24 Januari 2020

BUANGKAN KEBENCIAN ANDA DAN BERIKAN SEDIKIT RASA HORMAT BUAT ASHLEY YOUNG



Teka teki tentang masa depan Ashley Young berakhir selepas perpindahan pemain itu ke Inter Milan diumumkan secara rasmi awal pagi Sabtu lalu. Inter mengesahkan bahawa pemain berusia 34 tahun itu menyertai mereka pada jendela perpindahan pertengahan musim menerusi nilai perpindahan sebanyak €1.5 juta. Young diberikan kontrak selama setengah musim dengan opsyen lanjutan kontrak selama semusim lagi jika Inter berpuashati dengan prestasi dipamerkan bekas pemain Aston Villa itu.

Perpindahan ini juga akhirnya merealisasikan hasrat Young untuk keluar dari Old Trafford pada Januari ini meskipun awalnya Ole Gunnar Solskjaer menolak idea tersebut kerana beliau berpendapat bahawa veteran itu yang juga merupakan kapten pasukannya masih berada dalam perancangan beliau hingga akhir musim 2019/20. Di Old Trafford, Young melakukan 261 penampilan untuk United dalam semua peringkat kejohanan sejak ditandatangani Sir Alex Ferguson pada 2011 dan berjaya menjaringkan 19 gol.

Bersama skuad kendalian Antonio Conte pula, Young akan diberikan jersi nombor 15 dan bakal bekerjasama semula dengan bekas rakan sepasukannya di Old Trafford iaitu Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez. Menerusi akaun Twitter beliau, Young menulis, “Untuk United, anda memberikan saya kesempatan bermain bersama legenda, memenangi trofi, bekerja dengan pengurus terbaik dalam sejarah dan menjadi kapten. Terima kasih kerana memberi saya peluang menjadi sebahagian dari sejarah sepanjang lapan setengah tahun itu”.

Angin Baharu

Minat Conte terhadap Young bukanlah perkara baharu kerana pengendali itu sudah memerhatikan potensi Young sejak beliau masih mengendalikan Chelsea lagi. Di San Siro, Conte berpendapat Young mampu memikul peranan sebagai salah seorang dari bek sayap dalam skema formasi 3-5-2 yang digunakan beliau dalam permainan Inter. Kebolehan Young untuk bermain lebih dari satu posisi juga bakal menjadi nilai tambah kepada keberadaan beliau bersama skuad La Beneamata itu.

Sepertimana yang anda tahu, Young bukanlah pemain Inggeris pertama menyarung jersi Inter. Pada musim 1961/62, Gerry Hitchens adalah pelopor pertama pemain Inggeris yang mengerah kudrat bersama gergasi Itali itu. Apa yang menariknya, sama seperti Young, Hitchens juga pernah bermain untuk Aston Villa. Langkah Hitchens kemudiannya dituruti Paul Ince, 34 tahun selepas itu apabila beliau menyertai Inter dari United pada tahun 1995 selepas Fergie melakukan rombakan besar-besaran dalam skuadnya.

Meskipun berjaya membantu United menjulang sepuluh trofi sepanjang karier beliau di Old Trafford, Ince bagaimanapun gagal memenangi sebarang kejuaraan sepanjang dua musim beliau menyertai Inter. Meskipun begitu, Ince adalah motivasi tambahan mengapa Young memilih menyertai Inter. “Paul Ince adalah legenda. Jika saya boleh mengikut jejaknya, itu sudah cukup membuatkan saya gembira. Saya berharap boleh membuatkan penyokong gembira dan memenangi trofi di sini”, kata Young.

Serie A bakal menjadi pentas dan `udara’ baharu buat karier Young, kerana sepanjang 17 tahun karier profesionalnya, Young tidak pernah bermain di luar liga Inggeris. Adanya Lukaku dan Sanchez di sana, bakal memudahkan lagi proses adaptasi Young terhadap budaya bolasepak dan kehidupan di Itali. Lukaku boleh dijadikan rujukan terbaik untuk Young apabila penggempur Belgium itu sudah memberikan impak kehadirannya di San Siro apabila muncul penjaring terbanyak Inter setakat ini menerusi 18 gol yang dihasilkannya.

Bermulanya Karier Profesional Young

Young memulakan kariernya bersama Watford pada 2000 sebelum melakukan penampilan pertama bersama skuad senior The Hornets itu pada 2003. Selama empat musim menyarung jersi Watford, Young melakukan 98 penampilan dan menjaringkan 19 gol. Penampilan cemerlang Young bersama Watford berjaya menarik minat Martin O’Niell untuk membawa beliau beraksi di Villa Park. Pada musim panas 2007, Young menyertai Aston Villa menerusi nilai perpindahan sebanyak £8 juta.

Penampilan cemerlang beliau bersama Villa di posisi sayap kanan akhirnya menarik perhatian Steve McClaren untuk menyenaraikan namanya dalam skuad kebangsaan England. Pada 16 November 2007, Young melakukan penampilan pertama bersama skuad The Three Lions ketika mereka berdepan Austria dalam aksi persahabatan. Lima musim di Villa Park, melakukan 190 penampilan dan menjaringkan 38 gol selain pernah dinamakan sebagai PFA Young Player of The Year pada 2009, Young kemudiannya menyertai United pada 2011.

Karier Di Old Trafford

Pada 14 Ogos 2011, Young melakukan penampilan pertamanya secara rasmi dalam seragam merah United. Aksi menentang West Bromwich Albion itu merupakan debut yang sempurna buat Young apabila beliau berjaya menyumbangkan satu assist yang disempurnakan Wayne Rooney. Meskipun Shane Long berjaya menyamakan kedudukan, United akhirnya meraih tiga mata selepas Steven Reid menjaringkan gol sendiri hanya sembilan minit sebelum masa sebenar perlawanan tamat. Kredit untuk Young atas penglibatan beliau hingga terhasilnya gol sendiri jaringan Reid itu.

Gol pertama Young untuk United kemudiannya hadir ketika skuad The Red Devils itu mencatatkan kemenangan besar (8-2) ke atas Arsenal dalam aksi yang dilangsungkan di Olf Trafford pada 28 Ogos 2011. Jika bukan kerana hatrik Wayne Rooney, Young pastinya akan dinobatkan sebagai bintang perlawanan itu menerusi dua gol yang dijaringkannya di minit ke-28 dan ke-90. Musim pertamanya di Old Trafford, Young menjaringkan enam gol dan mencipta 11 assist dalam saingan liga dari 25 penampilan, lantas membolehkan beliau merebut tempat dalam skuad Roy Hodgson ke pusingan akhir kejohanan Euro 2012.

Selepas berakhirnya kempen Euro skuad England di Poland dan Ukraine itu, prestasi Young mula menurun disebabkan beberapa siri kecederaan yang dialaminya. Kecederaan juga akhirnya membataskan penampilan Young pada musim terakhir Fergie sebagai pengendali di Old Trafford. Saat Fergie memerlukan Young untuk melengkapkan formasi 4-2-3-1 beliau, Young pula sebaliknya lebih banyak menghabiskan masa di bilik rawatan. Kondisi Young tidak lagi sama seperti dahulu dan secara beransur-ansur beliau hilang cengkaman diposisi sayap kanan kepada Adnan Januzaj.

Bertukar Posisi

Ramai pihak yang menjangkakan ketika kedatangan Angel Di Maria ke Old Trafford, karier Young bersama kelab juga bakal berakhir. Bagaimanapun perkara sebaliknya berlaku kerana kedatangan Di Maria seolah-olah memberi nafas baharu kepada karier Young. Di era Louis Van Gaal yang sangat sinonim dengan formasi 3-5-2, Young diplotkan pengendali Belanda itu untuk berperanan sebagai wingback. “Saya belum pernah bermain sebagai bek sayap. Tetapi bolasepak menuntut untuk anda banyak berfikir. Saya pernah bermain di banyak posisi dan itu banyak membantu saya”, kata Young.

Di atas padang, Young membuktikan bahawa kata-katanya bukan sekadar cakap kosong. Kemampuan beradaptasi dengan cepat menerusi peranan baharu dalam skema formasi Van Gaal membolehkan Young menguasai posisinya selaku bek sayap meskipun United ketika itu memiliki beberapa pemain yang boleh beraksi di posisi tersebut. Meskipun masih bergelut dengan beberapa siri kecederaan yang dialaminya, Young sentiasa menjadi pilihan Van Gaal untuk membarisi kesebelasan United ketika beliau cergas.

Pada fasa awal kedatangan Jose Mourinho pula, Young tidak banyak diberikan kesempatan bermain. Pada musim 2016/17, Young hanya melakukan 12 penampilan liga untuk United dengan catatan hanya satu assist dan tanpa jaringan gol. Kejayaan menjulang trofi Liga Europa seolah-olah menyuntik angin segar dalam karier Young. Pada musim kedua Mourinho di Old Trafford, Young berjaya melakukan 30 penampilan liga, selain menyumbang empat assist dan dua kali beliau berjaya meledak gawang lawan.

Perubahan posisi dari pemain sayap kepada bek sayap ketika era Van Gaal menyaksikan karier Young yang tampak semakin malap menyala semula. Sama ada Mourinho mahu meletakkan beliau di sisi kanan ataupun kiri, Young sentiasa mampu memainkan peranan baharunya itu dengan berkesan. Tatkala Mourinho berdepan masalah kualiti barisan belakang skuadnya, Young pula merupakan satu-satunya pertahanan paling konsisten yang dimiliki beliau ketika itu. Membantu United menamatkan saingan liga musim 2017/18 di tangga kedua, bukanlah sesuatu yang terlalu buruk untuk Young.

Sebagai seorang bek sayap, catatan yang dilakukan beliau dibenteng pertahanan United juga sangat menarik untuk diperhatikan. Untuk seorang pemain yang sebelumnya selama bertahun-tahun berperanan sebagai pemain sayap, catatan 57 intercept dilakukan Young sepanjang musim 2017/18 sebenarnya sangat mengagumkan. Catatan ini meletakkan beliau di tangga ketiga sebagai pemain United paling banyak melakukan intercept selepas Nemanja Matic (64) dan Chris Smalling (63).

Sebagai seorang bek sayap, Young sudah tentu tidak terikat dengan kerja-kerja ketika bertahan. Bagaimanapun kelemahan ketara yang dimiliki Young dalam situasi offensive ialah kemampuan beliau melakukan hantaran-hantaran silang yang tepat. Sejak ketika era beliau bersama Watford lagi, ketepatan hantaran silang Young tidak pernah mencapai angka 50%. Malahan pada musim 2016/17, peratusan ketepatan hantaran silang yang dilakukan beliau cuma 16% sahaja

Young bukanlah seperti David Beckham yang mampu melakukan hantaran-hantaran silang `membunuh’ terus ke dalam petak penalti lawan. Kekuatan sebenar dalam permainan beliau ialah kemampuan melakukan dribble dan gemar menusuk masuk ke dalam petak penalti lawan menerusi kelajuan yang dimilikinya. Pada usia 34 tahun, bermain pula di posisi bek sayap untuk kesebelasan yang berdepan masalah di benteng pertahanan seperti United, tentulah sukar untuk beliau mempamerkan prestasi sama ketika bersama Watford, Villa atau ketika fasa awal kariernya di Old Trafford.

Titik Kelemahan United?

Aksi menentang Barcelona di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara musim lalu memperlihatkan betapa bergelutnya Young dalam melaksanakan tugasnya sebagai bek sayap. Ramai yang mengatakan bahawa Young adalah titik kelemahan United dalam perlawanan itu. Di pusingan pertama, beliau melepaskan sebelas hantaran silang tetapi tiada satu pun yang tepat ke sasaran. Kelemahan inilah yang menyebabkan United selama ini hilang kreativiti ketika mereka melancarkan serangan dari posisi yang diisi oleh Young.

Bagaimana pula dengan kemampuan bertahan yang dimiliki oleh beliau? Mengikut catatan WhoScored, sehingga aksi ke-22 liga United musim ini, Young melakukan purata tackle 1.2 kali per perlawanan. Catatan ini mengatasi angka yang dilakukan Harry Maguire (1.1 tackle per perlawanan) dan Victor Lindelof (0.7 tackle per perlawanan). Selain daripada itu, beliau juga berjaya mengatasi purata catatan intercept yang dilakukan Lindelof (0.8 per perlawanan), apabila Young melakukan purata 0.9 intercept per perlawanan.

Terima Kasih Ashley Young

Disiplin dan kerja keras antara faktor mengapa Young masih mampu bertahan hingga ke hari ini, juga penyebab mengapa beliau masih mampu menarik minat kelab besar seperti Inter Milan dan pengendali berprofil tinggi seperti Antonio Conte. Bagaimanapun agak malang ketika fasa-fasa terakhir karier beliau bersama United, Young antara pemain yang sering dijadikan `kambing hitam’ di sebalik prestasi tidak menentu dipamerkan barisan The Red Devils.

Dari serangan berbaur perkauman yang diterimanya pada April tahun lalu, kritikan tajam hanya kerana sekotak permainan UNO yang dibawanya ke padang latihan, hinggalah kepada cercaan demi cercaan yang dilemparkan penyokong setiap kali beliau beraksi di atas padang, tetap dibalas Young dengan sebuah senyuman. Perpindahan Young ke Inter bukan hanya menandakan berakhirnya era lapan tahun setengah pengabdian beliau di Old Trafford, tetapi United turut kehilangan sosok seorang pemimpin di atas padang.

Young meminta untuk berpindah kerana beliau sedar bahawa dirinya sudah tidak lagi layak bermain untuk United. Pada usia 34 tahun, sudah tentu Young juga sedar bahawa dirinya tidak lagi berada dalam perancangan Solskjaer yang mahu membina skuadnya berteraskan kepada bakat-bakat muda. Serie A adalah medan yang cukup cocok untuk pemain berusia seperti Young. Di sini pemain-pemain seperti Gianluigi Buffon, Zlatan Ibrahimovic, Sergio Floccari, Rodrigo Palacio atau Franck Ribery yang jauh lebih tua berbanding Young masih gagah memperagakan aksi mereka.

Anda mungkin memiliki seribu alasan untuk membenci Young, tetapi satu hakikat yang tidak boleh anda sangkal ialah betapa cintanya beliau kepada Manchester United. Beliau tidak pernah peduli dengan cercaan yang diterimanya. Juga tidak pernah peduli meskipun terpaksa keluar dari zon selesa untuk beralih ke posisi bek sayap. Dalam apapun situasi dan tekanan yang diterimanya, Young sentiasa cuba memberikan `hanya yang terbaik’ ketika beliau diamanahkan menyarung jersi keramat The Red Devils.

Bilik persalinan United pastinya akan terasa sedikit sepi, kerana di sana tiada lagi seorang pemain yang memiliki sisi humourist dan juga motivator hebat yang mampu merangsang semangat rakan-rakan sepasukan ketika mereka berada di bawah tekanan. Young tidaklah sehebat Ryan Giggs, Roy Keane, Paul Scholes atau Wayne Rooney. Tetapi untuk segala sumbangan yang sudah diberikannya selama lapan musim setengah menyarung jersi United, berilah sedikit penghargaan dan penghormatan kepada beliau. Semoga sukses di sana dan terima kasih untuk segalanya Ashley Young…Glory Glory Manchester United!!!

20 Januari 2020

LIVERPOOL...YANG HAMPIR MUSTAHIL UNTUK DISEKAT



Tiada mana-mana penyokong yang mahu melihat pasukan mereka kalah, begitu juga dengan saya. Ya…satu lagi kekalahan dialami Manchester United dalam aksi liga mereka, dan kali ini mereka tewas kepada kesebelasan yang sedang dalam perjalanan menjulang trofi liga pertama mereka dalam tempoh 30 tahun. Liverpool memang kelihatan begitu superior musim ini dan kelihatannya mereka juga mampu mengulangi pencapaian skuad Invincible Arsenal pada musim 2003/04.

Dari 22 aksi liga setakat ini, Liverpool merakam 21 kemenangan dan satu keputusan seri. Nampaknya United masih lagi muncul satu-satunya pasukan yang berjaya membuatkan barisan kendalian Jurgen Klopp itu keciciran mata. Saat mereka memulakan aksi di Anfield awal pagi tadi, tidak banyak sebenarnya harapan yang mampu diberikan kepada barisan kendalian Ole Gunnar Solskjaer untuk mengulangi pencapaian mereka ketika memaksa Liverpool berkongsi mata pada Oktober lalu.

Liverpool merupakan sebuah kesebelasan yang serba lengkap di setiap posisi, dan mereka juga merupakan pasukan favourite apatah lagi bila beraksi di Anfield. United akhirnya tewas 0-2 menerusi gol jaringan Virgil Van Dijk dan Mo Salah, tetapi penampilan keseluruhan anak-anak buah Solskjaer dalam perlawanan ini tetap wajar diberikan pujian. Jadi meskipun dalam duka, saya tetap berpuashati dengan prestasi keseluruhan United di Anfield.

Martial Yang Masih Sama

Sepertimana kata Solskjaer selepas tamat perlawanan, United memberikan reaksi yang sangat baik terutamanya pada sepuluh minit pertama permainan ketika lawan memberikan tekanan. Sepanjang 90 minit permainan, United bermain sepertimana mereka sepatutnya bermain. Meskipun sedar lawan memiliki segala kelebihan di segenap segi, United masih mampu bermain secara terbuka, melakukan build up dan beberapa kali berjaya mencipta peluang jaringan gol.

Mungkin jika tidak kerana kegopohan Anthony Martial menyempurnakan peluang terhidang di hadapan pintu gol lawan, United sepatutnya boleh pulang ke Old Trafford dengan satu mata. Peluang yang terhidang di minit ke-58 itu sepatutnya meletakkan nama Martial dalam senarai penjaring perlawanan ini. Tetapi malangnya peluang terbaik itu disia-siakan beliau menerusi satu percubaan liar yang melambung tinggi.

Agak malang, Martial yang memikul peranan sebagai penyerang utama hanya mampu melepaskan tiga percubaan dan hanya satu daripadanya menepati sasaran. Sepanjang musim ini, Martial direkodkan sudah melepaskan sekurang-kurang enam peluang terbaik untuk menjaringkan gol, manakala purata jaringannya dalam setiap perlawanan pula cuma sebesar 0.47 gol per perlawanan.

Selaku penyerang, Martial sepatutnya belajar daripada Van Dijk bagaimana caranya mahu menjadi wira dalam perlawanan penting. Memetik catatan dari Opta, pertahanan tengah Liverpool itu sudah menghasilkan lapan gol dalam saingan liga sejak beliau berpindah ke Anfield pada Januari 2018. Catatan itu juga menyaksikan beliau muncul pemain pertahanan paling banyak menjaringkan gol di Liga Perdana.

Krisis Penyerang

Ketiadaan Marcus Rashford dalam perlawanan ini merupakan satu kehilangan yang besar buat barisan hadapan United. Bukan sahaja ketiadaan Rashford menyebabkan kemampuan United untuk menghasilkan gol berkurangan, malah daya serangan mereka juga terjejas. Saya tiada masalah dengan kemampuan United ketika mereka melakukan buildup, kerana Martial dan Andreas Perreira nampaknya melakukan tugas mereka dengan cukup baik.

Bagaimanapun tanpa seorang finisher sebagus Rashford, segala usaha yang dilakukan United untuk cuba menembusi pintu gol lawan menjadi sia-sia. Tambah memeritkan, mereka juga turun ke Anfield tanpa kelibat Paul Pogba dan Scott McTominay di bahagian tengah. Ketika Rashford dijangkan hanya akan kembali beraksi dalam tempoh enam minggu lagi, Solskjaer nampaknya tiada pilihan lain selain mengaktifkan pencarian dalam bursa perpindahan pertengahan musim bagi mendapatkan pengganti Rashford di jentera serangan.

Sasaran Solskjaer nanti tentunya untuk jangka pendek kerana sukar sebenarnya memancing pemain utama dari pasukan lain pada pertengahan musim. “Jika anda kehilangan pemain seperti Pogba, McTominay dan Rashford, anda  pastinya akan terjejas. Kami mungkin akan melihat sebarang peluang mendapatkan pengganti pada Januari ini. Namun ianya hanya untuk jangka masa pendek. Kami tidak akan mengubah sasaran pemain yang sudah kami tetapkan dalam senarai perbelanjaan musim panas kami”, kata Solskjaer.

Taktik Solskjaer

Andy Robertson dan Trent Alexander-Arnold antara nadi kekuatan Liverpool. Dua fullback ini antara watak penting dalam skema permainan Liverpool sama ada dalam situasi defensif mahupun ofensif. Belajar dari apa yang dilakukan Tottenham Hotspurs saat mereka berdepan Liverpool minggu lalu, Solskjaer menggunakan pendekatan formasi 3-4-1-2 di Anfield. Dua bek sisi United diisi Aaron Wan-Bissaka serta Brandon Williams untuk berdepan dengan Robertson dan Alexander-Arnold.

Dari segi pemainan, saya akui Robertson dan Alexander-Arnold punya kualiti lebih baik. Bagaimanapun kredit tetap wajar diberikan kepada Wan-Bissaka dan Williams kerana berjaya mengekang setiap pergerakan yang cuba dilakukan Robertson serta Alexander-Arnold dari sisi kiri dan kanan. Tidak banyak hantaran-hantaran lintang yang mampu dilakukan dua fullback Liverpool ini, jadi tidak hairanlah mengapa anda melihat `pertempuran’ lebih banyak tertumpu di bahagian tengah.

Penutup

Apa yang dapat anda perhatikan dalam perlawanan ini ialah Liverpool kehilangan intensiti dalam permainan mereka sepanjang 20 minit terakhir permainan. Ya…mereka berjaya menambah gol kedua di penghujung permainan menerusi Mo Salah, tetapi gol itu berlaku selepas hampir kesemua pemain-pemain United berada dalam petak penalti lawan dalam usaha memburu gol penyamaan.

Ketika berdepan Spurs minggu lalu, perkara yang sama juga berlaku. Bukan mahu menidakkan kemampuan Liverpool, tetapi jika Spurs dan United mampu menurunkan kesebelasan terkuat mereka terutama membabitkan pemain di barisan hadapan, saya yakin mereka sekurang-kurangnya akan berjaya memaksa skuad kendalian Jurgen Klopp itu keciciran mata.

Liverpool unggul menerusi perbezaan 16 mata di tangga teratas berbanding Manchester City. Tetapi harus juga diingat bahawa mereka masih memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan. Dengan baki 16 perlawanan yang dimiliki mereka, Liverpool tampak seperti tidak lagi mampu disekat untuk menamatkan kemarau 30 tahun kejuaraan liga mereka.

Dari barisan pertahanan hinggalah ke barisan penggempur, Liverpool adalah kesebelasan yang sangat dicemburui ketika ini. Tiada mana-mana pasukan yang pertahanan mereka mampu menyumbangkan banyak gol dan assist sepertimana dilakukan Van Dijk, Alexander-Arnold dan Robertson. Van Dijk sudah mengumpul empat gol musim ini, manakala kombinasi Alexander-Arnold dan Robertson pula sudah menyumbang tiga gol serta mencipta 15 assist.

Ketika trio Salah, Mane dan Firmino tidak setajam musim sebelumnya, Klopp sangat beruntung kerana punya solusi lain untuk menggegar gawang lawan. Iaitu menerusi tiga pertahanan beliau yang sangat produktif ketika ini. Melihat kepada prestasi Liverpool setakat ini, saya percaya mereka tidak akan tergelincir lagi sepertimana musim-musim sebelumnya. Buat penyokong United, redhalah kerana trofi Liga Perdana sedang menuju ke Anfield. Glory Glory Manchester United!!! 

17 Januari 2020

KUNCI PENYELESAIAN ADA DI TANGAN JUAN MATA?



Manchester United memulakan tahun 2020 dengan langkah kiri selepas mereka mengharungi tiga aksi di awal tahun baru dengan dua kekalahan dan satu keputusan seri. Tewas 0-2 kepada Arsenal pada aksi liga, diheret keperlawanan ulangan saingan Piala FA selepas seri tanpa jaringan ketika berdepan Wolverhampton dan tewas besar 1-3 kepada Manchester City pada perlawanan pertama peringkat separuh akhir Piala Liga bukanlah cara yang sempurna untuk penyokong-penyokong United meraikan kedatangan alaf baharu.

Jadi sudah tentulah dengan cara apa sekalipun, aksi menentang Norwich City di Old Trafford pada Sabtu lalu merupakan aksi yang wajib dimenangi United. Akhirnya selepas alaf baharu memasuki hari kesebelas, United berjaya juga mengecap kemenangan. Apa yang penting, tiga mata penuh yang diraih ke atas Norwich City itu kembali menyalakan peluang United untuk mengejar kelompok empat teratas, manakala empat gol yang diledak ke gawang Tim Krull saya anggap sebagai satu bonus tambahan.

Aksi menentang Norwich City itu merupakan perlawanan yang sangat istimewa buat Marcus Rashford. Sepertimana yang anda tahu, sejak penampilan pertamanya pada 2016, ini adalah merupakan aksi ke-200 beliau dalam seragam merah United untuk semua kejohanan. Dah tambah manis, Rashford juga memilih tempat dan detik yang tepat untuk merayakan penampilan ke-200 beliau menerusi dua gol yang diledak ke gawang skuad The Canaries itu.

Dua gol yang dijaringkan Rashford ke gawang Norwich itu menyaksikan beliau sudah menjaringkan 14 gol dalam saingan liga musim ini. Jika prestasi sebegini berterusan, saya percaya Rashford mampu meletakkan dirinya sebagai pemain pertama selepas Robin Van Persie yang berjaya menjaringkan lebih 20 gol semusim untuk United di peringkat liga. Selain Rashford, penampilan pemain muda seperti Brandon Williams juga sangat menarik perhatian, manakala Mason Greenwood pula terus membuktikan bahawa dirinya adalah peledak masa depan United.

Magis Mata

Penampilan terpuji yang dipamerkan pemain muda United seperti Rashford, Williams dan Greenwood antara sisi positif yang dapat anda lihat di sebalik kemenangan besar United ke atas Norwich itu. Namun begitu jangan lupakan juga sentuhan magis Juan Mata di bahagian tengah. Aksi menentang Norwich ini merupakan penampilan penuh pertama Mata untuk United dalam saingan liga musim ini.

Mungkin juga selepas mendengar keluh kesah penyokong-penyokong yang rimas dengan prestasi semasa Jesse Lingard, Solskjaer akhirnya akur dan memilih untuk menurunkan Mata dalam kesebelasan utamanya. Pendekatan Norwich yang bermain secara defensif memang sudah boleh dijangka sejak awal lagi, jadi keputusan Solskjaer menurunkan pemain tengah kreatif seperti Mata merupakan satu keputusan yang tepat.

Kreativiti, visi permainan dan kemampuan melakukan key passes antara kelebihan yang ada pada Mata. Keberadaan beliau di atas padang selama 90 minit tidak lain dan tidak bukan adalah bertujuan untuk merosakkan koordinasi Norwich ketika mereka bertahan. Apa yang menariknya, Solskjaer tidak meletakkan Mata di posisi pemain tengah menyerang, iaitu posisi azalinya. Di belakang Anthony Martial, Solskjaer sebaliknya memilih Andreas Perreira, manakala Mata pula diberikan peranan untuk bergerak sebagai inverted winger (di sisi kanan).

Peranan sebagai inverted winger di sisi kanan diberikan kepada Mata kerana kemampuan beliau melakukan hantaran-hantaran tepat menerusi kaki kirinya. Lihat sahaja dua gol United menerusi Rashford dan Martial terhasil menerusi bantuan gol yang dilakukan Mata dari kaki kiri beliau. Satu keputusan yang sangat tepat dilakukan Solskjaer dengan tidak meletakkan Mata di posisi azalinya (pemain tengah menyerang), apabila bekas pemain Valencia dan Chelsea itu muncul `bintang perlawanan’ menerusi dua assist yang disumbangkannya dari sisi kanan.

Masih Bernilai

Setakat ini Mata hanya berpeluang tampil sebanyak 13 kali dalam saingan liga musim ini. Dari jumlah tersebut beliau cuma disenaraikan dalam kesebelasan utama sebanyak lima kali. Aksi menentang Norwich City ini juga merupakan penampilan pertama Mata dalam kesebelasan utama United sejak 1 Disember 2019. Meskipun sering tersisih, Mata membuktikan kepada kita bahawa United sebenarnya masih memerlukan sentuhan kreatif beliau.

Sepanjang 90 minit aksi menentang Norwich, Mata melakukan 71 hantaran dengan peratus ketepatan hantaran yang dilakukannya mencapai 90%. Prestasi terpuji yang dipamerkan Mata dalam perlawanan ini saya harap menyedarkan Solskjaer bahawa warga Sepanyol berusia 31 tahun itu sebenarnya masih mampu memainkan peranan penting dalam kesebelasan United jika beliau diturunkan. Hal ini turut diakui Solskjaer dalam komentarnya selepas tamat perlawanan.

“Mata menunjukkan kualitinya. Dia memang luarbiasa. Dia mampu melakukan hantaran dan umpanan-umpanan silang yang sempurna. Jelas, dia adalah bahagian penting dalam pasukan kami. Kami juga mencipta lebih banyak peluang bila Mata bermain”, kata Solskjaer. Saya berharap apa yang dikatakan Solskjaer itu bukan sekadar kata-kata manis kerana Mata sememangnya wajar diberikan lebih peluang sepertimana yang pernah dinikmati Lingard sebelum ini.

Kualiti visi permainan Mata memang sudah lama kita ketahui, tetapi apa yang membuatkan beliau cukup bernilai (ketika aksi menentang Norwich) ialah United tidak memiliki stok playmaker tulen sepertinya. Selain itu Mata juga merupakan pemain kidal dan United sebenarnya tidak memiliki seorang pun pemain tengah menyerang yang memiliki kekuatan kaki kiri seperti beliau. Jadi, saya boleh anggap bahawa Mata adalah `elemen kejutan’ yang diberikan Solskjaer dalam usaha beliau memecah blok pertahanan Norwich.

Kunci Ditangan Mata?

Ketika ini United memerlukan penyelesaian terhadap masalah-masalah yang dihadapi mereka di atas padang. Tumpul kreativiti dan buntu dalam usaha memecah blok pertahanan rendah lawan antara masalah besar yang dihadapi mereka musim ini. Solskjaer cuba mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini, jadi atas sebab itulah mengapa kini Bruno Fernandes kembali dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford. Jika bukan Fernandes, kunci penyelesaian United boleh jadi datang dari dalam dan mungkin ia berada di tangan Mata.

Pada 2016, ketika Jose Mourinho datang, ramai yang meragui nasib Mata bersama United. Ramai pihak berpendapat bahawa nasib buruk yang menimpa Mata di Stamford Bridge ketika Chelsea di bawah kendalian Mourinho bakal berulang lagi. Di Stamford Bridge, Mourinho ketika itu lebih cenderung meletakkan Willian dan Oscar di bahagian tengah hingga menyebabkan Mata akhirnya memilih menyertai United pada Januari 2014. Bagaimanapun segala kebimbangan itu akhirnya cumalah spekulasi semata-mata.

Rupa-rupanya Mourinho memiliki rancangan lain untuk Mata, bahkan pengendali warga Portugal itu mengakui bahawa Mata adalah pemain penting untuk Chelsea dan juga United. “Untuk projek saya di Chelsea, dia (Mata) adalah pemain yang bagus. Untuk projek saya di Manchester United, dia adalah pemain yang sangat bagus”, kata Mourinho. Di sebalik segala keraguan tentang masa depan Mata di Old Trafford sebelum ketibaan Mourinho, beliau akhirnya berjaya melakukan 85 penampilan dari 122 aksi United di bawah kendalian The Special One.

Secara keseluruhannya, Mata menjaringkan 12 gol dalam saingan liga sepanjang era Mourinho di Old Trafford, atau puratanya beliau menjaringkan 0.28 gol per perlawanan. Angka ini nampak kecil tapi statistik tersebut sebenarnya lebih baik berbanding catatan yang dilakukan Mata sepanjang dua tahun setengah beliau menyarung jersi Chelsea (0.24 gol per perlawanan). Apa yang paling menariknya ialah, Mata sudah mula `diplotkan’ Mourinho untuk beroperasi di sisi kanan, posisi yang tidak pernah dimainkan beliau sebelum itu.

Adanya Wayne Rooney, Henrikh Mkhitaryan dan Paul Pogba menyebabkan peluang untuk Mata memikul peranan sebagai `pemain nombor 10’ semakin terbatas, sedangkan menerusi peranan itulah beliau berjaya mencipta 55 bantuan gol sepanjang dua musim pertamanya di Stamford Bridge. Tambah menyukarkan keadaan, beliau juga terpaksa bersaing dengan Jesse Lingard dan Alexis Sanchez untuk slot dalam kesebelasan utama United. Semoga dengan menjunamnya prestasi Lingard, Mata berpeluang memainkan peranan lebih penting dalam strategi dan skema permainan yang ingin digunakan Solskjaer nanti.

Penutup

United sudah terbukti menghadapi kesukaran setiap kali mereka berdepan dengan kesebelasan yang mengamalkan pendekatan permainan secara defensif. Sudah tentu masalah ini bukanlah disebabkan kurangnya ketajaman di barisan serangan semata-mata, tetapi turut disumbangkan oleh faktor kurangnya kreativiti di bahagian tengah.

Adakah penampilan terpuji Mata ketika berdepan Norwich dan gol tunggal jaringan beliau yang membawa United ke pusingan keempat Piala FA satu isyarat jelas darinya kepada Solskjaer bahawa kunci penyelesaian kepada permasalahan United selama ini sebenarnya berada di tangan beliau? Glory Glory Manchester United!!!

13 Januari 2020

TOLONGLAH ED....DAPATKAN PEMAIN BAHARU UNTUK KAMI



Jendela perpindahan pertengahan musim bagi saingan bolasepak England sudah berjalan hampir dua minggu. Bermula dari 1 Januari hinggalah ketika artikel ini ditulis, terdapat lima kelab Liga Perdana yang menggunakan kesempatan pada bursa perpindahan pemain pertengahan musim  untuk menguatkan skuad masing-masing dengan menandatangani pemain baharu. Kelab yang saya maksudkan ialah Aston Villa, Crystal Palace, Liverpool, Sheffield United dan Watford.

Dan sehingga artikel ini ditulis juga, penyokong-penyokong Manchester United masih lagi didendangkan dengan rumours demi rumours tentang minat kelab terhadap beberapa pemain yang Ole Gunnar Solskjaer percaya boleh menguatkan skuad kendaliannya. Nama-nama seperti Bruno Fernandes, Donny Van de Beek, James Maddison, Sean Longstaff dan Jadon Sancho antara yang hangat disebut-sebut oleh penyokong-penyokong United bakal mendarat di Old Trafford pada Januari ini.

Ketika tempoh jendela perpindahan pemain pertengahan musim bagi Liga Perdana masih berbaki lebih kurang dua minggu lagi sebelum ditutup, apakah agaknya kesudahan semua rumours yang mengaitkan minat United terhadap Fernandes, Van de Beek, Maddison, Longstaff atau Jadon Sancho ini? Adakah nanti berita-berita sensasi ini akan berakhir sebagai `berita sampah’, dan Solskjaer pula akhirnya akan berjuang mengemudi United menamatkan baki saingan musim ini dengan aset sedia ada dimilikinya?

`Ketidak pastian’ adalah frasa paling tepat menggambarkan hal ini, sama ada ketika kita bercakap tentang prestasi pasukan atau cerita tentang adanya pemain baharu yang bakal kelab tandatangani. Ketika kejutan berikutan kegagalan United mendapatkan tandatangan Erling Braut Haaland masih belum reda, adakah kita akan sekali lagi dikecewakan bila akhirnya kelab memutuskan untuk tidak menandatangani mana-mana pemain baharu sepanjang tempoh bursa perpindahan pertengahan musim berlangsung?

Solskjaer sudah menegaskan sebelum ini bahawa `beliau hanya akan bergerak’ jika mendapati ada pemain yang sesuai untuk dibawa masuk. “Perpindahan akan berlaku jika kami mendapati ada pemain yang sesuai pada bursa perpindahan kali ini. Jika ada pemain yang tepat, maka kami akan melakukan pembelian. Mendapatkan pemain sasaran? Mungkin tidak kerana tiada kelab mahu melepaskan pemain utama mereka pada bulan Januari”, kata Solskjaer selepas aksi menentang Arsenal di Emirates minggu lalu.

Contohilah City

Apa yang dikatakan Solskjaer selepas United tewas (0-2) di Stadium Emirates itu boleh dianggap seperti `tidak masuk akal’. Di Stadium Emirates, beliau mengakui bahawa barisan pemainnya bermain dengan sangat buruk manakala Mikel Arteta  pula menunjukkan bahawa Arsenal berada pada tahap berbeza berbanding United. Sepanjang 90 minit aksi di Stadium Emirates itu, Arsenal kembali mempamerkan corak bolasepak sebenar mereka. Arteta menggunakan pendekatan taktik counter-press hingga menyebabkan kesebelasan United gagal mengembangkan permainan mereka.

Jadi tidak hairanlah mengapa sepanjang babak pertama permainan, United hanya mempu melepaskan satu percubaan tempat kearah Bernd Leno menerusi kaki Marcus Rashford. Prestasi yang ditunjukkan barisan United ketika mereka berdepan Manchester City dalam aksi pertama peringkat separuh akhir Piala Liga juga sepatutnya menjadi indicator jelas bahawa bursa perpindahan pemain kali ini patut digunakan sepenuhnya oleh Solskjaer untuk memperkuatkan skuadnya dengan menandatangani pemain baharu.

Bursa perpindahan pemain pada bulan Januari sepatutnya menjadi waktu yang tepat untuk United melakukan penilaian separuh musim dan melihat sektor mana yang patut mereka perkuatkan bagi memastikan skuad cukup kompetitif mengharungi baki saingan musim ini. Sama ada anda suka atau pun tidak, kita akhirnya terpaksa mengakui bahawa Manchester City sebenarnya antara kelab yang sangat berjaya dalam melakukan kerja-kerja merekrut pemain baharu, terutamanya dalam tempoh beberapa musim terakhir.

Selepas berjaya menjulang trofi Liga Perdana pada musim 2017/18, Pep Guardiola mendedahkan rahsia bagaimana suksesnya City dalam urusan mereka. “Saya berbincang dengan staf saya. Saya juga berbincang dengan Txiki (Begiristain) dan juga Ferran (Sorriano) mengenai hal kewangan kelab. Perbincangan ini sentiasa berterusan sebelum kami memutuskan sisi baik dan buruk, umur, karakter, serta bagaimana mereka boleh beradaptasi dengan corak permainan kami. Selepas semuanya ok, barulah kami cuba dapatkan pemain yang kami inginkan”, kata Guardiola dalam rancangan Monday Night Football.

Beruntungnya City kerana memiliki sosok seperti Txiki Begiristain dan Ferran Sorriano dalam organisasi mereka. Begiristain sepertimana yang anda tahu berperanan sebagai Pengarah Bolasepak (Director of Football) manakala Sorriano pula bertindak selaku CEO. Selaku bekas pemain yang pernah melakukan 313 penampilan untuk Barcelona, ilmu bolasepak beliau tentunya melangkaui seorang bekas akauntan seperti Ed Woodward. Sementara itu Sorriano pula memiliki Master of Business Administration (MBA) serta disokong track record yang cukup cemerlang dalam bidang korporat.

Pembelian Bijak City Di Bulan Januari

City juga pernah menunjukkan kepada kita bahawa bulan Januari adalah waktu yang paling tepat untuk merekrut `pemain yang tepat’ bagi memperkuatkan pasukan. Jika anda masih ingat, pada penghujung tahun 2017 mereka berdepan krisis kecederaan di posisi pertahanan tengah hingga memaksa Guardiola merekrut Aymeric Laporte dari Athletic Bilbao pada pertengahan musim. City membayar £57 juta kepada Bilbao tetapi paling penting lihatlah impak yang diberikan Laporte kepada benteng pertahanan City selepas ketibaannya di Stadium Etihad.

Laporte cepat belajar serta beradaptasi dengan budaya bolasepak Inggeris dan paling penting kehadiran beliau di Stadium Etihad akhirnya menamatkan pencarian Guardiola untuk pengganti jangka panjang kepada Vincent Kompany. Sekali lagi karakter permainan serta kemampuan seseorang pemain itu untuk beradaptasi dengan corak permainan pasukan dijadikan indicator utama oleh Guardiola ketika beliau memilih untuk merekrut Laporte dari Bilbao. Malangnya kecederaan yang dialami Laporte pada September tahun lalu turut menjejaskan peluang City mempertahankan kejuaraan Liga Perdana yang mereka menangi musim lalu.

United dan Perpindahan Pertengahan Musim

Bulan Januari bukanlah waktu yang terlalu buruk untuk merekrut pemain baharu. United dan perpindahan bulan Januari juga bukanlah terlalu asing kerana ketika era Fergie, beliau pernah merekrut Nemanja Vidic, Patrice Evra, Louis Saha dan Henrik Larsson (pinjaman). Vidic dan Evra adalah pembelian terbaik pernah dilakukan Fergie pada bulan Januari. Namun begitu Fergie juga pernah melakukan beberapa siri kesilapan ketika beliau cuba mendapatkan `peluru tambahan’ untuk skuadnya pada pertengahan musim. Dong Fangzhou, Rodrigo Possebon, Manucho, Zoran Tosic, Ritchie de Laet, Frederic Vesseli dan Anders Lindegaard adalah kegagalan yang saya maksudkan.

Selepas era Fergie berakhir, United menandatangani tiga pemain pada pertengahan musim. David Moyes membawa masuk Victor Valdes dan Juan Mata pada Januari 2014, manakala Jose Mourinho pula melakukan pembelian sensasi pertengahan musim dengan merekrut Alexis Sanchez dari Arsenal. Malangnya Sanchez tidak sempat bermain dibawah arahan Mourinho kerana warga Portugal itu dipecat hanya 35 hari sebelum United mengumumkan secara rasmi perpindahan bintang antarabangsa Chile itu ke Old Trafford.

United Yang Tidak Efisien

Manchester City bukan sahaja sudah menguasai bandar Manchester tetapi mereka juga sudah meninggalkan United terlalu jauh dalam hal pengurusan. Ditangan Woodward, United tidak lagi efisien dalam bursa perpindahan pemain. Bukan hanya United kerana kelab seperti Chelsea sebenarnya juga berdepan masalah yang sama. Pada Januari tahun lalu, Maurizio Sarri mengeluarkan kenyataan mengejut berkaitan perpindahan Christian Pulisic ke Stamford Bridge. “Saya tidak tahu apa-apa tentang perpindahan Pulisic semalam. Kelab hanya bertanya pendapat saya tentang beliau beberapa bulan yang lalu, dan hari ini saya diberitahu bahawa perjanjian sudahpun dimeterai”, kata Sarri.

Sebelum itu Jose Mourinho dan Antonio Conte juga berdepan situasi serupa ketika Chelsea membeli Andriy Shevchenko dan Ross Barkley. Shevchenko ditandatangani Chelsea dari AC Milan pada 2006 atas kehendak Roman Abramovich manakala Conte pula pernah menyatakan rasa terkejut beliau atas pembelian Barkley dari Everton. Di Old Trafford, Mourinho sekali lagi berdepan situasi sama dan kali ini Woodward pula adalah dalangnya. Kenyataan yang dikeluarkan Woodward pada November 2018 memang jelas menunjukkan bahawa kuasa membeli pemain secara mutlak berada ditangan beliau.

“Kami tidak membeli pertahanan tengah pada musim panas lalu. Memang terdapat perbezaan pendapat antara pengurus dan pihak pengurusan. Kadangkala saya yang akan berkata tidak (untuk membeli pemain baharu), meskipun ia bukanlah mudah. Untuk berlaku adil saya memang ingin selalu menyokong pengurus tetapi pendapat pihak pengurusan juga patut diambilkira”, kata Woodward. Ketika Mourinho meletakkan Harry Maguire, Toby Alderweireld atau Diego Godin dalam radar buruannya, United pula sebaliknya menandatangani Fred, Diogo Dalot dan Lee Grant, manakala Alexis Sanchez pula tiba pada pertengahan musim.

Penutup

City sudah mengajar kita bagaimana suksesnya mereka dalam pasaran perpindahan pemain. Meskipun wang bukanlah masalah buat mereka, namun wang juga adakalanya tidak mampu `membeli kesuksesan’. Ketika Guardiola, Begiristain dan Sorriano semakin sukses membina kekuatan City, di Old Trafford pula Woodward tidak henti-henti dijadikan sasaran kebencian penyokong-penyokong United. Chant provokasi dari penyokong ketika aksi menentang Norwich City kelmarin adalah ekspresi terbaharu bagaimana bencinya mereka kepada sosok bernama Ed Woodward ini.

Jangan kecewa sekiranya anda mendapati United tidak menandatangani mana-mana pemain baharu sepanjang bursa perpindahan pertengahan musim kali ini, kerana itu bermakna Solskjaer merasakan bahawa tiada `pemain yang tepat’ untuk beliau bawa masuk ke dalam skuadnya. Nasihat terakhir dari saya, jika anda tidak mahu dikecewakan, jangan letakkan harapan terlalu tinggi kerana kita sebenarnya sudah biasa hidup dalam `ketidak pastian’ sejak persaraan Sir Alex Ferguson tujuh tahun yang silam. Glory Glory Manchester United!!!

08 Januari 2020

8 JANUARI...SAAT SCHOLES MEMILIH UNTUK KELUAR DARI PERSARAAN



Tanggal 8 Januari 2012 semakin hampir, tarikh di mana perhitungan dengan Manchester City di gelanggang lawan bakal berlangsung. Memandangkan United dan City ketika itu sedang bersaing hebat dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga, aksi pusingan ketiga Piala FA yang dilangsungkan di City of Manchester Stadium ini adalah medan terbaik untuk kedua-dua pasukan menguji sejauh mana kekuatan mental mereka dalam mengharungi baki saingan domestik yang semakin sengit.

Bagaimanapun kali ini Fergie tidak seghairah sepertimana aksi-aksi sebelumnya  menentang `Jiran Yang Bising’ itu. Apa tidaknya kerana selain terpaksa berdepan skuad bimbingan Roberto Mancini yang sedang on fire, beliau juga terpaksa memikirkan bagaimana caranya untuk menampung ketiadaan beberapa pemain utamanya yang mengalami kecederaan. Atau lebih tepatnya aksi pada tanggal 8 Januari 2012 itu bukanlah detik yang tepat untuk Fergie membawa `skuad tempangnya’ ke City of Manchester Stadium.

Menambahkan lagi kebimbangan Fergie, dua aksi terakhir United dalam saingan liga ketika itu berakhir dengan kekalahan. Pada 31 Disember 2011, mereka tewas (2-3) kepada Blackburn Rovers di Old Trafford dan empat hari selepas itu giliran Newcastle United pula membuatkan muka Fergie merah padam selepas The Red Devils diaibkan menerusi kekalahan (0-3) yang dialami mereka di St James Park. Berbanding United, City pula dalam mood terbaik kerana mereka baharu sahaja menewaskan Liverpool (3-0) di gelanggang sendiri.

Kebimbangan Fergie menjelang kunjungan United ke City of Manchester Stadium itu memang ada asasnya, kerana selain hilang khidmat beberapa tonggak utamanya kerana masalah kecederaan, beliau juga perlu memikirkan cara bagaimana mahu memotivasikan para pemainnya selepas dua kekalahan berturut-turut dalam saingan liga. Sudah tentu tragedi kekalahan besar (1-6) kepada City di Old Trafford dalam aksi liga pada 23 Oktober 2011 masih lagi kuat menghantui benak fikiran Fergie.

Apakah solusi Fergie bagi menampung ketiadaan Anderson, Darren Fletcher, Darron Gibson dan Tom Cleverley menjelang pertembungan Manchester Derby nanti? Phil Jones, Park Ji-Sung, Ryan Giggs dan Luis Nani antara pemain yang pernah dicuba Fergie untuk mengisi kelompongan di bahagian tengah. Tidak cukup sekadar itu, Fergie juga mempromosikan beberapa pemain muda dari akademi seperti Ravel Morrison, Paul Pogba dan Larnell Cole sementara menunggu Anderson, Fletcher, Gibson dan Cleverley keluar dari bilik rawatan.

Kejutan Tak Terduga

Ketika ramai pihak berteka teki tentang pemain mana yang bakal digunakan Fergie untuk bertindak selaku penggerak jentera tengah skuadnya di City of Manchester Stadium nanti, beliau rupa-rupanya sudah memiliki rencana lain dalam benak fikirannya. Rencana dalam fikiran Fergie kali ini bukan rencana sebarangan, kerana ia bakal memberikan kejutan bukan sahaja kepada penyokong United tetapi juga pengikut bolasepak England.

Kali ini Fergie tidak akan memberikan tugas kepada pemain out of position seperti Jones, Ji-Sung, Nani atau Giggs untuk mengetuai jentera tengah United. Atau mempertaruhkan pemain muda seperti Pogba untuk bertempur dengan David Silva atau Samir Nasri di bahagian tengah. Jadi kejutan apakah sebenarnya yang bakal diberikan Fergie, bukan sahaja kepada penyokong-penyokong United tetapi juga kepada Roberto Mancini nanti?

Secara diam-diam Fergie rupa-rupanya menjalankan misi sulit bagi memujuk pemain yang tujuh bulan sebelumnya sudah pun mengumumkan persaraan. Pemain yang saya maksudkan ialah Paul Scholes. Pada 31 Mei 2011, Scholes yang ketika itu sudah pun berusia 36 tahun mengumumkan secara rasmi persaraannya, sekaligus mengakhiri era 18 tahun beliau sebagai antara pemain tengah terbaik pernah dilahirkan United.

Sehingga ke hari perlawanan, bukan sahaja penyokong-penyokong, malah pemain-pemain United juga tidak dapat menghidu kejutan yang bakal berlaku. Hal tersebut pernah disebut Wayne Rooney selepas berakhirnya aksi menentang City itu. “Berkenaan Scholes, ia sesuatu yang sangat mengejutkan. Kami tidak tahu langsung sehinggalah ketika kami berada di bilik persalinan. Sangat bagus untuk kami memiliki kembali pemain dengan  kualiti sepertinya”, kata Rooney.

Kembali Dari Persaraan

Rancangan Fergie untuk memujuk Scholes supaya keluar dari persaraan memang disimpan beliau dengan serapi yang mungkin. Malahan keputusan Scholes untuk bermain menentang City hanya dibuat sehari sebelum berlangsungnya perlawanan. “Dia (Fergie) tidak memberitahu pemain lain kerana mahukan situasi tetap tenang. Sebelum bertandang ke gelanggang City, dia mengarahkan saya untuk menginap di hotel berasingan. Malam sebelum perlawanan dia hanya duduk di meja dengan segelas wain dan mengarahkan saya agar berdiam diri”, imbas Scholes.

“Kemudian saya pergi ke stadium keesokan harinya. Saya agak gugup bila memikirkan apa yang bermain dalam fikiran rakan-rakan sepasukan nanti. Kemudian saya pergi ke bilik persalinan dan mendapati jersi saya sudah disediakan. Saya didaftarkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan itu”, kata Scholes. Kembali semula dari persaraan bukanlah satu keputusan mudah buat Scholes. Malahan rancangan untuk kembali bermain sudah dibincangkan beliau bersama Fergie sejak bulan September 2011 lagi.

Demi memelihara tahap kecergasannya, Scholes menjalani latihan bersama skuad U-23 United. Bagaimanapun ketika itu kehadiran beliau lebih dilihat sebagai mentor buat pemain-pemain muda United terutamanya mereka yang bermain di posisi tengah. Kerinduan Scholes untuk kembali beraksi dan mengetuai jentera tengah United tidak dapat dibendung lagi. Apatah lagi ketika itu beliau melihat United sedang dilanda krisis kecederaan yang sangat kritikal membabitkan para midfielder mereka.

“Pada Disember, saya merasakan kondisi kecergasaan saya sudah berada pada tahap terbaik, manakala kelab pula berdepan krisis kecederaan hingga memaksa Fabio da Silva bermain di bahagian tengah. Saya merasakan inilah waktu yang tepat untuk kembali bermain. Sehari sebelum aksi pusingan ketiga Piala FA menentang City, saya mendapat panggilan dari Fergie. Jersi nombor 22 sudah disediakan untuk saya kerana nombor 18 digunakan oleh Ashley Young”. Kata Scholes lagi.

Untuk kembali bermain, Scholes tentunya memerlukan sepasang boot baharu. Memandangkan kontrak dan tajaan bersama Nike sudah pun tamat, Scholes terpaksa membeli boot baharu di butik sukan tempatan. Pilihan Scholes tetap sama iaitu jenama Nike dari siri T90 yang berharga £50 pound. Walau bagaimanapun dengan harga cuma £50 pound, Scholes hanya mendapat Nike T90 Shoot IV, meskipun dahulu beliau menggunakan Nike T90 Laser IV iaitu versi paling mahal dan terbaik dalam siri T90 keluaran Nike.

Scholes Kembali, Pogba Tersisih

Penampilan pertama Scholes selepas kembali dari persaraan berakhir dengan sangat manis apabila United menewaskan City (3-2) menerusi dua gol jaringan Wayne Rooney dan satu sumbangan Danny Welbeck. Scholes dimasukkan Fergie pada minit ke-59 menggantikan Luis Nani selepas United selesa mendahlui lawan (3-1).  Bagaimanapun jaringan Sergio Aguero enam minit selepas Scholes dimasukkan tetap gagal menyelamatkan City dari tersingkir di pusingan ketiga kempen Piala FA musim (2011/12).

Jika penyokong-penyokong gembira dan teruja menyambut kepulangan semula Scholes, Paul Pogba pula tidak begitu. Kembalinya Scholes dari persaraan menyebabkan peluang Pogba untuk menikmati minit permainan lebih banyak bersama skuad utama semakin terbatas. Kecewa dan menyedari bahawa sukar untuk beliau merebut tempat bersama skuad utama United selepas kepulangan semula Scholes dari persaraan, Pogba akhirnya memilih menyertai Juventus pada musim panas 2012.

Penutup

Secara keseluruhannya Scholes melakukan 21 penampilan untuk United pada baki saingan musim 2011/12 dalam semua kejohanan selepas beliau kembali dari persaraan. Daripada jumlah tersebut, 17 penampilan dilakukan Scholes dalam saingan liga. Kembalinya Scholes dari persaraan bukan sahaja memberikan semula kekuatan di bahagian tengah tetapi turut meningkatkan kembali moral pasukan. 

United memberikan saingan hebat kepada City dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga hingga ke perlawanan terakhir. Gol kemenangan minit akhir perlawanan dari Sergio Aguero ke gawang Queens Park Rangers pada aksi terakhir saingan liga membolehkan City muncul juara Liga Perdana menerusi perbezaan gol meskipun barisan kendalian Roberto Mancini itu dan United terikat dengan jumlah mata yang sama (89 mata).

Menyedari bahawa United masih lagi menagih sentuhan genius-nya di bahagian tengah, Scholes kemudiannya melanjutkan khidmat baktinya di Old Trafford selama semusim lagi. Akhirnya selepas berjaya membantu kelab kembali menjulang trofi Liga Perdana pada musim 2012/13, Scholes mengumumkan persaraan buat kali kedua. Kali ini pada usia 38 tahun, Scholes benar-benar bersara.

Bukan hanya Scholes, malah United juga turut kehilangan sentuhan seorang lagi legenda hidup mereka apabila Fergie turut mengambil langkah yang sama dengan mengumumkan persaraannya. Scholes dan Fergie akhirnya memilih waktu yang tepat untuk bersara kerana mereka meninggalkan kelab selepas berjaya meletakkan kembali Manchester United di takhta kejuaraan Liga Perdana.

Secara keseluruhannya Scholes melakukan 718 penampilan untuk United dalam semua peringkat kejohanan sepanjang kariernya di Old Trafford. Kembali dari persaraan pada usia 36 tahun, dan semusim selepas itu berjaya membantu United menjulang trofi Liga Perdana  adalah penutup paling sempurna dan indah untuk karier Scholes. Si Genius ini adalah antara penyesalan terbesar Zinedine Zidane dalam kariernya kerana takdir tidak pernah menemukan mereka beraksi dalam satu pasukan. Glory Glory Manchester United!!!

06 Januari 2020

SETAHUN OLE DI OLD TRAFFORD



Sudah lebih setahun Ole Gunnar Solskjaer menggantikan posisi Jose Mourinho selaku pengendali Manchester United. Aksi menentang Liverpool di Anfield pada 16 Disember 2018 yang berkesudahan United tewas 1-3 merupakan perlawanan terakhir Mourinho di bangku pengurus, sebelum posisinya diambilalih Solskjaer. Pada awalnya Solskjaer cumalah pengganti sementara selepas Mourinho dipecat berikutan prestasi buruk yang dipamerkan United sepanjang tempoh fasa pertama musim 2018/19.

Di tangan Solskjaer, United kemudiannya bangkit selepas itu apabila mereka mencatatkan enam kemenangan berturut-turut dalam saingan liga sehinggalah aksi di Stadium Emirates yang menyaksikan Arsenal memberikan kekalahan pertama kepada Solskjaer dari 12 penampilan beliau selaku pengendali United. Selaku legenda kelab dan pernah bermain selama bertahun-tahun di bawah arahan Sir Alex Ferguson, Solskjaer memang diharap dapat mengembalikan semula DNA permainan menyerang United yang hilang di era Mourinho.

Pemecatan Mourinho walaupun sudah dijangka tetapi tetap sedikit mengejutkan kerana beliau boleh dianggap pengurus paling berjaya di Old Trafford selepas persaraan Fergie pada 2013 menerusi kejayaan menghadiahkan kejuaraan `treble kecil’ pada musim 2016/17 (Perisai Komuniti, Piala Liga dan Liga Europa). Meskipun mengakhiri musim 2017/18 tanpa sebarang kejuaraan, Mourinho berjaya mengemudi United menamatkan saingan liga di tangga kedua selain mara ke pentas final kejuaraan Piala FA (tewas 0-1 kepada Chelsea).

Tanpa Kejuaraan Besar

Solskjaer tiba di Old Trafford tanpa pencapaian besar yang boleh dibanggakan selain kejayaan beliau mengemudi FK Molde menjuarai Tippeligaen dan Piala Norway. Jadi memang wajarlah beliau cuma di letakkan sebagai pengendali sementara bagi membolehkan kelab mencari pengurus berprofil tinggi yang lain sebagai pengganti Mourinho. Akhirnya berbekalkan prestasi baik yang dipamerkan United selepas itu, beliau dilantik secara tetap dengan harapan Solskjaer mampu meningkatkan kembali tahap keyakinan para pemainnya.

Pada awalnya kehadiran Solskjaer memberikan kita harapan bahawa United akan kembali bangkit dan memperagakan corak permainan menyerang yang menarik menerusi pendekatan gerakan-gerakan serang balas pantas. Segalanya bermula dengan sangat sempurna buat Solskjaer, apabila United mengharungi 18 perlawanan dengan 16 kemenangan dalam semua peringkat kejohanan. Paling epik tentunya kejayaan barisan pemainnya memadam defisit dua gol untuk menyingkir Paris St Germain di pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Juara-Juara.

Semua keputusan baik yang diraih United berlaku ketika Solskjaer masih lagi memegang status sebagai pengendali sementara. Selepas pengurusan kelab mengambil keputusan untuk mengekalkan Solskjaer secara tetap, segalanya berubah secara drastik. Ketika harapan penyokong yang mahu melihat United menamatkan saingan musim lalu di kelompok empat teratas tinggi menggunung, kekalahan demi kekalahan yang dialami barisan Solskjaer akhirnya menyaksikan mereka menamatkan saingan liga di tangga keenam.

Sudah tentu kegagalan United menamatkan saingan liga di kelompok empat teratas akibat prestasi longlai di penghujung musim mencetuskan perdebatan adakah keputusan pihak pengurusan United memilih Solskjaer sebagai pengurus tetap satu tindakan yang tepat? Melihat kepada track record Solskjaer sebagai pengurus serta prestasi United di penghujung musim lalu, memang wajar untuk majoriti penyokong bimbang tentang kemampuan beliau selaku pengendali The Red Devils berdepan cabaran musim penuh pertamanya di Old Trafford.

Kelebihan Solskjaer

Berbanding Mourinho, Solskjaer sebenarnya sangat beruntung kerana di belakangnya beliau menerima sokongan penuh dari pihak pengurusan kelab. Contoh terbaik ialah bagaimana kelab menerima permohonan Solskjaer untuk mendapatkan khidmat Harry Maguire dari Leicester City biarpun harga yang diletakkan ke atas pemain pertahanan tengah itu dilabel sesetengah pihak sebagai `tidak masuk akal’. Jika semusim sebelumnya permintaan Mourinho untuk mendapatkan pertahanan tengah baharu dipenuhi, ia mungkin boleh mengubah nasib warga Portugal itu di Old Trafford.

Dalam tempoh setahun, Solskjaer pada pandangan saya lebih sukses berbanding Mourinho, terutamanya dalam hal membeli pemain baharu. Kehadiran Maguire dan Aaron Wan-Bissaka berjaya meningkatkan kualiti benteng pertahanan, manakala sisi sayap menerima impak yang besar menerusi kehadiran Daniel James selaku prospek jangka panjang. Paling mengejutkan tentunya penampilan James selaku rookie Liga Perdana menerusi prestasi terpuji yang beliau pamerkan di sisi sayap United. Jadi tidak salah jika saya katakan bahawa James adalah pembelian paling berbaloi dilakukan Solskjaer musim panas tahun lalu.

Faham Dengan Falsafah Kelab

Sebagai bekas pemain dan diiktiraf pula selaku legenda United, Solskjaer tentunya sangat faham dengan kehendak dan falsafah kelab. United pada suatu ketika dahulu antara kelab Inggeris yang sangat sukses mempromosikan bakat-bakat muda ke dalam skuad utama mereka. Di bawah kendalian Solskjaer, United kini kembali cenderung ke arah itu. Ketika aksi pra musim, Solskjaer membawa sebahagian besar pemain-pemain muda dalam jelajah mereka di Oceania, Asia dan Eropah.

Aksi pra musim bukan sekadar medan pendedahan pemain muda tetapi digunakan Solskjaer untuk menilai pemain manakah yang layak diserap ke dalam skuad utama. Keyakinan Solskjaer terhadap sistem akademi United dibuktikan beliau menerusi penampilan pemain-pemain muda yang mula mencuri tumpuan. Paling memberikan kesan ialah penampilan Mason Greenwood, James Garner, Brandon Williams dan peningkatan berterusan yang dipamerkan Scott McTominay serta Marcus Rashford selaku aset masa depan kelab.

Peningkatan Yang Mula Kelihatan

Prestasi United musim ini tetap membimbangkan. Adakalanya mereka bermain dengan sangat baik, dan ada kalanya juga mereka bermain seperti sebuah kesebelasan bawahan liga. Bagaimanapun apa yang menariknya selepas saingan liga menamatkan fasa pertamanya, United menang ketika mereka berdepan Chelsea, Leicester City, Tottenham Hotspurs, Manchester City selain mencatatkan keputusan seri ketika menentang Liverpool dan Arsenal.

Kekalahan kepada Arsenal dalam aksi pusingan kedua liga yang berlangsung di Stadium Emirates pada Khamis lalu sedikit mencalarkan rekod Solskjaer ketika beliau berdepan kelab-kelab big six. Tetapi untuk seorang pengurus yang sangat `minima pengalaman’ dan tiada pencapaian besar yang boleh dibanggakan, menewaskan kesebelasan yang dipimpin pengurus hebat seperti Pep Guardiola dan Jose Mourinho tetap satu pencapaian yang boleh dibanggakan.

Memang diakui bahawa United di bawah kendalian Solskjaer selama setahun masih belum menunjukkan peningkatan yang signifikan. Tetapi jika anda perhatikan dengan lebih teliti, tetap ada beberapa sisi positif yang dipamerkan skuad The Red Devils sejak ketibaan beliau pada Disember 2018 yang lalu. Untuk musim penuh pertamanya di Old Trafford, posisi keempat atau kelima dalam carta liga adalah sasaran paling realistik untuk dicapai Solskjaer, manakala satu kejuaraan meupakan satu bonus tambahan dari beliau.

Optimisme Dan Sasaran 2020

Sepanjang tempoh sedekad ( dari 2009-2019), United berjaya menjulang dua kejuaraan liga, dua Piala Liga, satu Piala FA, satu Liga Juara-Juara dan satu Liga Europa. Dalam tempoh tersebut juga kita melihat tiga pengurus (David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho) terpaksa berdepan pemecatan. Paling mengharukan tentunya melihat dominasi United dalam saingan liga turut berakhir seiring dengan tamatnya era pengurusan Sir Alex Ferguson di Old Trafford.

Tahun 2020 bakal menjadi tahun yang mencabar buat Solskjaer. Di bahunya akan terpikul harapan tinggi penyokong-penyokong yang mahu melihat United kembali bangkit selaku kelab disegani di England. Solskjaer mengatakan beliau perlukan seorang atau dua lagi pemain baharu untuk memperkuatkan skuadnya, jadi penyokong-penyokong ingin melihat apa yang bakal beliau lakukan sepanjang jendela perpindahan pemain pertengahan musim dibuka.

Meskipun statistik Solskjaer selama setahun di Old Trafford lebih buruk berbanding Moyes, Van Gaal dan Mourinho, tetapi Ed Woodward nampaknya tetap teguh berada di belakang menyokongnya. “Ole sedang membina semula pasukan untuk tempoh jangka Panjang. Kami yakin Manchester United akan kembali ke puncak bolasepak Inggeris suatu hari nanti”, kata Woodward ketika diwawancara MEN Sports pada Disember tahun lalu.

Saya suka dengan optimisme Woodward ini, dan sebagai penyokong United saya juga yakin bahawa suatu hari nanti barisan The Red Devils akan kembali ke puncak hierarki bolasepak Inggeris sepertimana kata Woodward. Cuma persoalan paling besar adakah ketika itu Solskjaer masih berada di kerusi pengurus United? Ya…saya harap begitu kerana tiada yang paling indah bila melihat United kembali digeruni dan dicemburui lawan menerusi sentuhan dari legenda mereka sendiri. Glory Glory Manchester United!!!