30 Mac 2016

PEMAIN YANG DIJANGKA MENINGGALKAN OLD TRAFFORD MUSIM PANAS INI

99.9% saya yakin bahawa ada pengendali baharu yang bakal tiba di Old Trafford musim panas ini bagi menggantikan tempat Louis Van Gaal. Siapa individu tersebut saya tidak pasti kerana ia masih menjadi teka-teki yang sukar dijawab. Rumour tentang siapa pengurus baharu United umpama bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa. Ramai penyokong yang sudah hilang sabar dan berharap Van Gaal segera mengosongkan pejabatnya di Old Trafford penghujung musim ini. Mungkin sahaja Jose Mourinho dilantik menggantikan beliau sepertimana yang digembar-gemburkan atau mungkin ada nama lain yang difikirkan pihak pengurusan lebih layak untuk duduk di kerusi panas selaku pengurus United.  

Jika benar tanggapan media bahawa Mourinho bakal melatih United musim hadapan, pastinya Ed Woodward akan sekali lagi sibuk memburu pemain yang disasarkan The Special One sepanjang jendela perpindahan pemain musim panas nanti. Pengurus baharu bukan sahaja mahukan pemain baharu yang difikirkan sesuai dengan taktikal permainan atau falsafah bolasepak anutan mereka, tetapi kedatangan pengurus baharu juga bakal menyaksikan beberapa pemain sedia ada terpaksa meninggalkan pasukan dan mencari kelab baharu.

Mungkin disebabkan faktor sering dibelenggu kecederaan, tidak lagi efektif, tiada dalam perancangan atau tidak lagi mampu memberikan sumbangan berkesan kepada kelab, pemain-pemain `yang tidak lagi diperlukan’ ini akhirnya terpaksa angkat kaki. Pemain datang dan pergi adalah lumrah dalam dunia bolasepak, dan suka atau tidak saban musim anda terpaksa menyaksikan pemain kegemaran anda meninggalkan kelab dan menyertai pasukan lain disebabkan faktor yang saya sebutkan tadi. Siapakah pemain yang bakal menjadi korban perancangan pengurus baharu United nanti?

Berdasarkan khabar-khabar angin yang bertiup kencang, saya senaraikan enam pemain yang digembar-gemburkan bakal meninggalkan Old Trafford musim panas nanti. Siapakah mereka?

MARCOS ROJO


Sejak ditandatangani Van Gaal musim lalu, Rojo tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa beliau mampu menguasai posisi bek kiri untuk jangkamasa yang panjang. Pada usia yang sudah mencecah 26 tahun, Rojo sepatutnya mampu memainkan peranan penting dalam kesebelasan utama United tetapi itu tidak berlaku selepas hampir dua musim beliau berada di Old Trafford. Beliau kerap melakukan kesilapan-kesilapan mudah di benteng pertahanan dan jika benar Mourinho dilantik menggantikan tempat Van Gaal nanti, Rojo bakal berdepan masalah.

Sebagai seorang pengurus yang begitu mementingkan kekuatan di benteng pertahanan, nama Rojo saya jangka bakal terkeluar dari perancangan Mourinho musim hadapan. Dengan perkhabaran terbaru bahawa beliau ingin kembali semula ke kampung halamannya bagi menyertai Estudiantes yang juga merupakan `cinta pertamanya’, Rojo adalah nama paling atas yang saya jangka bakal meninggalkan Old Trafford sebaik musim ini berakhir.

ANTONIO VALENCIA



Ditandatangani Sir Alex Ferguson dari Wigan Athletic pada musim panas 2009, Antonio Valencia pada mulanya diharapkan mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Cristiano Ronaldo dek kerana kepantasan yang beliau miliki. Kehilangan Ronaldo memang dirasai, tetapi kehadiran Valencia menerusi kepantasan larian-lariannya dari sebelah tepi memberikan harapan bahawa beliau mampu menghadirkan mimpi ngeri buat bek kiri lawan dalam jangkamasa yang panjang.

Dari musim 2009-10 hingga 2012-13, Valencia memang sandaran utama United di posisi sayap kanan tetapi segalanya tampak tidak lagi menyebelahi beliau selepas itu. Musim 2014-15, Valencia menamatkan musim tersebut tanpa menjaringkan sebarang gol meskipun beliau beraksi 32 perlawanan liga untuk United. Masalah kecederaan yang berpanjangan menjejas prestasi Valencia dimana setakat ini beliau hanya beraksi enam perlawanan liga untuk United. Hampir pasti musim panas nanti akan ada nama lain yang bakal dibawa masuk untuk menggantikan tempat beliau.

PHIL JONES


Jones antara pemain kegemaran saya walaupun sejak kebelakangan ini beliau sering dijadikan sasaran kutukan peminat-peminat United. Saya kagum melihat attitude beliau di atas padang serta corak permainan kerasnya. Dan kerana corak permainan beliau yang keras jugalah penyebab utama mengapa Jones sering dilanda kecederaan. Ketika ditandatangani Sir Alex Ferguson dari Blackburn Rovers pada 2011, Jones dianggap prospek masa depan United dan skuad kebangsaan England.

Pada usia 24 tahun, Jones masih memiliki tempoh yang panjang sebagai pemain dan dengan bakat yang beliau miliki agak malang sekiranya Jones terpaksa bersara di usia muda kerana kecederaan yang sering berulang. Meskipun baru menandatangani kontrak baru musim panas tahun lalu, agak sukar untuk membayangkan kita dapat menyaksikan lagi kelibatnya sebagai pemain United musim hadapan. Musim ini Jones hanya bermain sebanyak 12 perlawanan liga gara-gara kecederaan dan jika beliau mahu mengatasi masalah itu, Jones perlu mengubah corak permainannya.

ADNAN JANUZAJ


Wonderkid ini digembar-gemburkan bakal menjadi bintang besar di Old Trafford suatu hari nanti, tetapi prestasi semasa bersama skuad senior nampaknya tidak langsung menunjukkan tanda-tanda bahawa ramalan ini bakal menjadi kenyataan. Menyinar sebentar ketika era David Moyes selaku pengurus, Januzaj kemudiannya tercari-cari sentuhan sebenar yang pernah menyebabkan ramai pihak melabelkan beliau sebagai `Next George Best’. Musim ini Van Gaal menghantar beliau ke Signal Iduna Park untuk menimba pengalaman selepas gagal merebut tempat dalam skuad utama United tetapi langkah itu juga nampaknya tidak berhasil.

Bersama Borussia Dortmund, Januzaj hanya berjaya tampil sebanyak tiga kali sebagai starter hingga memaksa Van Gaal memanggil beliau kembali ke Old Trafford Januari lalu. Agak malang menyaksikan Januzaj gagal menggunakan sepenuhnya peluang bermain dibawah kendalian Thomas Tuchel, pengendali yang berjaya menjadikan Emerick Aubameyang penggempur digeruni di Bundesliga dan menyebabkan pemergian Jurgen Klopp tidak ditangisi penyokong-penyokong Die Borussen. Jika Januzaj dilepaskan pergi, saya berharap kesilapan sama ketika membiarkan Paul Pogba menyertai Juventus tidak berulang.

MAROUANE FELLAINI


 Ketika David Moyes menandatangani Fella dari Everton pada 2014, ramai penyokong United yang bersorak gembira menyambut kehadiran beliau. Bagaimanapun situasi sekarang sudah berputar 360° buat Fella di mana beliau kini bukan lagi wira tetapi sebaliknya nama yang tidak ingin disaksikan penyokong-penyokong dalam lineup United. Ketika beliau berada di Goodison Park, Fella merupakan pemain yang paling berbahaya dan perlu diawasi setiap kali United berdepan Everton. Bukan mudah menangani pemain yang memiliki fizikal seperti Fella, hinggakan pertahanan kelas dunia seperti Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand pun terpaksa bergelut setiap kali berdepan beliau.

Apa yang menyebabkan Fella sudah tidak lagi ditakuti pertahanan lawan sejak beliau menyertai United? Jawapan paling tepat kepada soalan ini mungkin datangnya dari bekas pemain United sendiri iaitu David May. Menurut May, Fella sebenarnya diletakkan di luar posisinya hingga menjejaskan sumbangan beliau kepada pasukan. Ketika bersama Everton, Fella lebih banyak digunakan bagi membantu serangan berbanding sekarang di mana posisi beliau agak jauh ke belakang. Mungkin ada benarnya pendapat May, tetapi apa yang pasti dengan prestasi dan sumbangan beliau setakat ini, Fella antara yang saya yakin bakal meninggalkan Old Trafford musim panas nanti.

WAYNE ROONEY


Jika mahu menikmati cabaran baharu dan buat duit sebelum bersara, inilah masanya untuk Wazza mengucapkan selamat tinggal kepada para Stretford Enders selepas 12 tahun menyarung jersi United. Sebelum ini pun, ada berita yang menyebut bahawa kelab-kelab kaya dari Liga Super China sedia menjadikan Wazza pemain yang menerima gaji paling mahal di dunia asalkan beliau sanggup beraksi di negara Tembok Besar itu. Melihat kepada prestasi, sumbangan dan statistik jaringannya yang semakin menurun, sukar untuk melihat Wazza terus kekal di Old Trafford musim hadapan walaupun beliau masih lagi dianggap tonggak kelab.

Kehadiran bintang penyerang muda seperti Marcus Rashford serta Anthony Martial juga seolah-olah petanda bahawa masa keemasan Wazza bersama United kian berada di penghujung. Pada usia yang bakal mencecah 31 tahun Oktober nanti, Wazza bukan lagi penyerang yang sama seperti lima atau enam tahun yang lalu. Dan ketika usia semakin menghambat kariernya, kita terpaksa mengakui bahawa United perlukan nafas baharu yang lebih segar untuk menerajui jentera serangan mereka. Wazza jenis pemain yang tidak gembira memegang watak pembantu atau sekadar memanaskan bangku simpanan, jadi jalan terbaik buat beliau ialah mencari kelab baharu yang mampu menawarkan tempat buatnya selaku watak utama.

GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!! - AJ

23 Mac 2016

KENALI LAGENDA: STEVE BRUCE

Steve Bruce mungkin nama tidak terkenal seperti David Beckham ataupun Cristiano Ronaldo tetapi jangan lupakan bahawa beliau merupakan salah seorang pemain dari generasi kebangkitan semula Manchester United di era 90’an. Dilahirkan pada 31 Disember 1960, Bruce yang kini bertugas selaku pengendali Hull City memulakan karier bolasepaknya bersama Gillingham sebelum menyertai Norwich City pada musim panas 1984. Jika bercakap tentang Bruce, ramai yang mengingati beliau sebagai kapten United pertama yang berjaya menjulang kejuaraan liga buat kali pertama dalam tempoh 26 tahun pada musim 1992-93.

Bagaimanapun mungkin juga ramai yang tidak sedar bahawa Bruce hampir sahaja berhenti bermain bolasepak selepas tidak menerima mana-mana tawaran hinggalah Gllingham datang dengan tawaran kontrak di mana beliau kemudiannya menghabiskan tempoh selama lima tahun di Priestfield dan bermain lebih 200 perlawanan. Walaupun pada usia remaja Bruce bergelut mencari kelab yang mampu memberikan peluang buat beliau memperagakan bakatnya, tawaran Manchester United pada musim panas 1987 memang tidak dijangka dan tidak mampu untuk ditolak.

Walaupun ketika itu The Red Devils sentiasa dibayangi dominasi Liverpool, Arsenal, Everton dan Tottenham Hotspurs di pentas domestik, peluang menyertai kelab yang memiliki tradisi dan sejarah gemilang seperti Manchester United memang tidak harus dilepaskan. Debut Bruce untuk United berlaku pada 19 Disember 1987 ketika menentang Portsmouth di mana skuad Sir Alex Ferguson menang 2-1 dalam perlawanan itu. Bruce mengharungi musim 1987-88 dengan beraksi sebanyak 21 perlawanan dan berjaya membantu kelab menduduki tangga kedua liga yang juga merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh lapan tahun.

Di Old Trafford, Bruce muncul antara tonggak penting buat barisan Sir Alex Ferguson dan bersama Gary Pallister beliau membentuk antara gandingan bek tengah terbaik pernah disaksikan dalam sejarah kelab. Bermula dengan kejayaan menjulang Piala FA pada 1990, Bruce kemudiannya berjaya mengumpul 12 medal kejuaraan bersama United sepanjang sembilan tahun beliau menyarung jersi United. Meskipun cemerlang di peringkat kelab, anehnya Bruce tidak pernah dipanggil menyarung jersi kebangsaan England dan pencapaian tertinggi beliau di pentas antarabangsa sekadar 1 caps untuk skuad England B.

Musim 1991-92, Bruce terpaksa berehat selama beberapa bulan kerana menjalani pembedahan hernia hingga menjejaskan pemburuan kejuaraan liga United. Di akhir musim, United tewas dalam perlumbaan merebut kejuaraan kepada Leeds United yang ketika itu diperkuatkan Eric Cantona menerusi perbezaan hanya empat mata. Musim 1992-93, kemaraan United nyata sukar dibendung dan dengan kehadiran Eric Cantona, The Red Devils kendalian Sir Alex Ferguson akhirnya berjaya menamatkan kemarau 26 tahun kejuaraan liga mereka. Musim tersebut juga menyaksikan Bruce dilantik sebagai ketua pasukan selepas Bryan Robson berehat hampir separuh musim akibat kecederaan.

Dua gol yang dijaringkan Bruce menerusi tandukan ketika pertemuan menentang Sheffield Wednesday pada 10 April 1993 akan sentiasa dikenang penyokong-penyokong United sampai bila-bila. Kerana gol itulah United berjaya mengesahkan kejuaraan liga mereka sekaligus mengetepikan cabaran Aston Vila di tangga kedua. Bruce kemudiannya melakar sejarah baru buat dirinya apabila berjaya menjulang kejuaraan double pada musim 1993-94. Kejayaan menjulang kejuaraan liga dan Piala FA itu menyaksikan beliau muncul warga Inggeris pertama selepas Sir Bobby Charlton yang berjaya menjulang kejuaraan double sebagai kapten pasukan.

Reputasi Bruce bersama United menarik minat Jack Charlton selaku pengurus skuad Republik Ireland ketika itu untuk menawarkan beliau tempat dalam skuadnya. Bruce bagaimanapun terpaksa menolak dari mewakili negara kelahiran ibunya itu disebabkan peraturan kuota pemain asing di Liga Perdana (sebelum wujudnya Peraturan Bosman) yang boleh memberikan masakah kepada United dalam liga domestic dan hal ini didedahkan beliau dalam autobiografinya. Bruce terlepas aksi final Piala FA 1996 menentang Liverpool akibat kecederaan yang menyaksikan Eric Cantona mengetuai The Red Devils menjulang kejuaraan tersebut menerusi jaringan dramatik dimasa tambahan.

Pada usia 35 tahun, karier Bruce di Old Trafford berakhir apabila beliau memilih untuk menyertai Birmingham City pada musim panas 1996 meskipun masih memiliki baki setahun kontrak bersama United. Sepanjang kariernya sebagai pemain, Bruce memang cukup dikenali sebagai seorang pemain pertahanan yang keras tetapi tenang. Kemampuan menyerap tekanan dan memberikan motivasi kepada rakan-rakan sepasukan di atas padang menyebabkan Sir Alex tanpa ragu menyerahkan armband ketua pasukan kepada beliau selepas Bryan Robson meninggalkan kelab.

Sebagai pemain pertahanan tengah, kemampuan Bruce dalam menjaringkan gol juga cukup mengagumkan. Dari 309 aksi liganya untuk United, Bruce berjaya menjaringkan 36 gol, angka yang cukup banyak buat seorang pemain pertahanan seperti beliau. Dan sudah tentu seperti yang saya katakan tadi, dua gol beliau menerusi tandukan ke gawang Sheffield Wednesday pada 10 April 1993 pastinya antara momen yang tidak akan pernah saya lupakan jika bercakap tentang individu bernama Stephen Roger Bruce ini. Bermula pada 1987 dan berakhir pada 1996, tanpa ragu Bruce bukan sahaja antara bek tengah terbaik pernah saya saksikan menyarung jersi United, tetapi juga pemimpin sejati menerusi keterampilannya di atas padang.

21 Mac 2016

MAAF THE CITIZEN, KALI INI MANCHESTER BERWARNA MERAH

Akhirnya ada juga sesuatu yang boleh membuatkan saya tersenyum dan cerita untuk ditulis dalam menghadapi minggu baharu. Ya, apa lagi yang boleh membuatkan kita (penyokong-penyokong Manchester United) tersenyum melainkan selepas menyaksikan anak-anak buah Louis Van Gaal menewaskan `jiran kita yang bising’ itu 1-0 pada aksi liga di gelanggang lawan awal pagi tadi. Selepas bungkam disingkir Liverpool dalam saingan Liga Europa minggu lalu, kemenangan keatas City ini sekurang-kurangnya kembali menghidupkan sisa harapan untuk menyaksikan United berjuang di pentas Liga Juara-Juara musim hadapan.

Terima kasih juga kepada anak muda bernama Marcus Rashford, penjaring tunggal dalam perlawanan ini yang membolehkan United merapatkan kedudukan di kelompok empat teratas. Meskipun menduduki tangga keenam liga, kemenangan ini membolehkan United mengumpul 50 mata dan kini hanya ketinggalan satu mata berbanding City yang berada di tangga keempat liga. Sebelum perlawanan, Louis Van Gaal mengatakan perlawanan ini bakal menentukan survival skuadnya dalam misi merebut salah satu slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan dan mujurlah tiga mata berjaya di bawa pulang dari gelanggang lawan.

Sebelum perlawanan juga Van Gaal mengakui bahawa beliau sibuk menganalisis prestasi Eliaquim Mangala dan Martin Demichelis, dua pemain yang digunakan Manuel Pellegrini bagi membarisi benteng tengah City awal pagi tadi. Nyata kerja rumah yang dilakukan Van Gaal akhirnya membuahkan hasil apabila strategi beliau yang mahukan barisan hadapannya memberikan tekanan kepada Mangala dan Demichelis membolehkan Rashford menembusi gawang lawan diminit ke-16. Saya akui Demichelis merupakan pemain yang cukup berpengalaman dan pernah muncul antara bek tengah terbaik di dunia, namun pada usia 35 tahun beliau terlalu perlahan untuk menangani pemain muda seperti Rashford.

Tanpa kelibat kapten berpengaruh mereka, Vincent Kompany dan rakan gandingannya Nicolas Otamendi, Pellegrini memang berhadapan masalah di barisan belakang skuadnya dan kelemahan itulah yang berjaya dimanfaatkan United di babak pertama. City yang dihadapi United awal pagi tadi tidak setanding dengan skuad kendalian Roberto Mancini yang pernah menjulang kejuaraan liga pada musim 2011/12. City hilang kreativiti di bahagian tengah namun diimbangi dengan kemampuan pemain-pemain mereka dalam melakukan tekanan ketika bola berada di kaki lawan.

Kelibat Yaya Toure yang juga merupakan simbol kekuatan City di bahagian tengah selama ini seperti berseorangan, malah beliau lebih banyak turun membantu bahagian belakang berbanding mengatur serangan sepertimana kebiasaannya. Hal ini memberikan kelebihan besar buat barisan tengah United dalam memainkan falsafah possession football anutan Van Gaal, ditambah pula dengan kurangnya tekanan yang diberikan Sergio Aguero, Jesus Navas dan David Silva terutama di babak pertama. Buruknya prestasi pemain tengah dan belakang City menyebabkan barisan hadapan United tampak seperti cukup berbahaya di awal 45 minit perlawanan.

Bagaimanapun mungin disebabkan faktor kepenatan kerana tiga hari sebelumnya terpaksa berdepan Liverpool di pentas Liga Europa, United kembali kepada `penyakit lama’ mereka di babak kedua. Mudah hilang bola, melakukan hantaran sesama sendiri tanpa ada keinginan untuk melakukan serangan dan umpanan-umpanan kepada barisan serangan yang sering tersasar menyaksikan City kembali menguasai permainan. Mujurlah kecekalan dan kerjasama ketika bertahan membolehkan United mengekalkan kelebihan satu gol milik mereka sekaligus membawa pulang tiga mata penuh dari Stadium Etihad.

Saya memang gembira menyaksikan kejayaan getir United menewaskan City di gelanggang lawan tetapi saya juga perlu sedar tiada apa yang istimewanya dalam permainan United kecuali fakta bahawa Rashford muncul penjaring termuda dalam sejarah Manchester Derby. Di babak pertama terutamanya, Rasford, Anthony Martial dan Jesse Lingard tampak cukup berbahaya tetapi harus juga diingat bahawa City turun tanpa kelibat Kompany dan Otamendi, dua pemain yang memberikan pengaruh besar di barisan belakang skuad Pellegrini. Gandingan Daley Blind dan Chris Smalling pula sering menghadirkan rasa cemas kepada kita hingga menyebabkan jantung sentiasa berdegup kencang setiap kali bola berada di kaki Aguero.

`Ketidak istimewaan’ United dalam perlawanan awal pagi tadi boleh dilihat dalam cara mereka membangunkan serangan. `Penyakit’ United di era Van Gaal jelas terlihat pada corak permainan bertukar-tukar hantaran sesama sendiri yang terlalu lama hingga membolehkan pemain-pemain City memiliki masa yang jauh lebih cukup untuk turun ke kawasan sendiri dan menyusun pertahanan mereka. United menang perlawanan ini kerana berjaya menjaringkan gol awal, manakala lawan pula kemudiannya bergelut mencari gol penyamaan. Keberuntungan United boleh anda lihat menerusi statistik perlawanan di mana anak-anak buah Van Gaal hanya melepaskan lima percubaan berbanding 26 oleh City.

Dari 26 percubaan yang dilepaskan City ke arah David De Gea, hanya tiga menepati sasaran berbanding United yang mencatatkan empat on target dari lima percubaan mereka. Jadi selepas melihat statistik di atas, memang wajarlah anda merasakan tempoh enam minit masa tambahan begitu panjang dan kemudiannya bertukar lega sebaik Michael Oliver meniupkan wisel penamat. Manchester Derby kali ini memang tidak sepanas aksi pada Januari 2012 atau ketika United menelan kekalahan besar 1-6 kepada jiran mereka itu pada Oktober 2011. Tetapi suatu yang boleh anda pelajari dari perlawanan ini ialah bagaimana sekelompok anak muda mengajar lawan veteran mereka erti kepantasan. Maaf City, kali ini kota Manchester berwarna merah….Glory Glory Manchester United!!! – AJ

13 Februari 2016

DUA TAHUN DARI SEKARANG....MASIH RELEVANKAH RONALDO UNTUK UNITED?

Beberapa hari lalu, Cristiano Ronaldo sudah menjelaskan bahawa beliau akan berada di Santiago Bernabeu hingga kontraknya tamat pada 2018 nanti. Penjelasan Ronaldo pastinya menamatkan terus spekulasi tentang masa depan mega bintang itu yang sebelumnya digembar-gemburkan bakal menyertai Paris St Germain dan prospek kepulangan semula lagenda ini ke Old Trafford. Kenyataan yang dikeluarkan Ronaldo juga sekaligus menamatkan angan-angan tinggi penyokong-penyokong United untuk melihat beliau kembali menyarung jersi The Red Devils selepas meninggalkan kelab pada 2009. Tanyalah kepada mana-mana penyokong United, sudah tentu mereka berharap agar suatu hari nanti Ronaldo kembali menyertai kelab dan saya juga tidak terkecuali.

Memang saya akui, sejak Ronaldo meninggalkan Old Trafford hampir tujuh tahun yang lalu, kebanyakkan dari kita sebenarnya mengharapkan agar beliau pulang semula bermain untuk United sebelum menamatkan kariernya yang penuh gemilang itu. Selama enam musim menabur bakti untuk United, Ronaldo memang menjadi pujaan penyokong-penyokong The Red Devils menerusi sumbangan besarnya di atas padang hasil dari skill individu memukau yang beliau miliki dan jaringan demi jaringan yang beliau hasilkan ke gawang lawan. Jadi tidak hairanlah mengapa hingga sekarang masih ada di kalangan penyokong-penyokong United meratapi pemergian Ronaldo ke Santiago Bernabeu yang memecahkan rekod perpindahan dunia ketika itu.

Mskipun sudah hampir tujuh tahun Ronaldo meninggalkan Old Trafford, saya juga perlu mengakui bahawa beliau antara bekas pemain United yang masih disayangi dan dicintai oleh para penyokong The Red Devils. Perkataan bahawa United merupakan kelab yang cukup istimewa buat dirinya juga sering keluar dari mulut bintang Portugal ini meskipun beliau sudah mengecapi pelbagai kejayaan gemilang sejak bersama Real. Ronaldo juga tidak pernah berselindung untuk mempertimbangkan sebarang kemungkinan pulang semula ke Old Trafford suatu hari nanti selepas kariernya di Santiago Bernabeu berakhir. Ini semua antara penyebab mengapa Ronaldo masih menjadi idola, pujaan dan namanya sering disebut-sebut oleh penyokong-penyokong United hingga kini.

Tetapi persoalan besar sekarang adakah Ronaldo masih lagi relevan untuk United dalam tempoh dua tahun lagi di mana ketika itu beliau sudahpun berusia 33 tahun? Satu hakikat yang perlu kita akui ialah dalam tempoh dua tahun lagi, Ronaldo sudah tentu bukan sepertimana sekarang ketika usia semakin mencemburui kariernya. Dua tahun lagi Ronaldo akan hilang kepantasannya dan sedar atau tidak, hari ini pun prestasi beliau sudah semakin menurun berbanding musim-musim sebelumnya. Setakat ini, dari 23 perlawanan La Liga, Ronaldo sudah menjaringkan 19 gol dan menyumbang 7 assists,  berbanding catatan musim 2014/15 dimana beliau berjaya menjaringkan 28 gol dan mencipta 8 assists untuk Los Blancos dari 23 aksi liga mereka.

Dalam dunia bolasepak, bukan rahsia lagi bahawa prestasi seseorang pemain akan mula menurun ketika usia mereka memasuki 30an dan jika diambilkira faktor ini, pemain sehebat Ronaldo pun sudah tentu tidak akan terkecuali. Adakah statistik di atas menunjukkan bahawa Ronaldo kini sudah memasuki gerbang penurunan prestasi sepertimana pemain-pemain lain yang seangkatan dengan beliau. Jika ini berlaku, graf penurunan prestasi Ronaldo tidak akan terhenti setakat musim ini sahaja dan bakal terus berlanjutan hingga 2018 nanti. Sekiranya Ronaldo mahu kembali menabur bakti di Old Trafford dan mana-mana pengurus United ketika itu mahu menerima beliau, mampukah Ronaldo memberikan sumbangan bermakna kepada kelab?

Pada 2018 nanti, saya fikir sukar buat Ronaldo merebut tempatnya di posisi sayap kiri kerana ketika itu pemain seperti Anthony Martial sudah tentu jauh lebih bagus berbanding sekarang. Selain Martial, United memiliki seorang lain pemain berpotensi untuk meledak di posisi tersebut dalam tempoh setahun atau dua dari sekarang dan pemain yang saya maksudkan ialah Memphis Depay. Walaupun ketika ini Depay teruk dikritik kerana prestasi merudumnya sejak berpindah ke Old Trafford hanya semusim selepas dinobatkan selaku penjaring terbanyak Eredivisie, beliau masih seorang pemain muda berbakat yang jika diberikan peluang mampu meletakkan dirinya selaku pemain kelas dunia suatu hari nanti.

Pada pandangan saya, apa yang diperlukan Memphis hanyalah masa untuk menyesuaikan dirinya dengan gaya permainan United dan jika beliau dilatih oleh `tangan yang betul’, saya percaya Memphis mampu meletakkan dirinya sebagai tunjang kekuatan kelab di masa hadapan. Dalam tempoh dua tahun lagi, Martial atau Memphis sudah tentu bukan seperti sekarang. Jika kedua-duanya mampu memenuhi potensi diri menerusi bakat yang mereka miliki, sudah pasti sukar buat Ronaldo merebut tempat dalam kesebelasan utama United jika beliau kembali menyarung jersi kelab pada 2018 nanti. Berdasarkan prestasi semasa, Martial adalah sandaran utama untuk meneruskan legasi pemain-pemain sayap hebat yang pernah beraksi untuk United seperti George Best, Steve Coppell, Lee Sharpe, Andrei Kanchelskis, Ryan Giggs, David Beckham dan Ronaldo sendiri.

Jadi kesimpulannya sekarang, adakah Ronaldo masih relevan untuk beraksi dalam kesebelasan utama United jika beliau kembali ke pangkuan kelab pada 2018 nanti? Henrik Larsson pernah mencetuskan impak pada usia 36 tahun ketika beliau menyertai United sebagai pemain pinjaman pada 2007. Impak yang diberikan lagenda Sweden ini menyebabkan Sir Alex Ferguson mahu melanjutkan tempoh pinjaman pemain ini namun beliau akhirnya terpaksa akur melepas Larsson pulang semula ke Helsingborg selepas hanya beraksi dalam tujuh perlawanan liga. Selain Ryan Giggs, Larsson adalah contoh terbaik pemain yang sudah berusia tapi masih mampu memberikan sumbangan besar di atas padang biarpun mereka tidak lagi sepantas ketika usia muda mereka.

Dua tahun dari sekarang dan pada usia 33 tahun, Ronaldo masih belum terlalu tua untuk terus bermain di peringkat tertinggi, tetapi pengurus perlu bijak menggunakan kebolehan serta pengalaman beliau pada masa dan tempat yang tepat. Sir Alex Ferguson pernah melakukannya kepada Giggs dan Larsson, jadi terpulang kepada mana-mana pengurus United selepas ini untuk melakukan perkara yang sama kepada Ronaldo jika beliau kembali menyertai The Red Devils dua tahun dari sekarang. Dua tahun lagi tiada apa yang lebih manis selain menyaksikan kepulangan semula lagenda ini ke Old Trafford dan bukankah lebih bagus jika beliau menamatkan kariernya di Theatre of Dreams? Gelanggang yang pernah menjadi pentas buat seorang remaja kurus kering dari bandar kecil Madeira memperagakan bakat luarbiasanya sebelum muncul antara pemain paling menarik pernah disaksikan aksinya dalam era bolasepak moden…Glory Glory Manchester United!!! - AJ

06 Februari 2016

`SPECIAL JUAN'....ADAKAH MATA PEMAIN YANG BENAR-BENAR ISTIMEWA?

25 Januari lalu, genaplah dua tahun Juan Mata bergelar pemain Manchester United selepas perpindahan beliau dari Stamford Bridge ke Old Trafford yang menelan belanja sebanyak £37 juta berjaya direalisasikan. Mata merupakan pembelian pertengahan musim yang dilakukan David Moyes bagi menyelamatkan musim terumbang-ambing United sebaik sahaja ditinggalkan Sir Alex Ferguson yang mengumumkan persaraan selepas menghadiahkan kejuaraan liga ke-20 buat kelab. Ketika kali pertama menjejakkan kakinya di Old Trafford sebagai pemain United, Mata juga menerima layanan yang agak istimewa dari pihak pengurusan dan jika anda masih ingat ketika itu bagaimana beliau dibawa ke Carrington dengan menggunakan helikopter.

Selepas secara rasmi beliau diumumkan sebagai anggota The Red Devils, Mata diberikan gelaran The Special Juan oleh penyokong-penyokong United dan sehingga kini beliau masih dianggap sebagai pemain `istimewa’ dalam skuad Louis Van Gaal. Istimewanya Mata di mata para penyokong menyebabkan beliau sering terlepas dari kritikan-kritikan pedas meskipun adakalanya bekas pemain Valencia itu bermain di bawah prestasi sebenar. Berbanding Wayne Rooney dan `bintang baharu’ seperti Memphis Depay yang sering dihujani kritikan demi kritikan, Mata nampaknya boleh menarik nafas lega terlepas dari `perhatian’ penyokong walaupun statistik menunjukkan sumbangan beliau di atas padang ketika ini sedikit menurun berbanding di awal musim.

Selepas tampil dengan prestasi bagus di awal musim menerusi tiga gol dan empat assist dari tujuh perlawanan (dalam semua kejohanan), Mata hanya mampu menjaringkan satu gol dalam tempoh hampir empat bulan sejak United tewas 0-3 kepada Arsenal pada 4 Oktober tahun lalu. Mata akhirnya menemui semula sentuhan jaringannya selepas meledak satu dari tiga gol saat United menyingkirkan Derby Couty dalam aksi pusingan keempat Piala FA minggu lalu. Jika dihitung sumbangan Mata dalam saingan liga selepas 23 perlawanan musim ini, beliau hanya menyumbang empat gol dan tiga assist berbanding musim lalu di mana beliau berjaya menjaringkan lima gol dan mencipta tiga assist.

Walaupun hanya kurang satu gol berbanding catatan yang beliau lakukan dari 23 perlawanan musim lalu, itu tetap sesuatu yang perlu diberikan perhatian ketika sentuhan, kreativiti dan visi permainannya ditagih bagi membantu United bangkit mencabar kejuaraan liga atau sekurang-kurangnya meletakkan mereka dalam kedudukan empat teratas untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan. Mata masih mempunyai waktu hingga akhir musim untuk membuktikan bahawa beliau memang `istimewa’ di mata penyokong-penyokong United dengan membantu rakan-rakannya menghambat pasukan-pasukan yang berada di kedudukan empat teratas ketika ini.

Mata juga masih memiliki waktu untuk mengatasi catatan sembilan gol dan empat assist dari 33 perlawanan yang beliau lakukan musim lalu dan Special Juan nampaknya seperti sudah memberikan isyarat bahawa beliau sudah bersedia meletakkan semula dirinya dalam kesebelasan utama United selepas menampilkan aksi bagus ketika membenam Stoke City, Rabu lalu. Saya berharap gol Mata ke gawang Derby County pada aksi pusingan keempat Piala FA yang menamatkan kemarau jaringan dalam 14 perlawanan (pada semua kejohanan), mampu meletakkan kembali beliau sebagai antara pemegang peranan penting dalam kesebelasan utama United musim ini.

Aksi menentang Stoke City Rabu lalu menampilkan semula karakter sebenar Special Juan di atas padang, karakter yang agak lama saya tidak saksikan ditampilkan beliau terutamanya bila mengingatkan bahawa Mata merupakan pemain yang cukup saya kagumi sejak beliau tiba di Stamford Bridge pada 2011. Bagaimanapun karakter sebenar Mata bakal teruji sepenuhnya ketika beliau kembali semula ke Stamford Bridge esok bagi berdepan semula kelab lamanya, Chelsea. Kesebelasan utama Guus Hiddink adalah ujian sebenar buat Mata, kerana selepas tiga kali bertemu The Blues dipentas liga sejak berpindah ke Old Trafford, Mata masih belum mampu membantu United mengatasi bekas kelabnya itu.

Bukan itu sahaja, dari tiga aksi liga menentang Chelsea, Mata juga gagal menyumbang sebarang gol atau assist. Saya berharap fakta ini tidak diambilkira Van Gaal dalam menentukan barisan kesebelasan terbaiknya saat berkunjung ke Stamford Bridge nanti kerana bagi saya, kelibat pemain seperti Mata perlu ada bagi menambahkan lagi kreativiti The Red Devils ketika menyusun gerakan ke kubu lawan. Melihat kepada trend Van Gaal sejak kebelakangan ini yang lebih gemar meletakkan Mata di bangku simpanan, peluang buat beliau beraksi dalam kesebelasan utama esok sedikit terjejas. Semuanya mudah difahami kerana Van Gaal kini lebih gemar meletakkan Jesse Lingard di sebelah kanan, posisi yang sering dihuni Mata di awal musim hingga menyebabkan beliau mula tersisih.

Melihat kepada prestasi bagus Lingard sejak kebelakangan ini di posisi sayap kanan, sukar buat Mata untuk kembali merampas posisi tersebut dari pemain kelahiran Akademi United ini. Bagaimanapun selepas menyaksikan prestasi Mata dalam dua perlawanan terakhir United (menentang Derby County dan Stoke City), Van Gaal sepatutnya sudah mendapat ilham untuk memilih kesebelasan terbaiknya saat berdepan Chelsea nanti. Peranan selaku pemain nombor 10 adalah peranan yang harus dimainkan Mata di Stamford Bridge esok kerana posisi di belakang penyerang adalah posisi paling ideal buat Mata berbanding meletakkan beliau sebagai pemain sayap.

Bagaimanapun jika Mata mahu mengintai peluang beraksi di belakang Rooney buat kali ketiga berturut-turut selepas memainkan peranannya di posisi tersebut dengan cemerlang pada dua aksi terakhir United, beliau perlu terlebih dahulu mengetepikan pesaing dan juga rakan Sepanyolnya iaitu Ander Herrera. Selepas menyaksikan sumbangan Mata dalam dua aksi terakhir dan jika diberikan pilihan, saya lebih memilih beliau untuk membarisi kesebelasan utama United di Stamford Bridge esok berbanding Herrera. Bercakap tentang Juan Mata bukan sekadar menyentuh tentang kebolehan beliau dalam menjaringkan gol dan menyumbang assist. Daley Blind pernah mengatakan bahawa “Permainan Juan Mata sedap dipandang mata”, dan untuk itu saya juga mengakui bahawa Special Juan antara pemain yang menarik untuk disaksikan kelibatnya di atas padang. Semoga di Stamford Bridge esok, Special Juan mampu membuktikan mengapa beliau dianggap `istimewa' di mata para penyokong United...Glory Glory Manchester United!!! – A.J

26 Januari 2016

RASA MUAK TERHADAP VAN GAAL SEMAKIN MEMUNCAK

Muak!!!, hanya itu yang mampu saya katakan selepas melihat Manchester United tewas buat kali keenam dalam saingan liga musim ini. Muak bukan disebabkan United tewas tetapi saya muak kerana corak permainan barisan kendalian Van Gaal masih tidak berubah, masih sama, tiada keghairahan dan kekal membosankan. Reaksi penyokong selepas kekalahan itu sudah cukup untuk menggambarkan apa yang terbuku di hati mereka di mana selepas berakhirnya era singkat David Moyes, kita terpaksa sekali lagi berdepan musim yang `mengerikan’.

Ketika menuju ke bilik persalinan selepas tamat perlawanan menentang Southampton, khalayak penyokong-penyokong United di Theatre of Dreams melambaikan tangan ke arah Van Gaal sebagai isyarat selamat tinggal dan juga menunjukkan isyarat ibu jari ke bawah tanda begitu kecewanya mereka dengan prestasi barisan mahalnya setakat ini. Jujur saya katakan beberapa kemenangan-kemenangan yang diraih United sebelum ini banyak dibantu faktor nasib, bukan disebabkan mereka bermain dengan baik atau disebabkan ampuhnya taktikal yang diatur Van Gaal.

Gaya permainan membosankan United di bawah asuhan Van Gaal tidak boleh dibiarkan berterusan jika mereka mahu mengintai salah satu slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan. Sebelas perlawanan berturut-turut United gagal menjaringkan sebarang gol di babak pertama jelas menggambarkan betapa `mandulnya’ jentera serangan The Red Devils yang dikepalai Wayne Rooney. Dengan jentera serangan yang begitu tumpul, bahagian tengah hilang kreativiti dalam mengatur gerakan ke kubu lawan dan barisan pertahanan yang kadangkala hilang fokus hingga membenarkan lawan menjaringkan gol di penghujung permainan, penyakit kronik ini perlu segera diubati.

Saya tidak gusar jika United gagal memenangi kejuaraan liga musim ini tetapi saya cukup gusar jika United sekali lagi gagal melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara sepertimana yang berlaku pada musim 2014-15. Melihat jurang yang dicipta Tottenham Hotspurs di tangga keempat liga semakin besar, saya berharap ada perubahan besar yang berlaku dalam tempoh terdekat bagi memperbaiki segala kelemahan yang ada. Van Gaal sendiri saya yakin sudah melakukan segala yang beliau terdaya untuk menyelamatkan musim United namun sehingga kini segalanya tampak tidak memihak kepada beliau.

Sabtu lalu, United seperti biasa unggul menerusi peratusan penguasaan bola milik mereka (56%), tetapi diakhir perlawanan mereka sekali lagi berada di pihak yang kalah. Agak malang, peratusan penguasaan bola yang dimiliki United tidak seiring dengan kemenangan yang sepatutnya mereka raih dan juga gol yang sepatutnya mereka jaringkan. Ketika berdepan Southampton, Van Gaal menggunakan formasi  3-4-1-2, dimana beliau meletakkan Cameron Borthwick-Jackson dan Jesse Lingard sebagai wingback. Sangkaan Van Gaal bahawa dua pemain ini boleh menggunakan kepantasan mereka untuk membangunkan serangan dari kedua-dua belah sayap nyata memakan diri.

Borthwick-Jackson yang kebiasaannya berperanan sebagai bek kiri seperti kebingungan sepanjang 86 minit beliau di atas padang. Sepanjang tempoh tersebut juga, pemain muda ini hanya mampu melakukan satu dribbles, manakala dari 30 hantaran yang beliau lakukan, hanya dua menuju ke kawasan petak penalti lawan. Begitu juga halnya dengan Lingard yang kelihatan seperti kekok di atas padang. Lingard yang merupakan seorang pemain sayap tidak dapat menggunakan sepenuhnya kemahiran beliau untuk melakukan gerakan-gerakan dari sebelah kanan kerana kerap berada terlalu jauh di kawasan sendiri.

Pemain United yang menjadi sorotan utama sebelum perlawanan menentang Southampton sudah tentulah pemain yang menjaringkan gol kemenangan di Anfield 17 Januari lalu. Siapa lagi yang saya maksudkan jika bukan Wayne Rooney. Rooney yang berjaya menjaringkan empat gol dalam empat perlawanan sebelum ini kembali buntu dalam memainkan peranannya selaku watak penting di barisan hadapan United. Tidak banyak yang mampu dilakukan Rooney, beliau seperti `hilang’ dalam permainan dan paling memedihkan tiada satupun percubaan tepat yang dilepaskan kapten ini ke arah pintu gol lawan.

Cemerlangnya Virgil Van Dijk di benteng pertahanan The Saint menyukarkan lagi tugas Rooney dan Anthony Martial dalam memburu gol buat United. Kredit memang patut diberikan kepada pemain pertahanan berasal dari Belanda ini yang melakukan lima tackle bersih, lima pintasan dan lima clearance hingga meletakkan beliau antara pemain lawan paling cemerlang sepanjang aksi di Old Trafford, Sabtu lalu. Kehadiran semula Adnan Januzaj dari Borussia Dortmund bagi menyahut panggilan kecemasan Van Gaal tetap gagal membantu United untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata dalam perlawanan ini. Dengan tempoh empat minit masa sebenar permainan yang tinggal, tidak banyak yang mampu dilakukan Januzaj bagi menyelamatkan maruah pasukannya.

Selain ketumpulan jentera serangan, United juga nampaknya semakin hilang kreativiti di bahagian tengah mereka musim ini, Kreativiti sekali lagi menjadi masalah besar yang perlu ditangani Van Gaal dengan seberapa segera jika beliau tidak mahu menyaksikan United terus tercicir. Van Gaal sekali lagi memilih kekuatan fizikal milik Fellaini sebagai teras di bahagian tengah kesebelasan utamanya namun pemain tinggi lampai ini gagal memberikan kesan seperti yang diharapkan beliau. Fellaini hanya bertahan selama 45 minit sebelum beliau digantikan Juan Mata di separuh masa kedua.

Fellaini `agak berjaya’ ketika berdepan Liverpool namun tenggelam pada aksi di Old Trafford, Sabtu lalu. Dalam hal ini saya sedikit hairan bila memikirkan mengapa Van Gaal lebih memilih kekuatan fizikal milik Fellaini berbanding kreativiti yang ada pada Mata untuk menggerakkan jentera tengah pasukannya. Kelibat Mata di separuh masa kedua nyata memberikan perubahan menerusi visi dan kreativiti permainannya hingga membolehkan jentera tengah bergerak lebih lancar berbanding aksi di separuh masa pertama. Bagaimanapun sumbangan Mata tetap terbatas memandangkan Rooney dan Martial gagal membuka ruang di bahagian hadapan kerana kerap berada sedikit jauh ke bawah.

Saya yakin selaku pengendali, Van Gaal sudah tentu tidak mahu situasi buruk ini berlaku ke atas pasukan dan dirinya sendiri. Van Gaal antara pengendali berpengalaman dalam dunia bolasepak selain memiliki rekod silam yang cukup cemerlang. Walaupun di awal kedatangannya, beliau dianggap mampu menyelamatkan United dari zaman kemurungan, kini situasi sudah berputar 360°. Van Gaal kini dianggap musuh nombor satu oleh penyokong-penyokong United di seluruh dunia, bukan sahaja disebabkan kegagalannya meletakkan kembali kelab sebagai pasukan yang digeruni tetapi juga kerana corak permainan membosankan yang dipamerkan skuad kendaliannya hampir saban minggu.

Jika diamati aset yang ada dalam skuad Van Gaal, bagi saya tiada apa yang kurang untuk United muncul pencabar paling serius dalam perebutan kejuaraan liga musim ini. Gabungan pemain berpengalaman dan pemain kelas dunia hasil dari pelaburan yang beliau lakukan sepanjang dua musim terakhir sepatutnya meletakkan United ditangga lebih baik berbanding kedudukan sekarang dalam carta liga. Ramai yang berharap hasil lebih baik musim ini menerusi pelaburan besar yang dilakukan Van Gaal, tetapi United sudahpun tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara, diaibkan Middlesbrough dalam saingan Piala Liga dan hanya mampu memungut 37 mata untuk berada ditangga kelima carta liga.

Menyaksikan permainan menarik yang dipamerkan barisan The Red Devils sepanjang era gemilang Sir Alex Ferguson, apa yang berlaku sekarang sudah tentu tidak boleh diterima oleh majoriti penyokong-penyokong United. Saya dan mungkin kebanyakan dari anda di luar sana boleh menelan hakikat kekalahan kerana itu semua sebahagian asam garam dalam bolasepak, tetapi saya tidak boleh menerima hakikat betapa permainan United di bawah kendalian Van Gaal cukup membosankan. Jadi bagaimana jika United mahu kembali kepada permainan menarik dan menghiburkan sepertimana ketika kelab di bawah era Sir Matt Busby dan Sir Alex Ferguson?

Jawapan paling mudah yang muncul sepantas kilat dalam fikiran saya ialah Van Gaal harus pergi dengan memberi peluang buat individu lain yang punya idea lebih segar untuk merencanakan permainan United. Menyaksikan apa yang sedang berlaku sekarang, saya yakin pihak pengurusan United tidak akan memberikan Van Gaal peluang menghabiskan baki 18 bulan kontraknya. Paling tidak, beliau akan diberikan peluang mengurus pasukan hingga akhir musim atau jika situasi semakin buruk, Ryan Giggs akan kembali ke bangku pengurus buat sementara waktu sepertimana yang berlaku pada 2014.

Sesuatu harus dilakukan sekarang bagi menyelamatkan musim United dan tugas itu terletak di tangan pihak pengurusan kelab untuk melakukannya. Saya yakin masa depan Van Gaal sudah tidak ada di Old Trafford dan kekalahan kepada Soutahmpton menambahkan lagi rasa muak penyokong-penyokong terhadap beliau. Jika Van Gaal `ditendang keluar’, saya berharap sesiapapun individu yang dilantik menggantikan tempat beliau nanti mampu membawa United kembali kepada gaya permainan menghiburkan. Gaya permainan yang pernah meletakkan United sebagai pasukan paling digeruni, paling dicemburui dan untuk kembali kepada gaya permainan seperti itu, sosok individu bernama Louis Van Gaal harus dikorbankan. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

11 Januari 2016

PIALA FA YANG WAJIB DIMENANGI VAN GAAL

Kali pertama Manchester United menjulang Piala FA ialah kira-kira 107 tahun yang lalu atau lebih tepatnya pada 1909, selepas mereka menundukkan Bristol City 2-0 hasil jaringan Sandy Turnbull. Kira-kira 12 tahun yang lalu pula, United menjulang trofi kejohanan kalah mati tertua di dunia ini buat kali terakhir selepas mereka menundukkan Milwall (3-0) di Stadium Millenium, Cardiff hasil sentuhan pemusnah Cristiano Ronaldo dan juga dua gol sumbangan Ruud Van Nistelrooy.

Sejak Piala FA pertama kali dipertandingkan pada 1872, United sudah mengumpul koleksi 11 kejuaraan namun rekod tersebut dipintas Arsenal selepas mereka menewaskan Aston Villa di pentas final edisi 2015. Portsmouth, Wigan Athletic, Cardiff City, Aston Villa dan Hull City antara kelab yang berjaya mara ke final dalam tempoh lapan tahun sejak kali terakhir United tewas kepada Chelsea 0-1 menerusi jaringan Didier Drogba pada edisi 2007.

Aksi di Stadium Wembley pada 19 Mei 2007 itu bukan sahaja aksi terakhir United di pentas final Piala FA tetapi turut meninggalkan memori yang tidak ingin dikenang oleh penyokong-penyokong The Red Devils. Ketika United disebut-sebut bakal menamatkan musim 2006-07 dengan kejuaraan Doubles selepas anak-anak buah Sir Alex Ferguson menang kejuaraan liga buat kali ke-16, gol tunggal perlawanan jaringan Didier Drogba diminit ke-116 pula menyaksikan United akhirnya terpaksa berputih mata.

Musim-musim seterusnya United gagal menjejak kaki lagi di pentas final dan paling hampir ialah pada musim 2007-08, tetapi mereka terpaksa akur apabila disingkirkan Portsmouth menerusi penentuan sepakan penalti di peringkat separuh akhir dan juga Manchester City pada 2011. Sejak kekalahan kepada Chelsea pada 2007 juga, tiada siapa menyangka bahawa kelab besar seperti United gagal beraksi di pentas final untuk tempoh hampir sedekad.

Malah di penghujung karier seorang pengurus paling berjaya dalam sejarah kelab seperti Sir Alex Ferguson pun, United tetap gagal menjulang kejuaraan Piala FA.  Medal kejuaraan Piala FA juga merupakan satu-satunya medal yang gagal Wayne Rooney menangi sejak beliau menyertai United dari Everton pada 2004. Dengan tempoh kemuncak beliau sebagai pemain kian menuju ke penghujung, kapten United itu sepatutnya menanam azam bahawa musim ini adalah musim terbaik untuk beliau dan rakan-rakan sepasukan menamatkan kemarau kejuaraan United dalam saingan Piala FA.

Sir Alex Ferguson merupakan lagenda hidup Manchester United dan dianggap pengurus paling berjaya bukan hanya untuk kelab tetapi juga dalam sejarah bolasepak England dan dunia. Deretan trofi yang sudah beliau menangi di pentas domestik dan Eropah bersama kelab merupakan kayu ukur mengapa beliau begitu disayangi dan sentuhannya dirindui penyokong-penyokong United. Deretan trofi tidak datang bergolek dan harus diingat kesukaran yang dihadapi Fergie sepanjang empat tahun pertamanya bergelar pengurus United.

Sebelum beliau memikirkan cara bagaimana mahu menamatkan dominasi mutlak Liverpool ketika itu dan saingan yang diberikan oleh kelab-kelab seperti Arsenal, Everton dan Tottenham Hotspurs, Fergie sebenarnya perlu `membersihkan’ skuadnya dahulu dari dalam. Dengan masalah disiplin yang serius dan budaya mabuk yang berleluasa di kalangan pemain-pemainnya, United pada pandangan beliau tidak akan kemana-mana.

Hal itu jugalah yang menjadi penyebab mengapa United gagal meletakkan diri mereka selaku pencabar domestik biarpun memiliki rekod dan sejarah lampau yang cukup gemilang. Dengan dana yang cukup besar diberikan kepada beliau ketika itu, Fergie membawa masuk pemain-pemain ternama seperti Viv Anderson, Steve Bruce, Brian McClair, Gary Pallister, Paul Parker dan Paul Ince ke dalam skuadnya.

Musim 1989-90, Fergie menghabiskan sehingga £13 juta untuk membawa masuk 15 pemain baharu, satu jumlah perbelanjaan yang dikira cukup besar ketika itu. Walaupun berbelanja besar, beliau tetap gagal meletakkan United di tempat sepatutnya jika diambilkira barisan pemain yang beliau miliki dan pelaburan besar yang sudah beliau lakukan di awal musim. Walaupun United menamatkan musim 1989-90 di tangga ke-13 liga, tetap ada sesuatu yang boleh diraikan oleh penyokong-penyokong sebaik musim berakhir iaitu kejayaan kelab menjulang kejuaraan Piala FA.

Kejayaan barisan bimbingan Fergie menjulang kejuaraan Piala FA rupa-rupanya detik permulaan kepada perjalanan yang lebih gemilang buat United selepas itu meskipun ramai yang melabelkan musim 1989-90 sebagai antara musim paling gelap dalam sejarah kelab. Kejuaraan Piala FA (1990) juga merupakan trofi major pertama yang United berjaya menangi selepas empat musim kelab dibawah kendalian Fergie.

Tahun berikutnya (1991) United menjulang trofi Eropah pertama di bawah kendalian Fergie selepas mereka menewaskan Barcelona di pentas final Cup Winners Cup dan kemudiannya disusuli UEFA Super Cup pada tahun yang sama. Sejak 1990 hinggalah saat Sir Alex mengumumkan persaraannya pada 2013, beliau berjaya mengemudi kelab memenangi 38 kejuaraan sama ada di peringkat domestik, Eropah dan juga dunia. Paling manis sudah tentu kejuaraan Treble 99, pencapaian yang hingga ke hari ini masih belum mampu diulangi/diatasi oleh mana-mana kelab Inggeris.

Melihat kepada catatan gemilang selama 27 tahun mengemudi United, siapa sangka Fergie hampir sahaja dipecat kerana gagal menghadiahkan sebarang trofi sepanjang empat musim pertamanya di Old Trafford. Mujurlah jaringan penyamaan Mark Robins ke gawang Crystal Palace hingga perlawanan ulangan final Piala FA 1990 terpaksa diadakan menyelamatkan karier beliau. Jaringan tunggal Lee Martin pada perlawanan ulangan menghadiahkan trofi major pertama United di era Fergie dan beliau akhirnya dikekalkan untuk membawa lebih banyak trofi ke Old Trafford hinggalah kehari persaraannya pada 2013.

Apa yang berlaku sekarang sebenarnya mirip dengan apa yang pernah berlaku ke atas Fergie pada musim 1989-90. Keputusan-keputusan buruk yang dicatat skuadnya sepanjang empat musim pertama beliau di Old Trafford, hampir sahaja menyebabkan Fergie di pecat. Begitulah juga halnya dengan nasib Louis Van Gaal ketika ini. Cuma bezanya pihak pengurusan dan penyokong ketika itu mampu bersabar selama empat musim sebelum kejuaraan Piala FA dijulang.

Bagaimanapun harus diingat bahawa dunia bolasepak sudah berubah secara drastik berbanding 20 atau 30 tahun yang lalu. 30 tahun lalu, pihak pengurusan kelab dan penyokong masih mampu bersabar jika seseorang pengurus gagal membawa hasil yang diharapkan dalam tempoh 2, 3 atau 4 tahun mereka berada dalam sesebuah pasukan tetapi bukan sekarang. Jose Mourinho adalah contoh terbaik dan terbaru.

Siapa sangka Mourinho yang dilabelkan sebagai lagenda di Stamford Bridge dipaksa angkat kaki kerana prestasi buruk Chelsea musim ini, sedangkan hanya kira-kira 7 bulan yang lalu, beliau berjaya membawa skuadnya menjulang kejuaraan liga. Begitu jugalah halnya dengan Louis Van Gaal yang terus diberikan tekanan demi tekanan sejak akhir-akhir ini berikutan prestasi tidak menentu skuad mahalnya dalam saingan domestik dan Eropah.

Awal pagi kelmarin Van Gaal sekali lagi di hentam para penyokong selepas mereka menyaksikan United terpaksa bergantung kepada penalti Wayne Rooney dihujung permainan untuk mengatasi cabaran Sheffield United, kelab yang beraksi di kasta ketiga bolasepak England. Kemenangan itu menyaksikan United layak ke pusingan keempat saingan Piala FA tetapi penyokong nampaknya tidak gemar melihat bagaimana sukarnya kemenangan itu dicapai biarpun hanya berdepan kelab kerdil seperti The Blades.

Mungkin ada yang memandang sinis cabaran Piala FA yang dianggap sebagai saingan kelas kedua di England berikutan polisi pengurus-pengurus kelab utama yang gemar menurunkan pemain-pemain muda dalam saingan ini. Bagaimanapun Van Gaal boleh menjadikan situasi yang dialami Fergie pada musim 1989-90 sebagai panduan berguna. Selepas kejayaan pada 17 Mei 1990, Fergie tidak lagi menoleh kebelakang. Trofi demi trofi beliau bawa masuk ke dalam almari kejuaraan di Old Trafford dimana selama lebih dua dekad juga United muncul kuasa dominan bolasepak Inggeris.


Saya tidak pasti apa kesudahan nasib Van Gaal sebaik musim ini berakhir atau mungkin juga beliau dipaksa angkat kaki sepertimana David Moyes pada 2014. Bagaimanapun kesempatan untuk muncul pengurus pertama dalam tempoh 12 tahun yang berjaya membawa kelab menjulang Piala FA tidak harus dilepaskan beliau. Memandangkan faktor umur dan baki kontraknya, Van Gaal tidak akan mampu mengulangi jejak gemilang yang ditinggalkan Fergie, tetapi dengan menjulang Piala FA pada 21 Mei nanti, pastinya ada momen indah yang boleh beliau tinggalkan untuk dikenang oleh penyokong-penyokong United. Glory Glory Manchester United!!! - AJ