24 Januari 2017

MEMPHIS DEPAY...`NEXT CRISTIANO RONALDO’ YANG GAGAL MENEPATI JANGKAAN

Dari seorang pemain yang pernah dianggap sebagai bintang masa depan bolasepak Belanda dan juga diiktiraf antara bakat terbaik Eropah, reputasi Memphis Depay sebaliknya bertukar kepada `Pemain Yang Gagal Menepati Jangkaan’ sejak beliau tiba di Old Trafford pada musim panas 2015. 

Semusim sebelum Louis Van Gaal menandatangani beliau, Memphis merupakan penjaring terbanyak Eredivisie dan antara watak penting di sebalik kejayaan Belanda mara hingga ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2014. Prestasi bagus yang dipamerkan Memphis di Piala Dunia dan kemudiannya disusuli pula di Eredivisie, menyebabkan kelibat beliau mula dipantau kelab-kelab besar Eropah.

Kelebihan Van Gaal sebagai bekas pengendali Belanda digunakan sebaiknya oleh beliau untuk memujuk Memphis supaya memilih Old Trafford sebagai destinasi pilihan dan sebagai imbuhan beliau diberikan jersi lagenda United, nombor 7.

Kerana bakat dan potensi besar yang dimiliki Memphis, beliau diberikan tanggungjawab mewarisi nombor keramat tersebut untuk memenuhi harapan tinggi penyokong-penyokong yang mahu menyaksikan seorang lagi lagenda `nombor 7’ dilahirkan.

Pada usia 21 tahun beliau tiba di Old Trafford dengan bergaya sebagaimana bergayanya beliau ketika muncul mesin gol buat PSV Eindhoven menerusi ledakan 22 gol dari 30 penampilan liga sepanjang musim 2014-15. Sepertimana pemain-pemain muda yang lain, bermain untuk kelab besar seperti Manchester United umpama mimpi menjadi kenyataan dan Memphis juga tidak terkecuali.

Bermulalah era baharu dalam kehidupan Memphis Depay dan sebagai pemain yang sudah bekerja keras membina kariernya sebelum ini, beliau berhak untuk menikmati kehidupan baharunya sebagai pemain United. Kehidupan yang tidak pernah Memphis impikan sejak beliau mula menendang bola di lorong-lorong kejiranan sekitar Moordrecht ketika zaman kanak-kanaknya.

Di Old Trafford gaya hidup luar padang Memphis sering menjadi tajuk utama laporan akhbar dan sorotan lensa kamera berbanding aksinya di atas padang. Media-media di England memang terkenal dengan reputasi mereka yang cukup kejam, manakala Memphis pula telah membuka ruang yang cukup besar kepada mereka untuk mendapatkan cerita-cerita sensasi bagi melariskan jualan akhbar.

Jika lagenda Inggeris seperti Paul Gascoigne pun boleh tewas dengan serangan-serangan tanpa belas kasihan media mereka, apatah lagi `budak mentah’ seperti Memphis. Di dalam padang beliau bergelut dalam usahanya beradaptasi dengan tempo bolasepak Inggeris dan corak permainan kelab baharunya, tetapi di luar padang Memphis masih kekal dengan gaya hidup seperti seorang superstar.

Bukan hanya di Old Trafford prestasi Memphis dikritik kerana ketika bersama skuad kebangsaan Belanda beliau turut dikecam hebat. Selepas kekalahan skuad Oranje  kepada Turki dan Iceland dalam kempen kelayakan Euro 2016, Willem Van Hanegem muncul individu paling lantang mengkritik penampilan Memphis di atas padang.

Dalam kolumnya di Algemeen Dagblad, bukan hanya prestasi Memphis dikritik lagenda Belanda itu malah penampilan di luar padang turut dijadikan sasaran. “Cara berpakaian budak itu kelihatan seperti orang Amish. Ada beberapa pemain yang hanya mementingkan diri sendiri, contohnya Memphis. Dia seperti `goldfinger’ dengan kasut emasnya. Apa manfaatnya itu untuk Belanda?” tulis Van Hanegem.

Kegagalan Belanda layak ke Kejohanan Euro 2016 buat pertama kali sejak 1988 menyebabkan lebih banyak kritikan-kritikan keras ditujukan ke atas Memphis. Gaya permainan beliau yang `arrogant’ dikatakan penyebab mengapa Belanda tidak bermain dengan lancar selain dilabel sebagai pemain yang `overrated’.

Selepas kegagalan Belanda, Memphis masih lagi tidak berubah, masih lagi pemain yang sama dengan `ego’ di atas padang dan masih lagi gagal menjawab persoalan mengapa United sanggup berbelanja hingga £24 juta untuk mendapatkan khidmat pemain muda sepertinya.

Ketika saya membayangkan bahawa beliaulah pemain yang memiliki potensi paling besar sebagai penerus legasi pemain-pemain lagenda yang pernah menggunakan jersi nombor 7 United, Memphis sebaliknya semakin hanyut, tenggelam dan terkial-kial mencari kembali rentak lama yang pernah menyaksikan beliau dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Eredivisie.

Musim lalu Memphis bermain selama 90 minit dalam sepuluh perlawanan liga dari 29 penampilan bersama skuad Van Gaal dan menjaringkan dua gol. Musim ini pula beliau hanya sempat bermain empat perlawanan dimana kesemuanya bermula di bangku simpanan. Secara keseluruhan di bawah kendalian Mourinho, Memphis hanya bermain selama 42 minit.

Akhirnya ikatan antara United dan Memphis terputus selepas kelab bersetuju menerima tawaran Olympique Lyonnais untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 22 tahun itu. Memphis dilepaskan Mourinho bukan semata-mata kerana prestasi buruknya di atas padang tetapi juga kerana ketatnya persaingan untuk merebut posisi di sebelah sayap kanan.

Jika pada peringkat awal kedatangannya ke Old Trafford, Memphis pernah dilabel sebagai `Pengganti Cristiano Ronaldo’, kini beliau bukan lagi pilihan untuk diturunkan dalam mana-mana perlawanan. Henrikh Mkhitaryan, Jesse Lingard, Marcus Rashford dan Anthony Martial silih berganti digunakan Mourinho untuk mengisi posisi tersebut (sayap kanan) berbanding Memphis, jadi jalan terbaik untuk beliau ialah mencari pasukan baharu yang boleh menawarkan tempat untuknya.

Bagaimanapun ini bukanlah penamat kepada cerita Memphis Depay di Old Trafford kerana mungkin pada suatu hari nanti kita berpeluang menyaksikan semula kepulangan beliau ke pangkuan kelab. Di sebalik semua kisah suram selama 18 bulan Memphis berada di Old Trafford, Mourinho masih percaya bahawa pemain muda ini bakal kembali bangkit.

Atas sebab itulah mengapa terdapat klausa pembelian semula dalam kontrak Memphis yang membolehkan United mendapatkan khidmat pemain ini jika mereka mahukan beliau kembali. Semoga di Lyon nanti Memphis akan belajar sesuatu... belajar bagaimana mahu menjadi seorang pemain yang jauh lebih bagus berbanding sekarang, jauh lebih matang dan bijak. Bijak bukan sahaja di atas padang tetapi bijak juga dalam mengendalikan kariernya. Semoga berjaya Memphis Depay...Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan