28 Februari 2012

APA KATA MEREKA TENTANG GIGGS


Lagenda Manchester United, Ryan Giggs adalah pemain yang mempunyai rekod kejayaan paling gemilang dalam sejarah bolasepak Inggeris.  12 koleksi kejuaraan liga yang dimenanginya bersama United sejak menjadi pemain regular pada tahun 1990 antara pencapaian gemilang pemain Wales ini.  Empat trofi Piala FA, tiga Piala Liga (Carling Cup), dua Liga Juara-Juara serta penghargaan peribadi tidak terhitung yang diterima sepanjang kerjayanya memahat nama Giggs sebagai lagenda unggul di Old Trafford sekaligus menjadikan beliau pemain paling berjaya dalam sejarah  bolasepak di England.  Ketika usianya kini sudah menjangkau 38 tahun, waktu di mana ramai pemain-pemain seusianya sudah menggantung but, Giggs pula nampaknya masih tidak jemu-jemu memburu kemahsyuran.  Ahad lalu, Giggs mencipta sejarah baru dalam kariernya apabila tampil buat kali ke-900 untuk United ketika pertemuan menentang Norwich City di Carrow Road.   Tambah manis, pada perlawanan itu, Giggs turut menjaringkan gol kemenangan di penghujung permainan sekaligus menghadiahkan tiga mata berharga kepada pasukannya dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris. Melihat gaya permainan Giggs sepanjang perlawanan kelmarin, adalah mustahil untuk melihat lagenda itu menggantung butnya dalam tempoh terdekat dan tidak mustahil juga untuk melihat Giggs terus bermain dalam tempoh sekurang-kurangnya dua atau tiga musim lagi bersama skuad The Red Devils. Sir Alex Ferguson menghamburkan pujian kepada bintang veretannya itu sebaik perlawanan di Carrow Road berakhir.  "Untuk menjaringkan gol kemenangan pada perlawanan ke-900 adalah sesuatu yang luarbiasa.    Dia memang layak untuk mendapatkannya.  Itu adalah penyudah yang luar biasa dan umpanan yang bagus dari Ashley Young", kata Ferguson.  Menurut Ferguson pada era bolasepak moden, melihat seseorang pemain bermain sebanyak 900 perlawanan untuk satu kelab adalah hal yang luar biasa dan perkara seperti itu tidak akan berulang lagi.  Berikut adalah beberapa petikan kata-kata dari beberapa individu tentang lagenda Old Trafford itu:


"Saya sebenarnya malu untuk mengatakannya. Hanya ada dua pemain yang membuatkan saya menangis setiap kali melihat mereka beraksi. Yang pertama adalah untuk Maradona dan yang kedua adalah Ryan Giggs", - Allesandro Del Piero.





"Kebolehan yang ada padanya (Giggs) adalah anugerah Tuhan.  Dia akan tetap memiliki kemampuan luar biasa itu seandainya ditakdirkan ketika ini dia hanya seorang pemandu bas, kerana kebolehan seperti itu tidak akan hilang dari diri anda" - Brian Kidd (Penolong Pengurus Man City).


"Melihat Ryan membuatkan saya percaya wujudnya Tuhan bolasepak" - Ron Atkinson (bekas Pengurus Man. Utd).




"Giggs adalah peledak, pemain yang membuatkan Manchester United meledak" - Jean Tigana (bekas pemain antarabangsa Perancis)



"Tidak adil untuk mengatakan gaya permainan Ryan Giggs mirip George Best.  Sebenarnya Best yang mirip Ryan Giggs" - Dennis Law (lagenda Man. Utd)




"Seratus perlawanan mulai sekarang? Berapa usianya nanti? Stanley Matthews bermain pada usia 50 tahun.  Kita tunggu dan lihat" - Sir Alex Ferguson




"Eric Cantona adalah pemain yang luar biasa, tetapi dia tidak sebagus Ryan Giggs" - Johan Cryuff (bekas pemain antarabangsa Belanda).





"Pertama kali saya melihat Giggs, dia bermain untuk Salford Boys menentang akademi United.  Dia kurus tetapi mampu melepasi empat pemain akademi United seolah-olah mereka tidak wujud dan kemudiannya menjaringkan gol.  Saya berfikir "Budak ini memiliki bakat hebat" - Bryan Robson (lagenda Man. Utd).

"Saya tidak ingat berapakah usia saya sewaktu membayangkan diri saya adalah Ryan Giggs ketika bermain di belakang rumah" - Tom Cleverley.





"Dia telah meraih banyak kejayaan, tetapi masih tetap hebat dan akan kekal seperti itu untuk tempoh beberapa tahun akan datang.  Ia sesuatu yang cukup menakutkan buat pemain pertahanan" - Tommy Docherty (bekas pengurus Man. Utd).





"Ryan cukup luar biasa.  Tenaganya, kerja kerasnya, umpanannya dan pergerakannya cukup luar biasa.  Adalah suatu penghormatan besar buat saya dapat bermain dengannya.  Dia berusia 36 tahun tetapi bermain seperti pemain berusia 26 tahun.  Dia sentiasa turun naik di atas padang dan sentiasa berada di mana-mana" - Park Ji-Sung

Tiada ulasan:

Catat Ulasan