22 Disember 2020

TIGA PEMAIN UNITED YANG MEMILIKI CATATAN MINIT PERMAINAN PALING TINGGI

 


Tiga pemain Manchester United tersenarai dalam kelompok sepuluh pemain (non goalkeeper) yang paling banyak mengumpul minit permainan sepanjang 2020. Dalam senarai yang dikeluarkan oleh CIES Football Obs itu, Liga Perdana memiliki wakil paling ramai menerusi empat pemain yang tersenarai, La Liga pula memiliki tiga wakil, satu dari Serie A (Itali), satu dari Liga Perdana Scotland dan satu dari Serie A (Brazil).

 

Berikut adalah sepuluh pemain yang paling banyak mengumpul minit permainan sepanjang tahun 2020 (setakat ini):

 

Harry Maguire (Man United): 4745 minit

Ruben Dias (Man City): 4344 minit

Lionel Messi (Barcelona): 4293 minit

Bruno Fernandes (Man United): 4164 minit

Bruno Pacheco (Ceara SC): 4162 minit

Romelu Lukaku (Inter Milan): 4144 minit

Victor Lindelof (Man United): 4142 minit

Raphael Varane (Real Madrid): 4123 minit

Jesus Navas (Sevilla): 4110 minit

Callum McGregor (Celtic): 4106 minit

 

Di kemuncak senarai tentunya anda dapat melihat nama Harry Maguire selaku pemain paling banyak mengumpul minit permainan (4745), jauh meninggalkan Ruben Dias yang berada ditangga kedua dengan jurang 401 minit permainan. Tidak dapat dinafikan bahawa Maguire, Lindelof dan Bruno merupakan tiga tonggak di posisi masing-masing yang sering diturunkan Ole Gunnar Solskjaer dalam kesebelasan utamanya. Jadi tidak hairanlah mengapa United mendominasi senarai yang dikeluarkan oleh CIES Football Obs ini menerusi keberadaan Maguire, Lindelof dan Bruno.

 

Meskipun benteng pertahanan United sering dijadikan sasaran kritikan, namun dalam masa yang sama anda juga tidak boleh menafikan sumbangan keseluruhan yang diberikan oleh Maguire dan Lindelof selaku pasangan di bahagian tengah pertahanan mereka. Atau mungkin lebih tepatnya, Solskjaer berasa `lebih selamat’ jika beliau meletakkan kombinasi Maguire dan Lindelof selaku gandingan pertahanan tengah berbanding mana-mana kombinasi pemain yang beliau miliki ketika ini.

 

Mengikut catatan dari Daily Mail, Maguire tidak pernah terlepas walau sekalipun aksi dalam saingan liga untuk United sejak beliau berpindah ke Old Trafford pada musim panas 2019 yang lalu. Setakat musim ini pula, kapten United itu cuma terlepas dua perlawanan dalam semua peringkat kejohanan (dalam aksi menentang PSG di Liga Juara-Juara dan juga Brighton & Hove Albion di kejohanan Piala Liga).

 

Bagi Victor Lindelof pula, beliau adalah `peneman setia’ untuk Maguire di jantung pertahanan United. Kali terakhir Lindelof diletakkan di bangku simpanan ialah ketika United dibelasah (1-6) dalam aksi liga menentang Tottenham Hotspurs pada 4 Oktober lalu. Selepas itu, Lindelof disenaraikan Solskjaer dalam kesebelasan utama pada 15 aksi terakhir beliau untuk United dalam semua peringkat kejohanan.

 

Apa lagi yang mampu anda katakan tentang sumbangan Bruno Fernandes sejak beliau menyertai United pada Januari lalu. Tiada siapa boleh menyangkal fakta bahawa United memang sangat bergantung kepada keberadaan Bruno dalam menggerakan jentera tengah mereka. Atau lebih tepatnya Bruno sering dijadikan objektif utama Solskjaer untuk menembusi benteng pertahanan lawan menerusi visi hantaran-hantarannya atau menerusi penyudah yang dilakukannya.

 

Lelaki Portugal berusia 26 tahun ini boleh dikatakan terlibat dalam hampir kesemua gol-gol yang dihasilkan barisan The Red Devils, manakala dalam saingan liga musim ini pula beliau merupakan penjaring terbanyak United menerusi sembilan gol yang sudah dijaringkannya selain mencipta lima bantuan gol. Sukar untuk menggambarkan apa yang bakal berlaku kepada United jika mereka beraksi tanpa Bruno kerana suka atau tidak anda terpaksa mengakui bahawa  beliau umpama `nyawa’ kepada permainan The Red Devils.

 

Ketika tahun 2020 semakin menuju ke penghujung, manakala mentari 2021 bakal menjengah dalam beberapa hari lagi, nama Maguire, Lindelof dan Bruno nampaknya akan terus mendominasi senarai kesebelasan utama United pada perlawanan-perlawanan mendatang. Maguire dan Lindelof antara pemain yang sering dijadikan sasaran kritikan, tetapi ironinya nasib United sebenarnya turut bergantung kepada dua pemain ini dalam memastikan agar benteng mereka kekal kukuh.

 

Bruno pula umpama ahli sihir yang berjaya mengubah nasib kelab sejak ketibaannya di Old Trafford hampir 11 bulan yang lalu. Anda masih boleh berdebat tentang isu konsistensi United di era Solskjaer, tetapi dalam masa yang sama suara-suara keyakinan tentang peluang The Red Devils mencabar kejuaraan liga musim ini juga semakin kuat kedengaran selepas aksi menentang Leeds tempohari. Ketika aura optimistik semakin kuat terasa, berharaplah agar Maguire, Lindelof dan Bruno mampu terus memainkan peranan penting dalam perjalanan United pada baki saingan musim ini. Glory Glory Manchester United!!!



20 Disember 2020

PRA PERLAWANAN: MANCHESTER UTD vs LEEDS UTD

 


  • Manchester United tidak pernah tewas dalam 15 pertemuan terakhir menentang Leeds United di Old Trafford dalam saingan liga. Kekalahan terakhir United di gelanggang sendiri ketika berdepan Leeds berlaku pada Februari 1981.

 

  • Ini adalah merupakan pertemuan liga pertama antara kedua-dua pasukan dalam tempoh 16 tahun. Pertemuan terakhir liga antara United dan Leeds berlaku di Old Trafford pada Februari 2004 dimana perlawanan tersebut berkesudahan dengan keputusan seri (1-1).

 

  • United cuma tewas sekali dari 13 pertemuan terakhir mereka menentang Leeds di Liga Perdana (menang 8, seri 4 dan tewas sekali). Kekalahan (0-1) tersebut berlaku di Elland Road pada September 2002.

 

  • Paul Pogba melakukan debut untuk skuad utama United pada usia 18 tahun dalam kejohanan Piala Liga pada September 2011 menentang Leeds. Ketika itu beliau masuk menggantikan Ryan Giggs di separuh masa kedua. United berjaya menewaskan Leeds (3-0) dalam perlawanan tersebut.

 

  • Leeds berjaya menewaskan United dalam aksi terakhir mereka di Old Trafford dalam kejohanan Piala FA. Gol tunggal perlawanan jaringan Jermaine Beckford menyaksikan Leeds berjaya menyingkirkan United dari saingan tersebut pada Januari 2010.

 

  • Leeds berjaya menewaskan Newcastle United (5-2) pada aksi terakhir liga mereka. Ini merupakan kali pertama dalam tempoh 17 tahun Leeds berjaya menjaringkan lima gol di Liga Perdana sejak kejayaan mereka menundukkan Charlton (6-1) pada April 2003.

 

  • Kejayaan menewaskan Newcastle United (5-2) ini juga merupakan kali ketiga Leeds menjaringkan lima gol dalam saingan liga sebelum mereka berdepan United. Ironinya kedua-dua kemenangan sebelum ini dilakar mereka keatas pasukan yang sama, iaitu Newcastle (5-2 pada 1929 dan 5-0 pada 1966).

 

  • Sepanjang karier kejurulatihannya, Marcelo Bielsa berjaya mengalahkan United sebanyak dua kali. Kedua-dua kemenangan itu dilakar Bielsa ketika beliau mengendalikan Athletic Bilbao dalam saingan Liga Europa musim 2011/12. Bilbao berjaya menyingkirkan United di pusingan 16 pasukan menerusi kemenangan (3-2 di gelanggang sendiri dan 2-1 di Old Trafford).

 

  • Patrick Bamford sudah menjaringkan sembilan gol dari 13 penampilan beliau di Liga Perdana untuk Leeds. Bamford cuma memerlukan satu lagi gol untuk meletakkan dirinya selaku pemain Inggeris pertama yang berjaya mencecah angka jaringan 10 gol hanya dari 14 penampilan untuk Leeds. Bagaimana pun rekod 10 gol paling pantas untuk Leeds masih dipegang Mark Viduka. Viduka berjaya menjaringkan 10 gol hanya dari sembilan penampilan liga pada musim 2000/01.

 

Glory Glory Manchester United!!!



04 Disember 2020

MENANG...KALAH...TERTEKAN DAN KEMUDIAN MENANG SEMULA

 


Perjalanan Manchester United dalam kempen Liga Juara-Juara mereka musim ini boleh diumpamakan seperti `roller coaster’, sekejap naik sekejap turun menjunam. Masih ingat lagi dengan ramalan-ramalan yang diberikan selepas undian peringkat kumpulan selesai dilangsungkan pada 1 Oktober lalu di Geneva, Switzerland? Mengambilkira prestasi kelab dalam saingan domestik ketika itu, ramai `pakar bolasepak media sosial’ meramalkan bahawa United bakal menjadi `lauk’ kepada RB Leipzig dan Paris St Germain, semi finalis dan finalis dalam saingan musim lalu.

 

Bagaimanapun prestasi United dalam dua perlawanan awal mengejutkan pengkritik mereka apabila barisan The Red Devils berjaya menewaskan dua pasukan yang diletakkan selaku favourite untuk mara ke pusingan kalah mati. Di Paris, mereka menewaskan Paris St Germain (2-1) dan kemudiannya dengan bergaya membelasah Leipzig (5-0) di Old Trafford. Selepas itu apa yang terjadi? Mereka tewas (1-2) kepada Istanbul Basaksehir di gelanggang lawan, yang juga merupakan satu-satunya kemenangan wakil Turki itu dari lima aksi mereka dalam Kumpulan H.

 

Meskipun berjaya menebus kekalahan mereka kepada Basaksehir menerusi kemenangan menyakinkan (4-1) di Old Trafford minggu lalu, kita terpaksa berdepan realiti pahit apabila United tewas sekali lagi pada penampilan mereka di gelanggang sendiri, dan kali ini kepada PSG pula. Kekalahan ini merupakan kekalahan keempat United pada penampilan mereka di gelanggang sendiri musim ini dalam semua peringkat kejohanan. Paling pahit kekalahan ini juga menyebabkan peluang untuk mereka mara ke pusingan kalah mati nanti turut terancam.

 

Ironinya dari kesebelasan yang memiliki peluang besar untuk lolos ke pusingan kalah mati hasil dari dua kemenangan awal mereka di peringkat kumpulan, United kini berada di dua persimpangan, sama ada terus kekal dalam saingan Liga Juara-Juara atau kembali terhumban ke saingan Liga Europa. Pilihan yang ada pada aksi terakhir mereka nanti ialah pulang dari Red Bull Arena dengan sekurang-kurang satu mata kerana kekalahan bakal menyaksikan United muncul satu-satunya wakil Inggeris yang terkandas di peringkat kumpulan.

 

Dengan reputasi Leipzig selaku kesebelasan yang berada di tangga kedua Bundesliga, United bakal berdepan misi sukar dalam kunjungan mereka di Jerman pada 9 Disember nanti. Kekalahan (1-3) yang dialami United kepada PSG juga bukanlah bermakna gergasi Perancis itu terlalu unggul atau barisan kendalian Ole Gunnar Solskjaer beraksi di bawah par. Secara keseluruhannya, United bermain dengan baik dan Thomas Tuchel turut mengakui bahawa tuah menyebelahi skuadnya untuk keluar sebagai pemenang.  

 

Selepas gol pertama PSG terhasil menerusi sentuhan Neymar, barulah United bangkit kembali menerusi gerakan-gerakan yang dilakukan mereka ke kubu lawan dan mencipta beberapa peluang terbaik. Selepas gol penyamaan Marcus Rashford terhasil, United semakin optimis manakala lawan pula cuma menunggu peluang untuk melakukan counter attack. Bagaimanapun inisiatif United untuk mencari gol kedua dibatasi isu ketajaman barisan hadapan mereka ketika berada di hadapan pintu gol lawan.

 

Contoh terbaik lihat sahaja bagaimana `gelojohnya’ Anthony Martial hingga beliau terlepas peluang terbaik untuk mencipta nama selaku penjaring gol dalam perlawanan ini menerusi percubaan liar yang dilakukannya diminit ke-48 meskipun pintu gol lawan sudah terbuka luas. Gol Marquinhos diminit ke-69 menambah tekanan kepada United dan peluang mereka untuk melakukan kebangkitan boleh dianggap tertutup sama sekali sebaik sahaja Fred dilayangkan kad kuning keduanya.

 

Membiarkan Fred terus berada di atas padang selepas beliau dilayangkan kad kuning pertamanya satu perjudian yang besar dilakukan Solskjaer. Fred memang diakui antara pemain terbaik yang ada dalam skuad Solskjaer, dan beliau juga pemain terbaik United dalam melakukan tugasnya memberikan tekanan kepada pemain lawan ketika mereka menguasai bola. Bagaimanapun dengan corak permainan keras yang dimiliki beliau, pengadil sebenarnya cuma menunggu masa yang sesuai untuk melayangkan kad kuning kedua kepada Fred.

 

Akhirnya harga mahal terpaksa dibayar Solskjaer menerusi `keberanian’ beliau untuk terus membiarkan Fred beraksi selama 47 minit selepas layangkan kad kuning pertama yang diterimanya di minit ke-23. Disebalik kekalahan ini, peluang United masih lagi terbuka biarpun misi sukar bakal menanti mereka di bumi Jerman pada 9 Disember nanti. United dibawah kendalian Solskjaer masih belum mampu keluar dari isu konsistensi dan itulah yang mereka sajikan kepada kita awal pagi kelmarin.

 

Senario yang sama masih terus berulang, mereka menang tiga atau empat perlawanan, kemudian tewas, tertekan, kedudukan Solskjaer selaku pengendali kembali dipersoalkan dan kemudiannya mereka bangkit kembali. Suara-suara yang mahukan Solskjaer dipecat kembali kedengaran, dan jika diambilkira senario-senario yang berlaku sebelum ini, itu sebenarnya satu petanda yang baik menjelang kunjungan United ke Stadium London hujung minggu ini dan Red Bull Arena pertengahan minggu hadapan. Kenapa? Kerana United biasanya akan bangkit semula ketika Solskjaer diberikan tekanan dan posisinya selaku pengendali kembali terancam. Glory Glory Manchester United!!!



03 Disember 2020

PASCA PERLAWANAN: UNITED PILIH JALAN SUKAR

 


United cuma perlukan keputusan seri untuk mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Juara-Juara, tetapi mereka memilih jalan yang sukar apabila tewas (1-3) kepada PSG dalam perlawanan kelima peringkat kumpulan awal pagi tadi. Kekalahan ini juga menyaksikan United, PSG dan RB Leipzig mengumpul jumlah mata yang sama selepas masing-masing menang tiga perlawanan dan tewas dua kali.

 

Bagaimanapun United masih kekal selaku pendahulu Kumpulan H menerusi perbezaan jaringan berbanding PSG di tangga kedua dan Leipzig di tangga ketiga. PSG pulang ke kota Paris dengan tiga mata penuh menerusi dua gol yang dijaringkan Neymar dan satu sumbangan Marquinhos, tetapi jika barisan hadapan United lebih klinikal dalam menyudahkan peluang, keputusan perlawanan mungkin tidak berakhir seperti ini.

 

Antara momen paling menarik dalam pertembungan di Old Trafford awal pagi tadi ialah layangan kad merah yang diterima Fred diminit ke-70. Fred sebenarnya bernasib baik kerana masih kekal di atas padang selama 47 minit meskipun insiden membabitkan beliau dengan  Leandro Paredes diminit ke-23 menyaksikan pengadil cuma melayangkan kad kuning kepada kedua-dua pemain.

 

Membiarkan Fred terus bermain selama 47 minit selepas beliau dilayangkan kad kuning pertamanya antara harga yang perlu dibayar Ole Gunnar Solskjaer tatkala skuadnya melepaskan peluang terbaik mereka untuk mara ke pusingan kalah mati lebih awal. Ramai pihak mempersoalkan mengapa Solskjaer tidak melakukan pertukaran sedangkan di bangku simpanan, beliau memiliki Donny Van de Beek dan Paul Pogba sebagai pengganti.

 

Fred sebenarnya memang bernasib baik kerana masih kekal di atas padang walaupun insiden membabitkan beliau dengan Leandro Paredes itu sepatutnya berakhir dengan layangan kad merah. Dan selaku pemain yang ditugaskan untuk merosakkan tempo permainan lawan, Fred memang dituntut untuk melakukan terjahan-terjahan keras sesuai dengan corak permainan yang dimiliki beliau.

 

Jadi keputusan Solskjaer untuk terus mengekalkan Fred di atas padang juga adalah satu perjudian yang besar. Akhirnya satu lagi terjahan yang dilakukan Fred ke atas Ander Herrera diminit ke-70 menyaksikan United kekurangan seorang pemain selepas mereka ketinggalan buat kali kedua menerusi gol yang dijaringkan Marquinhos, hanya seminit sebelum Fred dilayangkan kad merah.

 

Tiada peluang untuk United bangkit sepertimana yang mereka lakukan di babak pertama dan segala sisa-sisa harapan akhirnya dipadam Neymar menerusi gol kedua peribadi beliau dalam perlawanan ini yang dijaringkannya di masa kecederaan. Daripada cuma keputusan seri yang diperlukan untuk mereka layak ke pusingan kalah mati, United sebaliknya memilih jalan sukar dan nasib mereka bakal ditentukan pada perlawanan terakhir menentang Leipzig di gelanggang lawan.

 

Peluang masih terbuka buat tiga pasukan (United, PSG dan Leipzig) untuk meraih dua slot ke pusingan kalah mati nanti, tetapi dalam situasi ini PSG berada dalam posisi lebih baik kerana mereka bakal berdepan Istanbul Basaksehir di gelanggang sendiri pada perlawanan terakhir. Manakala perhitungan terakhir di Red Bull Arena pada 9 Disember nanti bakal penjadi perhitungan hidup dan mati antara United dan Leipzig. Glory Glory Manchester United!!!





02 Disember 2020

PRA PERLAWANAN: MANCHESTER UTD vs PSG

 


Misi Wajib Menang

 

United wajib menang perlawanan ini kerana kekalahan akan menyebabkan persaingan kepusingan kalah mati kembali terbuka kepada tiga pasukan jika RB Leipzig menewaskan Istanbul Basaksehir di Turki. Jika situasi ini berlaku, United, PSG dan Leipzig masing-masing mengumpul sembilan mata. Sudah tentu aksi terakhir United menentang Leipzig di gelanggang lawan nanti bakal menjadi perjuangan hidup dan mati dalam kempen Liga Juara-Juara mereka musim ini.

 

Momentum Terbaik

 

United berada dalam momentum terbaik selepas tewas dua aksi berturut-turut ketika mereka berdepan Arsenal dan Istanbul Basaksehir. Selepas dua kekalahan tersebut, United sudah mengharungi empat aksi mereka dalam semua peringkat kejohanan dengan rekod kemenangan 100%. Selain daripada itu, United juga berjaya menjaringkan purata 2.75 gol per perlawanan dari empat aksi terakhir mereka.

 

Jika United berada dalam momentum terbaik, PSG pula berdepan isu konsistensi sepanjang penampilan mereka pada bulan November. Dari enam penampilan dalam semua peringkat kejohanan sepanjang bulan November, mereka menang tiga, tewas dua dan seri satu perlawanan. Dua aksi terakhir mereka di Ligue 1 pula, PSG tewas (2-3) kepada AS Monaco dan seri (2-2) ketika berdepan Bordeaux.

 

Faktor Cavani & VDB

 

Selepas cemerlang membantu United menewaskan Southampton pada Ahad lalu, Edinson Cavani antara pemain yang diramal mampu memberikan perbezaan dalam perlawanan ini. Ketika United berdepan isu konsistensi Mason Greenwood dan penurunan prestasi Anthony Martial, ini adalah peluang terbaik buat Edi diturunkan dalam kesebelasan utama. Perlawanan ini juga menjadi pentas terbaik buat Edi membuktikan kepada bekas pasukannya bahawa beliau masih antara penggempur yang wajar dihormati.

 

Selain dari itu, di bahagian tengah pula keberadaan Donny Van de Beek yang sudah mula beradaptasi dengan gaya permainan United juga satu bonus tambahan buat Ole Gunnar Solskjaer. Donny nampaknya sudah mula serasi dengan skema formasi 4-3-1-2 yang digunakan Solskjaer di mana kehadirannya membuatkan gerakan-gerakan United lebih fleksibel di mana mereka memiliki opsyen untuk menyerang dari tengah atau dari sisi kanan dan kiri.

 

Rekod Pertemuan

 

Jika diambilkira rekod pertemuan membabitkan kedua-dua pasukan, United sedikit unggul berbanding lawan mereka. Dari tiga pertemuan kompetitif mereka, United berjaya menewaskan PSG dua kali di mana kedua-dua kemenangan itu diraih mereka di gelanggang lawan. Satu kemenangan yang dilakar PSG ke atas United pula berlaku ketika mereka menewaskan skuad The Red Devils dalam perlawanan pertama pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Juara-Juara edisi 2018/19.

 

Krisis Kecederaan

 

David De Gea, Aaron Wan-Bissaka, Alex Telles, Scott McTominay, Paul Pogba, Luke Shaw dan Anthony Martial antara pemain yang ada dalam senarai kecederaan United. Kehilangan Telles dalam perlawanan ini bakal memberikan masalah besar kepada Solskjaer kerana sebelum ini beliau turut hilang sentuhan Luke Shaw di sisi kiri pertahanan skuadnya untuk tempoh selama enam minggu. Pilihan yang ada jika Telles tidak dapat diturunkan dalam perlawanan ini ialah meletakkan sama ada Timothy Fosu-Mensah atau Brandon Williams sebagai pengganti.

 

Glory Glory Manchester United!!!



01 Disember 2020

EDI CAVANI…TIPIKAL `NOMBOR 9’ YANG SEPATUTNYA SUDAH LAMA UNITED MILIKI

 


Pada mulanya beliau dilabel sebagai pembelian panik yang dilakukan United selepas mereka gagal mendapatkan khidmat Jadon Sancho. Keputusan kelab menandatangani seorang penyerang yang sudah berusia 33 tahun juga sebenarnya turut dipandang sinis, kerana Edinson Cavani dikatakan sudah melepasi zaman kemuncaknya selaku antara penggempur digeruni meskipun beliau memegang status selaku penjaring terbanyak Paris St Germain sepanjang zaman.

 

Ketika kelibatnya turut dikaitkan dengan Atletico Madrid, Leeds United dan Everton, Cavani akhirnya diumumkan secara rasmi sebagai pemain United pada hari terakhir sebelum jendela perpindahan pemain musim panas ditutup. Pada usia beliau yang sudah mencecah 33 tahun, timbul persoalan adakah beliau masih mampu beraksi di pentas tertinggi liga utama Eropah seperti Liga Perdana?

 

Pilihan Lebih Baik Selaku Penyerang Tengah

 

Jadi tidak hairanlah mengapa perbandingan mula dibuat sama ada Cavani mampu memberikan impak sepertimana Zlatan Ibrahimovic atau gagal sepertimana Radamel Falcao, dua penyerang berprofil tinggi yang pernah membarisi jentera serangan United. Cavani cuma diberikan kontrak selama setahun, jadi memang jelas bahawa beliau hanyalah perancangan jangka pendek Ole Gunnar Solskjaer yang terdesak dan memerlukan seorang penyerang tengah tulen di dalam skuadnya.

 

Meskipun begitu, dengan reputasi yang dimilikinya serta statistik jaringannya, Cavani adalah pilihan yang jauh lebih bagus berbanding Odion Ighalo atau Anthony Martial untuk menggalas peranan selaku `pemain nombor 9’. Musim lalu Solskjaer bergantung kepada Martial untuk bertindak sebagai penyerang tengah yang menyaksikan beliau muncul penjaring terbanyak United menerusi 23 gol yang dihasilkannya dalam semua peringkat kejohanan.

 

Bagaimanapun musim ini graf prestasi Martial menurun secara drastik. Dari lima penampilan beliau dalam saingan liga, Martial masih tercari-cari gol pertamanya meskipun beliau sudah menjaringkan dua gol dalam saingan Liga Juara-Juara. Melihat kepada situasi terkini yang dialami Martial, keputusan kelab mendapatkan khidmat Cavani adalah satu keputusan yang tepat meskipun pada awalnya beliau dianggap tidak menepati polisi pembelian pemain baharu United.

 

Dari lima penampilan beliau di Liga Perdana, Cavani belum sekalipun diturunkan dalam kesebelasan utama United. Meskipun begitu, beliau sudah menjaringkan tiga gol menerusi penampilannya dari bangku simpanan United. Gol pertama dari beliau hadir ketika United menewaskan Everton (3-1) di Goodison Park pada 7 November lalu, dan dua lagi gol dijaringkannya ke gawang Southampton dalam aksi yang dilangsungkan di St Mary.

 

Naluri Pembunuh

 

Sudah tentu penampilan Cavani di St Mary menjadi bualan hangat penyokong-penyokong United, kerana dua gol itu (terutamanya jaringan beliau di masa kecederaan) membolehkan United pulang ke Old Trafford dengan tiga mata penuh. Comeback, injury time dan supersub adalah tiga elemen yang sebenarnya cukup sebati dengan `jiwa’ United. Dan elemen itulah yang mewarnai aksi penuh dramatik di St Mary dengan Cavani muncul antara watak utama.

 

Sangat ironi bila memikirkan salah seorang dari mangsa comeback United kira-kira 20 bulan yang lalu menjadi wira pula kepada kebangkitan barisan The Red Devils di St Mary. Untuk makluman anda, Cavani adalah antara pemain yang beraksi di Parc des Princes ketika Paris St Germain disingkir United dari saingan Liga Juara-Juara menerusi peraturan gol di gelanggang lawan hasil dari kemenangan (3-1) yang dilakar mereka di kota Paris.

 

Berbeza dengan wajah muramnya saat PSG disingkir United dari saingan Liga Juara-Juara 20 bulan lalu, St Mary pula adalah pentas yang seolah-olah dicipta untuk Cavani mempamerkan naluri pembunuhnya selaku penyerang tengah tulen. Jika pada separuh masa pertama James Ward-Prowse adalah bintang di St Mary menerusi assist dan gol menerusi sepakan percuma dari kaki kanannya yang menewaskan David De Gea, 45 minit babak kedua pula adalah milik mutlak Cavani.

 

Hanya 15 minit selepas beliau masuk menggantikan Mason Greenwood, hantaran yang dilakukan Cavani berjaya disudahkan Bruno Fernandes untuk gol pertama United. Gol itu menghidupkan kembali perjuangan United untuk sekurang-kurangnya memaksa Southampton berkongsi mata. Bagaimanapun masih ada baki 30 minit selepas gol jaringan Bruno itu terhasil, dan aura optimisme untuk melihat United melakukan comeback semakin kuat terasa.

 

Selang 14 minit kemudian, giliran El Matador pula meletakkan namanya selaku penjaring di scoreboard, dan sekali lagi kealpaan benteng pertahanan lawan dihukum beliau menerusi gol kedua yang dijaringkannya di masa kecederaan. Dua gol yang dijaringkan Cavani adalah contoh terbaik bagaimana dinamisnya pergerakan tanpa bola beliau di dalam petak penalti lawan, naluri yang sebenarnya hanya dianugerahkan kepada penyerang tengah tulen seperti beliau.

 

Gol kedua dan ketiga United di St Mary memiliki persamaan, iaitu mereka memanfaatkan kelemahan koordinasi benteng pertahanan lawan pasca situasi bola mati. Satu kesilapan besar dilakukan Jannik Vestergaard dan Jan Bednarek dengan membiarkan penyerang yang memiliki instinct seperti Cavani lolos dari celah-celah pertahanan mereka. Untuk berdepan dengan penggempur seperti Cavani anda tidak boleh hilang fokus tetapi itulah yang berlaku di penghujung perlawanan hingga terhasilnya gol kemenangan United dari kepala Cavani.

 

Belajar Dari Cavani

 

Sumbangan Cavani tidak terbatas dengan dua gol yang dihasilkannya tetapi lihat juga pergerakan-pergerakan tanpa bola yang dilakukan beliau. Assist yang dicipta beliau untuk gol pertama adalah contoh terbaik bagaimana `fluidity’nya gerakan-gerakan yang diatur United berbanding penampilan mereka di separuh masa pertama. Kelebihan inilah (pergerakan-pergerakan tanpa bola dan naluri) penyudah beliau di hadapan gawang yang tidak dimiliki sama ada oleh Anthony Martial atau Mason Greenwood.

 

Tipikal penyerang tengah seperti Cavani ialah beliau perlukan rakan-rakan sepasukan untuk memahami setiap pergerakannya di dalam petak penalti lawan sebelum hantaran dilakukan. Dan itulah yang dilakukan Marcus Rashford ketika beliau memberikan assist untuk gol kedua Cavani. “Pergerakan, pergerakan dan pergerakan. Setiap penyerang muda patut belajar dan lihat bagaimana dia bermain. Ini semua berkenaan pergerakan tanpa bola”, kata Jimmy Floyd Hasselbaink yang memuji impak di bawa Cavani pada separuh masa kedua.

 

Cavani sudah membuktikan kemampuannya menerusi tiga gol yang beliau jaringkan meskipun dari lima aksi liga, beliau bermula dari bangku simpanan. Jumlah tiga gol yang dijaringkan Cavani ini sebenarnya lebih banyak dari shoot on target yang dihasilkan Martial, pemain yang sebelum ini sering digunakan Solskjaer untuk berperanan sebagai penyerang tengah. United perlukan elemen instinct semulajadi dari penyerang tengah tulen seperti Cavani untuk memburu gol, penyerang yang tahu meletakkan dirinya di posisi yang tepat, bijak melakukan pergerakan dan mampu menjaringkan gol dalam pelbagai situasi.  

 

Penutup

 

Tanggungjawab besar yang bakal dipikul Cavani selepas ini bukan sahaja memenuhi harapan penyokong sebagai pemburu gol utama The Red Devils tetapi juga sebagai penyarung jersi `nombor 7’ United yang ikonik. Pada usia 33 tahun, keinginan beliau untuk menjaringkan gol tetap membara dan keseronokan beliau setiap kali berjaya menewaskan penjaga gol lawan tidak pernah pudar dari wajahnya. Beliau pernah mengatakan bahawa jersi `nombor 7’ United adalah motivasi dan bukan satu tekanan untuk dirinya. Jadi tolong kembalikan semula maruah jersi `nombor 7’ itu kepada kami wahai Edi Cavani. Glory Glory Manchester United!!!



30 November 2020

IMPAK CAVANI DAN LAPAN KEMENANGAN UNITED DI GELANGGANG LAWAN

 


Perlawanan yang mendebarkan dan penuh dengan elemen dramatik, malah pada satu ketika sudah tergambar bahawa United bakal pulang ke Old Trafford dengan tangan kosong selepas mereka ketinggalan (0-2) kepada tuan rumah menerusi gol yang dijaringkan Jan Bednarek dan James Ward-Prowse. Bagaimanapun keajaiban berlaku di babak kedua apabila dalam tempoh 14 minit, United menyamakan kedudukan menerusi sentuhan Bruno Fernandes (minit ke-60) dan Edinson Cavani (minit ke-74).

 

Ketika aksi perlawanan sudah memasuki masa kecederaan, Cavani membuktikan kualitinya selaku antara penyerang tengah terbaik dunia dan yang sepatutnya sudah lama kelab miliki apabila beliau sekali lagi menyempurnakan peluang menerusi kepala untuk menghasilkan gol kemenangan United. Kemenangan di St Mary ini merupakan kemenangan kelapan berturut-turut yang dilakar United di gelanggang lawan dalam saingan liga sekaligus menyamai pencapaian skuad kendalian Sir Alex Ferguson pada 1993.

 

No Penalty No Problem

 

Tiada lagi sindiran atau kata-kata sinis bahawa kemenangan United dibantu sepakan penalti. Ketika berdepan West Brom minggu lalu, United terpaksa bergantung kepada jaringan menerusi sepakan penalti Bruno Fernandes untuk mereka meraih tiga mata di gelanggang sendiri.

 

Berbanding United yang menjaringkan tiga gol mereka menerusi situasi permainan terbuka, Southampton pula terpaksa bergantung kepada kepakaran mereka dalam situasi set pieces untuk menghasilkan dua gol dalam perlawanan ini.

 

Tolong Letakkan Edi Dalam Kesebelasan Utama

 

Dua gol yang sangat crucial datang dari kepala Edinson Cavani. Menyedari bahawa barisan hadapannya bergelut dalam usaha mereka menembusi benteng pertahanan lawan, Ole Gunnar Solskjaer memasukkan Edi di babak kedua bagi menggantikan Mason Greenwood.

 

Ternyata percaturan Solskjaer berhasil apabila penggempur antarabangsa Uruguay itu menjaringkan dua gol selain mencipta satu bantuan gol bagi membolehkan United terus melebarkan catatan positif mereka setiap kali beraksi di St Mary.

 

Setakat ini Edi sudah menjaringkan tiga gol untuk United dari lima penampilan beliau di Liga Perdana. Melihat kepada sumbangan dan peranan yang dimainkan beliau di St Mary, sudah tiba masanya untuk Edi terus diberikan peranan selaku `pemain nombor 9’ United selepas ini.

 

Kombinasi Matic dan Van de Beek

 

Kebangkitan dramatik United di St Mary sebenarnya turut dibantu oleh faktor prestasi terpuji yang dipamerkan jentera tengah mereka. Tiada pertikaian tentang sumbangan keseluruhan Bruno Fernandes, tetapi apa yang menariknya ialah melihat bagaimana Nemanja Matic dan Donny Van de Beek bekerjasama dengan begitu baik sama ada dalam situasi defensif ataupun ofensif.

 

Aksi di St Mary merupakan penampilan pertama Donny dalam kesebelasan utama United di Liga Perdana dan sepanjang perlawanan beliau sangat impresif menerusi peranan yang dimainkannya selaku `penghubung’ antara barisan belakang dan barisan hadapan. Manakala Matic pula membuktikan bahawa beliau masih lagi watak penting untuk memainkan peranan selaku `pemain nombor 6’.

 

Sepanjang perlawanan, Matic muncul pemain paling banyak melakukan recovery (15 kali), selain lima kali melakukan intercept dan empat kali melakukan tackle. Statistik ini meletakkan Matic selaku pemain paling banyak melakukan recovery, intercept dan tackle berbanding mana-mana pemain yang beraksi di St Mary semalam.

 

United Tidak Perlukan Pogba?

 

Penampilan jentera tengah United terutamanya dalam dua aksi terakhir mereka seolah-olah memberikan indikasi jelas kepada kita bahawa mereka kini tidak lagi perlu bergantung kepada Paul Pogba. Dalam tempoh beberapa musim terakhir, United memang sangat bergantung kepada keberadaan Pogba selaku penggerak jentera tengah mereka, tetapi komitmen pemenang medal Piala Dunia itu terhadap pasukan sejak akhir-akhir ini mula diperdebatkan.

 

Penampilan solid yang dipamerkan Donny Van de Beek, Bruno Fernandes, Fred dan Nemanja Matic di zon tengah sepatutnya boleh membuatkan anda tersenyum dan menarik nafas lega. Situasi terkini juga sebenarnya menimbulkan persoalan tentang masa depan Pogba di Old Trafford. Tatkala Pogba masih tersisih akibat kecederaan, barisan The Red Devils pula membuktikan bahawa mereka adalah kesebelasan yang lebih baik tanpa Pogba.

 

Pakar Di Gelanggang Lawan

 

Sejak kemenangan yang dilakar mereka ke atas Brighton & Hove Albion pada 1 Julai lalu, United sudah mengharungi lapan aksi mereka di gelanggang lawan dengan rekod kemenangan 100%. Paling menarik empat kemenangan berturut-turut yang dilakar United di gelanggang lawan dalam saingan liga musim ini dilakukan mereka menerusi comeback selepas ketinggalan. Comeback mereka musim ini dilakukan ketika berdepan Brighton, Newcastle United, Everton dan Southampton.

 

Glory Glory Manchester United!!!