Rentetan lima kemenangan
Manchester United dalam aksi liga terhenti selepas mereka tewas 0-1 kepada
Norwich City awal pagi tadi. Kekalahan itu juga menyaksikan kedudukan United
sebagai pendahulu liga turut terlucut kepada jiran mereka, Manchester City
selepas kelab bimbingan Roberto Mancini itu mencatat kemenangan besar ke atas
Aston Villa di gelanggang sendiri. Seperti yang diramalkan sebelum perlawanan,
United jelas berdepan masalah memecah benteng pertahanan lawan yang tidak
melepaskan sebarang gol sejak 27 Oktober lalu biarpun menguasai perlawanan.
Percubaan Robin Van Persie di minit-minit awal berjaya ditepis keluar John
Ruddy dan selepas itu tiada gerakan-gerakan menarik dari kedua-dua pasukan yang
boleh menghasilkan gol. Sepanjang separuh masa pertama, gerakan-gerakan tuan
rumah lebih banyak tertumpu kepada tiga pemain mereka, Robert Snodgrass, Anthony
Pilkington dan Wes Hoolahan terutamanya ketika melakukan serang balas pantas.
Tanpa Wayne Rooney yang direhatkan kerana mengalami kecederaan buku lali,
United dihampakan apabila setiap gerakan-gerakan yang dilakukan mereka berjaya
dipatahkan benteng pertahanan tuan rumah yang diterajui Steven Whittaker,
Sebastien Bassong, Michael Turner dan Javier Garrido. Mungkin mengambil iktibar
dari kebangkitan United di Villa Park, Chris Hughton mengarahkan barisan
pemainnya sentiasa mengawal ketat pergerakan Van Persie dan Javier Hernandez sepanjang
perlawanan. Taktik permainan defensif mereka jelas menyukarkan United mencipta
gerakan-gerakan bahaya dan kedudukan kekal terikat 0-0 sehingga wisel separuh
masa pertama ditiupkan pengadil perlawanan Anthony Taylor.
Babak
kedua tempo permainan masih tidak berubah dengan United terus menguasai
perlawanan manakala tuan rumah pula menggunakan taktik bermain secara defensif
dengan meletakkan Grant Holt sebagai target
man mereka. Taktik permainan yang diamalkan The Canaries akhirnya membuahkan hasil apabila menerusi gerakan
Hoolahan, Pilkington berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan di minit ke-60
menerusi tandukan yang gagal diselamatkan Anders Lindegaard. Melihat kegagalan
barisan pemainnya memecah benteng kental tuan rumah, Sir Alex Ferguson
memasukkan Paul Scholes dan Danny Welbeck di pertengahan separuh masa kedua bagi
mencari gol penyamaan. Kehadiran Scholes dan Welbeck menghidupkan sedikit
rentak serangan United apabila Welbeck sendiri beberapa kali berjaya memaksa
Ruddy bekerja keras. Serangan bertali arus United di penghujung permainan bagi
mencari gol penyamaan gagal membuahkan hasil apabila Hughton mengarahkan hampir
kesemua permainnya berada di kawasan sendiri bagi mempertahankan kelebihan gol
milik mereka. Paling hampir untuk United menyamakan kedudukan ialah apabila tandukan
Bassong di masa kecederaan menuju ke gawang sendiri, namun Ruddy bertindak
pantas menepis bola keluar. Kekalahan ini menyaksikan United ketinggalan satu
mata di belakang pendahulu Manchester City yang mengumpul 28 mata hasil
kemenangan besar mereka ke atas Villa. Tempat ketiga pula dihuni Chelsea yang
mengutip 24 mata selepas mereka tewas kepada West Bromwich di gelanggang lawan.
Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Statistik
Perlawanan:
Gol:
1 – 0
Sepakan
Sudut: 0 – 12
Percubaan
Tepat: 5 – 9
Percubaan
Tersasar: 5 – 3
Kekasaran:
10 – 7
Offside:
3 – 1
Penguasaan
Bola: 44% - 56%
Tiada ulasan:
Catat Ulasan