08 September 2021

`CINTA HATI SAMPAI MATI'

 


Cristiano Ronaldo dan Manchester United umpama irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Sejak penampilan pertama beliau menentang Bolton Wanderers pada Ogos 2003, penyokong-penyokong United sudah jatuh hati melihat bagaimana anak muda Portugal ini memporak perandakan pertahanan lawan menerusi gerakan-gerakan liciknya dari sisi padang. Melihat penampilan pertama Ronaldo membuatkan penyokong-penyokong United mula berhenti meratapi pemergian David Beckham, kerana mereka tahu bahawa kelab sudah memiliki pengganti untuk mengisi posisi yang ditinggalkan bintang antarabangsa England itu.     

 

Pada awal era millenium, bolasepak mula berubah dengan pantas. Jika sepanjang era 90an, Arsenal merupakan satu-satunya pencabar yang perlu dibimbangi, kini United juga perlu berdepan dengan kuasa baharu iaitu wang. Roman Abramovich mencurahkan wang yang banyak di Stamford Bridge bagi menjayakan misinya menjadikan Chelsea sebagai kuasa baharu bolasepak Inggeris. Manakala Arsenal pula masih lagi musuh yang sama, hinggakan United terpaksa menyaksikan bagaimana skuad asuhan Arsene Wenger itu menjulang trofi Liga Perdana pada musim 2003/04 tanpa disentuh sebarang kekalahan.

 

Ballon d’Or Pertama

 

Meskipun agak pahit melihat bagaimana bergayanya Arsenal mengharungi kempen liga mereka tanpa sebarang kekalahan, dan kemunculan Chelsea sebagai pencabar baharu bolasepak Inggeris, musim 2003/04 sebenarnya bukanlah musim yang terlalu buruk buat United. Meskipun United sekadar menamatkan saingan liga di tangga ketiga, kelab berjaya memenangi kejuaraan Piala FA, dan paling manis tentunya melihat Ronaldo mengharungi musim pertamanya di Old Trafford. Selepas itu semuanya menjadi sejarah kerana selama enam musim Ronaldo menabur bakti di Old Trafford, beliau berjaya memenangi semua trofi yang ditawarkan.

 

Kemuncak pengiktirafan kepada kerjaya Ronaldo bersama United berlaku pada 2008 apabila beliau dinamakan selaku pemenang anugerah Ballon d’Or. Selepas enam musim di England, Ronaldo tidak mampu menahan godaan untuk berpindah ke Sepanyol. Pada 2009, beliau mengatakan bahawa menyarung jersi putih Real Madrid adalah impian zaman kanak-kanaknya. Jadi apa yang mampu Sir Alex Ferguson lakukan, selain melepaskan anak didiknya itu pergi. Penyokong-penyokong United patah hati melihat pemergian beliau, tetapi menyertai Real merupakan satu keputusan tepat yang diambil Ronaldo demi mengejar karier yang lebih gemilang.

 

Dari Madrid Ke Turin

 

Kita perlu mengakui bahawa di Santiago Bernabeu, Ronaldo mencapai kemuncak kariernya. Tempoh enam musim bersama United merupakan fasa Ronaldo membina kariernya, tetapi sembilan musim di Real, Ronaldo berubah menjadi pemain yang lebih menakutkan. Beraksi untuk Real bukan sahaja memenuhi impian masa kecil Ronaldo, tetapi Real juga memberikan dimensi baharu kepada karier beliau. Disini, Ronaldo mengecapi begitu banyak kegemilangan menerusi deretan trofi yang beliau menangi, manakala pencapaiannya diiktiraf menerusi anugerah-anugerah individu yang dimenanginya.

 

Bersama Real, Ronaldo empat kali diiktiraf selaku pemain terbaik dunia, dan muncul penjaring terbanyak Eropah sebanyak tiga kali hasil ketajaman penyudahnya. Selepas tempoh sembilan musim yang penuh sukses, Ronaldo perlukan cabaran dan keterujaan baharu. Untuk itu, pada musim panas 2018, beliau menyertai Juventus dalam misi menjulang kejuaraan liga di tiga negara berbeza. Seni bertahan dalam bolasepak Itali tidak pernah membuatkan sentuhan gol Ronaldo pudar. Tiga musim di Serie A, beliau menjaringkan 81 gol, manakala musim lalu beliau memenangi anugerah `Capocannoniere’ selaku penjaring terbanyak liga.

 

Anugerah `Capocannoniere’ yang beliau menangi musim lalu menerusi 29 gol yang dijaringkannya cukup istimewa, kerana Ronaldo melakukannya pada usia beliau yang sudah menjangkau 36 tahun. Selain itu, misi Ronaldo di Itali juga berjaya beliau sempurnakan menerusi kejayaan membantu Juventus menjulang dua kejuaraan `Scudetto’. Cuma malangnya tiada kejuaraan peringkat Eropah yang beliau menangi sepanjang tiga musim di kota Turin. Ketika ramai pihak menjangkakan beliau akan beraksi semusim lagi di Turin, bolasepak dunia digemparkan dengan perkhabaran bahawa Ronaldo ingin meninggalkan saingan bolasepak Itali.

 

Kembali Semula

 

Berita ini memang berita yang menggemparkan, kerana bagi penyokong United, ini adalah masa paling tepat untuk kelab membawa kembali Ronaldo pulang. Sejak beliau pergi pada 2009, penyokong United sentiasa menganggap Ronaldo masih sebahagian dari diri mereka, tidak pernah berhenti melaungkan nama Ronaldo di `tribune’ dan  berharap suatu masa nanti beliau akan kembali. Selepas digemparkan dengan pelbagai `rumours’ tentang masa depan beliau, Ronaldo akhirnya memilih jalan pulang selepas beliau berada di titik persimpangan antara United dan City. Ya…Ronaldo kini kembali selepas 12 musim beliau meninggalkan kita.

 

Perpindahan Ronaldo ke Old Trafford kali ini cuma membabitkan dana sebanyak £15 juta, hanya £2.8 juta lebih tinggi berbanding perpindahan pertamanya 18 tahun yang lalu. Meskipun begitu, tiada siapa mampu menyangkal bahawa ini merupakan perpindahan terbesar di Liga Perdana walaupun City membayar £100 juta kepada Aston Villa ketika mereka menjadikan Jack Grealish selaku pemain Inggeris termahal dalam sejarah. Pada usia 36 tahun, Ronaldo juga masih produktif dalam menghasilkan gol, jadi kepulangannya kali ini juga bukan tentang pertautan romantisme antara beliau dan United semata-mata.  

 

Penutup

 

Bagi penyokong United, nama Cristiano Ronaldo adalah memori masa lampau yang tidak pernah usang ditelan masa. Sudah 18 tahun berlalu, tetapi mereka masih mengingati kelincahan sepasang kaki budak dari Madeira ini yang cukup melelahkan Ivan Campo pada penampilan pertamanya menentang Bolton Wanderers. Ronaldo sentiasa pemain yang mengujakan dan dicintai penyokong United, jadi jangan salahkan kami sekiranya `euphoria’ menyambutkan kepulangan semula beliau masih belum reda hingga kini. Ketahuilah, Ronaldo bukan sekadar legenda kelab, tetapi juga `cinta hati penyokong United sampai mati’. Glory Glory Manchester United!!!



05 September 2021

JANGKAAN DAN HARAPAN

 


Sudah dua musim setengah Ole Gunnar Solskjaer berada di Old Trafford selaku pengendali sejak beliau menggantikan posisi Jose Mourinho pada Disember 2018. Ketika eranya sebagai pemain, Solskjaer cukup disayangi dan dihormati penyokong-penyokong United dan dengan statusnya sebagai `legenda hidup’, beliau juga dianggap individu yang cukup faham dengan budaya kelab berbanding David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho. Dibahunya juga harapan tinggi diletakkan agar Solskjaer mampu membawa kembali United ke era kegemilangan mereka.

 

Bagaimanapun harapan penyokong-penyokong yang mahu melihat trofi pertama dibawa ke Old Trafford dalam tempoh empat tahun masih belum menjadi kenyataan. Tiada lagi sebarang kejuaraan yang singgah di Old Trafford sejak kejayaan Mourinho dan skuadnya menjulang kejuaraan berganda (Liga Europa dan Piala Liga) pada musim 2016/17. Paling hampir berlaku pada musim lalu, namun United gagal menepati reputasi mereka sebagai pasukan pilihan bila tewas kepada Villareal dalam penentuan sepakan penalti pada aksi final Liga Europa.

 

Musim ini United juga nampaknya lebih serius melakukan persiapan. Pergerakan mereka dalam bursa perpindahan musim panas berjalan dengan cukup lancar dan teratur. Selain Tom Heaton, United menandatangani tiga nama besar menerusi kejayaan mereka mendapatkan khidmat Jadon Sancho, Raphael Varane dan sudah tentu kisah sensasi pulangnya semula Cristiano Ronaldo selepas 12 tahun beliau meninggalkan kelab. Untuk itu, tanpa ragu Solskjaer melabelkan skuad yang dimilikinya musim ini lebih baik berbanding `hero-hero Treble 99’.

 

Jika benar bahawa Solskjaer memiliki skuad yang lebih kuat berbanding barisan `Treble 99’ yang pernah dianggotainya, United sepatutnya mampu menjulang setidak-tidaknya satu kejuaraan musim ini. Satu trofi adalah sasaran yang realistik, kerana kejayaan `Treble 99’ (Liga Perdana, Piala FA dan Liga Juara-Juara) merupakan satu pencapaian yang di dalamnya penuh keajaiban, serta pencapaian yang `hampir mustahil’ untuk diulangi oleh mana-mana kelab Inggeris. Musim lalu Pep Guardiola gagal melakukannya meskipun City dilabel sebagai `kesebelasan terbaik dunia’.

 

Dengan penambahbaikan dibenteng pertahanan menerusi kehadiran Varane, barisan hadapan yang lebih tajam dengan adanya Sancho dan Ronaldo, adalah satu kegagalan jika United tidak memenangi sebarang trofi musim ini. Menurut Paul Parker yang juga merupakan bekas pemain United, kehadiran Ronaldo bakal memberikan lebih tekanan kepada Solskjaer di kerusi pengurus. “Saya jamin 100%, Solskjaer berada di bawah tekanan dengan adanya Ronaldo dalam skuad. Dia akan berdepan dengan penyokong yang mengharapkan kejuaraan. Akan ada pertanyaan jika dia gagal melakukannya”, kata Parker.

 

Ambisi United yang mahu menamatkan kemarau empat musim tanpa kejuaraan mereka dibuktikan menerusi tiga pembelian besar yang dilakukan pada bursa perpindahan musim panas. Mungkin sedikit mengecewakan bila kelab memutuskan untuk tidak menandatangani pemain kelima, tetapi Solskjaer sebenarnya sudah memiliki skuad yang hampir lengkap untuk mencabar mana-mana kejuaraan yang ditawarkan musim ini. Apa gunanya sekiranya Ronaldo memenangi anugerah kasut emas, jika United gagal memenangi sebarang kejuaraan.

 

Ronaldo dan Varane sudah memenangi banyak kejuaraan sepanjang karier mereka di Sepanyol, dan mereka juga tentunya mahu melakukan hal yang sama di England. Pada usia yang sudah menjangkau 36 tahun Ronaldo masih dahagakan pengiktirafan, Varane sedang berada di kemuncak kariernya, manakala Sancho pula prospek yang sangat menarik dan masa depan United. Adakah ini masa terbaik untuk United kembali memenangi kejuaraan? Ya…ini adalah harapan dan jangkaan kita, kerana kita percaya bahawa Ronaldo kembali ke Old Trafford bukan untuk membantu United melariskan jualan jersi mereka. Glory Glory Manchester United!!!



01 September 2021

DANIEL JAMES...YANG SENASIB DENGAN CARROLL, FOSTER DAN POWELL

 


Dua musim lalu, Manchester United memulakan projek `regenerasi’ dalam skuad mereka di bawah regim Ole Gunnar Solskjaer. Projek itu bermula dengan kedatangan Daniel James dari Swansea City dan kemudiannya Aaron Wan-Bissaka dari Crystal Palace. Penyertaan James dan Wan-Bissaka yang ketika itu baru berusia 21 tahun, memanjangkan lagi senarai pemain-pemain muda dalam skuad United yang sebelumnya sudah dibarisi nama-nama seperti Marcus Rashford, Mason Greenwood, Andres Pereira, Anthony Martial dan Scott McTominay.

 

Berbeza dari musim-musim sebelumnya, tiada nama-nama besar seperti Radamel Falcao, Angel Di Maria, Bastian Schweinsteiger, Paul Pogba, Alexis Sanchez atau Romelu Lukaku yang dibawa masuk. Sebaliknya United menandatangani James dari Swansea City, sebuah kelab yang sekadar beraksi di Liga Kejuaraan. Satu-satunya pembelian besar dilakukan kelab pada musim panas 2019 ialah kejayaan mereka membawa masuk Harry Maguire dari Leicester City, yang menyaksikan beliau dinobatkan sebagai `pemain pertahanan termahal dunia’.

 

Solskjaer menandatangani James kerana beliau percaya pemain muda itu mampu memberikan impak kepada permainan United. James merupakan pemain yang laju, lincah dan cenderung bermain secara `direct’ ketika bola berada dikakinya bagi melakukan `penetration’ kepada pertahanan lawan. Gaya permainan beliau dilihat sangat ideal untuk dipadankan dengan skema `counter attack’ yang sangat sinonim dengan corak permainan United. Malah Graham Potter yang juga merupakan pengurus Swansea City ketika itu melabelkan James sebagai `Gareth Bale’ yang baharu.

 

“James pemain muda yang mengghairahkan dengan kemampuan yang sangat bagus. Dia menjalani musim yang cemerlang bersama Swansea dan punya segala kemampuan untuk menjadi pemain Manchester United”. Itu antara kata-kata pujian dari Potter selepas James menyertai United secara rasmi. Tidak cukup dengan itu, pujian melangit juga datang dari mulut Ryan Giggs yang menyifatkan United memiliki pemain muda berbakat besar menerusi pembelian James. Permulaanya memang tampak begitu, tetapi pengakhirannya tidak seperti yang diramalkan.

 

James memulakan kariernya di Old Trafford dengan cemerlang menerusi gol yang beliau jaringkan ke gawang Chelsea pada penampilan pertamanya. Momen tersebut bukan sahaja sangat emosional buat James tetapi juga seolah-olah isyarat bahawa United sudah menemui `New Ronaldo’ menerusi keberadaan beliau. Pada peringkat awal kedatangannya, James sentiasa menjadi titik fokus kepada serangan-serangan United terutamanya dalam gerakan-gerakan `counter attack’ kerana kelajuan yang beliau miliki.

 

Selepas United mengharungi sembilan perlawanan awal liga pada musim 2019/20, James menjaringkan tiga gol dan mencipta satu bantuan gol. Dalam senarai penjaring terbanyak United ketika itu, beliau berada di belakang Marcus Rashford yang sudah meledak empat gol. Bagaimanapun, James adalah pemain United paling efektif dalam menyempurnakan peluang berbanding Rashford. Menurut catatan laman Premier League, James hanya mensia-siakan satu peluang jaringan gol berbanding (tiga) oleh Rashford.

 

Pada awalnya, kehadiran James memang menepati idea taktikal Solskjaer. Bagi pemain yang pernah dilabel Marco Rossi (pengendali Hungary) sebagai `memiliki kepantasan seperti Usain Bolt’ itu, kelajuan James menjadi aset penting kepada corak permainan menyerang United. Musim pertama boleh dianggap musim yang memberangsangkan buat seorang `rookie’ di Liga Perdana seperti James. Tampil dalam 33 aksi liga untuk United, menjaringkan tiga gol dan mencipta enam bantuan gol, jadi untuk £15 juta wang yang dibelanjakan United keatas beliau sebenarnya lebih daripada berbaloi.

 

Bagaimanapun musim kedua tidak seindah musim pertama buat James. Musim lalu beliau hanya diturunkan sebanyak 15 kali dalam saingan liga, dimana empat daripadanya beliau bermula dari bangku simpanan. Walaupun begitu, James masih mampu meledak tiga gol untuk United. Ketika ramai pihak meletakkan harapan agar prestasi James lebih meningkat berbanding musim pertamanya di Old Trafford, beliau sebaliknya bergelut dengan prestasi sendiri. Dalam sistem dua penyerang sayap, Solskjaer lebih memilih untuk meletakkan Marcus Rashford di sisi kiri, manakala Mason Greenwood bergerak di sisi kanan.

 

Situasi yang berlaku ke atas James umpama sumpahan untuk pemain yang datang dari liga bawahan. James bukanlah satu-satunya pemain yang United tandatangani dari kelab-kelab yang beraksi di liga bawahan. Pada 2001 mereka pernah mendapatkan khidmat Roy Carroll dari Wigan Athletic. Ketika itu Wigan beraksi di `Football League Second Division’ atau lebih tepatnya Divisyen 3 dalam hierarki bolasepak Inggeris. Empat tahun selepas itu, United merekrut pula Ben Foster dari Stoke City yang bermain di Liga Kejuaraan.

 

Carroll dan Foster bagaimanapun gagal menambat hati Fergie untuk beliau letakkan selaku penjaga gol utama United apabila mereka sekadar menjadi pilihan kedua di belakang Fabien Barthez dan Tim Howard. Pada 2012, seorang lagi pemain dari kelab liga bawahan di tandatangani United, dan kali ini giliran Nick Powell pula yang tiba dari Crewe Alexandra. Powell bagaimanapun gagal menepati potensi selaku pengganti jangka panjang Paul Scholes apabila beliau cuma melakukan tiga penampilan untuk skuad utama United.

 

Hakikatnya, Carroll, Foster, Powell dan kini James gagal mengikut jejak yang ditinggalkan Denis Irwin. Berbanding mereka, Irwin merupakan lagenda United meskipun pada 1990, Fergie menandatangani beliau dari Oldham Athletic, kelab yang ketika itu beraksi di liga Divisyen 2 bolasepak Inggeris. Perpindahan James ke Leeds sebenarnya agak mengejutkan, jadi mungkin juga ada kebenaran teori yang menyebut bahawa beliau menjadi korban kembalinya Cristiano Ronaldo ke Old Trafford. Semoga berjaya di sana Daniel James…terima kasih untuk dua tahun yang anda abadikan dengan jersi merah `The Red Devils’. Glory Glory Manchester United!!!

28 Ogos 2021

`ABANG DO' DAH PULANG

 


Tengah malam tadi, seluruh warga maya digegarkan dengan berita kepulangan semula Cristiano Ronaldo ke Old Trafford, walaupun sebelum itu beliau digembar-gemburkan lebih condong bakal menyarung jersi biru Manchester City. Sejak meninggalkan kelab pada musim panas 2009, penyokong-penyokong Manchester United sentiasa mendambakan agar suatu hari nanti Ronaldo akan kembali semula ke Old Trafford, bermain dan menyarung jersi merah The Red Devils sebelum bersara. Jadi kepulangan semula beliau selepas 12 tahun meninggalkan kelab merupakan hadiah yang sangat istimewa buat penyokong-penyokong United.

 

Selama enam musim menabur bakti di Old Trafford, Ronaldo memang menjadi pujaan jutaan penyokong-penyokong United menerusi sumbangan besar yang beliau mainkan di atas padang. Kelicikan beliau membelah pertahanan lawan menerusi skill individu memukau, jaringan demi jaringan yang dihasilkannya serta kerja kerasnya menyebabkan Ronaldo muncul antara pemain United yang sangat digilai dan begitu dicintai oleh penyokong-penyokong. Atas sebab itulah mengapa majoriti penyokong-penyokong United masih memuja Ronaldo, sama ada ketika beliau menyarung jersi Real Madrid ataupun Juventus.

 

Prospek Untuk Kembali

 

Sebenarnya, penyokong-penyokong United tidak pernah berhenti berharap untuk melihat Ronaldo kembali ke pangkuan kelab. Pada Mac 2013, terdapat rumours yang mengaitkan perpindahan semula beliau ke Old Trafford. Ketika itu Chevrolet diberitakan sedia membiayai `perpindahan semula’ Ronaldo dengan nilai sebanyak £55 juta. Kemudian pada Februari 2016, desas-desus tentang kembalinya Ronaldo ke Old Trafford bertiup semula. Bagaimanapun, Ronaldo kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa beliau akan terus kekal di Santiago Bernabeu hingga kontraknya tamat pada 2018.

 

Bagaimanapun pada 2018, Ronaldo tidak kembali ke England. Sebaliknya beliau menyertai Juventus dan menjadikan Serie A sebagai cabaran baharu dalam kariernya. Penyokong United hampa lagi, kerana pada usia 33 tahun ketika itu, peluang melihat Ronaldo kembali ke Old Trafford sebenarnya semakin malap. Apa yang boleh anda gambarkan ketika itu ialah Ronaldo akan bermain selama empat musim di Turin dan menamatkan kariernya bersama Juventus. Jangkaan bagaimanapun tidak selalunya tepat, ramalan juga tidak selalunya menjadi kenyataan. Begitu jugalah dengan situasi Ronaldo.

 

Secara tiba-tiba Ronaldo enggan bermain lagi untuk Juventus meskipun kontraknya bersama gergasi Itali itu masih berbaki semusim. Sejak awal bulan ini lagi, desas-desus tentang kemungkinan Ronaldo meninggalkan kota Turin sudah bertiup kencang. Cuma yang menjadi persoalan ketika itu ialah kemanakah destinasi baharu yang beliau akan tuju. Dua kelab paling disebut-sebut bakal disertai Ronaldo ialah Paris St Germain (PSG) dan Manchester City. Prospek menggabungkan dua GOAT dalam sebuah pasukan tentunya idea yang hebat untuk PSG selepas mereka terlebih dahulu berjaya mendapatkan tandatangan Lionel Messi.

 

Di England pula, bukan United tetapi City adalah kelab yang diletakkan sebagai favourite untuk Pep Guardiola menyenaraikan Ronaldo dalam kesebelasan utama beliau. Segala aspek memihak kepada City, apatah lagi Ronaldo juga dikhabarkan secara peribadi sudah bersetuju dengan segala terma dan syarat untuk beliau menyertai skuad juara bertahan Liga Perdana itu. Berbanding City, United pula lebih defensive bila berbicara tentang Ronaldo, malah terdapat juga laporan yang mengatakan bahawa kelab tidak berminat membawa pulang semula pemenang lima anugerah Ballon d’Or itu ke Old Trafford.

 

Bergerak Dalam Senyap

 

Ketika Ronaldo dikhabarkan semakin hampir menyertai City, United pula rupa-rupanya tidak pernah diam berpeluk tubuh. Mana mungkin membiarkan pemain yang sudah diletakkan statusnya sebagai lagenda kelab itu beraksi untuk seteru yang cukup sinonim dengan label sebagai `jiran yang bising’ itu. Dalam laporan Manchester Evening News, mereka menyebut bahawa keluarga Glazer turut memainkan peranan penting dalam misi United memintas City bagi mendapatkan khidmat Ronaldo.

 

Sebaik sahaja kelab mengetahui bahawa Ronaldo sah mahu meninggalkan Juventus, gerakan pun dilakukan secara senyap bagi mendapatkan kembali pemain itu. Sudah tentu orang paling layak mengetuai misi tersebut ialah Sir Alex Ferguson, individu yang sering dianggap Ronaldo sebagai mentor beliau. Fergie dilaporkan menghubungi Ronaldo pada pagi Jumaat ketika khabar angin semakin kuat bertiup mengaitkan perpindahan bekas anak didik beliau itu ke Stadium Etihad.

 

Akhirnya pada tengah malam tadi, United mengumumkan kejayaan misi mereka di laman rasmi milik kelab selepas kesepakatan dengan Ronaldo berjaya dicapai. Pengenalan secara rasmi Ronaldo selaku `pemain baharu’ United akan dilakukan selepas beliau selesai menjalani ujian perubatan. Berita ini akhirnya menamatkan segala teka-teki, debaran dan plot tentang saga perpindahan Ronaldo, hanya dua minggu selepas Lionel Messi melengkapkan perpindahannya ke PSG.

 

Perpindahan Saga

 

Bursa perpindahan pemain musim panas kali ini digoncangkan dengan dua perpindahan besar membabitkan dua pemain yang dilabel sebagai terbaik pada era mereka. Messi menyertai PSG, manakala Ronaldo pula pulang semula ke pangkuan United. Pada awalnya ramai pihak menyangka bahawa berita perpindahan Messi akan menjadi satu-satunya berita perpindahan besar musim panas ini, tetapi kini tidak lagi. Dua minggu lalu berita perpindahan Messi mendominasi halaman belakang akhbar, tetapi selepas ini giliran Ronaldo pula mengambilalih perhatian warga dan peminat bolasepak.

 

Jika perpindahan Ronaldo ke Manchester City menjadi kenyataan, ia akan menjadi berita besar tetapi impaknya tidak akan sebesar dengan berita kepulangan beliau ke pangkuan United. 18 tahun silam, Sir Alex Ferguson menandatangani Ronaldo dari Sporting Lisbon, di mana idea beliau ketika itu ialah meletakkan seorang `prospek panas’ sebagai pengganti David Beckham yang dilepaskan ke Real Madrid. Ronaldo tidak perlu menunggu lama untuk beliau mempesonakan khalayak penyokong-penyokong United. Penampilan pertama ketika berdepan Bolton Wanderers menjadi `signature’ kehadiran beliau dan kekal diingati hingga kehari ini.

 

Masih segar diingatan bagaimana seorang remaja kurus kering berjaya memaksa pertahanan berpengalaman seperti Ivan Campo dan Bruno N’Gotty bekerja keras selama 30 minit sebaik sahaja Fergie memberikan penampilan pertama buat Ronaldo diminit ke-60 dalam perlawanan itu. Diamanah jersi `nombor 7’ yang ikonik itu rupa-rupanya bukanlah satu tekanan yang terlalu berat untuk beliau pikul. Selepas aksi menentang Bolton pada Ogos 2003 itu, Ronaldo tidak lagi menoleh kebelakang. Dari remaja kurus kering, Ronaldo membina kariernya hingga muncul mesin gol United dan pemain yang sangat ditakuti mana-mana pertahanan lawan.

 

Penutup

 

Persoalannya sekarang, masih relevankah Ronaldo untuk United pada usia beliau yang sudah mencecah angka 36 tahun? Ronaldo memang sudah dimamah usia, tetapi apa yang patut anda perhatikan ialah prestasinya di atas padang. Ingat lagi bagaimana beliau memecut selaju 32 km/j pada jarak 97 meter ketika menjaringkan gol pertama Portugal dalam aksi menentang Jerman di Euro 2020 yang lalu? Ronaldo antara segelintir pemain yang sangat komited menjaga prestasinya, jadi tidak hairanlah mengapa beliau masih mampu tampil memukau ketika ramai pemain seusianya tidak lagi mampu beraksi di pentas tertinggi.

 

Kini Ronaldo datang ke Old Trafford bukan lagi sebagai remaja kurus kering yang naif tentang bolasepak peringkat tinggi. Kini beliau datang dengan reputasi sebagai bintang besar bolasepak dunia, serta pemain yang diiktiraf sebagai terbaik pada eranya. Selama 12 tahun sejak beliau meninggalkan kelab, Ronaldo sudah memenuhi ambisinya untuk menjadi yang terbaik dan memenangi kesemua trofi yang ditawarkan di peringkat kelab. Jadi apa lagi yang paling sempurna bagi beliau selain kembali ke `tempat asal’, menghabiskan masa-masa penghujung kariernya di sini dan dicintai penyokong sebagai lagenda kelab. Tiada tempat selain di sini untuk anda lebih dicintai Ronaldo…Glory Glory Manchester United!!!

24 Ogos 2021

TITIK KELEMAHAN UNITED YANG DIDEDAHKAN SOUTHAMPTON DI ST MARY

 


Ralph Hasenhuttl gembira meskipun skuadnya sekadar seri 1-1 ketika berdepan Manchester United di St Mary pada Ahad lalu, tetapi tidak bagi Ole Gunnar Solskjaer. Bagi Solskjaer, seri ketika menentang Southampton umpama satu kekalahan, terutamanya selepas mereka menampilkan aksi terpuji ketika berdepan Leeds dalam perlawanan pertama liga seminggu sebelum itu. Anda boleh berdebat sepanjang minggu tentang gol kontroversi tuan rumah, tetapi hakikatnya kita juga perlu mengakui bahawa United tidak bermain sepertimana diharapkan di St Mary.

 

“Tiada kreativiti dan tiada kualiti”, itu kata-kata ringkas yang keluar dari mulut Roy Keane selepas tamat perlawanan. Paling ketara penampilan jentera tengah yang agak tenggelam dalam menangani pendekatan high pressing kesebelasan The Saints, dan sudah tentunya juga pemilihan pemain yang dilakukan Solskjaer dalam perlawanan ini wajar diberi perhatian. Di St Mary, Solskjaer melakukan dua perubahan dalam skuadnya berbanding ketika mereka menang besar ke atas Leeds minggu lalu.

 

Pertama, beliau menyenaraikan Nemanja Matic bagi membentuk dua pivot bersama Fred dan meletakkan Scott McTominay di bangku simpanan. Manakala yang kedua, beliau mengubah posisi di bahagian depan dengan meletakkan Anthony Martial sebagai penyerang tengah. Dan untuk itu, Daniel James terpaksa dikorbankan. Menurut Solskjaer, idea meletakkan Martial sebagai penyerang tengah kerana beliau ingin menggunakan pendekatan dua striker dalam perlawanan ini.

 

“Saya menyenaraikan Martial kerana mahu dia bergandingan dengan Mason di bahagian hadapan. Mason akan bergerak di sisi kanan dan Martial di sisi kiri”, kata Solskjaer. Idea itu pada mulanya tampak bagus kerana sepertimana yang anda tahu, Martial pada kemuncak prestasinya merupakan pemain yang memiliki mobiliti, kawalan bola dan penyudah yang bagus. Tetapi itu dulu, kerana Martial kini bukan lagi pemain yang sama ketika beliau meledak 23 gol sepanjang musim 2019/20.

 

Akibatnya, sepanjang babak pertama Martial cuma mampu menyentuh bola sebanyak sepuluh kali, manakala sepanjang 59 minit penampilannya di St Mary, beliau melepaskan hanya satu percubaan dan peratus ketepatan hantaran yang dilakukannya pula sekadar mencapai angka 67%. Melihat kepada pendekatan Solskjaer memang sangat mengejutkan, apatah lagi bila memikirkan bahawa kali terakhir Martial tersenarai dalam kesebelasan utama United ialah pada Mac lalu.

 

Selain barisan hadapan, keputusan Solskjaer merombak jentera tengah skuadnya juga mengudang persoalan. Berbanding keputusan beliau menyenaraikan Martial dalam kesebelasan utama, idea Solskjaer memilih Matic berbanding McTominay sebenarnya idea yang lebih mudah kita fahami. Berbanding McTominay, Matic pula merupakan seorang holding midfielder dengan kualiti hantaran yang bagus. Bagaimanapun pada usia 33 tahun, mobiliti beliau semakin terbatas.

 

Itu yang dapat anda lihat sepanjang penampilan Matic di St Mary. Matic bagus dalam melakukan hantaran-hantaran, tetapi mobiliti beliau yang rendah menyaksikan banyak gerakan-gerakan yang cuba diatur United terganggu. Hakikat yang perlu anda akui ialah kombinasi Matic/Fred merupakan titik kelemahan United ketika mereka berdepan Southampton. Apa yang terjadi, Fred melakukan empat kesilapan hantaran hanya dalam tempoh 16 minit pertama permainan.

 

Melihat kepada kemampuan jentera tengah United terutamanya membabitkan pemain yang boleh berperanan dengan berkesan sebagai holding midfielder, wajarlah kelab dikaitkan dengan pemain seperti Ruben Neves. Pemain Wolverhampton Wanderers ini memang dikenali sebagai seorang holding midfielder dengan kemampuan defensive dan offensive yang bagus. Southampton berjaya mendedahkan titik kelemahan United, jadi selepas ini sangat menarik untuk kita melihat apa yang bakal dilakukan kelab pada baki tempoh jendela perpindahan musim panas ini.

 

Solskjaer perlu mempertimbangkan secara serius untuk meletakkan seorang holding midfielder yang dominan di jentera tengah skuadnya, setidak-tidaknya sebelum jendela perpindahan pemain ditutup. Lihat sahaja peranan dimainkan Fernandinho bersama Manchester City, Ngolo Kante untuk Chelsea atau Fabinho untuk Liverpool. Di sinilah mengapa pentingnya United memiliki type pemain yang sama, seorang pemain yang boleh bertindak sebagai water carrier bagi menghubungkan barisan belakang dan barisan hadapan.

 

United pernah memiliki seorang holding midfielder sebagus Michael Carrick, tetapi selepas persaraan beliau pencarian untuk mengisi role tersebut nampaknya masih lagi berterusan. Ketepikan idea mengarut yang mencadangkan agar Victor Lindelof diberikan peranan baru sebagai holding midfielder, kerana untuk tugas tersebut seorang pemain bukan sahaja perlu memiliki kualiti hantaran pendek dan jauh yang bagus tetapi mereka juga mestilah seorang yang press-resistant. Siapa pemain di luar sana yang sesuai? Dalam soal harga, Ruben Neves lebih realistik berbanding Declan Rice. Glory Glory Manchester United!!!



20 Ogos 2021

APA YANG BAKAL RAPHAEL VARANE BERIKAN KEPADA BENTENG PERTAHANAN UNITED

 



Manchester United akhirnya memperkenalkan secara rasmi Raphael Varane selaku pemain baharu mereka. Momen pengenalan Varane sebagai ahli baharu The Red Devils itu dipilih kelab sebelum berlangsungnya sepak mula liga menentang Leeds United pada Sabtu lalu. Sambil mengenggam jersi nombor 19, kehadiran Varane disambut meriah puluhan ribu penyokong-penyokong United di Old Trafford, tanda mereka sangat meraikan kehadiran pemenang medal Piala Dunia, tiga kejuaraan La Liga dan empat kejuaraan Liga Juara-Juara itu.

 

Secara keseluruhannya, perpindahan Varane dari Santiago Bernabeu ke Old Trafford membabitkan nilai sebanyak £41 juta, angka yang boleh dianggap sangat berbaloi jika diambilkira reputasi dimiliki beliau selaku antara `centre back’ terbaik dunia ketika ini. United bolos 44 gol dalam saingan liga musim lalu, jadi sudah tentu mengapa mereka sangat perlukan khidmat seorang pertahanan tengah berpengaruh seperti Varane bagi menambah kekuatan di benteng pertahanan. Atas sebab itulah mengapa Varane dianggap sebagai rakan gandingan yang ideal buat Harry Maguire.

 

Sudah empat musim United ketandusan sebarang kejuaraan, jadi musim ini merupakan musim yang mencabar untuk Ole Gunnar Solskjaer merealisasikan impian penyokong-penyokong yang mahu melihat trofi pertama di bawa masuk ke Old Trafford pada era pengurusan beliau. Musim lalu, Solskjaer hampir sahaja melakukannya selepas berjaya mengemudi United mara ke final Liga Europa. Bagaimanapun Solskjaer dan trofi pertama beliau sebagai pengurus United hanya dipisahkan menerusi satu sepakan penalti yang gagal disempurnakan. Akibatnya penyokong-penyokong United terpaksa menunggu lagi.

 

Jika impian menjulang kejuaraan mahu direalisasikan, Solskjaer perlu menambahbaik beberapa sektor dalam skuadnya, dan benteng pertahanan adalah diantaranya. Bukan mahu menidakkan keupayaan Victor Lindelof, tetapi jika Solskjaer mahu menjadikan United pencabar utama kejuaraan musim ini, beliau perlu memiliki sepasang bek tengah yang dominan. Fakta ini sudah dibuktikan Sir Alex Ferguson lama dahulu. Kekuatan United sepanjang era Fergie dibina menerusi kukuhnya struktur pertahanan mereka.

 

Masih ingat lagi dengan gandingan Steve Bruce/Gary Pallister, Ronny Johnsen/Jaap Stam dan sudah tentu Rio Ferdinand/Nemanja Vidic antara duo bek tengah paling diingati ketika era kemasyhuran United. Selepas berakhirnya era Ferdinand/Vidic, United masih bergelut mencari sepasang bek tengah berpengaruh yang bukan sahaja mampu menjadi tembok pelindung kepada gawang mereka, tetapi juga komander di benteng pertahanan. Semoga pencarian selama bertahun-tahun itu berakhir dengan kedatangan Varane.

 

Cinta Lama

 

Kisah antara United dan Varane bukan kisah baharu. Analogi paling tepat ialah Varane dan United umpama kisah cinta lama yang berpaut kembali. Sepuluh tahun lalu, ketika Varane baru berusia 18 tahun, satu gerakan telah diatur Fergie bagi `mendaratkan’ bek muda ini di Old Trafford. Perkara ini didedahkan Fergie dalam buku tulisan beliau berjudul Leading yang diterbitkan pada 2015. “Saya memandu dari Euston ke Lille bagi mendapatkan seorang bek muda Perancis. Ketika itu, David Gill juga sudah melakukan urusan berkaitan kontrak dengan Lens. Tetapi entah macam mana Zidane tahu akan hal tersebut dan merampasnya betul-betul di depan mata kami”, kata Fergie.

 

Kini selepas sepuluh tahun, peluang akhirnya datang semula dan kali ini United akhirnya berjaya mendapatkan tandatangan Varane. Penghijrahan Sergio Ramos yang juga merupakan rakan gandingan beliau di Madrid, serta pemergian Zidane antara faktor utama yang membuka jalan perginya Varane dari Santiago Bernabeu ke Old Trafford. Bersama Real, Varane menjalani tempoh sepuluh tahun yang sangat cemerlang, memenangi kesemua trofi yang dipertandingkan baik di peringkat domestik, Eropah mahupun dunia. Selebihnya, beliau perlukan keterujaan baharu dalam kariernya, di mana Old Trafford adalah destinasi yang beliau pilih.

 

Bek Moden

 

Dalam satu temubual dengan Bleacher Report pada 2019, Varane mengatakan bahawa bek tengah dalam era bolasepak moden bukan sekadar tentang melakukan kerja-kerja bertahan semata-mata. Menurut beliau, seorang bek tengah moden adalah seorang pemain paling `complete’ di tengah padang. Ia bukan lagi tentang bagaimana bagusnya mereka ketika melakukan `tackle’ atau mengawal pemain lawan yang berada di hadapan mereka, tetapi bek tengah moden adalah pusat gerakan dan tulang belakang pasukan.

 

Dalam temubual tersebut, Varane juga menggambarkan bahawa beliau seorang bek tengah yang `kontemporari’, iaitu seorang bek tengah yang bukan sahaja memiliki kekuatan fizikal untuk melakukan duel dengan mana-mana pemain lawan, tetapi juga bijak membaca permainan serta mampu meletakkan dirinya sebagai pemain pertama dalam melakukan `build up’. Contoh terbaik seorang bek tengah `complete’ yang anda lihat di Liga Perdana ialah Virgil Van Dijk (maaf kepada penyokong-penyokong United kerana anda tentunya tidak gemar dengan fakta tersebut).

 

Di Liverpool, Van Dijk melakukan semua tugas, dari kerja-kerja defensif, melepaskan hantaran jauh atau dekat dari garis pertahanan sendiri, melakukan `build up’ hinggalah memberikan arahan kepada rakan-rakan sepasukannya. Persamaan ketara antara Van Dijk dan Varane ialah mereka bukan sekadar bergantung kepada kekuatan fizikal tetapi mereka juga adalah bek tengah yang `composure’. Jika bek tengah klasik sering dikaitkan dengan corak permainan mereka yang keras, bek tengah moden pula adalah sisi yang lebih `moderate’.

 

Di Madrid, Varane dan Ramos merupakan dua bek tengah yang memiliki karakter sangat berbeza. Ramos sangat dikenali kerana corak permainan kerasnya, manakala Varane pula lebih tenang, jarang melakukan terjaha-terjahan berisiko serta berkebolehan membina gerakan dari belakang. Jadi tidak hairanlah mengapa Zidane pernah melabelkan Varane sebagai bek tengah yang solid dan `fenomenal’. Bukan kebetulan, kerana United juga sebenarnya sudah memiliki seorang bek tengah yang `complete’ menerusi keberadaan Harry Maguire.

 

Jadi sangat mengujakan untuk melihat bagaimana Varane dan Maguire mampu membentuk kerjasama selaku dua bek tengah yang dominan di benteng pertahanan United nanti. Sepertimana Varane, Maguire juga memiliki kemampuan melakukan `build up’, berkebolehan melakukan `dribble’ dan cenderung melakukan `progressive passes’. Catatan `offensive’ mereka menyaksikan Maguire mampu melepaskan purata 3.07 `progressive passes’ per perlawanan manakala Varane pula 2.51 di La Liga. Apa yang menariknya, Varane juga mencatatkan purata 0.32 `dribble’ (per perlawanan) manakala Maguire pula 0.38.

 

Bagaimana pula dengan peratus ketepatan hantaran yang dirakam Varane dan Maguire musim lalu? Musim lalu peratus ketepatan hantaran jauh yang dilakukan Varane ialah 82.6%, manakala Maguire pula mencatatkan 79.1%. Dalam aspek melakukan hantaran-hantaran pendek pula, Varane dan Maguire masing-masing mencatatkan peratus ketepatan hantaran sebanyak 90%. Bagi kesebelasan yang bermain secara `direct’ seperti United, kehadiran dua bek tengah yang mampu membina gerakan dan memiliki kualiti hantaran yang bagus bakal memberikan impak kepada permainan mereka. Untuk itu, anda juga akan melihat United bermain dengan pendekatan garis pertahanan lebih tinggi berbanding sebelumnya.

 

Mengikut statistik dari Markrstats, garis pertahanan United merupakan yang kelima tertinggi dalam saingan liga musim 2020/21 di belakang Manchester City, Liverpool, Chelsea dan Brighton & Hove Albion. Secara purata, jarak garis pertahanan United ialah 39.2 meter dari gawang berbanding Manchester City (43.2 meter). Bagaimana pula pembabitan bek tengah United di zon `middle third’ sepanjang musim lalu? Secara purata Maguire menyentuh bola sebanyak 36.6 kali per perlawanan di zon `middle third’, Lindelof pula 33.53 kali, manakala catatan Varane di La Liga pula ialah 37.02.

 

Penutup

 

Melihat kepada catatan tiga bek tengah United ini (Varane, Maguire dan Lindelof), apa yang boleh anda bayangkan ialah Solskjaer akan menerapkan pendekatan lebih `offensive’ kepada gaya permainan United musim ini. Anda akan melihat United akan bermain dengan garis pertahanan lebih tinggi kerana mereka kini memiliki dua `ball playing defender’ yang setara kualitinya. Cuma persoalannya sekarang, siapakah pilihan yang boleh memainkan peranan sebagai `holding midfielder’ dengan berkesan jika Maguire dan Varane diarah untuk bermain lebih jauh ke atas?

 

Tiada apa-apa yang perlu Varane buktikan, kerana sebagai pemain beliau sudah memenangi kesemua kejuaraan yang ditawarkan, baik di peringkat kelab mahupun antarabangsa. Di Old Trafford, Varane bukanlah pemain tunggal yang pernah memenangi medal Piala Dunia kerana selain beliau, Pogba dan Juan Mata juga sudah memilikinya. Tetapi harus diingat, empat trofi Liga Juara-Juara yang pernah dimenangi Varane lebih banyak berbanding (tiga) yang sudah diraih United sepanjang sejarah kelab. Varane menyertai United kerana beliau mahukan cabaran baharu, jadi berikan sahaja apa yang beliau mahukan dan tunggu impak yang bakal beliau berikan. Glory Glory Manchester United!!!



18 Ogos 2021

POGBA YANG `MENGGILA' DALAM PERANAN SEBAGAI `FREE ROLE'

 


Empat assist dari seorang pemain dalam satu perlawanan. Apa lagi yang boleh anda katakan selain `luarbiasa’. Pada aksi pertama liga musim ini, Paul Pogba melakukannya, malah beliau tampak seperti tidak terganggu disebalik cerita-cerita luar padang yang mengaitkan beliau dengan perpindahan ke Paris St Germain atau Real Madrid. Empat assist yang dicipta Pogba dilakukan beliau dalam empat situasi berbeza. Yang pertama, Pogba cepat bertindakbalas melakukan hantaran yang melepasi dua pemain lawan sebelum disempurnakan Bruno Fernandes.

 

Assist kedua dilakukan beliau menerusi hantaran jauh dari kawasan sendiri yang tepat dalam laluan larian Mason Greenwood. Yang ketiga, beliau berada di posisi nombor 10 sebelum melepaskan hantaran yang sekali lagi berjaya disempurnakan Bruno, manakala assist keempat pula dicipta Pogba menerusi gerakan `cut back’ beliau dari sisi kanan pertahanan lawan. Keempat-empat assist ini membuktikan tingginya kualiti dan visi permainan Pogba, manakala pergerakan dan hantaran-hantaran yang dilakukannya pula sering menyukarkan lawan.

 

Sepertimana yang anda tahu, Pogba sejak kepulangan semula beliau ke Old Trafford sering diberikan peranan yang berbeza-beza. Ketika era Jose Mourinho, Pogba `dipaksa’ untuk bermain lebih defensif meskipun semua orang tahu bahawa beliau bukanlah pemain yang memiliki disiplin bertahan yang bagus. Di era pengurusan Ole Gunnar Solskjaer pula, Pogba kadangkala anda lihat berperanan sebagai pemain `nombor 6’ dan juga `nombor 8’, malah ketika aksi liga United menentang Leicester City pada Disember 2020, Pogba berperanan sebagai inverted winger dalam sistem 4-2-3-1 yang digunakan Solskjaer.

 

Ada pendapat mengatakan bahawa sukar untuk mana-mana pasukan meletakkan dua pemain tengah yang memiliki attacking minded seperti Pogba dan Bruno dalam lineup yang sama. Tetapi apa yang ditampilkan United ketika mereka membelasah Leeds pula menunjukkan sebaliknya. Pogba dan Bruno membuktikan bahawa mereka boleh bekerjasama dalam membentuk kombinasi yang hebat di bahagian tengah The Red Devils. Hasilnya Bruno berjaya meledak tiga gol manakala Pogba pula menggila dengan empat assist yang diciptanya.

 

Empat assist yang dilakukan Pogba dalam hanya satu perlawanan sudah melepasi angka keseluruhan assist  yang beliau sumbangkan sepanjang musim lalu.  Apa yang menariknya dalam aksi menentang Leeds itu, Pogba tidak dibebankan dengan peranan tertentu, atau lebih tepatnya Pogba yang anda lihat ketika aksi menentang Leeds berperanan sebagai free role. Solskjaer memberikan kebebasan kepada Pogba untuk berlegar-legar di zon tengah atau mara lebih jauh bagi membantu serangan, dan nampaknya pemain antarabangsa Perancis itu benar-benar menikmati peranannya.

 

Selain penampilan mengagumkan yang dipamerkan Pogba dan Bruno, kredit juga wajar anda berikan kepada Solskjaer menerusi taktikal yang beliau terapkan dalam perlawanan ini. Pada dasarnya United bermain dengan sistem 4-2-3-1, tetapi `shape’ tersebut boleh berubah menjadi 4-3-3 sepertimana yang sering disebutkan Solskjaer dalam sidang media beliau sebelum ini. Di atas keras, anda melihat Pogba ditempat di sisi kiri dalam rangkaian tiga pemain tengah menyerang United, tetapi fungsi sebenar beliau ialah sebagai pemain `nombor 10’ manakala Bruno bertindak sebagai `false 9’.

 

Apa yang ditampilkan United ketika berdepan Leeds satu petanda baik bagi memulakan musim baharu, manakala penampilan `magis’ Pogba dan Bruno di bahagian tengah pula memberikan harapan awal kepada kita bahawa kelab kini sudah memiliki gandingan pemain tengah yang `sempurna’. Saya tidak tahu apa kesudahan masa depan Pogba di Old Trafford, semoga dengan persembahan cemerlang yang ditampilkannya bakal membuatkan beliau berfikir bahawa “United juga skuad yang kompetitif” dan mampu lebih mencabar musim ini. Glory Glory Manchester United!!!