Ramai peminat menjulang nama
Bobby Charlton dan George Best sebagai wira yang membantu Manchester United
menjulang Piala Eropah pada tahun 1968. Nama Alex Stepney jarang disebut
walaupun beliau adalah anggota dari skuad yang menjulang trofi sulung United di
peringkat Eropah itu. Mungkin juga kerana posisi Stepney sebagai penjaga
gol menyebabkan beliau kurang dikenali ramai. Walau bagaimanapun, Stepney
sebenarnya adalah antara watak penting di sebalik kejayaan skuad The
Busby Babes itu menewaskan Benfica 4-1
di perlawanan akhir Piala Eropah edisi 1968. Selepas kedudukan terikat 1-1,
Stepney bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan bahaya lawan,
terutamanya dari penjaring paling digeruni ketika itu, Eusebio.
Stepney memulakan kerjaya sebagai pelatih di Milwall sebelum
menyertai Chelsea pada Jun 1966 dengan bayaran perpindahan sebanyak 52 ribu
Pound. Selepas hanya tiga bulan berada di Stamford Bridge, Stepney
menyertai Manchester United dan Sir Matt Busby terpaksa mengeluarkan dana
sebanyak 55 ribu Pound untuk membawa Stepney ke Old Trafford. Yuran
perpindahan sebanyak itu yang terpaksa dibayar United ke atas Stepney merupakan
rekod dunia bagi penjaga gol ketika itu.
Penampilan sulung Stepney ialah
ketika menentang Manchester City pada 17 September 1966 dimana United berjaya
menewaskan jiran mereka itu 1-0. Kecemerlangan Stepney di gawang berjaya
membantu United meraih kejuaraan liga untuk musim 1966/67. Stepney membuktikan
pelaburan yang dikeluarkan Sir Matt Busby ke atasnya adalah satu tindakan yang
bijak, sehingga ada yang mengatakan bahawa Stepney adalah satu-satunya faktor
paling penting di sebalik kejayaan United menjulang kejuaraan liga pada tahun
tersebut. Kemuncak kejayaan Stepney sebagai pemain hadir setahun kemudian
apabila United berjaya layak keperlawanan akhir Piala Eropah 1968.
Berhadapan dengan Benfica yang diperkuatkan permain terbaik dunia ketika
itu, Eusebio, pastinya menghadirkan rasa gerun buat mana-mana penjaga gol.
Stepney bagaimanapun bertindak cemerlang tanpa rasa gementar berdepan
Eusebio yang digelar sebagai `black panther`, menyelamatkan beberapa
percubaan bahaya penyerang Benfica itu terutamanya selepas kedudukan terikat
1-1 sehingga berjaya memaksa lawan bermain dimasa tambahan. Gol
kemenangan dari George Best, Brian Kidd dan Bobby Charlton seolah-olah
menenggelamkan nama Stepney sebagai wira perlawanan akhir biarpun dia bertindak
cemerlang sepanjang perlawanan.
Bagi tempoh lebih sedekad,
Stepney membuktikan beliau adalah individu yang boleh dipercayai dalam
menggalas tugas mengawal gawang United. Selain tangkas mengawal gawang, 'Big
Al' juga pakar dalam mengambil sepakan penalti, dan dia membuktikannya semasa
musim 1973/74 apabila menghasilkan dua gol melalui sepakan penalti.
Sehingga kini, Stepney kekal sebagai penjaring terbanyak bagi mana-mana
penjaga gol yang pernah beraksi bersama United. Musim itu juga (1973/74)
menyaksikan kejatuhan United sebagai kuasa bolasepak England apabila mereka
tersingkir ke Divisyen 2. Karier Stepney sebagai penjaga gawang England juga
tampak berakhir apabila Peter Shilton muncul sebagai pengganti jangka panjang
buat Gordon Banks dalam skuad Three Lions itu. Di bawah kendalian Tommy Docherty, Stepney berjaya
membantu United bangkit semula dengan menjuarai liga Divisyen 2 musim 1974/75.
Musim ini juga menyaksikan Stepney cukup diingati kerana mengalami
kecederaan 'aneh' pada rahangnya ketika beliau berteriak mengatur benteng
pertahanan pasukan.
Dua tahun selepas itu, Stepney
muncul pemain paling berpengalaman di belakang barisan muda yang baru dibentuk Docherty
dan mereka berjaya menewaskan Southampton 1-0 di perlawanan akhir Piala FA
1977. Perlawanan akhir itu juga menyaksikan Stepney muncul satu-satunya
pemain dari skuad 1968 United yang menjulang Piala Eropah. Tahun
berikutnya, Stepney bukan lagi pilihan automatik di gawang dan beliau beraksi
untuk kali ke 546 dan juga merupakan perlawanan terakhirnya buat United pada
April 1978 sebelum menyertai Dallas Tornado di Liga Bola Sepak Amerika Utara
sehingga 1980. Stepney kembali semula ke England dengan menyertai kelab
bukan liga, Altrincham, dan membantu mereka memenangi Alliance Premier League musim
1980/81. Selepas bersara pada tahun 1982,
Stepney beralih kebidang kejurulatihan sebagai jurulatih penjaga gol di
Southampton, Exeter City dan Manchester City. Sepanjang kerjayanya bersama
United, pemain yang dilahirkan pada 18 September 1942 di Surrey, England itu
mencatat rekod 92 penampilan berturut-turut tetapi kemudiannya dipecahkan Steve
Coppell. Selain Peter Schmeichel yang menjaringkan gol pada perlawanan
Piala UEFA 1995/96, tiada penjaga gol Manchester United yang berjaya mengatasi
kejayaan Stepney menjaringkan dua gol dalam mana-mana perlawanan kompetetif
sejak era Perang Dunia Kedua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan