Sir Alex Ferguson memuji daya tahan pasukannya selepas menyaksikan mereka menewaskan Norwich City 2-1 di Carrow Road semalam. Terima kasih juga kepada Ryan Giggs yang memilih waktu tepat apabila dia menjaringkan gol kemenangan pada penampilan ke-900 untuk United sepanjang kerjayanya. Ferguson ternyata lega dengan tiga mata yang berjaya diraih United di gelanggang lawan apatah lagi selepas tuan rumah menghadirkan masalah besar buat pemain-pemainnya sepanjang 90 minit perlawanan. United yang turun tanpa kelibat Wayne Rooney kerana masalah jangkitan virus dan Tom Cleverley yang mengalami masalah kecederaan buku lali, terpaksa menggunakan Javier Hernandez dan Danny Welbeck sebagai penggempur utama dalam perlawanan ini. Selepas ketinggalan kepada tandukan jarak dekat Paul Scholes diminit ke-7, benteng United diasak hebat tuan rumah hingga memaksa David de Gea melakukan beberapa gerakan hebat menyelamatkan pintu golnya dari dibolosi. Seperti yang dijangka, tuan rumah kerap melakukan hantaran-hantaran lintang dalam usaha mereka memburu gol penyamaan namun kedudukan kekal 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama. Pujian juga patut diberikan kepada benteng pertahanan yang cukup berdisiplin mengekang asakan tuan rumah sepanjang perlawanan, terutamanya apabila lawan menggunakan sepenuhnya kekuatan fizikal mereka ketika melakukan tekanan.
Norwich terus menggandakan asakan di separuh masa kedua hingga memaksa benteng pertahanan United yang diketuai Rio Ferdinand bekerja keras menangkis ancaman lawan terutamanya dari penyerang utama mereka, Grant Holt. Holt akhirnya berjaya menyamakan kedudukan diminit ke-84 melalui rembatan cantik dari dalam petak penalti. Kedua-dua pasukan dilihat bakal berkongsi mata hinggalah Giggs memusnah harapan tuan rumah apabila dia meledak gol kemenangan dimasa kecederaan. Giggs yang meraikan penampilan ke-900 untuk skuad The Red Devils itu dalam perlawanan ini bijak menolak masuk dari jarak dekat hantaran Ashley Young sekaligus menghadiahkan tiga mata berharga buat United. Giggs menganggap gol kemenangan yang dijaringkannya dalam perlawanan ini adalah sesuatu yang cukup istimewa apatah lagi ia hadir pada penampilan ke-900nya. Sementara itu, pengurus Norwich, Paul Lambert tetap berpuas hati biarpun pasukannya gagal mendapatkan sebarang mata di gelanggang sendiri. "Kami telah memberikan segala-galanya dalam perlawanan ini dan saya tidak boleh meletakkan kesalahan kepada pemain. Manchester United datang kepada kami dari semua sudut. Penjaga gol mereka juga bermain dengan cukup cemerlang dan melakukan beberapa gerakan menyelamat yang cukup hebat", kata Lambert. Glory Glory Manchester United!!!
Berita-Berita Lain:
ROONEY & CLEVERLEY DIKETEPIKAN DARI SKUAD ENGLAND
Wayne Rooney dan Tom Cleverley bakal terlepas aksi perlawanan antarabangsa menentang Belanda pertengahan minggu ini. Sir Alex Ferguson yang kehilangan khidmat Rooney dan Cleverley semasa aksi liga menentang Norwich City semalam, mengatakan kedua-dua pemainnya itu tidak mungkin menyertai skuad The Three Lions pada perlawanan antarabangsa di Wembley nanti. Rooney mengalami masalah jangkitan virus manakala Cleverley pula cedera buku lali dan dijangka terlepas aksi liga untuk tempoh dua minggu. Ketiadaan Rooney dan Cleverley pastinya merencatkan perancangan Stuart Pearce yang bakal berhadapan perlawanan pertamanya sebagai pengurus England selepas pengunduran mengejut Fabio Capello. Setakat ini masih belum diketahui siapa yang akan dipanggil Pearce bagi menggantikan tempat Rooney dan Cleverley.
GIGGS SENTIASA LAPARKAN KEJUARAAN
Bintang veteran Manchester United, Ryan Giggs menganggap gol kemenangan ke atas Norwich City yang dijaringkannya semalam sesuatu yang istimewa pada penampilan ke-900 untuk kelab. "Bermain hingga 900 perlawanan untuk United sesuatu yang cukup membanggakan. Ketika saya memulakan karier bersama kelab, saya hanya meletakkan sasaran yang kecil iaitu masuk ke dalam pasukan dan bertahan. Kemudian saya mula bernafsu serta ingin menang dan terus menang. Saya tidak pernah terfikir akan bermain sebanyak ini", kata Giggs. Menurut Giggs pada usia sepertinya, dia hanya ingin menikmati permainannya dan mula memasang impian menjulang kejuaraan musim ini. Selain itu, Giggs juga menyebut kembalinya semula Paul Scholes dari persaraan memberikan suntikan motivasi tambahan buat dirinya untuk terus bermain dan tidak memikirkan persaraan. "Melihat Paul Scholes melakukannya dan bagaimana dia menikmati sesi latihan dan perlawanan membuat saya ingin terus bermain".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan