06 Februari 2017

PEMAIN TERBAIK BULAN JANUARI...ANTONIO VALENCIA

Lapan tahun lalu saat Steve Bruce (Pengurus Wigan Athletic ketika itu) mengatakan kepada Antonio Valencia bahawa Manchester United berminat mendapatkan khidmatnya, pemain antarabangsa Ecuador itu hanya tertawa dan menganggap kata-kata Bruce itu hanyalah gurauan. Bruce memang dikenali sebagai pengurus yang gemar bergurau dengan pemain-pemainnya, tetapi kali ini apa yang dikatakan beliau bukan candaan.

Beberapa hari kemudian, Valencia berpeluang bertentang mata dengan Sir Alex Ferguson dan kini barulah beliau sedar bahawa Fergie memang benar-benar mahukan khidmatnya. Akhirnya perkara yang sebelumnya dianggap sebagai gurauan Bruce kini menjadi kenyataan dan menurut Valencia, “momen itu merupakan momen paling luar biasa dan paling indah yang pernah berlaku dalam hidupnya”.

Valencia ditandatangani Fergie bagi menggantikan tempat Cristiano Ronaldo yang memilih menyertai Real Madrid pada 2009 kerana kelajuan yang dimilikinya sebagai pemain sayap. Meskipun ramai yang meragui kemampuan Valencia semasa peringkat awal kedatangannya di Old Trafford, pemain kelahiran Lago Agrio itu akhirnya membuktikan bahawa Fergie sudah memilih pemain yang tepat bagi mengisi posisi yang ditinggalkan Ronaldo.

Memang benar, pemain hebat seperti Ronaldo amat sukar dicari ganti, jadi tidak hairanlah mengapa ada yang memandang sinis dengan keputusan Fergie menandatangani Valencia. Kebanyakkan penyokong-penyokong United ketika itu mengharapkan Fergie menandatangani nama besar yang setanding dengan reputasi Ronaldo, bukan pemain kurang ternama dari kelab pertengahan liga seperti Wigan sebagai pengganti.

Valencia dan Ronaldo pemain yang jauh berbeza, baik dari segi gaya permainan, skill atau pun personaliti di atas padang. Ronaldo tampak sedikit angkuh manakala Valencia pula lebih tenang dan terkawal emosinya. Saya akui jika mahu dibandingkan skill dan teknik yang dimiliki Ronaldo, Valencia bukanlah tandingan mega bintang Portugal itu.

Ronaldo menerusi kelebihan skill individu yang dimilikinya gemar menembusi pertahanan lawan hingga ke petak penalti tetapi Valencia pula lebih tipikal kepada gaya permainan David Beckham menerusi umpanan-umpanan silangnya dari sebelah kanan. Menerusi ketepatan umpanan-umpanan silang yang dilakukannya, Valencia memudahkan tugas Wayne Rooney dan Dimitar Berbatov selaku penggempur.

Musim pertamanya di Old Trafford, Valencia berjaya menyumbang 13 assist dari 49 penampilan dalam semua kejohanan. Bagaimanapun prestasi bagus yang dipamerkannya sepanjang musim tetap gagal membantu United mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi mereka musim sebelumnya (2008-09). Di musim keduanya, kecederaan panjang yang dialami Valencia membataskan penampilannya di mana beliau cuma mampu melakukan 20 penampilan (dalam semua kejohanan).

Bagaimanapun di penghujung musim (2010-11), beliau berjaya memenangi medal kejuaraan Liga Perdana bersama United manakala tiga gol dan lima assist yang disumbangkannya bukanlah pencapaian yang buruk untuk seorang pemain yang terpaksa keluar masuk di bilik rawatan hampir sepanjang musim. Selepas pulih sepenuhnya dari kecederaan, Valencia sekali lagi tampil gemilang menerusi 16 assist dan enam gol dari 38 penampilan (dalam semua kejohanan) pada musim ketiganya.

Jika pada 2009, Fergie menandatangani Valencia dari Wigan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ronaldo sebagai pemain sayap, kedatangan Louis Van Gaal pada 2014 pula menyebabkan posisi dan peranan Valencia bersama United berubah. Biarpun tidak dilakukan secara drastik, Van Gaal secara perlahan-lahan menukar fungsi Valencia dari seorang pemain sayap kepada fullback

Bagaimanapun Van Gaal bukanlah individu pertama yang meletakkan Valencia sebagai bek kanan. Valencia sebenarnya sudah mula bermain sebagai bek kanan pada September 2011, ketika Sir Alex Ferguson mendapati hampir kesemua pemain pertahanannya berada di bilik rawatan. Secara keseluruhan dari 2011 hinggalah ke saat Ryan Giggs mengambilalih posisi pengendali sementara selepas David Moyes di pecat, Valencia sempat bermain sebagai bek kanan sebanyak 12 kali.

Musim lalu tidak kira sama ada Van Gaal menggunakan sistem tiga atau empat pertahanan dalam formasi permainannya, posisi selaku bek kanan adalah milik mutlak Valencia. Dari seorang pemain sayap yang sering melakukan hantaran-hantaran lintang terus ke dalam petak penalti lawan, Valencia kini muncul antara pemain penting buat United menerusi peranan baharunya sebagai fullback.

Jika Phil Jones melabelkan Valencia sebagai `mesin’, Mourinho pula tanpa ragu meletakkan pemain ini sebagai bek kanan terbaik dunia. Mungkin pandangan Mourinho agak berlebihan atau mungkin memang benar bahawa Valencia bek kanan terbaik dunia ketika ini. Bagaimanapun di Old Trafford beliau sudah pun menerima pengiktirafan atas segala sumbangan dan peranan yang telah dimainkannya selama ini, iaitu diberikan lanjutan kontrak selama setahun.

Mourinho tahu pentingnya peranan Valencia untuk United dan beliau juga tahu penting baginya untuk terus mengekalkan antara pemain terbaiknya bersama kelab. Selain David De Gea, Zlatan Ibrahimovic, Ander Herrera dan Paul Pogba, Valencia antara pemain yang kerap diturunkan Mourinho dalam kesebelasan permulaannya dan antara pemain yang paling banyak bermain selama 90 minit (20 kali dari 21 penampilan liga).  

Musim ini di bawah kendalian Jose Mourinho, Valencia sudah melakukan 21 penampilan dalam saingan liga. Secara purata Valencia melakukan 2.4 tackle, 1.8 intercept dan 2.3 clearance per perlawanan. Catatan purata hantaran-hantaran silang yang dilakukannya juga meningkat daripada 3.7 kepada 5.4 per perlawanan berbanding musim lalu.

Prestasi bagus yang dipamerkan beliau di benteng pertahanan menyaksikan United muncul pasukan ketiga paling kurang dibolosi di Liga Perdana selepas Chelsea dan Tottenham Hotspurs. Ketika sorotan penyokong-penyokong United lebih terarah kepada kelibat Paul Pogba atau Zlatan Ibrahimovic dalam setiap perlawanan, jauh di sudut tepi padang Valencia secara diam-diam melakukan kerja-kerjanya dengan cukup berkesan walaupun dirinya tidak diberikan perhatian.

Meskipun kini peranannya sudah bertukar dari pemain sayap kepada bek kanan, satu perkara yang tak akan pernah berubah bila kita bercakap tentang Antonio Valencia ialah kepantasan larian-lariannya yang sering `menyeksa’ lawan dan umpanan-umpanan silang yang sering beliau bekalkan untuk rakan-rakan sepasukan di bahagian hadapan dari dulu hingga sekarang.

Bekas rakan sepasukannya, Juan Carlos Burbano pernah menyebut kelajuan yang dimiliki Valencia ketika beliau melepasi kawalan lawan umpama “seekor jaguar melewati barisan pokok kaktus”. Ya...umpama “seekor jaguar” yang menghendap secara senyap ketika memburu mangsanya, begitu jugalah Valencia ketika di atas padang. Pemain yang jarang diberikan perhatian tetapi sentiasa tahu bagaimana caranya mahu `melukakan’ lawan...tahniah untuk pemain terbaik bulan Januari ini. Glory Glory Manchester United!!!

02 Februari 2017

GRIEZZY...DARI `BAKAT TERBUANG’ KEPADA `PEMBUNUH BARCELONA’ DAN KINI MENJADI BURUAN UNITED

Sejak akhir-akhir ini rata-rata penyokong Manchester United teruja memperkatakan tentang kemungkinan kelab mendapatkan khidmat Antoine Griezmann menerusi satu lagi pembelian sensasi yang bakal mereka lakukan pada musim panas nanti. Siapa yang tidak teruja bila bercakap tentang Griezmann, penjaring 22 gol untuk Atletico Madrid musim lalu di La Liga selain tersenarai dalam tiga pencalonan akhir Anugerah Pemain Terbaik FIFA 2016.

Dua gol yang dijaringkan Griezmann ke gawang Barcelona pada aksi suku akhir ke dua Liga Juara-Juara musim lalu menyebabkan beliau diberikan gelaran `Si Pembunuh Barcelona’. Musim lalu boleh dianggap musim terbaik Griezmann sejak beliau menyertai Atletico Madrid pada 2014, ditambah pula dengan kejayaan beliau membantu Perancis mara ke final kejohanan Euro 2016.

Dengan ketinggian cuma 1.75m dan berat 72kg, Griezmann antara `pemain kecil’ di atas padang tetapi kekurangan dari segi saiz fizikal diimbangi beliau menerusi kemampuan teknik dan skill yang cukup bagus. Kerana saiz fizikalnya yang kecil jugalah permohonan beliau untuk menjalani trial bersama kelab-kelab di Perancis ketika zaman remajanya ditolak satu persatu.

Sehingga beliau berusia 14 tahun, Griezmann masih bermain untuk kelab tempatan di bandar kelahirannya Macon, Perancis. Bagaimanapun dalam satu kejohanan peringkat remaja yang dianjurkan Paris St Germain, bakat Griezmann berjaya di kesan Eric Olhats, pencari bakat Real Sociedad yang menawarkan tempat untuknya menjalani trial di San Sebastian.

Selepas menjalani dua sesi trial, akhirnya beliau diterima menyertai akademi Sociedad pada 2005, dan dari situ bermulalah karier Griezmann di Sepanyol. Empat tahun mengasah bakat di akademi Sociedad, Griezmann akhirnya diserapkan ke dalam skuad utama pada 2009. Musim pertamanya bersama skuad senior, Griezmann berjaya membantu Sociedad muncul juara Segunda Division sekaligus layak beraksi di La Liga musim berikutnya (2010-11).

Lima musim menyarung jersi Sociedad, Griezmann ditandatangani Atletico Madrid pada 2014 bagi menggantikan tempat Diego Costa yang berhijrah ke Stamford Bridge. Musim pertamanya di Vincente Calderon, Griezmann tampil gemilang menerusi 22 gol yang dijaringkannya dari 37 penampilan liga sekaligus membolehkan beliau tersenarai dalam La Liga Team of The Year (musim 2014-15).

Menerusi statistik yang dikeluarkan Whoscored, Griezmann menjaringkan lapan gol dari tujuh penampilan ketika Diego Simeone meletakkan beliau selaku penyerang tengah. Dibantu dengan mobiliti tinggi, kepantasan, bijak mencari ruang dan teknik gelecekan yang bagus, Griezmann sering mendatangkan bahaya kepada pertahanan lawan setiap kali bola berada di kakinya.

Jika dahulunya bakat Griezmann ditolak kelab-kelab Perancis atas alasan beliau bertubuh kecil, kini `Si Pembunuh Barcelona’ itu dipuja seluruh dunia bukan kerana kekuatan fizikal tetapi kerana bakat dan tekniknya. Di kejohanan Euro 2016 yang dilangsungkan di negara kelahirannya, Griezmann muncul penjaring terbanyak menerusi enam gol yang dihasilkan selain turut dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan.

Catatan 32 gol dari 54 penampilan dalam semua kejohanan untuk Atletico musim lalu adalah pencapaian yang boleh dianggap luar biasa bagi seorang pemain yang bakatnya pernah diremehkan di negaranya sendiri. Gabungan teknik, kekuatan kaki kiri dan kanan serta gaya bolasepak Perancis dan Sepanyol yang meresap dalam karakter permainannya, Griezmann berjaya membina reputasi selaku antara penggempur digeruni di La Liga selain Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Sama ada ketika bersama skuad kebangsaan atau ketika bermain untuk Atletico, Griezmann boleh bertindak sebagai penyerang tengah ataupun bergerak dari sebelah tepi sebagai pemain sayap kanan dan kiri. Bagaimanapun posisi kegemaran beliau ialah sebagai penyerang tengah kerana menurut Griezmann di posisi tersebut beliau memiliki lebih banyak ruang untuk menjaringkan gol.

Pemain bertubuh kecil tetapi menurut Diego Simeone `dia selalu tahu bila masa yang sesuai untuk menyakiti lawannya’. Griezmann tidak memiliki fizikal setegap Diego Costa, penyerang yang beliau gantikan di Vincente Calderon tetapi berbekalkan kepantasan, kepintaran, bijak menghidu peluang terhidang serta tipu muslihat menerusi gerakan kaki kanan dan kirinya beliau gunakan sepenuhnya untuk menghukum lawan.

Bagaimanapun tetap ada perdebatan sama ada fizikal Griezmann yang `kurus kering’ mampu menangani corak permainan keras di Liga Perdana jika segala spekulasi yang bertiup kencang tentang kemungkinan beliau menyertai United menjadi kenyataan.Tidak salah untuk berasa bimbang tetapi jika anda imbas kembali senarai pemain-pemain bertubuh kurus/kecil yang pernah dan masih beraksi di Liga Perdana, kebimbangan tersebut sepatutnya terhapus.

Gianfranco Zola, cuma memiliki ketinggian 1.65m tetapi pernah memukau kita menerusi kelincahannya. David Silva yang ketinggiannya kurang 5cm berbanding Griezmann antara pemain tengah yang saya kagumi biarpun beliau bermain untuk `jiran yang bising’ kita. Manakala Aaron Lennon pula sering menghadirkan rasa cemas kepada saya bila bola berada dikakinya setiap kali United dan Spurs bertemu dulu.

Ryan Giggs juga begitu kerana lagenda hidup United ini bukanlah pemain yang tegap tetapi kelincahan serta kawalan bola menarik yang dimiliki beliau sentiasa menghadirkan ancaman dan rasa gerun kepada pertahanan lawan ketika zaman mudanya. Jadi saya optimis, Griezmann juga mampu melakukannya di Liga Perdana selepas impak yang diciptanya di La Liga bersama Atletico Madrid.

Musim panas nanti merupakan tempoh penting bagi karier Griezmann sama ada beliau mahu memutuskan untuk terus kekal di Vincente Calderon atau mencari cabaran baharu. Adakah musim depan kita bakal menyaksikan seorang lagi warga Perancis menyarung jersi United selepas Anthony Martial, Paul Pogba, Morgan Schneiderlin dan pendahulu-pendahulu sebelumnya?

Sebelum perkara itu berlaku, kita juga perlu sedar bahawa bukan mudah mahu memindahkan Griezmann dari Vincente Calderon atau memaksa beliau berpaling tadah dari Diego Simeone. Wang bukan masalah besar bagi United jika kelab memang serius mahu memancing Griezmann. Masalah terbesar ialah bagaimana mahu memujuk pemain ini supaya rela berpisah dengan mentornya, Simeone.

Simeone ialah alasan mengapa Griezmann tetap kekal bersama Atletico meskipun musim panas lalu ada tawaran dari Paris St Germain untuk membawa beliau pulang ke Perancis. Selepas menolak tawaran PSG, Griezmann menegaskan bahawa salah satu sebab yang boleh membuatkan beliau berfikir untuk berpindah ialah jika Simeone menyertai Paris St Germain atau kelab lain.

Menyaksikan bagaimana United bergelut dalam usaha mereka menembusi pintu gol lawan musim ini, kita mungkin sudah boleh meramalkan rancangan pembelian yang bakal dilakukan Mourinho musim panas nanti. Salah satu posisi yang pasti akan diperkuatkan beliau ialah barisan serangannya. Adakah Griezmann jalan penyelesaian kepada ketumpulan jentera serangan United? Kita nantikan sahaja apa yang bakal dilakukan Mourinho sebaik musim ini berakhir.

Griezmann bukan lagi remaja kurus kering tetapi beliau kini memiliki reputasi sebagai `Si Pembunuh Barcelona’, bukan juga `Si Pemalu’ yang rendah diri tetapi kini antara pemain yang paling menarik untuk disaksikan aksinya di atas padang. Pasti menarik bukan jika nantinya kita dapat melihat selebrasi-selebrasi `hotline bling’-nya dengan jersi nombor 7 United setiap kali beliau berjaya menembusi pintu gol lawan. Semoga hal itu bakal menjadi kenyataan...Glory Glory Manchester United!!!

31 Januari 2017

SANG `PENAKLUK MARACANA’ YANG MASIH MENCARI TEMPATNYA DALAM SKUAD UNITED...

Hampir tiga tahun lalu, beliau mengetuai `barisan tentera Jerman’ menakluk Stadium Maracana dengan cukup bergaya. Momen pada 14 Julai 2014 itu pasti momen terhebat dalam karier Bastian Schweinsteiger...tonggak dan antara pemegang watak utama di sebalik kejayaan skuad Die Mannschaft menjulang trofi Piala Dunia buat kali keempat.

Sepanjang kempen Piala Dunia di Brazil itu, Jerman yang dibarisi Basti adalah barisan yang cukup menggerunkan kerana persembahan tersusun dan sistematik yang dipamerkan mereka sepanjang kejohanan. Menerusi gandingan Sami Khedira, Toni Kroos, Mesut Ozil dan Basti di tengah, Jerman memang wajar dicemburui dan digeruni lawan.

Lima hari selepas Basti dan rakan-rakan sepasukannya meranapkan sama sekali ego skuad Samba Brazil di hadapan penyokong-penyokong lawan menerusi `Pembantaian Di Belo Horizonte’ yang dilakukan mereka, Maracana akhirnya menjadi saksi bahawa Jerman ketika itu memang sukar dihentikan hatta oleh pemain terbaik dunia seperti Lionel Messi sekalipun.

Ya, pada 14 Julai 2014, sejarah baharu telah tercipta di mana Jerman muncul skuad dari Eropah pertama yang berjaya menjulang trofi Piala Dunia di benua Amerika Selatan. Dan lebih manis mereka melakukannya di bumi Brazil, tempat di mana bolasepak dianggap `agama’ kedua terbesar selepas Katholik.

Itu cerita hampir tiga tahun lalu, cerita di mana Basti menerusi aksi heroiknya menakluk Stadium Maracana, tempat suci bagi bolasepak Brazil. Beliau menamatkan malam terakhir kempen Jerman di Brazil dengan medal juara Piala Dunia tergantung di leher manakala di tangannya mengenggam erat trofi Piala Dunia, kemuncak pencapaian bagi mana-mana pemain.

Selepas 13 musim menyarung jersi Bayern Munich dan berjaya memenangi kesemua kejuaraan baik di pentas domestik mahupun Eropah bersama gergasi Bundesliga itu, Basti akhirnya memutuskan untuk mencari cabaran baharu. Pemergiannya ditangisi penyokong-penyokong Bayern hinggakan Pep Guardiola dijadikan sasaran kecaman kerana membenarkan Basti pergi dari Allianz Arena.

Adanya Louis Van Gaal di Old Trafford menarik minat Basti untuk kembali bergabung dengan pengendali dari Belanda itu selepas kedua-dua mereka pernah bekerjasama di Bayern pada 2009 hingga 2011. Basti menyertai United menerusi nilai perpindahan £15 juta pada musim panas 2015, setahun selepas kejayaan beliau menjulang trofi Piala Dunia.

Musim lalu Basti melakukan 18 penampilan untuk United dalam saingan liga tetapi dari jumlah tersebut hanya lapan perlawanan beliau bermain penuh selama 90 minit, Basti mendapati musim pertamanya di Old Trafford agak sukar bukan sahaja kerana prestasi turun naik United di bawah kendalian Van Gaal tetapi juga kerana masalah kecederaan lutut berulang yang dialaminya pasca Piala Dunia 2014.

Walaupun berdepan musim tidak menentu di Old Trafford, khidmat Basti bersama skuad kebangsaan Jerman masih diperlukan Joachim Loew. Keputusan Loew menyenaraikan Basti dalam skuad yang dibawa beliau ke Perancis bagi menghadapi kempen Euro 2016 memeranjatkan ramai pihak. Jika pada 2014, beliau dianggap wira kerana kejayaannya membantu skuad kebangsaan menjulang trofi Piala Dunia, di Perancis pula lain ceritanya.

Pada aksi separuh akhir menentang Perancis, kesilapan Basti menyebabkan lawan dihadiahkan sepakan penalti dan akhirnya misi mereka melakukan `double’ berkubur selepas disingkir tuan rumah. Tamat misi di Euro 2016, Basti kembali melapor diri di Carrington, tetapi kali ini beliau menerima perkhabaran kurang enak bahawa namanya tiada dalam perancangan pengurus baharu United, Jose Mourinho.


Lebih memedihkan apabila Basti kemudiannya diarahkan supaya mengosongkan lokarnya dan berlatih bersama skuad simpanan United. Layanan yang diterima beliau menyebabkan Mourinho dikecam warga bolasepak Jerman, hinggakan ada usaha dari Bayern untuk membawa Basti pulang semula ke Allianz Arena.

Atas alasan kecergasan beliau yang sudah menurun di samping masalah kecederaan yang berlarutan, Basti diketepikan Mourinho dari skuad utama United. Bagaimanapun Basti tetap Basti....lagenda sebenar di dalam mahupun di luar padang. Di sebalik kemelut yang melanda kariernya, Basti kekal tenang menjalani tempoh `pengasingan’ sepertimana diarahkan Mourinho.

Musim ini selepas 22 perlawanan, Basti tidak menyentuh bola dalam sebarang aksi di Liga Perdana manakala penampilan pertamanya untuk United hanya berlaku ketika kelab berdepan West Ham dalam saingan suku akhir Piala Liga 30 November lalu. Walaupun cuma masuk sebagai pemain gantian ketika permainan sebenar berbaki empat minit sebelum ditamatkan, penantian dan kesabaran Basti akhirnya berbayar.

Layaknya seorang lagenda, Basti diberikan sambutan hangat oleh penyokong-penyokong di Old Trafford sebaik sahaja beliau melangkah masuk ke dalam padang menggantikan Anthony Martial. Walaupun cuma empat minit di atas padang, Basti sempat terlibat dengan gol keempat United yang berjaya disudahkan Zlatan Ibrahimovic.

Jika aksi suku akhir Piala Liga menentang West Ham merupakan penampilan pertama Basti untuk United musim ini, aksi menentang Wigan Athletic di pusingan keempat Piala FA kelmarin pula merupakan penampilan penuh pertama beliau selama 90 minit sejak 9 Januari 2016. Kesempatan yang diberikan Mourinho tidak dipersiakan Basti menerusi satu gol yang dijaringkannya dan satu assist untuk gol pembukaan jaringan Marouane Fellaini.

Gol jaringan beliau ke gawang Wigan itu juga merupakan gol pertama Basti sejak 28 November 2015 (menentang Leicester City), manakala anugerah pemain terbaik perlawanan yang diterimanya kelmarin saya anggap hadiah terbaik kepada penantian panjang dan kesabaran Basti menanti peluang selama ini.

Saya tidak pasti apakah prestasi bagus yang dipamerkannya ketika berdepan Wigan kelmarin dapat `melembutkan’ hati Mourinho tetapi sebagai profesional tulen, Basti sudah melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepadanya dengan cukup berkesan bila beliau diarahkan bermain.

Meskipun sebelum ini dirinya disisihkan, Basti tidak pernah mengeluh malah beliau tetap berlatih dan bekerja keras untuk menyakinkan pengurus supaya diberikan kesempatan bermain walaupun hanya untuk tempoh seminit. Sikap hormat beliau yang cukup tinggi terhadap kelab juga pada saya amat luar biasa.

Musim ini beberapa kali anda dapat saksikan kelibat Basti di tempat duduk penonton memberikan sokongan moral kepada rakan-rakan sepasukan yang sedang beraksi di tengah padang. Dan kerana sikap profesionalisme tinggi yang dimiliki beliau, kerja keras yang dilakukannya serta kesabaran tanpa batas yang ditunjukannya, Basti akhirnya menikmati penampilan selama 90 minit buat pertama kali dalam tempoh setahun.

Satu gol, satu assist dan kemudiannya dinamakan pemain terbaik perlawanan umpama satu pesan dari Basti untuk Mourinho bahawa peluang tampil lebih kerap patut diberikan kepada beliau selepas ini terutamanya bila mengingatkan bahawa United perlu berdepan jadual padat bulan Februari (bermain di Liga Perdana, Liga Europa dan final Piala Liga).

Akhirnya selepas menanti sekian lama, saya dapat menyaksikan semula aksi Basti selama 90 minit di atas padang. Mungkin ini bukan momen terbaik berbanding ketika beliau dan skuad kebangsaan Jerman menakluk Stadium Maracana tiga tahun lalu, tetapi melihat beliau kembali bermain dan kemudiannya menjaringkan gol, satu perasaan yang cukup luarbiasa terutamanya buat penyokong-penyokong Jerman dan United.


Semoga ini bukanlah yang terakhir kerana dunia bolasepak masih mahu menyaksikan sentuhan-sentuhan dari si lagenda ini. Selamat kembali beraksi di atas padang Basti dan selamat kembali `Sang Penakluk Maracana’...Glory Glory Manchester United!!!

29 Januari 2017

PIALA LIGA YANG TETAP ISTIMEWA DI MATA MOURINHO...


Wembley tetap Wembley walaupun ini cumalah final Piala Liga (EFL Cup). Jika pengurus seperti Arsene Wenger menganggap Piala Liga adalah pentas terbaik untuk beliau mengetengahkan pemain-pemain muda dalam skuadnya, Jose Mourinho pula beranggapan sebaliknya.

Ketika berdepan pasukan yang `kasta’nya jauh lebih rendah seperti Northampton Town pun, Mourinho masih menurunkan beberapa pemain regularnya seperti Michael Carrick, Wayne Rooney, Ander Herrera, Daley Blind, Chris Smalling dan Marcos Rojo bagi memastikan United melangkah jauh.

Anda boleh katakan apa sahaja tentang kejohanan ini, sama ada ia kejohanan kelas dua atau medan untuk kebanyakkan pasukan mengetengahkan bakat-bakat muda mereka, tetapi Piala Liga tetap istimewa di mata Mourinho. Mengapa? Kerana Piala Liga ialah trofi pertama yang dimenangi beliau sejak memulakan kariernya di Liga Perdana pada 2004.

Sepanjang karier beliau di Liga Perdana, Mourinho sudah tiga kali memenangi medal kejuaraan Piala Liga iaitu pada 2005, 2007 dan 2015...kesemuanya bersama Chelsea. Kini Mourinho memburu kejuaraan keempat Piala Liga untuk United pula selepas skuadnya berjaya melepasi halangan Hull City di peringkat separuh akhir menerusi aggregat 3-2.

Jika berjaya di pentas final 26 Februari nanti, Mourinho bakal menyamai pencapaian yang pernah dilakukan Sir Alex Ferguson dan Brian Clough selaku pengurus paling berjaya dalam kejohanan ini. Untuk rekod, Fergie dan Clough masing-masing berjaya memenangi medal Piala Liga untuk United dan Nottingham Forest sebanyak empat kali.

Persetan dengan pandangan sesetengah pihak bahawa Piala Liga cumalah kejohanan kelas dua kerana keghairahan Mourinho terhadap kejohanan ini tidak pernah pudar sejak dahulu hingga kini. Dan kerana keghairahan yang ditunjukkan beliau terhadap kejohanan ini jugalah menyebabkan persepsi kelab-kelab besar Inggeris turut berubah.

Sejak Chelsea berjaya menjulang trofi Piala Liga pada 2005, hanya Birmingham City dan Swansea City sahaja yang berjaya memecah monopoli kelab-kelab besar Inggeris dalam kejohanan ini. Birmingham City di bawah kendalian Alex McLeish menjulang trofi ini pada 2011 manakala Swansea City pula melakukannya pada 2013 ketika mereka di bawah kendalian Michael Laudrup.

Seperti yang anda tahu, United masih bersaing merebut kejuaraan dalam empat kejohanan musim ini (Liga Perdana, Piala FA, Piala Liga dan Liga Europa). Buat masa sekarang trofi paling hampir dan realistik yang mampu dimenangi Mourinho pada musim pertamanya di Old Trafford ialah Piala Liga.

26 Februari nanti, United akan kembali semula beraksi di Wembley buat kali kedua dalam tempoh sembilan bulan sejak kejayaan mereka menjulang Piala FA pada Mei tahun lalu. Piala Liga mungkin trofi pertama yang boleh dihadiahkan Mourinho untuk penyokong tetapi di sebalik semua itu beliau sebenarnya sudah berjaya mengubah persepsi ramai pihak (termasuk di kalangan penyokong United sendiri) terhadap kejohanan yang dianggap `kelas kedua’ ini.

Mengetuai pasukannya beraksi dalam pentas final di Wembley merupakan satu perasaan yang cukup indah buat Mourinho, tidak kiralah trofi apa pun yang ditawar untuk direbutkan. Wembley tetap Wembley...pentas istimewa yang menurut Mourinho semangat bolasepaknya marak menyala.

Ketika Mourinho dan Claude Puel bakal berentap melakar strategi untuk pasukan masing-masing 26 Februari nanti, rakan-rakan sejawat mereka yang lain sekadar memandang dari jauh. Mungkin di kalangan mereka ada yang berasa cemburu meskipun sebelumnya lidah mereka pernah menyebut “Piala Liga hanyalah pentas untuk kami mengetengahkan pemain-pemain muda”...Glory Glorry Manchester United!!! 

