20 November 2012

PERLAWANAN PENTING UNITED UNTUK BAKI TAHUN 2012


Peminat-peminat Manchester United tentunya tidak membayangkan bahawa skuad The Red Devils memulakan musim 2012/13 dengan begitu baik sekali. Pada musim-musim sebelumnya, United biasanya dikenali sebagai pasukan yang `lambat panas’ namun prestasi kelab di awal musim ini cukup berbeza apabila mereka kini berada di tangga kedua liga, hanya satu mata di belakang pendahulu, Manchester City. Prestasi di peringkat Eropah juga cukup jauh berbeza jika dibandingkan dengan musim lalu, apabila United ketika ini kekal dengan rekod 100% kemenangan dari empat perlawanan dan muncul pasukan pertama mengesahkan tempat ke pusingan kedua (16 pasukan) Liga Juara-Juara. United juga sudah mencatat kemenangan ke atas pencabar-pencabar kejuaraan seperti Arsenal dan Chelsea, tetapi itu semua tidak bererti Sir Alex Ferguson dan anak-anak buahnya akan menamatkan cabaran tahun 2012 dengan mudah. Baki saingan bagi tahun 2012 akan menyaksikan United berdepan beberapa perlawanan sukar sekaligus bakal menguji kemampuan mereka dalam mengejar misi merampas kejuaraan liga dari (Manchester) City dan juga menjulang trofi Liga Juara-Juara. Dengan musim sejuk yang bakal menjelma dan pasaran perpindahan pemain dibuka pada Januari, dua bulan ke hadapan adalah tempoh paling penting buat United dan bagi menilai sama ada skuad kali ini mampu menebus semula kehampaan musim lalu. Berikut adalah beberapa perlawanan penting untuk United sebelum berakhirnya tahun 2012:


1. 21 November, menentang Galatasaray:


Selepas cemerlang dengan rekod 100% dari empat perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, United meneruskan misi menang semua perlawanan mereka di peringkat kumpulan atau setidak-tidaknya kekal dengan rekod tanpa kalah. Sir Alex Ferguson dijangka tidak menurunkan sekuad utamanya di Turki nanti selepas United sudah mengesahkan tiket ke pusingan kedua. Bagaimanapun perlawanan ini cukup penting untuk mengukur sejauh mana kemampuan barisan pemain simpanan The Red Devils, terutamanya ketika berdepan saingan di peringkat Eropah. Jika mahu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan peringkat kumpulan dijadikan sasaran, Ferguson bolehlah menganggap perlawanan ini sama pentingnya dengan perlawanan-perlawanan yang bakal diharungi United nanti. Galatasaray boleh menggunakan peluang ini untuk mencari tiga mata penting buat mereka bagi menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya memandangkan United dijangka turun dengan separuh kekuatan mereka, sekaligus memberikan kekalahan pertama United di pentas Eropah musim ini.


2. 9 Disember, menentang Manchester City:


Manchester United akan berkunjung ke Stadium Etihad dengan misi mahu membalas dendam kekalahan 1-6 mereka musim lalu. Terlepas kejuaraan liga kepada City dengan hanya perbezaan gol meninggalkan kesan besar buat Sir Alex Ferguson dan United boleh menggunakan peluang ini untuk memberikan amaran kepada City bahawa trofi Liga Perdana akan kembali semula ke Old Trafford. Derby Manchester semakin panas selepas City tiba-tiba muncul kuasa baru bolasepak England hasil dari pelaburan besar yang dilakukan pemilik kelab Eastland itu sejak 2009. Permusuhan kedua-dua jiran setempat itu dijangka lebih hebat berbanding musim lalu dan kemenangan dalam perlawanan ini bakal memberikan suntikan motivasi tambahan buat kedua-dua kelab dalam usaha mereka memenangi trofi musim ini, sekaligus membuktikan siapa penguasa sebenar di kota Manchester. 


3. 26 Disember, menentang Newcastle United:


Newcastle United mungkin dianggap sesetengah pihak bukanlah cabaran yang besar buat United untuk mengutip tiga mata dalam perlawanan ini, jika diambilkira kejayaan menjinakkan skuad kendalian Alan Pardew itu 3-0 pada perlawanan liga yang dilangsungkan di gelanggang lawan 7 Oktober lalu. Itu belum lagi diambilkira dengan rekod buruk The Magpies setiap kali beraksi di Old Trafford, namun faktor Demba Ba dan Pappis Cisse yang akan meninggalkan kelab mereka buat sementara bagi aksi di Piala Negara-Negara Afrika tidak boleh diketepikan. Kedua-dua penyerang itu tentunya bersemangat untuk memberikan sesuatu buat kelab mereka sebelum menyertai skuad kebangsaan Senegal dan United sekali lagi  bakal berdepan perlawanan sukar terutamanya dalam menangani kekuatan bahagian tengah dan serangan Newcastle.


4. 29 Disember, menentang West Bromwich:


West Bromwich sedang menikmati prestasi menakjubkan mereka musim ini. Kejayaan menundukkan Chelsea Sabtu lalu sekaligus melonjakkan mereka ke tangga keempat liga menyebabkan kelibat skuad The Baggies itu mula menjadi perhatian ramai ketika ini. Keupayaan anak-anak buah Steve Clarke tidak boleh dipandang ringan terutamanya apabila mereka dinafikan dari memungut sebarang mata diminit-minit akhir permainan ketika berdepan Manchester City dan Newcastle United selain berjaya menewaskan Everton, Liverpool dan terbaru Chelsea. Clarke membuktikan, The Baggies di bawah kendaliannya mampu menewaskan mana-mana kelab besar di England ketika ini dan kunjungan mereka ke Old Trafford nanti tentunya bukan sekadar untuk bermain secara defensif. Mereka tiada tugasan di peringkat Eropah sekaligus memberikan peluang buat Clarke menumpukan sepenuhnya pada aksi liga. Berbeza pula dengan Ferguson yang terpaksa melakukan percaturan bijak bagi menangani saingan domestik dan juga Liga Juara-Juara yang bakal memasuki fasa perlawanan kalah mati. Ramai dari kita yang menganggap United terlalu kuat terutamanya ketika beraksi di Old Trafford, tetapi kita juga tidak tahu apa yang mampu dilakukan West Bromwich nanti. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

19 November 2012

TRIBUTE UNTUK KENNY MORGANS


Bekas pemain Manchester United, Kenny Morgans meninggal dunia pada usia 73 tahun semalam selepas dimasukkan ke hospital sejak Sabtu lalu. Mendiang adalah antara pemain Manchester United yang terselamat dari nahas udara Munich yang berlaku kira-kira 54 tahun yang lalu. Mendiang baru berusia 16 tahun ketika dia menyertai United, bermain di posisi sayap kanan untuk skuad remaja United sebelum diserap ke skuad utama. Mendiang melakukan penampilan pertamanya untuk United ketika berusia 18 tahun sebelum digantikan Johnny Berry selaku pilihan pertama di posisi tersebut (sayap kanan). Menceritakan tentang detik-detiknya sebelum menyertai United, mendiang mengatakan ketika itu ada lima kelab yang berminat mendapatkan khidmatnya sebelum dia memilih untuk menandatangani kontrak bersama United. “Ada lima kelab menghantar wakil sebelum saya memilih United. Seorang daripada wakil berada di ruang tamu, manakala yang lain berada di ruang belakang dan dapur. Semuanya datang pada waktu yang sama”, kata Morgans. Sebelum menjadi pemain profesional, mendiang bekerja di sebuah bengkel kayu di Stretford sehinggalah dia berusia 17 tahun. Dua bulan selepas melakukan penampilan pertamanya, mendiang terbang ke Belgrade bagi membantu kempen United di peringkat Eropah berdepan wakil Yugoslavia, Red Star (Belgrade). Malangnya dalam perjalanan pulang semula ke England, pesawat yang mereka naiki terhempas di Munich dalam cuaca sejuk, tetapi mendiang bernasib baik apabila cuma mengalami kecederaan ringan. Mendiang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di celah-celah serpihan bangkai pesawat oleh dua orang wartawan lima jam selepas usaha mencari dan menyelamat dihentikan. Mendiang menghabiskan tempoh enam minggu di hospital sebelum dibenarkan pulang semula kerumah. “Pada jam 8.30 atau 8.45 malam, dua orang wartawan Jerman kembali semula ke kawasan nahas dan mereka kemudiannya menemui saya. Saya masih ingat, saya terperangkap di bawah roda pesawat dan merupakan mangsa terakhir dikeluarkan dari kawasan nahas”, imbas Morgans tentang detik-detik ketika dia diselamatkan. Meskipun berjaya menjalani sesi pemulihan selepas kecelakaan itu, mendiang tidak kembali semula bermain di padang dan kemudiannya memutuskan meninggalkan kelab pada tahun 1961 untuk pulang semula ke Wales. Nahas udara di Munich itu nyata meninggalkan kesan psikologi yang besar kepada mendiang dan menjadi penyebab utama mengapa dia mengambil keputusan meninggalkan United. “Ketika saya meninggalkan hospital, doktor menasihatkan agar saya tidak bermain bolasepak lagi. Saya juga sudah berputus asa selepas mendapati Duncan (Edwards) dan Tommy (Taylor) maut dalam nahas tersebut kerana saya benar-benar ingin bermain bersama mereka”, imbas Morgans lagi. Selepas meninggalkan United dan pulang semula ke Wales, mendiang bermain untuk Swansea City selama tiga tahun sebelum mengambil keputusan untuk bersara ketika berusia 25 tahun. Walau bagaimanapun, mendiang berjaya dipujuk semula untuk bermain dan menyertai Newport County yang beraksi di Liga Divisyen 4. Mendiang kembali semula ke Old Trafford dalam beberapa tahun terakhir khasnya ketika menghadiri upacara memperingati mangsa-mangsa tragedi Munich sempena genap 50 tahun berlakunya nahas udara tersebut pada 2008 dan hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis makan malam untuk bekas-bekas pemain United yang diadakan baru-baru ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Rekod Kenny Morgans Bersama United:

Penampilan Pertama: Menentang Leicester City pada 21 Disember 1957
Penampilan Liga: 17 kali
Piala FA: 2 penampilan
Piala Eropah: 4 penampilan
Gol: Tiada

18 November 2012

CAKAP-CAKAP SELEPAS PERLAWANAN


FERGIE PUJI SEMANGAT JUANG NORWICH: Kekalahan Manchester United di tangan Norwich City awal pagi tadi mengundang rasa kecewa Sir Alex Ferguson namun pengendali itu tidak lokek untuk memberikan pujian atas kesungguhan skuad tuan rumah. United gagal meneruskan siri kebangkitan mereka musim ini selepas ketinggalan menerusi gol Anthony Pilkington diminit ke-60 meskipun mengasak hebat di penghujung permainan untuk mencari gol penyamaan. Meskipun tewas dan terpaksa menyerahkan kedudukan pendahulu kepada Manchester City, Ferguson tidak menyalahkan barisan pemainnya sambil mengatakan ini bukanlah hari bertuah untuk mereka. “Kami kecewa kerana kalah, namun kami harus memberi penghargaan kepada Norwich atas kerja keras mereka sepanjang perlawanan. Mereka bertahan dengan baik dan penjaga gol mereka juga tampil bagus, jadi ini mengecewakan buat kami”, kata Ferguson. Ferguson turut memuji gol yang dihasilkan Pilkington yang menurutnya begitu cemerlang hingga Anders Lindegaard tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkannya. Musim ini sudah lapan kali United melakukan kebangkitan selepas ketinggalan, tetapi kali ini gagal melakukannya di Carrow Road.

KEYAKINAN NORWICH MEMUNCAK: Penjaring gol kemenangan awal pagi tadi, Anthony Pilkington percaya kemenangan yang dilakar pasukannya ke atas United bakal meningkatkan lagi keyakinan barisan The Canaries. Bekas pemain dari Akademi Manchester United itu menewaskan Anders Lindegaard di minit ke-60 sekaligus memebrikan kekalahan ketiga buat United dalam saingan liga musim ini. “Ini hari yang bagus buat kami dan penyokong. Kami memiliki skuad dan susunan pemain yang bagus. Pihak pengurusan meminta kami sentiasa percaya pada diri sendiri dan itu yang kami lakukan pada perlawanan menentang United tadi”, kata Pilkington. Pilkington juga nampaknya puas dengan prestasi pasukannya dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini. “Ketika ini kami tidak kalah dalam beberapa perlawanan dan mula mengalahkan kelab di kedudukan yang lebih baik dari kami”. Bagi pemain berusia 24 tahun itu, menewaskan United bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi selepas mendapati The Red Devils sering menjaringkan gol diminit-minit akhir permainan sepertimana yang sering mereka lakukan dalam beberapa perlawanan musim ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

REVIEW: TEWAS DI CARROW ROAD, UNITED TERGELINCIR DI TANGGA KEDUA


Rentetan lima kemenangan Manchester United dalam aksi liga terhenti selepas mereka tewas 0-1 kepada Norwich City awal pagi tadi. Kekalahan itu juga menyaksikan kedudukan United sebagai pendahulu liga turut terlucut kepada jiran mereka, Manchester City selepas kelab bimbingan Roberto Mancini itu mencatat kemenangan besar ke atas Aston Villa di gelanggang sendiri. Seperti yang diramalkan sebelum perlawanan, United jelas berdepan masalah memecah benteng pertahanan lawan yang tidak melepaskan sebarang gol sejak 27 Oktober lalu biarpun menguasai perlawanan. Percubaan Robin Van Persie di minit-minit awal berjaya ditepis keluar John Ruddy dan selepas itu tiada gerakan-gerakan menarik dari kedua-dua pasukan yang boleh menghasilkan gol. Sepanjang separuh masa pertama, gerakan-gerakan tuan rumah lebih banyak tertumpu kepada tiga pemain mereka, Robert Snodgrass, Anthony Pilkington dan Wes Hoolahan terutamanya ketika melakukan serang balas pantas. Tanpa Wayne Rooney yang direhatkan kerana mengalami kecederaan buku lali, United dihampakan apabila setiap gerakan-gerakan yang dilakukan mereka berjaya dipatahkan benteng pertahanan tuan rumah yang diterajui Steven Whittaker, Sebastien Bassong, Michael Turner dan Javier Garrido. Mungkin mengambil iktibar dari kebangkitan United di Villa Park, Chris Hughton mengarahkan barisan pemainnya sentiasa mengawal ketat pergerakan Van Persie dan Javier Hernandez sepanjang perlawanan. Taktik permainan defensif mereka jelas menyukarkan United mencipta gerakan-gerakan bahaya dan kedudukan kekal terikat 0-0 sehingga wisel separuh masa pertama ditiupkan pengadil perlawanan Anthony Taylor.

Babak kedua tempo permainan masih tidak berubah dengan United terus menguasai perlawanan manakala tuan rumah pula menggunakan taktik bermain secara defensif dengan meletakkan Grant Holt sebagai target man mereka. Taktik permainan yang diamalkan The Canaries akhirnya membuahkan hasil apabila menerusi gerakan Hoolahan, Pilkington berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan di minit ke-60 menerusi tandukan yang gagal diselamatkan Anders Lindegaard. Melihat kegagalan barisan pemainnya memecah benteng kental tuan rumah, Sir Alex Ferguson memasukkan Paul Scholes dan Danny Welbeck di pertengahan separuh masa kedua bagi mencari gol penyamaan. Kehadiran Scholes dan Welbeck menghidupkan sedikit rentak serangan United apabila Welbeck sendiri beberapa kali berjaya memaksa Ruddy bekerja keras. Serangan bertali arus United di penghujung permainan bagi mencari gol penyamaan gagal membuahkan hasil apabila Hughton mengarahkan hampir kesemua permainnya berada di kawasan sendiri bagi mempertahankan kelebihan gol milik mereka. Paling hampir untuk United menyamakan kedudukan ialah apabila tandukan Bassong di masa kecederaan menuju ke gawang sendiri, namun Ruddy bertindak pantas menepis bola keluar. Kekalahan ini menyaksikan United ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Manchester City yang mengumpul 28 mata hasil kemenangan besar mereka ke atas Villa. Tempat ketiga pula dihuni Chelsea yang mengutip 24 mata selepas mereka tewas kepada West Bromwich di gelanggang lawan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Statistik Perlawanan:

Gol: 1 – 0
Sepakan Sudut: 0 – 12
Percubaan Tepat: 5 – 9
Percubaan Tersasar: 5 – 3
Kekasaran: 10 – 7
Offside: 3 – 1
Penguasaan Bola: 44% - 56%

17 November 2012

PREVIEW: NORWICH CITY lwn MANCHESTER UTD



Manchester United berdepan tugas getir dalam kunjungan mereka ke Carrow Road awal pagi esok. Meskipun mencatat kemenangan pada dua perlawanan terakhir ke atas Norwich, United dijangka menerima tentangan sengit dari tuan rumah selepas skuad The Canaries itu tidak tewas dalam lima perlawanan terakhir mereka. Kali terakhir Norwich menewaskan United ialah pada 9 April 2005 sebelum mereka tersingkir ke Liga Kejuaraan. Tiga kemenangan dan dua kali seri dari lima perlawanan terakhir yang dicatatkan tuan rumah sudah cukup untuk memberikan amaran kepada United bahawa tentangan sengit bakal diterima pendahulu liga itu di Carrow Road nanti. Musim lalu, United menang 2-1 di sini menerusi jaringan Paul Scholes yang kemudiannya berjaya disamakan Grant Holt, sebelum Ryan Giggs menjaringkan gol lewat permainan untuk memberikan tiga mata penuh buat The Red Devils. Prestasi terkini United juga cukup bagus apabila menang empat kali dan tewas sekali (kepada Chelsea dalam saingan Piala Capital One) dari lima perlawanan terakhir mereka dalam semua kejohanan. Kali terakhir United tewas dalam saingan liga ialah pada 30 September lalu kepada Tottenham Hotspurs di Old Trafford. The Red Devils kemudiannya bangkit dengan mengutip 15 mata maksimum pada lima perlawanan liga mereka selepas itu, sekaligus berjaya merampas kedudukan teratas liga dari Chelsea. Norwich juga dilihat agak kebal ketika beraksi di gelanggang sendiri apabila daripada 11 mata yang dikumpul mereka setakat ini, 8 darinya berjaya diraih ketika beraksi di Carrow Road. Benteng pertahanan tuan rumah juga bakal memberikan masalah buat barisan hadapan United selepas menyaksikan mereka hanya dibolosi satu gol dari empat perlawanan terakhir liga. 

Penyerang Aston Villa, Christian Benteke muncul pemain terakhir yang berjaya membolosi pintu gol Norwich ketika pertemuan antara kedua-dua pasukan di Villa Park pada 27 Oktober lalu. Pastinya menarik untuk menyaksikan bagaimana barisan hadapan United yang sudah mengumpul 29 gol dari 11 perlawanan berdepan benteng pertahanan kental tuan rumah yang diterajui bekas pertahanan Spurs, Sebastian Bassong. Meskipun mengakui penjaring terbanyak liga setakat ini, Robin Van Persie sudah pulih untuk berdepan perlawanan awal pagi esok, Sir Alex Ferguson akan melihat Wayne Rooney dan Jonny Evans menyertai Nemanja Vidic, Nani dan Shinji Kagawa dalam senarai pemain di bilik rawatan pasukannya. Van Persie dan Rooney terlepas aksi perlawanan antarabangsa untuk skuad kebangsaan masing-masing pertengahan minggu ini selepas mengalami kecederaan ketika berdepan Villa. Tempat Evans pula bakal diisi Chris Smalling yang akan bergandingan dengan Rio Ferdinand manakala Phil Jones mungkin akan bermula di bangku simpanan selepas kembali semula ke pangkuan skuad. Antonio Valencia, Anderson, Tom Cleverley dan Michael Carrick mungkin digunakan untuk mengisi bahagian tengah manakala di bahagian serangan pula, Ferguson bakal menggunakan kombinasi Van Persie dan Javier Hernandez berikutan ketiadaan Rooney dalam perlawanan ini. Bagi tuan rumah pula mereka akan kekal tanpa khidmat pemain pertahanan Russel Kane, manakala pemain tengah Alex Tettey pula dijangka kembali memperkuatkan pasukan. Grant Holt kekal sebagai sandaran utama Chris Hughton untuk memburu gol dan pertahanan United perlu berhati-hati dengan kelebihan penyerang itu terutamanya ketika perebutan bola di udara. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

5 Perlawanan Terakhir Norwich City :

10/11/2012 : Reading 0 – 0 Norwich City, Liga Perdana
03/11/2012 : Norwich City 1 – 0 Stoke City, Liga Perdana
01/11/2012 : Norwich City 2 – 1 Tottenham, Piala Liga
27/10/2012 : Aston Villa 1 – 1 Norwich City, Liga Perdana
20/10/2012 : Norwich City 1 – 0 Arsenal, Liga Perdana

5 Perlawanan Terakhir Manchester United :

11/11/2012 : Aston Villa 2 – 3 Manchester United, Liga Perdana
08/11/2012 : Braga 1 – 3 Manchester United, Liga Juara-Juara
03/11/2012 : Manchester United 2 – 1 Arsenal, Liga Perdana
01/11/2012 : Chelsea 5 – 4 Manchester United, Piala Liga
28/10/2012 : Chelsea 2 – 3 Manchester United, Liga Perdana

Barisan Kemungkinan Norwich : 

John Ruddy, Steven Whittaker, Michael Turner, Sebastian Bassong, Javier Garrido, Alex Tettey, Bradley Johnson, Robert Snodgrass, Wes Hoolahan, Anthony Pilkington & Grant Holt

Barisan Kemungkinan United :

David de Gea, Rafael da Silva, Rio Ferdinand, Chris Smalling, Patrice Evra, Antonio Valencia, Michael Carrick, Tom Cleverley, Danny Welbeck, Robin Van Persie

`BABY FACE' VERSI KEDUA


Ole Gunnar Solskjaer telah diberikan gelaran ‘Pembunuh Berwajah Bayi’ semasa zaman kemuncaknya di Old Trafford mulai 1996 hingga 2007. Sepanjang 11 tahun bersama United, Solskjaer menjaringkan 91 gol dari 235 penampilan untuk United, dan kecemerlangan sebagai pemain berjaya diteruskan Solskjaer selepas menceburi bidang kejurulatihan apabila berjaya membimbing kelab yang pernah mencungkil bakatnya ketika zaman kanak-kanak Molde FK muncul juara Liga Perdana Norway dua musim berturut-turut. Kini kelibat `baby face’ di atas padang tinggal kenangan dan akan sentiasa diingai penyokong-penyokong United terutama jaringan kemenangannya ke atas Bayern Munich pada final Liga Juara-Juara edisi 1998/99. Selepas lima tahun `baby face’ menggantung but, kini United sudah mempunyai `baby face’ versi kedua mereka, dan pemain yang dimaksudkan ialah Javier Hernandez. Meskipun kurang gemar dilabel sebagai supersub, Hernandez sepertimana Solskjaer kerap menjaringkan gol-gol penting United ketika dimasukkan sebagai pemain gantian. Hernandez memulakan kariernya di Old Trafford selepas dbawa dari kelab Mexico, Chivas de Guadalajara pada musim 2010/11. Hernandez meninggalkan impak cukup besar pada musim pertamanya di Liga Perdana apabila berjaya menjaringkan 13 gol dari 27 penampilan sekaligus membantu United menjulang kejuaraan liga musim tersebut. Malah Hernandez muncul pemain pertama United selepas Ruud Van Nistelrooy yang berjaya menjaringkan 20 gol (dalam semua kejohanan) pada musim pertamanya di Old Trafford. Peranan yang dimainkan Hernandez sebagai supersub menyebabkan dia tidak dapat lari dari bayang-bayang Solskjaer. Kedua-duanya dilihat mempunyai persamaan apabila sentiasa bijak menempatkan diri dalam kedudukan baik untuk menjaringkan gol ketika berada dalam petak penalti lawan. Malang buat Hernandez apabila dia agak tenggelam ketika musim keduanya bersama United selepas dilanda kecederaan menyebabkan ramai yang beranggapan bahawa impak yang dicipta pada musim pertamanya tidak lebih sekadar nasib. Walaupun begitu, Hernandez masih mampu menjaringkan 10 gol dari 28 penampilan liga musim 2011/12. Musim ini Hernandez membuktikan kepada pengkritik-pengkritiknya dia sudah bangkit dari prestasi tidak menentu musim lalu. Setakat ini, Hernandez sudah menjaringkan 8 gol dalam semua kejohanan termasuk dua gol ketika membenam Aston Villa hujung minggu lalu. 

Sama seperti dua musim sebelumnya, musim ini Hernandez memulakan kebanyakkan permainannya dari bangku simpanan, tetapi apabila dipanggil, dia akan meninggalkan kesan besar kepada lawan selepas tamat perlawanan, sama seperti Solskjaer. Mungkin kerana kurang diberikan peluang tampil dalam kesebelasan utama membuatkan Hernandez tidak sabar-sabar untuk memberikan yang terbaik apabila dipanggil masuk. Sifat permainan Hernandez juga bertambah baik, terutamanya ketika berdepan perangkap offside lawan dan kekuatan fizikal yang banyak membantunya ketika mengawal bola. Sir Alex Ferguson pernah satu ketika melahirkan rasa kagumnya melihat cara Filippo Inzaghi melepasi barisan pertahanan lawan dan menjaringkan gol. Menurut Ferguson, seni menjaringkan gol milik Inzaghi itu ada dalam diri Hernandez dan menerusi pengalaman serta latihan keras, bos United itu yakin, bintang antarabangsa Mexico itu akan muncul penyerang digeruni di Eropah satu hari nanti. Apa yang perlu dilakukan Ferguson ialah memberikan ganjaran buat Hernandez dengan memberinya peluang bermain dalam kesebelasan utama dan bukannya terus menggunakan pemain itu sebagai supersub. Hernandez beberapa hari lalu mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak mahukan gelaran supersub sekaligus memberikan isyarat buat Ferguson agar memberikannya peluang tampil dalam kesebelasan utama selepas ini. Real Madrid memang diketahui menaruh minat terhadap Hernandez dan hanya menunggu peluang untuk membawanya keluar dari Old Trafford. Mungkin juga Madrid sedang menunggu tajuk berita di akhbar yang mengatakan bahawa `Hernandez Tidak Gembira di Old Trafford’ sebelum bertindak memancing pemain itu sepertimana yang mereka lakukan ke atas David Becham, Ruud Van Nistelrooy dan Cristiano Ronaldo. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

16 November 2012

KELAB MANAKAH PILIHAN FELLAINI JIKA DIA MENINGGALKAN EVERTON?


Manchester United dan Chelsea telah dikaitkan dengan Marouane Fellaini selepas masa depan pemain tengah Everton mula diperdebatkan. Setiap kali jendela perpindahan pemain dibuka, nama Fellaini antara pemain yang cukup popular disebut-sebut bakal meninggalkan Goodison Park. Dibandingkan dengan rakan-rakan senegaranya di Liga Perdana yang bermain untuk Chelsea, Arsenal dan Manchester City, Fellaini mungkin mendapati dirinya hanya bermain untuk kelab yang saban musim tidak diletakkan harapan menjulang kejuaraan. Bukan mahu memperkecilkan keupayaan Everton, tetapi dengan kebolehan yang ada pada Fellaini, dia mampu menempatkan dirinya dalam kesebelasan utama mana-mana kelab besar yang lain. Bagi kebanyakkan pemain, mereka mungkin sudah berpuas hati dengan dengan apa yang mereka miliki ketika ini, tetapi bukan Fellaini. Pada usia 24 tahun, Fellaini mungkin sudah terfikir bahawa masa untuknya memburu kegemilangan dengan memenangi trofi kejuaraan sudah tiba, itupun dengan syarat dia mesti menyertai mana-mana kelab yang berpotensi memenangi kejuaraan, bukannya terus kekal bersama Everton. Fellaini pernah mengatakan bahawa dia sudah menilai segala aspek dan melihat Januari atau akhir musim nanti masa yang sesuai untuknya meninggalkan Goodison Park. Bahkan David Moyes sendiri seakan-akan sudah pasrah dia tidak berupaya menghalang hasrat Fellaini untuk berhijrah dan bakal kehilangan tonggak utamanya itu, selewat-selewatnya pada musim panas akan datang. Setelah berada di Goodison Park sejak 2008, Fellaini pasti ingin mencari cabaran baru selain potensi memenangi trofi kejuaraan bersama kelab yang lebih besar, sesuai dengan bakat yang ada pada dirinya. Lima destinasi yang berpotensi dituju pemain itu ketika jendela perpindahan di buka Januari ini atau selewat-lewatnya pada musim panas tahun hadapan ialah:

1. Manchester United: Sudah kerap kali spekulasi dimainkan tentang minat Sir Alex Ferguson terhadap pemain ini di mana kelibat pemain tengah seperti Fellaini memang diperlukan United ketika ini. Ferguson sangat menyedari kualiti yang ada pada Fellaini selepas menyaksikan sendiri pemain itu menjaringkan gol penting pada dua pertemuan terakhir antara United dan Everton. Walau bagaimanapun apabila melihat rekod Ferguson sendiri yang jarang menggunakan jendela perpindahan musim sejuk (Januari) untuk mendapatkan pemain baru, hasrat untuk melihat Fellaini menuju ke Old Trafford Januari ini sukar dilaksanakan. Mungkin musim panas tahun hadapan waktu yang cukup sesuai buat United menyambar Fellaini. Jika tanda harga sekitar 25 juta Pound diletakkan ke atas Fellaini, United berpeluang mendapatkan khidmat pemain itu.

2. Chelsea: Stamford Bridge adalah destinasi paling logik buat Fellaini kerana Chelsea memiliki beberapa pemain Belgium dalam pasukan mereka. Kelibat Eden Hazard, Romelu Lukaku, Kevin De Bryune dan Thibaut Courtois mungkin menjadi tarikan tambahan kepada Fellaini untuk memilih Stamford Bridge berbanding destinasi lain. Bersama-sama John Obi Mikel, Fellaini akan membentuk gandingan hebat di bahagian tengah Chelsea dan itu satu lagi faktor yang mungkin akan dipertimbangkan Fellaini. Wang bukan masalah bagi Chelsea jika Roman Abramovich berminat terhadap seseorang pemain sepertimana yang telah mereka tunjukkan ketika memancing Hazard.

3. Arsenal: Arsenal adalah kelab yang kerap dikaitkan dengan Fellaini selain Manchester United. Mungkin sejak kebelakangan ini Arsenal jarang membawa nama besar dalam skuad mereka selepas berakhirnya era Patrick Vieira, Thierry Henry, Dennis Bergkamp, Marc Overmars, Emmanuel Petit dan beberapa lagi pemain yang berjaya membentuk skuad itu antara pasukan paling kebal di England. Jika Arsenal berjaya mendapatkan Fellaini, perkara itu tentunya menjadi kejayaan besar buat Arsene Wenger selepas beliau mula memperkenalkan polisi `berbelanja secara berhemah’ sejak beberapa musim kebelakangan ini. Bagaimanapun, Wenger sebenarnya lebih memerlukan seorang penyerang hebat selepas penghijrahan Robin Van Persie ke Old Trafford berbanding mendapatkan seorang pemain tengah. Jika Wenger tetap mahu membawa masuk Fellaini, Everton mungkin boleh menuntut supaya Mikel Arteta pulang semula ke Goodison Park sebagai pertukaran.

4. Manchester City: Roberto Mancini kurang gembira dengan prestasi City pada pasaran perpindahan pemain musim panas ini. Mancini pada mulanya mensasarkan Daniele de Rossi tetapi cuma berjaya mendapatkan Jack Rodwell. Bukan mahu memperkecilkan kebolehan Rodwell, tapi Mancini mahu mencari pemain yang betul-betul mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Nigel de Jong. Jika City meletakkan Fellaini sebagai sasaran mereka, pemain itu akan membentuk salah satu gandingan pemain tengah terbaik di Liga Perdana bersama-sama Yaya Toure. Jangan remehkan peluang Mancini mendapatkan Fellaini terutamanya selepas beliau melihat aksi longlai pasukannya di Liga Juara-Juara. Dengan sokongan kewangan yang ada di belakang pengendali itu, Stadium Etihad pastinya menjadikan antara destinasi paling berpotensi buat Fellaini.

5. Real Madrid: Jose Mourinho sudah menunjukkan dia tertarik membawa beberapa nama besar dari Liga Perdana masuk ke dalam skuadnya. Musim panas ini, Mourinho berjaya mendapatkan Luka Modric dan Mikel Essien, malah bekas pemain Liverpool yang kini bersama-sama Madrid, Xabi Alonso yakin akan ada wajah baru muncul dalam skuad Mourinho selepas ini. Bakat Fellaini tentunya menyebabkan Madrid sedia meletakkannya dalam senarai pemain yang ingin diburu mereka. Sekali lagi, wang bukan masalah besar buat kelab seperti Madrid dan wang yang banyak juga bakal mendatangkan manfaat buat kelab seperti Everton. Penjualan Fellaini ke Real Madrid mampu memberi pulangan besar buat skuad The Toffees itu. Glory Glory Manchester United!!! – A.J