17 November 2012

`BABY FACE' VERSI KEDUA


Ole Gunnar Solskjaer telah diberikan gelaran ‘Pembunuh Berwajah Bayi’ semasa zaman kemuncaknya di Old Trafford mulai 1996 hingga 2007. Sepanjang 11 tahun bersama United, Solskjaer menjaringkan 91 gol dari 235 penampilan untuk United, dan kecemerlangan sebagai pemain berjaya diteruskan Solskjaer selepas menceburi bidang kejurulatihan apabila berjaya membimbing kelab yang pernah mencungkil bakatnya ketika zaman kanak-kanak Molde FK muncul juara Liga Perdana Norway dua musim berturut-turut. Kini kelibat `baby face’ di atas padang tinggal kenangan dan akan sentiasa diingai penyokong-penyokong United terutama jaringan kemenangannya ke atas Bayern Munich pada final Liga Juara-Juara edisi 1998/99. Selepas lima tahun `baby face’ menggantung but, kini United sudah mempunyai `baby face’ versi kedua mereka, dan pemain yang dimaksudkan ialah Javier Hernandez. Meskipun kurang gemar dilabel sebagai supersub, Hernandez sepertimana Solskjaer kerap menjaringkan gol-gol penting United ketika dimasukkan sebagai pemain gantian. Hernandez memulakan kariernya di Old Trafford selepas dbawa dari kelab Mexico, Chivas de Guadalajara pada musim 2010/11. Hernandez meninggalkan impak cukup besar pada musim pertamanya di Liga Perdana apabila berjaya menjaringkan 13 gol dari 27 penampilan sekaligus membantu United menjulang kejuaraan liga musim tersebut. Malah Hernandez muncul pemain pertama United selepas Ruud Van Nistelrooy yang berjaya menjaringkan 20 gol (dalam semua kejohanan) pada musim pertamanya di Old Trafford. Peranan yang dimainkan Hernandez sebagai supersub menyebabkan dia tidak dapat lari dari bayang-bayang Solskjaer. Kedua-duanya dilihat mempunyai persamaan apabila sentiasa bijak menempatkan diri dalam kedudukan baik untuk menjaringkan gol ketika berada dalam petak penalti lawan. Malang buat Hernandez apabila dia agak tenggelam ketika musim keduanya bersama United selepas dilanda kecederaan menyebabkan ramai yang beranggapan bahawa impak yang dicipta pada musim pertamanya tidak lebih sekadar nasib. Walaupun begitu, Hernandez masih mampu menjaringkan 10 gol dari 28 penampilan liga musim 2011/12. Musim ini Hernandez membuktikan kepada pengkritik-pengkritiknya dia sudah bangkit dari prestasi tidak menentu musim lalu. Setakat ini, Hernandez sudah menjaringkan 8 gol dalam semua kejohanan termasuk dua gol ketika membenam Aston Villa hujung minggu lalu. 

Sama seperti dua musim sebelumnya, musim ini Hernandez memulakan kebanyakkan permainannya dari bangku simpanan, tetapi apabila dipanggil, dia akan meninggalkan kesan besar kepada lawan selepas tamat perlawanan, sama seperti Solskjaer. Mungkin kerana kurang diberikan peluang tampil dalam kesebelasan utama membuatkan Hernandez tidak sabar-sabar untuk memberikan yang terbaik apabila dipanggil masuk. Sifat permainan Hernandez juga bertambah baik, terutamanya ketika berdepan perangkap offside lawan dan kekuatan fizikal yang banyak membantunya ketika mengawal bola. Sir Alex Ferguson pernah satu ketika melahirkan rasa kagumnya melihat cara Filippo Inzaghi melepasi barisan pertahanan lawan dan menjaringkan gol. Menurut Ferguson, seni menjaringkan gol milik Inzaghi itu ada dalam diri Hernandez dan menerusi pengalaman serta latihan keras, bos United itu yakin, bintang antarabangsa Mexico itu akan muncul penyerang digeruni di Eropah satu hari nanti. Apa yang perlu dilakukan Ferguson ialah memberikan ganjaran buat Hernandez dengan memberinya peluang bermain dalam kesebelasan utama dan bukannya terus menggunakan pemain itu sebagai supersub. Hernandez beberapa hari lalu mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak mahukan gelaran supersub sekaligus memberikan isyarat buat Ferguson agar memberikannya peluang tampil dalam kesebelasan utama selepas ini. Real Madrid memang diketahui menaruh minat terhadap Hernandez dan hanya menunggu peluang untuk membawanya keluar dari Old Trafford. Mungkin juga Madrid sedang menunggu tajuk berita di akhbar yang mengatakan bahawa `Hernandez Tidak Gembira di Old Trafford’ sebelum bertindak memancing pemain itu sepertimana yang mereka lakukan ke atas David Becham, Ruud Van Nistelrooy dan Cristiano Ronaldo. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan