26 Januari 2017

MENGENANG 22 TAHUN SELEPAS KING ERIC MELEPASKAN TENDANGAN KUNG FU-NYA


Semalam 25 Januari 2017, genaplah 22 tahun berlakunya insiden paling `epik’ dalam sejarah bolasepak Inggeris...saat di mana Eric Cantona melepaskan tendangan kung fu ke atas penyokong Crystal Palace, Matthew Simmons di Selhurst Park.

`Tendangan Kung Fu Cantona’ bukan sahaja menggegarkan tanah Inggeris malah seluruh dunia juga turut terpaku. Tindakan spontan Cantona yang dicetuskan oleh provokasi melampau Simmons memang mengejutkan ramai pihak walaupun beliau cukup terkenal dengan sikap panas barannya.

Akibatnya Cantona hampir sahaja dipenjarakan namun selepas rayuan dibuat, hukuman tersebut akhirnya ditukar kepada kerja-kerja kemasyarakatan selama 120 jam yang perlu dilakukan ikon Old Trafford itu.

Akibat dari insiden tersebut juga, Cantona hampir sahaja bersara kerana serangan-serangan yang diterimanya dari media Inggeris. Mujurlah usaha Sir Alex Ferguson terbang ke Perancis bagi memujuk beliau kembali beraksi di atas padang berhasil. Cantona akhirnya bersara pada usia 31 tahun, dua tahun selepas berlakunya insiden di Selhurst Park itu.

Bagi mengenang semula insiden `epik’ tersebut, berikut adalah komen-komen dari individu-individu yang menyaksikan secara terus saat Cantona hilang pertimbangan dan kemudiannya melepaskan `tendangan kung fu’ ke atas Simmons.

Andy Cole (Penyerang United)

“Saya hampir tidak percaya dengan apa yang saya lihat. Bagi sesiapa pun yang menyaksikan insiden tersebut, reaksi paling rasional adalah “Wow”. Kami semua berlari ke tepi padang untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dan apa yang menyebabkan Cantona melakukannya. Bagaimanapun saya sudah lupa apa yang dikatakan pengurus di bilik persalinan”.

Jonathan Pearce (Pengulas Perlawanan untuk Capital Gold Radio)

“Cantona sudah diusir! Masih adakah tempat dalam permainan bolasepak untuk seorang lelaki yang memiliki bakat luar biasa tetapi punya sikap panas baran tidak terkawal sepertinya? Oh Tuhan! Dia menendang...dia memukul seorang penyokong. Eric Cantona telah melompat dan menendang kung fu seorang penyokong”.

Alan Wilkie (Pengadil Perlawanan)

“Ramai pihak mengatakan bahawa Cantona sering diprovokasi pemain-pemain Palace tetapi hal itu sebenarnya tidak tepat. Saya melihat Cantona hanya dikasari dua kali di babak pertama. Kemudian dia menendang Richard Shaw yang menyebabkannya diusir keluar padang”.

“Ketika Schmeichel menendang bola ke arah pertahanan Palace hanya ada dua pemain di sana iaitu Cantona dan Shaw. Mereka berdua cuba merebut bola tetapi Shaw lebih pantas. Cantona kemudiannya menendang Shaw, jadi saya usir dia dari permainan”.

“Saya tidak melihat ketika dia menendang penyokong Palace kerana saya sedang bercakap dengan Andy Cole yang mengatakan bahawa saya telah melakukan keputusan yang salah (kerana mengusir Cantona). Saya hanya melihat insiden itu di CNN pada jam 2 pagi dan saat itu secara spontan saya berkata “Wow!!”.

Ned Kelly (Ketua Keselamatan United)

“Saya mengiringi dia menuruni tangga dengan seorang warden. Ketika kami berhenti, dia hanya memandang saya dan mengangkat bahunya. Kami kemudiannya masuk ke dalam sel dan duduk bersama-sama. Saya pinjamkan telefon bimbit kepadanya kerana dia mahu menghubungi isterinya. Cantona ketika itu sangat santai. Dia sempat memberikan beberapa autograph dan merakamkan beberapa keping gambar sebagai kenang-kenangan. Dia nampaknya sangat tenang ketika itu”.

Gareth Southgate (Pemain Crystal Palace)

“Berlaku sedikit pertikaian ketika Eric diusir keluar. Kami mendengar kekecohan di kawasan penonton dan kemudiannya petugas keselamatan berlari. Kami tetap fokus pada perlawanan dan saya kemudiannya menjaringkan gol. Saya tahu gol saya tidak akan pernah menjadi tajuk utama berita kerana insiden tersebut”.

“Kami hanya menyedari betapa serusnya insiden tersebut ketika meninggalkan bilik persalinan. Kami terserempak dengan pemain-pemain United di terowong tetapi tiada seorang pun yang bercakap. Mereka sangat rileks kerana mungkin sudah diarahkan untuk tidak membuat sebarang komen”.

2015...20 Tahun Selepas Insiden

Cantona sepertimana yang anda tahu seorang pemain yang egonya tinggi melangit. Jadi jangan haraplah `si genius’ ini menyesali apa yang sudah dilakukannya ke atas Simmons meskipun tindakannya itu hampir menyebabkan beliau dihumban ke penjara.

Ketika ditemubual Four Four Two pada 2015 inilah kata-kata King Eric...”Saya tidak mendarat dengan sempurna ketika melakukan tendangan. Kerana itulah saya memukulnya (Simmons) lagi. Jika saya ingin menendang penyokong maka saya akan melakukannya. Saya bukan `role model’, saya bukan guru yang akan menyuruh anda berbuat baik”.

Eric Cantona tidak menyesal dan tidak pernah akan menyesal dengan insiden yang berlaku pada 25 Januari 1995 itu. Tetapi Matthew Simmons pastinya hingga sekarang akan menyesal kerana beliau memilih orang yang salah ketika melakukan provokasi tersebut. Insiden 25 Januari itu akan tetap dikenang sebagai momen `terindah’ bila anda bercakap tentang Cantona, di mana setiap tahun pada tarikh tersebut kita akan menyebut dan sentiasa menyebut tentang `Tendangan Kung Fu’ Cantona...Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan