13 November 2017

MENGENANG KEMBALI PAUL SCHOLES...`SI PEMALU’, `GENIUS’ DAN `MAESTRO’ BOLASEPAK INGGERIS




Beliau diiktiraf antara pemain tengah terbaik generasinya malah individu sehebat Zinedine Zidane tanpa berselindung pernah mengakui bahawa antara kekesalan beliau sepanjang kariernya ialah tidak berkesempatan bermain bersama Paul Scholes dalam satu pasukan. Scholes merupakan salah seorang dari anggota generasi emas `Class of 92’, namun berbanding David Beckham, Gary Neville atau Ryan Giggs, cerita tentang Scholes jarang dijadikan tajuk utama laporan akhbar.

Wajah tampan Beckham dan Giggs menjadikan mereka begitu digilai peminat wanita serta dengan mudah menjadikan mereka bintang iklan manakala (Gary) Neville pula sangat terkenal dengan keceluparan mulutnya malah boleh dikategorikan sebagai `pemidato’ yang hebat. Sir Alex Ferguson turut mengakui bahawa Gary memang dianugerahkan dengan bakat untuk bercakap, jadi tidak hairanlah mengapa beliau berjaya meletakkan dirinya sebagai antara `pundit’ yang cukup terkenal dewasa ini.

Berbanding Beckham, Giggs dan Gary, Scholes pula dikatakan seorang individu yang pendiam dan pemalu. Maka atas sebab itulah mengapa cerita-cerita luar padangnya jarang dapat anda ikuti sepanjang beliau bergelar pemain. Sama ada mitos atau benar, terdapat juga cerita yang mengatakan bahawa sepanjang kariernya, hanya empat kali Scholes memberikan wawancara kepada wartawan. Jika di luar padang beliau lebih gemar menyendiri, lain pula halnya ketika di atas padang.

Di atas padang Scholes ialah individu yang sangat berbeza wataknya hingga Fergie melabelkan beliau sebagai `otak kepada permainan United’. Jika di luar padang beliau gemar mengasingkan diri, perilaku Scholes akan berubah 360ยบ sebaik beliau melangkah masuk ke dalam padang. Bidikkan beliau ketika melakukan hantaran-hantaran jauh kepada rakan jarang tersasar, visi permainannya umpama magis yang memukau lawan, manakala percubaan-percubaan jarak jauhnya sering menghadirkan mimpi ngeri kepada mana-mana penjaga gol lawan.

Pentingnya Scholes Dimata McClaren Dan Capello...

Scholes mengumumkan persaraan dari skuad kebangsaan pada 2004 ketika usianya mencecah 30 tahun. Pada usia seperti itu serta bakat yang dimilikinya, Scholes sebenarnya masih mampu bermain untuk skuad `Three Lions’ sekurang-kurangnya selama dua atau tiga tahun lagi. Apa yang menyebabkan Scholes berundur dari skuad kebangsaan sedangkan sumbangannya masih lagi diperlukan England?

Isu yang berlegar ketika itu ialah tentang rasa tidak puashati Scholes terhadap corak permainan yang diterapkan Sven Goran-Eriksson serta keputusan pengendali itu yang meletakkan beliau di luar posisi kegemarannya. England gagal menyerlah di bawah kendalian Eriksson hingga menyaksikan beliau akhirnya dipecat dan digantikan dengan Steve McClaren.

Antara langkah permulaan yang dilakukan McClaren sebaik beliau dilantik sebagai pengurus England ialah memujuk Scholes agar kembali ke pangkuan skuad kebangsaan, namun hasrat pengendali itu ditolak beliau. Pentingnya peranan Scholes turut diakui Fabio Capello yang menggantikan posisi McClaren pada 2008 apabila pengendali Itali cuba memujuk beliau untuk keluar dari persaraan dengan menawarkan slot dalam skuad kebangsaan ke Afrika Selatan (Piala Dunia 2010).

Mudah buat Capello menyisihkan Beckham yang juga rakan seangkatan Scholes dari skuad kebangsaan atas alasan Becks terlalu tua dan sudah melepasi zaman keemasannya. Bagaimanapun untuk Scholes ada pengecualian. Sentimen Capello terhadap pemain berusia seperti Scholes turut dikongsi Arsene Wenger. Pada 2010 Wenger pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Scholes adalah pemain pertama yang beliau akan letakkan dalam senarainya jika diberikan peluang memilih kesebelasan terbaik Liga Perdana.

Ketika Socrates Mengagumi Scholes...

Saat pertama kali menyaksikan Scholes bermain, mendiang Socrates yang juga merupakan antara pemain tengah paling elegan dalam sejarah bolasepak Brazil memuji penampilan beliau. “Bakat yang dimilikinya sudah lebih dari cukup untuk membolehkan dia bermain bersama skuad kebangsaan Brazil. Saya suka melihat penampilan budak berambut perang itu dengan jersi merah”, kata Socrates.

Jika Socrates meletakkan Scholes sebagai pemain yang layak menyarung jersi skuad kebangsaan Brazil kerana bakat dimilikinya, Edgar Davids pula mengatakan bahawa mana-mana pemain wajar meniru gaya permainan Scholes manakala Xavi Hernandez melabelkan `Ginger Ninja’ itu sebagai pemain tengah terbaik pernah disaksikan dalam dunia bolasepak.

Fergie Pernah Meragui Kemampuan Scholes...

Melihat kepada semua kata-kata pujian dan kekaguman yang dilemparkan legenda, warga bolasepak dan peminat terhadap bakat dan kemampuan Scholes, tentu tiada siapa pernah menyangka bahawa suatu ketika dahulu Sir Alex Ferguson pernah meragui kemampuan beliau untuk muncul bintang besar suatu hari nanti. Saat Scholes diperkenalkan Brian Kidd kepada Fergie ketika beliau berusia 13 tahun, pengendali legenda itu kurang yakin bahawa Scholes mampu bermain bolasepak.

Menurut Fergie, postur tubuh Scholes yang agak kecil tidak memungkinkan untuk beliau `pergi lebih jauh’ selain kurang memiliki kelajuan. Bagaimanapun ketika Fergie memikirkan bahawa beliau `tahu segalanya tentang bolasepak’, takdir pula bercerita sebaliknya. Sepanjang lima tahun, Scholes mengalami perubahan mendadak baik dari segi penampilan diri mahupun permainannya. Pada penampilan pertamanya untuk United, Fergie akhirnya sedar bahawa beliau melakukan kesilapan kerana pernah memperlekehkan potensi Scholes.

Penampilan Pertama Yang Membuka Mata...

21 September 1994, Scholes melakukan penampilan pertamanya untuk United ketika berdepan Port Vale dalam kejohanan Piala Liga pada usia 19 tahun. Perlawanan pertama (Pusingan Kedua) yang dilangsungkan di Vale Park itu menyaksikan United sempat ketinggalan apabila Bradley Sandeman meletakkan `The Valiant’ di hadapan sebelum mereka bangkit menerusi dua gol jaringan Scholes.

Gol pertama jaringan Scholes di Vale Park itu sebenarnya sangat istimewa di mata Fergie, bukan kerana ia penampilan pertamanya bersama United tetapi kerana `instinct’ yang dimiliki beliau dalam permainannya. Scholes seolah-olah sudah dapat membaca hantaran yang bakal dilakukan oleh salah seorang pertahanan Port Vale  sebelum beliau memintasnya, melepasi seorang lagi pertahanan lawan sebelum melakukan `chip’ yang menewaskan Paul Musselwhite.

Menjaringkan dua gol pada penampilan pertama bersama skuad senior merupakan impian buat mana-mana pemain muda dan Scholes memilih tempat serta masa yang tepat untuk membuktikan potensinya kepada Fergie. Meskipun beliau bukanlah pemain tengah yang memiliki kelajuan sepertimana penilaian awal Fergie, kepantasan berfikir Scholes ketika di atas padang sentiasa meletakkan beliau selangkah di hadapan berbanding lawan.

Aset Permainan Scholes...

Apa sebenarnya aset permainan yang dimiliki Scholes hingga meletakkan beliau sebagai antara pemain tengah terbaik pernah disaksikan di Liga Perdana? Jika di Itali, pemain yang mampu memainkan peranan sebagai `regista’ atau `trequartista’ akan sangat di hormati, di Liga Perdana pula kita sebenarnya sangat bertuah kerana berpeluang menyaksikan seorang pemain tengah yang mampu memainkan tiga peranan dalam satu masa dan beliau yang saya maksudkan sudah tentu Scholes.

Scholes sering membuatkan lawan terpaku menerusi kawalan bola menarik yang dimilikinya ketika beliau melepasi kekangan mereka, hantaran-hantaran jarak jauh yang dilakukan beliau kepada rakan dari garis pertahanan pasukan sendiri jarang tersasar dan sudah tentu umpanan-umpanan bijak menerusi visi permainan tinggi yang dimiliki beliau melengkap pakej Scholes sebagai seorang `regista’, `trequartista’ dan `fantasista’ bolasepak Inggeris.

Gambaran paling tepat tentang kehebatan Scholes lahir dari mulut Marcelo Lippi, legenda Itali yang berjaya mengemudi skuad `Gli Azzurri’ menjulang Piala Dunia di bumi Jerman pada 2006. “Paul Scholes akan sentiasa menjadi pilihan pertama saya jika diberikan peluang membentuk skuad yang hebat. Itu adalah cara terbaik bagaimana tingginya penilaian saya terhadap beliau. Scholes pemain tengah serba boleh, berkarakter dan dianugerahkan bakat yang melimpah ruah”, kata Lippi.

Gol Terbaik...

Dari puluhan gol cantik yang pernah dijaringkan Scholes, saya memilih jaringan yang dilakukan beliau ke gawang Barcelona ketika United dan kelab Catalan itu bertemu di peringkat separuh akhir kedua Liga Juara-Juara musim 2007/08 sebagai gol terbaik yang pernah dijaringkan beliau.

Selepas terikat 0-0 pada perlawanan pertama di Nou Camp, misi utama Barca ketika mereka datang ke Old Trafford ialah mengasak dari awal bagi mencari kelebihan gol di gelanggang lawan. Di sebalik keghairahan Barca melakukan asakan, barisan kendalian Frank Riijkaard itu akhirnya dikejutkan menerusi ledakan jarak jauh dari kaki kanan Scholes yang sama sekali gagal diselamatkan Victor Valdes.

Berpunca dari `clearance’ lemah dilakukan Gianluca Zambrotta, Scholes yang mara jauh dari kawasan sendiri menyambar bola tersebut, melihat seketika kedudukan Valdes sebelum melepaskan rembatan padu dari jarak 24 meter yang menuju tepat ke penjuru kiri gawang lawan.

Satu kesilapan besar juga dilakukan pertahanan Barca kerana memberikan pemain dengan visi serta fokus tinggi seperti Scholes ruang yang terlalu selesa dan masa yang lebih daripada mencukupi sebelum beliau melepaskan rembatan hingga terhasilnya jaringan spektakular tersebut.

Barca memiliki baki 76 minit tempoh permainan sebenar selepas jaringan itu dihasilkan namun segala usaha, asakan demi asakan dan percubaan demi percubaan yang dilakukan mereka tetap gagal memadam kelebihan satu gol yang dimiliki United. Gol tunggal Scholes pada 29 April 2008 itu akhirnya menghantar United ke aksi final yang dilangsungkan di Moscow.

Kejayaan United mara ke Moscow dan kemudiannya memenangi trofi Liga Juara-Juara buat kali ketiga dalam sejarah kelab menebus kehampaan Scholes yang terlepas aksi final menentang Bayern Munich di Nou Camp sembilan tahun sebelumnya kerana penggantungan. Atas sebab itulah mengapa saya memilih gol ini sebagai gol terbaik pernah dihasilkan dari kaki beliau.

Visi Luarbiasa...

Sir Alex Ferguson meletakkan visi permainan yang dimiliki Scholes mengatasi `standard’ Eric Cantona, David Beckham, Juan Sebastian Veron malah Paul Gascoigne juga. Dalam apa juga situasi, Scholes menurut Fergie sentiasa tahu di mana sepatutnya hantaran dilakukan dan ke mana rakan sepasukan akan melakukan pergerakan. Maka tidak hairan jugalah jika Fergie mengatakan bahawa Scholes seolah-olah memiliki sepasang lagi mata di belakang kepalanya.

Visi permainan luarbiasa yang dimiliki Scholes menyaksikan legenda ini masih mampu tampil memukau dan bermain di tahap tertinggi walaupun sudah berada di penghujung kariernya. Ketika beliau mengumumkan persaraannya selepas membantu kelab menjulang kejuaraan liga pada musim 2010/11, Fergie seperti kebingungan dan mengatakan bahawa Scholes terburu-buru dalam mengambil keputusan tersebut.

Persaraan `sementara’ beliau jelas ditangisi barisan United yang hilang sentuhan seorang `maestro’ di bahagian tengah meskipun Fergie masih memiliki Michael Carrick, Anderson dan Darren Fletcher di posisi tersebut. Ketika perlumbaan merebut kejuaraan liga semakin sengit membabitkan United dan (Manchester) City pada musim 2011/12, Fergie membuat `panggilan S.O.S’ yang akhirnya menyaksikan Scholes keluar dari persaraan pada Januari 2012.

Terima Kasih Legenda...

Musim 2012/13 merupakan musim terakhir buat Scholes bergelar sebagai pemain. Selepas kembali dari persaraan dan kemudiannya berjaya pula membantu kelab memenangi semula kejuaraan liga, Scholes memilih waktu yang tepat untuk mengumumkan persaraan beliau buat kali kedua. Kali ini tiada lagi `pusingan U’ yang dilakukan beliau kerana Scholes menyedari bahawa sudah tiba masanya untuk beliau mengucapkan selamat tinggal kepada karier profesionalnya selepas 20 tahun menabur bakti untuk United.

Malam 12 Mei 2013 selepas aksi menentang Swansea City, Scholes melambaikan tangan kepada penyokong-penyokong United di Old Trafford tanda perpisahan. Juga sebagai tanda bahawa itulah penampilan terakhir beliau sebagai pemain di `Theatre of Dreams’, pentas yang selama 20 tahun menjadi saksi kehebatan `Si Pendiam’ ini memperagakan bakat serta magisnya selaku `maestro’ di bahagian tengah United yang tiada galang gantinya.

Dengan medal kejuaraan peribadi Liga Perdana ke-11 yang tergantung di lehernya, `Ginger Ninja’ akhirnya memilih detik paling indah dan sempurna sebagai pemain untuk mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong-penyokong United. Untuk 20 tahun yang penuh gemilang, suka dan duka, 718 penampilan, 155 gol dan 25 kejuaraan yang anda menangi, terima kasih `Sang Legenda’ kerana tidak pernah henti-henti mengagumkan kami...hingga ke akhirnya. Glory Glory Manchester United!!!

12 November 2017

PESAN DARI MARTIN KEOWN BUAT MOURINHO




Masih ingatkah anda dengan Martin Keown, pertahanan kental dan salah seorang anggota `Fantastic Four’ (selain Tony Adams, Nigel Winterburn dan Lee Dixon) yang pernah membentuk rangkaian tembok kukuh di benteng pertahanan Arsenal suatu ketika dahulu? Meskipun bukan pemain United, Keown antara pertahanan dari kelab `rival’ yang sangat saya kagumi selain John Terry dan Vincent Kompany.

Jika bercakap tentang Keown, tidak sah jika kita tidak menyebut insiden provokasi berlebihan yang dilakukan beliau ke atas Ruud Van Nistelrooy selepas kegagalan penyerang Belanda itu menyempurnakan sepakan penalti ketika kedua-dua kelab bertemu di Old Trafford pada 2003.

Selepas melakukan 310 penampilan liga sebaik kembali semula ke Highbury pada 1993, Keown akhirnya meninggalkan Arsenal pada 2004. Lapan tahun selepas itu beliau mengumumkan persaraannya sebagai pemain dengan Wembley FC menjadi kelab terakhir yang disertainya. Sejak itu, Keown kerap muncul di kaca televisyen mahupun media cetak sebagai `pundit’ bolasepak Inggeris.

Peringatan Buat City...

Menurut Keown, masih terlalu awal untuk menyebut bahawa Manchester City bakal memenangi kejuaraan Liga Perdana musim ini dan menilai bahawa United berpeluang untuk mengejar jiran sekota mereka itu yang kini menghuni tangga teratas liga. Selepas mengharungi 11 perlawanan, City gah mengumpul 31 mata dan mencipta jurang lapan mata di tangga teratas liga selepas kekalahan United di Stamford Bridge minggu lalu.

Di bawah kendalian Pep Guardiola, City antara pasukan yang menghiburkan untuk disaksikan aksi mereka selain Tottenham Hotspurs, seimbang di semua posisi dan masih kekal dengan rekod tanpa kalah. Jadi tidak hairanlah mengapa mereka diletakkan sebagai pilihan paling hangat untuk merangkul kejuaraan liga musim ini. Meskipun demikian menurut Keown, City di era Guardiola masih belum memenangi sebarang kejuaraan dan sebarang kemungkinan juga boleh berlaku.

Saranan Keown Buat Mourinho...

Meskipun City kelihatan seperti sukar ditewaskan, anggota skuad `The Invincibles’ Arsenal yang berjaya menjulang kejuaraan liga pada musim 2003/04 itu masih percaya bahawa barisan Guardiola boleh kehilangan mata pada baki aksi mereka selepas ini.

Merujuk kepada aksi `Manchester Derby’ yang bakal berlangsung pada 11 Disember ini, Keown mengatakan ini adalah peluang terbaik buat United untuk kembali merapatkan kedudukan dengan syarat Mourinho perlu melupakan corak permainan bertahan dan memaksa pemainnya untuk keluar menyerang.

“Saya pernah berada dalam situasi di mana anda merasakan tidak akan dikalahkan dan semua orang bercakap hal yang bagus tentang pasukan anda. Namun Manchester City di bawah kendalian Guardiola masih belum memenangi sebarang kejuaraan”.

“Mereka sama sekali tidak mengetahui apa yang bakal berlaku sepanjang baki saingan liga musim ini. Mereka juga dibantu oleh faktor pencabar-pencabar mereka mengalahkan satu sama lain. United menewaskan Tottenham tetapi mereka kemudiannya tewas kepada Chelsea dan itu hal yang sempurna buat City”.

“Kita akan menyaksikan `derby’ Manchester bulan hadapan. Saat itu Jose Mourinho tentu berfikir bahawa pasukannya perlukan kemenangan. Seri bukanlah keputusan yang bagus buat United. Faktor itu bakal menjadikan perlawanan ini sengit dan pastinya menarik untuk melihat adakah Mourinho akan mengubah taktiknya” kata Keown dalam satu wawancara dengan The Daily Mail.

Potensi Dari `Manchester Derby’...

Sebelum menuju aksi `Manchester Derby’ ke-152 ini, United perlu berdepan Newcastle United (H), Brighton (H), Watford (A) dan Arsenal (A) terlebih dahulu, manakala City pula perlu berdepan Leicester City (A), Huddersfield Town (A), Southampton (H) dan West Ham (H).

Aksi menentang Newcastle United, Brighton dan Watford merupakan perlawanan yang wajib dimenangi United meskipun musim lalu Mourinho pernah menyaksikan barisan pemainnya tumbang (1-3) di Vicarage Road. Semoga kekalahan musim lalu kepada Watford tidak berulang dan kali ini United mampu meraih tiga mata di sana.

Sudah tentu kunjungan ke Stadium Emirates sentiasa menjadi aksi yang sukar buat United tetapi jika Mourinho memiliki skuad terkuatnya, tiga mata tidak mustahil untuk dikutip ketika berdepan Arsenal nanti. Stadium Emirates bukanlah terlalu kebal sepertimana era `The Invincibles’ mereka, ketika Keown bersama Adams, Dixon dan Winterburn membentuk kombinasi ampuh di benteng pertahanan Arsenal.

Jika jurang mata berjaya dikecilkan sebelum berlakunya pertembungan pada 11 Disember nanti (dengan syarat United meraih 12 mata maksimum dari empat perlawanan mereka manakala City pula keciciran mata), aksi `Manchester Derby’ ke-152 nanti berpotensi menjadi pertembungan yang sengit dan menarik membabitkan dua musuh setempat itu.

Aksi di Old Trafford 11 Disember nanti merupakan potensi paling besar buat United untuk kembali mengejar City dan kembali memberikan tekanan buat mereka selaku pendahulu carta liga. Setakat ini City masih kekal dengan rekod tanpa kalah mereka, namun dengan adanya 5 hingga 6 kelab yang mampu mencabar kejuaraan liga, pencapaian `Invincibles’ Arsenal hampir mustahil untuk diulangi.

Saya sangat bersetuju dengan pandangan Keown bahawa United perlu memenangi perlawanan itu dan jika mereka mahu melakukannya, Mourinho perlu mengubah pendekatan taktikal beliau. Jika mahukan kemenangan United perlu tampil menyerang kerana jika mereka gagal menewaskan City, Pep Guardiola bakal tersenyum lebar di akhir perlawanan. Glory Gory Manchester United!!!

06 November 2017

KALAH DI STAMFORD BRIDGE BUKAN PENGAKHIRAN BUAT UNITED




Musim lalu kunjungan ke Stamford Bridge berakhir dengan tragedi selepas United diaibkan barisan Antonio Conte menerusi kekalahan besar 0-4. Kekalahan itu juga merupakan kekalahan terbesar United kepada Chelsea sepanjang tempoh 11 tahun sejak William Gallas, Joe Cole dan Ricardo Carvalho masing-masing meledak satu gol ke gawang Edwin Van der Sar dalam pertemuan yang berlangsung pada 29 April 2006 di markas `The Blues’ itu.

Di gelanggang yang sama awal pagi tadi, United sekali lagi pulang dengan tangan kosong selepas gol tunggal perlawanan jaringan Alvaro Morata diminit ke-55 memberikan skuad Antonio Conte tiga mata berharga. Kekalahan ini juga menyaksikan United ketinggalan lapan mata di belakang Manchester City selaku pendahulu carta liga manakala Chelsea pula kembali merapatkan kedudukan selepas mengumpul 22 mata untuk menduduki posisi tangga keempat.

Faktor Kante...

Kepulangan N’Golo Kante selepas berehat lebih sebulan kerana masalah `hamstring’ tepat pada waktunya. Kehadiran Kante menyaksikan barisan tengah Chelsea tampil lebih solid sekaligus memudahkan Tiemoue Bakayoko dalam melakukan tugasnya untuk memutuskan aliran bola dari bahagian tengah United. Kegagalan trio Nemanja Matic-Ander Herrera-Henrikh Mkhitaryan menguasai bahagian tengah antara punca utama gagalnya misi United di Stamford Bridge.

Sepanjang perlawanan Kante melakukan dua `tackle’ bersih, dua `intercept’, dua `clearance’, satu `block’ dan satu percubaan, manakala peratus ketepatan hantaran yang beliau lakukan mencapai 90%. Seorang lagi pemain tengah Chelsea yang memainkan peranan besar di atas padang awal pagi ialah Cecs Fabregas. Bersama Eden Hazard, `Si Pelempar Pizza’ ini cukup berbahaya ketika melancarkan gerakan dan sentiasa ada di bawah membantu pertahanan dalam situasi defensif.

Pogba Yang Dirindui...

Bukan rahsia lagi bahawa United sangat terjejas sepanjang ketiadaan Paul Pogba, malah ketiadaan bekas pemain termahal dunia itu turut dikatakan punca penurunan prestasi Mkhitaryan dan kemarau gol Romelu Lukaku. Tugas Pogba selama ini bukan sekadar mencipta `assist’ untuk disudahkan rakan di barisan hadapan tetapi lebih daripada itu beliau ialah nadi yang melancarkan pengaliran bola di bahagian tengah United.

Sepanjang ketiadaan Pogba kemampuan United untuk mencipta peluang bukan sahaja menurun malah turut memberikan kesan kepada purata gol yang mereka jaringan di setiap perlawanan. Menurut statistik yang dikeluarkan Sky Sports, ketika Pogba bermain, barisan tengah United mencipta 14.8 peluang jaringan gol per perlawanan namun catatan tersebut menurun kepada 7.0 per perlawanan semasa ketiadaan beliau.

Sudah tentu penurunan ini juga memberikan kesan kepada kemampuan jentera serangan yang diterajui Lukaku untuk menghasilkan gol. Berbanding purata 3 gol yang berjaya dijaringkan semasa Pogba menggerakan jentera tengah, United kini cuma mampu menjaringkan 1.6 gol per perlawanan. Ketika kita berteka-teki bila tarikh sebenar pemain ini akan kembali turun beraksi, prestasi bahagian tengah United di Stamford Bridge mengukuhkan lagi alasan mengapa Pogba begitu dirindui sepanjang ketiadaanya.

Tempo Permainan Yang Tinggi...

Sebelum perlawanan, ramai menjangkakan bahawa corak permainan berhati-hati bakal dipamerkan Chelsea dan United di Stamford Bridge. Bagaimanapun hal itu tidak berlaku apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan terutamanya sepanjang tempoh 20 minit pertama. Tidak sepertimana aksi United di Anfield, kali ini mereka bermain secara terbuka, cuba mencipta gerakan-gerakan malah Eric Bailly, Phil Jones dan Chris Smalling tidak bermain terlalu ke dalam.

Apa Dah Jadi Mikhi?...

Di awal musim Mikhi antara pemain paling menonjol dalam skuad Mourinho menerusi kemampuan beliau mencipta gerakan-gerakan berbahaya serta umpanan-umpanan yang mampu diterjemahkan sebagai gol oleh barisan hadapan United. Lima `assist’ dari tiga perlawanan serta satu gol yang beliau jaringkan ketika berdepan Everton menyaksikan Mikhi muncul antara `playmaker’ paling kreatif di Liga Perdana di awal musim.

Bagaimanapun secara perlahan-lahan, prestasi Mikhi mula menurun hingga menimbulkan tandatanya apa sebenarnya yang berlaku terhadap kapten Armenia ini. Agak janggal menyaksikan bagaimana seorang pemain yang pada mulanya muncul pembekal utama hantaran-hantaran berkualiti untuk disudahkan oleh rakan penggempur di barisan hadapan kini seperti hilang punca di atas padang.

Secara peribadi saya berpendapat tiada salahnya dengan peranan selaku pemain nombor 10 yang dipegang Mikhi musim ini kerana dari posisi tersebut beliau masih boleh bergerak bebas, menunjukkan kreativiti ketika melakukan gerakan serta visi permainan tingginya. Namun seperti yang saya sebutkan di atas ketiadaan Pogba menganggu tempo dan fungsi Mikhi hingga menyaksikan produktiviti beliau juga semakin menurun.

Tanpa `box to box midfielder’ seperti Pogba, Mikhi berdepan kesukaran mendapatkan hantaran-hantaran hingga kadangkala memaksa beliau untuk turun ke bawah bagi mendapatkan bola. Dan itu juga bermakna Mikhi kini semakin kerap bermain di luar kawasan sepatutnya, lantas menjejaskan fungsi beliau selaku pemain nombor 10. Kita masih tidak tahu bila Pogba akan beraksi semula tetapi kembalinya Marouane Fellani diharap mampu memberikan impak positif kepada permainan Mikhi.

Masih Terlalu Awal Untuk Panik?...

Menyaksikan bagaimana mudahnya Alvaro Morata menjaringkan gol kemenangan Chelsea memang sangat menyakitkan. Bagaimanapun dalam masa yagn sama, kita perlu mengakui bahawa Chelsea pasukan yang sedikit lebih baik berbanding United di Stamford Bridge. Bermain tanpa beberapa tonggak utama dalam beberapa perlawanan terakhir memang menyukarkan tetapi saya percaya United secara beransur-ansur sudah mula keluar dari fasa yang sukar selepas menyaksikan kelibat Marcos Rojo dan Fellaini menyertai rombongan ke Stamford Bridge.

Masih terlalu awal untuk kita panik meskipun City mula mencipta jurang yang semakin luas selaku pendahulu manakala pencabar-pencabar kejuaraan yang lain semakin hebat memberikan tekanan di belakang. United tewas pusingan pertama kepada Chelsea dalam saingan liga musim ini tetapi mereka juga perlu datang ke Old Trafford nanti untuk perhitungan kedua dan ketika itu situasi mungkin sudah jauh berbeza.

Mourinho tewas kepada Conte dalam pertempuran taktikal awal pagi tadi, tapi saya percaya kekalahan itu tidak akan menjadikan beliau ketandusan idea untuk meletakkan United sebagai pesaing utama perebutan kejuaraan liga musim ini. Dua aksi di gelanggang sendiri menentang Newcastle United serta Brighton perlu digunakan sepenuhnya untuk mengumpul enam mata maksimum dan sambil itu berharaplah agar United kembali dibarisi kesebelasan terbaik mereka menjelang aksi-aksi lebih penting selepas ini. Glory Glory Manchester United!!!

04 November 2017

BENARKAH STAMFORD BRIDGE TIDAK SEKEBAL DAHULU?




Satu lagi kelab dari London bakal dihadapi United minggu ini dalam saingan liga dan sudah tentu misi barisan Jose Mourinho ke Stamford Bridge ialah untuk cuba memadam memori kekalahan besar yang dialami mereka di sini musim lalu. Anda boleh katakan apa sahaja tentang prestasi terkini Chelsea tetapi satu fakta yang kekal ialah mereka masih lagi antara pencabar kejuaraan liga serta lawan yang sukar ditewaskan.

Kekalahan besar kepada AS Roma di Rome dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara mungkin bukanlah persediaan terbaik Chelsea menjelang perlawanan ini tetapi saya yakin Antonio Conte sudah memikirkan strategi yang tepat bagi menghadapi United. Saya antara yang mengagumi strategi permainan Conte jadi saya juga berharap Mourinho sudah memiliki cara terbaik bagi menghalang tragedi musim lalu dari berulang kembali.

Situasi Terkini...

Ketika Conte mengemudi Chelsea menjulang kejuaraan liga musim lalu, mereka sebenarnya turut dibantu dengan rekod yang cukup bagus ketika beraksi di gelanggang sendiri. Dari 19 aksi liga yang berlangsung di gelanggang sendiri musim lalu, Chelsea menang 17 perlawanan. Hanya Liverpool dan Crystal Palace yang berjaya membawa pulang tiga mata penuh dari kunjungan mereka ke Stamford Bridge.

Musim ini Chelsea memulakan saingan dengan langkah kiri selepas tewas kepada Burnley di gelanggang sendiri pada perlawanan pembukaan liga manakala Manchester City pula muncul pasukan kedua yang berjaya menewaskan mereka di sana. Dari lima perlawanan liga yang berlangsung di Stamford Bridge setakat ini, Chelsea cuma menang dua perlawanan, tewas dua kali dan seri sekali.

Di kem United pula, mereka saya anggap sedang dalam proses untuk mengembalikan semula prestasi baik yang pernah dipamerkan di awal musim. Sejak keputusan seri yang dicatatkan ketika berdepan Liverpool, banyak kritikan yang dilemparkan terhadap corak permainan United terutamanya ketika berdepan perlawanan-perlawanan besar.

Meskipun berjaya menewaskan Tottenham Hotspurs minggu lalu, strategi permainan Mourinho masih lagi dijadikan tajuk perdebatan para pengkritiknya yang menganggap United tidak bermain sepertimana sepatutnya mereka bermain sejak ditangani warga Portugal itu. Jika jumlah gol yang dijaringkan United mahu diambilkira, kritikan mereka terhadap Mourinho memang ada asasnya kerana sejak aksi di Anfield, United tidak pernah menang dengan margin lebih dari tiga gol.

Bagaimanapun secara peribadi saya menganggap tiada apa yang salahnya dengan United musim ini. Selepas sepuluh perlawanan, mereka berada di tangga kedua liga, hampr pasti melangkah ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara selain menyaksikan Old Trafford kembali menjadi gelanggang yang ditakuti lawan. Sejak kekalahan kepada Manchester City September tahun lalu, United sudah mengharungi 38 perlawanan tanpa kalah di Old Trafford (dalam semua kejohanan).

Pemain Kunci (Matic & Kante)...

Walaupun cuma menyumbang satu assists dari sepuluh penampilan liga untuk United, Nemanja Matic dianggap sebagai pembelian terbaik yang dilakukan Mourinho musim ini. Peranan yang dimainkan beliau di bahagian tengah bukan sahaja memberikan keseimbangan kepada permainan United ketika bertahan mahupun ketika menyerang malah keberadaan beliau turut menyaksikan rakan-rakan yang lain lebih tenang ketika bermain.

Dengan faktor usia serta masalah kecederaan yang menimpa Michael Carrick, kehadiran Matic menutup segala kekurangan yang ditinggalkan bekas pemain Tottenham Hotspurs itu di bahagian tengah United. Ini merupakan penampilan pertama Matic di Stamford Bridge sejak beliau meninggalkan The Blues dan  sudah tentu perlawanan ini menjadi medan terbaik untuk Matic membuktikan bahawa Chelsea melakukan kesilapan besar membiarkan beliau menyertai United.

Perkhabaran bahawa N’Golo Kante bakal beraksi dalam perlawanan ini berita yang sangat dinantikan penyokong-penyokong Chelsea. Aksi menentang Manchester City 30 September lalu merupakan penampilan terakhir Kante bersama The Blues sebelum beliau diketepikan selama lebih sebulan kerana masalah hamstring. Ketiadaan Kante yang menjadi pelindung kepada trio benteng pertahanan Chelsea menyebabkan kubu mereka mudah ditembusi meskipun Conte memiliki Cecs Fabregas dan Tiemoue Bakayoko sebagai pengganti.

Jika benar bahawa Kante sudah cergas sepenuhnya, saya yakin Conte tidak akan berlengah untuk meletakkan beliau dalam kesebelasan utamanya nanti. Memperjudikan kecergasan Kante itu soal kedua kerana Chelsea memang perlukan khidmat pemain ini ketika berdepan United terutamanya selepas kekalahan besar yang dialami mereka dalam saingan Liga Juara-Juara. Jika Kante gagal diturunkan, Conte perlu memikirkan strategi sesuai bagi menutup kekurangan di bahagian tengah skuadnya kerana Kante seperti tiada penggantinya untuk Chelsea.

Formasi...

Selepas berhasil menewaskan Tottenham Hotspurs minggu lalu, saya jangkakan Mourinho akan mengekalkan sistem tiga pemain pertahanan ketika berdepan Chelsea nanti. Menerusi formasi 3-4-1-2, trio Eric Bailly-Chris Smalling-Phil Jones akan ditugaskan untuk mengawal benteng pertahanan manakala kuartet Antonio Valencia-Nemanja Matic-Ander Herrera-Ashley Young membarisi bahagian tengah. Henrikh Mkhitaryan akan kekal dengan peranan beliau sebagai playmaker dalam membekalkan umpanan-umpanan kepada Marcus Rashford dan Romelu Lukaku.

Mengakui bahawa keputusan memindahkan posisi Gary Cahill di sebelah kanan ketika berdepan Roma merupakan satu kesilapan yang besar, Conte bakal meletakkan kembali pertahanan antarabangsa England itu di posisi asalnya (di sebelah kiri). Menerusi formasi 3-4-3 yang sering digunakan Conte, Gary Cahill-David Luiz-Antonio Rudiger akan berada di garis pertahanan mereka. Cesar Azpilicueta-Bakayoko-Fabregas-Marcos Alonso akan ditugaskan untuk memenangi pertempuran di bahagian tengah manakala Eden Hazard-Alvaro Morata-Pedro Rodriguez bakal ditugaskan untuk menguji keampuhan benteng pertahanan United.

Ramalan...

Bukan Lukaku atau Matic selaku pemain kunci buat United yang perlu diawasi Conte tetapi beliau sebaliknya perlu waspada dengan taktik yang bakal digunakan Mourinho nanti. Skema permainan United yang sering disebut sebagai `pendekatan perlawanan besar Mourinho’ memang kelihatan seperti membosankan kerana menekankan kekuatan ketika bertahan. Bagaimanapun dalam masa yang sama kita juga perlu mengakui bahawa inilah sebenarnya kekuatan United.

Banyak perkara sudah dipelajari Mourinho sejak kekalahan besar yang dialami United di Stamford Bridge musim lalu. Menerusi pendekatan `mirror tactic’, Mourinho memastikan bahawa United adalah barisan yang berbeza ketika Conte membawa skuadnya bertandang ke Old Trafford April lalu. Menerusi taktik yang sama, Spurs juga berjaya dijinakkan minggu lalu meskipun skuad Mauricio Pochettino itu dilabel sebagai pasukan yang memiliki corak menyerang menarik.

Mourinho boleh meneliti kembali rakaman perlawanan di Stadio Olimpico tempohari dan melihat bagaimana Eusebio Di Francesco menggunakan kelajuan Diego Perotti dan Stephen El Shaarawy untuk memporak perandakan benteng pertahanan Chelsea. United memiliki Rashford dan Martial yang mampu menawarkan hal yang sama, jadi sangat menarik untuk melihat siapa di antara mereka yang bakal digunakan Mourinho terlebih dahulu di Stamford Bridge nanti.

Menyaksikan pendekatan yang digunakan Mourinho dalam perlawanan-perlawanan besar, saya jangkakan keputusan di Stamford Bridge nanti cenderung berakhir dengan seri 0-0. Bagaimanapun keputusan boleh berubah jika Chelsea bermain lebih terbuka dan tidak terlalu berhati-hati. Jika ini berlaku, United boleh menggunakan kelajuan yang dimiliki Rashford, Martial atau Valencia ketika melancarkan serang balas pantas ke kubu lawan.

Bagaimana pendekatan yang bakal digunakan Mourinho nanti itu soal kedua kerana secara peribadi saya lebih gemar melihat keputusan di akhir perlawanan. Mungkin kekalahan Real Madrid kepada Spurs tempohari boleh dijadikan sedikit pengajaran. Di Wembley, Real bermain secara terbuka kerana Zinedine Zidane beranggapan beliau memiliki barisan pemain yang lengkap dari semua segi untuk menewaskan Spurs.

Akhirnya Zidane menyaksikan gawang Real dibolosi sebanyak tiga kali dan mereka pulang ke kota Madrid dengan ego tercalar. Di Stamford Bridge nanti saya tidak mengharapkan agar United bermain secara terbuka atau menampilkan corak menyerang yang menarik demi hiburan hujung minggu kepada penyokong tetapi akhirnya pulang dengan tangan kosong. Meskipun ini perlawanan yang sukar, saya optimis United mampu memenangi pertembungan di Stamford Bridge. Anti klimaks atau tidak pertembungan itu nanti, itu soal kedua...Glory Glory Manchester United!!!

29 Oktober 2017

KETIKA SPURS DATANG MENGUJI...UNITED PULA BUKTIKAN KARAKTER SEBENAR MEREKA




Aksi menentang Tottenham Hotspurs merupakan perlawanan penting dan wajib dimenangi Manchester United. Penting bukan kerana lawan yang dihadapi United ialah Spurs, kelab yang secara konsisten muncul antara pencabar kejuaraan liga dalam tempoh dua atau tiga musim terakhir.

Juga bukan kerana mereka sebelumnya berkongsi mata dengan United untuk mengekori Manchester City selaku pendahulu carta liga, tetapi perlawanan ini penting untuk kita melihat sejauh mana karakter sebenar barisan Jose Mourinho selepas kekalahan mengejutkan kepada Huddersfield minggu lalu.

Ketika kritikan hadir selepas United menampilkan corak permainan bertahan di Anfield dan kemudiannya kemenangan tipis ke atas Benfica di Liga Juara-Juara turut dijadikan sasaran, kekalahan kepada Huddersfield pula menyebabkan Manchester City berjaya mencipta jurang lebih besar selaku pendahulu liga.

Jadi dalam apa cara sekalipun, United wajib menewaskan Spurs. Bukan sahaja bagi memastikan City tidak terus meninggalkan mereka terlalu jauh tetapi juga bagi menyuntik kembali motivasi dalam diri pemain-pemain selepas kekalahan di Kirklees Stadium minggu lalu.

Disiplin Ketika Bertahan...

Berdepan dengan Spurs, Mourinho dilihat melakukan `mirror tactic’ dengan menggunakan sistem tiga pemain pertahanan sepertimana Spurs. Meskipun semasa sidang media sebelum perlawanan Mourinho menafikan bahawa beliau bakal menggunakan sistem tersebut (tiga pertahanan), namun itulah sebenarnya yang berlaku sepanjang 90 minit perlawanan.

Disiplin ketika bertahan menerusi sistem tiga pemain pertahanan yang diamalkan kedua-dua pasukan menyaksikan kurangnya peluang-peluang berbahaya mampu dicipta. Banyak `tactical foul’ yang berlaku dalam usaha kedua-dua pasukan menghalang lawan dari melakukan `counter attack’ dan hasilnya anda dapat saksikan aksi di babak pertama sedikit membosankan.

Pendekatan berhati-hati menyaksikan tiga pertahanan United (Eric Bailly, Chris Smalling dan Phil Jones) jarang meninggalkan garis pertahanan mereka hingga menyaksikan Spurs hanya mampu melakukan percubaan-percubaan jarak jauh (sepuluh di babak pertama dan tiga di babak kedua). Sepanjang perlawanan David De Gea melakukan lima penyelamatan tetapi hanya dua percubaan lawan yang boleh dianggap berbahaya.

`Plan B’ Mourinho...

Ketika menyaksikan betapa ketatnya perlawanan dan kesukaran yang dihadapi barisan hadapan beliau untuk menembusi benteng pertahanan Spurs, Mourinho melakukan perubahan ketika tempoh perlawanan berbaki 20 minit sebelum ditamatkan. Ternyata percaturan Mourinho mengeluarkan Marcus Rashford dan memasukkan Anthony Martial berhasil selepas pemain Perancis itu meledak gol kemenangan di minit ke-81.

Ini bukan kali pertama Martial meledak ketika beliau dimasukkan sebagai pemain gantian dan gol ke gawang Hugo Lloris itu bukan sahaja memberikan United tiga mata berharga tapi turut membuktikan bahawa Mourinho sentiasa bersedia dengan `Plan B’ beliau setiap kali menyaksikan barisan hadapannya buntu dalam usaha menembusi benteng lawan. Untuk rekod, pemain-pemain gantian United sudah menjaringkan 10 gol sepanjang aksi liga musim ini.

Old Trafford Bukan Gelanggang Yang `Ramah’ Buat Spurs...

Kekalahan ini menyaksikan Spurs memanjangkan `trend’ buruk mereka setiap kali berkunjung ke Old Trafford. Dari 26 penampilan mereka di Old Trafford dalam saingan liga, Spurs tewas 21 kali dengan kali terakhir mereka menewaskan United dalam aksi yang dilangsungkan di `Theatre of Dreams’ ialah lebih tiga tahun yang lalu.

Kemenangan ini juga sebenarnya menyaksikan United meneruskan catatan baik mereka ketika beraksi di gelanggang sendiri. Sebaik tamat aksi menentang Spurs, United sudah melakarkan 37 aksi tanpa kalah di Old Trafford dalam semua kejohanan menerusi 26 kemenangan dan 11 keputusan seri sekaligus menyamai pencapaian mereka pada 2011.

Tanpa Kane, Spurs Hilang Punca...

Benarlah apa yang dikatakan Rio Ferdinand bahawa tanpa Harry Kane, Spurs bakal berdepan masalah besar. Dua hari sebelum aksi menentang United, mereka ditunjukkan jalan keluar dari kejohanan Piala Liga oleh West Ham selepas tewas 2-3 di Wembley.

Meskipun dalam perlawanan itu Moussa Sissoko dan Delle Alli menemui sentuhan gol, ketiadaan Kane selaku peledak utama jelas dirasai hingga menyaksikan West Ham melakukan kebangkitan untuk menempah tempat di peringkat suku akhir. Di Old Trafford, Spurs sekali lagi berdepan masalah yang sama.

Tanpa penyerang tulen, Mauricio Pochettino sebaliknya mengarahkan Alli dan Son Heung-Min silih berganti memainkan watak sebagai penggempur. Mungkin mengambilkira kelajuan yang dimiliki Son, Pochettino lebih memilih meminggirkan Fernando Llorente di bangku simpanan berbanding meletakkan beliau sebagai pengganti Kane.

Apa yang berlaku? Kecuali satu percubaan berbahaya yang hadir dari kaki Alli di babak kedua menerusi ilham gerakan Christian Eriksen, tidak banyak ancaman yang mampu dihadirkan Son mahupun Alli dalam misi mereka menembusi pintu gol United. Akhirnya Son ditarik keluar dan Spurs mula menggunakan Llorente sebagai penyerang tulen sepanjang baki 28 minit tempoh sebenar perlawanan.

Rashford Dan Martial...

Di permulaan musim, ramai meragui kemampuan United untuk bergerak dari sisi sayap berikutan kegagalan Mourinho menandatangani Ivan Perisic mahupun Gareth Bale. Meskipun begitu kegagalan United dalam misi mereka mendapatkan Perisic atau Bale berjaya ditutup Mourinho menerusi penampilan terpuji Martial dan Rashford di sisi sayap kiri.

Jika anda penyokong United dan bermain `Fantasy Premier League’, saya yakin anda pasti berdepan dilema dalam memiliki sama ada Martial atau Rashford untuk diletakkan di posisi sayap kiri dalam kesebelasan impian anda. Sukar bagi anda dalam membuat pilihan bukan sahaja kerana mereka memiliki kemampuan setaraf, tetapi kedua-dua pemain ini memang tidak dirancang untuk diturunkan serentak oleh Mourinho.

Jika Rashford memulakan aksi terlebih dahulu, Martial pula akan bertindak sebagai ‘supersub’ dan begitulah sebaliknya. Martial atau Rashford bukan sahaja memiliki kelajuan tetapi turut dianugerahkan dengan `skill’ kawalan bola menarik dan itulah aset kepada permainan mereka. Meskipun bukan pemain sayap tulen, kelajuan serta `skill’ mereka sebenarnya menjadi kekuatan United ketika melakukan gerakan dari sisi sayap.

Meskipun gol yang dijaringkan Martial bukanlah berpunca dari gerakan dari sebelah sayap, namun Mourinho membuktikan bahawa keputusan beliau untuk menggunakan sama ada Martial atau Rashford sebagai `supersub’  sering berhasil. Ketika ramai menjangka bahawa keputusan perlawanan bakal berakhir seri, Martial hadir selaku pemain yang membezakan antara pasukan yang menang dan yang kalah menerusi gol keempat peribadinya dalam saingan liga musim ini.

Kunci Perlawanan...

Menyaksikan United bermain menentang kelab besar lain seperti Liverpool dan Spurs sebenarnya menuntut kesabaran yang tinggi. Di atas padang hal sama turut berlaku menerusi taktik yang digunakan Mourinho. Pendekatan `perlawanan besar’ yang diamalkan Mourinho menyaksikan United sering dilabel bermain secara bertahan atau `anti football’.

Mungkin `tidak cantik’ di mata sesetengah individu, tetapi penting bagi Mourinho untuk melihat barisan pemainnya tidak tewas ketika berdepan perlawanan besar dan penting. Secara peribadi saya berpendapat United bukanlah bermain terlalu bertahan tetapi mereka sebenarnya cuma menunggu lawan melakukan kesilapan dan itulah sebenarnya yang berlaku di Anfield 14 Oktober lalu.

13 gol yang dijaringkan United musim ini berlaku dalam tempoh 15 minit terakhir dan jika fakta itu boleh diambilkira, memang ada kebenaran tentang apa yang saya sebutkan di atas. Semalam, kesabaran menanti peluang selama 81 minit berhasil menerusi gol jaringan Martial. Meskipun dilabel Mourinho sebagai `tendangan yang buruk’, tendangan itu berakhir dengan gol yang indah. Gol yang membolehkan United meraih kemenangan penting, serta gol yang meneruskan mimpi buruk Spurs di `Theatre of Dreams’. Glory Glory Manchester United!!!

26 Oktober 2017

VICTOR LINDELOF...SEMOGA INI BUKAN PEMBELIAN YANG GAGAL




Beliau tiba di Old Trafford dari Estadio da Luz dengan harapan tinggi kerana ramai penyokong-penyokong ingin melihat Victor Lindelof mampu membentuk gandingan menggerunkan bersama-sama Eric Bailly di benteng pertahanan Manchester United. Tidak dinafikan bahawa saya juga antara yang teruja bila mengetahui bahawa kelab berjaya menandatangani Lindelof, salah seorang pertahanan tengah yang dilabel paling menarik untuk disaksikan aksinya di Eropah.

Untuk seorang lelaki yang datang dari tanah Viking, sudah tentu saya mengharapkan sosok Lindelof ini mampu memberikan ketakutan kepada mana-mana penyerang lawan menerusi kekuatan fizikal serta corak permainan keras dimilikinya. Melihat kepada gaya permain Lindelof di Benfica, tidak salah jika pada mulanya kita meletakkan impian mahu melihat kelahiran semula duet mematikan Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand menerusi gandingannya bersama Bailly.

Ketika Lewandoski Mengakui Kualiti Lindelof...

Bayern Munich dan Benfica pernah berdepan antara satu sama lain di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara musim 2015/16. Dalam aksi separuh akhir kedua yang dilangsungkan di Estadio da Luz, Bayern menguasai penguasaan bola sebanyak 68% tetapi mereka akhirnya cuma mampu mencatatkan keputusan seri (2-2) meskipun melepaskan tujuh percubaan tepat ke arah gawang lawan.

Di akhir perlawanan, Bayern mara ke separuh akhir (menerusi kelebihan aggregat 3-2), tetapi penampilan Lindelof bersama Jardel Vieira di benteng pertahanan skuad Aguias dipuji Robert Lewandowski. Meskipun kurang mengenali Lindelof, Lewandoski mengakui sukar untuk beliau melepasi kawalan pemain yang akrab dengan gelaran Iceman itu sepanjang 180 minit aksi timbal balik.

“Beliau bersama rakan gandingannya (Jardel) bermain dengan sangat bagus. Sukar buat saya melepasi benteng pertahanan mereka. Saya akui bahawa saya kurang mengenali mereka tetapi (Lindelof dan Jardel) adalah contoh terbaik peningkatan kualiti dalam skuad Benfica”, kata warga Poland itu. Pujian Lewandowski memang bersebab kerana sepanjang 180 minit tempoh permainan, beliau hanya mampu melepaskan dua percubaan tepat.

Tipikal Pertahanan Yang Diperlukan United...

Peluang beraksi bersama skuad senior Benfica di pertengahan musim 2015/16 berikutan kecederaan yang dialami Luisao digunakan sepenuhnya menerusi persembahan terpuji yang dipamerkan beliau di benteng pertahanan. Di pasangan dengan Jardel yang lebih berpengalaman, Lindelof menambat hati penyokong-penyokong Benfica menerusi ketenangan dan kematangan beliau ketika mengawal benteng pertahanan.

Musim lalu beliau melakukan 32 penampilan liga untuk Benfica dan dari jumlah tersebut Lindelof berjaya menjaringkan satu gol, melakukan 1,617 hantaran dengan peratus ketepatan hantarannya mencapai 90%. Dalam situasi perebutan bola tinggi pula, beliau memenangi 69 dari 117 pertempuran di udara sekaligus catatan tertinggi berbanding mana-mana pemain pertahanan di Primeira Liga.

Bagaimanapun satu hal yang paling menarik bila bercakap tentang Lindelof ialah tentang kemampuan beliau `memegang’ bola dikakinya. Dianugerahi dengan kayakinan yang cukup tinggi, beliau mengingatkan saya kepada Rio Ferdinand, seorang legenda pertahanan United yang pada zaman kemuncaknya mampu membina gerakan-gerakan dari bawah serta `bermain-main’ dengan penyerang lawan walaupun bola berada di zon bahaya.

Pasangan Sempurna Untuk Bailly?...

Walaupun berdepan tempoh sukar sejak perpindahan beliau ke Old Trafford, saya masih menaruh keyakinan untuk melihat Lindelof-Bailly membentuk kombinasi mantap di benteng pertahanan United. Mungkin bukan sekarang tetapi sekiranya Jose Mourinho masih percaya dengan potensi, bakat serta kemampuan sebenar dimiliki warga Sweden ini sepertimana beliau meletakkan kepercayaan kepada Marouane Fellaini, saya yakin jelmaan Ferdinand-Vidic mampu dilahirkan semula.

Ketika Bailly memikat khalayak penyokong-penyokong United menerusi kelajuan, sikap tiada kompromi terhadap lawan melalui terjahan-terjahan kerasnya serta bijak merampas bola dari penguasaan lawan, kehadiran Lindelof pula bagi saya melengkapkan duet ini. Lindelof ialah tipikal `ball playing centre back’ menerusi teknik kawalan bola yang bagus, tenang, berkeyakinan dan bijak dalam membaca permainan. Jadi tidak hairanlah mengapa di awalnya ramai meletakkan harapan tinggi bahawa gandingan Ferdinand-Vidic mampu dijelmakan kembali.

Harapan Untuk `Iceman’...

Masuk sebagai pemain gantian tetapi lima minit selepas itu menyaksikan gawang sendiri dibolosi dan kemudiannya melakukan kesilapan mudah hingga membenarkan lawan menjaringkan gol kedua tentulah mimpi ngeri buat mana-mana pemain pertahanan. Semasa menyaksikan beliau masuk menggantikan Phil Jones di Kirklees Stadium, terdetik di dalam hati bahawa inilah masa yang tepat untuk Lindelof membuktikan potensi sebenar beliau.

Bagaimanapun takdir `bercerita’ sebaliknya apabila penampilan kedua beliau dalam saingan liga berakhir dengan tragedi. Jika tempoh selama tiga minit di Anfield tidak cukup untuk beliau membuktikan keupayaannya, aksi menentang Huddersfield pula menjadi pengajaran berguna buat Lindelof bahawa banyak lagi aspek yang perlu beliau perbaiki dalam permainannya jika mahu berjaya di Liga Perdana.

Dengan tempo permainan di Liga Perdana yang lebih laju dan fizikal berbanding Primeira Liga, apa yang mampu dilakukan beliau ialah cuba menyesuaikan diri sepantas mungkin dengan corak permainan United jika tidak mahu dilabel sebagai `pembelian yang gagal’. Secara peribadi saya masih menaruh harapan agar Lindelof mampu beradaptasi dengan `dunia’ bolasepak Inggeris sekaligus muncul tembok kukuh benteng pertahanan United suatu hari nanti.

Belajar Dari Vidic...

Lindelof memiliki fizikal yang cukup sempurna untuk seorang pemain yang bermain di posisi pertahanan tengah dan jika dilihat pada statistiknya ketika bersama Benfica, beliau juga sangat dominan ketika di udara. Sepertimana Ferdinand, Lindelof juga memiliki aset yang sangat berharga dalam permainannya iaitu mampu melakukan `tackle’ yang bersih dan tepat. Jadi tidak hairanlah mengapa sepanjang 45 penampilan beliau bersama Benfica di musim 2016/17, Lindelof hanya dilayangkan kad kuning sebanyak dua kali.

Meskipun memiliki ketinggai 6’ 2” dan berat 80kg, beliau juga sangat dikenali antara pertahanan tengah yang pantas, dan kerana kepantasan yang dimilikinya juga menyaksikan Lindelof sering diberikan peranan untuk bermain sebagai bek kanan ketika bersama skuad kebangsaan. Melihat kepada potensi, bakat dan statistik beliau sebelum ini, agak mengejutkan apabila melihat Lindelof bergelut dalam perjuangan beliau untuk `hidup’ dalam dunia bolasepak Inggeris atau merebut posisi dalam kesebelasan utama United.

Bagaimanapun situasi ini bukanlah asing untuk seorang pemain yang baru tiba di England. Jika anda masih ingat, Vidic juga berdepan kesukaran menyesuaikan diri dengan corak permainan di Liga Perdana ketika peringkat awal penyertaan beliau bersama United. Dengan sedikit masa, kesabaran dan kerja keras, pelaburan Fergie ke atas Vidic akhirnya berbaloi selepas `Penyembelih Balkan’ itu berjaya membentuk duet pertahanan paling menakutkan pernah disaksikan di Liga Perdana bersama Ferdinand. Jika Vidic berjaya melakukannya mengapa tidak Lindelof. Glory Glory Manchester United!!!