelanjakan, Solskjaer berpeluang membentuk skuad impiannya sendiri. Berharaplah agar Solskjaer sukses di sini kerana sangat indah melihat United berjaya di tangan lagenda mereka sendiri. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan