20 November 2012

PERLAWANAN PENTING UNITED UNTUK BAKI TAHUN 2012


Peminat-peminat Manchester United tentunya tidak membayangkan bahawa skuad The Red Devils memulakan musim 2012/13 dengan begitu baik sekali. Pada musim-musim sebelumnya, United biasanya dikenali sebagai pasukan yang `lambat panas’ namun prestasi kelab di awal musim ini cukup berbeza apabila mereka kini berada di tangga kedua liga, hanya satu mata di belakang pendahulu, Manchester City. Prestasi di peringkat Eropah juga cukup jauh berbeza jika dibandingkan dengan musim lalu, apabila United ketika ini kekal dengan rekod 100% kemenangan dari empat perlawanan dan muncul pasukan pertama mengesahkan tempat ke pusingan kedua (16 pasukan) Liga Juara-Juara. United juga sudah mencatat kemenangan ke atas pencabar-pencabar kejuaraan seperti Arsenal dan Chelsea, tetapi itu semua tidak bererti Sir Alex Ferguson dan anak-anak buahnya akan menamatkan cabaran tahun 2012 dengan mudah. Baki saingan bagi tahun 2012 akan menyaksikan United berdepan beberapa perlawanan sukar sekaligus bakal menguji kemampuan mereka dalam mengejar misi merampas kejuaraan liga dari (Manchester) City dan juga menjulang trofi Liga Juara-Juara. Dengan musim sejuk yang bakal menjelma dan pasaran perpindahan pemain dibuka pada Januari, dua bulan ke hadapan adalah tempoh paling penting buat United dan bagi menilai sama ada skuad kali ini mampu menebus semula kehampaan musim lalu. Berikut adalah beberapa perlawanan penting untuk United sebelum berakhirnya tahun 2012:


1. 21 November, menentang Galatasaray:


Selepas cemerlang dengan rekod 100% dari empat perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, United meneruskan misi menang semua perlawanan mereka di peringkat kumpulan atau setidak-tidaknya kekal dengan rekod tanpa kalah. Sir Alex Ferguson dijangka tidak menurunkan sekuad utamanya di Turki nanti selepas United sudah mengesahkan tiket ke pusingan kedua. Bagaimanapun perlawanan ini cukup penting untuk mengukur sejauh mana kemampuan barisan pemain simpanan The Red Devils, terutamanya ketika berdepan saingan di peringkat Eropah. Jika mahu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan peringkat kumpulan dijadikan sasaran, Ferguson bolehlah menganggap perlawanan ini sama pentingnya dengan perlawanan-perlawanan yang bakal diharungi United nanti. Galatasaray boleh menggunakan peluang ini untuk mencari tiga mata penting buat mereka bagi menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya memandangkan United dijangka turun dengan separuh kekuatan mereka, sekaligus memberikan kekalahan pertama United di pentas Eropah musim ini.


2. 9 Disember, menentang Manchester City:


Manchester United akan berkunjung ke Stadium Etihad dengan misi mahu membalas dendam kekalahan 1-6 mereka musim lalu. Terlepas kejuaraan liga kepada City dengan hanya perbezaan gol meninggalkan kesan besar buat Sir Alex Ferguson dan United boleh menggunakan peluang ini untuk memberikan amaran kepada City bahawa trofi Liga Perdana akan kembali semula ke Old Trafford. Derby Manchester semakin panas selepas City tiba-tiba muncul kuasa baru bolasepak England hasil dari pelaburan besar yang dilakukan pemilik kelab Eastland itu sejak 2009. Permusuhan kedua-dua jiran setempat itu dijangka lebih hebat berbanding musim lalu dan kemenangan dalam perlawanan ini bakal memberikan suntikan motivasi tambahan buat kedua-dua kelab dalam usaha mereka memenangi trofi musim ini, sekaligus membuktikan siapa penguasa sebenar di kota Manchester. 


3. 26 Disember, menentang Newcastle United:


Newcastle United mungkin dianggap sesetengah pihak bukanlah cabaran yang besar buat United untuk mengutip tiga mata dalam perlawanan ini, jika diambilkira kejayaan menjinakkan skuad kendalian Alan Pardew itu 3-0 pada perlawanan liga yang dilangsungkan di gelanggang lawan 7 Oktober lalu. Itu belum lagi diambilkira dengan rekod buruk The Magpies setiap kali beraksi di Old Trafford, namun faktor Demba Ba dan Pappis Cisse yang akan meninggalkan kelab mereka buat sementara bagi aksi di Piala Negara-Negara Afrika tidak boleh diketepikan. Kedua-dua penyerang itu tentunya bersemangat untuk memberikan sesuatu buat kelab mereka sebelum menyertai skuad kebangsaan Senegal dan United sekali lagi  bakal berdepan perlawanan sukar terutamanya dalam menangani kekuatan bahagian tengah dan serangan Newcastle.


4. 29 Disember, menentang West Bromwich:


West Bromwich sedang menikmati prestasi menakjubkan mereka musim ini. Kejayaan menundukkan Chelsea Sabtu lalu sekaligus melonjakkan mereka ke tangga keempat liga menyebabkan kelibat skuad The Baggies itu mula menjadi perhatian ramai ketika ini. Keupayaan anak-anak buah Steve Clarke tidak boleh dipandang ringan terutamanya apabila mereka dinafikan dari memungut sebarang mata diminit-minit akhir permainan ketika berdepan Manchester City dan Newcastle United selain berjaya menewaskan Everton, Liverpool dan terbaru Chelsea. Clarke membuktikan, The Baggies di bawah kendaliannya mampu menewaskan mana-mana kelab besar di England ketika ini dan kunjungan mereka ke Old Trafford nanti tentunya bukan sekadar untuk bermain secara defensif. Mereka tiada tugasan di peringkat Eropah sekaligus memberikan peluang buat Clarke menumpukan sepenuhnya pada aksi liga. Berbeza pula dengan Ferguson yang terpaksa melakukan percaturan bijak bagi menangani saingan domestik dan juga Liga Juara-Juara yang bakal memasuki fasa perlawanan kalah mati. Ramai dari kita yang menganggap United terlalu kuat terutamanya ketika beraksi di Old Trafford, tetapi kita juga tidak tahu apa yang mampu dilakukan West Bromwich nanti. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan