14 Februari 2023

BANGKITNYA MARCUS RASHFORD

 


Selepas tamat aksi pusingan ketiga Piala FA menentang Everton pada 6 Januari lalu, Ian Wright menyifatkan bahawa Marcus Rashford sudah menemui semula sentuhan terbaik dalam permainannya. Menurut legenda Arsenal itu, Erik Ten Hag memainkan peranan besar kepada peningkatan prestasi Rashford. Manakala Roy Keane yang kebiasaannya begitu kritis dalam setiap komentarnya pula melabelkan ini adalah malam terindah buat pemain itu. Apa tidaknya kerana pada perlawanan itu, Rashford terlibat dengan ketiga-tiga gol yang yang dihasilkan United ke gawang Everton.

 

Rashford mencipta `assist’ yang disempurnakan Antony untuk gol pertama perlawanan. Gol kedua jaringan sendiri dari Conor Coady terhasil menerusi gerakan yang dilakukan beliau dari sisi kanan pertahanan lawan. Dan akhirnya Rashford melengkapkan malam gemilang beliau menerusi gol ketiga United dari sepakan penalti yang disempurnakannya di penghujung perlawanan. Sebaik sahaja saingan domestik bersambung usai tamatnya kejohanan Piala Dunia di Qatar, prestasi Rashford benar-benar mengagumkan kita.

 

Dari 15 penampilan terakhir dalam semua peringkat kejohanan, Rashford menjaringkan 13 gol, mencipta empat bantuan gol dan dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan sebanyak empat kali. Enam hari sebelum aksi menentang Everton, Rashford membantu United meraih tiga mata penuh di Stadium Molineux walaupun beliau tidak diturunkan dalam kesebelasan utama gara-gara isu disiplin. Pada usia yang sudah menjangkau 25 tahun, tindak balas beliau selepas `digantung’ selama 45 minit ketika berdepan Wolves oleh Ten Hag menunjukkan kematangan Rashford sebagai pemain.

 

Semangat Baru

 

Bumi Qatar seolah-olah memberikan nafas baharu kepada Rashford, apa tidaknya kerana selepas berakhirnya tugasan beliau bersama skuad kebangsaan di Piala Dunia, naluri penyudah Rashford tampak seperti sukar dibendung. Gol yang dijaringkan beliau ke gawang Leeds United kelmarin, menyaksikan Rashford berjaya meledak tiga gol berturut-turut dalam saingan liga. Malah beliau juga muncul pemain pertama United sejak 2012 yang berjaya menjaringkan gol dalam tujuh penampilan berturut-turut di Old Trafford.

 

Selepas pemergian Cristiano Ronaldo pada November tahun lalu, timbul persoalan adakah barisan hadapan United mampu `hidup’ tanpa sentuhan mega bintang Portugal itu. Bagaimanapun segala kebimbangan dan persoalan dijawab Rashford menerusi gol demi gol yang dijaringkannya, satu isyarat jelas bahawa United boleh bergantung kepada beliau dalam survival mereka untuk menamatkan saingan liga musim ini di posisi kelompok empat teratas. Secara keseluruhannya setakat ini, Rashford sudah meledak 21 gol hanya dari 34 penampilan dalam semua kejohanan.

 

Faktor Kebangkitan

 

Sejak melakukan penampilan pertamanya untuk skuad utama United, Rashford sudah bermain di kesemua posisi di barisan hadapan. `Eksperimen’ yang dilakukan oleh pengurus-pengurus United sebelumnya antara faktor yang melambatkan perkembangan Rashford. Beliau tidak memiliki naluri pembunuh yang bagus untuk berperanan sebagai penyerang tengah, tetapi beliau memiliki kepantasan untuk `membunuh’ bek sisi lawan menerusi kawalan bola dan larian-larian pantasnya sama ada dari sisi kiri mahupun kanan.  

 

Kehadiran Erik Ten Hag antara faktor utama kebangkitan semula Rashford selaku peledak berbisa United. Ironinya sepanjang musim lalu, Rashford cuma mampu meledak lima gol dari keseluruhan 32 penampilan beliau untuk United dalam semua kejohanan. Di era Ten Hag, Rashford lebih selesa bergerak di sebelah sisi (kiri), posisi yang memang kita tahu menjadi kegemaran beliau. Menurut catatan Fbref, peratus gol dari situasi permainan terbuka Rashford meningkat ke angka 91% berbanding ketika beliau berperanan sebagai penyerang tengah (78%).

 

Penutup

 

Apa yang dapat anda lihat musim ini ialah Rashford secara konsisten berjaya melepaskan percubaan ke arah gawang lawan. Dari 0.29 percubaan per perlawanan musim lalu, catatan beliau meningkat kepada angka 0.47 musim ini. Secara puratanya beliau juga melepaskan 2.06 percubaan dari jarak 15 meter manakala indeks `expected goal’ (xG) beliau meningkat dari 0.23 musim lalu kepada 0.37. 21 gol yang diledak beliau setakat ini menyaksikan Rashford berjaya melepasi angka 20 gol semusim buat kali ketiga sepanjang kariernya di Old Trafford.

 

Dengan baki saingan musim ini yang masih panjang, tiada masalah untuk Rashford melepasi rekod 22 jaringan semusim yang dilakukannya empat tahun lalu. Rashford sudah melepasi angka 100 gol dalam kariernya di Old Trafford, malah 30 gol semusim bukanlah sesuatu yang mustahil untuk digapai. Di kaki beliau, kita mahu melihat gol-gol terus terhasil dan dikaki beliau juga terletaknya harapan dan impian bahawa musim ini United bakal meraih trofi pertama mereka dalam tempoh lima tahun. Glory Glory Manchester United!!!



09 Februari 2023

PROSES DAN PROGRES SEPANJANG ENAM BULAN TEN HAGI DI OLD TRAFFORD

 


Sudah bermusim-musim Manchester United berdepan kecelaruan. Mereka bukan lagi kesebelasan yang digeruni, pelaburan besar menerusi pembelian beberapa pemain ternama tetapi akhirnya gagal, kemarau trofi sejak kali terakhir barisan kendalian Jose Mourinho memenangi kejuaraan Piala Liga dan Liga Europa (selain Perisai Komuniti) pada musim 2016/17, serta prestasi tidak konsisten bak `roller coaster’ saban musim yang mengorbankan jawatan David Moyes, Louis Van Gaal, Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer selaku pengendali di Old Trafford.

 

Ralf Rangnick, individu yang dilabel Pep Guardiola sebagai `bapa gegenpressing’ juga gagal menyelamatkan United dari kemunduran selepas beliau dilantik selaku pengurus interim menggantikan posisi Solskjaer pada baki saingan musim lalu. Pada April tahun lalu, teka teki dan saga siapa yang bakal menduduki kerusi panas di Old Trafford akhirnya terjawab apabila United mengumumkan Erik Ten Hag sebagai pengurus baharu mereka. Pemilihan Ten Hag memang sudah diduga meskipun kelab turut dikaitkan dengan minat mereka terhadap Mauricio Pochettino.

 

Antara Pochettino Dan Ten Hag

 

Berbanding Mauricio Pochettino, United memilih Ten Hag atas beberapa sebab. Menurut John Murtough yang juga merupakan pengarah bolasepak United, pemilihan Ten Hag dibuat kerana kelab tertarik dengan falsafah bolasepak dan komitmen tinggi beliau terhadap bakat-bakat muda. “Selama empat tahun di Ajax, Erik membuktikan bahawa beliau antara pengurus paling berjaya dan mengujakan di Eropah. Dia sangat dikenali dengan gaya bolasepak menarik dan menyerang serta komitmennya terhadap bakat muda”, kata Murtough.

 

Di Eredivisie, Ten Hag berjaya mengangkat semula martabat Ajax selaku gergasi bolasepak Belanda, tetapi cabaran yang menanti beliau di England sebenarnya lebih sukar dan mencabar. United sudah lama `tidur lena’ tanpa ada tanda-tanda kemampuan untuk bangkit semula pasca persaraan Sir Alex Ferguson. Bagi mereka yang faham tentang maksud sebuah perjuangan, kejayaan tidak datang dalam sekelip mata. `Fergie’ pernah melaluinya malah beliau hampir saja dipecat, dan United di era Ten Hag juga bakal melalui proses yang sama.

 

Proses Adaptasi

 

Pada awalnya para pemain tampak agak goyah dalam usaha mereka beradaptasi dengan gaya dan falsafah bolasepak yang dibawa Ten Hag. Apa yang berlaku di awal musim ialah United tewas dua perlawanan pembukaan liga berturut-turut kepada Brighton dan kemudiannya Brentford. Ketika itu sudah timbul pertanyaan di kalangan penyokong, adakah kehadiran Ten Hag satu lagi bentuk `jenaka’ yang dibawa pengurusan United ke Old Trafford. Bagaimanapun United bangkit dan menang pada perlawanan ketiga liga mereka.

 

Kemenangan ke atas Liverpool di gelanggang sendiri itu sebenarnya sangat penting kepada survival karier Ten Hag di Old Trafford dan melonjakkan kembali moral pasukan. Apa yang berlaku selepas itu ialah United menang tiga perlawanan liga berturut-turut (menewaskan Southampton, Leicester City dan Arsenal). Sejak kekalahan besar kepada Manchester City pada Oktober tahun lalu, United juga sudah mengharungi 25 aksi dalam semua kejohanan. Sepanjang tempoh empat bulan itu juga (dari Oktober 2022 hingga Februari 2023), hanya Aston Villa dan Arsenal sahaja yang berjaya menewaskan mereka.

 

Apa yang berlaku ketika ini atau lebih tepatnya enam bulan selepas Ten Hag menguruskan pasukan? United kini berada di tangga ketiga liga, mara ke pusingan kelima Piala FA, bakal berdepan Barcelona untuk satu slot ke pusingan 16 pasukan Liga Europa dan cuma selangkah untuk menamatkan kemarau enam tahun tanpa sebarang trofi menerusi kejayaan mereka mara ke final kejuaraan Piala Liga. Pencapaian ini tentunya tidak pernah anda bayangkan ketika melihat United tewas perlawanan pertama liga mereka kepada Brighton sebelum dibelasah Brentford pada perlawanan kedua.

 

Ketika artikel ini ditulis, United sudah mengharungi 35 perlawanan dalam semua kejohanan di era kendalian Ten Hag. Peratus kemenangan yang berjaya dirakam pula mencapai angka 73%, dan dalam 16 perlawanan United berjaya memastikan pintu gol mereka tidak dibolosi. Apa yang lebih menariknya ialah, sejak kemenangan ke atas Omonia Nicosia dalam saingan Liga Europa, United sudah mengharungi 16 perlawanan di Old Trafford tanpa tewas, catatan yang sebenarnya cuma mampu dilakukan barisan `The Red Devils’ ketika era Fergie.

 

Penutup

 

United kini satu-satunya kelab Inggeris yang masih bersaing dalam empat kejohanan utama (Liga Perdana, Piala Liga, Piala FA dan Liga Europa), malah terdapat potensi besar untuk mereka menamatkan saingan musim ini dengan sekurang-kurangnya satu kejuaraan menerusi kejayaan mara ke pentas final Piala Liga. Enam bulan selepas kedatangan Ten Hag, United kini bernyawa semula, mereka mula memberikan cabaran kepada seteru domestik yang lain, lebih konsisten, tahu bagaimana mahu memenangi perlawanan dan bermain bolasepak yang atraktif.

 

Ambisi utamanya ketika beliau menjejakkan kakinya di Old Trafford buat pertama kali ialah menamatkan dominasi Jurgen Klopp dan Pep Guardiola. Itu satu keinginan yang cukup besar dari Ten Hag, dan untuk melakukannya ia perlukan usaha yang besar kerana Manchester City dan Liverpool sudah berada jauh di hadapan dalam tempoh beberapa musim terakhir. Berikan masa untuk Ten Hag, berikan juga sokongan penuh kepada beliau. Sementara itu biarkan proses terus berjalan kerana progresnya akan dapat anda lihat selepas itu. Glory Glory Manchester United!!!



07 Februari 2023

`SABI'...TRANSFORMASI DARI SISI SAYAP KE BAHAGIAN TENGAH

 


Satu terjahan keras yang dilakukan Andy Carroll menyebabkan Christian Eriksen terpaksa berehat panjang. Tetapi sebaik sahaja tahap kecederaan Eriksen disahkan, Manchester United bertindak pantas dengan membawa masuk Marcel Sabitzer dari Bayern Munich sebelum jendela perpindahan pemain musim sejuk ditutup. Bagaimanapun mencari pengganti Eriksen bukanlah satu kerja yang mudah, kerana `maestro’ dari Denmark itu adalah figura penting di bahagian tengah United sejak ketibaan beliau di Old Trafford pada Julai lalu.

 

Sepertimana Eriksen, Sabitzer juga merupakan seorang pemain tengah yang `versatile’, malah ketika usia remajanya beliau pernah berperanan sebagai pemain sayap dan bek sisi. Walau bagaimanapun Eriksen dan Sabitzer adalah dua pemain tengah dengan karakter permainan yang sangat berbeza. Berbanding Eriksen, Sabitzer bukanlah seorang pemain tengah yang elegan menerusi kemampuan mengatur tempo permainan serta kualiti hantaran yang mampu memecah benteng pertahanan lawan. Jadi apa yang menyebabkan beliau di bawa masuk menyertai kelab sebagai pengganti sementara Eriksen?

 

Sabitzer bakal menawarkan sesuatu yang berbeza untuk United bukan sahaja kerana beliau memiliki naluri yang bagus dalam menghasilkan gol, tetapi juga jenis pemain tengah yang memiliki `energy’ serta keinginan tinggi dalam melakukan duel dengan mana-mana `midfielder’ lawan. Kualiti sebenar Sabitzer ialah mobiliti permainan beliau yang lebih baik berbanding Eriksen. Sepanjang 185 penampilan beliau di Bundesliga, Sabitzer menjaringkan 34 gol dan mencipta 29 `assist’. Ratio gol/`assist’ yang sebenarnya sangat mengagumkan untuk seorang pemain tengah yang banyak melakukan kerja-kerja defensif seperti beliau.

 

`Heat map’ Sabitzer dalam penampilannya di Liga Juara-Juara pada dua musim terakhir menunjukkan bahawa beliau memiliki jangkauan mobiliti yang luas. Kemampuan beliau melakukan hantaran ke depan dalam pelbagai variasi merupakan nilai tambah yang sangat berharga dalam skema permainan yang diterapkan Erik Ten Hag pada baki saingan musim ini. Sebenarnya sudah agak lama United tidak memiliki pemain tengah box-to-box `versi Roy Keane’, tetapi memiliki penyudah lebih tajam dan visi permainan yang lebih tinggi.  

 

“Posisi terbaiknya ialah lebih kedepan. Dia bukan pemain tengah bertahan, tetapi lebih kepada box-to-box. Dia memiliki tenaga yang luar biasa, sangat `versatile’ dan dia akan menjadi pilihan yang sangat bagus untuk United”, kata Dietmar Hamann. Sabitzer yang anda kenali tentunya menerusi pencapaian beliau ketika bersama RB Leipzig, meskipun perpindahan ke Bayern satu langkah besar dalam kariernya. Pada musim 2020/21, Leipzig muncul satu-satunya pasukan yang mampu menafikan misi Bayern menjulang kejuaraan Bundesliga buat kali kesembilan berturut-turut.

 

Ketika itu, antara faktor utama mengapa Leipzig mampu menyaingi Bayern dalam perebutan kejuaraan liga ialah betapa solidnya pertahanan mereka. Anda boleh menyebut sosok Dayot Upamecano dan Ibrahima Konate sebagai gandingan pertahanan tengah paling sukar ditembusi di Bundsliga, tetapi jangan lupakan juga peranan yang dimainkan Sabitzer dalam melindungi benteng skuad `Die Rotten Bullen’ itu. Di Leipzig, Sabitzer bukan sekadar pemain tengah yang ofensif, tetapi juga diberikan peranan tambahan yang lebih defensif ketika bertahan.

 

Pada musim 2019/20, Nagelsmann sudah menyedari potensi besar Sabitzer untuk diletakkan di bahagian tengah meskipun pada awalnya beliau bermain di posisi sayap. “Dia mampu beradaptasi dengan baik dalam posisi baharunya. Sekarang peranannya ialah sebagai pemain `nombor 6’. Kini dia muncul salah seorang pemain paling stabil di posisi tersebut di Bundesliga”, kata Nagelsmann. Hasilnya pada musim tersebut, Sabitzer muncul pemain paling banyak melakukan `intercept’ (1.75) dan catatan `recoveries’ ketiga tertinggi dalam skuad Leipzig (13.1) per perlawanan.  

 

Pendekatan permainan `pressing’ berintensiti tinggi menuntut pemosisian yang baik dari pemain di `layer’ kedua. Untuk melakukannya, pemain tengah perlu sentiasa bergerak sama ada untuk memberikan bantuan atau mencipta `overload’ di sekitar rakan sepasukan yang menguasai bola. Untuk itu, Sabitzer melaksanakan tugasnya dengan baik. Dalam situasi ofensif, beliau akan mara jauh hingga ke zon pertahanan lawan dan menjadi antara opsyen Liepzig untuk menghasilkan gol menerusi percubaan terutamanya dari luar petak penalti.

 

Selain Nagelsmann, Sabitzer juga pernah bermain di bawah kendalian Ralf Rangnick, Ralph Hasenhuttl serta Jesse March. Dan apa yang menariknya, keempat-empat pengendali ini begitu dikenali menerusi pendekatan gaya bolasepak `pressing’ berintensiti tinggi mereka. `Sabi’ mungkin tidak se`elegan’ Eriksen, tetapi United sebenarnya berjaya membawa masuk seorang pemain yang memiliki profil serta karakter bertepatan dengan pendekatan permainan mereka di era Ten Hag. Selamat datang `Sabi'…Glory Glory Manchester United!!! 

16 Januari 2023

SELAMAT DATANG `BIG WOUT’



Usianya sudah pun menjangkau 30 tahun, malah sebelum beliau meledak dua gol ke gawang Argentina pada penampilan di Piala Dunia yang lalu, tidak ramai di antara kita yang ambil tahu dengan pemain bernama Wout Weghorst ini. Bagaimanapun secara tiba-tiba nama Weghorst menjadi sebutan berikutan minat yang ditunjukkan United terhadap penyerang antarabangsa Belanda itu yang menjalani tempoh pinjaman bersama kelab Super Lig Turkiye, Besiktas.

 

Weghrost bukanlah nama asing di Liga Perdana kerana pada musim lalu beliau sempat melakukan 20 penampilan untuk Burnley sebelum skuad `The Clarets’ tersingkir ke Liga Kejuaraan. Sepanjang setengah musim kehadirannya di England, tidak banyak impak yang mampu diberikan Weghorst untuk membantu Burnley kekal bersaing di Liga Perdana. Bagi seorang penyerang yang cuma mampu menjaringkan dua gol untuk Burnley, mengapa United begitu berminat mendapatkan khidmatnya?

 

`Ratio’ gol yang dihasilkan Weghorst di Burnley memang wajar diperdebatkan penyokong United, terutamanya bila mengingatkan peranan yang dimainkan beliau sebagai `pemain nombor 9’. Bagaimanapun keputusan Erik Ten Hag membawa Weghorst ke Old Trafford bukan tentang jumlah gol yang dihasilkannya semata-mata, tetapi lebih kepada tentang hal teknikal dan taktik permainan. Untuk itu lihat statistik yang dicatatkan Weghorst dari 20 penampilannya di Liga Perdana musim lalu.

 

Menurut catatan Opta, Weghorst melakukan purata 48.7 `pressing’ dalam setiap perlawanan, sekaligus meletakkan beliau selaku penyerang dengan intensiti `pressing’ paling tinggi di Liga Perdana, manakala daya jelajahnya pula mencapai angka 10.69 km per perlawanan. Di Super Lig pula, Weghorst muncul pemain dengan catatan `Expected Goal’ (xG) tertinggi (9.8), paling banyak melakukan sentuhan di dalam petak penalti lawan (118), percubaan tepat (23) dan percubaan menggunakan kepala (15).

 

Gaya Permainan

 

Wenghorst bukanlah penyerang yang `menggiurkan’ untuk anda saksikan aksinya. Dengan postur tubuhnya yang tinggi dan besar, beliau tidak memiliki `sprint’ selaju Jamie Vardy ketika menyerang pertahanan lawan, atau `skill’ menggelecek seanggun Neymar. Weghorst adalah tipikal `pemain nombor 9’ seperti Olivier Giroud yang gemar menganggu tumpuan pertahanan lawan menerusi pergerakan tanpa bolanya, serta bijak meletakkan diri di posisi yang tepat untuk menyudahkan peluang.

 

Di VfL Wolfsburg, Weghorst merupakan pemain penting dalam menjayakan skema permainan yang diterapkan Oliver Glassner. Tugas beliau bukan sekadar menjaringkan gol, tetapi juga memberikan tekanan kepada pertahanan lawan. Dalam skuad `Die Wolf’, beliau muncul pemain paling banyak melakukan `pressing’ (212), di mana 125 daripadanya dilakukan beliau di zon `final third’, catatan yang hampir tiga kali ganda lebih banyak berbanding mana-mana penyerang Wolfsburg.

 

Sebagai penyerang, tentulah tugas utama beliau ialah menjaringkan gol. Dari 118 penampilan beliau untuk Wolfsburg di Bundesliga, Weghorst meledak 59 gol, lantas meletakkan beliau dikedudukan ketiga selaku penjaring terbanyak sepanjang masa kelab. Secara puratanya pula, beliau menjaringkan 0.5 gol per perlawanan, catatan ketiga terbaik dalam sejarah kelab selepas Edin Dzeko (0.59) dan Grafite (0.53), duo penggempur yang berjaya membantu Wolfsburg menjulang kejuaraan Bundesliga pada 2009.

 

Kenapa United Mahukan Beliau?

 

Memiliki ketinggian 1.97m serta postur tubuh yang tegap, anda boleh labelkan beliau sebagai `targetman’ kerana selepas era Zlatan Ibrahimovic dan Romelu Lukaku berakhir, kita tidak pernah melihat tipikal `pemain nombor 9’ seperti mereka di Old Trafford. Bagaimanapun Weghorst juga adalah seorang `pressing forward’ dalam skema bolasepak moden. Jika dilihat kepada statistik beliau, tugas utama Weghorst bukan sekadar pemburu gol, tetapi juga melakukan `pressing’ kepada lawan di garis pertahanan mereka.  

 

Kehadiran seorang penyerang tengah tulen sebenarnya sangat sinonim dengan gaya permainan United sejak dulu. Andy Cole, Teddy Sheringham, Ruud Van Nistelrooy, Louis Saha dan Dimitar Berbatov adalah diantaranya yang pernah menyinar dalam peranan mereka sebagai `pemain nombor 9’. Melihat kepada isu konsistensi yang dihadapi Anthony Martial, Weghorst adalah alternatif yang ada di pasaran untuk berperanan sebagai penyerang tengah United selepas kelab memilih untuk tidak terlibat perlumbaan mendapatkan khidmat Cody Gakpo.

 

United cuma mampu menghasilkan empat gol dari situasi `set piece’ di Liga Perdana selepas 18 perlawanan, angka kedua terendah selepas Everton. Secara spesifiknya pula, tiga dari empat gol tersebut dihasilkan mereka menerusi tandukan. Dalam tempoh empat musim terakhir, tiada seorang pun penyerang tengah yang memiliki ciri seperti Weghorst dalam kesebelasan United, seorang `target man’ yang bukan sahaja mampu menjadikan dirinya sebagai `reflector’ tetapi juga dominan dalam perebutan bola tinggi.

 

Penutup

 

Anda mungkin agak skeptikal dengan kemampuan Weghorst sebagai penyerang jika melihat kepada rekod jaringannya di Burnley. Tetapi percayalah keputusan mendapatkan khidmat Weghorst merupakan satu langkah penting yang dilakukan kelab selepas pemergian Cristiano Ronaldo. Wenghorst adalah contoh penyerang tengah moden, kerana selain tugas hakikinya memburu jaringan, beliau juga menjadi pemain pertama yang akan melakukan `pressing’ di garis pertahanan lawan serta mampu melaksanakan kerja-kerja defensif.

 

Dan aspek `non-offensive’ inilah sebenarnya menjadi kelemahan ketara Cristiano Ronaldo hinggakan pendekatan `pressing’ tinggi yang cuba dilakukan United adakalanya menjadi kurang efisien. Weghorst bukanlah penyerang yang `stylish’ seperti Ronaldo, tetapi ketika ini Ten Hag mungkin sudah memiliki seorang `pemain nombor 9’ yang tepat dalam `line up’ beliau. €3 juta yang dibayar kepada Besiktas adalah harga yang sangat berbaloi, juga satu urusniaga yang boleh dianggap `nothing to lose’ buat United…Glory Glory Manchester United!!!


 

31 Disember 2022

ADEUS O REI (SELAMAT TINGGAL RAJA)

 


Ketika zaman kanak-kanaknya, beliau lebih dikenali sebagai Dico, bukan `Pele’. Kerana Dico adalah nama panggilan beliau dalam keluarganya. Malahan Dico sendiri ketika kecil tidak menyukai bila rakan-rakan seusianya memanggil beliau dengan nama `Pele’. Bagi Dico, `Pele’ adalah satu bentuk penghinaan kepadanya. Bagaimanapun Pele akhirnya muncul nama besar dalam dunia bolasepak, legenda dan ikon yang disebut-sebut ketika eranya sebagai pemain hinggalah ke hari ini.

 

Untuk itu, terima kasih juga kepada rakan-rakan sekolah Dico, yang memanggil beliau dengan nama `Bile’ (tetapi disalah sebut menjadi `Pele’), hinggakan nama itu terus harum merentasi zaman. Menurut ESPN, ketika era kemuncaknya sebagai pemain, hanya Pele yang mampu menandingi populariti Muhammad Ali sebagai ikon dan bintang sukan dunia. Pada usia 18 tahun, Pele sudah menjulang Piala Dunia, kemudian beraksi selama lebih dua dekad sebelum mengakhiri kariernya bersama New York Cosmos.

 

Kemiskinan adalah cerita yang stereotaip dengan masa silam bintang-bintang bolasepak kelahiran Brazil. Kerasnya dalam mengharungi hidup di `favela’ membentuk mereka menjadi insan yang kuat. Mereka melihat bolasepak sebagai satu-satunya jalan keluar dari belenggu kemiskinan, untuk itu Pele juga tidak terkecuali. Dilahirkan di daerah terpencil Tres Coracoes, Pele dibesarkan dalam keluarga miskin pasangan Joao Ramos dan Dona Celeste, malah untuk mendapatkan sebiji bola adalah sesuatu yang terlalu mahal bagi mereka.

 

Stokin yang didalamnya diisi dengan potongan kain buruk adalah alternatif kepada sebiji bola yang digunakan Pele ketika beliau mengasah bakatnya secara bersendirian. Bayangkanlah bagaimana sukarnya mengawal `bola’ yang tidak bulat sepenuhnya itu ketika berlatih. Tetapi `bola’ itu jugalah sebenarnya yang membentuk karakter, skill dan teknik permainan Pele. Potensi besar Pele akhirnya berjaya dihidu Waldemar de Brito yang menawarkan beliau untuk menjalani satu sesi `trial’ bersama Santos, salah sebuah kelab terkemuka Brazil.

 

Dalam salah satu momen, penampilan Pele benar-benar mengejutkan Lula (pengendali Santos). Apa tidaknya kerana seorang budak yang baru berusia 15 tahun dengan mudah berjaya menewaskan Formiga, pertahanan handalan Santos ketika itu. Pele menandatangani kontrak profesionalnya pada usia 15 tahun, dan pada 7 September 1956 beliau diturunkan Lula dalam kesebelasan Santos ketika berdepan Corinthians. Pada perlawanan itu, Pele menjaringkan gol pertama dari 1,280 gol yang beliau hasilkan sepanjang kariernya.

 

Pada musim pertamanya bersama Santos, Pele meledak 32 gol lantas menobatkan beliau selaku penjaring terbanyak Liga Brazil. Ratio gol yang dihasilkannya benar-benar mengagumkan untuk seorang remaja yang baru berusia 17 tahun. Setahun selepas itu, Piala Dunia edisi 1958 berlangsung di Sweden, dan sepertimana yang dijangkakan, Pele dipanggil untuk menjalani sesi pemilihan skuad kebangsaan. Bagaimanapun timbul keraguan sama ada Pele layak dibawa ke Sweden atau tidak kerana faktor umur dan perwatakannya.

 

“Pele terlalu muda. Dia masih lagi seorang budak yang naif. Dia tidak memiliki semangat juang yang diperlukan. Dia juga terlalu muda untuk berdepan dengan tekanan dan lawan yang agresif. Juga tiada rasa tanggungjawab serta semangat berpasukan. Saya tidak menyarankan anda untuk membawa dia ke Sweden”, saran Joao Carvalhes yang juga merupakan pakar sosiologi pasukan kepada Vincente Feola. Bagaimanapun Pele bernasib baik kerana Feola memang seorang pengendali yang keras kepala.

 

Selepas membaca laporan Carvalhes, Feola berkata, “Kamu mungkin betul, tetapi masalahnya kamu juga bukanlah seorang pakar bolasepak. Jika dia cergas, saya akan bawa dia ke Sweden”. Keputusan Feola ternyata tepat, apabila pada penampilan pertamanya di Piala Dunia, Pele berjaya membantu Brazil menjulang Piala Dunia buat kali pertama. Bukan itu sahaja, Pele juga muncul penjaring termuda di Piala Dunia, penjaring gol termuda di final dan pemain termuda yang pernah menjulang kejuaraan Piala Dunia.

 

Kejayaan di Sweden merupakan sebuah janji yang dipenuhi Pele untuk ayahnya. Kerana ketika Brazil tewas di final pada edisi 1950, Pele melihat ayahnya menangis. Ketika itulah Pele berkata, “Tidak mengapa ayah. Suatu hari nanti aku akan bawakan Piala Dunia untukmu”. Pele melakukannya bukan sekali tetapi tiga kali, kerana selepas itu beliau berjaya membantu Brazil menjulang Piala Dunia pada edisi 1962 dan 1970. Satu pencapaian hebat yang hingga kini tidak mampu disentuh oleh mana-mana pemain terhebat bolasepak moden.

 

Empat tahun sebelum melengkapkan kejuaraan Piala Dunia ketiganya, Pele sebenarnya hampir sahaja bersara. Pada edisi 1966, Pele ternyata kecewa dengan pendekatan pemain lawan yang melakukan terjahan-terjahan keras ke atasnya. Selepas berakhirnya cabaran Brazil, Pele secara mengejut mengumumkan bahawa ini adalah kempen Piala Dunia terakhirnya. “Ini Piala Dunia terakhir saya kerana bolasepak seperti medan perang. Jika bolasepak bererti perang, maka saya akan menggantung `boot’ dan melupakan bolasepak”.

 

Bagaimanapun pada edisi 1970, Pele melakukan penampilan lagi di Piala Dunia bersama skuad `Selecao’ yang ketika itu dilabel sebagai kesebelasan terbaik Brazil sepanjang zaman. Selepas persaraan beberapa pemain senior, Brazil ketika itu diperkuatkan generasi emas mereka menerusi nama-nama seperti Jairzinho, Rivelino, Gerson, Tostao, Clodoaldo dan Carlos Alberto Torres. Pada usia 30 tahun, Pele kini menjadi salah satu pemain senior yang dibawa Mario Zagallo dalam kempen mereka di Mexico.   

 

Sepanjang kejohanan, Pele meledak empat gol termasuk satu jaringan yang dihasilkannya ke gawang Itali di pentas final sekaligus melengkapkan kejuaraan Piala Dunia ketiga Brazil dan juga untuk dirinya. Menurut Tarcisio Burgnich, pertahanan Itali yang ditugaskan mengawal Pele, legenda Brazil itu bukan manusia biasa. “Sebelum perlawanan, saya yakin mampu mengatasinya kerana Pele juga manusia biasa yang dicipta dari tulang dan daging. Bagaimanapun saya silap, kerana Pele bukanlah manusia biasa”, kata Burgnich.

 

Mexico `70 adalah kemuncak kepada karier Pele, dan selepas itu beliau mengumumkan persaraan dari dunia bolasepak. Bagaimanapun masalah kewangan yang dihadapinya memaksa Pele keluar dari persaraan. Lima tahun selepas kejayaan di Mexico, Pele beraksi untuk New York Cosmos di Liga Bolasepak Amerika Utara selama dua tahun. Pada Oktober 1977, Pele bermain bolasepak buat kali terakhir, menutup kariernya sebagai pemain dalam satu perlawanan persahabatan antara New York Cosmos dan Santos.

 

Bagi bakat sehebat Pele, tentunya ada pertanyaan mengapa beliau tidak pernah bermain untuk kelab-kelab besar di benua Eropah? Selepas penampilan sensasi beliau pada Piala Dunia 1958, Pele sebenarnya menerima banyak tawaran untuk bermain di Eropah. Bagaimanapun hati Pele hanya untuk Santos, apatah lagi Janio Quadros (Presiden Brazil ketika itu) mengumumkan bahawa Pele adalah khazanah negara, sekaligus hampir menutup segala kemungkinan untuk beliau bermain di Eropah.

 

Pele tidak pernah memenangi anugerah Ballon d’Or secara rasmi, kerana anguerah tersebut pada mulanya hanya diberikan untuk pemain Eropah sehinggalah peraturan itu dipinda pada 2007. Pada 2014, France Football menganjurkan satu upacara khas sempena ulang tahun ke-60 Ballon d’Or. Pada upacara khas tersebut, Pele dianugerahkan tujuh Ballon d’Or (1958, 1959, 1960, 1961, 1963, 1965 dan 1970). Menurut France Football, menerusi kriteria yang sama, Pele layak dianugerahkan Ballon d’Or pada tahun-tahun tersebut.

 

Pengaruh Pele kepada dunia melangkaui sempadan. Pada 1967, dua kumpulan gerila di Nigeria melakukan gencatan senjata semata-mata mahu menyaksikan aksi Pele dalam jelajah beliau di Lagos. Ketika beliau mengumumkan persaraan pada 1977, akhbar-akhbar utama di Brazil menulis tajuk utama “Langit Pun Menangis” di muka depan mereka. Pada 1999, FIFA menobatkan Pele sebagai `Pemain Terbaik Abad Ini’ bersama Diego Armando Maradona, manakala Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa menamakan beliau sebagai `Atlet Abad Ini’.

 

Pada awal pagi Jumaat, Pele menghembuskan nafas terakhirnya selepas lama bertarung dengan penyakit kanser yang dihidapinya. Kita tidak pernah menyaksikan Pele beraksi secara langsung, tetapi kita tahu bahawa beliau pemain bolasepak terhebat pernah dilahirkan. Sentiasa ada perdebatan berpanjangan dalam memilih siapa yang terbaik antara Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo. Tetapi untuk Pele, kita akan sepakat mengatakan bahawa beliau adalah `Raja Bolasepak’ sebenar. Adeus O Rei!!!



29 Disember 2022

KESEDERHANAAN SEORANG CASEMIRO

 


Di Santiago Bernabeu, Casemiro antara watak penting bagi menggerakkan jentera tengah Real Madrid. Selama tujuh musim sejak beliau kembali ke Santiago Bernabeu dari tempoh pinjaman di FC Porto, gandingan Casemiro, Luka Modric dan Toni Kroos adalah warna yang menghiasi keseimbangan permainan Real, sama ada ketika mereka bertahan ataupun ketika menyerang. Ketika Modric dan Kroos yang sifat mereka lebih `offensive’, Casemiro pula adalah seorang `breaker’ di bahagian tengah. 

 

Era kemuncak Real sering dikaitkan dengan persona Cristiano Ronaldo di barisan hadapan mereka, hingga ramai yang terlupa bahawa kunci kesuksesan skuad Los Blancos itu sebenarnya terletak di tangan trio Casemiro, Modric dan Kroos. Di barisi oleh pemain-pemain yang kebanyakkannya memiliki karakter `offensive’, Real sebenarnya sangat beruntung kerana memiliki pemain seperti Casemiro, sosok yang menjaga keseimbangan di bahagian tengah dan pertahanan mereka.

 

Penampilan Casemiro di Santiago Bernabeu sebenarnya mengingatkan saya kepada Fernando Redondo, bintang Argentina yang pernah menyarung jersi Real selama enam musim (dari 1994 hingga 2000). Redondo bukanlah tipikal seorang pemain tengah bertahan konservatif ketika era tersebut, tetapi seorang pemain tengah bertahan yang memiliki visi permainan tinggi, mirip seorang `playmaker’ yang berposisi sebagai pemain tengah bertahan. 

 

Solusi Kepada De Jong?

 

Ada satu nama yang sering digembar-gemburkan bakal direkrut Erik Ten Hag untuk mengisi posisi pemain tengah bertahan pada jendela perpindahan musim panas lalu. Siapa lagi jika bukan Frenkie De Jong. Sayangnya ambisi Ten Hag yang mahu mendapatkan tandatangan De Jong berakhir dengan kegagalan atas alasan pemain itu mahu kekal di Barcelona yang menawarkan beliau tiket untuk beraksi di saingan Liga Juara-Juara.

 

Idea mendapatkan khidmat De Jong bukan tentang faktor `reunion’ semata-mata kerana hasrat Ten Hag didorong oleh ambisi beliau yang mahu menjadikan United sebagai kesebelasan yang dominan dalam aspek permainan mereka. Idea Ten Hag memang menarik, kerana impian beliau ketika itu ialah agar jentera tengah United dibarisi pemain-pemain tengah yang kreatif. United akan bermain corak bolasepak menarik dengan adanya pemain seperti Bruno Fernandes, Christian Eriksen dan De Jong.

 

Percubaan United mendapatkan De Jong menemui jalan buntu, tetapi kelab akhirnya menemui solusi lain dari seteru domestik Barcelona sendiri, iaitu Real Madrid. Casemiro datang, tetapi selepas itu tetap ada keraguan tentang kemampuan beliau beradaptasi dengan tempo bolasepak di Liga Perdana. Status beliau sebagai antara pemain tengah bertahan terbaik dunia juga bukanlah tiket untuk Casemiro disenaraikan dalam kesebelasan utama United secara automatik.

 

Dari Kaki Casemiro

 

Pada awalnya Ten Hag masih bergantung kepada kombinasi `McFred’ di bahagian tengah, tetapi secara perlahan-lahan aura kelas dunia seorang pemain bernama Casemiro ini mula kelihatan. Casemiro diturunkan dalam kesebelasan utama United pada kesemua lapan aksi terakhir liga, dan apa yang menariknya dari kelapan-lapan penampilan tersebut beliau menerima purata rating 7.6 dalam setiap perlawanan. Rating paling tinggi yang diterimanya ialah 9.2 ketika aksi menentang Nottingham Forest kelmarin.

 

Kemampuan membaca permainan merupakan ciri utama dalam permainan Casemiro, dan itu diterjemahkan beliau menerusi jumlah `intercept’ yang dilakukannya. Dari 12 penampilan liga, Casemiro sudah merakamkan 15 `intercept’, sekaligus muncul pemain bukan pertahanan paling banyak melakukan aksi tersebut. Secara keseluruhannya pula, beliau berada dikedudukan keempat yang mencatatkan jumlah `intercept’ tertinggi selepas Diogo Dalot (20), Lisandro Martinez (19) dan Luke Shaw (16).

 

Kemampuan Casemiro bukan hanya diukur menerusi visi serta kebolehannya dalam membaca permainan, tetapi juga bagaimana aktifnya beliau untuk menghentikan pergerakan pemain lawan. Tidak sepertimana Scott McTominay atau Fred, Casemiro jarang melakukan terjahan yang sia-sia. Secara keseluruhannya dari 12 penampilan liga beliau setakat ini, Casemiro berjaya melakukan 40 `tackle’ dari 50 yang dilakukannya, jumlah terbanyak berbanding mana-mana pemain United.

 

Casemiro adalah tipikal pemain tengah bertahan bolasepak moden. Tugas utamanya bukan hanya melindungi rakan di benteng pertahanan tetapi beliau juga adalah solusi untuk mencipta peluang dari zon `middle third’ menerusi kualiti hantaran yang dimilikinya. Dari 12 penampilan liga, Casemiro melepaskan 481 hantaran tepat dari keseluruhan 597 hantaran yang dilakukannya. Hantaran-hantaran kedepan yang sering dilakukannya juga menyaksikan permainan United lebih progresif dari sebelumnya.

 

Penampilan Terbaik

 

Aksi menentang Chelsea pada 22 Oktober lalu dan Nottingham Forest kelmarin merupakan penampilan terbaik Casemiro sejak ketibaannya di Old Trafford. Sepanjang 90 minit aksi menentang Chelsea, Casemiro menyentuh bola sebanyak 69 kali, muncul pemain paling banyak memenangi penguasaan bola (10 kali) dan `duel’ (9 kali), melakukan empat `tackle’, menang tiga pertarungan bola tinggi, melakukan tiga `clearance’, satu `intercept’, satu percubaan dan pengakhirannya beliau menjaringkan gol pertamanya untuk United.

 

Pada aksi menentang Forest pula, Casemiro menjadi `filter’ kepada setiap serangan yang dilakukan lawan. Kerana sebelum barisan hadapan Forest berdepan Raphael Varane atau Luke Shaw, mereka perlu berurusan dengan beliau terlebih dahulu. Dalam melakukan kerja-kerja defensif, Casemiro muncul pemain paling banyak melakukan `tackle’ dan `intercept’ di atas padang. Manakala dalam aspek ofensif pula, beliau melepaskan 74 hantaran tepat, tiga `key passes’, satu percubaan tepat dan kemuncaknya `assist’ sumbangannya untuk gol ketiga United yang dijaringkan Fred.

 

Peranan yang dimainkan Casemiro di zon `middle third’ dan `defensive third’ turut memberikan impak yang sangat positif kepada kualiti serangan United. Sejak beliau diturunkan dalam kesebelasan utama ketika berdepan Everton, United mencatatkan peningkatan `shot-creating actions’ (ScA) dari 21 kepada 30.8 per perlawanan. Kualiti dalam melakukan kerja-kerja bertahan yang dilakukannya menyaksikan pemain-pemain seperti Bruno Fernandes dan Christian Eriksen lebih bebas menyusun gerakan tanpa terlalu dibebani dengan kerja-kerja bertahan.

 

Penutup

 

Musim ini Casemiro datang ke Old Trafford dengan wajah yang `ramah’, tetapi di atas padang beliau bermain tanpa rasa belas kasihan. Bagi mana-mana pemain lawan yang berjaya melepasi kawalannya, bergembiralah buat seketika kerana ini mungkin kesempatan yang hadir cuma sekali dalam hidup mereka. Bolasepak yang dimainkan Casemiro bukanlah bolasepak yang `flamboyant’, tetapi bolasepak ala Casemiro adalah tentang kesederhanaan tetapi efisien. Penampilan beliau ketika berdepan Forest kelmarin adalah manifestasi sebenar seorang Casemiro. Glory Glory Manchester United!!!



16 November 2022

SUDAH TAKDIRNYA BEGITU

 


Pesona Cristiano Ronaldo usah disangkal…auranya sebagai pemain masih kuat dan perlu juga diakui bahawa beliau masih lagi figura utama bolasepak dunia selain Lionel Messi. Musim panas tahun lalu, Ronaldo kembali semula ke Old Trafford selepas 12 tahun meninggalkan kelab, meskipun pada awalnya ada `rumour’ mengatakan bahawa beliau bakal menyertai Manchester City. Berita kepulangan semula Ronaldo itu menyebabkan dunia maya bergegar seketika akibat dari keterujaan penyokong-penyokong United menyambut kepulangan semula `cinta hati’ mereka itu.

 

Ronaldo kembali menyertai United pada usia 36 tahun, tetapi ketika itu kita tidak terlalu khuatir dengan angka tersebut kerana `instinct’ pembunuh Ronaldo seperti tidak pernah pudar ditelan waktu. Di Kejohanan Euro 2020, Ronaldo membuktikan kepada para pemuja dan pengkritiknya bahawa usia hanyalah angka. Lima gol yang beliau ledak sepanjang kejohanan meletakkan Ronaldo selaku penjaring terbanyak bersama Patrick Schick, mengatasi penyerang yang jauh lebh muda berbanding beliau seperti Romelu Lukaku, Harry Kane atau Karim Benzema.

 

Musim lalu boleh dilabel sebagai antara musim terburuk United, tetapi Ronaldo masih mampu menyinar. Pada usia 36 tahun, beliau masih mampu meletakkan dirinya di posisi ketiga dalam senarai penjaring terbanyak Liga Perdana di belakang Mo Salah dan Son Heung-Min. Adakalanya beliau juga seperti berseorangan memimpin jentera hadapan menerusi hatrik yang diledaknya ketika United menewaskan Tottenham Hotspurs dan Norwich City. Di pentas Liga Juara-Juara pula, Ronaldo tetap berbisa menerusi enam gol yang diledak beliau dari tujuh penampilan.

 

Satu Kesilapan?

 

Ada pendapat yang mengatakan bahawa United melakukan kesilapan besar ketika mereka menandatangani Ronaldo musim lalu, kerana dengan adanya Mason Greenwood, Marcus Rashford, Edinson Cavani dan Anthony Martial, kelab sebenarnya tidak memerlukan tambahan seorang lagi penyerang baharu. Segalanya bermula dengan sangat positif di awal musim, malah sebelum Ronaldo meletakkan tandatangan beliau di atas dokumen kontrak, Greenwood sudah meledak tiga gol dalam tiga aksi permulaan liga musim lalu.

 

Tetapi apa yang sudah berlaku sepanjang tempoh setahun Ronaldo berada dikelab? Greenwood berdepan masalah luar padang yang mengakibatkan karier bintang masa depan Inggeris itu musnah, Cavani yang sentiasa dijadikan `Plan B’ ketika era Ole Gunnar Solskjaer dan Ralf Rangnick berhijrah ke Sepanyol, Martial menjalani tempoh pinjaman selama setengah musim di Sevilla dan Bruno Fernandes bukan lagi pemain yang efektif sepertimana sebelumnya, kerana kelab terlalu bergantung kepada keberadaan Ronaldo.  

 

Untuk berlaku adil kepada beliau, kita perlu mengakui bahawa Ronaldo adalah pemain penting untuk United musim lalu, kerana tanpa gol-gol yang dijaringkannya, kelab tidak akan mampu menamatkan saingan liga di tangga keenam. Ronaldo adalah `clutch player’ untuk United, kerana gol-gol penting yang dijaringkannya seringkali mengubah keputusan perlawanan. Contoh terbaik lihat sahaja gol kemenangan yang dijaringkannya ketika berdepan Villareal dan gol penyamaan ketika berdepan Atalanta di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.  

 

Intensiti Menurun

  

Bagaimanapun bolasepak bukanlah tentang sumbangan seorang pemain semata-mata, tetapi bolasepak adalah permainan berpasukan. Ketika kelab mengumumkan kejayaan mereka menandatangani Ronaldo tahun lalu, timbul persoalan tentang kemampuan tubuhnya untuk beradaptasi dengan falsafah bolasepak moden yang berintensiti tinggi. Bolasepak moden bukan tentang penguasaan bola semata-mata, tetapi juga seberapa pantas sesebuah pasukan mampu menguasai semula bola selepas mereka kehilangannya menerusi tekanan yang diberikan kepada lawan.

 

`Pressing’ perlukan kerjasama sepasukan dan menurut catatan FBRef, terdapat tiga pemain hadapan United yang mencatatkan lebih seribu minit permainan selepas 20 perlawanan liga musim lalu berlangsung. Mereka ialah Bruno (1,606 minit), Greenwood (1,150 minit) dan Ronaldo (1,300 minit). Secara puratanya Ronaldo melakukan 2.91 tekanan di zon `final third’ lawan per perlawanan. Berbanding Ronaldo, intensiti Bruno dan Greenwood jauh lebih tinggi apabila masing-masing melakukan purata 5.61 dan 4.36 tekanan kepada lawan dalam setiap perlawanan.

 

Musim ini, statistik jaringan Ronaldo juga menurun secara drastik kerana dari sepuluh penampilan liga, beliau cuma mampu menjaringkan satu gol (berbanding empat pada musim lalu). Di pentas Eropah pula, Ronaldo meledak enam gol sepanjang saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, manakala pada musim ini di saingan Liga Europa, cuma dua kali beliau berjaya menembusi pintu gol lawan. Agak malang melihat bagaimana seorang pemain bergelar `GOAT’ seperti beliau bergelut ketika berdepan lawan kerdil seperti AC Omonia dan Sheriff Tiraspol.

 

Usia

 

Tahun ini usia Ronaldo sudah pun menjangkau 37 tahun, meskipun fizikal luarannya seperti tidak terusik oleh perjalanan masa, kudrat beliau tidak lagi sekuat dahulu. Pergerakannya tidak lagi lincah, kepantasan lariannya sudah menurun dan `instinct’ pembunuhnya tidak lagi menggerunkan. Yang tinggal kini cumalah reputasi beliau selaku antara pemain terbaik di dunia pernah dilihat dan dilahirkan. Usia bukan sahaja memamah kudrat Ronaldo tetapi juga ketajamannya dalam menyudahkan peluang di hadapan gawang lawan.

 

Statistik jaringan Ronaldo sebenarnya mula menurun dari musim ke musim. Meskipun 18 gol yang dihasilkannya dalam saingan liga musim lalu satu catatan yang boleh dianggap fantastis jika mengambilkira usia beliau, tetapi jumlah itu juga adalah catatan terendah dalam tempoh 12 tahun kariernya di peringkat kelab. Musim lalu catatan `expected goal’ (xG) Ronaldo menurun berbanding dua musim sebelumnya. Musim lalu catatan xG Ronaldo ialah 17.9 berbanding 28.6 pada musim 2019/20 dan 27.7 pada musim 2020/21.

 

Penutup

 

Musim ini Ronaldo melakukan 18 penampilan untuk United dalam semua peringkat kejohanan. Dari jumlah tersebut, beliau cuma diturunkan dalam kesebelasan utama United sebanyak sepuluh kali. Imej-imej Ronaldo di bangku simpanan adalah metafora kepada fasa pengakhiran dari era keemasan seorang legenda bolasepak dunia. Meskipun kudratnya tidak lagi segagah dulu, ego Ronaldo tetap tinggi. Bagi Ronaldo, adalah satu penghinaan kepada dirinya untuk sekadar melihat aksi rakan sepasukan dari bangku simpanan.

 

Bagi seorang pemain yang sudah bertaraf `GOAT’, aksi dan pertarungan menentang pemain lawan di atas padang adalah medan sebenar untuk legenda seperti beliau. Meskipun tak lagi muda, Ronaldo masih bernafsu untuk bertarung, masih ketagih untuk menggelecek dan masih kerinduan untuk menjaringkan gol. Bagi Ronaldo, adrenalin dalam tubuhnya akan hanya memuncak ketika beliau berjaya menewaskan penjaga gol lawan dan kemudiannya merayakan jaringan tersebut menerusi selebrasi `Siu’ yang sangat ikonik itu.

 

Kedatangan nakhoda baharu mengubah nasib Ronaldo. Meskipun Ten Hag masih menurunkan beliau dalam kesebelasan utama, Ronaldo bergelut dalam usahanya untuk beradaptasi dalam lingkungan bolasepak berintensiti tinggi. Ten Hag mahukan para pemainnya melakukan `high pressing’ ketika hilang penguasaan bola, agresif dan sentiasa bergerak serta bertukar-tukar peranan. Gaya bolasepak seperti itulah yang mendera tubuh Ronaldo dan membuatkan beliau sukar bernafas kerana faktor usia yang membataskan kudratnya.

 

Kelmarin, kita dikejutkan lagi dengan cerita tentang Ronaldo. Dunia maya bergegar lagi bila beliau meluahkan kenyataan-kenyataan kontroversi dan provokatif dalam satu wawancara bersama Piers Morgan. Wawancara itu membuatkan cerita tentang gol sensasi Alejandro Garnacho ke gawang Fulham tenggelam. Wawancara itu seperti bom jangka, yang seolah-olah sudah begitu lama ingin dilepaskan Ronaldo. Bagaimanapun jika anda memerhati gerak-geri beliau sejak kebelakangan ini, apa yang dilakukan Ronaldo bukanlah hal yang terlalu mengejutkan.

 

Apa yang dilakukan Ronaldo memang tidak boleh diterima dan umpama satu tindakan bunuh diri, kerana kelab tidak akan berdiam diri, dan Ten Hag yang dijadikan sasaran amarahnya juga tidak akan berpeluk tubuh. Ronaldo pasti akan pergi meninggalkan kelab, kerana di sini tiada lagi tempat untuknya. Agak malang untuk seorang legenda dan ikon seperti beliau pergi dengan cara begini, kerana Ronaldo sepatutnya boleh memilih cara yang lebih indah untuk beliau mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong-penyokong United yang memujanya.

 

Daripada memilih cara yang lebih romantis untuk mengucapkan selamat tinggal, Ronaldo sebaliknya memilih cara yang agak tragis. Dan bagi penyokong United yang memuja beliau, pastinya amat menyakitkan melihat `cinta hati’ mereka itu pergi buat kali kedua. Tetapi itulah perjalanan hidup, kerana adakalanya ia berakhir tidak sepertimana yang kita dambakan. Jadi biarkan sahaja ia berjalan mengikut rencanaNya…kerana memang sudah takdirnya begitu. Terima kasih Ronaldo untuk segalanya…Glory Glory Manchester United!!!