Wembley tetap Wembley walaupun ini cumalah
final Piala Liga (EFL Cup). Jika pengurus seperti Arsene Wenger menganggap
Piala Liga adalah pentas terbaik untuk beliau mengetengahkan pemain-pemain muda
dalam skuadnya, Jose Mourinho pula beranggapan sebaliknya.
Ketika berdepan pasukan yang `kasta’nya jauh
lebih rendah seperti Northampton Town pun, Mourinho masih menurunkan beberapa
pemain regularnya seperti Michael Carrick, Wayne Rooney, Ander Herrera, Daley Blind,
Chris Smalling dan Marcos Rojo bagi memastikan United melangkah jauh.
Anda boleh katakan apa sahaja tentang
kejohanan ini, sama ada ia kejohanan kelas dua atau medan untuk kebanyakkan
pasukan mengetengahkan bakat-bakat muda mereka, tetapi Piala Liga tetap
istimewa di mata Mourinho. Mengapa? Kerana Piala Liga ialah trofi pertama yang
dimenangi beliau sejak memulakan kariernya di Liga Perdana pada 2004.
Sepanjang karier beliau di Liga Perdana,
Mourinho sudah tiga kali memenangi medal kejuaraan Piala Liga iaitu pada 2005,
2007 dan 2015...kesemuanya bersama Chelsea. Kini Mourinho memburu kejuaraan
keempat Piala Liga untuk United pula selepas skuadnya berjaya melepasi halangan
Hull City di peringkat separuh akhir menerusi aggregat 3-2.
Jika berjaya di pentas final 26 Februari
nanti, Mourinho bakal menyamai pencapaian yang pernah dilakukan Sir Alex
Ferguson dan Brian Clough selaku pengurus paling berjaya dalam kejohanan ini.
Untuk rekod, Fergie dan Clough masing-masing berjaya memenangi medal Piala Liga
untuk United dan Nottingham Forest sebanyak empat kali.
Persetan dengan pandangan sesetengah pihak
bahawa Piala Liga cumalah kejohanan kelas dua kerana keghairahan Mourinho
terhadap kejohanan ini tidak pernah pudar sejak dahulu hingga kini. Dan kerana
keghairahan yang ditunjukkan beliau terhadap kejohanan ini jugalah menyebabkan
persepsi kelab-kelab besar Inggeris turut berubah.
Sejak Chelsea berjaya menjulang trofi Piala Liga
pada 2005, hanya Birmingham City dan Swansea City sahaja yang berjaya memecah
monopoli kelab-kelab besar Inggeris dalam kejohanan ini. Birmingham City di
bawah kendalian Alex McLeish menjulang trofi ini pada 2011 manakala Swansea
City pula melakukannya pada 2013 ketika mereka di bawah kendalian Michael
Laudrup.
Seperti yang anda tahu, United masih bersaing
merebut kejuaraan dalam empat kejohanan musim ini (Liga Perdana, Piala FA,
Piala Liga dan Liga Europa). Buat masa sekarang trofi paling hampir dan
realistik yang mampu dimenangi Mourinho pada musim pertamanya di Old Trafford
ialah Piala Liga.
26 Februari nanti, United akan kembali semula
beraksi di Wembley buat kali kedua dalam tempoh sembilan bulan sejak kejayaan
mereka menjulang Piala FA pada Mei tahun lalu. Piala Liga mungkin trofi pertama
yang boleh dihadiahkan Mourinho untuk penyokong tetapi di sebalik semua itu
beliau sebenarnya sudah berjaya mengubah persepsi ramai pihak (termasuk di
kalangan penyokong United sendiri) terhadap kejohanan yang dianggap `kelas
kedua’ ini.
Mengetuai pasukannya beraksi dalam pentas
final di Wembley merupakan satu perasaan yang cukup indah buat Mourinho, tidak
kiralah trofi apa pun yang ditawar untuk direbutkan. Wembley tetap
Wembley...pentas istimewa yang menurut Mourinho semangat bolasepaknya marak
menyala.
Ketika Mourinho dan Claude Puel bakal
berentap melakar strategi untuk pasukan masing-masing 26 Februari nanti,
rakan-rakan sejawat mereka yang lain sekadar memandang dari jauh. Mungkin di
kalangan mereka ada yang berasa cemburu meskipun sebelumnya lidah mereka pernah
menyebut “Piala Liga hanyalah pentas untuk kami mengetengahkan pemain-pemain
muda”...Glory Glorry Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan