Esok, Manchester United akan berdepan Norwich City di Carrow Road buat pertama kali sejak 2005. Kunjungan terakhir United di gelanggang lawan tujuh tahun lalu menyaksikan mereka tewas 0-2 kepada skuad The Canaries itu hasil jaringan Dean Ashton dan Leon McKenzie. Kini tiada seorang pun pemain dari skuad 2005 Norwich yang berada dalam pasukan itu, tetapi kemenangan terakhir yang mereka catatkan ke atas United pada 2005 boleh djadikan inspirasi tambahan buat anak-anak buah Paul Lambert. Kunjungan United ke Carrow Road kali ini dibayangi prestasi tidak menentu mereka di peringkat Eropah selepas tewas 1-2 kepada Ajax Amsterdam dalam saingan Liga Europa di Old Trafford kelmarin. Selepas menyaksikan pasukannya tewas 1-2 kepada Ajax, Sir Alex Ferguson tentunya tidak akan mengulangi kesilapan sama dengan menurunkan benteng muda ketika berdepan Norwich nanti. Ferguson mengakui beliau melakukan kesilapan menurunkan pemain pertahanan yang puratanya berusia 21 tahun ketika menentang Ajax hingga menyebabkan United tewas di gelanggang sendiri. Rio Ferdinand, Jonny Evans dan Patrice Evra akan kembali memperkuatkan benteng pertahanan manakala nama Michael Carrick, Ryan Giggs, Paul Scholes dan Wayne Rooney pastinya tidak akan tercicir dari perancangan Ferguson untuk perlawanan ini. Ferguson akan merehatkan Tom Cleverley pada perlawanan ini kerana bintang muda United itu dikatakan mengalami kecederaan ketika berdepan Ajax kelmarin.
Norwich City jelas agak mengejutkan musim ini selepas mereka kembali beraksi dalam saingan elit Liga Perdana. Berada di kedudukan kelapan liga, empat mata di belakang Liverpool, mereka mencatatkan enam kemenangan di gelanggang sendiri setakat ini termasuk ketika menewaskan Newcastle United 4-2 selain seri tanpa jaringan ketika menentang Chelsea. Menerima kunjungan United esok mungkin bukan waktu yang tepat untuk anak-anak buah Lambert selepas mereka disingkir pada saingan pusingan kelima Piala FA oleh Leicester City. Lambert memikul tugas berat memulihkan kembali keyakinan pemain-pemainnya selepas menyaksikan mereka tewas 1-2 kepada kelab dari Liga Kejuaraan itu. Mereka mencatatkan kemenangan pada dua perlawanan terakhir di peringkat liga, dan Lambert berharap pasukannya mampu meneruskan rentak kemenangan itu dan tidak melepaskan peluang meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri. Norwich dijangka kekal dengan taktik hantaran bola lintang yang menyaksikan mereka berjaya menghasilkan 20 gol melalui gerakan tersebut. Penyerang utama, Grant Holt yang sudahpun menjaringkan 9 gol di peringkat liga setakat ini bakal menjadi sandaran Lambert merobek gawang United. Benteng United perlu berhati-hati mengawasi pergerakan Holt yang menjaringkan dua gol pada perlawanan menentang Swansea City 11 Februari lalu. Glory Glory Manchester United!!!
Barisan Kemungkinan United:
David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Rafael da Silva, Michael Carrick, Paul Scholes, Nani, Ashley Young, Wayne Rooney & Danny Welbeck
Tiada ulasan:
Catat Ulasan