24 Ogos 2021

TITIK KELEMAHAN UNITED YANG DIDEDAHKAN SOUTHAMPTON DI ST MARY

 


Ralph Hasenhuttl gembira meskipun skuadnya sekadar seri 1-1 ketika berdepan Manchester United di St Mary pada Ahad lalu, tetapi tidak bagi Ole Gunnar Solskjaer. Bagi Solskjaer, seri ketika menentang Southampton umpama satu kekalahan, terutamanya selepas mereka menampilkan aksi terpuji ketika berdepan Leeds dalam perlawanan pertama liga seminggu sebelum itu. Anda boleh berdebat sepanjang minggu tentang gol kontroversi tuan rumah, tetapi hakikatnya kita juga perlu mengakui bahawa United tidak bermain sepertimana diharapkan di St Mary.

 

“Tiada kreativiti dan tiada kualiti”, itu kata-kata ringkas yang keluar dari mulut Roy Keane selepas tamat perlawanan. Paling ketara penampilan jentera tengah yang agak tenggelam dalam menangani pendekatan high pressing kesebelasan The Saints, dan sudah tentunya juga pemilihan pemain yang dilakukan Solskjaer dalam perlawanan ini wajar diberi perhatian. Di St Mary, Solskjaer melakukan dua perubahan dalam skuadnya berbanding ketika mereka menang besar ke atas Leeds minggu lalu.

 

Pertama, beliau menyenaraikan Nemanja Matic bagi membentuk dua pivot bersama Fred dan meletakkan Scott McTominay di bangku simpanan. Manakala yang kedua, beliau mengubah posisi di bahagian depan dengan meletakkan Anthony Martial sebagai penyerang tengah. Dan untuk itu, Daniel James terpaksa dikorbankan. Menurut Solskjaer, idea meletakkan Martial sebagai penyerang tengah kerana beliau ingin menggunakan pendekatan dua striker dalam perlawanan ini.

 

“Saya menyenaraikan Martial kerana mahu dia bergandingan dengan Mason di bahagian hadapan. Mason akan bergerak di sisi kanan dan Martial di sisi kiri”, kata Solskjaer. Idea itu pada mulanya tampak bagus kerana sepertimana yang anda tahu, Martial pada kemuncak prestasinya merupakan pemain yang memiliki mobiliti, kawalan bola dan penyudah yang bagus. Tetapi itu dulu, kerana Martial kini bukan lagi pemain yang sama ketika beliau meledak 23 gol sepanjang musim 2019/20.

 

Akibatnya, sepanjang babak pertama Martial cuma mampu menyentuh bola sebanyak sepuluh kali, manakala sepanjang 59 minit penampilannya di St Mary, beliau melepaskan hanya satu percubaan dan peratus ketepatan hantaran yang dilakukannya pula sekadar mencapai angka 67%. Melihat kepada pendekatan Solskjaer memang sangat mengejutkan, apatah lagi bila memikirkan bahawa kali terakhir Martial tersenarai dalam kesebelasan utama United ialah pada Mac lalu.

 

Selain barisan hadapan, keputusan Solskjaer merombak jentera tengah skuadnya juga mengudang persoalan. Berbanding keputusan beliau menyenaraikan Martial dalam kesebelasan utama, idea Solskjaer memilih Matic berbanding McTominay sebenarnya idea yang lebih mudah kita fahami. Berbanding McTominay, Matic pula merupakan seorang holding midfielder dengan kualiti hantaran yang bagus. Bagaimanapun pada usia 33 tahun, mobiliti beliau semakin terbatas.

 

Itu yang dapat anda lihat sepanjang penampilan Matic di St Mary. Matic bagus dalam melakukan hantaran-hantaran, tetapi mobiliti beliau yang rendah menyaksikan banyak gerakan-gerakan yang cuba diatur United terganggu. Hakikat yang perlu anda akui ialah kombinasi Matic/Fred merupakan titik kelemahan United ketika mereka berdepan Southampton. Apa yang terjadi, Fred melakukan empat kesilapan hantaran hanya dalam tempoh 16 minit pertama permainan.

 

Melihat kepada kemampuan jentera tengah United terutamanya membabitkan pemain yang boleh berperanan dengan berkesan sebagai holding midfielder, wajarlah kelab dikaitkan dengan pemain seperti Ruben Neves. Pemain Wolverhampton Wanderers ini memang dikenali sebagai seorang holding midfielder dengan kemampuan defensive dan offensive yang bagus. Southampton berjaya mendedahkan titik kelemahan United, jadi selepas ini sangat menarik untuk kita melihat apa yang bakal dilakukan kelab pada baki tempoh jendela perpindahan musim panas ini.

 

Solskjaer perlu mempertimbangkan secara serius untuk meletakkan seorang holding midfielder yang dominan di jentera tengah skuadnya, setidak-tidaknya sebelum jendela perpindahan pemain ditutup. Lihat sahaja peranan dimainkan Fernandinho bersama Manchester City, Ngolo Kante untuk Chelsea atau Fabinho untuk Liverpool. Di sinilah mengapa pentingnya United memiliki type pemain yang sama, seorang pemain yang boleh bertindak sebagai water carrier bagi menghubungkan barisan belakang dan barisan hadapan.

 

United pernah memiliki seorang holding midfielder sebagus Michael Carrick, tetapi selepas persaraan beliau pencarian untuk mengisi role tersebut nampaknya masih lagi berterusan. Ketepikan idea mengarut yang mencadangkan agar Victor Lindelof diberikan peranan baru sebagai holding midfielder, kerana untuk tugas tersebut seorang pemain bukan sahaja perlu memiliki kualiti hantaran pendek dan jauh yang bagus tetapi mereka juga mestilah seorang yang press-resistant. Siapa pemain di luar sana yang sesuai? Dalam soal harga, Ruben Neves lebih realistik berbanding Declan Rice. Glory Glory Manchester United!!!



20 Ogos 2021

APA YANG BAKAL RAPHAEL VARANE BERIKAN KEPADA BENTENG PERTAHANAN UNITED

 



Manchester United akhirnya memperkenalkan secara rasmi Raphael Varane selaku pemain baharu mereka. Momen pengenalan Varane sebagai ahli baharu The Red Devils itu dipilih kelab sebelum berlangsungnya sepak mula liga menentang Leeds United pada Sabtu lalu. Sambil mengenggam jersi nombor 19, kehadiran Varane disambut meriah puluhan ribu penyokong-penyokong United di Old Trafford, tanda mereka sangat meraikan kehadiran pemenang medal Piala Dunia, tiga kejuaraan La Liga dan empat kejuaraan Liga Juara-Juara itu.

 

Secara keseluruhannya, perpindahan Varane dari Santiago Bernabeu ke Old Trafford membabitkan nilai sebanyak £41 juta, angka yang boleh dianggap sangat berbaloi jika diambilkira reputasi dimiliki beliau selaku antara `centre back’ terbaik dunia ketika ini. United bolos 44 gol dalam saingan liga musim lalu, jadi sudah tentu mengapa mereka sangat perlukan khidmat seorang pertahanan tengah berpengaruh seperti Varane bagi menambah kekuatan di benteng pertahanan. Atas sebab itulah mengapa Varane dianggap sebagai rakan gandingan yang ideal buat Harry Maguire.

 

Sudah empat musim United ketandusan sebarang kejuaraan, jadi musim ini merupakan musim yang mencabar untuk Ole Gunnar Solskjaer merealisasikan impian penyokong-penyokong yang mahu melihat trofi pertama di bawa masuk ke Old Trafford pada era pengurusan beliau. Musim lalu, Solskjaer hampir sahaja melakukannya selepas berjaya mengemudi United mara ke final Liga Europa. Bagaimanapun Solskjaer dan trofi pertama beliau sebagai pengurus United hanya dipisahkan menerusi satu sepakan penalti yang gagal disempurnakan. Akibatnya penyokong-penyokong United terpaksa menunggu lagi.

 

Jika impian menjulang kejuaraan mahu direalisasikan, Solskjaer perlu menambahbaik beberapa sektor dalam skuadnya, dan benteng pertahanan adalah diantaranya. Bukan mahu menidakkan keupayaan Victor Lindelof, tetapi jika Solskjaer mahu menjadikan United pencabar utama kejuaraan musim ini, beliau perlu memiliki sepasang bek tengah yang dominan. Fakta ini sudah dibuktikan Sir Alex Ferguson lama dahulu. Kekuatan United sepanjang era Fergie dibina menerusi kukuhnya struktur pertahanan mereka.

 

Masih ingat lagi dengan gandingan Steve Bruce/Gary Pallister, Ronny Johnsen/Jaap Stam dan sudah tentu Rio Ferdinand/Nemanja Vidic antara duo bek tengah paling diingati ketika era kemasyhuran United. Selepas berakhirnya era Ferdinand/Vidic, United masih bergelut mencari sepasang bek tengah berpengaruh yang bukan sahaja mampu menjadi tembok pelindung kepada gawang mereka, tetapi juga komander di benteng pertahanan. Semoga pencarian selama bertahun-tahun itu berakhir dengan kedatangan Varane.

 

Cinta Lama

 

Kisah antara United dan Varane bukan kisah baharu. Analogi paling tepat ialah Varane dan United umpama kisah cinta lama yang berpaut kembali. Sepuluh tahun lalu, ketika Varane baru berusia 18 tahun, satu gerakan telah diatur Fergie bagi `mendaratkan’ bek muda ini di Old Trafford. Perkara ini didedahkan Fergie dalam buku tulisan beliau berjudul Leading yang diterbitkan pada 2015. “Saya memandu dari Euston ke Lille bagi mendapatkan seorang bek muda Perancis. Ketika itu, David Gill juga sudah melakukan urusan berkaitan kontrak dengan Lens. Tetapi entah macam mana Zidane tahu akan hal tersebut dan merampasnya betul-betul di depan mata kami”, kata Fergie.

 

Kini selepas sepuluh tahun, peluang akhirnya datang semula dan kali ini United akhirnya berjaya mendapatkan tandatangan Varane. Penghijrahan Sergio Ramos yang juga merupakan rakan gandingan beliau di Madrid, serta pemergian Zidane antara faktor utama yang membuka jalan perginya Varane dari Santiago Bernabeu ke Old Trafford. Bersama Real, Varane menjalani tempoh sepuluh tahun yang sangat cemerlang, memenangi kesemua trofi yang dipertandingkan baik di peringkat domestik, Eropah mahupun dunia. Selebihnya, beliau perlukan keterujaan baharu dalam kariernya, di mana Old Trafford adalah destinasi yang beliau pilih.

 

Bek Moden

 

Dalam satu temubual dengan Bleacher Report pada 2019, Varane mengatakan bahawa bek tengah dalam era bolasepak moden bukan sekadar tentang melakukan kerja-kerja bertahan semata-mata. Menurut beliau, seorang bek tengah moden adalah seorang pemain paling `complete’ di tengah padang. Ia bukan lagi tentang bagaimana bagusnya mereka ketika melakukan `tackle’ atau mengawal pemain lawan yang berada di hadapan mereka, tetapi bek tengah moden adalah pusat gerakan dan tulang belakang pasukan.

 

Dalam temubual tersebut, Varane juga menggambarkan bahawa beliau seorang bek tengah yang `kontemporari’, iaitu seorang bek tengah yang bukan sahaja memiliki kekuatan fizikal untuk melakukan duel dengan mana-mana pemain lawan, tetapi juga bijak membaca permainan serta mampu meletakkan dirinya sebagai pemain pertama dalam melakukan `build up’. Contoh terbaik seorang bek tengah `complete’ yang anda lihat di Liga Perdana ialah Virgil Van Dijk (maaf kepada penyokong-penyokong United kerana anda tentunya tidak gemar dengan fakta tersebut).

 

Di Liverpool, Van Dijk melakukan semua tugas, dari kerja-kerja defensif, melepaskan hantaran jauh atau dekat dari garis pertahanan sendiri, melakukan `build up’ hinggalah memberikan arahan kepada rakan-rakan sepasukannya. Persamaan ketara antara Van Dijk dan Varane ialah mereka bukan sekadar bergantung kepada kekuatan fizikal tetapi mereka juga adalah bek tengah yang `composure’. Jika bek tengah klasik sering dikaitkan dengan corak permainan mereka yang keras, bek tengah moden pula adalah sisi yang lebih `moderate’.

 

Di Madrid, Varane dan Ramos merupakan dua bek tengah yang memiliki karakter sangat berbeza. Ramos sangat dikenali kerana corak permainan kerasnya, manakala Varane pula lebih tenang, jarang melakukan terjaha-terjahan berisiko serta berkebolehan membina gerakan dari belakang. Jadi tidak hairanlah mengapa Zidane pernah melabelkan Varane sebagai bek tengah yang solid dan `fenomenal’. Bukan kebetulan, kerana United juga sebenarnya sudah memiliki seorang bek tengah yang `complete’ menerusi keberadaan Harry Maguire.

 

Jadi sangat mengujakan untuk melihat bagaimana Varane dan Maguire mampu membentuk kerjasama selaku dua bek tengah yang dominan di benteng pertahanan United nanti. Sepertimana Varane, Maguire juga memiliki kemampuan melakukan `build up’, berkebolehan melakukan `dribble’ dan cenderung melakukan `progressive passes’. Catatan `offensive’ mereka menyaksikan Maguire mampu melepaskan purata 3.07 `progressive passes’ per perlawanan manakala Varane pula 2.51 di La Liga. Apa yang menariknya, Varane juga mencatatkan purata 0.32 `dribble’ (per perlawanan) manakala Maguire pula 0.38.

 

Bagaimana pula dengan peratus ketepatan hantaran yang dirakam Varane dan Maguire musim lalu? Musim lalu peratus ketepatan hantaran jauh yang dilakukan Varane ialah 82.6%, manakala Maguire pula mencatatkan 79.1%. Dalam aspek melakukan hantaran-hantaran pendek pula, Varane dan Maguire masing-masing mencatatkan peratus ketepatan hantaran sebanyak 90%. Bagi kesebelasan yang bermain secara `direct’ seperti United, kehadiran dua bek tengah yang mampu membina gerakan dan memiliki kualiti hantaran yang bagus bakal memberikan impak kepada permainan mereka. Untuk itu, anda juga akan melihat United bermain dengan pendekatan garis pertahanan lebih tinggi berbanding sebelumnya.

 

Mengikut statistik dari Markrstats, garis pertahanan United merupakan yang kelima tertinggi dalam saingan liga musim 2020/21 di belakang Manchester City, Liverpool, Chelsea dan Brighton & Hove Albion. Secara purata, jarak garis pertahanan United ialah 39.2 meter dari gawang berbanding Manchester City (43.2 meter). Bagaimana pula pembabitan bek tengah United di zon `middle third’ sepanjang musim lalu? Secara purata Maguire menyentuh bola sebanyak 36.6 kali per perlawanan di zon `middle third’, Lindelof pula 33.53 kali, manakala catatan Varane di La Liga pula ialah 37.02.

 

Penutup

 

Melihat kepada catatan tiga bek tengah United ini (Varane, Maguire dan Lindelof), apa yang boleh anda bayangkan ialah Solskjaer akan menerapkan pendekatan lebih `offensive’ kepada gaya permainan United musim ini. Anda akan melihat United akan bermain dengan garis pertahanan lebih tinggi kerana mereka kini memiliki dua `ball playing defender’ yang setara kualitinya. Cuma persoalannya sekarang, siapakah pilihan yang boleh memainkan peranan sebagai `holding midfielder’ dengan berkesan jika Maguire dan Varane diarah untuk bermain lebih jauh ke atas?

 

Tiada apa-apa yang perlu Varane buktikan, kerana sebagai pemain beliau sudah memenangi kesemua kejuaraan yang ditawarkan, baik di peringkat kelab mahupun antarabangsa. Di Old Trafford, Varane bukanlah pemain tunggal yang pernah memenangi medal Piala Dunia kerana selain beliau, Pogba dan Juan Mata juga sudah memilikinya. Tetapi harus diingat, empat trofi Liga Juara-Juara yang pernah dimenangi Varane lebih banyak berbanding (tiga) yang sudah diraih United sepanjang sejarah kelab. Varane menyertai United kerana beliau mahukan cabaran baharu, jadi berikan sahaja apa yang beliau mahukan dan tunggu impak yang bakal beliau berikan. Glory Glory Manchester United!!!



18 Ogos 2021

POGBA YANG `MENGGILA' DALAM PERANAN SEBAGAI `FREE ROLE'

 


Empat assist dari seorang pemain dalam satu perlawanan. Apa lagi yang boleh anda katakan selain `luarbiasa’. Pada aksi pertama liga musim ini, Paul Pogba melakukannya, malah beliau tampak seperti tidak terganggu disebalik cerita-cerita luar padang yang mengaitkan beliau dengan perpindahan ke Paris St Germain atau Real Madrid. Empat assist yang dicipta Pogba dilakukan beliau dalam empat situasi berbeza. Yang pertama, Pogba cepat bertindakbalas melakukan hantaran yang melepasi dua pemain lawan sebelum disempurnakan Bruno Fernandes.

 

Assist kedua dilakukan beliau menerusi hantaran jauh dari kawasan sendiri yang tepat dalam laluan larian Mason Greenwood. Yang ketiga, beliau berada di posisi nombor 10 sebelum melepaskan hantaran yang sekali lagi berjaya disempurnakan Bruno, manakala assist keempat pula dicipta Pogba menerusi gerakan `cut back’ beliau dari sisi kanan pertahanan lawan. Keempat-empat assist ini membuktikan tingginya kualiti dan visi permainan Pogba, manakala pergerakan dan hantaran-hantaran yang dilakukannya pula sering menyukarkan lawan.

 

Sepertimana yang anda tahu, Pogba sejak kepulangan semula beliau ke Old Trafford sering diberikan peranan yang berbeza-beza. Ketika era Jose Mourinho, Pogba `dipaksa’ untuk bermain lebih defensif meskipun semua orang tahu bahawa beliau bukanlah pemain yang memiliki disiplin bertahan yang bagus. Di era pengurusan Ole Gunnar Solskjaer pula, Pogba kadangkala anda lihat berperanan sebagai pemain `nombor 6’ dan juga `nombor 8’, malah ketika aksi liga United menentang Leicester City pada Disember 2020, Pogba berperanan sebagai inverted winger dalam sistem 4-2-3-1 yang digunakan Solskjaer.

 

Ada pendapat mengatakan bahawa sukar untuk mana-mana pasukan meletakkan dua pemain tengah yang memiliki attacking minded seperti Pogba dan Bruno dalam lineup yang sama. Tetapi apa yang ditampilkan United ketika mereka membelasah Leeds pula menunjukkan sebaliknya. Pogba dan Bruno membuktikan bahawa mereka boleh bekerjasama dalam membentuk kombinasi yang hebat di bahagian tengah The Red Devils. Hasilnya Bruno berjaya meledak tiga gol manakala Pogba pula menggila dengan empat assist yang diciptanya.

 

Empat assist yang dilakukan Pogba dalam hanya satu perlawanan sudah melepasi angka keseluruhan assist  yang beliau sumbangkan sepanjang musim lalu.  Apa yang menariknya dalam aksi menentang Leeds itu, Pogba tidak dibebankan dengan peranan tertentu, atau lebih tepatnya Pogba yang anda lihat ketika aksi menentang Leeds berperanan sebagai free role. Solskjaer memberikan kebebasan kepada Pogba untuk berlegar-legar di zon tengah atau mara lebih jauh bagi membantu serangan, dan nampaknya pemain antarabangsa Perancis itu benar-benar menikmati peranannya.

 

Selain penampilan mengagumkan yang dipamerkan Pogba dan Bruno, kredit juga wajar anda berikan kepada Solskjaer menerusi taktikal yang beliau terapkan dalam perlawanan ini. Pada dasarnya United bermain dengan sistem 4-2-3-1, tetapi `shape’ tersebut boleh berubah menjadi 4-3-3 sepertimana yang sering disebutkan Solskjaer dalam sidang media beliau sebelum ini. Di atas keras, anda melihat Pogba ditempat di sisi kiri dalam rangkaian tiga pemain tengah menyerang United, tetapi fungsi sebenar beliau ialah sebagai pemain `nombor 10’ manakala Bruno bertindak sebagai `false 9’.

 

Apa yang ditampilkan United ketika berdepan Leeds satu petanda baik bagi memulakan musim baharu, manakala penampilan `magis’ Pogba dan Bruno di bahagian tengah pula memberikan harapan awal kepada kita bahawa kelab kini sudah memiliki gandingan pemain tengah yang `sempurna’. Saya tidak tahu apa kesudahan masa depan Pogba di Old Trafford, semoga dengan persembahan cemerlang yang ditampilkannya bakal membuatkan beliau berfikir bahawa “United juga skuad yang kompetitif” dan mampu lebih mencabar musim ini. Glory Glory Manchester United!!!



15 Ogos 2021

LANGKAH PERTAMA YANG CEMERLANG

 


Selepas dihidangkan dengan aksi Euro 2020 selama sebulan, Liga Perdana akhirnya kembali mengambilalih posisi mereka bagi menceriakan semula malam hujung minggu anda. Semalam, Manchester United membuka langkah pertama dalam saingan baharu musim 2021/22 menerusi kemenangan besar (5-1) yang dilakar mereka ke atas Leeds United. Tiada kelibat Raphael Varane dan Jadon Sancho dalam kesebelasan utama, cuma yang dapat anda lihat ialah barisan pemain musim lalu tetapi kita tetap dihiburkan dengan persembahan menarik dipamerkan kedua-dua pasukan.

 

Permulaan musim ini boleh dianggap permulaan yang lancar buat United. Dalam jendela perpindahan pemain, United sukses dalam menjalankan operasi mereka ketika menandatangani Sancho dan Varane. Ole Gunnar Solskjaer selaku pengendali pula diberikan lanjutan kontrak baharu yang menyaksikan beliau kekal di kerusi pengurus hingga 2024. Tidak sepertimana pengurus-pengurus United sebelum beliau, Solskjaer dilihat cukup memahami budaya kelab, tahu apa yang penyokong mahukan dan bijak mengendalikan beberapa pemain bintang yang ada dalam skuadnya. Lihat apa yang beliau lakukan kepada Paul Pogba musim lalu.

 

“Saya dan pasukan kejurulatihan saya sudah bersedia mengambil langkah selanjutnya. Kami mahu memenangi trofi dan kami sedang menuju ke arah itu menerusi peningkatan yang dipamerkan, baik di dalam mahupun di luar padang”, kata Solskjaer. Ambisi Solskjaer hampir menjadi kenyataan musim lalu selepas United mara ke pentas final Liga Europa. Malangnya potensi untuk United menjulang trofi pertama mereka di era Solskjaer ranap hanya disebabkan satu sepakan penalti yang gagal disempurnakan. Kegagalan pada malam final di Gdansk itu menyaksikan kemarau kejuaraan United berpanjangan kepada empat musim.

 

Musim ini, mungkin antara musim yang mengujakan buat penyokong-penyokong United. Impian selama dua tahun mereka yang mahu melihat Sancho menyarung jersi The Red Devils direalisasikan kelab. Begitu juga dengan kejayaan mendapatkan centre back kelas dunia seperti Varane pada harga yang cukup `murah’. Sancho akan menambah variasi kepada bentuk gerakan-gerakan offensive United, manakala Varane pula saya harap bakal melengkapkan kepingan puzzle yang hilang di benteng pertahanan. Bagaimanapun awal musim United `diganggu’ dengan kecederaan jangka panjang dialami Marcus Rashford dan Alex Tellex.

 

Tanpa Edinson Cavani, Rashford dan Varane, manakala Sancho pula hanya dimasukkan ketika tempoh sebenar berbaki 20 minit sebelum ditamatkan, penampilan United ketika berdepan Leeds semalam memang mengujakan jika diambilkira faktor bahawa ini bukanlah kesebelasan terbaik yang ditampilkan Solskjaer. United bermain baik sepanjang tempoh 90 minit permainan, menekan Leeds menerusi gerakan-gerakan dari sisi kanan, kiri dan tengah yang dilancarkan mereka. Manakala pemain `anchor’ seperti Pogba dan Bruno Fernandes terus membuktikan mengapa kehadiran mereka sangat penting dalam kesebelasan utama United.

 

Empat bantuan gol yang dicipta Pogba semalam meletakkan beliau selaku pemain ketujuh yang berjaya merakamkan empat assist dalam satu perlawanan sepanjang sejarah Liga Perdana. Manakala tiga gol yang diledak Bruno pula meletakkan beliau selaku pemain pertama United yang berjaya menjaringkan hatrik dalam perlawanan pembukaan sejak Lou Macari melakukannya pada musim 1977/78. Selebihnya, gol diledak Mason Greenwood dan Fred adalah bonus tambahan kepada langkah pertama yang sangat cemerlang buat United memulakan musim baharu mereka kali ini.

 

Kemenangan pada aksi pertama liga adalah sangat penting. Tiga mata pertama yang dikutip adalah gambaran awal bagaimana kemampuan barisan kendalian Solskjaer musim ini. Setidak-tidaknya `tragedi’ tewas 1-3 kepada Crystal Palace dalam perlawanan pembukaan musim lalu tidak berulang. Solskjaer mengimpikan permulaan yang cemerlang dalam musim baru, setidak-tidaknya United perlu memanfaatkan lima aksi awal mereka dengan catatan positif. Selepas ini mereka bakal berdepan Southampton, Wolverhampton, Newcastle United dan West Ham, sekaligus melengkapkan lima aksi awal United dimusim baru.

 

Musim lalu, United cuma mengutip tujuh mata dari lima penampilan pertama mereka dalam saingan liga. Adakah musim ini mereka mampu mengumpul jumlah mata yang lebih baik berbanding catatan lima perlawanan awal mereka musim lalu? Untuk rekod, musim lalu United tidak tewas ketika mereka berdepan Southampton, Wolves, Newcastle dan West Ham, jadi sesuatu yang sangat menakjubkan jika kali ini mereka berjaya mengumpul mata maksimum dari lima penampilan pertama. Adakah cabaran ini mustahil dilakukan? Saya fikir tidak berdasarkan persembahan mereka semalam. Glory Glory Manchester United!!!


07 Ogos 2021

KEMANA HALUAN MESSI?

 


Pemain sehebat Lionel Messi sentiasa menjadi perhatian. Mana-mana penyokong pastinya mendambakan pemain seperti Messi berada dalam kesebelasan utama kelab yang mereka minati. Pastinya penyokong Manchester United juga tidak terkecuali. Semua orang tahu, Messi tidak akan bersama Barcelona musim depan kerana peraturan kawalan ekonomi (ECP) La Liga menyebabkan gergasi Catalan itu tidak mampu mengekalkan pemenang enam kali Ballon d’Or itu di Camp Nou. Jadi tiada apa yang mereka mampu lakukan selain melepaskan Messi pergi. Persoalan paling besar yang bermain dalam kepala pemerhati bolasepak dunia ketika ini, ialah kemana destinasi yang bakal menjadi pilihan Messi dan kelab mana paling berpotensi mendapatkan tandatangan `La Pulga’ dalam kontrak mereka?

 

Paris St Germain

 

Setakat ini Messi masih belum menentukan masa depan beliau, tetapi Fabrizio Romano mendedahkan bahawa Paris St Germain muncul kelab pertama menghubungi Messi bagi mendapatkan khidmatnya. Setakat ini PSG berjaya mendapatkan Sergio Ramos, Giorgino Wijnaldum dan Gianluigi Donnaruma di mana ketika-tiganya merupakan agen bebas. Jadi ada kemungkinan mereka mampu menjadikan Messi sebagai pemain agen bebas kempat yang berjaya ditandatangani. PSG antara kelab yang memiliki sokongan kewangan kukuh dan ambisi mereka yang mahu menjuarai trofi Liga Juara-Juara mungkin mampu menarik Messi berpindah ke kota Paris.

 

Manchester City

 

Kelab kedua berpotensi mendapatkan tandatangan Messi tentunya sebuah lagi kelab kaya yang berpangkalan di kota Manchester. Sudah tentu kelab yang saya maksudkan ialah Manchester City. City baru sahaja menjadikan Jack Grealish sebagai pemain termahal Inggeris, mereka juga masih dalam pemburuan untuk mendapatkan khidmat Harry Kane. Kelab yang memiliki sokongan kewangan kukuh dari pemilik seperti City juga pastinya tidak berdepan masalah menggajikan Messi. Sepertimana PSG, City juga terlalu inginkan trofi Liga Juara-Juara, dan dengan adanya Pep Guardiola di sana, Stadium Etihad antara destinasi yang ideal untuk Messi meneruskan kariernya.

 

Juventus

 

Di Itali pula, Juventus merupakan satu-satunya kelab paling berpotensi untuk disertai Messi. Gagal mempertahankan kejuaraan Serie A yang terlepas ke tangan Inter Milan musim lalu, Juventus pastinya akan lebih bernafsu melakukan persiapan menjelang musim baharu. Prospek beraksi dalam kesebelasan yang sama bersama Cristiano Ronaldo mungkin antara tarikan yang boleh membawa Messi berlabuh di kota Turin. Walaupun sukar membayangkan dua `seteru’ ini bermain dalam satu pasukan, tetapi bolasepak sebenarnya memiliki sejuta kejutan dan segala kemungkinan boleh sahaja berlaku.

 

Chelsea

 

Selain Manchester City, sebuah lagi kelab Inggeris yang berpotensi meletakkan Messi dalam kesebelasan utama mereka ialah Chelsea. Disokong menerusi aspirasi yang kuat dari Roman Abramovich yang mahukan Chelsea berada dalam kelompok kelab elit Eropah, beliau sudah membelanjakan berbilion Pound sejak mengambilalih The Blues pada 2003. Selaku juara bertahan Liga Juara-Juara, Thomas Tuchel pastinya akan lebih agresif melakukan persiapan bagi memperkuatkan skuadnya. Chelsea tampak seperti masih `menyimpan kuku’ dalam bursa perpindahan kali ini apabila Marcus Bettinelli masih menjadi satu-satunya pemain yang mereka tandatangani. Adakah mereka sebenarnya sedang mengintai sebarang peluang untuk membawa Messi ke Stamford Bridge?

 

Manchester United

 

Tidak sah jika tidak meletakkan United dalam senarai. Meskipun polisi pembelian pemain yang dilakukan kelab tidak mengarah kepada pemain mega bintang seperti Messi, tiada apa yang mustahil dalam bolasepak. Hanya beberapa kelab elit Eropah yang mampu memenuhi tuntutan gaji Messi, dan United adalah diantaranya. Jika Cristiano Ronaldo pernah membina karier beliau di Old Trafford, sebelum muncul nama besar dalam dunia bolasepak hari ini, Messi pula boleh menjadikan peluang beraksi bersama United sebagai pentas dan cabaran baharu buat beliau di penghujung kariernya. Sangat menarik jika dapat melihat pemain yang pernah menjadi watak penting kepada kegagalan United di dua pentas final Liga Juara-Juara (2009 dan 2011) mengakhiri kariernya dengan menyarung jersi merah The Red Devils.

 

Penutup

 

Bukan mudah mendapatkan khidmat pemain terbaik dunia seperti Messi. Meskipun mana-mana kelab tidak perlu membayar yuran perpindahan walau sesen pun kepada Barcelona, faktor gaji tinggi yang perlu ditanggung mereka setiap minggu wajar diberikan perhatian. Atas sebab itulah mengapa saya letakkan PSG dan Manchester City sebagai dua kelab paling berpotensi mendapatkan khidmat Messi. PSG kelab paling serius setakat ini, manakala City pula ada sosok Pep Guardiola yang boleh menggamit Messi berpindah ke kota Manchester. United pula? Saya mengharapkan ada keajaiban besar berlaku. Glory Glory Manchester United!!!



06 Ogos 2021

ADAKAH SITUASI DI CHELSEA DAN MAN CITY MENGUNTUNGKAN UNITED DALAM PEMBURUAN HAALAND?

 


Rumours sedang bertiup kencang mengaitkan perpindahan Romelu Lukaku ke Chelsea dan Harry Kane ke Manchester City. €130 juta ditawarkan Chelsea merupakan nilai yang mungkin tidak mampu ditolak Inter Milan, jadi kemungkinan untuk Lukaku pulang semula ke Stamford Bridge adalah sangat tinggi. Manchester City yang juga merupakan juara bertahan Liga Perdana pula sedang bekerja keras mendapatkan sentuhan Harry Kane, dan Pep Guardiola mendambakan pemain ini untuk beliau letakkan di barisan hadapan skuadnya sebagai pengganti kepada Sergio `Kun’ Aguero.

 

Menurut Dharmesh Sheth yang juga merupakan`journalist’ Sky Sports, jika Chelsea berjaya membawa pulang semula Lukaku ke Stamford Bridge, ini juga bermakna pemburuan mereka terhadap Erling Haaland akan berakhir. Begitu juga dengan City yang kini meletakkan Kane dan Jack Grealish dalam radar buruan mereka. Perpindahan Grealish dari Villa Park ke Stadium Etihad bakal meletakkan beliau selaku pemain termahal Inggeris, manakala usaha memindahkan Kane dari Utara London ke kota Manchester juga pastinya membabitkan biaya yang sangat besar.

 

Jika tiga perpindahan `mega’ ini berlaku, United menurut Dharmesh memiliki peluang yang sangat besar dalam usaha mereka mendapatkan tandatangan Haaland. Haaland tidak akan meninggalkan Signal Iduna Park musim ini, tetapi jika beliau memilih menyertai mana-mana kelab besar Eropah musim depan (terutamanya yang beraksi di Liga Perdana), Chelsea dan Manchester City bukanlah pilihan yang ideal. Sukar untuk memikirkan bagaimana Haaland akan bermain bersama-sama Lukaku di Chelsea atau Kane di City.

 

Apa yang boleh anda jangkakan ialah Haaland akan memilih menyertai kelab yang boleh menjadikan beliau sebagai pemegang watak utama, dan di England, United adalah pilihan utama yang boleh beliau pertimbangkan. Haaland adalah pesona yang tidak boleh dilepaskan, penyerang muda yang membina reputasi selaku antara peledak berbisa di Eropah. Musim ini United masih boleh bergantung kepada Edinson Cavani sebagai pemburu gol, tetapi bintang veteran Uruguay itu adalah penyelesaian jangka pendek d barisan hadapan. Musim depan, hampir pasti anda tidak akan melihat lagi kelibat beliau dengan jersi merah The Red Devils.

 

Potensi Musim Depan?

 

Semua orang tahu hubungan rapat Haaland dan Ole Gunnar Solskjaer kerana mereka pernah bekerjasama di FK Molde. Faktor ini setidak-tidaknya boleh memainkan peranan dalam mempengaruhi pilihan beliau tentang kelab mana yang akan disertainya musim depan. Tambahan pula United di bawah kendalian Solskjaer sedang melakukan `projek besar’ dan proses regenerasi kepada skuad mereka. Haaland memiliki klausa dalam kontraknya yang membolehkan beliau berpindah ke mana-mana pasukan dengan harga €75 juta pada 22 Jun 2022.

 

Jadi mana-mana kelab (terutamanya United) boleh mendapatka khidmat beliau pada harga yang jauh lebih murah berbanding Lukaku atau Kane. Bagaimanapun perlu anda ingat, untuk seorang pemain yang memiliki bakat dan potensi sehebat Haaland, United tidak akan bersendirian dalam misi mereka mendapatkan khidmat beliau. Peluang beraksi untuk kesebelasan sehebat Paris St Germain, Bayern Munich, Real Madrid atau Barcelona antara godaan yang boleh membuatkan potensi United `mendaratkan’ Haaland ke Old Trafford berkubur.

 

Penerus Legasi

 

United pernah dibarisi penggempur-penggempur hebat di barisan hadapan mereka. Mark Hughes, Brian McClair, Eric Cantona, Andy Cole, Dwight Yorke, Ruud Van Nistelrooy, Wayne Rooney, Dimitar Berbatov dan Robin Van Persie adalah diantaranya. Mereka-mereka ini sangat dikenali kerana ketajaman naluri mereka dalam menyudahkan peluang ketika berada di dalam petak penalti lawan. Sebagai penyerang, Haaland juga begitu dan sepanjang 27 penampilan beliau di Bundesliga musim lalu, Haaland meledak 27 gol dan mencipta 6 bantuan gol.

 

Bagi seorang pemain yang baru berusia 21 tahun, ratio satu gol dalam setiap perlawanan tentunya satu statistik yang cukup mengagumkan, apatah lagi beraksi dalam salah satu antara lima liga terbaik di Eropah. Kelebihan Haaland sebagai penyerang bukan hanya kerana ketajamannya dalam menyudahkan peluang, tetapi lihat juga bagaimana kebolehan beliau meletakkan dirinya di posisi yang baik dalam situasi tanpa bola.

 

Meskipun memiliki ketinggian 1.94m dan susuk tubuh yang tegap, Haaland bukanlah tipikal penyerang yang bergantung kepada kekuatan fizikal dalam menyudahkan peluang ketika situasi bola tinggi. Semasa menyarung jersi RB Salzburg, peratus kejayaan Haaland dalam perebutan bola tinggi cuma mencapai angka 41%. Haaland lebih gemar menggunakan aset kepantasannya untuk memberikan tekanan kepada pertahanan lawan. Dalam situasi counter attack, Haaland mampu memecut dalam jarak 60m hanya dalam masa 6.64 saat.

 

Penutup

 

Ketika ini kita masih dibayangi kelibat Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, selaku dua superstar yang mendominasi bolasepak dunia selama lebih sedekad. Bagaimanapun sepertimana lumrah kehidupan, setiap yang bermula pasti akan ada pengakhirannya. Begitu juga dengan Messi dan Ronaldo yang kini sudah menghampiri titik penamat karier mereka sebagai pemain. Generasi pemain muda seperti Haaland adalah pengganti yang bakal mewarnai bolasepak dunia, di saat Messi dan Ronaldo memutuskan menggantung boot mereka suatu hari nanti.

 

Dan pada usia yang masih muda, Haaland sudah menunjukkan potensi besar untuk muncul sebagai `mega bintang’, mengambilalih takhta yang ditinggalkan Messi dan Ronaldo. Haaland pasti meninggalkan Dortmund kerana tuntutan untuk bakat sehebat beliau ialah beraksi bersama kelab besar Eropah, menerima imbuhan gaji yang lebih tinggi dan menikmati prestij beliau sebagai pemain ternama. Persoalannya kemana beliau akan pergi? Musim panas tahun hadapan adalah masa terbaik untuk mana-mana kelab memancing Haaland, jadi kita lihat apa yang mampu United tawarkan kepada beliau. Glory Glory Manchester United!!!


25 Julai 2021

DARI JALANAN KE TEATER IMPIAN

 


Jadon Sancho akhirnya diumumkan secara rasmi sebagai rekrut baharu Manchester United, sekaligus menamatkan saga perpindahan yang sangat panjang membabitkan pemain antarabangsa England berusia 21 tahun itu. £72 juta adalah nilai yang terpaksa dibayar kelab kepada Borussia Dortmund dan selepas menunggu selama setahun, impian penyokong-penyokong United yang mahu melihat perpindahan ini direalisasikan akhirnya tercapai.

 

Jika tuntutan Dortmund dipenuhi United musim panas lalu, Sancho sebenarnya berpeluang muncul pemain England pertama yang nilainya mencecah angka £100 juta. Begitupun, kontrak yang beliau tandatangani ini meletakkan Sancho selaku pemain Inggeris kedua termahal dalam sejarah serta penerima gaji kedua tertinggi di Old Trafford. Dalam kenyataan medianya pula, Sancho menganggap impian beliau untuk menyertai United kini sudah menjadi kenyataan.

 

Kejayaan menandatangani Sancho bukan bererti kepingan puzzle United sudah lengkap, tetapi anda sekurang-kurangnyanya boleh berharap kehadiran beliau bakal menjadikan barisan hadapan The Red Devils lebih tajam. 50 gol dan 64 bantuan gol dari 137 penampilan dalam semua peringkat kejohanan selama empat musim bersama Dortmund, antara penyebab paling kuat mengapa United perlukan type pemain seperti Sancho di barisan hadapan mereka.

 

Jalan Ke `Theatre of Dreams

 

Empat tahun lalu pada usia Sancho yang baharu mencecah angka 17 tahun, ramai pihak hampir `kebingungan’ dengan tindakan prospek panas bolasepak Inggeris ini meninggalkan England. Situasi ini sebenarnya jarang berlaku kerana bakat-bakat muda Inggeris lebih gemar memperagakan aksi mereka di tanah air sendiri. Pada usia yang masih muda, berhijrah ke negara asing bukanlah satu perkara yang mudah buat remaja seperti Sancho.

 

Musim pertamanya di Bundesliga, Sancho melakukan 12 penampilan dan menjaringkan satu gol untuk Dortmund. Bagaimanapun angka tersebut meningkat dari musim ke musim hingga menyaksikan beliau muncul antara pemain muda paling diburu kelab-kelab ternama Eropah. Musim terakhirnya di Signal Iduna Park pula, Sancho melakukan 26 penampilan dan cuma menjaringkan lapan gol untuk Dortmund dalam saingan liga.

 

Tatkala prestasi Sancho turun secara drastik, pesona di Signal Iduna Park beralih pula kepada Erling Haaland, bintang muda Norway yang membina reputasi beliau selaku antara penggempur paling tajam di Eropah. Penurunan prestasi Sancho di awal musim sebenarnya mudah untuk diteka, dan sepertimana menurut Hans-Joachim Watzke yang juga merupakan CEO Dortmund, segalanya berpunca dari rumours perpindahan beliau ke Old Trafford pada musim panas tahun lalu.

 

“Tanpa kami sedari, Jadon nampaknya sudah bersiap untuk meninggalkan kelab. Saya percaya, dia terlalu memikirkan rumours ini hingga menyebabkan dia hilang sentuhan berbanding musim-musim sebelumnya”, kata Watzke kepada Kicker. Kebimbangan Watzke memang ada asasnya, kerana sepanjang fasa pertama musim liga berlangsung, Sancho gagal menjaringkan sebarang gol dan cuma mampu mencipta tiga bantuan gol.

 

Bagaimanapun menjelang tahun baharu (2021), Sancho kembali menemui sentuhannya apabila beliau meledak tiga gol dan mencipta empat bantuan gol pada aksi Bundesliga sepanjang bulan Januari. Secara keseluruhannya sepanjang fasa kedua liga berlangsung, Sancho berhasil menjaringkan lapan gol dan mencipta lapan bantuan gol. Angka ini masih jauh berbanding statistik yang dirakam beliau pada musim sebelumnya, tetapi tetap satu isyarat positif bahawa Sancho sudah menemui semula sentuhan terbaiknya. 

 

Pada April (2021), khabar angin tentang perpindahan Sancho ke Old Trafford bertiup kembali. Dan menurut laporan dari Fabrizio Romano ketika itu, Sancho juga sudah menegaskan keinginannya untuk menyertai United pada musim panas. Jika setahun sebelumnya Dortmund mengatakan bahawa “tiada sebarang rundingan jika anda tidak mampu membayar sebanyak £100 juta”, kini nada mereka lebih lunak dan terbuka mendengar sebarang tawaran.

 

Perubahan Formasi

 

86% penampilan United sepanjang musim lalu, Ole Gunnar Solskjaer lebih cenderung menggunakan formasi 4-2-3-1 dalam sistem permainan skuadnya. Ada kemungkinan formasi (4-2-3-1) ini akan terus digunakan Solskjaer bagi memaksimakan potensi Sancho di barisan hadapan. Apa yang menariknya, Dortmund sepanjang musim lalu juga cenderung menggunakan formasi yang sama dimana Sancho berjaya meledak 16 gol dan mencipta 20 bantuan gol dalam semua peringkat kejohanan.

 

Selain daripada itu, ramai pihak yang meramalkan bahawa kehadiran Sancho bakal mengubah kecenderungan Solskjaer dari sistem 4-2-3-1 kepada 4-3-3 yang menuntut United lebih menyerang. Dalam sistem ini, Sancho akan berperanan sebagai penyerang sayap (kanan), Marcus Rashford beroperasi di sebelah kiri manakala Edinson Cavani pula akan bertindak sebagai penyerang tengah. Apa yang bakal anda lihat dalam sistem ini ialah pemain seperti Sancho dan Rashford bukan sahaja berfungsi sebagai pengumpan, tetapi juga sebagai penjaring gol.

 

Apa Yang Bakal Anda Lihat?

 

Kehadiran Sancho bakal menjadikan barisan hadapan United lebih fluid, jadi tidak hairanlah mengapa Solskjaer sudah berkira-kira melakukan perubahan kepada sistem permainan skuadnya dari 4-2-3-1 kepada 4-3-3. Jika benar tanggapan ramai pihak bahawa United akan bermain dengan formasi 4-3-3, Solskjaer bakal memanfaatkan kemampuan Sancho untuk menusuk masuk ke dalam kotak penalti lawan.

 

Sancho memiliki kemampuan playmaking yang bagus, adakalanya beliau gemar berada di tengah atau turun sedikit ke bawah untuk menerima bola. Ketika bola berada di kakinya, Sancho akan merancang gerakan sama ada beliau akan melakukan dribble, melepaskan hantaran-hantaran through ball, hantaran jauh atau melakukan delay bagi mengatur tempo permainan.

 

Jadi tidak hairanlah mengapa beliau muncul pemain Dortmund paling banyak melakukan dribble dan mencipta assist sepanjang musim 2019/20. Dengan dua pemain yang memiliki kelajuan di kiri dan kanan menerusi keberadaan Sancho dan Marcus Rashford, anda juga sebenarnya boleh mengharapkan bahawa United akan lebih berbahaya dalam skema gerakan-gerakan counter attack mereka.

 

Penutup

 

United kini secara rasminya sudah berjaya mendapatkan khidmat Sancho, pemain yang dilabel mampu memberikan dimensi berbeza kepada gerakan-gerakan serangan mereka. Bolehlah dikatakan bahawa Sancho adalah pembelian utama United musim ini, pemain yang didambakan penyokong-penyokong The Red Devils sekian lama, sejak rumours pertama bertiup pada 2019 lagi.

 

Selepas perpindahan ini terhalang selama setahun, Sancho akhirnya pulang semula ke tanah Inggeris dan memenuhi impiannya bermain untuk United. Dari seorang kanak-kanak yang cuma mengasah bakatnya dengan bermain bolasepak sekitar lorong-lorong di Selatan London, Sancho kini muncul pemain berharga £72 juta yang dilabel Gareth Southgate sebagai `masa depan bolasepak England’.

 

Rakam jejak Sancho umpama kisah dongeng di layar perak. Bermula dari jalanan, kini Sancho sudah menjejakkan kakinya di `teater impian’ beliau. Kini penyokong-penyokong mahu melihat pula bagaimana Solskjaer menggunakan sepenuhnya potensi besar dimiliki senjata baharu United yang berharga £72 juta ini. “Selamat datang Rocket”…Glory Glory Manchester United!!!