26 Januari 2017

MENGENANG 22 TAHUN SELEPAS KING ERIC MELEPASKAN TENDANGAN KUNG FU-NYA


Semalam 25 Januari 2017, genaplah 22 tahun berlakunya insiden paling `epik’ dalam sejarah bolasepak Inggeris...saat di mana Eric Cantona melepaskan tendangan kung fu ke atas penyokong Crystal Palace, Matthew Simmons di Selhurst Park.

`Tendangan Kung Fu Cantona’ bukan sahaja menggegarkan tanah Inggeris malah seluruh dunia juga turut terpaku. Tindakan spontan Cantona yang dicetuskan oleh provokasi melampau Simmons memang mengejutkan ramai pihak walaupun beliau cukup terkenal dengan sikap panas barannya.

Akibatnya Cantona hampir sahaja dipenjarakan namun selepas rayuan dibuat, hukuman tersebut akhirnya ditukar kepada kerja-kerja kemasyarakatan selama 120 jam yang perlu dilakukan ikon Old Trafford itu.

Akibat dari insiden tersebut juga, Cantona hampir sahaja bersara kerana serangan-serangan yang diterimanya dari media Inggeris. Mujurlah usaha Sir Alex Ferguson terbang ke Perancis bagi memujuk beliau kembali beraksi di atas padang berhasil. Cantona akhirnya bersara pada usia 31 tahun, dua tahun selepas berlakunya insiden di Selhurst Park itu.

Bagi mengenang semula insiden `epik’ tersebut, berikut adalah komen-komen dari individu-individu yang menyaksikan secara terus saat Cantona hilang pertimbangan dan kemudiannya melepaskan `tendangan kung fu’ ke atas Simmons.

Andy Cole (Penyerang United)

“Saya hampir tidak percaya dengan apa yang saya lihat. Bagi sesiapa pun yang menyaksikan insiden tersebut, reaksi paling rasional adalah “Wow”. Kami semua berlari ke tepi padang untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dan apa yang menyebabkan Cantona melakukannya. Bagaimanapun saya sudah lupa apa yang dikatakan pengurus di bilik persalinan”.

Jonathan Pearce (Pengulas Perlawanan untuk Capital Gold Radio)

“Cantona sudah diusir! Masih adakah tempat dalam permainan bolasepak untuk seorang lelaki yang memiliki bakat luar biasa tetapi punya sikap panas baran tidak terkawal sepertinya? Oh Tuhan! Dia menendang...dia memukul seorang penyokong. Eric Cantona telah melompat dan menendang kung fu seorang penyokong”.

Alan Wilkie (Pengadil Perlawanan)

“Ramai pihak mengatakan bahawa Cantona sering diprovokasi pemain-pemain Palace tetapi hal itu sebenarnya tidak tepat. Saya melihat Cantona hanya dikasari dua kali di babak pertama. Kemudian dia menendang Richard Shaw yang menyebabkannya diusir keluar padang”.

“Ketika Schmeichel menendang bola ke arah pertahanan Palace hanya ada dua pemain di sana iaitu Cantona dan Shaw. Mereka berdua cuba merebut bola tetapi Shaw lebih pantas. Cantona kemudiannya menendang Shaw, jadi saya usir dia dari permainan”.

“Saya tidak melihat ketika dia menendang penyokong Palace kerana saya sedang bercakap dengan Andy Cole yang mengatakan bahawa saya telah melakukan keputusan yang salah (kerana mengusir Cantona). Saya hanya melihat insiden itu di CNN pada jam 2 pagi dan saat itu secara spontan saya berkata “Wow!!”.

Ned Kelly (Ketua Keselamatan United)

“Saya mengiringi dia menuruni tangga dengan seorang warden. Ketika kami berhenti, dia hanya memandang saya dan mengangkat bahunya. Kami kemudiannya masuk ke dalam sel dan duduk bersama-sama. Saya pinjamkan telefon bimbit kepadanya kerana dia mahu menghubungi isterinya. Cantona ketika itu sangat santai. Dia sempat memberikan beberapa autograph dan merakamkan beberapa keping gambar sebagai kenang-kenangan. Dia nampaknya sangat tenang ketika itu”.

Gareth Southgate (Pemain Crystal Palace)

“Berlaku sedikit pertikaian ketika Eric diusir keluar. Kami mendengar kekecohan di kawasan penonton dan kemudiannya petugas keselamatan berlari. Kami tetap fokus pada perlawanan dan saya kemudiannya menjaringkan gol. Saya tahu gol saya tidak akan pernah menjadi tajuk utama berita kerana insiden tersebut”.

“Kami hanya menyedari betapa serusnya insiden tersebut ketika meninggalkan bilik persalinan. Kami terserempak dengan pemain-pemain United di terowong tetapi tiada seorang pun yang bercakap. Mereka sangat rileks kerana mungkin sudah diarahkan untuk tidak membuat sebarang komen”.

2015...20 Tahun Selepas Insiden

Cantona sepertimana yang anda tahu seorang pemain yang egonya tinggi melangit. Jadi jangan haraplah `si genius’ ini menyesali apa yang sudah dilakukannya ke atas Simmons meskipun tindakannya itu hampir menyebabkan beliau dihumban ke penjara.

Ketika ditemubual Four Four Two pada 2015 inilah kata-kata King Eric...”Saya tidak mendarat dengan sempurna ketika melakukan tendangan. Kerana itulah saya memukulnya (Simmons) lagi. Jika saya ingin menendang penyokong maka saya akan melakukannya. Saya bukan `role model’, saya bukan guru yang akan menyuruh anda berbuat baik”.

Eric Cantona tidak menyesal dan tidak pernah akan menyesal dengan insiden yang berlaku pada 25 Januari 1995 itu. Tetapi Matthew Simmons pastinya hingga sekarang akan menyesal kerana beliau memilih orang yang salah ketika melakukan provokasi tersebut. Insiden 25 Januari itu akan tetap dikenang sebagai momen `terindah’ bila anda bercakap tentang Cantona, di mana setiap tahun pada tarikh tersebut kita akan menyebut dan sentiasa menyebut tentang `Tendangan Kung Fu’ Cantona...Glory Glory Manchester United!!!

25 Januari 2017

PESAN FERGIE....”BERTENANG KERANA MOURINHO SUDAH BERADA DI LANDASAN YANG BETUL”


Bermacam-macam pendapat yang disuarakan penyokong-penyokong United selepas menyaksikan satu lagi keputusan seri yang dicatatkan barisan Jose Mourinho ketika berdepan Stoke City di bet365 Stadium, Sabtu lalu.  Ada yang mengatakan bahawa sudah tiba masanya untuk kita melupakan trofi kejuaraan liga musim ini manakala ada juga yang masih optimis bahawa kedudukan Chelsea di tangga teratas masih mampu dihambat.

Satu mata yang berjaya di bawa pulang dari bet365 Stadium memang tidak mengubah kedudukan United di tangga keenam liga dan satu mata itu juga menyaksikan kelab semakin ketinggalan dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga, apatah lagi selepas Chelsea dan Arsenal menang perlawanan masing-masing.

Jika anda tanya pendapat saya, saya akan mengatakan bahawa musim ini kita sudah boleh melupakan impian mahu menyaksikan trofi Liga Perdana dibawa pulang semula ke Old Trafford. Dengan jarak 14 mata yang dicipta Chelsea dan konsistensi yang dipamerkan mereka, memang satu keajaiban jika United berjaya menjulang kejuaraan liga buat pertama kali dalam tempoh tiga musim.

Buat masa ini United hanya dipisahkan dengan empat mata berbanding Liverpool yang berada di tangga keempat, manakala jarak antara Tottenham Hotspurs (tangga ketiga) dan Arsenal (tangga kedua) pula cuma dibezakan dengan lima dan enam mata. Jadi buat masa ini, sasaran paling realistik yang mampu dicapai barisan The Red Devils ialah berada di kelompok empat teratas di penghujung musim nanti.

Walaupun United sekadar mencatat satu lagi keputusan seri Sabtu lalu, juga merupakan keputusan seri kedua berturut-turut dalam dua aksi terakhir liga, setidak-tidaknya barisan Mourinho masih mampu mempertahankan `trend’ tanpa kalah 17 perlawanan mereka dalam semua kejohanan.

Melihat bagaimana United bermain musim ini dan cara mereka memberikan tekanan kepada lawan menerusi semangat juang yang dipamerkan pemain hingga ke minit akhir perlawanan, kedudukan tangga keenam liga bukanlah posisi yang adil buat mereka. Atas sebab itulah lagenda hidup United, Sir Alex Ferguson menasihatkan penyokong supaya bersikap tenang kerana beliau percaya kelab kini diuruskan oleh `tangan yang betul’.

Fergie tidak tidak khuatir dengan posisi dihuni United dalam carta liga ketika ini kerana beliau percaya Mourinho sudah melakukan tugasnya dengan sangat baik. “Mourinho sudah melakukan tugasnya dengan baik. Sama juga seperti pemain yang baru datang, bukan mudah mahu mengubah nasib kelab dalam masa yang singkat. Dari pengalaman saya, itu bukanlah perkara yang mudah”, kata Fergie.

Dari 22 perlawanan liga, United mencatatkan lapan keputusan seri walaupun dalam beberapa perlawanan mereka jauh lebih dominan berbanding lawan. Dan dari jumlah tersebut juga terdapat lima atau enam perlawanan yang pada pendapat Fergie layak dimenangi barisan Mourinho.

Tanpa beberapa keputusan seri yang sepatutnya layak dimenangi United, Fergie percaya bahawa Chelsea tidak akan berada pada kedudukan selesa seperti sekarang. “Tanpa beberapa keputusan seri itu, Mourinho akan menyaingi Chelsea di puncak liga. Ini semua berkait soal tuah dan anda harus bertenang dan menerimanya”, tambah Fergie lagi.

Di awal musim, Mourinho memang tampak bergelut hinggakan seringkali beliau kelihatan agak emosional dengan beberapa keputusan kontroversi dari pegawai perlawanan, Bagaimanapun kini beliau lebih tenang dan terkawal emosinya.

Paling penting menurut Fergie, watak sebenar The Red Devils juga sudah mula terlihat menerusi intensiti tinggi dalam permainan mereka, tekad serta keinginan untuk memenangi setiap perlawanan.

Apa yang dipamerkan United di atas padang sekarang mencerminkan watak sebenar pengendalinya kerana mereka bermain sesuai dengan keinginan Mourinho...keinginan seorang pemenang yang cukup alergi dengan kekalahan, sama seperti Fergie ketika era gemilangnya...Glory Glory Manchester United!!!

24 Januari 2017

MEMPHIS DEPAY...`NEXT CRISTIANO RONALDO’ YANG GAGAL MENEPATI JANGKAAN

Dari seorang pemain yang pernah dianggap sebagai bintang masa depan bolasepak Belanda dan juga diiktiraf antara bakat terbaik Eropah, reputasi Memphis Depay sebaliknya bertukar kepada `Pemain Yang Gagal Menepati Jangkaan’ sejak beliau tiba di Old Trafford pada musim panas 2015. 

Semusim sebelum Louis Van Gaal menandatangani beliau, Memphis merupakan penjaring terbanyak Eredivisie dan antara watak penting di sebalik kejayaan Belanda mara hingga ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2014. Prestasi bagus yang dipamerkan Memphis di Piala Dunia dan kemudiannya disusuli pula di Eredivisie, menyebabkan kelibat beliau mula dipantau kelab-kelab besar Eropah.

Kelebihan Van Gaal sebagai bekas pengendali Belanda digunakan sebaiknya oleh beliau untuk memujuk Memphis supaya memilih Old Trafford sebagai destinasi pilihan dan sebagai imbuhan beliau diberikan jersi lagenda United, nombor 7.

Kerana bakat dan potensi besar yang dimiliki Memphis, beliau diberikan tanggungjawab mewarisi nombor keramat tersebut untuk memenuhi harapan tinggi penyokong-penyokong yang mahu menyaksikan seorang lagi lagenda `nombor 7’ dilahirkan.

Pada usia 21 tahun beliau tiba di Old Trafford dengan bergaya sebagaimana bergayanya beliau ketika muncul mesin gol buat PSV Eindhoven menerusi ledakan 22 gol dari 30 penampilan liga sepanjang musim 2014-15. Sepertimana pemain-pemain muda yang lain, bermain untuk kelab besar seperti Manchester United umpama mimpi menjadi kenyataan dan Memphis juga tidak terkecuali.

Bermulalah era baharu dalam kehidupan Memphis Depay dan sebagai pemain yang sudah bekerja keras membina kariernya sebelum ini, beliau berhak untuk menikmati kehidupan baharunya sebagai pemain United. Kehidupan yang tidak pernah Memphis impikan sejak beliau mula menendang bola di lorong-lorong kejiranan sekitar Moordrecht ketika zaman kanak-kanaknya.

Di Old Trafford gaya hidup luar padang Memphis sering menjadi tajuk utama laporan akhbar dan sorotan lensa kamera berbanding aksinya di atas padang. Media-media di England memang terkenal dengan reputasi mereka yang cukup kejam, manakala Memphis pula telah membuka ruang yang cukup besar kepada mereka untuk mendapatkan cerita-cerita sensasi bagi melariskan jualan akhbar.

Jika lagenda Inggeris seperti Paul Gascoigne pun boleh tewas dengan serangan-serangan tanpa belas kasihan media mereka, apatah lagi `budak mentah’ seperti Memphis. Di dalam padang beliau bergelut dalam usahanya beradaptasi dengan tempo bolasepak Inggeris dan corak permainan kelab baharunya, tetapi di luar padang Memphis masih kekal dengan gaya hidup seperti seorang superstar.

Bukan hanya di Old Trafford prestasi Memphis dikritik kerana ketika bersama skuad kebangsaan Belanda beliau turut dikecam hebat. Selepas kekalahan skuad Oranje  kepada Turki dan Iceland dalam kempen kelayakan Euro 2016, Willem Van Hanegem muncul individu paling lantang mengkritik penampilan Memphis di atas padang.

Dalam kolumnya di Algemeen Dagblad, bukan hanya prestasi Memphis dikritik lagenda Belanda itu malah penampilan di luar padang turut dijadikan sasaran. “Cara berpakaian budak itu kelihatan seperti orang Amish. Ada beberapa pemain yang hanya mementingkan diri sendiri, contohnya Memphis. Dia seperti `goldfinger’ dengan kasut emasnya. Apa manfaatnya itu untuk Belanda?” tulis Van Hanegem.

Kegagalan Belanda layak ke Kejohanan Euro 2016 buat pertama kali sejak 1988 menyebabkan lebih banyak kritikan-kritikan keras ditujukan ke atas Memphis. Gaya permainan beliau yang `arrogant’ dikatakan penyebab mengapa Belanda tidak bermain dengan lancar selain dilabel sebagai pemain yang `overrated’.

Selepas kegagalan Belanda, Memphis masih lagi tidak berubah, masih lagi pemain yang sama dengan `ego’ di atas padang dan masih lagi gagal menjawab persoalan mengapa United sanggup berbelanja hingga £24 juta untuk mendapatkan khidmat pemain muda sepertinya.

Ketika saya membayangkan bahawa beliaulah pemain yang memiliki potensi paling besar sebagai penerus legasi pemain-pemain lagenda yang pernah menggunakan jersi nombor 7 United, Memphis sebaliknya semakin hanyut, tenggelam dan terkial-kial mencari kembali rentak lama yang pernah menyaksikan beliau dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Eredivisie.

Musim lalu Memphis bermain selama 90 minit dalam sepuluh perlawanan liga dari 29 penampilan bersama skuad Van Gaal dan menjaringkan dua gol. Musim ini pula beliau hanya sempat bermain empat perlawanan dimana kesemuanya bermula di bangku simpanan. Secara keseluruhan di bawah kendalian Mourinho, Memphis hanya bermain selama 42 minit.

Akhirnya ikatan antara United dan Memphis terputus selepas kelab bersetuju menerima tawaran Olympique Lyonnais untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 22 tahun itu. Memphis dilepaskan Mourinho bukan semata-mata kerana prestasi buruknya di atas padang tetapi juga kerana ketatnya persaingan untuk merebut posisi di sebelah sayap kanan.

Jika pada peringkat awal kedatangannya ke Old Trafford, Memphis pernah dilabel sebagai `Pengganti Cristiano Ronaldo’, kini beliau bukan lagi pilihan untuk diturunkan dalam mana-mana perlawanan. Henrikh Mkhitaryan, Jesse Lingard, Marcus Rashford dan Anthony Martial silih berganti digunakan Mourinho untuk mengisi posisi tersebut (sayap kanan) berbanding Memphis, jadi jalan terbaik untuk beliau ialah mencari pasukan baharu yang boleh menawarkan tempat untuknya.

Bagaimanapun ini bukanlah penamat kepada cerita Memphis Depay di Old Trafford kerana mungkin pada suatu hari nanti kita berpeluang menyaksikan semula kepulangan beliau ke pangkuan kelab. Di sebalik semua kisah suram selama 18 bulan Memphis berada di Old Trafford, Mourinho masih percaya bahawa pemain muda ini bakal kembali bangkit.

Atas sebab itulah mengapa terdapat klausa pembelian semula dalam kontrak Memphis yang membolehkan United mendapatkan khidmat pemain ini jika mereka mahukan beliau kembali. Semoga di Lyon nanti Memphis akan belajar sesuatu... belajar bagaimana mahu menjadi seorang pemain yang jauh lebih bagus berbanding sekarang, jauh lebih matang dan bijak. Bijak bukan sahaja di atas padang tetapi bijak juga dalam mengendalikan kariernya. Semoga berjaya Memphis Depay...Glory Glory Manchester United!!!