19 November 2012

TRIBUTE UNTUK KENNY MORGANS


Bekas pemain Manchester United, Kenny Morgans meninggal dunia pada usia 73 tahun semalam selepas dimasukkan ke hospital sejak Sabtu lalu. Mendiang adalah antara pemain Manchester United yang terselamat dari nahas udara Munich yang berlaku kira-kira 54 tahun yang lalu. Mendiang baru berusia 16 tahun ketika dia menyertai United, bermain di posisi sayap kanan untuk skuad remaja United sebelum diserap ke skuad utama. Mendiang melakukan penampilan pertamanya untuk United ketika berusia 18 tahun sebelum digantikan Johnny Berry selaku pilihan pertama di posisi tersebut (sayap kanan). Menceritakan tentang detik-detiknya sebelum menyertai United, mendiang mengatakan ketika itu ada lima kelab yang berminat mendapatkan khidmatnya sebelum dia memilih untuk menandatangani kontrak bersama United. “Ada lima kelab menghantar wakil sebelum saya memilih United. Seorang daripada wakil berada di ruang tamu, manakala yang lain berada di ruang belakang dan dapur. Semuanya datang pada waktu yang sama”, kata Morgans. Sebelum menjadi pemain profesional, mendiang bekerja di sebuah bengkel kayu di Stretford sehinggalah dia berusia 17 tahun. Dua bulan selepas melakukan penampilan pertamanya, mendiang terbang ke Belgrade bagi membantu kempen United di peringkat Eropah berdepan wakil Yugoslavia, Red Star (Belgrade). Malangnya dalam perjalanan pulang semula ke England, pesawat yang mereka naiki terhempas di Munich dalam cuaca sejuk, tetapi mendiang bernasib baik apabila cuma mengalami kecederaan ringan. Mendiang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di celah-celah serpihan bangkai pesawat oleh dua orang wartawan lima jam selepas usaha mencari dan menyelamat dihentikan. Mendiang menghabiskan tempoh enam minggu di hospital sebelum dibenarkan pulang semula kerumah. “Pada jam 8.30 atau 8.45 malam, dua orang wartawan Jerman kembali semula ke kawasan nahas dan mereka kemudiannya menemui saya. Saya masih ingat, saya terperangkap di bawah roda pesawat dan merupakan mangsa terakhir dikeluarkan dari kawasan nahas”, imbas Morgans tentang detik-detik ketika dia diselamatkan. Meskipun berjaya menjalani sesi pemulihan selepas kecelakaan itu, mendiang tidak kembali semula bermain di padang dan kemudiannya memutuskan meninggalkan kelab pada tahun 1961 untuk pulang semula ke Wales. Nahas udara di Munich itu nyata meninggalkan kesan psikologi yang besar kepada mendiang dan menjadi penyebab utama mengapa dia mengambil keputusan meninggalkan United. “Ketika saya meninggalkan hospital, doktor menasihatkan agar saya tidak bermain bolasepak lagi. Saya juga sudah berputus asa selepas mendapati Duncan (Edwards) dan Tommy (Taylor) maut dalam nahas tersebut kerana saya benar-benar ingin bermain bersama mereka”, imbas Morgans lagi. Selepas meninggalkan United dan pulang semula ke Wales, mendiang bermain untuk Swansea City selama tiga tahun sebelum mengambil keputusan untuk bersara ketika berusia 25 tahun. Walau bagaimanapun, mendiang berjaya dipujuk semula untuk bermain dan menyertai Newport County yang beraksi di Liga Divisyen 4. Mendiang kembali semula ke Old Trafford dalam beberapa tahun terakhir khasnya ketika menghadiri upacara memperingati mangsa-mangsa tragedi Munich sempena genap 50 tahun berlakunya nahas udara tersebut pada 2008 dan hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis makan malam untuk bekas-bekas pemain United yang diadakan baru-baru ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Rekod Kenny Morgans Bersama United:

Penampilan Pertama: Menentang Leicester City pada 21 Disember 1957
Penampilan Liga: 17 kali
Piala FA: 2 penampilan
Piala Eropah: 4 penampilan
Gol: Tiada

Tiada ulasan:

Catat Ulasan