01 November 2022

`SI PEMEGANG KUNCI’ PINTU GOL UNITED

 


Pada September 2009 ketika beliau melakukan penampilan pertamanya untuk Atletico Madrid, David De Gea ketika itu baru berusia 18 tahun. Melepaskan dua gol pada penampilan pertama merupakan igauan ngeri buat mana-mana penjaga gol, apatah lagi pemain semuda De Gea. Atletico tewas (0-2) kepada Porto dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, tetapi penampilan De Gea sebagai pemain gantian dalam perlawanan itu mula mencuri tumpuan.

 

Kecederaan yang dialami Roberto selaku penjaga gol utama, serta penampilan kurang konsisten Sergio Asenjo membuka ruang buat De Gea mengambilalih posisi nombor satu Atletico. Meskipun memiliki ketinggian 1.92m, De Gea memiliki tindakan refleks dan kepekaan yang bagus serta bijak membaca arah bola. 19 penampilan liga selain medal kejuaraan Liga Europa pada musim pertama beliau bersama Atletico adalah pencapaian yang menakjubkan buat penjaga gol muda seperti beliau.

 

Pada musim panas 2011, De Gea ditandatangani Sir Alex Ferguson dari Atletico bagi mengisi kekosongan posisi nombor satu yang ditinggalkan Edwin Van der Sar. Sekaligus menamatkan segala `rumour’ yang berlegar selama berbulan-bulan sebelum itu. Meskipun ketika itu kelab memiliki Anders Lindegaard dan Thomas Kuszczak sebagai pilihan, Fergie masih merasakan bahawa beliau perlukan sepasang tangan yang boleh diletakkan kepercayaan tinggi untuk mengawal gawang United.

 

Tugas Berat

 

Sukar sebenarnya menggantikan posisi Van der Sar yang selama enam musim sudah melakukan 266 penampilan untuk United, dan lebih membebankan, De Gea juga perlu beradaptasi dengan gaya bolasepak Inggeris yang serba keras dan mencabar. Bukan mudah untuk seorang penjaga gol muda kurus kering seperti beliau menangani pemain-pemain lawan yang memiliki kekuatan fizikal dan berpostur tinggi seperti Marouane Fellaini, Andy Carroll, Peter Crouch, Bobby Zamora, Didier Drogba, Johan Carew atau Carlton Cole terutamanya dalam perebutan bola tinggi.

 

Jadi tidak hairanlah mengapa beliau agak bergelut pada fasa awal kariernya di Old Trafford. Beberapa kesilapan mudah yang dilakukannya mengundang kritikan dan pertanyaan, adakah pembelian De Gea satu lagi kesilapan yang di lakukan Fergie, sama sepertimana ketika beliau menandatangani Massimo Taibi dari Venezia pada 1999? Proses pembelajaran perlukan masa, begitu juga dengan De Gea. Selepas itu beliau secara perlahan-lahan mula beradaptasi dengan tempo bolasepak Inggeris, lantas memadam segala kritikan yang dilemparkan kepadanya.

 

Selain kejayaan menjulang trofi Liga Perdana pada musim 2012/13, musim 2017/18 juga boleh dianggap antara musim terbaik De Gea sepanjang kariernya di Old Trafford. Sepanjang musim tersebut, De Gea berjaya memastikan gawang United tidak dibolosi sebanyak 18 kali dan melakukan 115 aksi penyelamatan yang akhirnya menobatkan beliau selaku pemenang anugerah `Golden Glove’. Sepanjang karier beliau di England, De Gea tersenarai sebanyak lima kali dalam `PFA Team of the Year’, dan empat kali beliau dinobatkan sebagai pemain terbaik kelab.

 

Penurunan Prestasi

 

Selepas tamatnya kejohanan Piala Dunia 2018, prestasi De Gea agak menurun, setidak-tidaknya jika anda mengambilkira catatan `clean sheet’ beliau dalam tempoh dua musim terakhir. Pada musim 2018/19, catatan `clean sheet’ De Gea menurun dari 18 pada musim sebelumnya kepada hanya tujuh kali. Catatan tujuh `clean sheet’ ini merupakan catatan paling rendah De Gea sepanjang kariernya bersama United dan secara keseluruhannya pintu gol United bolos 54 kali pada musim tersebut berbanding 28 kali (pada musim 2017/18).

 

Pada musim 2019/20 pula, statistik De Gea lebih baik berbanding musim sebelumnya apabila gawang United cuma dibolosi 36 kali dalam saingan liga. Meskipun begitu wujud kebimbangan apabila anda melihat prestasi De Gea sepanjang musim tersebut. Menurut catatan Squawka, De Gea melakukan tujuh kesilapan mudah yang menyebabkan pintu golnya dibolosi lawan. Catatan ini meletakkan beliau ditangga teratas selaku penjaga gol yang paling kerap melakukan `blunder’ di Liga Perdana bersama Martin Dubravka dan Bernd Leno.

 

Kepercayaan penyokong terhadap De Gea semakin terhakis dan suara-suara yang mahukan Dean Henderson segera dibawa pulang dari tempoh pinjaman semakin kuat kedengaran. Pada Ogos 2020, United menamatkan tempoh pinjaman Henderson bersama Sheffield United dan mengikat penjaga gol muda itu dengan kontrak jangka panjang. Kepulangan Henderson tidak pernah membuatkan kedudukan De Gea selaku pilihan nombor satu goyah, kerana sepanjang fasa pertama saingan liga berlangsung, beliau tidak pernah terlepas satu perlawanan pun.

 

Kembali Ke Prestasi Terbaik

 

Hayat Ole Gunnar Solskjaer selaku pengendali di Old Trafford cuma mampu bertahan selama tiga tahun, dan pada November 2021 tugas tersebut diambilalih pula oleh Ralf Rangnick. Bagaimanapun satu hal yang tidak pernah berubah ialah De Gea masih lagi teguh bertahan di posisi beliau selaku penjaga gol utama United. Di sebalik musim yang agak `tunggang langgang’ dan buruknya sisi pertahanan United, De Gea muncul pemain paling menonjol di barisan belakang kerana aksi-aksi penyelamatan kelas dunia yang dilakukan beliau.

 

Rangnick mengakui De Gea merupakan pemain yang peranannya sangat penting di barisan belakang United. Selepas melakukan dua penyelamatan hebat ketika berdepan Newcastle United pada Disember 2021, Rangnick berkata, “Perlawanan ini mungkin berakhir dengan kekalahan jika bukan kerana dua atau tiga penyelamatan fantastis yang dilakukan De Gea. Ketika berdepan Norwich, dia juga menyelamatkan kami dengan melakukan hal yang sama. Sukar untuk menafikan bahawa dia antara penjaga gol terbaik dunia masa kini”.

 

Jauh sebelum itu, iaitu pada 22 Februari 2018, De Gea juga pernah membuatkan kita terpana menyaksikan ketangkasannya mengawal pintu gol United. Aksi di Stadium Emirates itu menyaksikan United berjaya menewaskan Arsenal (3-1). Usah terpedaya dengan keputusan di `scoreboard’ kerana pada hakikatnya Arsenal lebih dominan. Mereka mencatatkan 75% penguasaan bola, melepaskan 33 percubaan di mana hampir separuh daripadanya adalah percubaan `on target’. Jadi bagaimana Arsenal boleh tewas dengan margin yang agak besar?

 

Tiada persoalan yang terlalu besar untuk dijawab, kerana di Stadium Emirates, De Gea adalah penyelamat kepada taktik `parkir bas’ yang digunakan Jose Mourinho. Mungkin menjadi sebuah misteri mengapa Arsenal gagal menjaringkan lebih dari satu gol meskipun mereka mencipta lebih banyak peluang. Tetapi suatu hal yang pasti, De Gea adalah pemain terbaik dalam perlawanan itu. Sejak statistik mula dirakam di Liga Perdana, De Gea muncul penjaga gol ketiga yang berjaya melakukan 14 penyelamatan dalam satu perlawanan selepas Tim Krull dan Vito Mannone.

 

Penutup

 

Sejak kebelakangan ini terdapat keraguan tentang kemampuan De Gea menyerap ideologi `ball playing goalkeeper’ dalam era bolasepak yang lebih modenisasi. De Gea yang kita kenali selama ini adalah seorang penjaga gol yang `old school’, seorang `shot stopper’, bukan seorang penjaga gol yang lebih moderate seperti Allison Becker, Ederson Moraes, Edouard Mendy atau Marc-Ander Ter Stegen. Malah Gary Neville pernah menyebut bahawa  masalah sebenar yang dihadapi Ten Hag adalah pemain yang berada di posisi paling belakang dalam skuadnya, iaitu De Gea.  

 

Sepanjang masa, anda boleh berdebat tentang kemampuan De Gea. Adakah `shot stopper’ seperti beliau masih relevan dalam arus bolasepak yang lebih moden, atau United perlu mencari seorang penjaga gol yang boleh memainkan peranan sebagai `ball playing goalkeeper’ dengan baik sebagai pengganti. Bagaimanapun pada aksi menentang West Ham kelmarin, De Gea sekali lagi membuktikan kepada para pengkritiknya, bahawa United masih sangat bergantung kepada sepasang tangan emasnya untuk menjaga pintu gol mereka.

 

Aaron Creswell menyebut, De Gea adalah senario buruk yang dihadapi pasukannya meskipun dalam tempoh 20 minit terakhir, West Ham begitu dominan. Bagaimana mungkin United boleh meraih kemenangan jika tidak dibantu prestasi gemilang De Gea yang melakukan empat penyelamatan penting dalam tempoh lapan minit terakhir perlawanan. Sudah menjadi lumrah, peminat bolasepak lebih cenderung memuja seorang `entertainer’ di atas padang seperti Ronaldinho, Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Neymar atau Kylian Mbappe.

 

Tetapi De Gea selama bertahun-tahun berjaya mengubah persepsi ramai pihak tentang tugas seorang penjaga gol menerusi ketangkasannya, tindakan refleksnya serta penyelamatan-penyelamatan kelas dunia yang dilakukannya. Anda boleh mendambakan agar suatu hari nanti United menandatangani seorang `ball playing goalkeeper’, sesuai dengan tuntutan bolasepak moden. Tetapi buat masa ini berharaplah agar `Super Dave’ terus berada di prestasi terbaiknya sebagai `pemegang kunci’ pintu gol United. Glory Glory Manchester United!!!



12 Oktober 2022

700...SEBUAH KISAH PERJALANAN YANG PANJANG

 


Sama ada beliau menjaringkan gol atau tidak…mereka-mereka yang membenci atau yang menyukainya akan sentiasa bercakap tentang Cristiano Ronaldo. Aksi menentang Everton dalam saingan liga tempohari, Ronaldo sekali lagi melakar sejarah baharu dalam kariernya. Gol yang dihasilkan Ronaldo ke gawang Everton di minit ke-44 itu bukan sahaja menghadiahkan Manchester United tiga mata berharga, tetapi gol itu merupakan gol ke-700 yang dijaringkan beliau sepanjang kariernya di peringkat kelab.

 

Sudah agak lama Ronaldo tidak menjaringkan gol dalam saingan liga, kerana gol terakhir yang dihasilkannya di Liga Perdana berlaku ketika United berdepan Brentford pada 3 Mei lalu. Atau lebih tepatnya, gol menerusi tendangan penalti itu terhasil pada aksi terakhir United dalam saingan liga musim lalu. Musim ini, Ronaldo gagal menjaringkan sebarang gol dari enam penampilan awal beliau di Liga Perdana, tetapi penantian panjang tersebut `dibayar’ beliau menerusi gol kemenangan dari ledakan kaki kirinya yang menewaskan Jordan Pickford. 

 

Menjaringkan 700 gol di peringkat kelab bukanlah satu kerja yang mudah, satu pencapaian yang sangat istimewa dan dilakukan oleh pemain yang memiliki bakat istimewa. Paling menarik Ronaldo melakukannya ketika beliau masih aktif bermain di pentas bolasepak kompetitif kelas tinggi. Secara keseluruhannya, ini merupakan gol ke 144 yang dijaringkan Ronaldo untuk United. Selain daripada itu untuk mencapai angka 700 tersebut, Ronaldo meledak lima gol ketika bersama Sporting Lisbon, 450 gol untuk Real Madrid dan 101 gol untuk Juventus.

 

Sporting Lisbon

 

Sepertimana yang anda tahu, Ronaldo memulakan karier profesionalnya bersama Sporting Lisbon. Pada usia yang baru mencecah 17 tahun, Ronaldo sudah mampu meletakkan dirinya dalam skuad utama `LeƵes’. Sepanjang musim 2002/03, Ronaldo melakukan 31 penampilan dalam semua peringkat kejohanan untuk Sporting, menjaringkan lima gol dan mencipta enam bantuan gol. Potensi Ronaldo sebagai `bintang dalam pembikinan’ akhirnya menarik minat Sir Alex Ferguson, dan pada Ogos 2003 beliau akhirnya melengkapkan perpindahannya ke Old Trafford.

 

Real Madrid

 

Sembilan musim di Santiago Bernabeu adalah tempoh yang cukup sensasi buat Ronaldo selepas beliau meninggalkan United pada 2009. Apa tidaknya kerana bersama Real, beliau berjaya memenangi kesemua kejuaraan yang ditawarkan, baik di peringkat domestik mahupun Eropah. Paling sensasi tentulah empat medal kejuaraan Liga Juara-Juara yang berjaya dimenanginya dan empat kali juga beliau dinobatkan selaku pemain terbaik dunia. Bagaimana pula dengan rekod jaringannya?

 

Bersama Real, Ronaldo juga pernah dinobatkan selaku penjaring terbanyak Eropah sebanyak tiga kali. Tiga anugerah kasut emas Eropah yang dimenanginya sudah cukup menggambarkan betapa kejamnya Ronaldo ketika beliau berada di hadapan gawang lawan. Statistik beliau sepanjang kariernya di Santiago Bernabeu memang sangat `mengerikan’, kerana hanya dalam 438 penampilan sahaja, beliau berjaya menjaringkan 450 gol, atau purata lebih 1.02 gol dijaringkannya per perlawanan.

 

Juventus

 

Mungkin sudah puas dengan pencapaian yang dilakar beliau, atau mungkin sudah tiada apa lagi yang perlu dibuktikannya, pada musim panas 2018 Ronaldo akhirnya memutuskan ikatan selama sembilan musim beliau bersama Real. Destinasi Ronaldo seterusnya ialah Itali, negara yang sangat sinonim dengan seni bertahan dalam bolasepak mereka. Mungkin bagi sesetengah pihak keputusan beliau menyertai Juventus agak mengejutkan, tetapi itulah Ronaldo…pemain yang sentiasa mencabar dirinya untuk menjadi `yang terbaik’ di kalangan yang terbaik.  

 

Serie A adalah cabaran baharu dan ketajaman Ronaldo bakal diuji oleh seni bertahan bolasepak Itali. Bagaimanapun, pakar-pakar `Catenaccio’ terbaik Itali tidak pernah menemui cara bagaimana mahu menghentikan Ronaldo dari terus menghasilkan gol. Untuk seorang pemain yang sudah melewati usia 30 tahun, 101 gol selama tiga musim kariernya di Itali satu statistik yang menakjubkan. Pada musim 2020/21, dominasi sembilan musim berturut-turut `Scudetto’ Juventus berakhir, detik yang turut menandakan bahawa Ronaldo harus mengucapkan selamat tinggal kepada kota Turin.

 

Manchester United

 

Penyokong United mana yang tidak gembira bila impian bertahun-tahun mereka yang mahu melihat Ronaldo kembali semula ke pangkuan kelab tercapai. Sejak beliau meninggalkan Old Trafford pada 2009, ada perasaan kuat yang menginginkan agar suatu hari nanti beliau kembali, menyarung jersi United semula dan jika boleh menamatkan kariernya di sini. Kariernya bermula di Sporting Lisbon, tetapi United adalah tempat Ronaldo membina kariernya, mencipta nama dan muncul antara pemain hadapan yang sangat digeruni pertahanan lawan.

 

12 tahun selepas beliau meninggalkan United, Ronaldo akhirnya kembali semula ke Old Trafford. Ada perdebatan bila bercakap tentang `instinct’ pembunuhnya, apatah lagi Ronaldo pada musim lalu sudahpun berusia 36 tahun. Bagaimanapun di sebalik musim paling suram United pasca persaraan Sir Alex Ferguson, Ronaldo masih mampu mencuri tumpuan menerusi 24 gol yang berjaya dihasilkannya. 24 gol yang dijaringkannya bukan sahaja menambah koleksi jaringannya buat United, tetapi turut meletakkan beliau selaku penjaring terbanyak kelab musim lalu.

 

Penutup

 

Musim ini, Ronaldo sudah melakukan sepuluh penampilan untuk United, tujuh dalam saingan liga dan tiga pada saingan peringkat kumpulan Liga Europa. Gol pertama Ronaldo musim ini pula terhasil ketika United berdepan Sheriff Tiraspol dalam saingan Liga Europa menerusi sepakan penalti. Manakala gol kedua dan paling istimewa, tentunya gol ke 700 yang dihasilkan beliau di peringkat kelab ketika berdepan Everton dalam saingan liga tempohari.

 

Gol yang dijaringkan beliau ke gawang Moreirense dalam saingan liga pada 7 Oktober 2002 merupakan gol pertama Ronaldo, dan selepas itu beliau perlukan tempoh selama 20 tahun untuk mencetak 700 gol di peringkat kelab. Menurut catatan dari laman Transfermarkt pula, Sevilla merupakan kelab yang paling kerap menjadi korban ketajaman Ronaldo. Untuk rekod, dari 18 penampilan beliau ketika berdepan Sevilla, Ronaldo berjaya menjaringkan 27 gol.

 

Selaku mesin gol yang sempurna ketika zaman kemuncaknya, Ronaldo tentulah memiliki pelbagai cara untuk menewaskan penjaga gol lawan. Jadi bahagian tubuh mana yang sering digunakan beliau untuk menghasilkan 700 gol tersebut? Menurut perincian yang dikeluarkan BBC, 460 gol dijaringkan Ronaldo dengan menggunakan kaki kanan, 125 gol dihasilkan beliau menggunakan kaki kiri, 113 gol menggunakan kepala, manakala dua gol lagi terhasil dari bahagian lain tubuhnya.

 

Bukan mudah menjaringkan 700 gol, apatah lagi Ronaldo melakukannya di empat pentas berbeza (Primeira Liga, Liga Perdana, La Liga dan Serie A). Jadi tidak hairanlah mengapa Graeme Souness, seorang pundit yang sangat kritis melabelkan Ronaldo sebagai penyerang terbaik dunia. 700 gol bukan sekadar kisah pencapaian seorang pemain bernama Cristiano Ronaldo. Ia kisah perjalanan yang sangat panjang, ia kisah yang luarbiasa dan terhasil dari pemain yang bukan `biasa-biasa’. Glory Glory Manchester United!!!  



28 September 2022

MANCHESTER DERBY: ANTARA KUASA, KEMASYHURAN DAN MARUAH

 


Pada 12 November 1881, satu perlawanan persahabatan antara Newton Heath dan St. Mark’s berlangsung. Perlawanan yang dimenangi Newton Heath itu merupakan pertembungan `Manchester Derby’ yang pertama dari ratusan siri `Manchester Derby’ yang berlangsung selepas itu. Sejak 1881 Manchester United dan Manchester City sudah bertemu sebanyak 148 kali (dalam saingan liga). Dari jumlah tersebut, United memiliki catatan lebih unggul berbanding jiran mereka itu menerusi 39 kemenangan yang dilakar mereka, 31 seri dan 23 kali tewas.

 

Pada fasa-fasa awal, konflik antara kedua-dua kelab berpangkalan di kota Manchester ini tidaklah sepanas sekarang. Bahkan pada 1906 empat pemain City (Jimmy Bannister, Herbert Burgess, Billy Meredith dan Sandy Turnbull) menyertai United secara serentak. Bagaimanapun seiring dengan berjalannya waktu, suhu `Manchester Derby’ semakin memanas. Pada 1945 Selepas Sir Matt Busby dilantik sebagai pengurus, beliau membina semula United dari sisa runtuhan `Manchester Blitz’ menerusi sekumpulan pemain berbakat yang pernah disaksikan.

 

Bangkit Dari Abu

 

Kota Manchester kembali bergema menerusi kebangkitan semula United dan bolasepak memberikan keceriaan kepada warganya, hinggakan mereka terlupa sejenak bahawa hanya lima tahun sebelum itu kota Manchester dibantai dengan teruk oleh angkatan udara Adolf Hitler. Enam tahun selepas ketibaan Sir Matt, United menjulang trofi kejuaraan liga buat kali ketiga dalam sejarah kelab. Kejuaraan liga dijulang lagi pada musim 1955/56 dan 1956/57 sebelum `Tragedi Munich’ yang mengorbankan lapan pemain United meruntuhkan kembali hegemoni `The Red Devils’.

 

Sir Matt seolah-olah memang dilahirkan untuk mencipta kebangkitan. Selepas terselamat dari `Tragedi Munich’, beliau membina kembali `Busby Babes’ versi kedua. Tujuh tahun selepas `Tragedi Munich’, United kembali merajai bolasepak Inggeris menerusi kejayaan mereka menjulang kejuaraan liga pada musim 1964/65 dan kemudiannya pada musim 1966/67. Kemuncak pencapaian United di era Sir Matt berlaku di Wembley menerusi kejayaan mereka menundukkan Benfica di pentas final Piala Eropah (sekarang Liga Juara-Juara) pada 1968.

 

Di sebelah timur kota, City memandang dengan penuh rasa cemburu melihat trofi demi trofi di bawa masuk jiran mereka itu ke Old Trafford. Meskipun City berjaya menjulang kejuaraan liga pada musim 1967/68, ianya tidaklah sebanding dengan apa yang dilakar United di Eropah. Lumrah kehidupan kerana kita tidak selalunya berada di atas. Selepas persaraan Sir Matt, penguasaan United mula pudar, manakala bagi penyokong-penyokong mereka pula dunia tidak lagi seindah sepertimana sebelumnya. Meskipun begitu, ia tidak pernah menyejukkan suhu `Manchester Derby’.   

 

Terhumban Ke Divisyen 2

 

Pada Disember 1970, George Best mematahkan kaki Glyn Pardoe, manakala setahun selepas itu beliau bertekak pula dengan Francis Lee tentang siapa yang lebih banyak melakukan simulasi dalam aksi `Manchester Derby’ musim tersebut.  Pada musim 1973/74, Mike Doyle (City) dan Lou Macari (United) enggan beredar dari padang meskipun kedua-duanya dilayangkan kad merah hingga memaksa pengadil menghentikan perlawanan. Dan paling menarik tentunya aksi `Manchester Derby’ yang berlangsung pada 27 April 1974.

 

Musim 1973/74 adalah musim yang tidak mahu diingati oleh mana-mana penyokong United, kerana pada penghujung musim inilah United tersingkir ke Divisyen 2 Liga Inggeris. Gol menggunakan tumit yang dilakukan Dennis Law pada aksi `Manchester Derby’ membuatkan United terhumban dari liga utama bolasepak Inggeris. Jaringan ini antara jaringan yang sangat terkenal dalam sejarah panjang `Manchester Derby’, kerana ia dilakukan oleh Law, salah seorang dari trio `Holy Trinity’ yang tugunya berdiri megah di Old Trafford.

 

Adakah Law menangisi gol jaringannya hingga membuatkan United tersingkir ke Divisyen 2? Jawapannya tidak, kerana Law tidak pernah meratapi penyingkiran United, tetapi gol itu adalah catatan terakhir Law sebagai pemain professional sebelum beliau akhirnya mengumumkan persaraan sebaik tamat pusingan akhir Piala Dunia `74 di Jerman Barat. Masa-masa kelam United berlangsung dalam tempoh yang agak lama, dari dekad 70an hinggalah 80an, meskipun dalam tempoh tersebut mereka masih mampu menjulang empat kejuaraan Piala FA.

 

Kuasa Besar

 

Sepanjang dua dekad, `Manchester Derby’ cumalah pelengkap jadual, hinggalah Sir Alex Ferguson muncul dan menjadikan kota Manchester sebagai pusat kuasa bolasepak Inggeris semula. Bermula dengan kejayaan menjulang Piala FA pada final edisi 1990, Fergie mula membina empayarnya sendiri. Kebimbangan tentang adakah Fergie akan senasib dengan Wilf McGuiness, Frank O’Farrell, Tommy Docherty, Dave Sexton dan Ron Atkinson lenyap bila beliau berjaya mengemudi kelab menjulang semula trofi kejuaraan liga yang sudah 26 tahun tidak mereka menangi.

 

`Di sebelah sana’, City kembali memendam rasa, kerana mereka sedar bahawa di tangan Fergie, United sudah berada dalam kasta yang berbeza. Bayangkan, hanya dalam tempoh satu dekad (1990-2000), United berjaya menjulang enam kejuaraan liga, tiga Piala FA, satu Piala Liga, empat Perisai Komuniti dan satu Liga Juara-Juara. Jika mahu mencabar United dan mengubah warna kota Manchester dari merah kepada biru, City bukan saja perlukan komposisi skuad yang bagus, sokongan teknikal oleh pakar-pakar di belakang tabir tetapi juga kewangan yang kukuh.

 

Penyokong-penyokong City mula mendambakan agar revolusi yang dilakukan Roman Abramovich di Stamford Bridge merebak ke timur Manchester. Cuma persoalannya `billionaire’ mana yang sanggup melaburkan wang untuk kelab seperti City? Akhirnya impian mereka menjadi kenyataan pada Ogos 2008, apabila konglomerat dari UAE yang diketuai Sheikh Mansour Al Nahyan mengambilalih kelab. Bermulalah revolusi baharu di timur Manchester, dan bermula jugalah ambisi City untuk muncul kuasa baharu di kota Manchester.

 

Manchester Berwarna Biru

 

Sejak 2008 City bukan lagi City yang dulu, kerana menerusi kekuatan kewangan yang dimiliki pemilik mereka, City mula berbelanja besar. Langkah pertama, mereka memecah rekod perpindahan Britain dengan menandatangani Robinho dari Real Madrid. Pada awal dekad millennium, anda mungkin tidak pernah terfikir pemain-pemain seperti Gareth Barry, Roque Santa Cruz, Kolo TourƩ, Emmanuel Adebayor, Carlos Tevez, Joleon Lescott, Mario Balotelli atau Sergio Aguero akan menyertai City. Tetapi selepas 2008 inilah realiti sebenarnya.

 

Secara perlahan-lahan kompas tumpuan kini beralih dari barat daya ke timur Manchester. Imbuhan dari pelaburan besar yang dilakukan pemilik kelab menyaksikan City akhirnya menjulang kejuaraan liga buat pertama kali dalam tempoh 42 tahun. Musim 2011/12 boleh dianggap musim yang cukup `spectacular’ buat City, bukan sahaja kerana kejayaan mereka menjulang trofi Liga Perdana buat pertama kali dalam tempoh 42 tahun, tetapi juga kerana kejayaan mereka menundukkan United menerusi kemenangan besar (6-1) di Old Trafford.

 

Fergie berjaya meletakkan United kembali ke podium kejuaraan Liga Perdana pada musim terakhirnya bersama kelab, tetapi sedarkah anda bahawa sejak itu United tidak pernah menamatkan saingan liga di kedudukan lebih tinggi di atas City. Dominasi City juga menyaksikan dalam tempoh sembilan musim terakhir, mereka sudah memenangi lima kejuaraan liga. Jadi jangan salahkan `The Cityzens’ jika mereka mula mendabik dada dengan mengatakan bahawa mereka adalah `penguasa’ sebenar di kota Manchester.

 

City bukan sekadar membelanjakan wang mereka untuk mendapatkan pemain terbaik, tetapi juga mendapatkan `tangan-tangan terbaik’ bagi mengendalikan skuad utama mereka. Sepanjang era Roberto Mancini, Manuel Pellegrini dan kini Pep Guardiola sebagai pengurus, City sudah mengumpul koleksi 17 kejuaraan domestik dalam tempoh 12 tahun. Kolaborasi antara Guardiola, Txiki Begiristain dan Ferran Sorriano pula menjadikan City kini bukan sahaja kelab yang semakin dicemburui, tetapi pengurusan mereka juga wajar dicontohi.

 

Penutup

 

Peristiwa terusirnya United dari beraksi di Maine Road, terjahan George Best yang menyebabkan kaki Glyn Pardoe patah, jaringan menerusi tumit Dennis Law yang menghumban United ke Divisyen 2, dendam Roy Keane yang menghantar Alf Inge Haaland ke alam persaraan, jaringan `anti graviti’ Wayne Rooney yang ikonik, komentar Fergie yang melabelkan City sebagai `jiran yang bising’ hinggalah kekalahan besar 1-6 United di Old Trafford, antara momen menarik yang tidak akan pernah luput dari ingatan bila anda bercakap tentang `Manchester Derby’.

 

Jika dahulunya City sentiasa memandang pencapaian United dengan penuh rasa cemburu, tetapi kini adalah sebaliknya. Mereka sudah jauh meninggalkan United, mereka sudah menjadi kelab yang besar, mereka adalah kuasa baharu bolasepak Inggeris dan mengalahkan mereka akan menjadi satu pencapaian yang besar buat mana-mana pasukan termasuk United. `Manchester Derby’ kini bukan lagi sekadar tentang pertarungan antara United dan City, tetapi ia tentang kuasa, kemasyhuran dan maruah. Glory Glory Manchester United!!!



16 September 2022

SI GENIUS DENGAN TANDA HARGA £0

 


Secara keseluruhannya, Manchester United merekrut lima pemain baharu dan seorang pemain pinjaman pada jendela perpindahan musim panas ini. Dari kelima-lima rekrut baharu ini, ada seorang pemain yang dibawa ke Old Trafford secara percuma. Beliau yang saya maksudkan tentu sahaja Christian Eriksen. United memang gagal mendapatkan khidmat Frenkie de Jong, tetapi Eriksen juga bukanlah pemain tengah sembarangan. Meskipun datang secara percuma, Eriksen merupakan perekrutan penting yang dilakukan United musim ini.

 

Pada usia beliau yang sudah mencecah angka 30 tahun, Eriksen juga merupakan pemain yang sangat berpengalaman menerusi 115 penampilannya bersama skuad kebangsaan Denmark di pentas antarabangsa. Di peringkat kelab pula, beliau pernah beraksi untuk Ajax Amsterdam, Tottenham Hotspurs, Inter Milan, Brentford dan kini United. Bagaimanapun tetap ada keraguan bila bercakap tentang kemampuan Eriksen, terutamanya selepas insiden di Stadium Parken pada 12 Jun 2021 yang menyaksikan beliau `mati’ selama lima minit.

 

Keputusan United merekrut Eriksen pernah dikritik keras Danny Murphy, bekas pemain yang pernah beraksi untuk Liverpool, Tottenham Hotspurs serta Fulham dan kini bertugas sebagai pundit. Menurut Murphy, United tidak perlukan seorang lagi pemain kreatif di bahagian tengah mereka. “Saya tidak faham kenapa Ten Hag mahu menggandingkan Bruno dan Eriksen bersama. Percayalah langkah ini akan membuatkan prestasi United lebih teruk berbanding musim lalu. United dah ada banyak pemain kreatif, jadi mereka sebenarnya tak perlukan Eriksen”, kata Murphy.

 

Peranan Penting

 

Bahagian tengah antara sektor yang menjadi fokus utama Ten Hag untuk beliau perkuatkan, jadi atas sebab itulah mengapa seorang `midfielder’ seperti Eriksen dibawa masuk. Selepas bertahun-tahun diterapkan dengan pendekatan permainan serang balas pantas oleh Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solakjaer, Ten Hag pula mahukan sesuatu yang baharu dalam skema permainan United. Bolasepak proaktif menerusi pendekatan penguasaan bola, `pressing’ dan hantaran-hantaran pendek adalah `tanda dagang’ yang sudah sebati dalam diri Ten Hag.

 

Eriksen merupakan tipikal pemain tengah yang gemar bergerak di belakang penyerang. Ironinya untuk peranan sebagai `pemain nombor 10’ tersebut, United sudah pun memiliki Bruno Fernandes. Jadi bagaimana Ten Hag memadankan dua pemain tengah yang memiliki peranan hampir sama dalam kesebelasan United? Setakat ini, Eriksen diturunkan selama 90 minit dalam empat dari enam aksi United di peringkat liga. Paling menonjol tentunya penampilan beliau ketika United berdepan Arsenal di Old Trafford pada 4 September lalu.

 

Menurut catatan statistik yang dikeluarkan Squawka, Eriksen muncul pemain United paling banyak menyentuh bola (56 sentuhan), melakukan hantaran di zon `final third’ lawan (16 hantaran), melakukan hantaran ke dalam kotak penalti (4 hantaran) serta mencipta peluang jaringan gol (3 peluang). Kemuncak aksi Eriksen dalam perlawanan tersebut, lahirlah `assist’ pertama beliau musim ini yang berjaya disempurnakan Marcus Rashford untuk gol ketiga United. Jadi tidak hairanlah mengapa selepas tamat aksi, beliau dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan.

 

Dalam kem United pula setakat ini dari enam penampilan liga, Eriksen muncul pemain tengah paling banyak melakukan percubaan (15), percubaan tepat (5), hantaran (323), hantaran tepat (239) serta peratus hantaran tepat tertinggi (74%) berbanding Bruno Fernandes, Fred dan Scott McTominay. Jadi kepada mereka-mereka yang sebelumnya agak skeptikal dengan kemampuan dan peranan yang bakal dimainkan Eriksen selaku penggerak jentera tengah United musim ini, anda patut lihat semula komentar Ten Hag selepas tamat aksi United dan Arsenal.

 

“Kami meletakkan dia sedikit ke bawah. Pada asasnya ia seperti peranan pemain `nombor 6’ atau `8’. Dia diberikan kebebasan dan ruang untuk bergerak di mana dia sepatutnya berada. Dia melakukan banyak kerja, melihat pergerakan rakan sepasukan, melakukan hantaran dan menyerang untuk mencipta peluang atau menjaringkan gol. Adakalanya dia juga akan diarahkan untuk bertahan. Dia pemain yang penting, jadi jika berlaku kesilapan kecil yang dilakukannya, ia akan bertukar menjadi bencana buat seluruh pasukan”, kata Ten Hag. 

 

Menggantikan Peranan Pogba

 

Frenkie de Jong adalah prioriti tetapi Eriksen pula merupakan alternatif yang sangat berbaloi untuk ditandatangani, tambahan pula dengan status beliau sebagai agen bebas ketika itu. Ada keraguan bila melihat aksi pertamanya dalam saingan liga musim ini ketika berdepan Brighton & Hove Albion, tetapi untuk berlaku adil anda juga patut melihat `role’ yang dimainkan beliau dalam perlawanan itu. Eriksen merupakan `type’ pemain yang gemar memegang bola berbanding mengejarnya.

 

Jadi peranan sebagai `false nine’ yang diberikan kepada beliau ketika berdepan Brighton adalah satu eksperimen yang gagal dari Ten Hag. Dua penampilan awal liga adalah bencana buat Eriksen tetapi aksi menentang Arsenal adalah jawapan sebenar mengapa United sepatutnya sudah lama mendapatkan seorang `midfielder’ berpengaruh seperti beliau. Dalam transisi bertahan ke menyerang, Ten Hag menerapkan strategi serang balas pantas yang berjaya `dihadam’ dengan cukup baik oleh Eriksen.

 

Sepanjang perlawanan, Eriksen sering terlibat dalam perebutan atau sentiasa berada berdekatan dengan mana-mana rakan sepasukan yang berjaya merampas bola dari penguasaan pemain lawan. Atas sebab itulah anda dapat melihat United kerap melakukan hantaran-hantaran pantas terus ke arah Jadon Sancho, Marcus Rashford atau Antony. Kemuncaknya seperti yang dapat anda lihat ialah penglibatan Eriksen menerusi gol kedua dan ketiga United yang dihasilkan Marcus Rashford.

 

Penutup

 

Sembilan tahun lalu, Eriksen tiba di White Hart Lane dari kota Amsterdam bersama enam lagi pemain baharu yang ditandatangani Tottenham Hotspurs hasil dari dana yang dibelanjakan mereka menerusi penjualan Gareth Bale ke Real Madrid. Tiada keraguan kerana berbanding Paulinho, Naser Chadli, Etienne Capoue, Roberto Soldado, Vlad Chiriches dan Erik Lamela, Eriksen merupakan pelaburan paling berbaloi yang dilakukan Spurs ketika itu.

 

Selama enam setengah musim bersama Spurs, Eriksen melakukan lebih 300 penampilan untuk skuad `The Lilywhites’ dalam semua peringkat kejohanan, menjaringkan 69 gol, terlibat dalam 158 gol dan mencipta 89 bantuan gol untuk rakan sepasukannya. Tapi malangnya, statistik tersebut tetap tidak mampu membantu Spurs menjulang sebarang kejuaraan. Sepanjang tempoh itu jugalah beliau beberapa kali menolak godaan untuk menyertai kelab lebih besar dan kekal bertahan di utara kota London.

 

Insiden serangan jantung di Stadium Parken rupa-rupanya tidak pernah membuatkan Eriksen terfikir untuk berhenti dari bermain bolasepak. Eriksen kembali ke England semula, bermula di Brentford beliau kemudiannya menyertai United secara percuma. Perpindahannya ke Old Trafford ditenggelami keriuhan kedatangan Tyrell Malacia, Lisandro Martinez, Casemiro dan Antony…tetapi siapa mampu menyangkal bahawa Eriksen adalah pembelian bijak yang dilakukan kelab musim ini.

 

Selepas tamat aksi menentang Arsenal, Paul Merson melabelkan Eriksen sebagai `pembeza’ antara pasukan yang menang dan kalah. Kerana menurut Merson, Arsenal tidak mampu menewaskan United kerana mereka tidak memiliki pemain seperti Eriksen. Eriksen datang ke Old Trafford dengan `tanda harga £0’. Tetapi harga percuma itu tidak pernah mengurangkan sedikitpun `kegeniusan’ seorang lelaki bernama Christian Eriksen ini. Glory Glory Manchester United!!!



02 September 2022

DARI `INFERNINHO’ KE TEATER IMPIAN

 


Ajax Amsterdam bukan sekadar sebuah kelab bolasepak, tetapi juga sangat dikenali sebagai `kilang’ yang berjaya melahirkan bakat-bakat kelas dunia di Eropah. Siapa tidak kenal dengan nama-nama seperti Clarence Seedorf, Dennis Bergkamp, Patrick Kluivert, Zlatan Ibrahimovic, Wesley Sneijder, Daley Blind, Jan Vertonghen serta Luis Suarez, dan kini pemain-pemain mereka terus menjadi buruan kelab-kelab besar sekitar Eropah.  

 

Sentiasa ada bakat baru yang menonjol mampu dilahirkan Ajax, meskipun mereka selalunya terpaksa mengalah dengan melepaskan para pemain terbaik mereka kepada kelab yang lebih besar. Ketika pemain seperti Frenkie de Jong, Matthijs de Ligt, Hakim Ziyech dan Donny Van de Beek pergi, akan ada pemain baharu yang mampu menggantikan tempat mereka di Johan Cryuff Arena.

 

Ajax seperti tidak pernah kehabisan pemain berbakat dalam stok simpanan mereka atau lebih tepatnya potensi di Johan Cryuff Arena tidak pernah `mati’. Lalu muncullah pemain seperti Antony Matheus dos Santos di sana. Baru berusia 22 tahun, tetapi Antony adalah idola baharu di kota Amsterdam. Antony punya `skill’ individu yang memukau manakala daya penyudahnya pula sering tidak terjangka oleh pertahanan lawan.

 

Kemahiran dalam diri Antony adalah DNA yang diwarisi dari kebanyakkan pemain handalan Brazil...Pele, Garrincha, Zico, Socrates, Romario, Ronaldo, Kaka, Ronaldinho dan Neymar adalah di antaranya. Ketika Neymar masih berada di kasta teratas bolasepak dunia, potensi yang dmiliki Antony pula mula menarik perhatian kelab-kelab besar Eropah, dan Ajax sekali lagi berdepan kemungkinan kehilangan pemain terbaik mereka.

 

 Dalam Radar United

 

Potensi Antony mula tersebar luas di sekitar Eropah, malah sebelum itupun beliau sudah meluahkan keinginannya untuk beraksi di Sepanyol atau di England. Wujud potensi besar untuk Antony menyertai United selepas kehadiran Erik Ten Hag selaku pengendali di Old Trafford. Dan sejak bulan Jun bermulalah `rumour’ demi `rumour’ tentang minat United terhadap pemenang pingat emas sukan Olimpik Tokyo ini.

 

Ajax yang sudah pun kehilangan pemain-pemain terbaik mereka musim ini tentu sahaja mahukan Antony terus kekal beraksi bersama mereka. Jadi bukan satu tugas yang mudah untuk memujuk Ajax melepaskan seorang lagi pemain berbakat mereka ke pasukan lain. Bagaimanapun akhirnya Ajax terpaksa akur, bukan sahaja dengan kuasa wang yang dimiliki United tetapi juga keinginan Antony untuk berhijrah.

 

£85 juta, itulah wang yang terpaksa dibayar United bagi membawa keluar Antony dari Johan Cryuff Arena. Jumlah ini bukan sahaja meletakkan beliau sebagai `manusia kedua termahal’ dalam sejarah di Old Trafford, tetapi juga pemain termahal yang pernah dijual Ajax. Kini Erik Ten Hag sudahpun memiliki pemain hadapan yang beliau dambakan, jadi tunggu dan lihat adakah Antony mampu memberikan impak kepada jentera hadapan United.

 

Dari Sao Paolo Ke Amsterdam

 

Brazil memang sangat dikenali bukan sahaja kerana kegilaan bolasepaknya, tetapi kemampuan mereka melahirkan pemain-pemain kelas dunia. Sentiasa ada pemain-pemain muda berbakat besar lahir dari negara samba tersebut yang mencuri tumpuan warga bolasepak dunia. Di bandar Osasco, lahirlah seorang lagi pemain muda berbakat besar bernama Antony Matheus dos Santos hasil dari produk keluaran akademi bolasepak Sao Paolo.

 

Bermula dengan debut untuk skuad senior pada November 2018, Antony melakukan 32 penampilan bersama Sao Paolo dalam saingan liga, menjaringkan empat gol dan mencipta enam bantuan gol. Untuk pemain yang memiliki potensi besar seperti beliau, akan sentiasa ada mata yang memandang dengan penuh minat. Penampilan cemerlang beliau bersama pemenang tiga kali Copa Libertadores itu akhirnya menarik minat Ajax untuk membawa Antony beraksi di Eropah.

 

Pada Februari 2020, bermulalah episod baharu dalam karier beliau dan menerusi dana sebanyak £18.2 juta yang dibelanjakan Ajax, Antony melengkapkan perpindahan beliau ke Johan Cryuff Arena. Pada 13 September 2020, Antony menjaringkan gol pertamanya di sebalik kemenangan (1-0) Ajax ke atas Sparta Rotterdam dalam saingan liga. Di pentas Eropah pula, gol pertama Antony hadir ketika Ajax membenam Midtjylland (2-1) dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara pada 3 November 2020.

 

Penampilan menentang Borussia Dortmund di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara pada 3 November 2021 antara penampilan terbaik Antony bersama Ajax musim lalu. Beliau adalah arkitek di sebalik kemenangan (3-1) Ajax di Signal Iduna Park menerusi penglibatan beliau dalam ketiga-tiga gol tersebut. Kemenangan itu turut mengesahkan kemaraan Ajax ke pusingan kalah mati meskipun saingan peringkat kumpulan masih berbaki dua perlawanan.

 

Apa yang Antony Mampu Tawarkan?

 

Dua tahun lalu, Ten Hag menyedari potensi besar Antony untuk muncul sebagai prospek masa depan Ajax. Atas sebab itulah mengapa beliau melakukan perjudian dengan menandatangani Antony dari Sao Paolo pada harga £18.2 juta, keputusan yang dikritik keras legenda Belanda, Marco Van Basten. Perjudian Ten Hag berbaloi, apabila dalam tempoh dua musim di Johan Cryuff Arena, Antony menjaringkan 25 gol dan mencipta 21 bantuan gol dari 85 penampilan dalam semua peringkat kejohanan.

 

Sebagai `winger’, beliau bukanlah seorang pemain sayap yang `ortodoks’ tetapi penjaring gol dan pencipta peluang yang dinamik. Meskipun dianugerahkan dengan `skill’ kawalan bola yang bagus, Antony sebenarnya lebih kerap melakukan hantaran ke atas berbanding melakukan `dribble’. Menurut catatan Smarterscout, Antony diberikan skala 64 dari 99 dalam tugas melakukan hantaran berbanding 34 daripada 99 (dribble).

 

Dalam melakukan kerja-kerja defensif pula, Antony diberikan skala 73 daripada 99, sekaligus menunjukkan beliau juga memiliki intensiti bertahan yang bagus ketika diperlukan. Untuk itu, Smarterscout memberikan beliau volume yang tinggi dalam melakukan `ball recoveries’ dan `intercept’ (83 daripada 99). Sepanjang musim lalu beliau sukses melakukan 22 `tackle’ dari 44 percubaan, manakala dalam melakukan `duel’ pula, Antony diberikan skala 51.2.

 

Di bawah kendalian Ten Hag, Ajax bermain dengan pendekatan ‘possession football’, mengawal permainan dan sentiasa memberikan tekanan kepada lawan, faktor penyumbang mengapa Antony muncul antara pemain penting selama lebih dua musim kariernya di Johan Cryuff Arena. Bagaimanapun tetap ada keraguan tentang kemampuan Antony beradaptasi dengan tempo dan intensiti Liga Perdana, jadi untuk itu lihat statistik beliau di Liga Juara-Juara Eropah.

 

Dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim lalu, Antony muncul pemain ketiga paling banyak melakukan `progressive dribble’ selepas Lionel Messi dan Kingsley Coman. Dari tujuh penampilan beliau, Antony melepaskan 26 percubaan di mana sepuluh daripadanya adalah percubaan `on target’, menjaringkan 2 gol (1.79 expected goal), mencipta empat `assist’ dan melepaskan 325 hantaran (di mana peratus ketepatan hantarannya mencapai angka 82%).

 

Penutup

 

Pada usia yang baru mencecah angka 22 tahun, ada keraguan yang bukan sedikit bila bercakap tentang kemampuan beliau beradaptasi dalam liga yang dianggap paling sukar di dunia. Adakah Antony mampu menangani segala tekanan atau adakah beliau akan menjadi seorang lagi pemain Brazil yang gagal di Old Trafford? Tanda harga £85 juta bakal menjadi beban yang berat untuk ditanggung Antony. Ada harapan yang tinggi, ada sasaran yang perlu dicapai dan ada misi yang perlu beliau sempurnakan.

 

Latar belakang ketika masa kecilnya menjadikan Antony individu yang kuat dan tabah. Liga Perdana adalah cabaran baharu dan besar bagi beliau, tetapi perjalanan hidupnya sebelum sampai ke tahap ini juga sangat sukar dan mencabar. Favela, kejiranan setinggan di mana beliau dibesarkan merupakan antara kawasan termiskin dan berbahaya di Brazil. Kematian, kartel dadah dan gangsterisme merupakan pemandangan biasa di sini, hinggakan ia digelar sebagai `Inferninho’ atau neraka kecil.

 

Manchester City, Liverpool atau Chelsea mungkin tidak akan melaburkan wang sebanyak £85 juta untuk seorang pemain seperti Antony. Bagaimanapun dari sudut pandang Ten Hag, Antony ialah type pemain yang sangat diperlukan beliau. Jadi berapa pun harga yang diletakkan Ajax, United perlu membayarnya. Ketika ini United perlukan keseimbangan di kedua-dua sisi sayap mereka. Semoga dengan adanya Antony, mereka mampu terbang lebih tinggi. “Bienvenido Antony”…Glory Glory Manchester United!!!



26 Ogos 2022

CASEMIRO: PENAWAR KEPADA `BARAH’ UNITED?

 


Pada usia beliau yang sudah mencecah angka 30 tahun, mengapa Manchester United masih sanggup mengeluarkan dana sebanyak £60 juta demi mendapatkan khidmat pemain bernama Casemiro ini? Kisah perpindahan Casemiro dari kota Madrid ke Manchester boleh dianggap antara kisah perpindahan yang `mengejutkan’, khususnya buat penyokong-penyokong United. Apa tidaknya kerana sebelum ini kita sering disogokkan dengan saga perpindahan Frenkie De Jong yang tiada kesudahannya.

 

Sejak Mei hingga sekarang, sudah lebih 100 hari `rumour’ perpindahan De Jong ke Old Trafford masih belum menjadi kenyataan, tetapi secara tiba-tiba United mengejutkan para penyokong mereka dengan pengumuman kejayaan kelab menandatangani Casemiro. Tiada `drama’ yang terlalu panjang, kerana United dan Real Madrid cuma perlukan tempoh selama empat jam sahaja untuk mencapai kesepakatan sebelum perpindahan Casemiro ke Old Trafford akhirnya dimuktamadkan.

 

Sepertimana yang anda tahu, di Santiago Bernabeu Casemiro adalah legenda. Bersama Real, beliau sudah memenangi kesemua kejuaraan yang ditawarkan, baik di peringkat domestik mahupun Eropah. Dengan deretan kejuaraan yang sudah dimenanginya, pemenang lima kejuaraan Liga Juara-Juara itu tahu bahawa tugasnya bersama Real sudah selesai. Apa yang dimahukan Casemiro ialah cabaran baharu dan Liga Perdana adalah pentas selanjutnya untuk beliau pamerkan aksinya.

 

Saga Bermula

 

Posisi pemain tengah bertahan, antara posisi yang sering disebut-sebut sebagai titik lemah dalam skuad United. Dalam tempoh beberapa musim terakhir, Fred dan Scott McTominay sering digunakan sebagai `double pivot’, sama ada sebagai perancang gerakan dari belakang atau tugas melindungi benteng pertahanan. Bagaimanapun penampilan gandingan `McFred’ ini sering sahaja menjadi sasaran kritikan, bukan sahaja oleh penyokong United sendiri tetapi juga `pundit’ bolasepak.

 

Ketika ini, Erik Ten Hag sedang berusaha meningkatkan kualiti skuad kendaliannya, dan antara sektor yang perlu ditingkatkan kualitinya ialah di posisi pemain tengah bertahan. Dalam proses tersebut, nama Frenkie De Jong dikatakan muncul sebagai prioriti utama, kemudian ada Adrien Rabiot yang permintaan gajinya tidak mampu dipenuhi United. Pada minggu ketiga bulan ini, nama Casemiro tiba-tiba muncul, dan bermulalah saga perpindahan beliau ke Old Trafford.

 

Pada mulanya ramai penyokong United yang agak skeptikal bila membaca `rumour’ tersebut, tambahan pula selepas menyaksikan betapa bergelutnya kelab mendapatkan khidmat De Jong dan alternatif lain seperti Rabiot. Casemiro adalah tonggak utama Real, juga antara pemain penting di sebalik suksesnya `Los Blancos’ menjulang kejuaraan `double’ pada musim lalu. Jadi adakah Carlo Ancelotti sudah cukup gila melepaskan antara tonggak utama pasukannya berpindah ke kelab lain?

 

Bagaimanapun situasi sebenar tidak sepertimana yang kita jangkakan, kerana Real sebaliknya dengan mudah melepaskan Casemiro pergi. Semuanya kerana Real kini dalam proses melakukan regenerasi dalam skuad mereka. Jika Casemiro pergi sekalipun, Real sudah memiliki Aurelien Tchouameni sebagai pengganti. “Saya sudah bercakap dengan Casemiro. Dia mahukan cabaran baharu, dan saya akur dengan kemahuannya”, kata Carlo Ancelotti.

 

Simen Antara Batu Bata

 

Dari sudut teknikal, kehadiran Casemiro bakal meningkatkan lagi kualiti United terutamanya untuk peranan sebagai `defensive midfielder’. Perlu juga diakui bahawa meskipun usianya sudah mencecah angka 30 tahun, Casemiro masih tergolong dalam kelompok pemain tengah bertahan terbaik dunia. Isu konsistensi gandingan `McFred’ antara penyebab utama mengapa United sangat perlukan seorang `defensive midfielder’ kelas dunia seperti Casemiro.

 

Menurut Massimiliano Allegri, Casemiro bukanlah antara pemain paling berbakat dari segi teknikalnya. Tetapi faktor yang membuatkan beliau antara pemain yang begitu istimewa ialah disiplin taktikal dan visi permainan yang dimilikinya memberikan keseimbangan kepada pasukan. Sebagai contoh terbaik, lihat sahaja apa yang dilakukan Casemiro pada aksi final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu. Liverpool lebih dominan, tetapi Real sebenarnya yang mengawal tempo permainan.

 

Ketenangan Real mengawal tempo permainan menjadi kunci kepada kemenangan mereka. Meskipun digempur dengan serangan bertubi-tubi, Real tetap stabil dalam menyerap asakan lawan serta mengawal benteng pertahanan mereka dengan baik. Dalam soal ini, peranan Casemiro sangat penting dalam melindungi empat lagi rakan sepasukan yang berada di belakangnya. Jadi tidak hairanlah mengapa terdapat analogi yang menyebut bahawa Casemiro seperti `simen di antara batu bata’.

 

Perbandingan

 

Di peringkat awal kariernya, Casemiro mengakui bahawa beliau bermula sebagai penyerang tetapi akhirnya peranan sebagai `pemain nombor 6’ sudah tidak lagi dapat dipisahkan darinya. Dalam saingan La Liga musim lalu, Casemiro muncul pemain paling banyak memenangi semula penguasaan bola di zon `final third’. Dari catatan statistik yang dikeluarkan WhoScored, beliau melakukan purata 2.8 `tackle’ per perlawanan berbanding dua lagi `defensive midfielder’ United iaitu Fred (2.7) dan McTominay (2.4).

 

Bagaimana pula purata hantaran yang dilakukan beliau dalam setiap perlawanan? Secara purata, Casemiro melakukan 68.7 hantaran per perlawanan, catatan yang jauh lebih tinggi berbanding Fred (59.9) dan McTominay (46.2). Secara keseluruhan, peratus ketepatan hantaran yang dilakukan Casemiro di La Liga musim lalu mencapai angka 86% berbanding Fred (84%) dan McTominay (85.6%). Catatan ini turut meletakkan Casemiro di tempat teratas berbanding mana-mana pemain tengah United.

 

Dalam aspek `offensive’ pula terutamanya jumlah gol dan bantuan gol, Fred lebih unggul menerusi empat gol dan empat bantuan gol yang dihasilkannya berbanding Casemiro (satu gol dan tiga bantuan gol). Catatan ini sebenarnya lebih dipengaruhi oleh peranan dimainkan Casemiro bersama Real yang lebih bertahan. Zon aktif Casemiro lebih tertumpu di bahagian tengah atau lebih tepatnya, zon yang sangat penting untuk United memiliki seorang pemain tengah bertahan kelas dunia.

 

Penutup

 

Pada April 2018, atau dua bulan sebelum kedatangan Fred ke Old Trafford, Jose Mourinho mendambakan seorang pemain Brazil berada dalam skuadnya. Menurut Mourinho beliau inginkan seorang pemain Brazil bagi memberikan elemen `Brazil’ dalam skuadnya. “Sesebuah pasukan bolasepak tanpa pemain Brazil bukanlah pasukan bolasepak. Mereka memiliki bakat yang fantastik dan kreativiti pemain Brazil tidak mampu diukur”, kata Mourinho kepada ESPN.

 

Akhirnya selepas empat tahun tamatnya era Mourinho, United kini memiliki dua pemain Brazil dalam skuad utama mereka, iaitu Fred dan Casemiro. Casemiro mungkin bukan pemain Brazil paling mempersonakan pernah anda lihat, juga bukan `flamboyant’ seperti Neymar atau Ronaldinho. Tetapi tugas Casemiro ialah bertarung merebut bola, mengawal tempo permainan, melindungi rakan-rakan di benteng pertahanan serta sesekali melakukan sedikit kerja-kerja kotor.

 

Kehadiran Casemiro memang mengujakan, terutamanya di tengah-tengah kemelut isu konsistensi membabitkan gandingan `McFred’. Bagaimanapun adalah tidak adil untuk anda mengharapkan impak segera diberikan beliau. Kehadiran Casemiro bakal menambah kualiti jentera tengah United, terutamanya untuk peranan sebagai `pemain nombor 6’, posisi yang sebenarnya sudah begitu lama menjadi barah dan mendera permainan United. “Bienvenido Casemiro”…Glory Glory Manchester United!!!