06 Februari 2017

PEMAIN TERBAIK BULAN JANUARI...ANTONIO VALENCIA

Lapan tahun lalu saat Steve Bruce (Pengurus Wigan Athletic ketika itu) mengatakan kepada Antonio Valencia bahawa Manchester United berminat mendapatkan khidmatnya, pemain antarabangsa Ecuador itu hanya tertawa dan menganggap kata-kata Bruce itu hanyalah gurauan. Bruce memang dikenali sebagai pengurus yang gemar bergurau dengan pemain-pemainnya, tetapi kali ini apa yang dikatakan beliau bukan candaan.

Beberapa hari kemudian, Valencia berpeluang bertentang mata dengan Sir Alex Ferguson dan kini barulah beliau sedar bahawa Fergie memang benar-benar mahukan khidmatnya. Akhirnya perkara yang sebelumnya dianggap sebagai gurauan Bruce kini menjadi kenyataan dan menurut Valencia, “momen itu merupakan momen paling luar biasa dan paling indah yang pernah berlaku dalam hidupnya”.

Valencia ditandatangani Fergie bagi menggantikan tempat Cristiano Ronaldo yang memilih menyertai Real Madrid pada 2009 kerana kelajuan yang dimilikinya sebagai pemain sayap. Meskipun ramai yang meragui kemampuan Valencia semasa peringkat awal kedatangannya di Old Trafford, pemain kelahiran Lago Agrio itu akhirnya membuktikan bahawa Fergie sudah memilih pemain yang tepat bagi mengisi posisi yang ditinggalkan Ronaldo.

Memang benar, pemain hebat seperti Ronaldo amat sukar dicari ganti, jadi tidak hairanlah mengapa ada yang memandang sinis dengan keputusan Fergie menandatangani Valencia. Kebanyakkan penyokong-penyokong United ketika itu mengharapkan Fergie menandatangani nama besar yang setanding dengan reputasi Ronaldo, bukan pemain kurang ternama dari kelab pertengahan liga seperti Wigan sebagai pengganti.

Valencia dan Ronaldo pemain yang jauh berbeza, baik dari segi gaya permainan, skill atau pun personaliti di atas padang. Ronaldo tampak sedikit angkuh manakala Valencia pula lebih tenang dan terkawal emosinya. Saya akui jika mahu dibandingkan skill dan teknik yang dimiliki Ronaldo, Valencia bukanlah tandingan mega bintang Portugal itu.

Ronaldo menerusi kelebihan skill individu yang dimilikinya gemar menembusi pertahanan lawan hingga ke petak penalti tetapi Valencia pula lebih tipikal kepada gaya permainan David Beckham menerusi umpanan-umpanan silangnya dari sebelah kanan. Menerusi ketepatan umpanan-umpanan silang yang dilakukannya, Valencia memudahkan tugas Wayne Rooney dan Dimitar Berbatov selaku penggempur.

Musim pertamanya di Old Trafford, Valencia berjaya menyumbang 13 assist dari 49 penampilan dalam semua kejohanan. Bagaimanapun prestasi bagus yang dipamerkannya sepanjang musim tetap gagal membantu United mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi mereka musim sebelumnya (2008-09). Di musim keduanya, kecederaan panjang yang dialami Valencia membataskan penampilannya di mana beliau cuma mampu melakukan 20 penampilan (dalam semua kejohanan).

Bagaimanapun di penghujung musim (2010-11), beliau berjaya memenangi medal kejuaraan Liga Perdana bersama United manakala tiga gol dan lima assist yang disumbangkannya bukanlah pencapaian yang buruk untuk seorang pemain yang terpaksa keluar masuk di bilik rawatan hampir sepanjang musim. Selepas pulih sepenuhnya dari kecederaan, Valencia sekali lagi tampil gemilang menerusi 16 assist dan enam gol dari 38 penampilan (dalam semua kejohanan) pada musim ketiganya.

Jika pada 2009, Fergie menandatangani Valencia dari Wigan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ronaldo sebagai pemain sayap, kedatangan Louis Van Gaal pada 2014 pula menyebabkan posisi dan peranan Valencia bersama United berubah. Biarpun tidak dilakukan secara drastik, Van Gaal secara perlahan-lahan menukar fungsi Valencia dari seorang pemain sayap kepada fullback

Bagaimanapun Van Gaal bukanlah individu pertama yang meletakkan Valencia sebagai bek kanan. Valencia sebenarnya sudah mula bermain sebagai bek kanan pada September 2011, ketika Sir Alex Ferguson mendapati hampir kesemua pemain pertahanannya berada di bilik rawatan. Secara keseluruhan dari 2011 hinggalah ke saat Ryan Giggs mengambilalih posisi pengendali sementara selepas David Moyes di pecat, Valencia sempat bermain sebagai bek kanan sebanyak 12 kali.

Musim lalu tidak kira sama ada Van Gaal menggunakan sistem tiga atau empat pertahanan dalam formasi permainannya, posisi selaku bek kanan adalah milik mutlak Valencia. Dari seorang pemain sayap yang sering melakukan hantaran-hantaran lintang terus ke dalam petak penalti lawan, Valencia kini muncul antara pemain penting buat United menerusi peranan baharunya sebagai fullback.

Jika Phil Jones melabelkan Valencia sebagai `mesin’, Mourinho pula tanpa ragu meletakkan pemain ini sebagai bek kanan terbaik dunia. Mungkin pandangan Mourinho agak berlebihan atau mungkin memang benar bahawa Valencia bek kanan terbaik dunia ketika ini. Bagaimanapun di Old Trafford beliau sudah pun menerima pengiktirafan atas segala sumbangan dan peranan yang telah dimainkannya selama ini, iaitu diberikan lanjutan kontrak selama setahun.

Mourinho tahu pentingnya peranan Valencia untuk United dan beliau juga tahu penting baginya untuk terus mengekalkan antara pemain terbaiknya bersama kelab. Selain David De Gea, Zlatan Ibrahimovic, Ander Herrera dan Paul Pogba, Valencia antara pemain yang kerap diturunkan Mourinho dalam kesebelasan permulaannya dan antara pemain yang paling banyak bermain selama 90 minit (20 kali dari 21 penampilan liga).  

Musim ini di bawah kendalian Jose Mourinho, Valencia sudah melakukan 21 penampilan dalam saingan liga. Secara purata Valencia melakukan 2.4 tackle, 1.8 intercept dan 2.3 clearance per perlawanan. Catatan purata hantaran-hantaran silang yang dilakukannya juga meningkat daripada 3.7 kepada 5.4 per perlawanan berbanding musim lalu.

Prestasi bagus yang dipamerkan beliau di benteng pertahanan menyaksikan United muncul pasukan ketiga paling kurang dibolosi di Liga Perdana selepas Chelsea dan Tottenham Hotspurs. Ketika sorotan penyokong-penyokong United lebih terarah kepada kelibat Paul Pogba atau Zlatan Ibrahimovic dalam setiap perlawanan, jauh di sudut tepi padang Valencia secara diam-diam melakukan kerja-kerjanya dengan cukup berkesan walaupun dirinya tidak diberikan perhatian.

Meskipun kini peranannya sudah bertukar dari pemain sayap kepada bek kanan, satu perkara yang tak akan pernah berubah bila kita bercakap tentang Antonio Valencia ialah kepantasan larian-lariannya yang sering `menyeksa’ lawan dan umpanan-umpanan silang yang sering beliau bekalkan untuk rakan-rakan sepasukan di bahagian hadapan dari dulu hingga sekarang.

Bekas rakan sepasukannya, Juan Carlos Burbano pernah menyebut kelajuan yang dimiliki Valencia ketika beliau melepasi kawalan lawan umpama “seekor jaguar melewati barisan pokok kaktus”. Ya...umpama “seekor jaguar” yang menghendap secara senyap ketika memburu mangsanya, begitu jugalah Valencia ketika di atas padang. Pemain yang jarang diberikan perhatian tetapi sentiasa tahu bagaimana caranya mahu `melukakan’ lawan...tahniah untuk pemain terbaik bulan Januari ini. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan