01 Mac 2023

SATU SUDAH DIGAPAI...TIGA LAGI SELEPAS INI

 


Enam tahun tanpa trofi terasa begitu terlalu lama, apatah lagi untuk sebuah kelab seperti Manchester United. Bagi sebuah kelab yang sebelumnya sangat sinonim dengan prestasi dan sangat kuat tarikannya terhadap trofi, enam tahun tanpa sebarang kejuaraan adalah tempoh yang membingungkan, tempoh yang menyakitkan dan tempoh yang membuatkan kita sering tertanya-tanya, apa sebenarnya yang sudah terjadi kepada United?

 

Bagaimanapun, awal pagi 27 Februari di Wembley, segalanya tuntas. Penantian enam tahun tanpa sebarang trofi berakhir apabila barisan kendalian Erik Ten Hag menewaskan Newcastle United untuk menjulang kejuaraan Piala Liga keenam dalam sejarah kelab. Ini mungkin cuma `piala kecil’, tetapi apa yang menariknya United berjaya menjulang trofi pertama mereka sejak 2017 hanya dalam tempoh sembilan bulan selepas ketibaan Ten Hag di Old Trafford.

 

Kejayaan United menjulang `piala kecil’ ini memang luarbiasa, kerana di sebalik dominasi lawan dalam hal penguasaan bola (61%), mereka masih mampu keluar sebagai pemenang. `Turning point’ dalam perlawanan ini tentunya dua gol yang dijaringkan United dalam tempoh lima minit. Pertama menerusi Casemiro (minit ke-33) dan kedua menerusi Marcus Rashford (minit ke-38). Dua gol itu sebenarnya menoktahkan perjuangan Newcastle kerana di babak kedua tidak banyak yang mampu dilakukan mereka untuk menembusi pertahanan solid `The Red Devils’.

 

Ramai yang bercakap tentang  Casemiro dan Marcus Rashford, dua pemain yang gol mereka membawa United ke podium kejuaraan. Casemiro memang seorang pemain dengan mentaliti pemenang, manakala Rashford pula sedang menikmati musim terbaiknya. Bagaimanapun individu terpenting di sebalik kejayaan United di Wembley tempohari ialah Erik Ten Hag, sosok yang didambakan penyokong-penyokong `The Red Devils’ sejak sekian lama untuk menduduki kerusi panas pengendali di Old Trafford.

 

Sejak 2013, David Moyes, Louis Van Gaal, Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer dilantik dalam usaha kelab mengembalikan semula kegemilangan yang pernah mereka kecapi di era Sir Alex Ferguson. Tetapi kesemua mereka tidak mampu bertahan lama kerana prestasi buruk kelab yang menyebabkan mereka akhirnya di pecat. Sepuluh bulan lalu, United melakukan satu lagi tindakan drastik apabila mereka mengumumkan Ten Hag selaku pengendali baharu skuad utama, menggantikan posisi Ralf Rangnick yang sebelumnya bertindak sebagai pengurus interim.

 

Di Belanda, kredibiliti Ten Hag sudah terbukti apabila beliau berjaya mengemudi Ajax Amsterdam muncul juara Eredivisie sebanyak tiga kali, tetapi di Liga Perdana sentuhannya masih belum teruji. Bagaimanapun dalam tempoh hanya sepuluh bulan, Ten Hag berjaya menjadikan United sebuah kesebelasan yang mampu mencabar kejuaraan, sukar dikalahkan serta tahu bagaimana mahu memenangi perlawanan. Dan selepas enam tahun tanpa sebarang kejuaraan, United akhirnya menjulang trofi pertama mereka sejak 2017.

 

Sebaik wisel penamat aksi final Piala Liga ditiup, jutaan penyokong United di seluruh dunia akhirnya berasa lega kerana mereka kembali menghirup aroma kejuaraan yang sudah enam tahun tidak mereka nikmati. United tidak akan mampu keluar sebagai juara jika bukan kerana transformasi yang dilakukan Ten Hag. Dengan wibawa, ketajaman fikiran serta falsafah bolasepak yang beliau bawa, Ten Hag kini sudah memiliki trofi pertama sebagai bukti bahawa beliau juga mampu bersaing dengan mana-mana pengurus terbaik di Liga Perdana.

 

Jangan lupakan juga, hanya tiga hari sebelum final ini berlangsung, beliau berjaya mengemudi United menyingkirkan Barcelona dari saingan Liga Europa. `Mood’ pemain ketika ini sangat berbeza dengan apa yang mereka tunjukkan dalam tempoh beberapa musim terakhir. Segala aspek luaran yang ditunjukkan pemain sama ada menerusi prestasi mereka di atas padang atau dari bahasa tubuh sebenarnya lahir dari kerja-kerja dalaman yang dilakukan pengendali berkepala botak itu.

 

Masih ingat lagi dengan tindakan beliau selepas United tewas 0-4 ditangan Brentford pada perlawanan kedua liga musim ini? Berang dengan kekalahan memalukan itu, Ten Hag bukan sahaja membatalkan cuti hujung minggu para pemainnya, tetapi beliau juga mengarahkan mereka untuk melakukan larian sejauh 13.8 km bersama-sama. Isyarat beliau jelas, iaitu tiada sebarang toleransi dengan kekalahan seperti itu dan semua anggota dalam skuad perlu bertanggungjawab.

 

Apa yang berlaku selepas itu? Para pemain menunjukkan reaksi yang sangat baik dan United berjaya menewaskan Liverpool pada perlawanan ketiga liga mereka. Kejayaan menjulang trofi Piala Liga antara progres yang dapat anda lihat setelah sepuluh bulan Ten Hag mengendalikan kelab, dan sekarang semua pihak optimis bahawa beliau adalah sosok yang tepat untuk membawa kembali kelab ke kelompok elit setelah bertahun-tahun tenggelam dalam rasa `frustasi’.

 

Trofi ini (Piala Liga) sangat besar ertinya bukan sahaja kepada penyokong United tetapi juga pemain seperti Christian Eriksen, Bruno Fernandes dan Harry Maguire. Tujuh musim ketika bersama Tottenham Hotspurs, Eriksen tidak pernah memenangi sebarang trofi. Ini juga merupakan trofi pertama Bruno selepas tiga tahun beliau menyertai United. Dalam soal trofi, Maguire tidak pernah beruntung, kerana bersama skuad kebangsaan, beliau gagal menjulang trofi Euro biarpun England mara ke final pada edisi 2020.

 

Selepas Maguire meninggalkan Leicester City, skuad `The Foxes’ itu berjaya menjulang trofi Piala FA dan Perisai Komuniti, manakala di Old Trafford pula, beliau sering dijadikan sasaran kritikan berikutan prestasi buruknya di benteng pertahanan. Medal kejuaraan Piala Liga ini tetap tidak akan menaikkan darjat Maguire di mata penyokong United, tetapi momen ketika menjulang trofi Piala Liga tetap akan menjadi kenangan abadi dalam karier beliau.

 

Kejayaan menjulang trofi Piala Liga ini hanyalah permulaan. Apa yang pastinya penyokong-penyokong United mahu melihat lebih banyak kejuaraan di bawa masuk ke Old Trafford selepas ini. Sepertimana Mourinho, Ten Hag menjadikan Piala Liga sebagai prioriti utama untuk dimenangi pada eranya selaku pengendali. Dan sepertimana ketika era Mourinho dulu, kita berharap akan ada lagi trofi berjaya di bawa masuk selepas ini. Satu sudah digenggam, tiga lagi masih dalam jangkauan. Adakah `quadruple’ itu mustahil untuk di gapai? Saya fikir tidak. Glory Glory Manchester United!!!

25 Februari 2023

PENTING UNTUK UNITED MENANG `PIALA KECIL' INI

 


Melangkah ke Wembley tetap satu momen yang istimewa buat mana-mana pemain, apatah lagi beraksi di pentas `final’ demi merebut sebuah trofi. Berada di podium sambil menjulang trofi kejuaraan boleh dianggap kemuncak kepada pencapaian bagi sesetengah pemain, kerana tidak ramai yang bernasib baik dan berpeluang berada di sana. Awal pagi Isnin nanti, lapangan hijau di Wembley akan menjadi medan pertempuran antara Manchester United dan Newcastle United yang menawarkan Piala Liga sebagai ganjaran kepada si pemenang.  

 

Ini adalah final pertama kejohanan domestik untuk United dalam tempoh empat musim, sejak kali terakhir skuad Jose Mourinho tewas kepada Chelsea dalam penampilan mereka di pentas akhir Piala FA pada 2018. Dan Mourinho jugalah pengurus terakhir United yang berjaya membawa trofi Piala Liga ini ke Old Trafford. Ketika eranya sebagai pengurus United, Mourinho sentiasa memandang tinggi kejohanan ini. Ketika kebanyakkan kelab besar Inggeris menggunakan kejohanan Piala Liga sebagai medan pendedahan kepada pemain muda, Mourinho pula memilih sebaliknya.

 

Anda boleh katakan apa sahaja tentang kejohanan Piala Liga. Sama ada ia kejohanan kelas ketiga atau `Piala Mickey Mouse’, tetapi Piala Liga tetap ada di tempat yang sangat istimewa di hati Mourinho. Kerana trofi inilah kejuaraan pertama yang beliau menangi sejak memulakan kariernya di England pada 2004. Kejayaan membantu United menjulang kejuaraan ini pada 2017, meletakkan Mourinho sebagai pengurus ketiga selepas Brian Clough dan Sir Alex Ferguson yang berjaya memenangi kejuaraan ini sebanyak empat kali.

 

Ketika ramai pihak yang bersikap agak sinikal dengan prestij Piala Liga, pentas `final’ kali ini menjadi misi yang sangat penting buat United, kerana aksi di Wembley nanti bakal menjadi penentu adakah mereka mampu menamatkan kemarau enam tahun tanpa kejuaraan atau tidak. Meskipun United juga masih bersaing dalam merebut tiga lagi kejuaraan (Liga Europa, Liga Perdana dan Piala FA), peluang memenangi `piala kecil’ ini tidak harus dilepaskan. Bagi Erik Ten Hag, memenangi Piala Liga akan menjadi langkah permulaan kepada revolusi beliau di Old Trafford.

 

Menentang Barcelona dalam perlawanan `play-off’ Liga Europa merupakan momen penting Ten Hag sebagai pengurus, tetapi menurut beliau final Piala Liga nanti adalah aksi penting dan besar dalam kariernya. “Dua pasukan besar dan hebat bertemu di Old Trafford. Itu menjadi momen yang besar dan suasananya sungguh hebat. Bagaimanapun saya tidak yang suka melihat ke belakang. Hari minggu ini, ada perlawanan besar yang perlu kami hadapi. Ini bukan tentang pujian tetapi memenangi trofi. Dan pada hari minggu ini, kami berpeluang memenangi trofi” kata Ten Hag.

 

Newcastle United bakal menjadi halangan terakhir yang perlu dilepasi United jika mereka mahu berarak ke podium kejuaraan di Wembley nanti. Sebelum memburu kesuksesan yang lebih besar, United perlu memenangi `piala kecil’ ini terlebih dahulu, dan peluang ini tidak harus dilepaskan. United kesebelasan yang jauh berbeza berbanding musim lalu yang penuh dengan kecelaruan. Bagi Ten Hag, melangkaui `ekspektasi’ dengan memenangi empat kejuaraan bukan lagi satu gurauan jika anda melihat progres yang beliau bawa ke dalam kelab.

 

Lima musim tanpa sebarang kejuaraan satu penantian yang cukup panjang buat kelab besar seperti United. Dan selepas kegagalan memenangi sebarang trofi di era pengurusan Ole Gunnar Solskjaer, Ten Hag di bawa ke Old Trafford bagi mematikan segala stigma yang menganggap United sebagai `kelab besar tanpa kejuaraan’. Kini `piala kecil’ ini menjadi sasaran pertama United yang mesti mereka menangi di era Ten Hag. Percayalah, selepas itu kesan domino akan berlaku, dan `piala besar’ akan dibawa pula ke Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!! 



22 Februari 2023

MALAM PENENTUAN

 


Bukan tugas mudah menentang Barcelona, apatah lagi beraksi di hadapan 90 ribu penyokong mereka di Camp Nou. Bagaimanapun Manchester United melaksanakan tugas mereka dengan baik apabila berjaya mengikat Barca (2-2) pada perlawanan pertama pusingan `play-off’ Liga Europa di gelanggang lawan, sekaligus menamatkan rentetan 11 kemenangan berturut-turut Barca dalam semua peringkat kejohanan. Semua orang bercakap tentang perlawanan ini, meskipun ia cuma membabitkan pertembungan dua kelab di kejohanan `kelas dua’ Eropah.

 

Anda tidak boleh membandingkan gemerlapnya saingan Liga Juara-Juara dengan Liga Europa, tetapi pertembungan di Camp Nou pada 17 Februari lalu secara keseluruhannya menepati kehendak dan harapan penyokong kedua-dua pasukan. Meskipun ini bukanlah pertembungan yang boleh dilabel sebagai epik, secara keseluruhan, aksi pertama di Camp Nou berlangsung dengan sangat menarik dan seimbang. Barca menguasai 61% dalam aspek penguasaan bola, tetapi United masih mampu melepaskan 18 percubaan sepanjang tempoh permainan.

 

Lega

 

Penyokong United tentunya kelompok yang paling gembira selepas pertarungan di Camp Nou itu selesai. Keputusan seri itu bukan sahaja memberikan United kelebihan bila beraksi di Old Trafford nanti, tetapi juga satu petunjuk jelas bahawa United di era Erik Ten Hag kesebelasan yang semakin sukar dikalahkan. Sejak aksi peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara musim 1998/99, ini merupakan kali pertama dalam tempoh 25 tahun United berjaya membolosi pintu gol Barca sebanyak dua kali ketika mereka beraksi di Camp Nou.

 

Apa yang berlaku selepas gol pembukaan perlawanan dari Marcos Alonso di minit ke 50 itu? Gol itu sepatutnya meningkatkan keyakinan Barca, malah mereka sepatutnya lebih menggila untuk memburu lebih banyak gol sebagai bekalan sebelum bertandang ke Old Trafford. Ketika ramai pihak yang percaya bahawa United akan sekali lagi ditenggelami asakan Barca selepas gol Alonso terhasil, barisan Ten Hag sebaliknya cuma perlukan dua minit untuk menyamakan kedudukan. Dan tujuh minit selepas itu mereka `mematikan’ Camp Nou seketika menerusi gol kedua.  

 

Susahnya Nak Hentikan Rashy

 

Marcus Rashford adalah bintang pada malam itu meskipun Raphinha dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan. Tiada keraguan untuk mengatakan bahawa musim ini adalah musim terbaik Rashford. Sejak berakhirnya kempen Piala Dunia di Qatar, cuma tiga kali beliau gagal menjaringkan gol dari 17 penampilan. 45 minit pertama di Camp Nou, Rashford agak tenggelam, tetapi di babak kedua ketika beliau diberikan ruang dan umpanan, bermulalah ancaman Rashford kepada benteng pertahanan Barca.

 

Gol pertama yang dijaringkan beliau dan gol kedua yang terhasil menerusi gerakannya adalah tipikal sebenar permainan Rashford. Sebelum perlawanan, Xavi Hernandez sedar akan bahaya yang mampu diberikan Rashford terutamanya menerusi gerakan-gerakan dari sisi kiri. Atas sebab itulah beliau memberikan peranan khusus kepada Ronald Araujo bagi meneutralkan ancaman pemain berusia 25 tahun itu. Idea yang sama digunakan Xavi ketika Araujo `menjinakkan’ Vinicious Junior pada aksi final Supercopa bulan lalu.

 

Penampilan Berbeza

 

United di Camp Nou adalah skuad dengan penampilan jauh berbeza, setidak-tidaknya jika anda membandingkan prestasi mereka sepanjang musim lalu, kerana mereka kini bukanlah kesebelasan yang mudah tenggelam bila diasak. David De Gea kekal `pemegang kunci’ pintu gol United yang boleh dipercayai menerusi beberapa penyelamatan hebat yang dilakukannya sepanjang perlawanan. Wout Weghorst meskipun statusnya cumalah sebagai pemain pinjaman tetapi beraksi seperti tiada lagi hari esok untuknya.

 

Fred pula seolah-olah ingin memberitahu kepada para pengkritiknya, “Berikan saya rakan gandingan yang tepat, kemudian anda akan lihat Fred dalam versi yang berbeza”. `Assist’ yang diciptanya untuk gol pertama jaringan Rashford adalah jawapan tepat mengapa amarah penyokong United terhadap beliau boleh bertukar kepada cinta dalam hanya sekelip mata. Casemiro tetaplah Casemiro, `si penyerap asakan’ yang sentiasa kekal tenang dalam tekanan, type pemain yang membuatkan rakan-rakan sepasukan berasa lebih selamat ketika beliau bermain.

 

Di bahagian tengah anda tidak boleh tercicir nama Bruno Fernandes dalam setiap perlawanan, apatah lagi aksi penting seperti ini. Visi permainan dan hantaran-hantaran tepat dari beliau yang sering memecah benteng pertahanan lawan antara elemen yang menjadikan United kesebelasan lebih baik sejak kehadirannya tiga tahun lalu. Dan akhir sekali, United tidak akan mampu keluar dari Camp Nou dengan keputusan seri jika tidak kerana disipinnya barisan pertahanan mereka menyerap setiap asakan lawan meskipun turun tanpa Lisandro Martinez.

 

Penutup

 

Aroma emosi akibat persaingan sengit antara kedua-dua kelab adakalanya menyaksikan pertembungan antara United dan Barca ini sedikit unik. Meskipun tidaklah hingga melangkaui euforia dan `suhu’ pertembungan `Roses Derby’, `Manchester Derby’ atau `North-West Derby’ dalam saingan domestik, persaingan antara United dan Barca tetap punya keunikan dan tarikan tersendiri di pentas Eropah. Sejak kali pertama kedua-dua kelab bertemu, Barca lebih dominan menerusi enam kemenangan yang dilakar mereka, selain lima keputusan seri dan tiga kekalahan.

 

United bertarung di Camp Nou dengan penuh keberanian, dan mereka meninggalkan gelanggang keramat gergasi Catalan itu dengan rasa hormat dari lawan. Melihat penampilan United pada perlawanan pertama, Xavi sedar aksi di Old Trafford nanti bukan kerja mudah untuk Barca, meskipun kali terakhir mereka tewas di sini ialah pada 2008. Bagi United, ini adalah masa terbaik untuk mereka menyingkirkan Barca, dan menjadikan trofi Liga Europa satu lagi kejuaraan yang realistik untuk mereka menangi musim ini. Glory Glory Manchester United!!!



14 Februari 2023

BANGKITNYA MARCUS RASHFORD

 


Selepas tamat aksi pusingan ketiga Piala FA menentang Everton pada 6 Januari lalu, Ian Wright menyifatkan bahawa Marcus Rashford sudah menemui semula sentuhan terbaik dalam permainannya. Menurut legenda Arsenal itu, Erik Ten Hag memainkan peranan besar kepada peningkatan prestasi Rashford. Manakala Roy Keane yang kebiasaannya begitu kritis dalam setiap komentarnya pula melabelkan ini adalah malam terindah buat pemain itu. Apa tidaknya kerana pada perlawanan itu, Rashford terlibat dengan ketiga-tiga gol yang yang dihasilkan United ke gawang Everton.

 

Rashford mencipta `assist’ yang disempurnakan Antony untuk gol pertama perlawanan. Gol kedua jaringan sendiri dari Conor Coady terhasil menerusi gerakan yang dilakukan beliau dari sisi kanan pertahanan lawan. Dan akhirnya Rashford melengkapkan malam gemilang beliau menerusi gol ketiga United dari sepakan penalti yang disempurnakannya di penghujung perlawanan. Sebaik sahaja saingan domestik bersambung usai tamatnya kejohanan Piala Dunia di Qatar, prestasi Rashford benar-benar mengagumkan kita.

 

Dari 15 penampilan terakhir dalam semua peringkat kejohanan, Rashford menjaringkan 13 gol, mencipta empat bantuan gol dan dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan sebanyak empat kali. Enam hari sebelum aksi menentang Everton, Rashford membantu United meraih tiga mata penuh di Stadium Molineux walaupun beliau tidak diturunkan dalam kesebelasan utama gara-gara isu disiplin. Pada usia yang sudah menjangkau 25 tahun, tindak balas beliau selepas `digantung’ selama 45 minit ketika berdepan Wolves oleh Ten Hag menunjukkan kematangan Rashford sebagai pemain.

 

Semangat Baru

 

Bumi Qatar seolah-olah memberikan nafas baharu kepada Rashford, apa tidaknya kerana selepas berakhirnya tugasan beliau bersama skuad kebangsaan di Piala Dunia, naluri penyudah Rashford tampak seperti sukar dibendung. Gol yang dijaringkan beliau ke gawang Leeds United kelmarin, menyaksikan Rashford berjaya meledak tiga gol berturut-turut dalam saingan liga. Malah beliau juga muncul pemain pertama United sejak 2012 yang berjaya menjaringkan gol dalam tujuh penampilan berturut-turut di Old Trafford.

 

Selepas pemergian Cristiano Ronaldo pada November tahun lalu, timbul persoalan adakah barisan hadapan United mampu `hidup’ tanpa sentuhan mega bintang Portugal itu. Bagaimanapun segala kebimbangan dan persoalan dijawab Rashford menerusi gol demi gol yang dijaringkannya, satu isyarat jelas bahawa United boleh bergantung kepada beliau dalam survival mereka untuk menamatkan saingan liga musim ini di posisi kelompok empat teratas. Secara keseluruhannya setakat ini, Rashford sudah meledak 21 gol hanya dari 34 penampilan dalam semua kejohanan.

 

Faktor Kebangkitan

 

Sejak melakukan penampilan pertamanya untuk skuad utama United, Rashford sudah bermain di kesemua posisi di barisan hadapan. `Eksperimen’ yang dilakukan oleh pengurus-pengurus United sebelumnya antara faktor yang melambatkan perkembangan Rashford. Beliau tidak memiliki naluri pembunuh yang bagus untuk berperanan sebagai penyerang tengah, tetapi beliau memiliki kepantasan untuk `membunuh’ bek sisi lawan menerusi kawalan bola dan larian-larian pantasnya sama ada dari sisi kiri mahupun kanan.  

 

Kehadiran Erik Ten Hag antara faktor utama kebangkitan semula Rashford selaku peledak berbisa United. Ironinya sepanjang musim lalu, Rashford cuma mampu meledak lima gol dari keseluruhan 32 penampilan beliau untuk United dalam semua kejohanan. Di era Ten Hag, Rashford lebih selesa bergerak di sebelah sisi (kiri), posisi yang memang kita tahu menjadi kegemaran beliau. Menurut catatan Fbref, peratus gol dari situasi permainan terbuka Rashford meningkat ke angka 91% berbanding ketika beliau berperanan sebagai penyerang tengah (78%).

 

Penutup

 

Apa yang dapat anda lihat musim ini ialah Rashford secara konsisten berjaya melepaskan percubaan ke arah gawang lawan. Dari 0.29 percubaan per perlawanan musim lalu, catatan beliau meningkat kepada angka 0.47 musim ini. Secara puratanya beliau juga melepaskan 2.06 percubaan dari jarak 15 meter manakala indeks `expected goal’ (xG) beliau meningkat dari 0.23 musim lalu kepada 0.37. 21 gol yang diledak beliau setakat ini menyaksikan Rashford berjaya melepasi angka 20 gol semusim buat kali ketiga sepanjang kariernya di Old Trafford.

 

Dengan baki saingan musim ini yang masih panjang, tiada masalah untuk Rashford melepasi rekod 22 jaringan semusim yang dilakukannya empat tahun lalu. Rashford sudah melepasi angka 100 gol dalam kariernya di Old Trafford, malah 30 gol semusim bukanlah sesuatu yang mustahil untuk digapai. Di kaki beliau, kita mahu melihat gol-gol terus terhasil dan dikaki beliau juga terletaknya harapan dan impian bahawa musim ini United bakal meraih trofi pertama mereka dalam tempoh lima tahun. Glory Glory Manchester United!!!



09 Februari 2023

PROSES DAN PROGRES SEPANJANG ENAM BULAN TEN HAGI DI OLD TRAFFORD

 


Sudah bermusim-musim Manchester United berdepan kecelaruan. Mereka bukan lagi kesebelasan yang digeruni, pelaburan besar menerusi pembelian beberapa pemain ternama tetapi akhirnya gagal, kemarau trofi sejak kali terakhir barisan kendalian Jose Mourinho memenangi kejuaraan Piala Liga dan Liga Europa (selain Perisai Komuniti) pada musim 2016/17, serta prestasi tidak konsisten bak `roller coaster’ saban musim yang mengorbankan jawatan David Moyes, Louis Van Gaal, Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer selaku pengendali di Old Trafford.

 

Ralf Rangnick, individu yang dilabel Pep Guardiola sebagai `bapa gegenpressing’ juga gagal menyelamatkan United dari kemunduran selepas beliau dilantik selaku pengurus interim menggantikan posisi Solskjaer pada baki saingan musim lalu. Pada April tahun lalu, teka teki dan saga siapa yang bakal menduduki kerusi panas di Old Trafford akhirnya terjawab apabila United mengumumkan Erik Ten Hag sebagai pengurus baharu mereka. Pemilihan Ten Hag memang sudah diduga meskipun kelab turut dikaitkan dengan minat mereka terhadap Mauricio Pochettino.

 

Antara Pochettino Dan Ten Hag

 

Berbanding Mauricio Pochettino, United memilih Ten Hag atas beberapa sebab. Menurut John Murtough yang juga merupakan pengarah bolasepak United, pemilihan Ten Hag dibuat kerana kelab tertarik dengan falsafah bolasepak dan komitmen tinggi beliau terhadap bakat-bakat muda. “Selama empat tahun di Ajax, Erik membuktikan bahawa beliau antara pengurus paling berjaya dan mengujakan di Eropah. Dia sangat dikenali dengan gaya bolasepak menarik dan menyerang serta komitmennya terhadap bakat muda”, kata Murtough.

 

Di Eredivisie, Ten Hag berjaya mengangkat semula martabat Ajax selaku gergasi bolasepak Belanda, tetapi cabaran yang menanti beliau di England sebenarnya lebih sukar dan mencabar. United sudah lama `tidur lena’ tanpa ada tanda-tanda kemampuan untuk bangkit semula pasca persaraan Sir Alex Ferguson. Bagi mereka yang faham tentang maksud sebuah perjuangan, kejayaan tidak datang dalam sekelip mata. `Fergie’ pernah melaluinya malah beliau hampir saja dipecat, dan United di era Ten Hag juga bakal melalui proses yang sama.

 

Proses Adaptasi

 

Pada awalnya para pemain tampak agak goyah dalam usaha mereka beradaptasi dengan gaya dan falsafah bolasepak yang dibawa Ten Hag. Apa yang berlaku di awal musim ialah United tewas dua perlawanan pembukaan liga berturut-turut kepada Brighton dan kemudiannya Brentford. Ketika itu sudah timbul pertanyaan di kalangan penyokong, adakah kehadiran Ten Hag satu lagi bentuk `jenaka’ yang dibawa pengurusan United ke Old Trafford. Bagaimanapun United bangkit dan menang pada perlawanan ketiga liga mereka.

 

Kemenangan ke atas Liverpool di gelanggang sendiri itu sebenarnya sangat penting kepada survival karier Ten Hag di Old Trafford dan melonjakkan kembali moral pasukan. Apa yang berlaku selepas itu ialah United menang tiga perlawanan liga berturut-turut (menewaskan Southampton, Leicester City dan Arsenal). Sejak kekalahan besar kepada Manchester City pada Oktober tahun lalu, United juga sudah mengharungi 25 aksi dalam semua kejohanan. Sepanjang tempoh empat bulan itu juga (dari Oktober 2022 hingga Februari 2023), hanya Aston Villa dan Arsenal sahaja yang berjaya menewaskan mereka.

 

Apa yang berlaku ketika ini atau lebih tepatnya enam bulan selepas Ten Hag menguruskan pasukan? United kini berada di tangga ketiga liga, mara ke pusingan kelima Piala FA, bakal berdepan Barcelona untuk satu slot ke pusingan 16 pasukan Liga Europa dan cuma selangkah untuk menamatkan kemarau enam tahun tanpa sebarang trofi menerusi kejayaan mereka mara ke final kejuaraan Piala Liga. Pencapaian ini tentunya tidak pernah anda bayangkan ketika melihat United tewas perlawanan pertama liga mereka kepada Brighton sebelum dibelasah Brentford pada perlawanan kedua.

 

Ketika artikel ini ditulis, United sudah mengharungi 35 perlawanan dalam semua kejohanan di era kendalian Ten Hag. Peratus kemenangan yang berjaya dirakam pula mencapai angka 73%, dan dalam 16 perlawanan United berjaya memastikan pintu gol mereka tidak dibolosi. Apa yang lebih menariknya ialah, sejak kemenangan ke atas Omonia Nicosia dalam saingan Liga Europa, United sudah mengharungi 16 perlawanan di Old Trafford tanpa tewas, catatan yang sebenarnya cuma mampu dilakukan barisan `The Red Devils’ ketika era Fergie.

 

Penutup

 

United kini satu-satunya kelab Inggeris yang masih bersaing dalam empat kejohanan utama (Liga Perdana, Piala Liga, Piala FA dan Liga Europa), malah terdapat potensi besar untuk mereka menamatkan saingan musim ini dengan sekurang-kurangnya satu kejuaraan menerusi kejayaan mara ke pentas final Piala Liga. Enam bulan selepas kedatangan Ten Hag, United kini bernyawa semula, mereka mula memberikan cabaran kepada seteru domestik yang lain, lebih konsisten, tahu bagaimana mahu memenangi perlawanan dan bermain bolasepak yang atraktif.

 

Ambisi utamanya ketika beliau menjejakkan kakinya di Old Trafford buat pertama kali ialah menamatkan dominasi Jurgen Klopp dan Pep Guardiola. Itu satu keinginan yang cukup besar dari Ten Hag, dan untuk melakukannya ia perlukan usaha yang besar kerana Manchester City dan Liverpool sudah berada jauh di hadapan dalam tempoh beberapa musim terakhir. Berikan masa untuk Ten Hag, berikan juga sokongan penuh kepada beliau. Sementara itu biarkan proses terus berjalan kerana progresnya akan dapat anda lihat selepas itu. Glory Glory Manchester United!!!



07 Februari 2023

`SABI'...TRANSFORMASI DARI SISI SAYAP KE BAHAGIAN TENGAH

 


Satu terjahan keras yang dilakukan Andy Carroll menyebabkan Christian Eriksen terpaksa berehat panjang. Tetapi sebaik sahaja tahap kecederaan Eriksen disahkan, Manchester United bertindak pantas dengan membawa masuk Marcel Sabitzer dari Bayern Munich sebelum jendela perpindahan pemain musim sejuk ditutup. Bagaimanapun mencari pengganti Eriksen bukanlah satu kerja yang mudah, kerana `maestro’ dari Denmark itu adalah figura penting di bahagian tengah United sejak ketibaan beliau di Old Trafford pada Julai lalu.

 

Sepertimana Eriksen, Sabitzer juga merupakan seorang pemain tengah yang `versatile’, malah ketika usia remajanya beliau pernah berperanan sebagai pemain sayap dan bek sisi. Walau bagaimanapun Eriksen dan Sabitzer adalah dua pemain tengah dengan karakter permainan yang sangat berbeza. Berbanding Eriksen, Sabitzer bukanlah seorang pemain tengah yang elegan menerusi kemampuan mengatur tempo permainan serta kualiti hantaran yang mampu memecah benteng pertahanan lawan. Jadi apa yang menyebabkan beliau di bawa masuk menyertai kelab sebagai pengganti sementara Eriksen?

 

Sabitzer bakal menawarkan sesuatu yang berbeza untuk United bukan sahaja kerana beliau memiliki naluri yang bagus dalam menghasilkan gol, tetapi juga jenis pemain tengah yang memiliki `energy’ serta keinginan tinggi dalam melakukan duel dengan mana-mana `midfielder’ lawan. Kualiti sebenar Sabitzer ialah mobiliti permainan beliau yang lebih baik berbanding Eriksen. Sepanjang 185 penampilan beliau di Bundesliga, Sabitzer menjaringkan 34 gol dan mencipta 29 `assist’. Ratio gol/`assist’ yang sebenarnya sangat mengagumkan untuk seorang pemain tengah yang banyak melakukan kerja-kerja defensif seperti beliau.

 

`Heat map’ Sabitzer dalam penampilannya di Liga Juara-Juara pada dua musim terakhir menunjukkan bahawa beliau memiliki jangkauan mobiliti yang luas. Kemampuan beliau melakukan hantaran ke depan dalam pelbagai variasi merupakan nilai tambah yang sangat berharga dalam skema permainan yang diterapkan Erik Ten Hag pada baki saingan musim ini. Sebenarnya sudah agak lama United tidak memiliki pemain tengah box-to-box `versi Roy Keane’, tetapi memiliki penyudah lebih tajam dan visi permainan yang lebih tinggi.  

 

“Posisi terbaiknya ialah lebih kedepan. Dia bukan pemain tengah bertahan, tetapi lebih kepada box-to-box. Dia memiliki tenaga yang luar biasa, sangat `versatile’ dan dia akan menjadi pilihan yang sangat bagus untuk United”, kata Dietmar Hamann. Sabitzer yang anda kenali tentunya menerusi pencapaian beliau ketika bersama RB Leipzig, meskipun perpindahan ke Bayern satu langkah besar dalam kariernya. Pada musim 2020/21, Leipzig muncul satu-satunya pasukan yang mampu menafikan misi Bayern menjulang kejuaraan Bundesliga buat kali kesembilan berturut-turut.

 

Ketika itu, antara faktor utama mengapa Leipzig mampu menyaingi Bayern dalam perebutan kejuaraan liga ialah betapa solidnya pertahanan mereka. Anda boleh menyebut sosok Dayot Upamecano dan Ibrahima Konate sebagai gandingan pertahanan tengah paling sukar ditembusi di Bundsliga, tetapi jangan lupakan juga peranan yang dimainkan Sabitzer dalam melindungi benteng skuad `Die Rotten Bullen’ itu. Di Leipzig, Sabitzer bukan sekadar pemain tengah yang ofensif, tetapi juga diberikan peranan tambahan yang lebih defensif ketika bertahan.

 

Pada musim 2019/20, Nagelsmann sudah menyedari potensi besar Sabitzer untuk diletakkan di bahagian tengah meskipun pada awalnya beliau bermain di posisi sayap. “Dia mampu beradaptasi dengan baik dalam posisi baharunya. Sekarang peranannya ialah sebagai pemain `nombor 6’. Kini dia muncul salah seorang pemain paling stabil di posisi tersebut di Bundesliga”, kata Nagelsmann. Hasilnya pada musim tersebut, Sabitzer muncul pemain paling banyak melakukan `intercept’ (1.75) dan catatan `recoveries’ ketiga tertinggi dalam skuad Leipzig (13.1) per perlawanan.  

 

Pendekatan permainan `pressing’ berintensiti tinggi menuntut pemosisian yang baik dari pemain di `layer’ kedua. Untuk melakukannya, pemain tengah perlu sentiasa bergerak sama ada untuk memberikan bantuan atau mencipta `overload’ di sekitar rakan sepasukan yang menguasai bola. Untuk itu, Sabitzer melaksanakan tugasnya dengan baik. Dalam situasi ofensif, beliau akan mara jauh hingga ke zon pertahanan lawan dan menjadi antara opsyen Liepzig untuk menghasilkan gol menerusi percubaan terutamanya dari luar petak penalti.

 

Selain Nagelsmann, Sabitzer juga pernah bermain di bawah kendalian Ralf Rangnick, Ralph Hasenhuttl serta Jesse March. Dan apa yang menariknya, keempat-empat pengendali ini begitu dikenali menerusi pendekatan gaya bolasepak `pressing’ berintensiti tinggi mereka. `Sabi’ mungkin tidak se`elegan’ Eriksen, tetapi United sebenarnya berjaya membawa masuk seorang pemain yang memiliki profil serta karakter bertepatan dengan pendekatan permainan mereka di era Ten Hag. Selamat datang `Sabi'…Glory Glory Manchester United!!! 

16 Januari 2023

SELAMAT DATANG `BIG WOUT’



Usianya sudah pun menjangkau 30 tahun, malah sebelum beliau meledak dua gol ke gawang Argentina pada penampilan di Piala Dunia yang lalu, tidak ramai di antara kita yang ambil tahu dengan pemain bernama Wout Weghorst ini. Bagaimanapun secara tiba-tiba nama Weghorst menjadi sebutan berikutan minat yang ditunjukkan United terhadap penyerang antarabangsa Belanda itu yang menjalani tempoh pinjaman bersama kelab Super Lig Turkiye, Besiktas.

 

Weghrost bukanlah nama asing di Liga Perdana kerana pada musim lalu beliau sempat melakukan 20 penampilan untuk Burnley sebelum skuad `The Clarets’ tersingkir ke Liga Kejuaraan. Sepanjang setengah musim kehadirannya di England, tidak banyak impak yang mampu diberikan Weghorst untuk membantu Burnley kekal bersaing di Liga Perdana. Bagi seorang penyerang yang cuma mampu menjaringkan dua gol untuk Burnley, mengapa United begitu berminat mendapatkan khidmatnya?

 

`Ratio’ gol yang dihasilkan Weghorst di Burnley memang wajar diperdebatkan penyokong United, terutamanya bila mengingatkan peranan yang dimainkan beliau sebagai `pemain nombor 9’. Bagaimanapun keputusan Erik Ten Hag membawa Weghorst ke Old Trafford bukan tentang jumlah gol yang dihasilkannya semata-mata, tetapi lebih kepada tentang hal teknikal dan taktik permainan. Untuk itu lihat statistik yang dicatatkan Weghorst dari 20 penampilannya di Liga Perdana musim lalu.

 

Menurut catatan Opta, Weghorst melakukan purata 48.7 `pressing’ dalam setiap perlawanan, sekaligus meletakkan beliau selaku penyerang dengan intensiti `pressing’ paling tinggi di Liga Perdana, manakala daya jelajahnya pula mencapai angka 10.69 km per perlawanan. Di Super Lig pula, Weghorst muncul pemain dengan catatan `Expected Goal’ (xG) tertinggi (9.8), paling banyak melakukan sentuhan di dalam petak penalti lawan (118), percubaan tepat (23) dan percubaan menggunakan kepala (15).

 

Gaya Permainan

 

Wenghorst bukanlah penyerang yang `menggiurkan’ untuk anda saksikan aksinya. Dengan postur tubuhnya yang tinggi dan besar, beliau tidak memiliki `sprint’ selaju Jamie Vardy ketika menyerang pertahanan lawan, atau `skill’ menggelecek seanggun Neymar. Weghorst adalah tipikal `pemain nombor 9’ seperti Olivier Giroud yang gemar menganggu tumpuan pertahanan lawan menerusi pergerakan tanpa bolanya, serta bijak meletakkan diri di posisi yang tepat untuk menyudahkan peluang.

 

Di VfL Wolfsburg, Weghorst merupakan pemain penting dalam menjayakan skema permainan yang diterapkan Oliver Glassner. Tugas beliau bukan sekadar menjaringkan gol, tetapi juga memberikan tekanan kepada pertahanan lawan. Dalam skuad `Die Wolf’, beliau muncul pemain paling banyak melakukan `pressing’ (212), di mana 125 daripadanya dilakukan beliau di zon `final third’, catatan yang hampir tiga kali ganda lebih banyak berbanding mana-mana penyerang Wolfsburg.

 

Sebagai penyerang, tentulah tugas utama beliau ialah menjaringkan gol. Dari 118 penampilan beliau untuk Wolfsburg di Bundesliga, Weghorst meledak 59 gol, lantas meletakkan beliau dikedudukan ketiga selaku penjaring terbanyak sepanjang masa kelab. Secara puratanya pula, beliau menjaringkan 0.5 gol per perlawanan, catatan ketiga terbaik dalam sejarah kelab selepas Edin Dzeko (0.59) dan Grafite (0.53), duo penggempur yang berjaya membantu Wolfsburg menjulang kejuaraan Bundesliga pada 2009.

 

Kenapa United Mahukan Beliau?

 

Memiliki ketinggian 1.97m serta postur tubuh yang tegap, anda boleh labelkan beliau sebagai `targetman’ kerana selepas era Zlatan Ibrahimovic dan Romelu Lukaku berakhir, kita tidak pernah melihat tipikal `pemain nombor 9’ seperti mereka di Old Trafford. Bagaimanapun Weghorst juga adalah seorang `pressing forward’ dalam skema bolasepak moden. Jika dilihat kepada statistik beliau, tugas utama Weghorst bukan sekadar pemburu gol, tetapi juga melakukan `pressing’ kepada lawan di garis pertahanan mereka.  

 

Kehadiran seorang penyerang tengah tulen sebenarnya sangat sinonim dengan gaya permainan United sejak dulu. Andy Cole, Teddy Sheringham, Ruud Van Nistelrooy, Louis Saha dan Dimitar Berbatov adalah diantaranya yang pernah menyinar dalam peranan mereka sebagai `pemain nombor 9’. Melihat kepada isu konsistensi yang dihadapi Anthony Martial, Weghorst adalah alternatif yang ada di pasaran untuk berperanan sebagai penyerang tengah United selepas kelab memilih untuk tidak terlibat perlumbaan mendapatkan khidmat Cody Gakpo.

 

United cuma mampu menghasilkan empat gol dari situasi `set piece’ di Liga Perdana selepas 18 perlawanan, angka kedua terendah selepas Everton. Secara spesifiknya pula, tiga dari empat gol tersebut dihasilkan mereka menerusi tandukan. Dalam tempoh empat musim terakhir, tiada seorang pun penyerang tengah yang memiliki ciri seperti Weghorst dalam kesebelasan United, seorang `target man’ yang bukan sahaja mampu menjadikan dirinya sebagai `reflector’ tetapi juga dominan dalam perebutan bola tinggi.

 

Penutup

 

Anda mungkin agak skeptikal dengan kemampuan Weghorst sebagai penyerang jika melihat kepada rekod jaringannya di Burnley. Tetapi percayalah keputusan mendapatkan khidmat Weghorst merupakan satu langkah penting yang dilakukan kelab selepas pemergian Cristiano Ronaldo. Wenghorst adalah contoh penyerang tengah moden, kerana selain tugas hakikinya memburu jaringan, beliau juga menjadi pemain pertama yang akan melakukan `pressing’ di garis pertahanan lawan serta mampu melaksanakan kerja-kerja defensif.

 

Dan aspek `non-offensive’ inilah sebenarnya menjadi kelemahan ketara Cristiano Ronaldo hinggakan pendekatan `pressing’ tinggi yang cuba dilakukan United adakalanya menjadi kurang efisien. Weghorst bukanlah penyerang yang `stylish’ seperti Ronaldo, tetapi ketika ini Ten Hag mungkin sudah memiliki seorang `pemain nombor 9’ yang tepat dalam `line up’ beliau. €3 juta yang dibayar kepada Besiktas adalah harga yang sangat berbaloi, juga satu urusniaga yang boleh dianggap `nothing to lose’ buat United…Glory Glory Manchester United!!!