13 Februari 2016

DUA TAHUN DARI SEKARANG....MASIH RELEVANKAH RONALDO UNTUK UNITED?

Beberapa hari lalu, Cristiano Ronaldo sudah menjelaskan bahawa beliau akan berada di Santiago Bernabeu hingga kontraknya tamat pada 2018 nanti. Penjelasan Ronaldo pastinya menamatkan terus spekulasi tentang masa depan mega bintang itu yang sebelumnya digembar-gemburkan bakal menyertai Paris St Germain dan prospek kepulangan semula lagenda ini ke Old Trafford. Kenyataan yang dikeluarkan Ronaldo juga sekaligus menamatkan angan-angan tinggi penyokong-penyokong United untuk melihat beliau kembali menyarung jersi The Red Devils selepas meninggalkan kelab pada 2009. Tanyalah kepada mana-mana penyokong United, sudah tentu mereka berharap agar suatu hari nanti Ronaldo kembali menyertai kelab dan saya juga tidak terkecuali.

Memang saya akui, sejak Ronaldo meninggalkan Old Trafford hampir tujuh tahun yang lalu, kebanyakkan dari kita sebenarnya mengharapkan agar beliau pulang semula bermain untuk United sebelum menamatkan kariernya yang penuh gemilang itu. Selama enam musim menabur bakti untuk United, Ronaldo memang menjadi pujaan penyokong-penyokong The Red Devils menerusi sumbangan besarnya di atas padang hasil dari skill individu memukau yang beliau miliki dan jaringan demi jaringan yang beliau hasilkan ke gawang lawan. Jadi tidak hairanlah mengapa hingga sekarang masih ada di kalangan penyokong-penyokong United meratapi pemergian Ronaldo ke Santiago Bernabeu yang memecahkan rekod perpindahan dunia ketika itu.

Mskipun sudah hampir tujuh tahun Ronaldo meninggalkan Old Trafford, saya juga perlu mengakui bahawa beliau antara bekas pemain United yang masih disayangi dan dicintai oleh para penyokong The Red Devils. Perkataan bahawa United merupakan kelab yang cukup istimewa buat dirinya juga sering keluar dari mulut bintang Portugal ini meskipun beliau sudah mengecapi pelbagai kejayaan gemilang sejak bersama Real. Ronaldo juga tidak pernah berselindung untuk mempertimbangkan sebarang kemungkinan pulang semula ke Old Trafford suatu hari nanti selepas kariernya di Santiago Bernabeu berakhir. Ini semua antara penyebab mengapa Ronaldo masih menjadi idola, pujaan dan namanya sering disebut-sebut oleh penyokong-penyokong United hingga kini.

Tetapi persoalan besar sekarang adakah Ronaldo masih lagi relevan untuk United dalam tempoh dua tahun lagi di mana ketika itu beliau sudahpun berusia 33 tahun? Satu hakikat yang perlu kita akui ialah dalam tempoh dua tahun lagi, Ronaldo sudah tentu bukan sepertimana sekarang ketika usia semakin mencemburui kariernya. Dua tahun lagi Ronaldo akan hilang kepantasannya dan sedar atau tidak, hari ini pun prestasi beliau sudah semakin menurun berbanding musim-musim sebelumnya. Setakat ini, dari 23 perlawanan La Liga, Ronaldo sudah menjaringkan 19 gol dan menyumbang 7 assists,  berbanding catatan musim 2014/15 dimana beliau berjaya menjaringkan 28 gol dan mencipta 8 assists untuk Los Blancos dari 23 aksi liga mereka.

Dalam dunia bolasepak, bukan rahsia lagi bahawa prestasi seseorang pemain akan mula menurun ketika usia mereka memasuki 30an dan jika diambilkira faktor ini, pemain sehebat Ronaldo pun sudah tentu tidak akan terkecuali. Adakah statistik di atas menunjukkan bahawa Ronaldo kini sudah memasuki gerbang penurunan prestasi sepertimana pemain-pemain lain yang seangkatan dengan beliau. Jika ini berlaku, graf penurunan prestasi Ronaldo tidak akan terhenti setakat musim ini sahaja dan bakal terus berlanjutan hingga 2018 nanti. Sekiranya Ronaldo mahu kembali menabur bakti di Old Trafford dan mana-mana pengurus United ketika itu mahu menerima beliau, mampukah Ronaldo memberikan sumbangan bermakna kepada kelab?

Pada 2018 nanti, saya fikir sukar buat Ronaldo merebut tempatnya di posisi sayap kiri kerana ketika itu pemain seperti Anthony Martial sudah tentu jauh lebih bagus berbanding sekarang. Selain Martial, United memiliki seorang lain pemain berpotensi untuk meledak di posisi tersebut dalam tempoh setahun atau dua dari sekarang dan pemain yang saya maksudkan ialah Memphis Depay. Walaupun ketika ini Depay teruk dikritik kerana prestasi merudumnya sejak berpindah ke Old Trafford hanya semusim selepas dinobatkan selaku penjaring terbanyak Eredivisie, beliau masih seorang pemain muda berbakat yang jika diberikan peluang mampu meletakkan dirinya selaku pemain kelas dunia suatu hari nanti.

Pada pandangan saya, apa yang diperlukan Memphis hanyalah masa untuk menyesuaikan dirinya dengan gaya permainan United dan jika beliau dilatih oleh `tangan yang betul’, saya percaya Memphis mampu meletakkan dirinya sebagai tunjang kekuatan kelab di masa hadapan. Dalam tempoh dua tahun lagi, Martial atau Memphis sudah tentu bukan seperti sekarang. Jika kedua-duanya mampu memenuhi potensi diri menerusi bakat yang mereka miliki, sudah pasti sukar buat Ronaldo merebut tempat dalam kesebelasan utama United jika beliau kembali menyarung jersi kelab pada 2018 nanti. Berdasarkan prestasi semasa, Martial adalah sandaran utama untuk meneruskan legasi pemain-pemain sayap hebat yang pernah beraksi untuk United seperti George Best, Steve Coppell, Lee Sharpe, Andrei Kanchelskis, Ryan Giggs, David Beckham dan Ronaldo sendiri.

Jadi kesimpulannya sekarang, adakah Ronaldo masih relevan untuk beraksi dalam kesebelasan utama United jika beliau kembali ke pangkuan kelab pada 2018 nanti? Henrik Larsson pernah mencetuskan impak pada usia 36 tahun ketika beliau menyertai United sebagai pemain pinjaman pada 2007. Impak yang diberikan lagenda Sweden ini menyebabkan Sir Alex Ferguson mahu melanjutkan tempoh pinjaman pemain ini namun beliau akhirnya terpaksa akur melepas Larsson pulang semula ke Helsingborg selepas hanya beraksi dalam tujuh perlawanan liga. Selain Ryan Giggs, Larsson adalah contoh terbaik pemain yang sudah berusia tapi masih mampu memberikan sumbangan besar di atas padang biarpun mereka tidak lagi sepantas ketika usia muda mereka.

Dua tahun dari sekarang dan pada usia 33 tahun, Ronaldo masih belum terlalu tua untuk terus bermain di peringkat tertinggi, tetapi pengurus perlu bijak menggunakan kebolehan serta pengalaman beliau pada masa dan tempat yang tepat. Sir Alex Ferguson pernah melakukannya kepada Giggs dan Larsson, jadi terpulang kepada mana-mana pengurus United selepas ini untuk melakukan perkara yang sama kepada Ronaldo jika beliau kembali menyertai The Red Devils dua tahun dari sekarang. Dua tahun lagi tiada apa yang lebih manis selain menyaksikan kepulangan semula lagenda ini ke Old Trafford dan bukankah lebih bagus jika beliau menamatkan kariernya di Theatre of Dreams? Gelanggang yang pernah menjadi pentas buat seorang remaja kurus kering dari bandar kecil Madeira memperagakan bakat luarbiasanya sebelum muncul antara pemain paling menarik pernah disaksikan aksinya dalam era bolasepak moden…Glory Glory Manchester United!!! - AJ

06 Februari 2016

`SPECIAL JUAN'....ADAKAH MATA PEMAIN YANG BENAR-BENAR ISTIMEWA?

25 Januari lalu, genaplah dua tahun Juan Mata bergelar pemain Manchester United selepas perpindahan beliau dari Stamford Bridge ke Old Trafford yang menelan belanja sebanyak £37 juta berjaya direalisasikan. Mata merupakan pembelian pertengahan musim yang dilakukan David Moyes bagi menyelamatkan musim terumbang-ambing United sebaik sahaja ditinggalkan Sir Alex Ferguson yang mengumumkan persaraan selepas menghadiahkan kejuaraan liga ke-20 buat kelab. Ketika kali pertama menjejakkan kakinya di Old Trafford sebagai pemain United, Mata juga menerima layanan yang agak istimewa dari pihak pengurusan dan jika anda masih ingat ketika itu bagaimana beliau dibawa ke Carrington dengan menggunakan helikopter.

Selepas secara rasmi beliau diumumkan sebagai anggota The Red Devils, Mata diberikan gelaran The Special Juan oleh penyokong-penyokong United dan sehingga kini beliau masih dianggap sebagai pemain `istimewa’ dalam skuad Louis Van Gaal. Istimewanya Mata di mata para penyokong menyebabkan beliau sering terlepas dari kritikan-kritikan pedas meskipun adakalanya bekas pemain Valencia itu bermain di bawah prestasi sebenar. Berbanding Wayne Rooney dan `bintang baharu’ seperti Memphis Depay yang sering dihujani kritikan demi kritikan, Mata nampaknya boleh menarik nafas lega terlepas dari `perhatian’ penyokong walaupun statistik menunjukkan sumbangan beliau di atas padang ketika ini sedikit menurun berbanding di awal musim.

Selepas tampil dengan prestasi bagus di awal musim menerusi tiga gol dan empat assist dari tujuh perlawanan (dalam semua kejohanan), Mata hanya mampu menjaringkan satu gol dalam tempoh hampir empat bulan sejak United tewas 0-3 kepada Arsenal pada 4 Oktober tahun lalu. Mata akhirnya menemui semula sentuhan jaringannya selepas meledak satu dari tiga gol saat United menyingkirkan Derby Couty dalam aksi pusingan keempat Piala FA minggu lalu. Jika dihitung sumbangan Mata dalam saingan liga selepas 23 perlawanan musim ini, beliau hanya menyumbang empat gol dan tiga assist berbanding musim lalu di mana beliau berjaya menjaringkan lima gol dan mencipta tiga assist.

Walaupun hanya kurang satu gol berbanding catatan yang beliau lakukan dari 23 perlawanan musim lalu, itu tetap sesuatu yang perlu diberikan perhatian ketika sentuhan, kreativiti dan visi permainannya ditagih bagi membantu United bangkit mencabar kejuaraan liga atau sekurang-kurangnya meletakkan mereka dalam kedudukan empat teratas untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan. Mata masih mempunyai waktu hingga akhir musim untuk membuktikan bahawa beliau memang `istimewa’ di mata penyokong-penyokong United dengan membantu rakan-rakannya menghambat pasukan-pasukan yang berada di kedudukan empat teratas ketika ini.

Mata juga masih memiliki waktu untuk mengatasi catatan sembilan gol dan empat assist dari 33 perlawanan yang beliau lakukan musim lalu dan Special Juan nampaknya seperti sudah memberikan isyarat bahawa beliau sudah bersedia meletakkan semula dirinya dalam kesebelasan utama United selepas menampilkan aksi bagus ketika membenam Stoke City, Rabu lalu. Saya berharap gol Mata ke gawang Derby County pada aksi pusingan keempat Piala FA yang menamatkan kemarau jaringan dalam 14 perlawanan (pada semua kejohanan), mampu meletakkan kembali beliau sebagai antara pemegang peranan penting dalam kesebelasan utama United musim ini.

Aksi menentang Stoke City Rabu lalu menampilkan semula karakter sebenar Special Juan di atas padang, karakter yang agak lama saya tidak saksikan ditampilkan beliau terutamanya bila mengingatkan bahawa Mata merupakan pemain yang cukup saya kagumi sejak beliau tiba di Stamford Bridge pada 2011. Bagaimanapun karakter sebenar Mata bakal teruji sepenuhnya ketika beliau kembali semula ke Stamford Bridge esok bagi berdepan semula kelab lamanya, Chelsea. Kesebelasan utama Guus Hiddink adalah ujian sebenar buat Mata, kerana selepas tiga kali bertemu The Blues dipentas liga sejak berpindah ke Old Trafford, Mata masih belum mampu membantu United mengatasi bekas kelabnya itu.

Bukan itu sahaja, dari tiga aksi liga menentang Chelsea, Mata juga gagal menyumbang sebarang gol atau assist. Saya berharap fakta ini tidak diambilkira Van Gaal dalam menentukan barisan kesebelasan terbaiknya saat berkunjung ke Stamford Bridge nanti kerana bagi saya, kelibat pemain seperti Mata perlu ada bagi menambahkan lagi kreativiti The Red Devils ketika menyusun gerakan ke kubu lawan. Melihat kepada trend Van Gaal sejak kebelakangan ini yang lebih gemar meletakkan Mata di bangku simpanan, peluang buat beliau beraksi dalam kesebelasan utama esok sedikit terjejas. Semuanya mudah difahami kerana Van Gaal kini lebih gemar meletakkan Jesse Lingard di sebelah kanan, posisi yang sering dihuni Mata di awal musim hingga menyebabkan beliau mula tersisih.

Melihat kepada prestasi bagus Lingard sejak kebelakangan ini di posisi sayap kanan, sukar buat Mata untuk kembali merampas posisi tersebut dari pemain kelahiran Akademi United ini. Bagaimanapun selepas menyaksikan prestasi Mata dalam dua perlawanan terakhir United (menentang Derby County dan Stoke City), Van Gaal sepatutnya sudah mendapat ilham untuk memilih kesebelasan terbaiknya saat berdepan Chelsea nanti. Peranan selaku pemain nombor 10 adalah peranan yang harus dimainkan Mata di Stamford Bridge esok kerana posisi di belakang penyerang adalah posisi paling ideal buat Mata berbanding meletakkan beliau sebagai pemain sayap.

Bagaimanapun jika Mata mahu mengintai peluang beraksi di belakang Rooney buat kali ketiga berturut-turut selepas memainkan peranannya di posisi tersebut dengan cemerlang pada dua aksi terakhir United, beliau perlu terlebih dahulu mengetepikan pesaing dan juga rakan Sepanyolnya iaitu Ander Herrera. Selepas menyaksikan sumbangan Mata dalam dua aksi terakhir dan jika diberikan pilihan, saya lebih memilih beliau untuk membarisi kesebelasan utama United di Stamford Bridge esok berbanding Herrera. Bercakap tentang Juan Mata bukan sekadar menyentuh tentang kebolehan beliau dalam menjaringkan gol dan menyumbang assist. Daley Blind pernah mengatakan bahawa “Permainan Juan Mata sedap dipandang mata”, dan untuk itu saya juga mengakui bahawa Special Juan antara pemain yang menarik untuk disaksikan kelibatnya di atas padang. Semoga di Stamford Bridge esok, Special Juan mampu membuktikan mengapa beliau dianggap `istimewa' di mata para penyokong United...Glory Glory Manchester United!!! – A.J

26 Januari 2016

RASA MUAK TERHADAP VAN GAAL SEMAKIN MEMUNCAK

Muak!!!, hanya itu yang mampu saya katakan selepas melihat Manchester United tewas buat kali keenam dalam saingan liga musim ini. Muak bukan disebabkan United tewas tetapi saya muak kerana corak permainan barisan kendalian Van Gaal masih tidak berubah, masih sama, tiada keghairahan dan kekal membosankan. Reaksi penyokong selepas kekalahan itu sudah cukup untuk menggambarkan apa yang terbuku di hati mereka di mana selepas berakhirnya era singkat David Moyes, kita terpaksa sekali lagi berdepan musim yang `mengerikan’.

Ketika menuju ke bilik persalinan selepas tamat perlawanan menentang Southampton, khalayak penyokong-penyokong United di Theatre of Dreams melambaikan tangan ke arah Van Gaal sebagai isyarat selamat tinggal dan juga menunjukkan isyarat ibu jari ke bawah tanda begitu kecewanya mereka dengan prestasi barisan mahalnya setakat ini. Jujur saya katakan beberapa kemenangan-kemenangan yang diraih United sebelum ini banyak dibantu faktor nasib, bukan disebabkan mereka bermain dengan baik atau disebabkan ampuhnya taktikal yang diatur Van Gaal.

Gaya permainan membosankan United di bawah asuhan Van Gaal tidak boleh dibiarkan berterusan jika mereka mahu mengintai salah satu slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan. Sebelas perlawanan berturut-turut United gagal menjaringkan sebarang gol di babak pertama jelas menggambarkan betapa `mandulnya’ jentera serangan The Red Devils yang dikepalai Wayne Rooney. Dengan jentera serangan yang begitu tumpul, bahagian tengah hilang kreativiti dalam mengatur gerakan ke kubu lawan dan barisan pertahanan yang kadangkala hilang fokus hingga membenarkan lawan menjaringkan gol di penghujung permainan, penyakit kronik ini perlu segera diubati.

Saya tidak gusar jika United gagal memenangi kejuaraan liga musim ini tetapi saya cukup gusar jika United sekali lagi gagal melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara sepertimana yang berlaku pada musim 2014-15. Melihat jurang yang dicipta Tottenham Hotspurs di tangga keempat liga semakin besar, saya berharap ada perubahan besar yang berlaku dalam tempoh terdekat bagi memperbaiki segala kelemahan yang ada. Van Gaal sendiri saya yakin sudah melakukan segala yang beliau terdaya untuk menyelamatkan musim United namun sehingga kini segalanya tampak tidak memihak kepada beliau.

Sabtu lalu, United seperti biasa unggul menerusi peratusan penguasaan bola milik mereka (56%), tetapi diakhir perlawanan mereka sekali lagi berada di pihak yang kalah. Agak malang, peratusan penguasaan bola yang dimiliki United tidak seiring dengan kemenangan yang sepatutnya mereka raih dan juga gol yang sepatutnya mereka jaringkan. Ketika berdepan Southampton, Van Gaal menggunakan formasi  3-4-1-2, dimana beliau meletakkan Cameron Borthwick-Jackson dan Jesse Lingard sebagai wingback. Sangkaan Van Gaal bahawa dua pemain ini boleh menggunakan kepantasan mereka untuk membangunkan serangan dari kedua-dua belah sayap nyata memakan diri.

Borthwick-Jackson yang kebiasaannya berperanan sebagai bek kiri seperti kebingungan sepanjang 86 minit beliau di atas padang. Sepanjang tempoh tersebut juga, pemain muda ini hanya mampu melakukan satu dribbles, manakala dari 30 hantaran yang beliau lakukan, hanya dua menuju ke kawasan petak penalti lawan. Begitu juga halnya dengan Lingard yang kelihatan seperti kekok di atas padang. Lingard yang merupakan seorang pemain sayap tidak dapat menggunakan sepenuhnya kemahiran beliau untuk melakukan gerakan-gerakan dari sebelah kanan kerana kerap berada terlalu jauh di kawasan sendiri.

Pemain United yang menjadi sorotan utama sebelum perlawanan menentang Southampton sudah tentulah pemain yang menjaringkan gol kemenangan di Anfield 17 Januari lalu. Siapa lagi yang saya maksudkan jika bukan Wayne Rooney. Rooney yang berjaya menjaringkan empat gol dalam empat perlawanan sebelum ini kembali buntu dalam memainkan peranannya selaku watak penting di barisan hadapan United. Tidak banyak yang mampu dilakukan Rooney, beliau seperti `hilang’ dalam permainan dan paling memedihkan tiada satupun percubaan tepat yang dilepaskan kapten ini ke arah pintu gol lawan.

Cemerlangnya Virgil Van Dijk di benteng pertahanan The Saint menyukarkan lagi tugas Rooney dan Anthony Martial dalam memburu gol buat United. Kredit memang patut diberikan kepada pemain pertahanan berasal dari Belanda ini yang melakukan lima tackle bersih, lima pintasan dan lima clearance hingga meletakkan beliau antara pemain lawan paling cemerlang sepanjang aksi di Old Trafford, Sabtu lalu. Kehadiran semula Adnan Januzaj dari Borussia Dortmund bagi menyahut panggilan kecemasan Van Gaal tetap gagal membantu United untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata dalam perlawanan ini. Dengan tempoh empat minit masa sebenar permainan yang tinggal, tidak banyak yang mampu dilakukan Januzaj bagi menyelamatkan maruah pasukannya.

Selain ketumpulan jentera serangan, United juga nampaknya semakin hilang kreativiti di bahagian tengah mereka musim ini, Kreativiti sekali lagi menjadi masalah besar yang perlu ditangani Van Gaal dengan seberapa segera jika beliau tidak mahu menyaksikan United terus tercicir. Van Gaal sekali lagi memilih kekuatan fizikal milik Fellaini sebagai teras di bahagian tengah kesebelasan utamanya namun pemain tinggi lampai ini gagal memberikan kesan seperti yang diharapkan beliau. Fellaini hanya bertahan selama 45 minit sebelum beliau digantikan Juan Mata di separuh masa kedua.

Fellaini `agak berjaya’ ketika berdepan Liverpool namun tenggelam pada aksi di Old Trafford, Sabtu lalu. Dalam hal ini saya sedikit hairan bila memikirkan mengapa Van Gaal lebih memilih kekuatan fizikal milik Fellaini berbanding kreativiti yang ada pada Mata untuk menggerakkan jentera tengah pasukannya. Kelibat Mata di separuh masa kedua nyata memberikan perubahan menerusi visi dan kreativiti permainannya hingga membolehkan jentera tengah bergerak lebih lancar berbanding aksi di separuh masa pertama. Bagaimanapun sumbangan Mata tetap terbatas memandangkan Rooney dan Martial gagal membuka ruang di bahagian hadapan kerana kerap berada sedikit jauh ke bawah.

Saya yakin selaku pengendali, Van Gaal sudah tentu tidak mahu situasi buruk ini berlaku ke atas pasukan dan dirinya sendiri. Van Gaal antara pengendali berpengalaman dalam dunia bolasepak selain memiliki rekod silam yang cukup cemerlang. Walaupun di awal kedatangannya, beliau dianggap mampu menyelamatkan United dari zaman kemurungan, kini situasi sudah berputar 360°. Van Gaal kini dianggap musuh nombor satu oleh penyokong-penyokong United di seluruh dunia, bukan sahaja disebabkan kegagalannya meletakkan kembali kelab sebagai pasukan yang digeruni tetapi juga kerana corak permainan membosankan yang dipamerkan skuad kendaliannya hampir saban minggu.

Jika diamati aset yang ada dalam skuad Van Gaal, bagi saya tiada apa yang kurang untuk United muncul pencabar paling serius dalam perebutan kejuaraan liga musim ini. Gabungan pemain berpengalaman dan pemain kelas dunia hasil dari pelaburan yang beliau lakukan sepanjang dua musim terakhir sepatutnya meletakkan United ditangga lebih baik berbanding kedudukan sekarang dalam carta liga. Ramai yang berharap hasil lebih baik musim ini menerusi pelaburan besar yang dilakukan Van Gaal, tetapi United sudahpun tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara, diaibkan Middlesbrough dalam saingan Piala Liga dan hanya mampu memungut 37 mata untuk berada ditangga kelima carta liga.

Menyaksikan permainan menarik yang dipamerkan barisan The Red Devils sepanjang era gemilang Sir Alex Ferguson, apa yang berlaku sekarang sudah tentu tidak boleh diterima oleh majoriti penyokong-penyokong United. Saya dan mungkin kebanyakan dari anda di luar sana boleh menelan hakikat kekalahan kerana itu semua sebahagian asam garam dalam bolasepak, tetapi saya tidak boleh menerima hakikat betapa permainan United di bawah kendalian Van Gaal cukup membosankan. Jadi bagaimana jika United mahu kembali kepada permainan menarik dan menghiburkan sepertimana ketika kelab di bawah era Sir Matt Busby dan Sir Alex Ferguson?

Jawapan paling mudah yang muncul sepantas kilat dalam fikiran saya ialah Van Gaal harus pergi dengan memberi peluang buat individu lain yang punya idea lebih segar untuk merencanakan permainan United. Menyaksikan apa yang sedang berlaku sekarang, saya yakin pihak pengurusan United tidak akan memberikan Van Gaal peluang menghabiskan baki 18 bulan kontraknya. Paling tidak, beliau akan diberikan peluang mengurus pasukan hingga akhir musim atau jika situasi semakin buruk, Ryan Giggs akan kembali ke bangku pengurus buat sementara waktu sepertimana yang berlaku pada 2014.

Sesuatu harus dilakukan sekarang bagi menyelamatkan musim United dan tugas itu terletak di tangan pihak pengurusan kelab untuk melakukannya. Saya yakin masa depan Van Gaal sudah tidak ada di Old Trafford dan kekalahan kepada Soutahmpton menambahkan lagi rasa muak penyokong-penyokong terhadap beliau. Jika Van Gaal `ditendang keluar’, saya berharap sesiapapun individu yang dilantik menggantikan tempat beliau nanti mampu membawa United kembali kepada gaya permainan menghiburkan. Gaya permainan yang pernah meletakkan United sebagai pasukan paling digeruni, paling dicemburui dan untuk kembali kepada gaya permainan seperti itu, sosok individu bernama Louis Van Gaal harus dikorbankan. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

11 Januari 2016

PIALA FA YANG WAJIB DIMENANGI VAN GAAL

Kali pertama Manchester United menjulang Piala FA ialah kira-kira 107 tahun yang lalu atau lebih tepatnya pada 1909, selepas mereka menundukkan Bristol City 2-0 hasil jaringan Sandy Turnbull. Kira-kira 12 tahun yang lalu pula, United menjulang trofi kejohanan kalah mati tertua di dunia ini buat kali terakhir selepas mereka menundukkan Milwall (3-0) di Stadium Millenium, Cardiff hasil sentuhan pemusnah Cristiano Ronaldo dan juga dua gol sumbangan Ruud Van Nistelrooy.

Sejak Piala FA pertama kali dipertandingkan pada 1872, United sudah mengumpul koleksi 11 kejuaraan namun rekod tersebut dipintas Arsenal selepas mereka menewaskan Aston Villa di pentas final edisi 2015. Portsmouth, Wigan Athletic, Cardiff City, Aston Villa dan Hull City antara kelab yang berjaya mara ke final dalam tempoh lapan tahun sejak kali terakhir United tewas kepada Chelsea 0-1 menerusi jaringan Didier Drogba pada edisi 2007.

Aksi di Stadium Wembley pada 19 Mei 2007 itu bukan sahaja aksi terakhir United di pentas final Piala FA tetapi turut meninggalkan memori yang tidak ingin dikenang oleh penyokong-penyokong The Red Devils. Ketika United disebut-sebut bakal menamatkan musim 2006-07 dengan kejuaraan Doubles selepas anak-anak buah Sir Alex Ferguson menang kejuaraan liga buat kali ke-16, gol tunggal perlawanan jaringan Didier Drogba diminit ke-116 pula menyaksikan United akhirnya terpaksa berputih mata.

Musim-musim seterusnya United gagal menjejak kaki lagi di pentas final dan paling hampir ialah pada musim 2007-08, tetapi mereka terpaksa akur apabila disingkirkan Portsmouth menerusi penentuan sepakan penalti di peringkat separuh akhir dan juga Manchester City pada 2011. Sejak kekalahan kepada Chelsea pada 2007 juga, tiada siapa menyangka bahawa kelab besar seperti United gagal beraksi di pentas final untuk tempoh hampir sedekad.

Malah di penghujung karier seorang pengurus paling berjaya dalam sejarah kelab seperti Sir Alex Ferguson pun, United tetap gagal menjulang kejuaraan Piala FA.  Medal kejuaraan Piala FA juga merupakan satu-satunya medal yang gagal Wayne Rooney menangi sejak beliau menyertai United dari Everton pada 2004. Dengan tempoh kemuncak beliau sebagai pemain kian menuju ke penghujung, kapten United itu sepatutnya menanam azam bahawa musim ini adalah musim terbaik untuk beliau dan rakan-rakan sepasukan menamatkan kemarau kejuaraan United dalam saingan Piala FA.

Sir Alex Ferguson merupakan lagenda hidup Manchester United dan dianggap pengurus paling berjaya bukan hanya untuk kelab tetapi juga dalam sejarah bolasepak England dan dunia. Deretan trofi yang sudah beliau menangi di pentas domestik dan Eropah bersama kelab merupakan kayu ukur mengapa beliau begitu disayangi dan sentuhannya dirindui penyokong-penyokong United. Deretan trofi tidak datang bergolek dan harus diingat kesukaran yang dihadapi Fergie sepanjang empat tahun pertamanya bergelar pengurus United.

Sebelum beliau memikirkan cara bagaimana mahu menamatkan dominasi mutlak Liverpool ketika itu dan saingan yang diberikan oleh kelab-kelab seperti Arsenal, Everton dan Tottenham Hotspurs, Fergie sebenarnya perlu `membersihkan’ skuadnya dahulu dari dalam. Dengan masalah disiplin yang serius dan budaya mabuk yang berleluasa di kalangan pemain-pemainnya, United pada pandangan beliau tidak akan kemana-mana.

Hal itu jugalah yang menjadi penyebab mengapa United gagal meletakkan diri mereka selaku pencabar domestik biarpun memiliki rekod dan sejarah lampau yang cukup gemilang. Dengan dana yang cukup besar diberikan kepada beliau ketika itu, Fergie membawa masuk pemain-pemain ternama seperti Viv Anderson, Steve Bruce, Brian McClair, Gary Pallister, Paul Parker dan Paul Ince ke dalam skuadnya.

Musim 1989-90, Fergie menghabiskan sehingga £13 juta untuk membawa masuk 15 pemain baharu, satu jumlah perbelanjaan yang dikira cukup besar ketika itu. Walaupun berbelanja besar, beliau tetap gagal meletakkan United di tempat sepatutnya jika diambilkira barisan pemain yang beliau miliki dan pelaburan besar yang sudah beliau lakukan di awal musim. Walaupun United menamatkan musim 1989-90 di tangga ke-13 liga, tetap ada sesuatu yang boleh diraikan oleh penyokong-penyokong sebaik musim berakhir iaitu kejayaan kelab menjulang kejuaraan Piala FA.

Kejayaan barisan bimbingan Fergie menjulang kejuaraan Piala FA rupa-rupanya detik permulaan kepada perjalanan yang lebih gemilang buat United selepas itu meskipun ramai yang melabelkan musim 1989-90 sebagai antara musim paling gelap dalam sejarah kelab. Kejuaraan Piala FA (1990) juga merupakan trofi major pertama yang United berjaya menangi selepas empat musim kelab dibawah kendalian Fergie.

Tahun berikutnya (1991) United menjulang trofi Eropah pertama di bawah kendalian Fergie selepas mereka menewaskan Barcelona di pentas final Cup Winners Cup dan kemudiannya disusuli UEFA Super Cup pada tahun yang sama. Sejak 1990 hinggalah saat Sir Alex mengumumkan persaraannya pada 2013, beliau berjaya mengemudi kelab memenangi 38 kejuaraan sama ada di peringkat domestik, Eropah dan juga dunia. Paling manis sudah tentu kejuaraan Treble 99, pencapaian yang hingga ke hari ini masih belum mampu diulangi/diatasi oleh mana-mana kelab Inggeris.

Melihat kepada catatan gemilang selama 27 tahun mengemudi United, siapa sangka Fergie hampir sahaja dipecat kerana gagal menghadiahkan sebarang trofi sepanjang empat musim pertamanya di Old Trafford. Mujurlah jaringan penyamaan Mark Robins ke gawang Crystal Palace hingga perlawanan ulangan final Piala FA 1990 terpaksa diadakan menyelamatkan karier beliau. Jaringan tunggal Lee Martin pada perlawanan ulangan menghadiahkan trofi major pertama United di era Fergie dan beliau akhirnya dikekalkan untuk membawa lebih banyak trofi ke Old Trafford hinggalah kehari persaraannya pada 2013.

Apa yang berlaku sekarang sebenarnya mirip dengan apa yang pernah berlaku ke atas Fergie pada musim 1989-90. Keputusan-keputusan buruk yang dicatat skuadnya sepanjang empat musim pertama beliau di Old Trafford, hampir sahaja menyebabkan Fergie di pecat. Begitulah juga halnya dengan nasib Louis Van Gaal ketika ini. Cuma bezanya pihak pengurusan dan penyokong ketika itu mampu bersabar selama empat musim sebelum kejuaraan Piala FA dijulang.

Bagaimanapun harus diingat bahawa dunia bolasepak sudah berubah secara drastik berbanding 20 atau 30 tahun yang lalu. 30 tahun lalu, pihak pengurusan kelab dan penyokong masih mampu bersabar jika seseorang pengurus gagal membawa hasil yang diharapkan dalam tempoh 2, 3 atau 4 tahun mereka berada dalam sesebuah pasukan tetapi bukan sekarang. Jose Mourinho adalah contoh terbaik dan terbaru.

Siapa sangka Mourinho yang dilabelkan sebagai lagenda di Stamford Bridge dipaksa angkat kaki kerana prestasi buruk Chelsea musim ini, sedangkan hanya kira-kira 7 bulan yang lalu, beliau berjaya membawa skuadnya menjulang kejuaraan liga. Begitu jugalah halnya dengan Louis Van Gaal yang terus diberikan tekanan demi tekanan sejak akhir-akhir ini berikutan prestasi tidak menentu skuad mahalnya dalam saingan domestik dan Eropah.

Awal pagi kelmarin Van Gaal sekali lagi di hentam para penyokong selepas mereka menyaksikan United terpaksa bergantung kepada penalti Wayne Rooney dihujung permainan untuk mengatasi cabaran Sheffield United, kelab yang beraksi di kasta ketiga bolasepak England. Kemenangan itu menyaksikan United layak ke pusingan keempat saingan Piala FA tetapi penyokong nampaknya tidak gemar melihat bagaimana sukarnya kemenangan itu dicapai biarpun hanya berdepan kelab kerdil seperti The Blades.

Mungkin ada yang memandang sinis cabaran Piala FA yang dianggap sebagai saingan kelas kedua di England berikutan polisi pengurus-pengurus kelab utama yang gemar menurunkan pemain-pemain muda dalam saingan ini. Bagaimanapun Van Gaal boleh menjadikan situasi yang dialami Fergie pada musim 1989-90 sebagai panduan berguna. Selepas kejayaan pada 17 Mei 1990, Fergie tidak lagi menoleh kebelakang. Trofi demi trofi beliau bawa masuk ke dalam almari kejuaraan di Old Trafford dimana selama lebih dua dekad juga United muncul kuasa dominan bolasepak Inggeris.


Saya tidak pasti apa kesudahan nasib Van Gaal sebaik musim ini berakhir atau mungkin juga beliau dipaksa angkat kaki sepertimana David Moyes pada 2014. Bagaimanapun kesempatan untuk muncul pengurus pertama dalam tempoh 12 tahun yang berjaya membawa kelab menjulang Piala FA tidak harus dilepaskan beliau. Memandangkan faktor umur dan baki kontraknya, Van Gaal tidak akan mampu mengulangi jejak gemilang yang ditinggalkan Fergie, tetapi dengan menjulang Piala FA pada 21 Mei nanti, pastinya ada momen indah yang boleh beliau tinggalkan untuk dikenang oleh penyokong-penyokong United. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

03 Januari 2016

MENGHARAPKAN SUPAYA ROONEY LEBIH TAJAM SELEPAS INI

Kemenangan penting dan juga gol penting dari Wayne Rooney, itu sahaja yang mampu saya katakan tentang perlawanan semalam. Kemenangan ini juga penting bagi survival Louis Van Gaal dalam menyelamatkan kariernya di Old Trafford selepas lebih sebulan skuad kendaliannya gagal meraih sebarang kemenangan sejak kali terakhir mereka menewaskan Watford pada 21 November lalu. Keputusan seri menentang Chelsea dan kemudiannya tiga mata penuh yang diraih ke atas Swansea City mampu membuat Van Gaal menarik nafas lega buat seketika selepas teruk dikiritik, manakala perjudian beliau kembali menggunakan tiga pemain pertahanan wajar diberikan sedikit kredit.

Saya bukan mahu bercakap tentang kemenangan semalam atau strategi yang digunakan Van Gaal hingga membolehkan United mengatasi Swansea City tetapi tertarik dengan kelibat Rooney yang kembali meletakkan dirinya dalam senarai penjaring United. Seperti yang anda tahu, gol jaringannya diminit ke-77 ke gawang Lukasz Fabianski membolehkan beliau mengatasi catatan Dennis Law di kedudukan kedua senarai penjaring terbanyak dalam sejarah kelab. Kini Rooney hanya memerlukan 12 gol sahaja lagi untuk mengatasi catatan Sir Bobby Charlton (249 gol) selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman United. Dengan usia yang baru mencecah 30 tahun, saya fikir tiada masalah buat Rooney memadam catatan lagenda United itu.

Selain berjaya mengatasi catatan Dennis Law, gol kemenangan Rooney semalam turut meletakkan beliau di tangga kedua senarai penjaring terbanyak dalam sejarah Liga Perdana di belakang Alan Shearer (260 gol). 188 gol yang sudah dihasilkan Rooney dalam pembabitan beliau di pentas Liga Perdana setakat ini, mengatasi catatan seorang lagi lagenda United (Andy Cole). Rekod Shearer seperti tampak sukar diatasi Rooney, apatah lagi kemampuan beliau dalam menghasilkan gol juga semakin menurun dari musim ke musim. Harry Kane yang dilabel sebagai penyerang masa depan England pula memerlukan purata jaringan 20 gol setiap musim selama sebelas musim jika berhajat memadam catatan Shearer.

Seperti yang saya sebutkan tadi, gol jaringan Rooney ke gawang Swansea City menamatkan catatan tanpa kemenangan enam perlawanan United dalam saingan liga. Sebelum itu, United hanya mencatatkan tiga keputusan seri dan tiga kekalahan hingga menyebabkan kedudukan mereka sedikit demi sedikit tergelincir ke tangga keenam liga. Kali terakhir Rooney menjaringkan gol musim ini ialah pada 17 Oktober lalu, saat United berdepan kelab yang pernah menggilap bakat beliau, iaitu Everton (United menang 3-0 dalam perlawanan itu). Selepas itu Rooney hanya menjaringkan satu gol ketika berdepan CSKA Moscow pada 3 November di pentas Liga Juara-Juara dan satu lagi gol ketika England menewaskan Perancis dalam perlawanan persahabatan antarabangsa.

Selaku ketua pasukan dan tonggak di barisan hadapan, sudah semestinya Rooney sepatutnya muncul penyumbang utama gol-gol buat United, namun hakikatnya itu tidak berlaku setakat ini. Prestasi menurun Rooney di jentera serangan United turut dikatakan menjadi faktor mengapa skuad asuhan Van Gaal berdepan masalah ketika berada dalam petak penalti lawan dan kurang menjaringkan gol musim ini. Adakah golnya ke gawang Swansea semalam satu isyarat bahawa Rooney bakal meledak lebih banyak gol selepas ini? Ya, saya harap begitu kerana ketajaman beliau amat-amat diperlukan jika United mahu terus memberikan tekanan kepada pasukan-pasukan yang berada di atas mereka dalam carta liga.

Dalam keadaan sekarang siapa lagi penyerang yang boleh disandarkan harapan dalam memburu gol selain Rooney serta Anthony Martial dan itulah hakikat yang kita terpaksa terima walaupun penampilan Rooney sering dikritik sejak kebelakangan ini. Rooney adalah kapten skuad kebangsaan dan kelab, jadi fokus sudah tentu terarah kepada beliau setiap kali England atau United berdepan prestasi tidak konsisten. Jika bukan Rooney siapa lagi yang layak menerajui jentera serangan United ketika ini selepas nama-nama seperti Radamel Falcao, Robin Van Persie dan Javier Hernandez meninggalkan kelab musim panas lalu.

Tugas Rooney kini bukan sekadar sebagai pemburu gol malah kini beliau adalah pemimpin di atas padang. Beban tambahan ini juga dikatakan antara penyebab mengapa Rooney bergelut dengan pretasi sendiri hingga ada cadangan supaya tanggungjawab sebagai ketua pasukan diserahkan kepada pemain lain agar Rooney lebih `bebas’. Benar atau tidak bahawa tugas selaku ketua pasukan antara penyebab mengapa Rooney semakin tumpul itu soal kedua, kerana apa yang saya harapkan adalah supaya Rooney menemui semula sentuhan penyudahnya. Sebagai penyerang, menjaringkan gol adalah tanggungjawab Rooney dan sehingga kini tanggungjawab itu gagal dilaksanakan beliau jika diambilkira jumlah gol yang sudah dihasilkannya setakat ini.

Walaupun ada perubahan kepada gaya permainan United dalam dua perlawanan terakhir, masalah ketumpulan jentera serangan masih lagi musuh utama buat barisan The Red Devils. Sudah pasti juga akan ada penambahbaikan yang bakal dilakukan Van Gaal bagi mengatasi kelemahan jentera serangan skuadnya sepanjang jendela perpindahan pemain pertengahan musim dibuka. Mendapatkan penyerang baharu, memanggil semula Will Keane pulang dari Preston North End atau memendekkan tempoh pinjaman Adnan Januzaj bersama Borussia Dortmund antara tindakan yang mungkin diambil Van Gaal bagi menyelesaikan masalah di barisan hadapan The Red Devils.

Menandatangani seorang penyerang baharu merupakan langkah yang pastinya digemari penyokong-penyokong United, tetapi harus diingat bukan satu tugas mudah mendapatkan seorang penyerang kelas dunia di pertengahan musim ketika kelab yang mereka wakili sedang rancak bersaing di pentas Eropah atau sedang dalam perlumbaan mengejar kejuaraan liga domestik. Jadi keputusan memanggil semula Januzaj dan Keane pulang saya anggap langkah paling hampir yang bakal dilakukan Van Gaal bagi menambah lebih variasi kepada jentera serangan United.

Sebelum meneka dengan lebih mendalam apa yang bakal dilakukan Van Gaal Januari ini, berharaplah agar Rooney sudah mendapat jawapan bagaimana cara terbaik untuk beliau menembusi gawang lawan. Kejayaan beliau mengatasi rekod Dennis Law dan Andy Cole saya harap menjadi tonik terbaik buat Rooney agar lebih yakin dan punya cara untuk mengatasi pertahanan lawan selepas ini. Ketika beliau berdepan tempoh sukar dan dihujani berbagai kritikan, saya tetap percaya bahawa sosok pemain bernama Wayne Rooney ini masih cukup bagus untuk mengepalai jentera serangan United. Meskipun tidak sepantas dulu, tetap ada kualiti dalam diri Rooney yang tidak dimiliki kebanyakan pemain lain, iaitu betapa beliau adalah seorang pejuang tulen...hakikat yang tidak boleh kita nafikan sejak kali pertama beliau menyarung jersi merah United hingga sekarang...Glory Glory Manchester United!!! - AJ

19 Disember 2015

TANPA TROFI, VAN GAAL HARUS PERGI

Keputusan demi keputusan yang tidak menepati kehendak penyokong menyebabkan Louis Van Gaal semakin tertekan walaupun beliau tetap optimis dengan mengatakan bahawa beliaulah individu paling tepat untuk duduk di kerusi pengurus Manchester United. Di sebalik kegagalan skuadnya mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara dan kekalahan kepada AFC Bournemouth dalam saingan liga, Van Gaal seolah-olah merasakan bahawa tiada apa yang perlu beliau risaukan dan yakin kedudukannya selaku pengendali tidak akan tergugat meskipun api kemarahan di kalangan penyokong kian marak.

Apa yang berlaku ke atas David Moyes pada 2014 nampaknya bakal berulang sekali lagi apabila penyokong-penyokong mula melancarkan kempen “Van Gaal Out” selepas mereka tidak berpuashati dengan prestasi kelab walaupun pengendali dari Belanda itu sudah berbelanja besar dalam tempoh dua musim terakhir. Kadangkala saya sendiri agak bingung apa sebenarnya yang ada dalam fikiran Van Gaal dalam merencana taktikal permainan skuadnya. Paling ketara tindakan `berani’ beliau mengeluarkan Juan Mata, dan menggantikan pemain Sepanyol itu dengan Nick Powell ketika skuadnya sedang ketinggalan pada aksi menentang Wolfsburg.

Dua lagenda United, Paul Scholes dan Rio Ferdinand mengatakan pencapaian kelab dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini sebagai memalukan. Meskipun terpaksa menyaksikan skuad mahalnya tersingkir di peringkat kumpulan dalam saingan Liga Juara-Juara, Van Gaal nampaknya masih terus lantang mempertahankan dirinya. “Dalam bolasepak ada ketika anda menang dan ada ketikanya anda kalah. Sebagai pengurus dan pemain, anda harus menerimanya. Saya serta pemain sudah berusaha keras dan melakukan semua yang terbaik. Masalahnya kami terpaksa memikul harapan yang tinggi dalam sebuah kelab seperti Manchester United”, kata Van Gaal baru-baru ini.

Menyaksikan wang yang begitu banyak sudah dibelanjakan Van Gaal bagi menguatkan skuadnya dalam tempoh dua musim terakhir, sudah tentu pencapaian buruk di pentas Liga Juara-Juara dan beberapa siri kekalahan serta keputusan `yang tidak sepatutnya’ mereka capai dalam aksi liga menimbulkan kemarahan penyokong. Meskipun Van Gaal mengatakan menjuarai Liga Europa tetap sesuatu yang boleh dibanggakan, saya pula tetap menganggap bahawa United sepatutnya berada di kelompok 16 pasukan di pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.

Apapun segalanya sudah berakhir buat United (di Liga Juara-Juara), dan sama ada suka atau tidak, anda terpaksa menerima hakikat bahawa Liga Europa adalah tempat selayaknya buat kelab meneruskan saingan di peringkat Eropah musim ini. Cuma saya berharap kegagalan di Liga Juara-Juara akan menjadi tonik mujarab buat anak-anak buah Van Gaal untuk bangkit selepas gagal mencatat sebarang kemenangan sejak 26 November lalu. Sebelum Van Gaal berhajat mahu meletakkan United kembali ke landasan sepatutnya, beliau bagaimanapun perlu mengatasi cabaran yang datang dari dalam skuadnya sendiri.

Kini sudah timbul desas desus rasa tidak puas hati beberapa pemain tonggak United terhadap gaya kepimpinan Van Gaal selepas tewas kepada Bournemouth minggu lalu, Bukan sahaja taktikal di atas padang, malah kaedah latihan yang beliau terapkan juga nampaknya tidak disenangi para pemainnya. Kaedah latihan Van Gaal dilabel sebagai membosankan dan punca mengapa ramai pemain utama mengalami kecederaan. Mirror dalam laporannya menyebut dua pemain senior United sudah bersemuka dengan Van Gaal untuk menyampaikan rasa tidak puas hati mereka.

Jika benar apa yang dilaporkan Mirror, ini bukanlah satu petanda bagus untuk kelab dan saya berharap pemberontakan di Stamford Bridge yang akhirnya menyebabkan Jose Mourinho tersingkir tidak merebak ke Old Trafford. Apabila pemain sudah menterjemahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pengurus di atas padang, kesannya sudah pasti bukan sedikit dan tentunya turut menjejaskan misi pasukan dalam saingan musim ini. Jika (benar) ada pemain yang tidak berpuashati dengan taktikal dan kaedah latihan Van Gaal, kita yang berada di luar padang apa kurangnya.

Walau berat, saya terpaksa mengakui bahawa corak permainan United di bawah kendalian Van Gaal agak membosankan. Meskipun sering memenangi statistik penguasaan bola, United tidak menjaringkan banyak gol selain kurangnya percubaan-percubaan ke arah gawang lawan. Mengikut catatan, United berada di kelompok lima terbawah pasukan yang kerap melakukan percubaan ke arah gawang lawan dengan purata 11.1 percubaan setiap perlawanan. Dalam hal ini, saya agak cemburu bila menyaksikan betapa menariknya variasi serangan Manchester City bertunjangkan kekuatan Yaya Toure, kreativiti David Silva, kemahiran Raheem Sterling dan ketajaman Sergio Aguero.

Faktor-faktor yang saya sebutkan tadi selain tumpulnya penyudah Wayne Rooney seolah-olah semakin mencabar kesabaran penyokong di mana api kemarahan terhadap Van Gaal kian marak selepas diaibkan Bournemouth, kelab yang menghuni kelompok bawahan liga minggu lalu. Tersingkir dari kempen Liga Juara-Juara dan kemudiannya tewas kepada pasukan kerdil dalam saingan domestik menyebabkan Van Gaal kian dihimpit tekanan. Bukan sahaja menerima tekanan dari luar, malah Van Gaal turut dikhabarkan semakin hilang sokongan dari dalam. Kini semakin lantang kedengaran suara-suara yang menginginkan agar pengendali berpengalaman itu segera angkat kaki dari Old Trafford.

Kelompok penyokong yang tidak berpuashati dengan prestasi pengurusan Van Gaal semakin berkembang dan kemungkinan besar malam ini anda akan dapat saksikan sepanduk terbang “Van Gaal Out” melintasi ruang udara Theatre of Dreams. Jika taktikal permainan yang beliau terapkan di atas padang dianggap membosankan, bagaimana pula dengan polisi pembelian pemain yang beliau amalkan sepanjang dua musim terakhir ini? £250 juta yang beliau belanjakan bagi membina skuad impiannya dianggap satu pembaziran, apatah lagi bila melihat pemain seperti Memphis Depay masih gagal memenuhi jangkaan walaupun saingan musim ini bakal memasuki fasa kedua.

Musim lalu, beliau melakukan kesilapan besar membeli Angel Di Maria yang akhirnya tidak cocok dengan gaya permainan bolasepak Inggeris manakala percubaan beliau menyelamatkan karier Radamel Falcao turut gagal selepas penyerang Colombia itu semakin hilang bisanya sejak pulih dari kecederaan lutut. Musim ini skrip sama nampaknya bakal berulang sekali lagi dimana kegagalan Memphis Depay beradaptasi dengan gaya permainan pasukan barunya terus mengundang kecaman. Selaku pengendali Van Gaal turut menerima tempiasnya apabila beliau dilabel sebagai `tidak tahu menilai pemain mana yang sepatutnya  beliau tandatangani’.

Jika gagal memenangi sebarang trofi `major’ musim ini, saya tanpa ragu turut senada mengatakan bahawa wang yang begitu banyak sudah dilaburkan beliau selama dua musim sebagai satu pembaziran. Itu belum lagi termasuk wang yang akan dibelanjakan beliau ketika jendela perpindahan pertengahan musim dibuka Januari ini. Jelas Van Gaal semakin tidak popular dimata penyokong-penyokong United di mana dalam satu undian yang dilakukan oleh ESPN FC, 61% koresponden mahukan agar Van Gaal segera angkat kaki, 32% mahukan beliau kekal hingga akhir musim dan hanya 7% mahukan beliau menyelesaikan baki kontraknya hingga 2017.

Barometer tekanan nampaknya semakin tinggi menjelang aksi menentang Norwich City malam ini dan Van Gaal nampaknya tiada pilihan lain selain memacu skuadnya meraih kemenangan. Penyokong-penyokong nampaknya tidak akan menerima sebarang keputusan selain dari kemenangan dan itulah yang perlu Van Gaal usahakan jika tidak mahu kecaman lebih hebat terus menghujani beliau. Kemenangan ke atas Norwich setidak-tidaknya memberikan ruang buat Van Gaal bernafas seketika sebelum memikirkan strategi terbaik untuk meletakkan United kembali selaku pencabar kejuaraan liga musim ini.

Dengan segala macam perkara yang nampaknya tidak memihak kepada Van Gaal, satu-satunya faktor yang boleh beliau manfaatkan ialah masa. Jika mahu terus kekal dikerusinya, beliau perlu menggunakan sepenuhnya peluang mendapatkan pemain baharu sepanjang tempoh perpindahan pemain pertengahan musim yang bakal dibuka Januari ini. Sudah tentu posisi yang perlu beliau berikan perhatian ialah menyuntik bisa di barisan hadapan skuadnya, posisi yang beliau terlepas pandang untuk diperkuatkan ketika jendela perpindahan pemain musim panas dibuka Jun lalu.

Saya anggap Januari adalah usaha terakhir Van Gaal menyelamatkan kariernya di Old Trafford. Jika gagal menggunakan peluang serta masa yang ada dan sekali lagi wang terus dibazirkan membeli pemain yang `tidak tepat’, saya yakin beliau bakal menyusul jejak Jose Mourinho. Seperti yang pernah saya katakan dulu, musim ini sasaran yang patut dicapai Van Gaal bukan lagi meletakkan United dalam kelompok empat teratas, tetapi membawa pulang sekurang-kurangnya satu trofi ke Old Trafford. Dengan begitu banyak wang yang sudah beliau laburkan untuk membina kembali United selepas kejatuhan semasa era David Moyes, saya percaya keluarga Glazer tidak akan berpeluk tubuh melihat kelab terus ketandusan kejuaraan. Kelompok empat teratas adalah misi wajib yang perlu beliau laksanakan, tetapi tanpa trofi bermakna Van Gaal juga harus pergi. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

19 November 2015

MENGAPA BECKHAM MASIH DISANJUNG PENYOKONG-PENYOKONG UNITED?

Menarik dan penuh emosi, hanya itulah yang mampu saya katakan selepas menyaksikan perlawanan amal membabitkan lagenda Great Britain dan Pilihan Dunia Sabtu lalu. Bagi anda terutamanya penyokong-penyokong Manchester United, penampilan semula David Beckham, Ryan Giggs, Paul Scholes, Nicky Butt, Phil Neville, Dwight Yorke, Ole Gunnar Solskjaer, Mikael Silvestre, Park Ji-Sung dan Edwin Van der Sar di atas padang sudah tentu menggamit memori silam ketika pemain-pemain ini berada di puncak kerjaya mereka sebagai anggota The Red Devils.

Antara nama-nama yang saya sebutkan di atas, David Beckham mungkin tidak bertuah seperti Paul Scholes, Ole Solskjaer atau Ryan Giggs yang menamatkan karier proesional mereka di Old Trafford, tetapi itu tidak pernah menghalang penyokong-penyokong United dari terus memuja `budak emas’ ini dari dulu hingga sekarang. Beckham nama yang tak akan pernah dilupakan penyokong-penyokong United bukan hanya kerana beliau sudah diangkat sebagai lagenda kelab tetapi juga kerana beliau pernah meninggalkan momen yang bukan sedikit untuk diingati sepanjang sebelas musim Becks menyarung jersi merah The Red Devils.

Agak malang, pemain sehebat Beckham meninggalkan United dalam keadaan yang `tragis’ ketika namanya sedang berada dikemuncak dan dianggap antara penyarung jersi nombor 7 terbaik pernah disaksikan di Old Trafford. Pemain yang dilahirkan dari Akademi United ini berkembang dari seorang anak muda serba sederhana kepada pemain kelas dunia yang cukup mengagumkan hingga pernah dilabel sebagai `Tom Cruise’ dalam dunia bolasepak ketika zaman kemuncaknya. Terima kasih juga kepada Sir Alex Ferguson kerana berjaya melahirkan generasi pemain hebat seperti Beckham, Scholes, adik beradik Neville, Giggs dan Butt, kerana tanpa usaha dan kepercayaan yang beliau berikan kepada generai emas ini, kita tidak mungin mengenali apa itu Class of 92.

Melihat kepada sambutan yang diberikan kepada Beckham pada aksi amal yang dilangsungkan di Old Trafford Sabtu lalu, jelaslah beliau masih lagi dianggap sebagai `buah hati’ oleh penyokong-penyokong United meskipun sudah dua tahun Beckham mengucapkan selamat tinggal kepada karier profesionalnya. Mengapa Beckham begitu dicintai penyokong-penyokong United walaupun beliau pernah meninggalkan Old Trafford secara kontroversi 12 tahun lalu? Berikut saya senaraikan enam sebab mengapa Beckham begitu disanjung penyokong-penyokong United, bukan sahaja ketika beliau masih bergelar pemain tetapi juga selepas bersara.

Cinta dan Kebangaannya Hanya Untuk United

Setiap kali ditanya kelab manakah yang sentiasa ada di hatinya, tanpa ragu Beckham akan menjawab “Manchester United”. Hal inilah yang menyebabkan mengapa penyokong-penyokong United begitu menghormati dan menghargai Beckham walaupun beliau pernah menyarung jersi Real Madrid, AC Milan, LA Galaxy dan terakhir Paris St Germain sejak `dipaksa’ meninggalkan kelab pada 2003. Sabtu lalu, anda sendiri dapat saksikan betapa Beckham begitu dihargai penyokong-penyokong United menerusi sambutan luarbiasa atas kepulangan semula lagenda ini di Theatre of Dreams. Saya yakin sepuluh tahun selepas ini pun, sambutan serupa tetap akan diberikan penyokong-penyokong United terhadap beliau sekiranya Beckham turun lagi dalam aksi amal seperti ini.

Antara Pemain Terbaik Pernah Menyarung Jersi Nombor 7 United

Selepas berakhirnya era Eric Cantona, United bukan sahaja kehilangan sosok seorang pemimpin di atas padang tetapi kekosongan jersi nombor 7 yang ditinggalkan King Eric juga sukar dicari penggantinya. Ketika ramai penyokong-penyokong United ketika itu berteka-teki siapa pemain seterusnya yang bakal menggantikan Cantona sebagai penyarung jersi nombor 7 yang cukup ikonik itu, Beckham akhirnya tampil menawarkan diri.

Walaupun sedar bukan sedikit beban dan tekanan yang perlu beliau pikul sebagai penyambung legasi jersi nombor 7 yang cukup terkenal itu, Becks akhirnya membuktikan bahawa beliau adalah pilihan yang tepat. Walaupun tidak dianugerahkan dengan skill individu sehebat Ronaldinho, Becks menguasai posisi sayap kanan United untuk satu tempoh yang cukup panjang menerusi bisa hantaran silang kaki kanannya. Jadi tidak hairanlah mengapa Becks disenaraikan dalam kelompok lima pemain terbaik yang pernah menggunakan jersi nombor 7 United.

Ketika zaman kemuncaknya di Old Trafford, ketepatan hantaran-hantaran silang Becks dari sebelah kanan memudahkan tugas Dwight Yorke, Andy Cole, Ole Gunnar Solskjaer atau Ruud Van Nistelrooy dalam menyudahkan peluang di hadapan gawang lawan. Saya tidak pernah menafikan ketajaman penyudah milik Yorke, Cole, Solskjaer atau Nistelrooy, tetapi tanpa hantaran-hantaran silang berbisa yang dibekalkan Becks terus ke dalam petak penalti lawan, mampukan mereka menjaringkan lebih 20 gol dalam semusim?

Punya Karakter Tersendiri Dalam Permainan

Setiap pemain punya karakter tersendiri menerusi bakat yang mereka miliki ketika di atas padang. Jika Eric Cantona terkenal dengan skill dan kepintarannya, Roy Keane dengan semangat meluap-luapnya, Ryan Giggs dengan kepantasan dan kemahiran individu yang memukau, Ruud Van Nistelrooy menerusi naluri pembunuh ketika berada di hadapan gawang lawan, Beckham pula sudah tentu kita kenali kerana ketepatan hantaran kaki kanannya.

Becks merupakan seorang winger konvensional dengan peranan utamanya ialah melepaskan hantaran-hantaran silang di hadapan pintu gol lawan. Meskipun beliau bukanlah seorang pemain yang memiliki skill individu memukau seperti Giggs, peranan Becks cukup efektif dalam skema permainan United ketika itu menerusi ketepatan hantaran-hantarannya dari sebelah kanan. Jangan lupakan juga kebolehan Becks menyempurnakan peluang menerusi situasi bola mati kerana sepanjang kariernya sebagai pemain, bukan sedikit gol yang pernah dihasilkan beliau menerusi sepakan percuma.

Jika anda penyokong skuad kebangsaan England, anda sudah tentu tidak akan pernah melupakan bisa sepakan percuma Becks ke gawang Greece pada 6 Oktober 2001 yang membawa England ke pusingan akhir Piala Dunia 2002. Jika itu tidak cukup, bagaimana pula sepakan lambung Becks dari tengah padang yang menewaskan Neil Sullivan ketika United berdepan Wimbledon pada Ogos 1996. Gol itu turut diiktiraf sebagai antara gol terbaik sepanjang masa dalam sejarah Liga Perdana. Saya akui Cristiano Ronaldo turut memiliki kemampuan menjaringkan gol menerusi sepakan percuma, tetapi jika bercakap tentang “terbaik antara yang terbaik”, tanpa ragu saya akan memilih Becks.

Selebriti Bolasepak

Saya yakin tarikh 2 April 1995 tidak akan pernah dilupakan Beckham kerana pada tarikh itulah beliau melakukan penampilan pertamanya untuk United dalam saingan Liga Perdana. Walaupun perlawanan menentang Leeds United itu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, penampilan pertama Becks benar-benar mencuri perhatian penyokong-penyokong United. Berbekalkan wajah yang kacak umpama ahli sebuah bandboy, Becks tidak bermasalah menggamit perhatian khalayak terutamanya dari kalangan peminat wanita. Seiring dengan perubahan waktu, Becks juga begitu.

Beliau adalah revolusioner dalam dunia bolasepak menerusi penampilannya di atas dan juga di luar padang. Gaya hidupnya bak selebriti Hollywood, kelibatnya sering diburu lensa kamera, potongan rambutnya menjadi trend ikutan muda mudi dan wajahnya yang terpampang di billboard seluruh dunia sebagai duta kepada pelbagai jenama menjadikan Becks lelaki paling popular di planet bumi. Bagi generasi penyokong United ketika itu, apa yang boleh anda kongsi bersama ialah kebanggaan melihat seorang lelaki paling dicemburui di dunia dan ikon bolasepak menyarung jersi merah The Red Devils. HIngga saat ini, jersi Beckham antara yang paling laris dijual biarpun beliau sudah bersara sebagai pemain.

Simbol Kepada Class of 92

Bersama-sama Ryan Giggs, Paul Scholes, Gary Neville, Phil Neville dan Nicky Butt, Beckham adalah lambang bagaimana suksesnya United melahirkan pemain-pemain muda dari akademi mereka. Sehingga saat ini pun generasi Class of 92 ini masih menjadi cerita hangat dalam topik perbincangan oleh penyokong-penyokong United ketika mereka bersembang sama ada di laman sosial mahupun di kedai kopi. Generasi pemain yang banyak menuai kejuaraan ketika era Sir Alex Ferguson muncul lelaki paling berkuasa di Old Trafford ini akan kekal sebagai kisah lagenda bagaimana seorang pengurus dengan beraninya menggugurkan sebagai besar tonggak berpengalaman dalam pasukannya untuk digantikan dengan singa-singa muda yang lebih laparkan kejuaraan.

Memori Indah Bersama Manchester United

Dari semua deretan trofi kejuaraan yang pernah dimenangi Beckham bersama United, sudah tentu majoriti penyokong-penyokong United tidak akan pernah melupakan kejuaraan Treble 99 terutamanya kemenangan dramatik ke atas Bayern Munich di pentas final Liga Juara-Juara. Meskipun sudah lebih 16 tahun memori indah di Nou Camp itu berlalu, saya masih terbayang bagaimana gigihnya semangat juang Becks bersama kesebelasan United yang lain hingga ke detik terakhir dalam usaha mereka memadam defisit awal milik lawan ciptaan Mario Basler.

Ketika riak wajah Lothar Matthaus dari bangku simpanan kelihatan begitu yakin bahawa pasukannya bakal membawa pulang trofi Liga Juara Juara ke Munich, United tiba-tiba bangkit memadam impian gergasi Bundesliga itu menerusi dua gol pantas di penghujung permainan. Terima kasih atas jaringan dari Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solskjaer dalam perlawanan itu tetapi jangan lupakan individu yang memainkan peranan hingga terhasilnya dua gol tersebut.

Beliau yang saya maksudkan siapa lagi jika bukan Beckham. Ketepatan sepakan kaki kanannya dimanfaatkan barisan hadapan pada detik yang cukup genting dan penting hingga membolehkan United menjulang trofi Liga Juara Juara buat kali kedua. Jika tidak melalui sepakan percuma, bisa kaki kanan Becks tetap berbahaya ketika beliau mengambil sepakan sudut dan itulah yang dimanfaatkan  Sheringham serta Solskjaer pada 26 Mei, lebih 16 tahun yang lalu.

Menyaksikan segala sumbangan yang telah beliau berikan selama sebelas musim bergelar pemain Manchester United, koleksi medal kejuaraan yang telah beliau menangi, momen-momen indah, suka dan duka yang beliau tinggalkan serta cintanya terhadap kelab yang tidak pernah padam, fahamlah saya mengapa Becks begitu disanjung dan disayangi penyokong-penyokong United dari dulu hingga sekarang.

Satu-satunya kekesalan saya bila bercakap tentang Beckham ialah apabila menyaksikan beliau menamatkan karier profesionalnya di Parc de Princes, bukan ditempat sepatutnya iaitu Old Trafford. Sayangnya selepas beliau meninggalkan kelab pada 2003, Beckham tidak pernah kembali semula sebagai pemain Manchester United hinggalah pada perlawanan kompetitif terakhirnya. Jika tidak sudah pasti perjalanan penuh epik David Beckham dalam dunia bolasepak lebih indah dan sempurna bukan?...Glory Glory Manchester United!!! - AJ