Sejak akhir-akhir ini rata-rata penyokong
Manchester United teruja memperkatakan tentang kemungkinan kelab mendapatkan
khidmat Antoine Griezmann menerusi satu lagi pembelian sensasi yang bakal
mereka lakukan pada musim panas nanti. Siapa yang tidak teruja bila bercakap
tentang Griezmann, penjaring 22 gol untuk Atletico Madrid musim lalu di La Liga
selain tersenarai dalam tiga pencalonan akhir Anugerah Pemain Terbaik FIFA 2016.
Dua gol yang dijaringkan Griezmann ke gawang
Barcelona pada aksi suku akhir ke dua Liga Juara-Juara musim lalu menyebabkan
beliau diberikan gelaran `Si Pembunuh Barcelona’. Musim lalu boleh dianggap
musim terbaik Griezmann sejak beliau menyertai Atletico Madrid pada 2014,
ditambah pula dengan kejayaan beliau membantu Perancis mara ke final kejohanan
Euro 2016.
Dengan ketinggian cuma 1.75m dan berat 72kg,
Griezmann antara `pemain kecil’ di atas padang tetapi kekurangan dari segi saiz
fizikal diimbangi beliau menerusi kemampuan teknik dan skill yang cukup bagus.
Kerana saiz fizikalnya yang kecil jugalah permohonan beliau untuk menjalani trial bersama kelab-kelab di Perancis
ketika zaman remajanya ditolak satu persatu.
Sehingga beliau berusia 14 tahun, Griezmann
masih bermain untuk kelab tempatan di bandar kelahirannya Macon, Perancis.
Bagaimanapun dalam satu kejohanan peringkat remaja yang dianjurkan Paris St
Germain, bakat Griezmann berjaya di kesan Eric Olhats, pencari bakat Real
Sociedad yang menawarkan tempat untuknya menjalani trial di San Sebastian.
Selepas menjalani dua sesi trial, akhirnya beliau diterima
menyertai akademi Sociedad pada 2005, dan dari situ bermulalah karier Griezmann
di Sepanyol. Empat tahun mengasah bakat di akademi Sociedad, Griezmann akhirnya
diserapkan ke dalam skuad utama pada 2009. Musim pertamanya bersama skuad
senior, Griezmann berjaya membantu Sociedad muncul juara Segunda Division
sekaligus layak beraksi di La Liga musim berikutnya (2010-11).
Lima musim menyarung jersi Sociedad, Griezmann
ditandatangani Atletico Madrid pada 2014 bagi menggantikan tempat Diego Costa
yang berhijrah ke Stamford Bridge. Musim pertamanya di Vincente Calderon, Griezmann
tampil gemilang menerusi 22 gol yang dijaringkannya dari 37 penampilan liga
sekaligus membolehkan beliau tersenarai dalam La Liga Team of The Year (musim 2014-15).
Menerusi statistik yang dikeluarkan Whoscored, Griezmann menjaringkan lapan
gol dari tujuh penampilan ketika Diego Simeone meletakkan beliau selaku
penyerang tengah. Dibantu dengan mobiliti tinggi, kepantasan, bijak mencari
ruang dan teknik gelecekan yang bagus, Griezmann sering mendatangkan bahaya
kepada pertahanan lawan setiap kali bola berada di kakinya.
Jika dahulunya bakat Griezmann ditolak
kelab-kelab Perancis atas alasan beliau bertubuh kecil, kini `Si Pembunuh
Barcelona’ itu dipuja seluruh dunia bukan kerana kekuatan fizikal tetapi kerana
bakat dan tekniknya. Di kejohanan Euro 2016 yang dilangsungkan di negara
kelahirannya, Griezmann muncul penjaring terbanyak menerusi enam gol yang
dihasilkan selain turut dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan.
Catatan 32 gol dari 54 penampilan dalam semua
kejohanan untuk Atletico musim lalu adalah pencapaian yang boleh dianggap luar
biasa bagi seorang pemain yang bakatnya pernah diremehkan di negaranya sendiri.
Gabungan teknik, kekuatan kaki kiri dan kanan serta gaya bolasepak Perancis dan
Sepanyol yang meresap dalam karakter permainannya, Griezmann berjaya membina
reputasi selaku antara penggempur digeruni di La Liga selain Lionel Messi dan
Cristiano Ronaldo.
Sama ada ketika bersama skuad kebangsaan atau
ketika bermain untuk Atletico, Griezmann boleh bertindak sebagai penyerang
tengah ataupun bergerak dari sebelah tepi sebagai pemain sayap kanan dan kiri.
Bagaimanapun posisi kegemaran beliau ialah sebagai penyerang tengah kerana
menurut Griezmann di posisi tersebut beliau memiliki lebih banyak ruang untuk
menjaringkan gol.
Pemain bertubuh kecil tetapi menurut Diego
Simeone `dia selalu tahu bila masa yang sesuai untuk menyakiti lawannya’. Griezmann
tidak memiliki fizikal setegap Diego Costa, penyerang yang beliau gantikan di
Vincente Calderon tetapi berbekalkan kepantasan, kepintaran, bijak menghidu
peluang terhidang serta tipu muslihat menerusi gerakan kaki kanan dan kirinya beliau
gunakan sepenuhnya untuk menghukum lawan.
Bagaimanapun tetap ada perdebatan sama ada
fizikal Griezmann yang `kurus kering’ mampu menangani corak permainan keras di
Liga Perdana jika segala spekulasi yang bertiup kencang tentang kemungkinan
beliau menyertai United menjadi kenyataan.Tidak salah untuk berasa bimbang
tetapi jika anda imbas kembali senarai pemain-pemain bertubuh kurus/kecil yang
pernah dan masih beraksi di Liga Perdana, kebimbangan tersebut sepatutnya
terhapus.
Gianfranco Zola, cuma memiliki ketinggian
1.65m tetapi pernah memukau kita menerusi kelincahannya. David Silva yang
ketinggiannya kurang 5cm berbanding Griezmann antara pemain tengah yang saya
kagumi biarpun beliau bermain untuk `jiran yang bising’ kita. Manakala Aaron
Lennon pula sering menghadirkan rasa cemas kepada saya bila bola berada
dikakinya setiap kali United dan Spurs bertemu dulu.
Ryan Giggs juga begitu kerana lagenda hidup
United ini bukanlah pemain yang tegap tetapi kelincahan serta kawalan bola
menarik yang dimiliki beliau sentiasa menghadirkan ancaman dan rasa gerun kepada
pertahanan lawan ketika zaman mudanya. Jadi saya optimis, Griezmann juga mampu
melakukannya di Liga Perdana selepas impak yang diciptanya di La Liga bersama
Atletico Madrid.
Musim panas nanti merupakan tempoh penting
bagi karier Griezmann sama ada beliau mahu memutuskan untuk terus kekal di Vincente
Calderon atau mencari cabaran baharu. Adakah musim depan kita bakal menyaksikan
seorang lagi warga Perancis menyarung jersi United selepas Anthony Martial,
Paul Pogba, Morgan Schneiderlin dan pendahulu-pendahulu sebelumnya?
Sebelum perkara itu berlaku, kita juga perlu
sedar bahawa bukan mudah mahu memindahkan Griezmann dari Vincente Calderon atau
memaksa beliau berpaling tadah dari Diego Simeone. Wang bukan masalah besar
bagi United jika kelab memang serius mahu memancing Griezmann. Masalah terbesar
ialah bagaimana mahu memujuk pemain ini supaya rela berpisah dengan mentornya,
Simeone.
Simeone ialah alasan mengapa Griezmann tetap
kekal bersama Atletico meskipun musim panas lalu ada tawaran dari Paris St
Germain untuk membawa beliau pulang ke Perancis. Selepas menolak tawaran PSG, Griezmann
menegaskan bahawa salah satu sebab yang boleh membuatkan beliau berfikir untuk
berpindah ialah jika Simeone menyertai Paris St Germain atau kelab lain.
Menyaksikan bagaimana United bergelut dalam
usaha mereka menembusi pintu gol lawan musim ini, kita mungkin sudah boleh
meramalkan rancangan pembelian yang bakal dilakukan Mourinho musim panas nanti.
Salah satu posisi yang pasti akan diperkuatkan beliau ialah barisan serangannya.
Adakah Griezmann jalan penyelesaian kepada ketumpulan jentera serangan United?
Kita nantikan sahaja apa yang bakal dilakukan Mourinho sebaik musim ini
berakhir.
Griezmann bukan lagi remaja kurus kering
tetapi beliau kini memiliki reputasi sebagai `Si Pembunuh Barcelona’, bukan
juga `Si Pemalu’ yang rendah diri tetapi kini antara pemain yang paling menarik
untuk disaksikan aksinya di atas padang. Pasti menarik bukan jika nantinya kita
dapat melihat selebrasi-selebrasi `hotline bling’-nya dengan jersi nombor 7
United setiap kali beliau berjaya menembusi pintu gol lawan. Semoga hal itu
bakal menjadi kenyataan...Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan