24 Ogos 2022

UNITED YANG BERBEZA

 


Kali terakhir Manchester United berjaya menewaskan Liverpool dalam saingan liga ialah pada 10 Mac 2018. Sejak itu, lapan pertembungan `North West Derby’ sudah berlangsung dalam saingan liga, dan United gagal menewaskan Liverpool dalam kelapan-lapan pertemuan itu. Apa yang berlaku sejak 10 Mac 2018 ialah Liverpool unggul mendominasi pentas `North West Derby’ menerusi lima kemenangan yang dilakar mereka ke atas United, manakala tiga lagi pertemuan berakhir dengan keputusan seri.

 

Musim lalu United tewas kedua-dua pertemuan mereka menentang Liverpool di Liga Perdana. Dua kekalahan besar yang berlaku di Old Trafford (0-5) dan di Anfield (0-4), sekadar mengesahkan lagi status Liverpool selaku kesebelasan yang jauh lebih unggul berbanding United, baik dari segi taktikal mahupun komposisi skuad yang dimiliki barisan `The Reds’ itu. Lebih empat tahun diperlukan United untuk mereka kembali menewaskan Liverpool dalam saingan liga, dan momen itu berlaku lagi di Old Trafford kelmarin.

 

Pada awal pagi 23 Ogos 2022, United akhirnya kembali mengungguli pentas `North West Derby’ menerusi dua gol yang diledak Jadon Sancho (minit ke-16) dan Marcus Rashford (minit ke-53). Usaha Liverpool untuk cuba bangkit menerusi gol Mohamed Salah di minit ke-81 tetap gagal menghalang United dari meraih tiga mata penuh dalam perlawanan ini. Ini merupakan kemenangan pertama United di bawah era regim Erik Ten Hag dalam saingan liga, dan juga kemenangan pertama mereka ke atas Liverpool dari sembilan perlawanan (liga).

 

Perubahan Yang Dilakukan Ten Hag

 

Dua kekalahan berturut-turut dalam dua penampilan awal mereka dalam saingan liga musim ini tentunya sukar untuk diterima penyokong. Untuk itu, Ten Hag sedar bahawa United tidak boleh tewas dalam aksi `North West Derby’ ini. Jika kekalahan berlaku lagi, moral dan krisis keyakinan dalam pasukan akan bertambah buruk. Jadi apa yang perlu beliau lakukan ialah melakukan perubahan drastik dalam kesebelasan utamanya, terutama sekali membabitkan benteng pertahanan.

 

Untuk itu tiada nama Harry Maguire dan Luke Shaw, juga Anthony Martial yang pada awalnya diramal bakal tersenarai dalam `line up’ permulaan turut tercicir. Raphael Varane dipasangkan dengan Lisandro Martinez sebagai duo `centre back’, manakala Tyrell Malacia pula menggantikan posisi Luke Shaw di sisi kiri pertahanan United. Meskipun prestasi Anthony Elanga dalam dua perlawanan awal dikritik penyokong, tetapi Ten Hag ada alasan kuat untuk terus meletakkan pemain muda itu dalam kesebelasan utamanya.

 

Sebelum perlawanan berlangsung, Ten Hag sudah menjelaskan bahawa skuad yang dipilihnya kali ini merupakan kesebelasan yang memiliki kekuatan fizikal untuk berdepan aksi berintensiti tinggi. Atau lebih tepatnya, sebelas pemain yang beliau pilih ialah pemain yang `tidak takut’ untuk melakukan duel. Pemilihan pemain yang dilakukan Ten Hag dalam perlawanan ini membuahkan hasil kerana dari catatan Sky Sports, pemain-pemain United melakukan 106 kali `sprint’ berbanding Liverpool (62).

 

Pressing…Pressing dan Pressing

 

Apa yang dapat anda lihat hampir sepanjang perlawanan ialah United sangat berbeza berbanding dua penampilan mereka sebelum ini. Mereka sangat agresif terutamanya menerusi pendekatan `high pressing’ yang diterapkan Ten Hag dalam corak permainan United. Sepanjang 90 minit, United melakukan 24 `tackle’ berbanding (13) yang dicatatkan Liverpool, manakala Tyrell Malacia pula muncul pemain paling banyak melakukan `tackle’ di atas padang menerusi catatan lima `tackle’ yang dilakukannya.

 

Paling menarik ialah melihat bagaimana pemain yang memiliki `attacking minded’ seperti Bruno Fernandes berupaya melakukan tiga `tackle’, satu petunjuk bahawa beliau juga aktif melakukan `pressing’ dan sedia melakukan duel dengan mana-mana pemain lawan. Sejak awal perlawanan, sasaran Ten Hag ialah melakukan tekanan ke sisi kanan pertahanan Liverpool kerana beliau sedar bahawa Trent Alexander-Arnold tidak memiliki kemampuan duel yang cukup baik.

 

United mengeksploitasi titik lemah Liverpool yang menyaksikan gerakan mereka dari sebelah kanan pertahanan lawan menghasilkan gol pertama. Gol kedua pula adalah tipikal gol-gol yang pernah dihasilkan United sebelum ini. Iaitu mereka menggunakan kelajuan pemain-pemain di barisan hadapan untuk mengeksploitasi garis pertahanan tinggi yang digunakan lawan. Hasilnya, gol kedua United yang dijaringkan Marcus Rashford adalah menerusi satu gerakan pantas.

 

Suka atau tidak, anda terpaksa mengakui bahawa United bermain dengan lebih baik tanpa Cristiano Ronaldo, setidak-tidaknya dalam perlawanan ini. Tanpa Ronaldo, United lebih `mobile’, gerakan-gerakan mereka lebih lancar dan pantas serta beberapa kali mencipta peluang menerusi transisi gerakan dari bertahan ke menyerang. Tidak menyenaraikan pemain seperti Ronaldo dalam kesebelasan utama adalah satu tindakan berani dari Ten Hag, dan hasilnya United berjaya meraih tiga mata penuh.

 

Penutup

 

Selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut kepada kelab yang biasanya menamatkan saingan liga di kelompok pertengahan dan bawahan, United akhirnya memilih waktu, tempat dan lawan yang tepat untuk bangkit kembali. Gol dari Jadon Sancho dan Marcus Rashford memberikan United tiga mata berharga, tetapi kredit sebenarnya wajar diberikan kepada benteng pertahanan United. Dua pemain paling menyinar di barisan belakang United tentunya Lisandro Martinez dan Tyrell Malacia.

 

Martinez menepati reputasi beliau sebagai `El Carnicero’, pemain pertahanan tengah bertubuh kecil tetapi tidak pernah gentar untuk melakukan duel dengan mana-mana pemain lawan. Untuk seorang pemain muda seperti Malacia pula, melakukan `debut’ dalam kesebelasan utama United dan ditugaskan untuk mengunci pergerakan pemain yang memiliki reputasi besar seperti Mohamed Salah, anda patut memberikan `lima bintang’ atas prestasi yang dipamerkan beliau.

 

Liverpool tetap Liverpool, seteru abadi yang sejak beberapa musim terakhir begitu kita cemburui pencapaian mereka. Jadi menyaksikan mereka tewas dalam aksi kompetitif seperti ini adalah satu perasaan yang luar biasa. Kita melihat sisi United yang berbeza, ada keghairahan, ada keazaman yang kuat, ada keberanian untuk melawan dan ada `rasa lapar’ untuk menang. Apa yang United pamerkan kelmarin setidak-tidaknya memberikan kita harapan bahawa United musim ini adalah lebih baik berbanding United musim lalu. Glory Glory Manchester United!!!

30 Julai 2022

ANTARA KEINGINAN, CINTA DAN RASA HORMAT

 


Dia pemain yang memukau, dia pemain yang mempesonakan dan perlu juga diakui bahawa dia merupakan yang terbaik pada generasinya. Cristiano Ronaldo dan Manchester United seperti tidak dapat dipisahkan, kerana setiap kali anda (penyokong United) bercakap tentang `superstar’ dari Portugal ini, sentiasa akan ada rasa cinta tersemat terhadap diri beliau. Pada 2009 ketika beliau meninggalkan kelab, kita juga pernah berharap agar suatu hari nanti Ronaldo akan pulang semula ke Old Trafford dan menamatkan kariernya di sini.

 

Musim panas tahun lalu, impian bertahun kita yang mahu menyaksikan kepulangan semula Ronaldo ke pangkuan United tertunai. Meskipun ada pihak yang agak skeptikal tentang kemampuan beliau bermain di pentas Liga Perdana pada usia 36 tahun, pemenang Ballon d’Or lima kali itu sebaliknya membuktikan kepada para pengkritiknya bahawa bisanya belum pudar. Usia hanyalah angka, kerana di sebalik musim paling suram dilalui kelab, Ronaldo tetap berjaya meletakkan dirinya sebagai pemain United paling menonjol.

 

Secara keseluruhannya, Ronaldo meledak 24 gol untuk United dalam semua peringkat kejohanan. Jika bukan kerana 18 gol yang dihasilkannya dalam saingan liga, United tidak akan beraksi di pentas Liga Europa musim ini. Malah situasinya lebih buruk, kerana mereka juga terkeluar dari kelompok sepuluh teratas dalam carta liga. Bagaimanapun akhir-akhir ini Ronaldo kembali menggemparkan kita, gempar kerana beliau dikatakan mahu meninggalkan United buat kali kedua. Alasannya kerana Ronaldo tidak betah bermain di Liga Europa.

 

Betul Ke `Abang Do’ Nak Pergi?

 

Pada 3 Jun lalu, Ronaldo pernah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau gembira dengan perlantikan Erik Ten Hag selaku pengendali United, individu yang sebelumnya sukses mengangkat prestasi Ajax Amsterdam di peringkat domestik mahupun Eropah. Bagaimanapun nada Ronaldo berubah hanya sepuluh hari selepas itu, sebaik sahaja Liverpool secara rasmi mengumumkan kejayaan mereka mengikat Darwin Nunez. Bukan hanya Ronaldo, tetapi kebanyakkan penyokong United juga kecewa kerana kelab ketika itu masih gagal merekrut seorang pun pemain baharu.

 

Kejayaan kelab merekrut Tyrell Malacia meredakan sedikit kegelisahan kita, tetapi tidak pada Ronaldo. Perlahannya `maneuver’ United dalam bursa perpindahan musim panas kali ini membuatkan beliau gelisah. Mungkin pada pandangan beliau kelab tidak serius dan memiliki cita-cita besar untuk mengharungi cabaran musim baharu, situasi sama yang sudah Ronaldo lihat berlaku pada musim lalu. Bagi pemain bercita-cita besar seperti beliau, nafsunya juga cukup besar kerana bagi Ronaldo, memenangi Ballon d’Or buat kali keenam bukanlah hal yang mustahil. 

 

Tatkala ramai rakan seangkatannya sudah lama berada di alam persaraan, Ronaldo pula masih bernafsu memburu gol, masih mendambakan untuk menjulang kejuaraan dan masih berambisi mengukir pelbagai rekod peribadi. Untuk melakukannya, beliau perlu bermain untuk kelab yang laparkan kejuaraan, kelab yang serius membangunkan pasukan dan kelab yang bercita-cita besar. Untuk itu, beliau melihat United sudah tidak lagi memiliki ciri-ciri tersebut, jadi apa yang boleh Ronaldo lakukan ialah menawarkan dirinya kepada mana-mana kelab yang mahukan khidmatnya.

 

Tak Laku?

 

Mana-mana kelab pun pasti ingin meletakkan pemain seperti Ronaldo dalam kesebelasan utama mereka. Tetapi itu dulu, ketika beliau berada di kemuncak takhtanya selaku pemain terbaik di planet Bumi. Ronaldo bukan lagi pemain muda, usianya kini sudah pun mencecah angka 37 tahun. Atau ringkasnya, beliau cumalah solusi jangka pendek kepada mana-mana kelab jika mereka mahu mendapatkan khidmatnya. Jika Ronaldo memilih meninggalkan United buat kali kedua, ke manakah haluan yang bakal beliau tuju?

 

Setakat ini tiada mana-mana kelab yang mahukan khidmat beliau. Paris St Germain, Chelsea dan Bayern Munich sudah lama berundur, Liverpool dan Manchester City pula menganggap kedatangan Ronaldo bakal merosakkan struktur gaji kelab, manakala Carlo Ancelotti sudah menegaskan bahawa berita kepulangan pemain itu ke Santiago Bernabeu adalah cerita karut. Misi Jorge Mendes bagaimanapun masih belum berakhir, kerana penting bagi beliau untuk meletakkan Ronaldo dalam sebuah kelab yang mampu menawarkan kepada kliennya itu beraksi di pentas Liga Juara-Juara.

 

Jadi tidak hairanlah mengapa radar Mendes terarah kepada sebuah lagi kelab yang berpangkalan di kota Madrid. Atletico Madrid secara tiba-tiba menjadi destinasi paling berkemungkinan untuk Ronaldo meneruskan misinya beraksi di Liga Juara-Juara. Bagaimanapun `rumour’ tersebut segera ditepis Enrique Cerezo, yang juga merupakan presiden kelab. “Saya tidak tahu siapa yang mengarang cerita tentang Cristiano. Tiada sebarang kemungkinan untuk dia datang ke sini”, kata Cerezo dalam wawancaranya bersama Marca.

 

Benarkah Ronaldo ingin meninggalkan United buat kali kedua? Sukar sebenarnya untuk mengesahkan soalan ini kerana apa-apa sahaja berita tentang beliau pastinya menjadi sensasi di media selain meningkatkan rating mereka. Selepas dihidangkan dengan cerita demi cerita sensasi tentang beliau, Ronaldo akhirnya muncul di Carrington. Kelibat Ronaldo di Carrington satu petanda baik meskipun masa depan beliau bersama kelab masih belum jelas. Adakah beliau masih komited kekal bersama kelab, atau akhirnya akan pergi jua sepertimana yang digembar-gemburkan.

 

Penutup

 

Ronaldo mengumumkan bahawa beliau akan bermain dalam aksi pra musim United ketika mereka berdepan Rayo Vallecano di Old Traffiord. Dalam masa yang sama Ronaldo juga sempat menyelar media yang menyiarkan berita tidak benar tentang beliau. “Mustahil untuk mereka tidak bercakap tentang saya setiap hari. Jika tidak, mereka tidak akan menghasilkan wang. Kamu (media) tahu, jika kamu tidak berbohong maka kamu tidak akan mendapat perhatian. Teruskanlah kerana suatu hari anda akan tahu berita sebenar”, kata Ronaldo.

 

Bagaimanapun berita tentang kembalinya Ronaldo ke Carrington dan komitmennya untuk bermain menentang Rayo Vallecano tetap tidak akan memadam keraguan ramai pihak tentang masa depan beliau bersama kelab. Bagi pemain yang meletakkan sasaran peribadi lebih tinggi seperti Ronaldo, beraksi di pentas Liga Europa merupakan satu mimpi ngeri buat beliau. Hanya dengan beraksi di Liga Juara-Juara, Ronaldo mampu memastikan status beliau selaku penjaring terbanyak sepanjang masa kejohanan tersebut tidak tercabar, hatta oleh Lionel Messi sekalipun.

 

Pada usia beliau yang sudahpun mencecah angka 37 tahun, akan sentiasa timbul perdebatan tentang kesesuaian Ronaldo bermain dalam skema `high pressing’ bolasepak moden. Adakah tubuhnya dan tenaganya masih mampu memenuhi tuntutan Erik Ten Hag yang sangat sinonim dengan kehendak agar setiap pemainnya terlibat dalam melakukan `pressing’ ketika mereka hilang penguasaan bola? Atau adakah Ten Hag sudah memiliki solusi lain untuk beliau sesuaikan dalam strategi permainan United supaya Ronaldo terus kekal relevan di Old Trafford?

 

Bagi penyokong United yang menyanjungi Ronaldo, melihat beliau pergi buat kali kedua tentunya satu momen yang sangat menyakitkan. Kerana nama Cristiano Ronaldo akan sentiasa hidup dalam memori masa lampau yang tidak usang ditelan masa. Ronaldo sudah kembali ke Carrington, tetapi teka-teki tentang masa depan beliau sebenarnya masih belum terjawab. Selagi jendela perpindahan belum ditutup, kemungkinan untuk Ronaldo pergi tetap ada. Sekiranya itu berlaku, pasrahlah dan relakan sahaja `Abang Do’ pergi. Glory Glory Manchester United!!!  



22 Julai 2022

LISANDRO MARTINEZ: BEK TENGAH YANG CUMA 5cm LEBIH TINGGI DARI MESSI

 


Seorang lagi rekrut baru sah dibawa masuk, dan selepas Tyrell Malacia serta Christian Eriksen, kini tiba pula giliran Lisandro Martinez menjadi anggota terbaharu `The Red Devils’. Misi United mendapatkan Martinez bukan mudah, kerana selain tawaran awal mereka ditolak Ajax Amsterdam, Arsenal turut meletakkan pertahanan tengah antarabangsa Argentina itu dalam radar buruan mereka.

 

Ajax pada mulanya melabelkan tiga pemain mereka (Jurrien Tiimber, Anthony, dan Martinez) sebagai `bukan untuk dijual’, tetapi akhirnya terpaksa akur dengan kuasa wang yang dimiliki kelab-kelab pesaing mereka di sekitar Eropah. Lebih dua minggu lalu Ajax melepaskan Sebastien Haller kepada Borussia Dortmund, dan kini giliran Martinez pula menyertai United menerusi nilai perpindahan sebanyak €67 juta.

 

Siapa Lisandro Martinez?

 

Sebelum muncul antara pertahanan yang diburu kelab-kelab besar Eropah, Martinez juga pernah melalui tempoh sukar pada awal kariernya sebagai pemain. Di Newell Old Boys, Martinez cuma tampil sekali dalam kesebelasan `La Lepra’, sebelum menyertai Defensa y Justica sebagai pemain pinjaman pada 2017. Alasannya ketika itu kerana Juan Manuel Llop merasakan bahawa Martinez tidak memiliki postur tubuh yang sesuai untuk diberikan peranan di posisi benteng pertahanan.

 

Ketinggian Martinez cuma 1.75m, jadi kualiti permainan bukanlah sebab utama mengapa beliau disisihkan dari kesebelasan utama Old Boys ketika itu. Llop mendambakan seorang pertahanan tengah yang memiliki postur tubuh tinggi dan tegap. Jadi Martinez bukanlah pilihan yang ideal meskipun suatu ketika dahulu Fabio Cannavaro (1.76m) pernah memukau dunia menerusi kebolehan beliau mengemudi benteng pertahanan Itali di pentas `final’ Piala Dunia 2006.

 

Menyertai Defensa merupakan satu keputusan yang tepat diambil Martinez, kerana di sana beliau mula berkembang sebagai pemain pertahanan tengah yang lebih bagus. Akhirnya pada musim 2018/19, beliau menyertai kelab berpangkalan di Buenos Aires itu secara tetap. Secara keseluruhannya, Martinez tampil sebanyak 58 kali untuk kesebelasan bergelar `Halcon’ itu dalam semua peringkat kejohanan, sebelum minat yang ditunjukkan Ajax akhirnya membawa beliau beraksi di Eropah.

 

Statistik

 

Di Newell Old Boys, Martinez merupakan pemain terbuang, tetapi di Johan Cryuff Arena, beliau muncul pemain penting Ajax di barisan belakang mereka. Sepanjang tiga musim bersama Ajax, Martinez melakukan 120 penampilan dalam semua peringkat kejohanan, dan untuk itu biarkan sahaja statistik berbicara. Sepanjang musim lalu, Martinez muncul pemain paling banyak melakukan hantaran di Eredivisie, tidak cukup dengan itu, beliau juga muncul pemain paling sukses melakukan hantaran jauh.

 

Peratus ketepatan hantaran jauh yang dilakukan beliau mencapai angka 93%, catatan yang semestinya sangat mengagumkan buat seorang pemain pertahanan seperti beliau. Di Newell Old Boys, Martinez `dibuang’ Manuel Llop kerana postur tubuhnya yang dianggap tidak sesuai untuk seorang bek tengah. Bagaimanapun Llop sebenarnya melakukan kesilapan besar kerana faktor tersebut sebenarnya tidak langsung menjejaskan kemampuan Martinez dalam melakukan duel bola tinggi.

 

Sepanjang musim lalu, Martinez muncul pemain paling banyak melakukan `clearance’ menggunakan kepala di Eredivisie dan memenangi 79 dari 112 duel bola tinggi. Atas sebab inilah mengapa beliau digelar sebagai `New Roberto Ayala’, legenda Argentina yang cuma memiliki ketinggian 1.77m tetapi cukup dikenali sebagai pakar dalam perebutan bola tinggi. Selain daripada itu, Martinez juga secara purata melakukan 3.13 `tackle’ bersih, 1.88 `intercept’ dan 3.13 `clearance’ dalam setiap perlawanan.

 

Penyelesaian Masalah United?

 

Sektor pertahanan terutamanya di posisi bek tengah antara masalah besar yang perlu diselesaikan Erik Ten Hag sebelum musim baharu bermula. Pada 2019, kelab menobatkan Harry Maguire selaku pemain pertahanan termahal dunia. Kemudian musim lalu mereka menandatangani Raphael Varane dari Real Madrid. Bagaimanapun penampilan benteng pertahanan United musim lalu dikritik hebat meskipun mereka memiliki dua bek tengah kelas dunia dalam diri Maguire dan Varane.

 

Musim lalu Maguire, Varane, Victor Lindelof dan Eric Bailly silih berganti dipasangkan di posisi bek tengah, tetapi konsistensi dan kecergasan empat pemain ini menjadi masalah terbesar yang gagal diselesaikan Ralf Rangnick. Jadi tidak hairanlah mengapa Ten Hag menjadikan Martinez sebagai solusi bagi meningkatkan kualiti pertahanan United yang menyebabkan gawang mereka bolos 57 kali dalam saingan liga. Jumlah bolos terbanyak dalam tempoh 43 tahun sejak musim 1978/79.

 

Kerana ketinggian yang dimilikinya, Martinez bukanlah tipikal bek tengah yang biasanya anda lihat di Liga Perdana. Tetapi Ten Hag percaya dengan gaya permainan beliau yang agresif serta sikap tanpa kompromi ketika berdepan mana-mana pemain hadapan lawan, Martinez mampu beradaptasi dengan baik dalam saingan bolasepak Inggeris. Selain daripada itu, kualiti julat hantarannya dan betapa progresifnya beliau dengan bola bakal memberikan nilai tambah kepada benteng pertahanan United musim depan.

 

Penutup

 

Ten Hag antara faktor utama mengapa Martinez memilih menyertai United berbanding Arsenal. Bagaimanapun tetap timbul pertanyaan, adakah Martinez satu `good deal’ untuk United? Ten Hag merekrut Martinez kerana beliau percaya pemain ini boleh beradaptasi dengan baik dalam sistem permainan United yang diterapkan beliau. Dalam aspek ini, Martinez sudah teruji kerana beliau pernah bermain selama tiga musim di bawah kendalian Ten Hag semasa bersama Ajax.

 

Jangan lupakan juga fakta versatiliti beliau di atas padang. Selain kemampuan bermain sebagai bek tengah, Martinez juga boleh berperanan sebagai bek sayap atau sebagai pemain tengah bertahan. Menerusi kualiti hantaran yang dimilikinya serta kemampuan beliau menangani `pressing’ dari pemain lawan, kehadiran Martinez juga boleh dimanfaatkan Ten Hag untuk mengisi posisi sebagai pemain tengah bertahan.

 

Apa yang mahu kita lihat selepas ini ialah, adakah `The Argentine Butcher’ ini mampu beradaptasi dengan baik dalam budaya bolasepak Inggeris. Liga Perdana bukan seperti Eredivisie, kerana di sini tempo dan intensiti permainannya jauh lebih tinggi dan hal tersebut diakui Daley Blind dalam wawancara beliau dengan Inside United. “Perbezaan besarnya ialah tempo dan intensiti Liga Perdana jauh lebih cepat dan tinggi berbanding Eredivisie”, kata Blind.

 

€67 juta yang dibayar United demi mendapatkan khidmat Martinez tidak meletakkan beliau sebagai pemain pertahanan termahal dunia, tetapi sudah cukup untuk memecah rekod Cristian Romero sebagai pertahan termahal Argentina. United gagal menandatangani Erling Haaland atau Darwin Nunez, tetapi setidak-tidaknya mereka kini berjaya mendapatkan pemain yang mampu mengawal dua penyerang berbisa tersebut. Bersedialah untuk anda menyaksikan penampilan bek tengah paling rendah di Liga Perdana. Glory Glory Manchester United!!! 


17 Julai 2022

DARI AMBANG KEMATIAN KE THEATRE OF DREAMS



Setahun yang lalu, dunia bolasepak cemas seketika melihat Christian Eriksen tiba-tiba rebah ketika beraksi di atas padang. Selama 43 minit, pertembungan antara Denmark dan Finland di kejohanan Euro 2020 itu berlangsung seperti biasa, hinggalah tiba detiknya bila Eriksen secara tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri. Seluruh khalayak di Stadium Parken, Copenhagen terpaku seketika, manakala Simon Kjaer pula cuba semampu mungkin memberikan bantuan kecemasan awal kepada Eriksen.

 

Situasinya ketika itu sangat kritikal kerana menurut Morten Boesen yang juga merupakan doktor skuad kebangsaan Denmark, Eriksen sebenarnya sudah `hilang’ selama lima minit. “Dia telah `pergi’, tetapi mujurlah bantuan pernafasan menerusi kaedah `cardiopulmonary resuscitation’ (CPR) berhasil menyelamatkan nyawanya”, kata Boesen. Eriksen bukanlah mangsa pertama yang mengalami serangan jatung ketika sedang beraksi, kerana Marc Vivien-Foe, Miklos Feher dan Antonio Puerta turut senasib.

 

Kembali Ke Liga Perdana

 

Berbanding dengan Vivien-Foe, Feher dan Puerta yang tewas dalam perjuangan mereka untuk hidup, Eriksen pula lebih bernasib baik. Masalah jantung turut menyebabkan Fabrice Muamba dan Abdelhaq Nouri terpaksa bersara awal, tetapi Eriksen tanpa diduga kembali beraksi di atas padang. Meskipun kontraknya bersama Inter Milan ditamatkan kerana peraturan Serie A yang melarang pemain yang diimplan dengan alat `cardioverter-defibrillator’ dari beraksi, Eriksen memilih kembali semula ke England.

 

Tujuh bulan selepas insiden di Stadium Parken, Brentford menawarkan tempat untuk beliau beraksi dalam skuad mereka menerusi ikatan kontrak selama enam bulan. Dan ini juga bermakna, Eriksen kembali semula mewarnai kancah saingan Liga Perdana dalam tempoh dua tahun selepas beliau meninggalkan Tottenham Hotspurs pada Januari 2020. Kembalinya Eriksen beraksi di atas padang boleh dianggap antara kisah `comeback’ terbesar dalam sejarah bolasepak.

 

Debut beliau untuk Brentford berlaku pada 26 Januari 2020 dalam aksi Liga Perdana menentang Newcastle United. Malangnya penampilan pertama Eriksen di Liga Perdana selepas dua tahun diwarnai dengan kekalahan Brentford dalam perlawanan itu. Impak kehadiran Eriksen dalam kesebelasan `The Bees’ akhirnya terlihat pada aksi menentang Norwich City di gelanggang lawan pada 5 Mac 2022. Apa yang dilakukan Eriksen sepanjang 90 minit aksinya di Carrow Road benar-benar mengagumkan.

 

Dalam perlawanan tersebut, Eriksen muncul pemain paling banyak melakukan hantaran, melakukan sentuhan dan juga hantaran ke zon `final third’ lawan. Peratus ketepatan hantaran yang dilakukannya pula mencapai angka 83%, jumlah tertinggi berbanding mana-mana pemain Brentford yang beraksi dalam perlawanan itu. Setengah musim bersama Brentford, Eriksen melakukan penampilan sebanyak 11 kali di Liga Perdana, menjaringkan satu gol dan mencipta empat bantuan gol.

 

Rekrut Kedua

 

Selepas berjaya mendapatkan khidmat Tyrell Malacia, United mengorak langkah lagi apabila kelab mengumumkan secara rasmi kejayaan mereka menandatangani Eriksen. Proses mendapatkan tandatangan Eriksen di dokumen kontrak juga tidaklah terlalu rumit memandangkan beliau merupakan agen bebas. Jadi Fabrizio Romano juga tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mengucapkan “Here we go” kepada perpindahan Eriksen ke Old Trafford.

 

Keyakinan Erik Ten Hag terhadap kemampuan serta kualiti Eriksen diterjemahkan kelab menerusi tawaran kontrak selama tiga tahun. Penampilan beliau bersama Brentford antara indikasi mengapa Ten Hag mahukan Eriksen berada dalam skuad United musim depan. Jika diambilkira penampilan setengah musimnya bersama Brentford, Eriksen berada di kedudukan ketiga selaku pemain paling banyak mencipta peluang jaringan gol di belakang Kevin De Bruyne dan Martin Odegaard.

 

Posisi pemain tengah menyerang bukanlah terlalu kritikal untuk diisi oleh United kerana kelab sudahpun memiliki pemain sekaliber Bruno Fernandes. Bagaimanapun peluang mendapatkan seorang pemain tengah berkualiti seperti Eriksen secara percuma tidak mampu dilepaskan begitu sahaja. Fleksibiliti yang ada dalam diri Eriksen menerusi kebolehannya untuk bergerak di sisi sayap juga memungkinkan Ten Hag menggunakan formasi 4-2-3-1, atau sebagai pemain tengah dalam formasi 4-3-3.

 

`Danish Dynamite’

 

United dan para pemain yang berasal dari Denmark bukanlah asing. Jesper Olsen muncul pemain pertama dari negara selatan Scandinavia itu yang ditandatangani United dalam sejarah kelab. Kemudian muncul Johnny Sivebaek, Peter Schmeichel, Mads Timm, Anders Lindegaard dan kini Eriksen. Schmeichel merupakan legenda kelab tetapi Eriksen adalah nama yang tidak dapat dipisahkan dari skuad kebangsaan Denmark sejak usia remaja lagi.

 

Di peringkat remaja, Eriksen sudah bermain untuk semua peringkat umur, manakala bersama skuad senior pula beliau sudah merakamkan 115 penampilan setakat ini. Tidak mustahil, pada usia beliau sekarang, Eriksen berpeluang meleburkan rekod Schmeichel selaku pemain paling banyak melakukan penampilan untuk skuad kebangsaan (129 caps). Sebagaimana peranannya yang anda lihat di peringkat kelab, begitu jugalah pentingnya Eriksen dalam menggerakkan jentera tengah skuad `Danish Dynamite’.

 

Beliau adalah figura atau pemain penting di bahagian tengah yang menghidupkan corak permainan Denmark. Ketika bola berada di kakinya, Eriksen adalah sosok yang akan mengatur bila waktu paling sesuai untuk melakukan serangan atau melakukan `delay’ dalam permainan. Jangan lupakan juga fakta bahawa Eriksen merupakan `specialist’ dalam situasi bola mati.  Lima kali dinobatkan selaku pemain terbaik negaranya bukti betapa besarnya pengaruh Eriksen untuk bolasepak Denmark.

 

Penutup

 

United sudah melepaskan empat pemain tengah mereka (Jesse Lingard, Juan Mata, Nemanja Matic dan Paul Pogba), jadi kedatangan pemain tengah berpengalaman seperti Eriksen ke Old Trafford memang sangat-sangat dialukan. Sepanjang kariernya di Liga Perdana, Eriksen sudah berkali-kali melakukan penampilan di Old Trafford, tetapi dengan seragam merah musim depan tentulah momen yang sangat luar biasa, bukan sahaja untuk beliau tetapi juga penyokong-penyokong United.

 

Eriksen bukanlah seperti Pogba, juga sangat kontras jika mahu dibandingkan dengan penampilan Lingard. Anda tidak akan pernah melihat perubahan fesyen rambutnya setiap minggu, juga beliau tidak pernah peduli dengan jumlah pengikutnya di media sosial. Bagi Eriksen, beliau cuma mahu bermain dan menikmati keindahan bolasepak. Dan kerana bolasepaklah beliau bangkit, meskipun setahun yang lalu tidak ramai pihak percaya bahawa Eriksen mampu kembali beraksi di atas padang.

 

Sangat menakjubkan bagi seorang pemain yang sudah berada di ambang kematian tetapi kemudiannya bangkit kembali untuk beraksi di pentas kompetitif. Meskipun bolasepak hampir sahaja meragut nyawanya, tetapi Eriksen juga tahu bahawa bolasepak adalah `nyawanya’. Eriksen tidak peduli dengan kondisi jantungnya, kerana yang beliau pedulikan cumalah bermain bolasepak dan menjadikannya permainan indah untuk ditonton. “Selamat Datang Christian Eriksen”…Glory Glory Manchester United!!!


 

07 Julai 2022

ADA APA DENGAN TYRELL MALACIA

 


Bukan musim ini, tetapi minat Erik Ten Hag terhadap bakat dan potensi yang dimiliki Tyrell Malacia sudah berputik sejak beberapa tahun lalu. Dalam satu video yang dimuatnaik di Twitter, kedengaran Ten Hag berkata kepada Michael Reiziger, “Berikan perhatian kepada budak yang bermain di posisi bek kiri itu. Catatkan namanya”. Dalam aksi antara Ajax Amsterdam dan Feyenoord itu, penampilan Malacia jelas menarik perhatian Ten Hag.

 

Persaingan membabitkan Ajax dan Feyenoord di Eredivisie menyebabkan usaha Ten Hag mendapatkan Malacia tergendala. Tambahan pula Nicolas Tagliafico yang pada awalnya diberitakan mahu berhijrah sebaliknya memilih untuk terus kekal menyarung jersi Ajax. Bagaimanapun impian Ten Hag akhirnya berjaya direalisasikan selepas United mengumumkan secara rasmi kejayaan mereka menandatangani Malacia menerusi nilai perpindahan sebanyak €15 juta.

 

Siapa Tyrell Malacia?

 

Sebagai anak kelahiran Rotterdam, sudah tentulah Feyenoord menjadi kelab yang beliau sokong sejak zaman kanak-kanaknya dan pada usia sembilan tahun, beliau terpilih menyertai akademi kelab yang pernah menjulang trofi Piala Eropah (sekarang Liga Juara-Juara) pada 1970. Malacia baru berusia 22 tahun, tetapi pada usia semuda itu beliau sudah diberikan kepercayaan untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Belanda selain 136 penampilan untuk Feyenoord dalam semua peringkat kejohanan.

 

Penampilan pertamanya untuk Feyenoord ialah pada aksi Liga Juara-Juara menentang Napoli pada 2017. Sejak itu, Malacia secara perlahan-lahan mula mendominasi posisi bek kiri Feyenoord, dan dalam tempoh dua musim terakhir beliau antara pemain yang wajib ada dalam senarai kesebelasan utama kelab yang memiliki koleksi 15 kali kejuaraan Eredivisie itu. Musim lalu merupakan musim terbaik beliau di De Kuip menerusi 50 penampilan, selain berjaya membantu kelab mara ke pentas final Conference League.

 

Walaupun terpaksa akur melihat AS Roma menjulang kejuaraan tersebut, penampilan cemerlang Malacia bersama Feyenoord meletakkan beliau dalam senarai `Team of The Season’ kejohanan tersebut bersama empat lagi rakan sepasukannya. Di peringkat antarabangsa pula, Malacia melakukan debut untuk skuad kebangsaan Belanda pada 4 September 2021 dalam aksi kelayakan Piala Dunia menentang Montenegro. Debut Malacia untuk skuad Oranje berlaku pada usia beliau 22 tahun dan 18 hari.

 

Statistik

 

Menurut Arne Slot yang juga merupakan pengendali Feyenoord, Malacia menjadikan David Alaba dan Marcelo sebagai idola beliau. “Tyrell merupakan peminat Alaba dan Marcelo, dua pemain yang bukan sahaja memiliki kualiti bertahan, tetapi juga menyerang yang baik. Sebagai bek, dia bukan sahaja pemain yang kuat, tetapi anda juga boleh melihat dia begitu progresif dengan bola”, kata Slot.

 

Untuk seorang pemain yang cuma memiliki ketinggian 1.69m, Malacia bukanlah tipikal bek yang biasanya anda lihat. Bandingkan pula dengan Alex Telles dan Luke Shaw, dua bek kiri United yang masing-masing memiliki ketinggian 1.81m dan 1.85m. Bagaimanapun statistik permainan bukan diukur dari fizikal seseorang pemain, tetapi sumbangan keseluruhan yang dilakukan mereka ketika beraksi di atas padang.

 

Menurut catatan Squawka, Malacia muncul pemain paling banyak melakukan percubaan, `through ball’ dan `dribble’ berbanding mana-mana bek yang beraksi di Eredivisie musim lalu. Secara purata, beliau melakukan 1.6 percubaan ke arah gawang lawan, 1.6 `dribble success’ dan 2.7 `tackle’ bersih dalam setiap perlawanan. Selain daripada itu, beliau juga berada di kedudukan ketiga sebagai bek yang paling banyak melakukan sentuhan di dalam petak penalti lawan.

 

Atau lebih tepatnya, dalam saingan Eredivisie musim lalu, tiada mana-mana pemain pertahanan yang lebih `explosive’ berbanding Malacia. Jika diambilkira pula statistik dari lima liga utama Eropah, Malacia berada di belakang Joao Cancelo selaku pemain pertahanan paling banyak melepaskan percubaan ke arah gawang lawan. Dengan semua ciri ofensif yang ada dalam permainannya, kehadiran Malacia bakal memberikan kualiti tambahan kepada posisi bek kiri United.

 

Sepanjang musim lalu, beliau melakukan 50 penampilan untuk Feyenoord dalam semua peringkat kejohanan, terlibat dengan lima gol yang dihasilkan dan berjaya membantu gawang pasukannya dari dibolosi sebanyak sebelas kali dalam saingan Eredivisie. Bagaimanapun Malacia masih perlu memperbaiki aspek kreativiti dalam permainannya, kerana sepanjang musim lalu, beliau cuma mampu merakamkan purata 1.1 `chances created’ per perlawanan.

 

Skema Ten Hag

 

Sepertimana yang anda tahu, fungsi seorang `full-back’ antara komponen penting dalam ciri permainan yang diterapkan Ten Hag. Pada kebiasaannya, beliau akan mengarahkan para pemainnya untuk membentuk formasi 2-3-5 atau 3-2-5 ketika mereka menguasai bola. Skema ini sebenarnya mirip dengan apa yang dilakukan Pep Guardiola untuk Manchester City. Untuk itu, peranan dua `full-back’ sangat penting dalam menjayakan proses ini.

 

Ketika di Ajax, Daley Blind (bek kiri) akan mara ke atas bagi membentuk `shape’ lima pemain di barisan hadapan, manakala Noussair Mazraoui (bek kanan) diarahkan untuk masuk ke bahagian tengah. Tujuannya mudah, kerana Ten Hag mahukan para pemainnya menguasai semua zon dalam situasi ofensif. Atas sebab itulah, kekuatan serta ciri permainan dimiliki Malacia cukup berpotensi bagi merealisasikan skema permainan yang bakal diterapkan Ten Hag untuk United.

 

Penutup

 

Sebelum ini nama Tyrell Malacia memang agak kurang `familiar’ di kalangan penyokong-penyokong United kecuali jika anda dari golongan `pentaksub’ skuad kebangsaan Belanda. Jadi tidak hairanlah jika timbul persoalan mengapa kelab menandatangani seorang pemain muda seperti beliau. Bagaimanapun menurut John Murtough, Malacia merupakan pemain muda `yang sangat menarik dan dinamis’. Paling utama, Malacia bukanlah pemain yang asing di mata Erik Ten Hag.

 

Malacia merupakan pemain pertama yang direkrut United di bawah regim Ten Hag, tetapi apa yang paling menariknya ialah kelab tidak lagi mengeluarkan belanja terlalu besar untuk seorang pemain sepertimana lazim yang dilakukan mereka pasca persaraan Fergie pada 2013. Agak janggal juga bila memikirkan kelab cuma mengeluarkan dana sebanyak €15 juta, berbanding ketika mereka membelanjakan wang sebanyak £36 juta kepada AS Monaco untuk Anthony Martial pada 2015.

 

Dari segi nilai wang yang dibelanjakan, United sudah melakukan keputusan yang tepat untuk seorang pemain muda penuh potensi seperti Malacia pada harga yang cukup ekonomi. Juga bukanlah satu keputusan yang terlalu sukar untuk Malacia memilih antara Lyon atau United. Hanya selepas beberapa hari berjaya `dirampas’ dari Lyon, kelab akhirnya mengumumkan secara rasmi rekrut pertama mereka musim ini…beliau ialah Tyrell Malacia!!! Glory Glory Manchester United!!!



05 Jun 2022

"GRACIAS MR CLEAN"

 


`Mr Clean’…itu frasa paling tepat bila anda bercakap tentang Juan Mata, citra yang sebenarnya sudah cukup kuat melekat dalam diri beliau selama ini. Mata sangat disayangi penyokong-penyokong United kerana keperibadian beliau serta kerendahan hatinya. Bagi Mata, beliau hanya mahu bermain bolasepak dan memberikan seluruh hatinya di atas padang. Sejak kehadiran beliau di Old Trafford pada 2014, Mata pemain yang `kalis kontroversi’, jadi anda tidak akan pernah menemui sebarang cerita tidak baik tentang beliau sama ada di dalam mahupun di luar padang.

 

Tiada riak kesombongan di wajahnya, tiada juga rasa meninggi diri dalam batang tubuhnya meskipun beliau pernah dilabel sebagai antara `playmaker’ terbaik dunia. Jadi tidak hairanlah mengapa berita pemergian Mata dari Old Trafford diratapi penyokong-penyokong United berbanding Paul Pogba atau Jesse Lingard. Untuk tipikal seorang pemain tengah seperti Mata, beliau adalah dambaan buat mana-mana pasukan. Penampilan beliau bersama Valencia menarik minat Chelsea, dan Mata akhirnya diterbangkan ke London pada Ogos 2011.

 

Cuba Nasib Di England

 

Bersama Chelsea, Mata diikat dengan kontrak selama lima tahun dan tugas hakikinya ialah membekalkan hantaran-hantaran berkualiti untuk disudahkan sama ada oleh Didier Drogba atau Fernando Torres. Kerana itulah juga tugas yang beliau laksanakan dengan baik untuk Roberto Soldado di Valencia. Musim pertama beliau di Stamford Bridge, Mata melakukan 54 penampilan dalam semua kejohanan. Dari jumlah tersebut, Mata berhasil menjaringkan 12 gol dan mencipta 20 bantuan gol. Satu catatan yang sangat impresif buat seorang `rookie’ di Liga Perdana.

 

Musim pertama adalah musim pengenalan, dan musim kedua Mata menunjukkan kualiti sebenarnya selaku penggerak jentera tengah Chelsea. Jumlah penampilan Mata untuk Chelsea meningkat pada musim keduanya di Stamford Bridge dan peningkatan itu turut diiringi dengan statistik beliau di atas padang. Dari 64 penampilan, Mata menjaringkan 19 gol dan mencipta 35 bantuan gol. Jumlah 35 bantuan gol ini meletakkan Mata selaku `raja assist’ Eropah bagi musim 2012/13, selain dinamakan pemain terbaik Chelsea musim tersebut.

 

Musim ketiga tidak seindah musim pertama dan kedua, lebih-lebih lagi dengan kedatangan Jose Mourinho buat kali kedua di Stamford Bridge. Mata mula tersisih kerana Mourinho lebih gemar menggunakan Oscar, pemain tengah yang dianggap Mourinho memiliki kualiti bertahan lebih baik berbanding Mata. Dari Ogos 2013 hingga Januari 2014, Mata hanya diturunkan sebanyak 13 kali dalam kesebelasan Chelsea di Liga Perdana. Pilihan yang ada di tangan beliau ketika itu ialah keluar dari Stamford Bridge seberapa segera demi menyelamatkan kariernya.

 

United Sebagai Pilihan

 

Mata tiba di Old Trafford pada Januari 2014 dengan status bukan pemain sebarangan. Bersama skuad kebangsaan, beliau merupakan salah seorang anggota La Furia Roja yang menjulang kejuaraan Piala Dunia 2010 serta Euro 2012. Bersama Chelsea, beliau memenangi medal kejuaraan Liga Juara-Juara, Liga Europa serta Piala FA. Tidak cukup dengan itu, beliau juga dinamakan pemain terbaik Chelsea selama dua musim berturut-turut (2011/12 dan 2012/13).

 

Mata menyertai United dengan nilai perpindahan sebanyak €44.7 juta, jumlah yang boleh dianggap sangat berbaloi untuk seorang pemain tengah kreatif seperti beliau. Musim 2014/15 merupakan musim penuh Mata di Old Trafford, juga musim di mana Louis Van Gaal mengambilalih teraju selaku pengendali selepas David Moyes dipecat. Sepanjang dua musim di bawah kendalian Van Gaal, Mata melakukan 71 penampilan liga, menjaringkan 15 gol dan mencipta 11 bantuan gol.

 

Ketidaktentuan kembali menyelubungi karier Mata. Ironinya kali ini beliau dipertemukan lagi dengan Mourinho, individu yang menyebabkan beliau terpaksa meninggalkan Chelsea pada 2014. Mata meninggalkan Chelsea kerana beliau ingin bermain bolasepak kompetitif setiap minggu, tetapi dengan kehadiran Mourinho di Old Trafford, ada kemungkinan Mata bakal tersisih sekali lagi. Spekulasi turut bertiup kencang ketika itu bahawa Mata antara pemain yang tiada dalam perancangan Mourinho.

 

“Beberapa hari selepas pemecatan Van Gaal, Mourinho kembali buat kali kedua sebagai pengurus saya. Ada kebimbangan di kalangan keluarga dan rakan tentang masa depan saya, tetapi saya masih kekal positif. Saya tidak menikmati minit permainan yang banyak di bawah Mourinho, tetapi secara peribadi saya tiada masalah dengan dia”, kata Mata. Mata membuktikan kata-katanya, kerana berbanding memilih pergi, beliau sebaliknya kekal di Old Trafford dan cuba merebut tempat dalam kesebelasan United.

 

Musim pertama United di bawah kendalian Mourinho, Mata melakukan 25 penampilan liga, menjaringkan enam gol dan mencipta tiga bantuan gol. Kebimbangan tentang nasib Mata akhirnya berkubur kerana sepanjang dua setengah musim kelab di bawah kendalian Mourinho, beliau antara pemain sandaran `The Special One’ di jentera tengah United. Dari pemain yang dipinggirkan di Stamford Bridge, Mata sebaliknya bertukar menjadi antara pemain harapan Mourinho di Old Trafford.

 

Kecederaan merupakan musuh utama mana-mana pemain dan kecederaan juga akhirnya menganggu perjalanan karier dan membataskan penampilan Mata. Meskipun begitu pada Julai tahun lalu, kelab melanjutkan kontrak Mata selama setahun, keputusan yang sebenarnya agak mengejutkan jika diambilkira `rumours’ sebelumnya bahawa beliau antara pemain yang dikatakan tiada dalam perancangan Ole Gunnar Solskjaer bagi menghadapi musim baharu.

 

Hanya ada dua sebab kenapa Mata bersetuju untuk kekal selama setahun lagi di Old Trafford…pertama kerana beliau cintakan United. Dan kedua kerana beliau mahu bermain perlawanan terakhirnya di Old Trafford, di hadapan ribuan penyokong-penyokong United. Tiga musim terakhir bersama kelab, Mata cuma tampil sebanyak 35 kali dalam saingan liga, menjaringkan hanya satu gol dan mencipta empat bantuan gol. Jadi pengakhiran nasib Mata memang mudah untuk kita jangka.

 

Penutup

 

Penyokong-penyokong United kegembiraan bila mereka mendengar berita pemergian Paul Pogba dan Jesse Lingard, tetapi tidak untuk Juan Mata. Semuanya kerana sikap dan keperibadian beliau penyebab mengapa Mata begitu dicintai oleh para `Stretford Enders’. Hinggakan ada sebahagian penyokong United yang masih berharap Mata kekal bersama kelab sekurang-kurangnya untuk tempoh semusim lagi.

 

Siapa boleh menafikan bahawa Mata antara `playmaker’ terbaik pernah anda saksikan aksinya di era bolasepak moden. Bukan cakap tanpa fakta kerana statistik serta medal kejuaraan yang dimenanginya tidak pernah menipu. Bagaimanapun bolasepak sudah berkembang dengan sangat pesat sejak kebelakangan ini, bukan hanya dari segi taktikal tetapi juga intensiti permainan bolasepak itu sendiri.

 

Seorang `playmaker’ moden bukan lagi tentang kualiti ofensif mereka semata-mata, tetapi juga menuntut kemampuan mereka untuk bertahan. Mata memang tipikal seorang `playmaker’ dengan kualiti ofensif yang bagus tetapi tidak dalam melakukan kerja-kerja bertahan. Mata dilahirkan bukan untuk melakukan kerja-kerja bertahan, tetapi mencipta bantuan dan peluang jaringan gol. 

 

Liga Perdana kini bukan lagi pentas untuk Mata, pentas di mana anda pernah menyaksikan salah seorang `playmaker’ terbaik dunia memperagakan aksinya di sini. Dan akhirnya selepas lebih lapan musim, Mata juga sudah menemui titik nokhtah kariernya di `Theatre of Dreams’. Untuk 285 penampilan, 51 gol yang dijaringkannya dan empat trofi yang berjaya dimenanginya…”Gracias Mr Clean”. Glory Glory Manchester United!!!



02 Jun 2022

LIMA

 


Ketika eranya sebagai pemain, tiada siapa yang mengenali Jose Mourinho…tetapi sebagai jurulatih, semua orang kenal siapa itu Mourinho. Memang wajar Mourinho kurang dikenali ketika era beliau sebagai pemain, kerana sepanjang tujuh tahun karier profesionalnya, Mourinho cuma beraksi di liga divisyen dua Portugal. Bermula di Rio Ave pada 1980 dan terakhir bersama Comercio e Industria pada 1987…begitulah singkatnya karier Mourinho.

 

Sepanjang tempoh tujuh tahun itu, Mourinho cuma melakukan 94 penampilan dan menjaringkan 13 gol sebelum beliau memilih untuk bersara dan beralih ke bidang kejurulatihan. Peluang akhirnya datang pada tahun 2000 apabila Mourinho dilantik sebagai ketua jurulatih Benfica menggantikan Jupp Heynckes. Benfica dan Uniao de Leiria cumalah permulaan tetapi impak sebenar kepada karier kejurulatihan Mourinho berlaku di Estadio do Dragao.

 

Dua musim berturut-turut Mourinho berjaya mengemudi Porto menjulang kejuaraan Primeira Liga (2002/03 dan 2003/04) selain trofi Taca de Portugal, manakala di pentas Eropah pula, mereka menewaskan Glasgow Celtic difinal Piala UEFA (sekarang Liga Europa) edisi 2003. Setahun selepas kejayaan menundukkan Glasgow Celtic di Sevilla, Mourinho akhirnya mencapai kemuncak karier beliau bersama Porto.

 

Ya…kejayaan beliau mengemudi gergasi Portugal itu mara ke Gelsenkirchen dan menjulang trofi Liga Juara-Juara di sana pada 2004 membuka dimensi baharu kepada karier kejurulatihan Mourinho. Mourinho secara tiba-tiba muncul lelaki paling dikehendaki dalam dunia bolasepak kerana selepas kejayaan di Gelsenkirchen itu, kelab-kelab besar Eropah mula mengintai khidmat beliau.

 

Dimensi Baharu

 

Pada Jun 2004, Mourinho menyertai revolusi Roman Abramovich di Stamford Bridge dan selepas itu apa yang dapat anda lihat ialah trofi demi trofi domestik berjaya dimenangi beliau bersama Chelsea. Perselisihan dengan Abramovich menyaksikan Mourinho memilih untuk meninggalkan Stamford Bridge pada 2007. Hanya satu kekesalan ketika beliau pergi…iaitu Mourinho gagal membantu Chelsea menjulang trofi Liga Juara-Juara meskipun `The Blues’ sudah berbelanja besar.

 

Satu pukulan buat Abramovich, kerana pada musim 2009/10, Mourinho berjaya membantu Inter Milan menjulang kejuaraan `treble’. Kejayaan ini menyaksikan Mourinho kembali semula ke podium kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali kedua dalam tempoh enam tahun, dan juga kejuaraan pertama Inter di pentas tertinggi Eropah dalam tempoh 45 tahun. Kota Madrid adalah destinasi seterusnya kerana tarikan untuk mengendalikan kelab paling berjaya di planet bumi tidak mampu ditolak Mourinho.

 

Kemana pun Mourinho pergi, trofi sentiasa mengekorinya. Bersama Real Madrid, beliau menang kesemua kejuaraan domestik di Sepanyol. Pada fasa kedua beliau di Stamford Bridge, Mourinho menang medal kejuaraan Liga Perdana ketiganya serta Piala Liga. Manakala di Old Trafford pula, beliau berjaya mengemudi United menang tiga trofi (Perisai Komuniti, Piala Liga dan Liga Europa) pada musim 2016/17.

 

Seiring dengan berjalannya waktu, magis Mourinho juga dikatakan mula pudar. Prestasi buruk dipamerkan Tottenham Hotspurs pada musim 2020/21 menyaksikan Mourinho cuma mampu bertahan selama 17 bulan di utara London. `Pemberontakan’ beberapa pemain utama antara penyebab utama merudumnya prestasi Spurs dan akhirnya pada April 2021, Mourinho dipecat. Ini juga bermakna buat pertama kali sejak 2004, Mourinho gagal menang sebarang trofi bersama kelab di bawah kendaliannya.

 

Kembali Ke Itali

 

Ramai pihak agak terkejut dengan keputusan AS Roma melantik Mourinho sebagai pengendali mereka pada musim panas 2021. Melihat apa yang berlaku sepanjang tempoh beliau bersama Spurs, jangan salahkan mereka-mereka yang bersikap skeptikal dengan kemampuan beliau. Bagi para pengkritik beliau, zaman Mourinho sudah berlalu dan semua pencapaian gemilang yang pernah dikecapinya adalah cerita lama.

 

Kemana perginya cakap-cakap sebelum ini bahawa beliau seorang pengendali yang genius? Adakah `The Special One’ masih lagi seorang yang istimewa? Mourinho kembali semula ke kancah bolasepak Itali buat kali kedua dalam tempoh sebelas tahun, tetapi kali ini tugasnya lebih berat dan sukar. Roma bukanlah seperti Inter yang pernah beliau kendalikan dulu, kerana Roma yang beliau akan kendalikan sudah 13 tahun tidak menang sebarang trofi.

 

Sudah lama `The Giallorossi’ sekadar menjadi pemerhati kepada penguasaan Juventus, Milan dan Inter di Serie A. Pencapaian Roma di liga domestik sangat-sangat menyedihkan, kerana berbanding Juventus dan dua kelab berpangkalan di Milan, mereka cuma mampu mengumpul tiga trofi liga dalam kabinet kejuaraan di Stadio Olimpico. Yang pertama pada 1942, yang kedua hadir 41 tahun selepas itu dan terakhir pada 2001. Jika bukan kerana nama Francesco Totti, Roma sebenarnya hampir dilupakan.

 

Stadio Olimpico sudah lama sepi dengan kejuaraan, tetapi di sanalah Mourinho datang dengan misi untuk membuatkan para `gladiatori’ kembali bermegah. Mourinho umpama seorang jeneral yang sentiasa mahukan para prajuritnya dalam kondisi sedia untuk bertempur. Perubahan yang beliau lakukan bukan sekadar dari segi teknikal tetapi beliau juga menanamkan mentaliti pemenang kepada skuad `Giallorossi”.

 

“Kami sekarang bukan sekadar satu unit, tetapi kami lebih bertekad untuk menang. Malah pada sesi pra musim pun mentaliti kami sudah ditanam untuk menang setiap perlawanan. Mentaliti inilah yang membuatkan kami sentiasa mahukan kemenangan. Mourinho datang dengan standard yang beliau tetapkan, jadi kami harus memenuhinya”, kata Lorenzo Pellegrini yang juga merupakan kapten pasukan.

 

Kemarau Berakhir

 

Jika mahu membandingkan pencapaian Roma musim ini dengan musim lalu di Serie A, tiada perubahan yang terlalu signifikan. Musim lalu mereka menamatkan saingan liga di tangga ketujuh, manakala musim ini pula mereka berada di tangga keenam. TETAPI!!...pada penghujung musim ini mereka akhirnya menamatkan kemarau 61 tahun tanpa kejuaraan di peringkat Eropah menerusi kejayaan menjulang trofi UEFA Conference League (UECL) di Tirana.

 

Di Arena Kombëtare, Feyenoord yang menjadi lawan Roma sebenarnya kesebelasan lebih baik dan menarik dari segi permainan. Gerakan-gerakan mereka sangat `fluid’, unggul dari segi penguasaan bola dan berjaya mencipta beberapa peluang jaringan gol. Tetapi Mourinho tetaplah Mourinho yang anda kenali…seorang individu yang seolah-olah tidak boleh dipisahkan dari label `pragmatik’ dalam dunia bolasepak.

 

Roma sangat bergantung kepada kekuatan barisan belakang mereka dalam perlawanan ini…ciri yang sudah sinonim dengan strategi dan taktikal Mourinho. Arne Slot tiada jawapan bagaimana mahu memecah benteng pertahanan Roma, dan gol tunggal perlawanan yang dihasilkan Nicolo Zaniolo (minit ke-32) akhirnya membawa Giallorossi kembali ke podium kejuaraan Eropah buat pertama kali dalam tempoh 61 tahun.

 

Sejarah baharu tercipta…bukan sahaja kerana Roma muncul kelab pertama menjuara trofi ini, tetapi kejayaan ini juga menyaksikan Mourinho tidak pernah tewas dalam lima penampilan di final saingan peringkat Eropah. Selain daripada itu, beliau juga muncul pengendali pertama yang berjaya menjulang trofi di peringkat Eropah untuk tiga kejohanan berbeza (Liga Juara-Juara, Liga Europa dan UECL).

 

Penutup

 

Mungkin ada pihak yang secara sinis mengatakan “Alah…piala Liga Persidangan je pun”. Tetapi trofi tetaplah sebuah trofi dan memenanginya tetap satu kebanggaan bagi sesebuah pasukan dan penyokong mereka. Apatah lagi untuk sebuah pasukan yang sudah begitu lama tidak memenangi sebarang kejuaraan di pentas Eropah seperti Roma. Di tangan Mourinho, kita juga pernah merasai perasaan yang sama lima tahun lalu, ketika United menjulang trofi Liga Europa buat pertama kali.

 

Mungkin perasaannya tidak seindah ketika Fergie dan `Red Devils’nya menjulang trofi Liga Juara-Juara, tetapi harus diingat bahawa memenangi mana-mana kejuaraan bererti kelab juga berjaya melakar sejarah baharu. Satu fakta perlu diakui ialah, tiga trofi yang dibawa Mourinho pada musim 2016/17 ke kabinet kejuaraan di Old Trafford masih lagi kekal sebagai pencapaian terbaik berbanding mana-mana pengurus United pasca persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013.

 

Usai kemenangan di Tirana, Mourinho mengalirkan air mata. Tangisan dari seorang pemenang…tangisan dari seorang juara. Hilang sekejap watak `antagonis’nya yang suka bermegah, tingkah lakunya yang sentiasa mencetuskan kontroversi, manakala kata-kata sinisnya sering saja memicu amarah lawan. Tangisan Mourinho bukan tangisan sebarangan, kerana beliau tahu ditangannya, Roma akhirnya kembali ke podium kejuaraan Eropah.

 

Sebagai penyokong United, saya turut gembira melihat kejayaan dilakar Mourinho, dan sebagai penyokong United, saya sangat merindui watak `antagonis’ seorang individu yang memiliki nama penuh José Mário dos Santos Mourinho Félix ini. Dari Porto hinggalah ke Roma, kesuksesan sentiasa mewarnai perjalanan karier Mourinho. Dan untuk mengenggam tiga trofi utama Eropah, perlukan seorang yang memiliki kebolehan istimewa untuk melakukannya. Ketahuilah, hanya ada seorang `The Special One’ dalam dunia bolasepak…Glory Glory Manchester United!!!