29 Februari 2012

PREVIEW: SPURS lwn MANCHESTER UTD


Tottenham Hotspurs mungkin melepaskan peluang besar meraih mata penuh pada pertemuan derby Utara London Ahad lalu apabila mereka tewas 2-5 kepada Arsenal meskipun pada satu ketika mendahului selesa dengan 2-0. Walau bagaimanapun Harry Redknapp masih memiliki banyak masa untuk memikirkan strategi tepat apabila pasukannya menerima kunjungan Manchester United minggu ini.  Bagi United pula, kemenangan hasil jaringan dramatik lewat permainan oleh Ryan Giggs di Carrow Road menyemarakkan lagi pemburuan mereka dalam misi memenangi kejuaraan Liga Perdana buat kali ke-20 musim ini.  United ketika ini berada di tangga kedua liga (61 mata), ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Manchester City tetapi memiliki kelebihan lapan mata di hadapan Spurs yang berada di tangga ketiga.  Manchester City berpeluang menjarakkan kedudukan mereka di tangga teratas apabila hanya berdepan kelab di zon penyingkiran, Bolton Wanderers minggu ini, manakala United pula boleh mengekalkan jurang  jika menang di White Hart Lane nanti.  Sir Alex Ferguson sendiri menganggap, kemenangan di White Hart Lane amat penting dan akan memberikan peluang besar buat pasukannya mempertahankan kejuaraan mereka.

Kunci pertemuan antara kedua-dua pasukan hujung minggu ini tentunya tertumpu kepada pertembungan di bahagian sayap.  Mana-mana pasukan yang berjaya menguasai bahagian ini memiliki peluang terbaik untuk keluar sebagai pemenang.  United perlukan Ashley Young dan Nani untuk mencipta peluang dari bahagian sayap manakala Spurs pula  tentunya mengharapkan Gareth Bale melakukan perkara yang sama. United mungkin boleh menggunakan strategi sama yang digunakan Arsenal apabila mereka bijak menghukum kelonggaran Spurs, terutamanya di sebelah kiri pertahanan  dengan membiarkan Theo Walcott mencipta banyak peluang sepanjang perlawanan itu.  Jika Spurs mengulangi kesilapan yang sama ketika pertemuan mereka dengan Arsenal kelmarin, Ashley Young dan Nani tentunya akan memberikan masalah besar buat barisan Harry Redknapp nanti. Tugas Michael Carrick, Ryan Giggs dan Paul Scholes untuk menguasai bahagian tengah sedikit mudah apabila Spurs kehilangan khidmat Scott Parker yang menjalani hukuman penggantungan kerana layangan kad merah. Kemenangan di Carrow Road membuktikan United adalah pasukan yang amat berpengalaman ketika berdepan dengan tekanan dan prestasi mereka ketika menentang kelab-kelab pencabar kejuaraan seperti Spurs juga amat baik musim ini.  Setakat ini United hanya tewas kepada Manchester City tetapi berjaya meraih 17 mata ketika pertemuan menentang Arsenal, Liverpool, Chelsea dan Spurs sendiri.  Glory Glory Manchester United!!!

XHAKA TARIK MINAT GERGASI ENGLAND


Empat kelab gergasi England dikatakan sedang memerhati secara serius perkembangan bintang muda FC Basel, Granit Xhaka.  Manchester United, Liverpool, Chelsea dan Arsenal muncul kelab  yang berada di barisan hadapan cuba memancing Xhaka beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim depan.  Pemain tengah berusia 19 tahun itu dari awal lagi sudah dikaitkan dengan juara Liga Perdana, Manchester United sejak pertembungan terakhir antara kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Juara-Juara Disember tahun lalu.  Januari lalu, pengarah Basel, Georg Heitz menyebut bahawa United adalah kelab yang paling serius cuba mendapatkan khidmat Xhaka.  United kini berdepan saingan baru apabila Liverpool tiba-tiba muncul dalam perlumbaan bagi mendapatkan tandatangan Xhaka musim panas ini.  Liverpool dikatakan akan menghantar pemerhati pada perlawanan persahabatan Switzerland menentang Argentina pada 1 Mac ini.  Minat yang ditunjukkan kelab-kelab besar di England bakal melonjakkan harga Xhaka pada pasaran perpindahan musim panas nanti.   Pemain muda itu juga dikatakan hampir pasti meninggalkan Basel dan menyertai salah satu dari empat kelab besar di England.  Glory Glory Manchester United!!!

Berita-Berita Lain:


CLEVERLEY AKAN BERAKSI SEMINGGU LAGI

Kecederaan pergelangan kaki yang dialami Tom Cleverley ketika menentang Ajax Amsterdam pada perlawanan kedua Liga Europa minggu lalu dijangka pulih dalam tempoh seminggu lagi.  Siri kecederaan terbaru yang dialami Cleverley memaksa dia diketepikan ketika United berdepan Norwich City dalam aksi liga Ahad lalu, dan terpaksa menunda penampilan pertamanya untuk skuad England pada perlawanan menentang Belanda.  Bagaimanapun kecederaan yang dialami Claverley dijangka pulih dalam tempoh terdekat dan dia sudahpun mula menjalani latihan ringan.  Cleverley tidak akan diturunkan ketika United berdepan Tottenham dalam aksi liga, Ahad ini, tetapi besar kemungkinan kelibatnya dapat disaksikan ketika United menentang Athletic Bilbao dalam perlawanan pertama pusingan 16 pasukan Liga Europa, 9 Mac ini.

UNITED BERDEPAN KESUKARAN KEKALKAN POGBA

Usaha Manchester United mengekalkan Paul Pogba berdepan kesukaran berikutan bintang muda Perancis itu masih belum bersetuju menandatangani sebarang lanjutan kontrak.  Kurang diberikan peluang tampil dalam skuad utama United adalah penyebab utama pemain muda itu berhasrat meninggalkan United pada akhir musim ini.  Gergasi Serie A seperti AC Milan, Inter Milan dan Juventus disebut-sebut antara yang menunjukkan minat mendapatkan khidmat pemain berusia 18 tahun itu.  Dalam kempen Liga Perdana musim ini, Pogba hanya sekali diturunkan ketika menggantikan Javier Hernandez pada perlawanan menentang Stoke City, Januari lalu.  Pogba juga diturunkan sebanyak tiga kali ketika United berdepan kempen Piala Liga (Carling Cup) mereka.

28 Februari 2012

APA KATA MEREKA TENTANG GIGGS


Lagenda Manchester United, Ryan Giggs adalah pemain yang mempunyai rekod kejayaan paling gemilang dalam sejarah bolasepak Inggeris.  12 koleksi kejuaraan liga yang dimenanginya bersama United sejak menjadi pemain regular pada tahun 1990 antara pencapaian gemilang pemain Wales ini.  Empat trofi Piala FA, tiga Piala Liga (Carling Cup), dua Liga Juara-Juara serta penghargaan peribadi tidak terhitung yang diterima sepanjang kerjayanya memahat nama Giggs sebagai lagenda unggul di Old Trafford sekaligus menjadikan beliau pemain paling berjaya dalam sejarah  bolasepak di England.  Ketika usianya kini sudah menjangkau 38 tahun, waktu di mana ramai pemain-pemain seusianya sudah menggantung but, Giggs pula nampaknya masih tidak jemu-jemu memburu kemahsyuran.  Ahad lalu, Giggs mencipta sejarah baru dalam kariernya apabila tampil buat kali ke-900 untuk United ketika pertemuan menentang Norwich City di Carrow Road.   Tambah manis, pada perlawanan itu, Giggs turut menjaringkan gol kemenangan di penghujung permainan sekaligus menghadiahkan tiga mata berharga kepada pasukannya dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris. Melihat gaya permainan Giggs sepanjang perlawanan kelmarin, adalah mustahil untuk melihat lagenda itu menggantung butnya dalam tempoh terdekat dan tidak mustahil juga untuk melihat Giggs terus bermain dalam tempoh sekurang-kurangnya dua atau tiga musim lagi bersama skuad The Red Devils. Sir Alex Ferguson menghamburkan pujian kepada bintang veretannya itu sebaik perlawanan di Carrow Road berakhir.  "Untuk menjaringkan gol kemenangan pada perlawanan ke-900 adalah sesuatu yang luarbiasa.    Dia memang layak untuk mendapatkannya.  Itu adalah penyudah yang luar biasa dan umpanan yang bagus dari Ashley Young", kata Ferguson.  Menurut Ferguson pada era bolasepak moden, melihat seseorang pemain bermain sebanyak 900 perlawanan untuk satu kelab adalah hal yang luar biasa dan perkara seperti itu tidak akan berulang lagi.  Berikut adalah beberapa petikan kata-kata dari beberapa individu tentang lagenda Old Trafford itu:


"Saya sebenarnya malu untuk mengatakannya. Hanya ada dua pemain yang membuatkan saya menangis setiap kali melihat mereka beraksi. Yang pertama adalah untuk Maradona dan yang kedua adalah Ryan Giggs", - Allesandro Del Piero.





"Kebolehan yang ada padanya (Giggs) adalah anugerah Tuhan.  Dia akan tetap memiliki kemampuan luar biasa itu seandainya ditakdirkan ketika ini dia hanya seorang pemandu bas, kerana kebolehan seperti itu tidak akan hilang dari diri anda" - Brian Kidd (Penolong Pengurus Man City).


"Melihat Ryan membuatkan saya percaya wujudnya Tuhan bolasepak" - Ron Atkinson (bekas Pengurus Man. Utd).




"Giggs adalah peledak, pemain yang membuatkan Manchester United meledak" - Jean Tigana (bekas pemain antarabangsa Perancis)



"Tidak adil untuk mengatakan gaya permainan Ryan Giggs mirip George Best.  Sebenarnya Best yang mirip Ryan Giggs" - Dennis Law (lagenda Man. Utd)




"Seratus perlawanan mulai sekarang? Berapa usianya nanti? Stanley Matthews bermain pada usia 50 tahun.  Kita tunggu dan lihat" - Sir Alex Ferguson




"Eric Cantona adalah pemain yang luar biasa, tetapi dia tidak sebagus Ryan Giggs" - Johan Cryuff (bekas pemain antarabangsa Belanda).





"Pertama kali saya melihat Giggs, dia bermain untuk Salford Boys menentang akademi United.  Dia kurus tetapi mampu melepasi empat pemain akademi United seolah-olah mereka tidak wujud dan kemudiannya menjaringkan gol.  Saya berfikir "Budak ini memiliki bakat hebat" - Bryan Robson (lagenda Man. Utd).

"Saya tidak ingat berapakah usia saya sewaktu membayangkan diri saya adalah Ryan Giggs ketika bermain di belakang rumah" - Tom Cleverley.





"Dia telah meraih banyak kejayaan, tetapi masih tetap hebat dan akan kekal seperti itu untuk tempoh beberapa tahun akan datang.  Ia sesuatu yang cukup menakutkan buat pemain pertahanan" - Tommy Docherty (bekas pengurus Man. Utd).





"Ryan cukup luar biasa.  Tenaganya, kerja kerasnya, umpanannya dan pergerakannya cukup luar biasa.  Adalah suatu penghormatan besar buat saya dapat bermain dengannya.  Dia berusia 36 tahun tetapi bermain seperti pemain berusia 26 tahun.  Dia sentiasa turun naik di atas padang dan sentiasa berada di mana-mana" - Park Ji-Sung

27 Februari 2012

GOL KEMENANGAN PADA PENAMPILAN KE-900 GIGGS


Sir Alex Ferguson memuji daya tahan pasukannya selepas menyaksikan mereka menewaskan Norwich City 2-1 di Carrow Road semalam.  Terima kasih juga kepada Ryan Giggs yang memilih waktu tepat apabila dia menjaringkan gol kemenangan pada penampilan ke-900 untuk United sepanjang kerjayanya. Ferguson ternyata lega dengan tiga mata yang berjaya diraih United di gelanggang lawan apatah lagi selepas tuan rumah menghadirkan masalah besar buat pemain-pemainnya sepanjang 90 minit perlawanan.  United yang turun tanpa kelibat Wayne Rooney kerana masalah jangkitan virus dan Tom Cleverley yang mengalami masalah kecederaan buku lali, terpaksa menggunakan Javier Hernandez dan Danny Welbeck sebagai penggempur utama dalam perlawanan ini.  Selepas ketinggalan kepada tandukan jarak dekat Paul Scholes diminit ke-7, benteng United diasak hebat tuan rumah hingga memaksa David de Gea melakukan beberapa gerakan hebat menyelamatkan pintu golnya dari dibolosi.  Seperti yang dijangka, tuan rumah kerap melakukan hantaran-hantaran lintang dalam usaha mereka memburu gol penyamaan namun kedudukan kekal 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.  Pujian juga patut diberikan kepada benteng pertahanan yang cukup berdisiplin mengekang asakan tuan rumah sepanjang perlawanan, terutamanya apabila lawan menggunakan sepenuhnya kekuatan fizikal mereka ketika melakukan tekanan.

Norwich terus menggandakan asakan di separuh masa kedua hingga memaksa benteng pertahanan United yang diketuai Rio Ferdinand bekerja keras menangkis ancaman lawan terutamanya dari penyerang utama mereka, Grant Holt.  Holt akhirnya berjaya menyamakan kedudukan diminit ke-84 melalui rembatan cantik dari dalam petak penalti.  Kedua-dua pasukan dilihat bakal berkongsi mata hinggalah Giggs memusnah harapan tuan rumah  apabila dia meledak gol kemenangan dimasa kecederaan.  Giggs yang meraikan penampilan ke-900 untuk skuad The Red Devils itu dalam perlawanan ini bijak menolak masuk dari jarak dekat hantaran Ashley Young sekaligus menghadiahkan tiga mata berharga buat United.  Giggs menganggap gol kemenangan yang dijaringkannya dalam perlawanan ini adalah sesuatu yang cukup istimewa apatah lagi ia hadir pada penampilan ke-900nya.  Sementara itu, pengurus Norwich, Paul Lambert tetap berpuas hati biarpun pasukannya gagal mendapatkan sebarang mata di gelanggang sendiri.  "Kami telah memberikan segala-galanya dalam perlawanan ini dan saya tidak boleh meletakkan kesalahan kepada pemain.  Manchester United datang kepada kami dari semua sudut.  Penjaga gol mereka juga bermain dengan cukup cemerlang dan melakukan beberapa gerakan menyelamat yang cukup hebat", kata Lambert.  Glory Glory Manchester United!!!

Berita-Berita Lain:

ROONEY & CLEVERLEY DIKETEPIKAN DARI SKUAD ENGLAND

Wayne Rooney dan Tom Cleverley bakal terlepas aksi perlawanan antarabangsa menentang Belanda pertengahan minggu ini.  Sir Alex Ferguson yang kehilangan khidmat Rooney dan Cleverley semasa aksi liga menentang Norwich City semalam, mengatakan kedua-dua pemainnya itu tidak mungkin menyertai skuad The Three Lions pada perlawanan antarabangsa di Wembley nanti.  Rooney mengalami masalah jangkitan virus manakala Cleverley pula cedera buku lali dan dijangka terlepas aksi liga untuk tempoh dua minggu.  Ketiadaan Rooney dan Cleverley pastinya merencatkan perancangan Stuart Pearce yang bakal berhadapan perlawanan pertamanya sebagai pengurus England selepas pengunduran mengejut Fabio Capello.  Setakat ini masih belum diketahui siapa yang akan dipanggil Pearce bagi menggantikan tempat Rooney dan Cleverley.

GIGGS SENTIASA LAPARKAN KEJUARAAN

Bintang veteran Manchester United, Ryan Giggs menganggap gol kemenangan ke atas Norwich City yang dijaringkannya semalam sesuatu yang istimewa pada penampilan ke-900 untuk kelab.  "Bermain hingga 900 perlawanan untuk United sesuatu yang cukup membanggakan.  Ketika saya memulakan karier bersama kelab, saya hanya meletakkan sasaran yang kecil iaitu masuk ke dalam pasukan dan bertahan.  Kemudian saya mula bernafsu serta ingin menang dan terus menang.  Saya tidak pernah terfikir akan bermain sebanyak ini", kata Giggs.  Menurut Giggs pada usia sepertinya, dia hanya ingin menikmati permainannya dan mula memasang impian menjulang kejuaraan musim ini.  Selain itu, Giggs juga menyebut kembalinya semula Paul Scholes dari persaraan memberikan suntikan motivasi tambahan buat dirinya untuk terus bermain dan tidak memikirkan persaraan.  "Melihat Paul Scholes melakukannya dan bagaimana dia menikmati sesi latihan dan perlawanan membuat saya ingin terus bermain".

26 Februari 2012

EVRA KEMBALI KETUAI MISI


Sir Alex Ferguson percaya Patrice Evra sudah bersedia membantu United memburu kejuaraan liga ke-20 selepas diberi cuti rehat selama dua minggu berikutan konfrontasi perkauman yang tercetus antaranya dengan Luis Suarez.  Pemain pertahanan kiri berusia 30 tahun itu akan mengetuai United pada perlawanan liga menentang Norwich City di Carrow Road hari ini, 15 hari selepas dia mengetuai    kemenangan 2-1 United ke atas Liverpool di Old Trafford.  Evra tidak dibawa ketika United berkunjung ke Amsterdam Arena bagi perlawanan pertama pusingan 32 pasukan Liga Europa menentang Ajax Amsterdam, dan sekadar diletakkan di bangku simpanan pada perlawanan kedua di Old Trafford.  Hari ini, Sir Alex Ferguson kembali meletakkan tanggungjawab ketua pasukan di bahu Evra dalam misi membawa pulang tiga mata penuh dari Carrow Road sekaligus terus menghadirkan tekanan kepada pendahulu liga Manchester City.  "Evra direhatkan supaya dia boleh melupakan segala apa yang terjadi antaranya dan Suarez.  Anda juga jangan lupakan faktor lain bahawa dia bermain tanpa henti untuk kami selama empat tahun.  Apa yang kami lakukan ialah untuk memberikan dia rehat sepenuhnya dari segi fizikal dan mental", kata Ferguson.  Sementara itu bagi Phil Jones pula, pemain-pemain berpengalaman United seperti Ryan Giggs, Rio Ferdinand dan Paul Scholes akan memberikan perbezaan besar buat pasukannya dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga musim ini.  Jones yakin pengalaman milik mereka akan membantu United mengatasi City dalam saingan perebutan kejuaraan liga.  "Ini pengalaman pertama saya tetapi pemain-pemain seperti Giggs, Scholes dan Ferdinand sudah lama merasainya.  Mereka akan memainkan peranan besar dalam usaha kami mempertahankan kejuaraan liga", kata Jones.  Glory Glory Manchester United!!!

Berita-Berita Lain:

VIALLI: ROONEY LEBIH BAGUS DARI CAVANI

Lagenda Chelsea, Gianluca Vialli memuji penampilan baik penyerang Napoli, Edinson Cavani ketika kelab Serie A itu menewaskan Chelsea 3-1 dalam saingan Liga Juara-Juara minggu lalu.  Cavani menjaringkan dua gol dalam pertemuan itu sekaligus memberikan kelebihan buat Napoli pada perlawanan kedua di Stamford Bridge nanti.  Meskipun memuji persembahan penyerang antarabangsa  Uruguay itu, Vialli mengatakan Wayne Rooney adalah penyerang yang lebih baik berbanding Cavani.  "Edinson adalah penyerang yang bagus dan sungguh luarbiasa.  Dia bekerja keras dan memiliki ketenangan ketika melakukan serangan.  Dia juga pastinya penyerang yang ingin dimiliki oleh mana-mana jurulatih.  Walau bagaimanapun hanya Wayne Rooney yang lebih baik dari dirinya", kata Vialli.

DE GEA SERTAI SKUAD OLIMPIK SEPANYOL

Selepas sebelumnya mewakili skuad Sepanyol untuk pelbagai kategori umur, David de Gea sekali lagi menjadi pilihan utama di posisi penjaga gol skuad matador itu pada sukan Olimpik di London nanti.  Persekutuan Bolasepak Sepanyol telahpun mengeluarkan senarai nama pemain yang akan memperkuatkan skuad negara itu pada sukan Olimpik nanti.  De Gea yang mengisi slot penjaga gol utama skuad La Furia Roja ketika negara itu menjulang trofi Piala Eropah U-21 tahun lalu, dijangka sekali lagi diletakkan kepercayaan mengawal gawang negaranya pada sukan Olimpik London 2012 nanti.  Turut tersenarai dalam skuad yang dilatih Luis Milla itu ialah pemain Chelsea, Oriol Romeu.

25 Februari 2012

PREVIEW: NORWICH lwn MANCHESTER UNITED



Esok, Manchester United akan berdepan Norwich City di Carrow Road buat pertama kali sejak 2005.  Kunjungan terakhir United di gelanggang lawan tujuh tahun lalu menyaksikan mereka tewas 0-2 kepada skuad The Canaries itu hasil jaringan Dean Ashton dan Leon McKenzie.  Kini tiada seorang pun pemain dari skuad 2005 Norwich yang berada dalam pasukan itu, tetapi kemenangan terakhir yang mereka catatkan ke atas United pada 2005 boleh djadikan inspirasi tambahan buat anak-anak buah Paul Lambert.  Kunjungan United ke Carrow Road kali ini dibayangi prestasi tidak menentu mereka di peringkat Eropah selepas tewas 1-2 kepada Ajax Amsterdam dalam saingan Liga Europa di Old Trafford kelmarin.  Selepas menyaksikan pasukannya tewas 1-2 kepada Ajax, Sir Alex Ferguson tentunya tidak akan mengulangi kesilapan sama dengan menurunkan benteng muda ketika berdepan Norwich nanti.   Ferguson mengakui beliau melakukan kesilapan menurunkan pemain pertahanan yang puratanya berusia 21 tahun ketika menentang Ajax hingga menyebabkan United tewas di gelanggang sendiri.   Rio Ferdinand, Jonny Evans dan Patrice Evra akan kembali memperkuatkan benteng pertahanan manakala nama Michael Carrick, Ryan Giggs, Paul Scholes dan Wayne Rooney pastinya tidak akan tercicir dari perancangan Ferguson untuk perlawanan ini.  Ferguson akan merehatkan Tom Cleverley pada perlawanan ini kerana bintang muda United itu dikatakan mengalami kecederaan ketika berdepan Ajax kelmarin.  

Norwich City jelas agak mengejutkan musim ini selepas mereka kembali beraksi dalam saingan elit Liga Perdana.  Berada di kedudukan kelapan liga, empat mata di belakang Liverpool, mereka mencatatkan enam kemenangan di gelanggang sendiri setakat ini termasuk ketika menewaskan Newcastle United 4-2 selain seri tanpa jaringan ketika menentang Chelsea. Menerima kunjungan United esok mungkin bukan waktu yang tepat untuk anak-anak buah Lambert selepas mereka disingkir pada saingan pusingan kelima Piala FA oleh Leicester City.  Lambert memikul tugas berat memulihkan kembali keyakinan pemain-pemainnya selepas menyaksikan mereka tewas 1-2 kepada kelab dari Liga Kejuaraan itu.  Mereka mencatatkan kemenangan pada dua perlawanan terakhir di peringkat liga, dan Lambert berharap pasukannya mampu meneruskan rentak kemenangan itu dan tidak melepaskan peluang meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri.  Norwich dijangka kekal dengan taktik hantaran bola lintang yang menyaksikan mereka berjaya menghasilkan 20 gol melalui gerakan tersebut.  Penyerang utama, Grant Holt yang sudahpun menjaringkan 9 gol di peringkat liga setakat ini bakal menjadi sandaran Lambert merobek gawang United.  Benteng United perlu berhati-hati mengawasi pergerakan Holt yang menjaringkan dua gol pada perlawanan menentang Swansea City 11 Februari lalu.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Rafael da Silva, Michael Carrick, Paul Scholes, Nani, Ashley Young, Wayne Rooney & Danny Welbeck

24 Februari 2012

KENALI LAGENDA: ALEX STEPNEY


Ramai peminat menjulang nama Bobby Charlton dan George Best sebagai wira yang membantu Manchester United menjulang Piala Eropah pada tahun 1968.  Nama Alex Stepney jarang disebut walaupun beliau adalah anggota dari skuad yang menjulang trofi sulung United di peringkat Eropah itu.  Mungkin juga kerana posisi Stepney sebagai penjaga gol menyebabkan beliau kurang dikenali ramai.  Walau bagaimanapun, Stepney sebenarnya adalah antara watak penting di sebalik kejayaan skuad The Busby Babes itu menewaskan Benfica 4-1 di perlawanan akhir Piala Eropah edisi 1968. Selepas kedudukan terikat 1-1, Stepney bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan bahaya lawan, terutamanya dari penjaring paling digeruni ketika itu,  Eusebio.  Stepney memulakan kerjaya sebagai pelatih di Milwall  sebelum menyertai Chelsea pada Jun 1966 dengan bayaran perpindahan sebanyak 52 ribu Pound.  Selepas hanya tiga bulan berada di Stamford Bridge, Stepney menyertai Manchester United dan Sir Matt Busby terpaksa mengeluarkan dana sebanyak 55 ribu Pound untuk membawa Stepney ke Old Trafford.  Yuran perpindahan sebanyak itu yang terpaksa dibayar United ke atas Stepney merupakan rekod dunia bagi penjaga gol ketika itu.

Penampilan sulung Stepney ialah ketika menentang Manchester City pada 17 September 1966 dimana United berjaya menewaskan jiran mereka itu 1-0.  Kecemerlangan Stepney di gawang berjaya membantu United meraih kejuaraan liga untuk musim 1966/67. Stepney membuktikan pelaburan yang dikeluarkan Sir Matt Busby ke atasnya adalah satu tindakan yang bijak, sehingga ada yang mengatakan bahawa Stepney adalah satu-satunya faktor paling penting di sebalik kejayaan United menjulang kejuaraan liga pada tahun tersebut.  Kemuncak kejayaan Stepney sebagai pemain hadir setahun kemudian apabila United berjaya layak keperlawanan akhir Piala Eropah 1968.  Berhadapan dengan Benfica yang diperkuatkan permain terbaik dunia ketika itu, Eusebio, pastinya menghadirkan rasa gerun buat mana-mana penjaga gol.  Stepney bagaimanapun bertindak cemerlang tanpa rasa gementar berdepan Eusebio yang digelar sebagai `black panther`, menyelamatkan beberapa percubaan bahaya penyerang Benfica itu terutamanya selepas kedudukan terikat 1-1 sehingga berjaya memaksa lawan bermain dimasa tambahan.  Gol kemenangan dari George Best, Brian Kidd dan Bobby Charlton seolah-olah menenggelamkan nama Stepney sebagai wira perlawanan akhir biarpun dia bertindak cemerlang sepanjang perlawanan.

Bagi tempoh lebih sedekad, Stepney membuktikan beliau adalah individu yang boleh dipercayai dalam menggalas tugas mengawal gawang United.  Selain tangkas mengawal gawang, 'Big Al' juga pakar dalam mengambil sepakan penalti, dan dia membuktikannya semasa musim 1973/74 apabila menghasilkan dua gol melalui sepakan penalti.  Sehingga kini, Stepney kekal sebagai penjaring terbanyak bagi mana-mana penjaga gol yang pernah beraksi bersama United.  Musim itu juga (1973/74) menyaksikan kejatuhan United sebagai kuasa bolasepak England apabila mereka tersingkir ke Divisyen 2. Karier Stepney sebagai penjaga gawang England juga tampak berakhir apabila Peter Shilton muncul sebagai pengganti jangka panjang buat Gordon Banks dalam skuad Three Lions itu.  Di bawah kendalian Tommy Docherty, Stepney berjaya membantu United bangkit semula dengan menjuarai liga Divisyen 2 musim 1974/75.  Musim ini juga menyaksikan Stepney cukup diingati kerana mengalami kecederaan 'aneh' pada rahangnya ketika beliau berteriak mengatur benteng pertahanan pasukan.

Dua tahun selepas itu, Stepney muncul pemain paling berpengalaman di belakang barisan muda yang baru dibentuk Docherty dan mereka berjaya menewaskan Southampton 1-0 di perlawanan akhir Piala FA 1977.  Perlawanan akhir itu juga menyaksikan Stepney muncul satu-satunya pemain dari skuad 1968 United yang menjulang Piala Eropah.  Tahun berikutnya, Stepney bukan lagi pilihan automatik di gawang dan beliau beraksi untuk kali ke 546 dan juga merupakan perlawanan terakhirnya buat United pada April 1978 sebelum menyertai Dallas Tornado di Liga Bola Sepak Amerika Utara sehingga 1980.  Stepney kembali semula ke England dengan menyertai kelab bukan liga, Altrincham, dan membantu mereka memenangi Alliance Premier League musim 1980/81. Selepas bersara pada tahun 1982, Stepney beralih kebidang kejurulatihan sebagai jurulatih penjaga gol di Southampton, Exeter City dan Manchester City. Sepanjang kerjayanya bersama United, pemain yang dilahirkan pada 18 September 1942 di Surrey, England itu mencatat rekod 92 penampilan berturut-turut tetapi kemudiannya dipecahkan Steve Coppell.  Selain Peter Schmeichel yang menjaringkan gol pada perlawanan Piala UEFA 1995/96, tiada penjaga gol Manchester United yang berjaya mengatasi kejayaan Stepney menjaringkan dua gol dalam mana-mana perlawanan kompetetif sejak era Perang Dunia Kedua.