31 Januari 2017

SANG `PENAKLUK MARACANA’ YANG MASIH MENCARI TEMPATNYA DALAM SKUAD UNITED...

Hampir tiga tahun lalu, beliau mengetuai `barisan tentera Jerman’ menakluk Stadium Maracana dengan cukup bergaya. Momen pada 14 Julai 2014 itu pasti momen terhebat dalam karier Bastian Schweinsteiger...tonggak dan antara pemegang watak utama di sebalik kejayaan skuad Die Mannschaft menjulang trofi Piala Dunia buat kali keempat.

Sepanjang kempen Piala Dunia di Brazil itu, Jerman yang dibarisi Basti adalah barisan yang cukup menggerunkan kerana persembahan tersusun dan sistematik yang dipamerkan mereka sepanjang kejohanan. Menerusi gandingan Sami Khedira, Toni Kroos, Mesut Ozil dan Basti di tengah, Jerman memang wajar dicemburui dan digeruni lawan.

Lima hari selepas Basti dan rakan-rakan sepasukannya meranapkan sama sekali ego skuad Samba Brazil di hadapan penyokong-penyokong lawan menerusi `Pembantaian Di Belo Horizonte’ yang dilakukan mereka, Maracana akhirnya menjadi saksi bahawa Jerman ketika itu memang sukar dihentikan hatta oleh pemain terbaik dunia seperti Lionel Messi sekalipun.

Ya, pada 14 Julai 2014, sejarah baharu telah tercipta di mana Jerman muncul skuad dari Eropah pertama yang berjaya menjulang trofi Piala Dunia di benua Amerika Selatan. Dan lebih manis mereka melakukannya di bumi Brazil, tempat di mana bolasepak dianggap `agama’ kedua terbesar selepas Katholik.

Itu cerita hampir tiga tahun lalu, cerita di mana Basti menerusi aksi heroiknya menakluk Stadium Maracana, tempat suci bagi bolasepak Brazil. Beliau menamatkan malam terakhir kempen Jerman di Brazil dengan medal juara Piala Dunia tergantung di leher manakala di tangannya mengenggam erat trofi Piala Dunia, kemuncak pencapaian bagi mana-mana pemain.

Selepas 13 musim menyarung jersi Bayern Munich dan berjaya memenangi kesemua kejuaraan baik di pentas domestik mahupun Eropah bersama gergasi Bundesliga itu, Basti akhirnya memutuskan untuk mencari cabaran baharu. Pemergiannya ditangisi penyokong-penyokong Bayern hinggakan Pep Guardiola dijadikan sasaran kecaman kerana membenarkan Basti pergi dari Allianz Arena.

Adanya Louis Van Gaal di Old Trafford menarik minat Basti untuk kembali bergabung dengan pengendali dari Belanda itu selepas kedua-dua mereka pernah bekerjasama di Bayern pada 2009 hingga 2011. Basti menyertai United menerusi nilai perpindahan £15 juta pada musim panas 2015, setahun selepas kejayaan beliau menjulang trofi Piala Dunia.

Musim lalu Basti melakukan 18 penampilan untuk United dalam saingan liga tetapi dari jumlah tersebut hanya lapan perlawanan beliau bermain penuh selama 90 minit, Basti mendapati musim pertamanya di Old Trafford agak sukar bukan sahaja kerana prestasi turun naik United di bawah kendalian Van Gaal tetapi juga kerana masalah kecederaan lutut berulang yang dialaminya pasca Piala Dunia 2014.

Walaupun berdepan musim tidak menentu di Old Trafford, khidmat Basti bersama skuad kebangsaan Jerman masih diperlukan Joachim Loew. Keputusan Loew menyenaraikan Basti dalam skuad yang dibawa beliau ke Perancis bagi menghadapi kempen Euro 2016 memeranjatkan ramai pihak. Jika pada 2014, beliau dianggap wira kerana kejayaannya membantu skuad kebangsaan menjulang trofi Piala Dunia, di Perancis pula lain ceritanya.

Pada aksi separuh akhir menentang Perancis, kesilapan Basti menyebabkan lawan dihadiahkan sepakan penalti dan akhirnya misi mereka melakukan `double’ berkubur selepas disingkir tuan rumah. Tamat misi di Euro 2016, Basti kembali melapor diri di Carrington, tetapi kali ini beliau menerima perkhabaran kurang enak bahawa namanya tiada dalam perancangan pengurus baharu United, Jose Mourinho.


Lebih memedihkan apabila Basti kemudiannya diarahkan supaya mengosongkan lokarnya dan berlatih bersama skuad simpanan United. Layanan yang diterima beliau menyebabkan Mourinho dikecam warga bolasepak Jerman, hinggakan ada usaha dari Bayern untuk membawa Basti pulang semula ke Allianz Arena.

Atas alasan kecergasan beliau yang sudah menurun di samping masalah kecederaan yang berlarutan, Basti diketepikan Mourinho dari skuad utama United. Bagaimanapun Basti tetap Basti....lagenda sebenar di dalam mahupun di luar padang. Di sebalik kemelut yang melanda kariernya, Basti kekal tenang menjalani tempoh `pengasingan’ sepertimana diarahkan Mourinho.

Musim ini selepas 22 perlawanan, Basti tidak menyentuh bola dalam sebarang aksi di Liga Perdana manakala penampilan pertamanya untuk United hanya berlaku ketika kelab berdepan West Ham dalam saingan suku akhir Piala Liga 30 November lalu. Walaupun cuma masuk sebagai pemain gantian ketika permainan sebenar berbaki empat minit sebelum ditamatkan, penantian dan kesabaran Basti akhirnya berbayar.

Layaknya seorang lagenda, Basti diberikan sambutan hangat oleh penyokong-penyokong di Old Trafford sebaik sahaja beliau melangkah masuk ke dalam padang menggantikan Anthony Martial. Walaupun cuma empat minit di atas padang, Basti sempat terlibat dengan gol keempat United yang berjaya disudahkan Zlatan Ibrahimovic.

Jika aksi suku akhir Piala Liga menentang West Ham merupakan penampilan pertama Basti untuk United musim ini, aksi menentang Wigan Athletic di pusingan keempat Piala FA kelmarin pula merupakan penampilan penuh pertama beliau selama 90 minit sejak 9 Januari 2016. Kesempatan yang diberikan Mourinho tidak dipersiakan Basti menerusi satu gol yang dijaringkannya dan satu assist untuk gol pembukaan jaringan Marouane Fellaini.

Gol jaringan beliau ke gawang Wigan itu juga merupakan gol pertama Basti sejak 28 November 2015 (menentang Leicester City), manakala anugerah pemain terbaik perlawanan yang diterimanya kelmarin saya anggap hadiah terbaik kepada penantian panjang dan kesabaran Basti menanti peluang selama ini.

Saya tidak pasti apakah prestasi bagus yang dipamerkannya ketika berdepan Wigan kelmarin dapat `melembutkan’ hati Mourinho tetapi sebagai profesional tulen, Basti sudah melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepadanya dengan cukup berkesan bila beliau diarahkan bermain.

Meskipun sebelum ini dirinya disisihkan, Basti tidak pernah mengeluh malah beliau tetap berlatih dan bekerja keras untuk menyakinkan pengurus supaya diberikan kesempatan bermain walaupun hanya untuk tempoh seminit. Sikap hormat beliau yang cukup tinggi terhadap kelab juga pada saya amat luar biasa.

Musim ini beberapa kali anda dapat saksikan kelibat Basti di tempat duduk penonton memberikan sokongan moral kepada rakan-rakan sepasukan yang sedang beraksi di tengah padang. Dan kerana sikap profesionalisme tinggi yang dimiliki beliau, kerja keras yang dilakukannya serta kesabaran tanpa batas yang ditunjukannya, Basti akhirnya menikmati penampilan selama 90 minit buat pertama kali dalam tempoh setahun.

Satu gol, satu assist dan kemudiannya dinamakan pemain terbaik perlawanan umpama satu pesan dari Basti untuk Mourinho bahawa peluang tampil lebih kerap patut diberikan kepada beliau selepas ini terutamanya bila mengingatkan bahawa United perlu berdepan jadual padat bulan Februari (bermain di Liga Perdana, Liga Europa dan final Piala Liga).

Akhirnya selepas menanti sekian lama, saya dapat menyaksikan semula aksi Basti selama 90 minit di atas padang. Mungkin ini bukan momen terbaik berbanding ketika beliau dan skuad kebangsaan Jerman menakluk Stadium Maracana tiga tahun lalu, tetapi melihat beliau kembali bermain dan kemudiannya menjaringkan gol, satu perasaan yang cukup luarbiasa terutamanya buat penyokong-penyokong Jerman dan United.


Semoga ini bukanlah yang terakhir kerana dunia bolasepak masih mahu menyaksikan sentuhan-sentuhan dari si lagenda ini. Selamat kembali beraksi di atas padang Basti dan selamat kembali `Sang Penakluk Maracana’...Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan