26 Februari 2012

EVRA KEMBALI KETUAI MISI


Sir Alex Ferguson percaya Patrice Evra sudah bersedia membantu United memburu kejuaraan liga ke-20 selepas diberi cuti rehat selama dua minggu berikutan konfrontasi perkauman yang tercetus antaranya dengan Luis Suarez.  Pemain pertahanan kiri berusia 30 tahun itu akan mengetuai United pada perlawanan liga menentang Norwich City di Carrow Road hari ini, 15 hari selepas dia mengetuai    kemenangan 2-1 United ke atas Liverpool di Old Trafford.  Evra tidak dibawa ketika United berkunjung ke Amsterdam Arena bagi perlawanan pertama pusingan 32 pasukan Liga Europa menentang Ajax Amsterdam, dan sekadar diletakkan di bangku simpanan pada perlawanan kedua di Old Trafford.  Hari ini, Sir Alex Ferguson kembali meletakkan tanggungjawab ketua pasukan di bahu Evra dalam misi membawa pulang tiga mata penuh dari Carrow Road sekaligus terus menghadirkan tekanan kepada pendahulu liga Manchester City.  "Evra direhatkan supaya dia boleh melupakan segala apa yang terjadi antaranya dan Suarez.  Anda juga jangan lupakan faktor lain bahawa dia bermain tanpa henti untuk kami selama empat tahun.  Apa yang kami lakukan ialah untuk memberikan dia rehat sepenuhnya dari segi fizikal dan mental", kata Ferguson.  Sementara itu bagi Phil Jones pula, pemain-pemain berpengalaman United seperti Ryan Giggs, Rio Ferdinand dan Paul Scholes akan memberikan perbezaan besar buat pasukannya dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga musim ini.  Jones yakin pengalaman milik mereka akan membantu United mengatasi City dalam saingan perebutan kejuaraan liga.  "Ini pengalaman pertama saya tetapi pemain-pemain seperti Giggs, Scholes dan Ferdinand sudah lama merasainya.  Mereka akan memainkan peranan besar dalam usaha kami mempertahankan kejuaraan liga", kata Jones.  Glory Glory Manchester United!!!

Berita-Berita Lain:

VIALLI: ROONEY LEBIH BAGUS DARI CAVANI

Lagenda Chelsea, Gianluca Vialli memuji penampilan baik penyerang Napoli, Edinson Cavani ketika kelab Serie A itu menewaskan Chelsea 3-1 dalam saingan Liga Juara-Juara minggu lalu.  Cavani menjaringkan dua gol dalam pertemuan itu sekaligus memberikan kelebihan buat Napoli pada perlawanan kedua di Stamford Bridge nanti.  Meskipun memuji persembahan penyerang antarabangsa  Uruguay itu, Vialli mengatakan Wayne Rooney adalah penyerang yang lebih baik berbanding Cavani.  "Edinson adalah penyerang yang bagus dan sungguh luarbiasa.  Dia bekerja keras dan memiliki ketenangan ketika melakukan serangan.  Dia juga pastinya penyerang yang ingin dimiliki oleh mana-mana jurulatih.  Walau bagaimanapun hanya Wayne Rooney yang lebih baik dari dirinya", kata Vialli.

DE GEA SERTAI SKUAD OLIMPIK SEPANYOL

Selepas sebelumnya mewakili skuad Sepanyol untuk pelbagai kategori umur, David de Gea sekali lagi menjadi pilihan utama di posisi penjaga gol skuad matador itu pada sukan Olimpik di London nanti.  Persekutuan Bolasepak Sepanyol telahpun mengeluarkan senarai nama pemain yang akan memperkuatkan skuad negara itu pada sukan Olimpik nanti.  De Gea yang mengisi slot penjaga gol utama skuad La Furia Roja ketika negara itu menjulang trofi Piala Eropah U-21 tahun lalu, dijangka sekali lagi diletakkan kepercayaan mengawal gawang negaranya pada sukan Olimpik London 2012 nanti.  Turut tersenarai dalam skuad yang dilatih Luis Milla itu ialah pemain Chelsea, Oriol Romeu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan