Tottenham Hotspurs mungkin melepaskan peluang besar meraih mata penuh pada pertemuan derby Utara London Ahad lalu apabila mereka tewas 2-5 kepada Arsenal meskipun pada satu ketika mendahului selesa dengan 2-0. Walau bagaimanapun Harry Redknapp masih memiliki banyak masa untuk memikirkan strategi tepat apabila pasukannya menerima kunjungan Manchester United minggu ini. Bagi United pula, kemenangan hasil jaringan dramatik lewat permainan oleh Ryan Giggs di Carrow Road menyemarakkan lagi pemburuan mereka dalam misi memenangi kejuaraan Liga Perdana buat kali ke-20 musim ini. United ketika ini berada di tangga kedua liga (61 mata), ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Manchester City tetapi memiliki kelebihan lapan mata di hadapan Spurs yang berada di tangga ketiga. Manchester City berpeluang menjarakkan kedudukan mereka di tangga teratas apabila hanya berdepan kelab di zon penyingkiran, Bolton Wanderers minggu ini, manakala United pula boleh mengekalkan jurang jika menang di White Hart Lane nanti. Sir Alex Ferguson sendiri menganggap, kemenangan di White Hart Lane amat penting dan akan memberikan peluang besar buat pasukannya mempertahankan kejuaraan mereka.
Kunci pertemuan antara kedua-dua pasukan hujung minggu ini tentunya tertumpu kepada pertembungan di bahagian sayap. Mana-mana pasukan yang berjaya menguasai bahagian ini memiliki peluang terbaik untuk keluar sebagai pemenang. United perlukan Ashley Young dan Nani untuk mencipta peluang dari bahagian sayap manakala Spurs pula tentunya mengharapkan Gareth Bale melakukan perkara yang sama. United mungkin boleh menggunakan strategi sama yang digunakan Arsenal apabila mereka bijak menghukum kelonggaran Spurs, terutamanya di sebelah kiri pertahanan dengan membiarkan Theo Walcott mencipta banyak peluang sepanjang perlawanan itu. Jika Spurs mengulangi kesilapan yang sama ketika pertemuan mereka dengan Arsenal kelmarin, Ashley Young dan Nani tentunya akan memberikan masalah besar buat barisan Harry Redknapp nanti. Tugas Michael Carrick, Ryan Giggs dan Paul Scholes untuk menguasai bahagian tengah sedikit mudah apabila Spurs kehilangan khidmat Scott Parker yang menjalani hukuman penggantungan kerana layangan kad merah. Kemenangan di Carrow Road membuktikan United adalah pasukan yang amat berpengalaman ketika berdepan dengan tekanan dan prestasi mereka ketika menentang kelab-kelab pencabar kejuaraan seperti Spurs juga amat baik musim ini. Setakat ini United hanya tewas kepada Manchester City tetapi berjaya meraih 17 mata ketika pertemuan menentang Arsenal, Liverpool, Chelsea dan Spurs sendiri. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan