16 November 2012

KELAB MANAKAH PILIHAN FELLAINI JIKA DIA MENINGGALKAN EVERTON?


Manchester United dan Chelsea telah dikaitkan dengan Marouane Fellaini selepas masa depan pemain tengah Everton mula diperdebatkan. Setiap kali jendela perpindahan pemain dibuka, nama Fellaini antara pemain yang cukup popular disebut-sebut bakal meninggalkan Goodison Park. Dibandingkan dengan rakan-rakan senegaranya di Liga Perdana yang bermain untuk Chelsea, Arsenal dan Manchester City, Fellaini mungkin mendapati dirinya hanya bermain untuk kelab yang saban musim tidak diletakkan harapan menjulang kejuaraan. Bukan mahu memperkecilkan keupayaan Everton, tetapi dengan kebolehan yang ada pada Fellaini, dia mampu menempatkan dirinya dalam kesebelasan utama mana-mana kelab besar yang lain. Bagi kebanyakkan pemain, mereka mungkin sudah berpuas hati dengan dengan apa yang mereka miliki ketika ini, tetapi bukan Fellaini. Pada usia 24 tahun, Fellaini mungkin sudah terfikir bahawa masa untuknya memburu kegemilangan dengan memenangi trofi kejuaraan sudah tiba, itupun dengan syarat dia mesti menyertai mana-mana kelab yang berpotensi memenangi kejuaraan, bukannya terus kekal bersama Everton. Fellaini pernah mengatakan bahawa dia sudah menilai segala aspek dan melihat Januari atau akhir musim nanti masa yang sesuai untuknya meninggalkan Goodison Park. Bahkan David Moyes sendiri seakan-akan sudah pasrah dia tidak berupaya menghalang hasrat Fellaini untuk berhijrah dan bakal kehilangan tonggak utamanya itu, selewat-selewatnya pada musim panas akan datang. Setelah berada di Goodison Park sejak 2008, Fellaini pasti ingin mencari cabaran baru selain potensi memenangi trofi kejuaraan bersama kelab yang lebih besar, sesuai dengan bakat yang ada pada dirinya. Lima destinasi yang berpotensi dituju pemain itu ketika jendela perpindahan di buka Januari ini atau selewat-lewatnya pada musim panas tahun hadapan ialah:

1. Manchester United: Sudah kerap kali spekulasi dimainkan tentang minat Sir Alex Ferguson terhadap pemain ini di mana kelibat pemain tengah seperti Fellaini memang diperlukan United ketika ini. Ferguson sangat menyedari kualiti yang ada pada Fellaini selepas menyaksikan sendiri pemain itu menjaringkan gol penting pada dua pertemuan terakhir antara United dan Everton. Walau bagaimanapun apabila melihat rekod Ferguson sendiri yang jarang menggunakan jendela perpindahan musim sejuk (Januari) untuk mendapatkan pemain baru, hasrat untuk melihat Fellaini menuju ke Old Trafford Januari ini sukar dilaksanakan. Mungkin musim panas tahun hadapan waktu yang cukup sesuai buat United menyambar Fellaini. Jika tanda harga sekitar 25 juta Pound diletakkan ke atas Fellaini, United berpeluang mendapatkan khidmat pemain itu.

2. Chelsea: Stamford Bridge adalah destinasi paling logik buat Fellaini kerana Chelsea memiliki beberapa pemain Belgium dalam pasukan mereka. Kelibat Eden Hazard, Romelu Lukaku, Kevin De Bryune dan Thibaut Courtois mungkin menjadi tarikan tambahan kepada Fellaini untuk memilih Stamford Bridge berbanding destinasi lain. Bersama-sama John Obi Mikel, Fellaini akan membentuk gandingan hebat di bahagian tengah Chelsea dan itu satu lagi faktor yang mungkin akan dipertimbangkan Fellaini. Wang bukan masalah bagi Chelsea jika Roman Abramovich berminat terhadap seseorang pemain sepertimana yang telah mereka tunjukkan ketika memancing Hazard.

3. Arsenal: Arsenal adalah kelab yang kerap dikaitkan dengan Fellaini selain Manchester United. Mungkin sejak kebelakangan ini Arsenal jarang membawa nama besar dalam skuad mereka selepas berakhirnya era Patrick Vieira, Thierry Henry, Dennis Bergkamp, Marc Overmars, Emmanuel Petit dan beberapa lagi pemain yang berjaya membentuk skuad itu antara pasukan paling kebal di England. Jika Arsenal berjaya mendapatkan Fellaini, perkara itu tentunya menjadi kejayaan besar buat Arsene Wenger selepas beliau mula memperkenalkan polisi `berbelanja secara berhemah’ sejak beberapa musim kebelakangan ini. Bagaimanapun, Wenger sebenarnya lebih memerlukan seorang penyerang hebat selepas penghijrahan Robin Van Persie ke Old Trafford berbanding mendapatkan seorang pemain tengah. Jika Wenger tetap mahu membawa masuk Fellaini, Everton mungkin boleh menuntut supaya Mikel Arteta pulang semula ke Goodison Park sebagai pertukaran.

4. Manchester City: Roberto Mancini kurang gembira dengan prestasi City pada pasaran perpindahan pemain musim panas ini. Mancini pada mulanya mensasarkan Daniele de Rossi tetapi cuma berjaya mendapatkan Jack Rodwell. Bukan mahu memperkecilkan kebolehan Rodwell, tapi Mancini mahu mencari pemain yang betul-betul mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Nigel de Jong. Jika City meletakkan Fellaini sebagai sasaran mereka, pemain itu akan membentuk salah satu gandingan pemain tengah terbaik di Liga Perdana bersama-sama Yaya Toure. Jangan remehkan peluang Mancini mendapatkan Fellaini terutamanya selepas beliau melihat aksi longlai pasukannya di Liga Juara-Juara. Dengan sokongan kewangan yang ada di belakang pengendali itu, Stadium Etihad pastinya menjadikan antara destinasi paling berpotensi buat Fellaini.

5. Real Madrid: Jose Mourinho sudah menunjukkan dia tertarik membawa beberapa nama besar dari Liga Perdana masuk ke dalam skuadnya. Musim panas ini, Mourinho berjaya mendapatkan Luka Modric dan Mikel Essien, malah bekas pemain Liverpool yang kini bersama-sama Madrid, Xabi Alonso yakin akan ada wajah baru muncul dalam skuad Mourinho selepas ini. Bakat Fellaini tentunya menyebabkan Madrid sedia meletakkannya dalam senarai pemain yang ingin diburu mereka. Sekali lagi, wang bukan masalah besar buat kelab seperti Madrid dan wang yang banyak juga bakal mendatangkan manfaat buat kelab seperti Everton. Penjualan Fellaini ke Real Madrid mampu memberi pulangan besar buat skuad The Toffees itu. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan