09 Mac 2020

BILA MANCHESTER BERWARNA MERAH



Sejak kekalahan mengaibkan kepada Burnley pada 23 Januari lalu, Manchester United sudah mengharungi sepuluh perlawanan dalam semua peringkat kejohanan tanpa kalah. Dari jumlah tersebut, mereka mencatatkan tujuh kemenangan dan tiga keputusan seri. Sudah tentu kemenangan paling indah dari sepuluh aksi terakhir United ini ialah saat mereka membenam `jiran yang bising’ di Old Trafford awal pagi tadi. Kemenangan 2-0 yang dilakarkan United ke atas skuad kendalian Pep Guardiola ini melengkapkan kemenangan back to back pertama mereka ke atas City dalam tempoh sepuluh tahun.

Untuk rekod, kemenangan back to back terakhir yang dilakukan United ke atas City ialah pada musim 2009/10. Kemenangan yang di lakar United ke atas City ini juga merupakan kemenangan pertama mereka ke atas skuad The Citizens di Old Trafford sejak 2015. Tiga mata penuh ini saya anggap sangat penting dalam misi United menyalakan hasrat mereka untuk kembali bersaing di pentas Liga Juara-Juara musim hadapan. Selepas mengharungi 28 perlawanan, United cuma ketinggalan tiga mata di belakang Chelsea selaku pasukan yang berada di tangga keempat liga.

Mungkin belajar dari kesilapan yang berlaku di Goodison Park minggu lalu, Ole Gunnar Solskjaer kembali menggunakan formasi 3-4-1-2 dengan meletakkan Luke Shaw di sebelah kiri dalam barisan tiga pemain pertahanannya. Jika anda lihat dari sudut keputusan akhir perlawanan di scoreboard serta peluang-peluang yang berjaya dicipta United, anda boleh labelkan ia sebagai antara aksi terbaik barisan The Red Devils musim ini. Bagaimanapun jika dilihat dari skop yang lebih luas, ini bukanlah aksi derby yang terlalu sengit.

Keputusan meletakkan tiga pemain pertahanan di belakang menyebabkan United berdepan kesukaran melakukan build up. Jadi tidak hairanlah mengapa kebanyakkan gerakan-gerakan yang cuba dilakukan mereka berjaya dipatahkan lawan. Di sisi berlawanan, City pula tampil lebih dominan apabila pada babak pertama mereka menguasai 69% penguasaan bola. Di babak kedua, peratus penguasaan bola yang dilakukan City meningkat kepada 71%, sekaligus menunjukkan betapa dominannya penampilan mereka sepanjang 90 minit perlawanan.

Bagaimanapun menguasai peratus penguasaan bola tidak bermakna bahawa City mampu menebus semula kekalahan (1-2) mereka kepada United di Etihad pada 8 Disember tahun lalu. Peratus penguasaan bola yang begitu tinggi gagal diterjemahkan kepada jaringan gol kerana transisi mereka dari bertahan kepada menyerang yang tidak begitu lancar. Mereka kelihatan agak buntu setiap kali berjaya memasuki zon final third United. Untuk itu kredit wajar diberikan kepada Solskjaer kerana keputusan beliau meletakkan tiga pemain pertahanan (yang boleh berubah kepada lima) dalam situasi bertahan.

Koordinasi barisan pertahanan United menyukarkan City ketika mereka cuba menyerang, mungkin juga faktor ini turut dibantu ketiadaan Kevin de Bruyne selaku arkitek kepada setiap gerakan mereka selama ini. Meskipun Guardiola memiliki sosok pemain seperti Bernardo Silva, tetapi perlu diakui bahawa de Bruyne lebih unggul dalam tugasnya mencipta peluang kepada rakan-rakan di barisan hadapan. Kebergantungan City kepada Raheem Sterling juga menyaksikan gerakan-gerakan mereka lebih banyak tertumpu di sisi kiri.

Kurangnya bantuan dari Oleksandr Zinchenko, manakala setiap pergerakannya pula sentiasa dibayangi Aaron Wan-Bissaka, jadi tidak banyak ancaman yang mampu diberikan Sterling kepada benteng pertahanan United. Menyedari tumpulnya kreativiti skuadnya ketika melakukan gerakan, Guardiola melakukan perubahan dengan memasukkan Riyadh Mahrez diminit ke-59. Tujuan Guardiola hanya satu, iaitu mengubah kecenderungan City melakukan gerakan dari sisi kiri kepada sisi kanan.

Bagaimanapun perubahan yang cuba dilakukan Guardiola dengan memasukkan Mahrez tetap gagal memberikan impak yang signifikan dalam perlawanan ini. Sehingga minit ke-68, City cuma mampu melepaskan dua percubaan kearah gawang United. Untuk itu, sekali lagi kredit wajar diberikan kepada benteng pertahanan United yang sangat berdisiplin ketika mereka menyerap setiap gerakan yang cuba dilakukan lawan terutamanya menerusi Raheem Sterling dan Sergio Aguero. Hasilnya David de Gea menamatkan aksi Manchester Derby ini dengan catatan clean sheet.

City memang tampil dominan, terutamanya dari segi penguasaan bola sepanjang perlawanan. Bagaimanapun mereka buntu untuk menterjemahkan peratusan penguasaan bola yang sangat tinggi itu kepada jaringan gol. Barisan hadapan hilang kreativiti manakala benteng pertahanan pula gagal menghalang United dari membocori pintu gol mereka. Mujurlah Daniel James agak gopoh beberapa kali ketika peluang terhidang, kerana jika tidak keputusan di scoreboard mungkin akan menunjukkan angka berbeza.

Agak mengejutkan melihat penampilan Ederson sepanjang perlawanan ini. Kesilapan mudah yang dilakukannya di babak kedua hampir sahaja menyebabkan Anthony Martial mampu menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini. Begitu juga kesilapan yang dilakukannya di penghujung perlawanan hingga membolehkan Scott McTominay menjaringkan gol kedua United. Akhirnya kekalahan ini menyaksikan City sudah tewas tujuh kali dalam saingan liga, juga jumlah kekalahan terbesar yang dialami Guardiola di peringkat liga dalam karier pengurusan beliau.

Musim ini saya boleh menganggap merupakan musim terburuk Guardiola sejak beliau mengendalikan City.  Selaku juara bertahan, tujuh kekalahan yang dialami mereka setakat ini satu isyarat bahawa prestasi mereka menurun secara drastik berbanding dua musim terakhir. Meskipun baru sahaja dinobatkan selaku juara Piala Liga, Guardiola wajib mengemudi barisan pemainnya mara ke Istanbul dan menjulang trofi Liga Juara-Juara di sana buat pertama kali dalam sejarah kelab bagi menyelamatkan musim mereka.

Kemenangan ke atas `jiran yang bising’ ini bukan sahaja menggembirakan penyokong-penyokong United, tetapi turut membuka ruang yang sangat luas kepada Liverpool mengesahkan kejuaraan liga mereka lebih awal. Hanya dua kemenangan diperlukan Liverpool untuk membolehkan mereka menjulang trofi liga buat pertama kali dalam tempoh 30 tahun. Saya sudah tidak peduli bilakah agaknya Jordan Henderson akan menjulang trofi Liga Perdana, kerana buat masa ini saya hanya mahu bergembira meraikan kota Manchester kini kembali berwarna merah. Glory Glory Manchester United!!!

20 Februari 2020

KELUAR DARI BILIK RAWATAN DAN BERMAIN BOLASEPAK SEBENAR ALA ERIC BAILLY



Bruno Fernandes, Fred, Harry Maguire dan Eric Bailly antara pemain paling menyinar di sebalik kemenangan 2-0 yang dilakar Manchester United ke atas Chelsea tempohari. Bagaimanapun, paling mencuri tumpuan sudah tentu kelibat Bailly yang kembali membarisi benteng pertahanan United buat pertama kali musim ini. Selepas berehat panjang hampir sepuluh bulan akibat dari kecederaan lutut yang dialaminya ketika berdepan Tottenham Hotspurs dalam aksi pra musim, Bailly membuktikan bahawa peranannya masih lagi berharga menerusi pretasi terpuji yang ditampilkan beliau di Stamford Bridge.

Mana-mana pemain tentunya berdepan tugas sukar untuk mengembalikan semula prestasi terbaik mereka selepas hampir setahun tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif akibat kecederaan, tetapi untuk Bailly ada pengecualian. Keputusan Ole Gunnar Solskjaer menyenaraikan Bailly dalam kesebelasan utamanya pada perlawanan penting seperti ini sebenarnya agak mengejutkan, tetapi itulah perjudian yang terpaksa dilakukan beliau dalam misi membawa United beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim hadapan.

Perlawanan menentang Chelsea bukannya mudah untuk United, tambahan pula mereka terpaksa beraksi di Stamford Bridge. Begitu juga dengan Bailly yang kali terakhir turun bermain bersama skuad U-23 United ketika berdepan Newcastle United dalam saingan Premier League Two pada 10 Januari lalu. Dalam perlawanan itu, Bailly bermain selama 61 minit sebelum posisinya digantikan dengan Reece Devine. Selepas perlawanan menentang skuad U-23 Newcastle United itu, Bailly perlukan tempoh lebih sebulan untuk kembali merasai aksi di atas padang dan peluang akhirnya tiba jua untuk beliau.

“Bukan mudah untuk kembali bermain selepas anda tidak beraksi begitu lama. Saya sudah memberitahu pengurus bahawa saya ingin bermain selepas bekerja keras untuk pulih dari kecederaan teruk. Saya perlukan beberapa minit untuk menyesuaikan diri sebaik aksi bermula. Saya agak gugup kerana lama tidak bermain, tambahan pula setahun sebelum itu saya juga mengalami kecederaan ketika berdepan Chelsea. Bagaimanapun segalanya berjalan lancar kerana saya menerima sokongan kuat dari pengurus dan rakan sepasukan”, kata Bailly selepas tamat aksi menentang Chelsea.

Tiada Pilihan

Seperti yang saya sebutkan tadi, keputusan Solskjaer menurunkan Bailly di Stamford Bridge memang satu perjudian besar, bukan sahaja kepada misi United tetapi juga terhadap diri pemain berusia 25 tahun itu yang baru sahaja pulih dari kecederaan lutut. Bagaimanapun apa lagi yang mampu dilakukan Solskjaer memandangkan Victor Lindelof berdepan masalah selesema, Axel Tuanzebe mengalami kecederaan, manala Phil Jones pula bukanlah pilihan yang popular di mata penyokong-penyokong United untuk perlawanan penting seperti ini. Jadi jalan terakhir yang dipilih beliau ialah menyenaraikan Bailly.

Di awal perlawanan, kegugupan Bailly memang jelas terlihat hinggakan pada satu ketika kesilapan beliau ketika melakukan hantaran membuka ruang buat lawan melakukan ancaman kepada benteng pertahanan United. Bagaimanapun momen tersebut mungkin satu-satunya kesilapan yang dilakukan Bailly, kerana selepas itu beliau tampil dominan di barisan belakang bersama Harry Maguire. Aksi beliau di minit ke-37 antara yang menarik perhatian. Sebaik sahaja berjaya merampas bola dari kaki Michy Batshuayi di dalam petak penalti, Bailly memilih untuk melakukan dribble berbanding melakukan clearance sepertimana lazim dilakukan oleh mana-mana pemain pertahanan.

Aksi berani seperti itu menunjukkan betapa tingginya tahap keyakinan Bailly meskipun sudah hampir setahun beliau tidak beraksi di pentas kompetitif. Tidak cukup dengan itu, bagaimana pula dengan momen ketika beliau menafikan percubaan Mateo Kovacic di babak kedua perlawanan. Menerusi timing yang tepat, Bailly berjaya memintas rembatan pemain antarabangsa Croatia itu, sekaligus menafikan peluang terbuka Chelsea untuk cuba merapatkan kedudukan selepas mereka ketinggalan dua gol.

Pilihan Lebih Baik

Tatkala prestasi benteng pertahanan skuad Solskjaer masih terus diperhatikan dengan penuh teliti oleh penyokong-penyokong United, kembalinya Bailly selepas hampir setahun `menghilang’ menerusi prestasi terpuji yang dipamerkan beliau di Stamford Bridge adalah satu petanda yang cukup baik. Secara peribadi, saya menganggap Bailly adalah opsyen yang lebih bagus berbanding Lindelof, terutamanya ketika United berdepan situasi bola mati (sama ada ofensif ataupun defensif). Lihat chemistry beliau bersama Maguire hingga terhasilnya gol kedua yang dijaringkan oleh kapten United itu menerusi tandukan.

Sangat malang untuk seorang pertahanan berkualiti seperti Bailly, musim ini beliau nampaknya lebih banyak menghabiskan masanya dibilik rawatan. Tatkala United berjaya mendapatkan khidmat Maguire bagi membaiki kelompongan di benteng pertahanan mereka, Bailly pula terpaksa mengharungi tempoh 313 hari dengan menjalani sesi rawatan pemulihan kecederaan lututnya. Sangat malang juga dalam tempoh tersebut, United kehilangan sosok seorang pertahanan tengah yang tenang ketika menguasai bola, kuat dalam perebutan bola tinggi dan tidak pernah ragu-ragu melakukan duel fizikal dengan mana-mana pemain lawan.

Aksi menentang Chelsea tempohari merupakan penampilan ke-75 Bailly dalam semua kejohanan sejak beliau menyertai United pada 2016. Sudah tentu faktor utama mengapa beliau sering tersisih dari kesebelasan United adalah disebabkan masalah kecederaan yang sering dialaminya. Di sebalik beberapa siri kecederaan yang menimpa Bailly, kelab sebaliknya mengambil langkah berani dengan menawarkan kepada beliau lanjutan kontrak selama dua tahun pada Januari lalu. Keputusan berani ini menyaksikan Bailly kekal di Old Trafford hingga Jun 2022.

Dari Bingerville ke Manchester

Masa berjalan dengan begitu pantas buat Bailly. Dari bandar serba daif Bingerville, Espanyol kemudiannya`menerbangkan’ bakatnya ke bumi Sepanyol. Maka pada 2011, bermula cerita epik Bailly sebagai seorang pemain bolasepak apabila kehidupannya mula berubah. Dari Espanyol ke Villarreal, Jose Mourinho kemudiannya menjadikan Bailly sebagai pembelian pertama ketika era pengurusan beliau di Old Trafford. Bagi seorang budak yang pernah menjual rokok di jalanan sekitar bandar Bingerville, bermain untuk kelab seperti Manchester United mungkin hanyalah khayalan dalam tidur Eric Bailly ketika itu.

“Semuanya berjalan dengan begitu pantas. Menyertai Espanyol pada 2011 dan tiga tahun kemudian saya melakukan debut untuk skuad utama. Kemudian saya menyertai Villarreal dan selepas 18 bulan saya tiba di sini untuk menjadi pemain Manchester United. Dalam tempoh lima tahun, saya berubah dari seorang budak penjual rokok kepada pemain sebuah kelab besar di dunia. Dunia sudah berubah dan orang melihat saya sebagai sebagai bintang dan selebriti. Ada dua juta pengikut saya di Instagram tetapi ini semua hanyalah lumrah kehidupan”, kata Bailly pada 2016.

Ya…masa memang berjalan dengan begitu pantas, tetapi sangat lama rasanya untuk saya melihat Bailly kembali beraksi selepas 313 hari tersisih dari kesebelasan utama United kerana kecederaan panjang yang dialaminya. Kini beliau sudah kembali beraksi di atas padang dari perjuangan panjang melawan kecederaan lututnya selama hampir setahun. Melihat bagaimana aksinya selama 90 minit di Stamford Bridge, siapa pernah menyangka bahawa sudah begitu lama Bailly tidak bermain dalam perlawanan kompetitif. Semoga tahun ini menjadi tahun kebangkitan beliau…”Selamat kembali beraksi Eric Bailly”. Glory Glory Manchester United!!!

15 Februari 2020

`TARIAN' LINGARD YANG SEMAKIN SUMBANG



Ketika ini penyokong Manchester United boleh dikatakan terbahagi kepada dua kelompok. Satu kelompok mahukan Ole Gunnar Solskjaer terus menerajui pasukan dan satu lagi kelompok pula aktif melancarkan kempen #OleOut di media-media sosial. Bagaimanapun jika bercakap tentang Jesse Lingard, dua kelompok ini akan senada dan sepakat iaitu mereka mahukan Lingard segera dijual. Jika dua atau tiga musim sebelum itu Lingard antara pemain yang cukup menyerlah dalam kem United, kini prestasi pemain berusia 27 tahun itu menjadi bahan candaan penyokong-penyokong United sendiri.

Sembilan tahun yang lalu, Lingard sering sahaja dicanangkan antara pemain muda United yang memiliki potensi besar untuk menyerlah suatu hari nanti. Tiada salahnya untuk melabel beliau sebagai `bintang masa depan’ United, kerana potensi Lingard sangat besar pada masa itu, terutamanya selepas beliau muncul antara pemain muda paling menyerlah di sebalik kejayaan skuad remaja United menjulang trofi  FA Youth Cup bagi musim 2010/11. Bagaimanapun malangnya potensi Lingard yang berapi-api ketika zaman remajanya kini kian malap seiring dengan peningkatan usianya.

Pada usia 27 tahun, Lingard sepatutnya sedang menikmati zaman kemuncak sebagai pemain. Tetapi malangnya, ketika pemain yang lebih muda dari beliau seperti Mason Greenwood, Scott McTominay, Daniel James dan Marcus Rashford semakin menyerlah dari hari ke hari, Lingard pula rupa-rupanya tidak menjaringkan sebarang gol dan tidak menyumbang sebarang bantuan gol selama lebih setahun dalam saingan liga. Kemuncak kemarahan dan kebencian penyokong-penyokong United terhadap Lingard berlaku ketika aksi menentang Watford pada 22 Disember tahun lalu.

United tewas (0-2) dalam perlawanan yang dilangsungkan di Vicarage Road itu, manakala Solskjaer pula melabel persembahan para pemainnya sebagai yang terburuk pernah beliau saksikan sejak ketibaannya di Old Trafford pada Disember 2018. Paling mencuri tumpuan sudah tentu aksi Lingard yang mencetuskan api kemarahan penyokong-penyokong United. Dalam situasi berdepan satu lawan satu dengan Ben Foster, dan ruang yang sudahpun terbuka lebar, Lingard pula sebaliknya memilih melakukan chip yang akhirnya menyaksikan bola melambung melepasi palang gol.

Kian Tersisih

Statistik Lingard dalam tempoh setahun sepatutnya mula menyedarkan Solskjaer bahawa sudah tiba masanya untuk beliau merehatkan pemain itu dari kesebelasan utamanya. Posisi Lingard dalam skuad kebangsaan juga sudah lama hilang kerana Gareth Southgate memiliki pilihan yang lebih baik menerusi kehadiran James Maddison, Jack Grealish dan Mason Mount. Berbanding situasi beliau bersama skuad kebangsaan, di peringkat kelab Lingard pula nampaknya masih menerima sokongan penuh dari Solskjaer.

“Kami ingin dia kembali seperti sebelumnya iaitu menjaringkan gol dan melakukan assist. Dia memang memiliki karakter yang ceria dan lincah, malah pemicu yang hebat ketika kami berada dalam tekanan. Lagipun aktiviti dia di media sosial tidak lagi serancak dahulu. Saya kenal dia selama bertahun-tahun dan sekarang inilah Jesse Lingard sebenar yang saya kenal”, kata Solskjaer dalam sidang media sebelum aksi pusingan pertama separuh akhir Piala Liga menentang Manchester City. Selaku pengurus memang wajar Solskjaer melindungi pemainnya, jadi apa yang beliau katakan tentang Lingard bukanlah sesuatu yang terlalu pelik.

Pemain yang memiliki mobiliti tinggi seperti Lingard sebenarnya sangat sesuai dalam melaksanakan pendekatan permainan Solskjaer yang menuntut para pemainnya untuk banyak berlari dan bergerak. Bagaimanapun untuk mengatakan bahawa Lingard memainkan peranan penting dalam skema permainan Solskjaer hanya disebabkan mobiliti tinggi beliau adalah agak tidak adil untuk pemain lain. Sebagai pemain yang beraksi di barisan hadapan, kreativiti dan visi permainan Lingard dituntut agar lebih tajam. Tetapi lihatlah statistik dan sumbangan beliau dalam saingan liga sepanjang tempoh lebih setahun…tiada jaringan dan tiada bantuan gol.

Idea Mengarut

Empat tahun lalu, Lingard adalah antara pemain United paling menyerlah, baik ketika kelab dikendalikan oleh Louis Van Gaal atau Jose Mourinho. Dan empat tahun lalu juga pastinya Lingard tidak akan pernah menyangka bahawa kini beliau mula di rumours-kan bakal dilepaskan ke Leicester City pada penghujung musim nanti. Dan pastinya juga Lingard tidak akan menyangka bahawa dirinya akan dijadikan sebahagian dari kesepakatan pertukaran untuk United mendapatkan tandatangan James Maddison.

Jika empat tahun lalu idea untuk menjual Lingard kepada kelab seperti Leicester City muncul, pastinya ramai penyokong-penyokong United menganggap ia sebagai idea yang sungguh mengarut. Bagaimanapun idea tersebut muncul selepas empat tahun, dan jika benar rumours perpindahan Lingard ini menjadi kenyataan, penyokong-penyokong United pastinya akan bersorak gembira melihat pemain yang sering dijadikan bahan jenaka itu pergi meninggalkan kelab.

Detik Sukar

Tiada mana-mana kelab selain United yang masih memberikan peluang kepada seorang pemain di barisan hadapan terus bermain, meskipun dia gagal menjaringkan sebarang gol dan menyumbang sebarang bantuan gol selama lebih setahun. Kali terakhir Lingard menyumbangkan gol untuk United dalam saingan liga ialah pada 23 Disember 2018. Ketika itu beliau menjaringkan dua gol ke gawang Cardiff City dalam aksi yang dilangsungkan di gelanggang lawan.

Sepanjang aksi liga pada bulan Disember 2018, Lingard antara pemain hadapan United paling cemerlang menerusi empat gol yang diledak beliau ke gawang lawan. Satu gol dijaringkan beliau ke gawang Arsenal dan Liverpool manakala dua lagi gol diledak beliau ke gawang Cardiff City. Pada Disember 2018, Lingard memang jelas berada dalam kelas tersendiri, hingga menyebabkan timbulnya khabar angin tentang minat Real Madrid untuk membawa beliau beraksi di Santiago Bernabeu.

Dikaitkan dengan projek Galatico baharu di Bernabeu tentunya merupakan satu dimensi baharu dalam karier Lingard. Bukan calang-calang pemain berpeluang dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid, jadi rumour yang bertiup kencang ketika itu saya anggap satu penghormatan untuk beliau. Bagaimanapun selepas itu prestasi Lingard jatuh merudum. Dari seorang pemain yang dicanangkan bakal bergandingan bersama Eden Hazard di Santiago Bernabeu, Lingard pula kini umpama penumpang dalam kesebelasan United.

Penutup

Sudah lebih setahun saya tidak melihat tarian-tarian Lingard setiap kali beliau meraikan jaringannya ke gawang lawan. Daripada seorang prospek terhangat suatu masa dahulu, Lingard berubah secara drastik kepada pemain `yang tidak ingin lagi dilihat’ aksinya oleh penyokong-penyokong United. Dahulu Lingard bukan sahaja pemain yang serba lincah di atas padang, tetapi `kelincahan’ beliau turut dikongsikan bersama pengikut-pengikutnya di media sosial.

Selain memiliki bakat sebagai pemain, Lingard juga boleh dikatakan agak hebat sebagai `penghibur’. Dibantu dengan sifat beliau yang sangat ceria, media sosial menjadi medan untuk Lingard menghiburkan pengikutnya menerusi nyanyian dan tarian-tarian baharu yang diciptanya. Tetapi malangnya di atas padang pula, Lingard tidak lagi mampu menghiburkan kita menerusi kelincahan dan kreativiti permainan yang pernah dimilikinya suatu ketika dahulu.

Sejak kali terakhir beliau menjaringkan gol untuk United ketika berdepan Astana dalam saingan Liga Europa pada November tahun lalu, Lingard akhirnya kembali menemui sentuhan golnya. Lingard menjaringkan gol ketiga ketika United menewaskan Tranmere Rovers dalam saingan Piala FA pada 26 Januari lalu. Gol ini juga akhirnya menamatkan kemarau 59 hari beliau tanpa sebarang gol. Statistik beliau sepanjang perlawanan pula mencatatkan, Lingard melakukan 6 percubaan, 37 hantaran di kawasan pertahanan lawan dan mencipta tiga peluang jaringan gol.

Sumbangan beliau sepanjang aksi 90 minit di Prenton Park itu juga membolehkan Lingard dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan. Gol itu boleh menjadi pencetus kebangkitan semula Lingard, tetapi gol itu juga bukanlah terlalu istimewa, kerana ia dihasilkan beliau ke gawang kelab yang cuma beraksi dalam kasta keempat liga bolasepak Inggeris. Apa yang kita nantikan selama ini ialah Lingard kembali mencatatkan namanya sebagai penjaring gol dalam saingan Liga Perdana, sesuatu yang tidak pernah beliau lakukan selama tempoh lebih setahun.

Sejak dua gol yang beliau ledak ke gawang Cardiff City pada 23 Disember 2018, kita tidak lagi melihat Lingard menari lincah ketika meraikan gol-gol jaringannya di pentas Liga Perdana. Entah bilakah agaknya kita akan melihat Lingard yang dahulu, seorang pemain lincah yang mampu membelah pertahanan lawan dengan mudah menerusi kepantasan yang dimilikinya. Atau menjaringkan gol-gol yang terlihat mudah, hanya menerusi kombinasi sentuhan satu dua dengan rakan sepasukan yang lain.

Jika boleh saya mahu melihat Lingard terus menari setiap kali beliau berjaya menjaringkan gol. Tetapi buat masa ini tarian Lingard seperti sudah terhenti, kerana sudah lebih setahun sebenarnya beliau berhenti dari menjaringkan gol untuk United di Liga Perdana. Dari seorang prospek hangat, Lingard kini bertukar kepada bahan jenaka penyokong-penyokong sendiri akibat dari ketumpulan kreativiti serta kemarau gol yang dialaminya. Ayuhlah `Lingardinho’…kembalilah menari untuk kami. Glory Glory Manchester United!!!

09 Februari 2020

ODION IGHALO: ANTARA SINIKAL DAN HARAPAN



Anda boleh labelkan ia sebagai `pembelian panik’, atau mungkin juga sebagai satu lagi gambaran betapa teruknya perancangan United di pasaran perpindahan pemain. Ketika ramai penyokong-penyokong United mendambakan ada penyerang berprofil tinggi yang bakal dibawa masuk bagi menampung ketiadaan Marcus Rashford, kelab pula sebaliknya memilih Odion Ighalo, penyerang berusia 30 tahun yang kali terakhir beraksi di Liga Perdana untuk Watford pada 2017.

Saya percaya, Ighalo sendiri mungkin tidak percaya bahawa United melakukan pencarian jauh hingga ke Asia Timur bagi mencari pengganti sementara Rashford di barisan hadapan mereka. Dan saya juga percaya bahawa Ighalo juga mungkin tidak pernah terfikir bahawa beliau akan kembali ke Liga Perdana, serta diberikan pula peluang untuk beraksi bersama kelab seperti Manchester United selepas lebih dua tahun membawa diri ke China.

Meskipun hanya diberikan kontrak singkat, perpindahan sementara Ighalo dari Shanghai ke Old Trafford memang benar-benar mengejutkan ramai pihak. Bukan sahaja penyokong-penyokong kehairanan dengan keputusan yang sangat mengejutkan itu, malah ia turut mengundang kritikan tajam dan pedas dari Gary Neville yang melabelkan keputusan itu sebagai gambaran “betapa teruknya perancangan United” di bursa perpindahan kali ini.

Tanpa memperkecilkan kebolehan Ighalo, Gary sebaliknya mengatakan bahawa United seolah-olah tidak pernah merancang mencari pengganti Romelu Lukaku meskipun mereka tahu bahawa penyerang antarabangsa Belgium itu sudah meluahkan keinginannya untuk berhijrah sejak bulan Februari tahun lalu lagi. Menurut Gary, United memiliki tempoh masa selama sembilan bulan untuk mencari dan membawa masuk seorang penyerang dengan kontrak tetap, bukan melakukan tindakan terdesak seperti ini.

Selamat Kembali

Walaupun ramai pihak yang sedikit sinikal dengan keputusan kelab mendapatkan khidmat Ighalo, saya pula sebagai penyokong United cuma berharap agar penyerang antarabangsa Nigeria ini mampu `memberikan sesuatu’ sepanjang khidmat jangka pendeknya di Old Trafford nanti. Kedatangan Ighalo diharap mampu memberikan suntikan tambahan kepada jentera serangan United tatkala kritikan bertali arus terus ditujukan kepada prestasi semasa yang dipamerkan Anthony Martial.

Melihat kepada beberapa penampilan terakhir Martial selaku pengempur utama berikutan ketiadaan Rashford, Solskjaer jelas perlukan seorang penyerang yang mampu membuatkan barisan pertahanan lawan bekerja lebih keras. Jadi atas sebab itulah mengapa beliau memilih Ighalo. Bagi Ighalo pula, kesempatan ini tidak boleh dipersiakan begitu sahaja kerana beliau sebenarnya sudah menunggu hampir hampir empat tahun untuk merealisasikan impiannya menyarung jersi United.

Pada 2016, United dikatakan berminat mendapatkan khidmat Ighalo dari Watford. Menurut laporan The Sunday Times ketika itu, United sudah menyediakan dana sebanyak £35 juta untuk membolehkan mereka mendaratkan pemain itu ke Old Trafford. Bagi seorang pemain yang berjaya menjaringkan 13 gol untuk Watford sepanjang fasa pertama liga berlangsung (musim 2015/16), Ighalo dilihat sebagai calon penyerang yang berpotensi untuk memberikan nafas baharu kepada jentera serangan United ketika itu.

Musim 2015/16 merupakan antara musim paling sukar buat United yang ketika itu dibawah kendalian Louis Van Gaal. Meskipun memiliki beberapa pemain berbakat besar di barisan hadapan seperti Memphis Depay, James Wilson, Anthony Martial dan dibantu pula dengan keberadaan pemain penuh pengalaman seperti Wayne Rooney, United sebaliknya berdepan isu produktiviti di barisan hadapan. Betapa tumpulnya jentera serangan mereka diperlihatkan menerusi jumlah 22 gol yang dihasilkan sepanjang setengah musim liga berlangsung.

Tambah memeningkan kepala Van Gaal, United juga mencatatkan rekod kelab apabila mereka gagal menjaringkan sebarang gol di babak pertama dalam tujuh aksi berturut-turut yang dilangsungkan di gelanggang sendiri. Atas sebab inilah mengapa Louis Van Gaal memerlukan tambahan penyerang baharu ketika jendela perpindahan pertengahan musim dibuka. Di Vicarage Road pula, Ighalo sedang menikmati bulan terbaiknya bersama Watford apabila beliau menjaringkan liga gol dari lima penampilan liga sepanjang bulan Disember 2015.

Bagaimanapun impian Van Gaal tidak tercapai apabila Watford enggan melepaskan antara pemain terbaik mereka ketika itu. Bukanlah satu tugas yang mudah untuk United memaksa Quique Sanchez Flores melepaskan penyerang handalannya itu, tatkala Watford sendiri sedang berjuang untuk berada di posisi tujuh teratas bagi membolehkan mereka beraksi di pentas Eropah. “Sukar untuk Ighalo meninggalkan kelab di pertengahan musim. Dia merupakan pemain penting dan satu kebanggaan bila ada kelab besar yang mahukan khidmatnya”, kata Sanchez Flores.

Jalan Buat Rashford

Kegagalan Van Gaal mendapatkan Ighalo akhirnya membuka jalan buat Marcus Rashford memperagakan bakatnya. Ketumpulan jentera serangan dan kegagalan mendapatkan penyerang baharu memaksa Van Gaal meninjau bakat yang ada di dalam akademi kelab. Akhirnya peluang diberikan Van Gaal untuk Rashford tampil bersama skuad senior. Perjudian Van Gaal berhasil apabila sepertimana yang anda lihat, Rashford akhirnya berkembang dari tahun ke tahun untuk muncul sebagai penyerang unggul di Old Trafford.

Di Vicarage Road pula, prestasi Igahlo tiba-tiba merosot sebaik tibanya tahun baharu 2016. Selepas meledak  gawang Newcastle United pada 23 Januari, Ighalo gagal meletakkan namanya selaku penjaring gol dalam 12 perlawanan berturut-turut.  Sepanjang tempoh dari 23 Januari 2016 hingga 23 Januari 2017 pula, beliau cuma mampu menjaringkan tiga gol dari 33 penampilannya di Liga Perdana. Akhirnya pada 31 Januari 2017, Ighalo menyertai kelab Liga Super China, Changchun Yatai menerusi nilai perpindahan sebanyak £20 juta.

Ancaman Buat Martial

Siapakah pemain yang bakal terancam posisinya dalam skuad Solskjaer selepas kedatangan Ighalo? Jawapannya siapa lagi jika bukan Anthony Martial. Prestasi buruk yang dipamerkan warga Perancis itu sejak kebelakangan ini, hinggakan beliau dilabel Paul Ince umpama `pemain air tin’ sangat meresahkan penyokong-penyokong. Aksi menentang Wolverhampton Wanderers minggu lalu sekali lagi mendedahkan kepincangan Martial tatkala harapan tinggi diletakkan dibahunya selaku penyerang utama United sepanjang ketiadaan Rashford.

Gaya permainan Ighalo yang berani melakukan duel secara terbuka dengan mana-mana pemain pertahanan lawan bakal menjadi nilai tambah untuk Solskjaer mempertimbangkan posisinya selaku penggempur utama. Berbanding Martial yang lebih gemar bergerak dari sebelah sisi, United pula sememangnya perlukan seorang penyerang yang mampu mengawal bola di posisi lebih central. Itulah sebenarnya yang mampu ditawarkan Ighalo kerana selain memiliki kekuatan fizikal, beliau juga dianugerahkan dengan teknik permainan yang bagus.

Bagaimanapun apa yang sedikit membimbangkan ketika ini ialah tentang isu konsistensi pemain itu. Menurut Neil Warnock yang juga merupakan bekas pengendali Crystal Palace dan Cardiff City, Ighalo bukanlah pemain yang tepat untuk United bawa masuk bagi menyelesaikan masalah ketumpulan jentera serangan mereka. Dari sumber Goal, Warnock berpendapat United sepatutnya menandatangani Danny Ings berbanding Ighalo. “Dia (Ighalo) tidak konsisten dan bukan pemain yang tepat. Mereka perlukan pemain lebih muda jadi mengapa mereka tidak dapatkan Danny Ings?”, kata Warnock

Penutup

Apapun alasannya dan apapun pandangan pelbagai pihak tentang keputusan kelab mendapatkan khidmat Ighalo, sebagai penyokong saya cuma berharap kehadiran pemain ini mampu memberikan `nafas baharu’ kepada jentera serangan United serta cabaran buat Martial untuk memperbaiki prestasinya. Adakah Ighalo mampu memberikan impak sepertimana yang pernah diberikan Eric Cantona dahulu? Saya fikir pandangan dari Mark Bosnich ini agak berlebihan.

Cantona adalah pemain istimewa dan impak yang diberikan beliau selepas kehadirannya dari Leeds United pada 1992 satu fenomena yang sangat luar biasa ketika itu. Saya tidak fikir Ighalo mampu menjadi seperti Cantona, tetapi cukuplah sekadar jika beliau mampu memberikan impak sepertimana yang pernah diberikan Henrik Larsson sepanjang tempoh 3 bulan legenda Sweden itu mengabdi diri selaku pemain pinjaman di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!!

03 Februari 2020

JANGAN BAZIRKAN POTENSI FERNANDES



Berita tentang kejayaan kelab menandatangani Bruno Fernandes akhirnya menamatkan penantian selama lebih enam bulan penyokong-penyokong Manchester United yang mahu melihat pemain tengah Portugal itu mengepalai jentera tengah skuad The Red Devils. Tatkala tempoh bursa perpindahan pemain pertengahan musim kian menuju kepenghujungnya, ketibaan Fernandes di Carrington turut menamatkan keresahan penyokong United yang sekian lama menanti kesahihan berita tentang perpindahan pemain itu dari Estadio Jose Alvalade ke Old Trafford.

Berita pengumuman Fernandes sebagai anggota terbaru The Red Devils pada 29 Januari lalu akhirnya mengatasi berita sensasi serangan flare yang dilakukan penyokong-penyokong United di hadapan rumah Ed Woodward akibat dari rasa tidak puashati mereka terhadap kerja-kerja yang dilakukan beliau sepanjang menjawat tugasnya sebagai CEO kelab. Ternyata suhu amarah penyokong-penyokong United yang memuncak terhadap Woodward berjaya diturunkan sedikit sebaik sahaja kelab mengumumkan secara rasmi kejayaan mereka menandatangani Fernandes dari Sporting Lisbon.

Fernandes merupakan pemain keempat dari Sporting Lisbon yang ditandatangani United selepas Cristiano Ronaldo, Luis Nani dan Marcos Rojo. Selain daripada itu, beliau juga merupakan warga Portugal keenam yang menyertai United selepas Ronaldo, Nani, Bebe, Joel Perreira dan Diogo Dalot. Dari lima pemain tersebut, Ronaldo muncul pemain Portugal paling berjaya di Old Trafford sepanjang enam musim beliau menyarung jersi United. Sudah tentu juga pencapaian Ronaldo menjadi penanda aras tertinggi untuk dilepasi oleh mana-mana pemain Portugal di Old Trafford.

Perpindahan Ideal

Sejujurnya saya sendiri tidak percaya bahawa kelab akhirnya berjaya juga mendapatkan tandatangan Fernandes. Apatah lagi sebelum itu timbul pula perkhabaran tentang minat Barcelona yang mahu membawa pemain itu beraksi di Nou Camp. Melihatkan kepada betapa perlahannya manuever kelab dalam setiap bursa perpindahan di bawah regim Woodward, berita tentang Fernandes yang berada dalam radar buruan United sering sahaja menjadi bahan jenaka bukan sahaja oleh penyokong sendiri tetapi juga dari kelompok penyokong lawan.

Harga yang diletakkan Sporting juga antara penyebab mengapa urusan perpindahan Fernandes tidak berjalan dengan lancar. Akhirnya menerusi nilai perpindahan sebanyak £47 juta, Sporting bersetuju melepaskan playmaker mereka itu menyertai United dengan ikatan kontrak selama empat tahun setengah. Bagaimanapun terdapat terma dalam kontrak pemain itu yang membolehkan Sporting menerima jumlah sehingga £67 juta dari United, bergantung kepada prestasi kelab dan pencapaian Fernandes sepanjang beliau berada di Old Trafford.

Keputusan United mendapatkan khidmat Fernandes dilakukan kerana dalam skuad Solskjaer, cuma Juan Mata dan Paul Pogba sahaja yang boleh berperanan sebagai seorang playmaker. Bagaimanapun Pogba berdepan krisis kecederaan yang menyaksikan bintang Perancis itu terlepas banyak aksi sejak penghujung September tahun lalu. Manakala Mata pula dalam tempoh beberapa musim terakhir nampaknya lebih kerap diplotkan untuk beroperasi di sisi kanan berbanding mengalas peranan selaku pemain nombor 10.

Sepertimana yang anda tahu, United musim ini terpaksa berdepan dengan isu kreativiti di bahagian tengah. Kerana hal inilah mereka sering dilihat berdepan kesukaran ketika berdepan lawan yang mengamalkan pendekatan permainan bertahan. Lihat sahajalah aksi mereka ketika berdepan lawan seperti Burnley, Watford, West Ham atau Newcastle United. Isu tumpulnya kreativiti di bahagian tengah merupakan masalah terbesar yang perlu diselesaikan Solskjaer dalam misinya membawa United kembali beraksi di Liga Juara-Juara musim hadapan.

Statistik

Keputusan United mendapatkan khidmat Fernandes ini mungkin sedikit terlewat tetapi masih belum terlambat untuk menyelamatkan kempen mereka musim ini. United sepatutnya menandatangani Fernandes lebih awal, ketika gosip tentang minat kelab terhadap beliau sudah bertiup kencang sejak Jun tahun lalu lagi. Masih terlalu awal untuk meletakkan status Fernandes sebagai `penyelamat’ United, tetapi jika dilihat kepada statistik beliau sepanjang menyarung jersi Sporting, pemain berusia 25 tahun itu sepatutnya mampu memberikan kreativiti tambahan di sektor tengah sepertimana diperlukan Solskjaer.

Sejak menyertai Sporting dari Sampdoria pada 2017, Fernandes sudah memperlihatkan kemampuan beliau sebagai penggerak jentera tengah untuk skuad bergelar Leões itu. Sepanjang dua setengah musim sejak kembali ke Portugal, Fernandes menjaringkan 64 gol dan mencipta 52 bantuan gol dari 137 aksi Primeira Liga untuk Sporting. Musim lalu, beliau menjaringkan 33 gol dan mencipta 18 bantuan gol dari 53 penampilan untuk Sporting dalam semua peringkat kejohanan, satu jumlah yang cukup banyak untuk seorang pemain yang bukan berada di posisi penyerang.

Statistik jaringan dan bantuan gol yang dilakukan Fernandes menunjukkan betapa bahayanya beliau ketika berada di dalam kawasan lawan. Kecenderungan beliau untuk berada sejajar dengan posisi penyerang-penyerang Sporting ketika mereka melakukan serangan antara faktor penyumbang utama mengapa Fernandes begitu produktif dalam menghasilkan gol atau mencipta peluang jaringan buat rakan sepasukan yang lain. Selain itu, kemampuan beliau untuk bermain lebih dari satu posisi pula sebenarnya merupakan satu bonus tambahan untuk mana-mana pasukan yang diwakilinya.

Apa Ada Pada Fernandes?

Ketika keperluan untuk mendapatkan seorang pemain tengah kreatif menjadi keutamaan nombor satu, United akhirnya tidak melepaskan peluang terbuka apabila mereka menggunakan kesempatan pada bursa perpindahan pemain pertengahan musim dengan menandatangani Fernandes. Mereka sudah rasmi mendapatkan khidmat Fernandes dan pemain tersebut sudahpun melakukan penampilan pertamanya ketika berdepan Wolverhampton Wanderers. Apa yang bakal diperhatikan selepas ini ialah kemampuan Solskjaer untuk memaksimakan kemampuan pemain tengah itu sesuai dengan keperluan pasukan.

Banyak analisis sebelum ini hanya difokuskan kepada kemampuan Fernandes. Adakah beliau sesuai memainkan peranan selaku pemain nombor 8 dalam formasi 4-3-3, atau berperanan sebagai pemain nombor 10 dalam formasi 4-2-3-1. Bagaimanapun akhirnya kita juga perlu mengakui bahawa kemampuan seorang pemain akan lebih terserlah jika dia disokong oleh sistem permainan yang bagus. Kelebihan yang ada pada Fernandes ialah kepekaan beliau ketika melihat pergerakan rakan-rakan sepasukannya sebelum melepaskan hantaran, dan itulah yang dilakukan beliau semasa di Sporting Lisbon.

Di samping itu juga, beliau bijak mencipta ruang agar setiap hantaran yang dilakukannya lebih tepat menemui sasaran. Akhirnya kunci kepada setiap hantaran yang sempurna tetap bergantung kepada bagaimana bijaknya rakan-rakan sepasukan yang lain melakukan pergerakan untuk menerima umpanan-umpanan kunci (key passes) dari beliau. Jika koordinasi itu tidak berlaku, maka percayalah bahawa kemampuan sebenar Fernandes selaku seorang playmaker seperti yang anda dambakan tidak akan terlihat di atas padang.

Secara purata, Fernandes melepaskan 50.54 hantaran dalam setiap perlawanan. Dari jumlah tersebut, sebanyak purata 16.49 adalah merupakan hantaran-hantaran vertical. Sporting adakalanya mengubah sistem permainan mereka dari 4-3-3 kepada 4-2-3-1. Ketika pertukaran ini berlaku, Fernandes akan ditolak ketengah untuk berperanan sebagai pemain nombor 10, dan di sinilah beliau menjadi titik kepada setiap gerakan-gerakan yang dilakukan Sporting. Jadi tidak hairanlah mengapa begitu banyak catatan key passes Sporting datangnya dari sepasang kaki Fernandes.

Paling menarik, Fernandes melakukan purata lima hantaran vertical yang masuk ke petak penalti lawan dalam setiap perlawanan dengan peratus ketepatan hantaran ini mencapai 49.5%. Satu-satunya pemain yang paling hampir dengan catatan Fernandes ini ialah Daniel James. Pemain muda United ini melakukan purata 3.21 hantaran (vertical) ke dalam petak penalti lawan dengan peratus ketepatan hantaran yang dilakukannya mencapai 41.8%. Apa yang sudah dipamerkan beliau di Sporting menunjukkan bahawa Fernandes adalah pemain tengah yang diperlukan United.

Penutup

Misi mendapatkan tandatangan Fernandes sudah diselesaikan, kini tugas untuk memanfaatkan kemampuan sebenar pemain tengah itu akan menjadi tugas besar yang perlu dilaksanakan Solskjaer. 52 bantuan gol yang dilakukan beliau di Sporting menunjukkan betapa tingginya kefahaman bekas rakan-rakan sepasukan beliau dengan corak permainan Fernandes. Akhirnya dalam masa yang sama kita juga terpaksa mengakui bahawa isu kreativiti United tidak akan selesai dengan kedatangan Fernandes jika dilihat kepada aksi mereka menentang Wolves tempohari.

Tugas seterusnya yang perlu dilakukan Solskjaer ialah memastikan pemain-pemain lain dapat berkolaborasi sepenuhnya di atas padang dengan kualiti yang ada dalam permainan Fernandes, terutamanya mereka yang berada di barisan hadapan seperti Anthony Martial, Marcus Rashford dan Mason Greenwood. Playmaker seperti Fernandes perlukan rakan-rakan sepasukan yang faham dengan corak hantaran serta cara beliau bermain, dan atas sebab itulah mengapa beliau sangat berjaya semasa di Lisbon.

Meskipun beliau gagal membantu United meraih tiga mata penuh pada penampilan pertamanya ketika berdepan Wolves, Fernandes sekurang-kurangnya sudah `mengajar’ rakan-rakan sepasukannya cara bermain bolasepak yang betul. Mobiliti beliau di atas padang, sama ada dengan atau tanpa bola sewajarnya diperhatikan dengan penuh teliti oleh rakan-rakan sepasukan yang lain. Sepanjang tempoh 90 minit, Fernandes muncul pemain United paling banyak melepaskan percubaan ke arah pintu gol lawan, iaitu sebanyak lima kali dengan tiga daripadanya merupakan percubaan tepat.

Menerusi sentuhan bola sebanyak 111 kali yang dilakukannya, serta melepaskan 92 hantaran dengan 88 daripadanya adalah hantaran tepat, Fernandes seperti yang dapat anda lihat kerap terlibat dalam setiap gerakan serangan yang dilakukan United. Pembelian Fernandes hanyalah langkah permulaan United untuk mengatasi isu kreativiti jentera tengah mereka, tetapi memanfaatkan potensi beliau adalah hal terpenting yang perlu dilakukan Solskjaer selepas ini. Jika Solskjaer gagal melakukannya, maka janganlah hairan kerana Fernandes nanti tiada bezanya dengan Jesse Lingard.  Glory Glory Manchester United!!!

29 Januari 2020

MENANTI PENYELESAIAN SOLSKJAER DALAM MENGATASI MASALAH KETIADAAN MARCUS RASHFORD



Tewas kepada Liverpool, Sergio Romero kemalangan, Marcus Rashford pula bakal diketepikan buat tempoh yang lama kerana kecederaan dan kalah dengan cara yang sangat memalukan kepada Burnley di gelanggang sendiri. Nasib buruk nampaknya datang bertalu-talu menimpa Manchester United meskipun alaf baharu 2020 belum berusia sebulan. Dari semua itu, khabar tentang kecederaan Rashford yang menyaksikan beliau bakal terlepas aksi selama dua bulan benar-benar menusuk jantung penyokong-penyokong United di seluruh dunia.

Sudahlah kelab kehilangan sentuhan Paul Pogba dan Scott McTominay di bahagian tengah, kini Solskjaer terpaksa berdepan pula satu lagi masalah kecederaan panjang yang menimpa Rashford, penyumbang utama gol-gol untuk United musim ini. Sekiranya benar Rashford akan terlepas aksi selama enam minggu sepertimana yang dikatakan Solskjaer, ini bermakna penyerang England itu tidak akan bermain sekurang-kurangnya 15 perlawanan untuk United.

Bulan Februari hingga April merupakan fasa yang sangat penting untuk United. Tatkala harapan untuk menamatkan saingan musim ini di kelompok empat teratas masih menyala, United juga bakal berdepan dua perlawanan timbal balik Liga Europa menentang Club Brugge pada bulan Februari. Di samping itu, United juga masih berada dalam persaingan dua kejohanan kalah mati domestik (Piala FA dan Piala Liga), jadi ketiadaan Rashford bakal memberikan kesan besar kepada misi United pada baki saingan musim ini.

Peranan Rashford di bahagian hadapan skuad United musim ini memang sangat penting. Mungkin juga tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Solskjaer sangat bergantung kepada sentuhan beliau untuk menembusi pintu gol lawan. Setakat ini Rashford sudah menjaringkan 19 gol untuk United dalam semua peringkat kejohanan. Tidak cukup dengan itu, beliau juga sudah mencipta lima bantuan gol, sekaligus membuktikan betapa besarnya sumbangan pemain itu dalam survival United musim ini.

Apakah Solusi Solskjaer?

Solskjaer tentunya individu paling resah ketika ini. Akhirnya keputusan beliau menurunkan Rashford ketika aksi ulangan pusingan ketiga Piala FA menentang Wolverhampton memakan diri. Siapa lagi pemain hadapan yang dimiliki Solskjaer untuk beliau harapkan bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Rashford selain Anthony Martial dan Mason Greenwood. Bagaimanapun dua pemain ini (Martial dan Greenwood) juga sebenarnya masih memeningkan kepala Solskjaer.

Martial kerap `hilang’ ketika sentuhannya benar-benar ditagih. Lihat apa yang berlaku ketika aksi menentang Liverpool 20 Januari lalu. Juga apa yang berlaku kepada Martial ketika United tewas 0-2 kepada Burnley minggu lalu. Manakala Greenwood pula masih terlalu muda untuk memikul beban selaku penggempur utama. Lumrah buat pemain muda seperti Greenwood yang kerap berdepan isu konsistensi, jadi meletakkan beban serta harapan di bahu beliau tetap satu perjudian yang besar. Untuk itu, apa lagi pilihan yang ada di tangan Solskjaer bagi mengatasi masalah ini?

Sebenarnya ada dua lagi pemain yang boleh beraksi di posisi Rashford. Pemain yang saya maksudkan ialah Tahith Chong dan Angel Gomes. Bagaimanapun berbanding Greenwood, penampilan Chong dan Gomes tampak masih belum menyakinkan selepas beberapa peluang diberikan oleh Solskjaer untuk dua pemain muda ini menikmati minit permainan bersama skuad utama. Lupakan tentang Alexis Sanchez kerana tiada klausa dalam perjanjian pinjaman untuk membolehkan kelab memanggil beliau kembali ke Old Trafford pada pertengahan musim.

Dapatkan Penyerang Baharu

Hanya satu solusi yang cepat dan tepat boleh dilakukan Solskjaer bagi mengatasi masalahnya, iaitu dapatkan pemain baharu ketika tempoh bursa perpindahan pemain pertengahan musim masih lagi tersisa. Untuk itu, sudah muncul beberapa nama yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford bagi mengatasi masalah ketumpulan jentera serangan The Red Devils berikutan ketiadaan Rashford. Mereka yang dimaksudkan ialah Edinson Cavani, Moussa Dembele serta Krzysztof Piatek.

Leonardo yang juga merupakan Pengarah Sukan Paris St Germain mengesahkan bahawa penyerang antarabangsa Uruguay itu sudah menyatakan keinginan beliau untuk berhijrah dari Stade des Princes pada Januari ini. Bagaimanapun jika United serius mahu mendapatkan tandatangan Cavani, mereka nampaknya terpaksa bersaing dengan Atletico Madrid, kelab yang disebut-sebut sebagai pilihan utama mendapatkah khidmat penggempur Uruguay itu.

Bagaimana pula dengan Piatek? Sama seperti Cavani, Piatek juga tidak pernah di rumours-kan berada dalam radar United. Jika Solskjaer tiba-tiba berminat mendapatkan khidmat penyerang AC Milan itu, United nampaknya terpaksa bersaing dengan seteru domestik mereka iaitu Tottenham Hotspurs. Jose Mourinho khabarnya sedang memantau perkembangan Piatek di San Siro dengan penuh teliti. Misi beliau ialah membawa warga Poland itu ke London bagi mengatasi krisis barisan hadapan skuadnya berikutan kecederaan dialami Harry Kane.

Jika bukan Cavani atau Piatek, siapa lagi pilihan realistik yang boleh ditandatangani Solskjaer Januari ini? Satu-satunya penyerang yang pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford ialah Moussa Dembele. Jika mahu dibandingkan statistik jaringan gol antara Cavani, Piatek dan Dembele musim ini, jelasnya penggempur Lyon itu sewajarnya diletakkan dalam radar buruan Solskjaer bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Rashford.

Satu-satunya halangan yang perlu diatasi Solskjaer ialah tandaharga yang diletakkan Lyon kepada penggempur berusia 23 tahun itu. Lyon khabarnya mahukan £43 juta jika ada mana-mana kelab yang mahu membawa keluar Dembele dari Groupama Stadium. £43 juta adalah jumlah yang sangat besar untuk dibelanjakan di pertengahan musim, jadi sepertimana kes Bruno Fernandes, perpindahan Dembele juga nampaknya sukar direalisasikan.

Jalan Terakhir

Ketika tempoh masa bursa perpindahan pertengahan musim semakin menuju ke penghujungnya, saya tidak nampak akan ada penyerang baharu yang bakal ditandatangani United. Buat masa ini anggap sajalah berita tentang Cavani, Piatek atau Dembele cumalah sekadar cakap-cakap `kedai kopi’ yang menjadi tajuk cerita paling popular untuk penyokong-penyokong United menghabiskan masa santai mereka di restoran mamak.

Sedikit petunjuk sudah diberikan Solskjaer selepas aksi menentang Liverpool, iaitu beliau ada cuba menampung kehilangan Rashford dengan mendapatkan pemain pinjaman. Cara ini jugalah yang pernah dipraktikkan Sir Alex Ferguson kira-kira 13 tahun lalu ketika beliau meminjam Henrik Larsson selama tiga bulan dari Helsingborg berikutan masalah kecederaan yang menimpa Wayne Rooney dan Louis Saha ketika itu.

Jika Solskjaer berniat meminjam mana-mana pemain, siapakah pemain yang beliau fikirkan sebagai `pilihan tepat’ untuk menggantikan Rashford buat sementara waktu. Di Jerman, Paco Alcacer nampaknya sudah tidak betah lagi berada di Signal Iduna Park berikutan kehadiran Erling Braut Haaland selaku pilihan lebih baik di barisan serangan Dortmund. Bagaimanapun Paco bukanlah pemain yang `tepat’ seperti diinginkan Solskjaer kerana berbanding Rashford, beliau lebih kepada baka poacher dalam era bolasepak moden.

Melihat kepada maneuver United dalam setiap jendela perpindahan, kita akhirnya mungkin akan melihat Martial serta Greenwood terus menjadi sandaran selaku penggempur, sementara Rashford menjalani sesi rawatan. Ketika tempoh bursa perpindahan pertengahan musim cuma bersisa beberapa hari lagi sebelum ditutup, idea untuk mempromosikan Largie Ramazani ke skuad utama boleh menjadi alternatif tambahan sekiranya Solskjaer tidak menandatangani mana-mana penyerang baharu Januari ini. Glory Glory Manchester United!!!