18 Oktober 2020

HAL POSITIF YANG BERLAKU KE ATAS UNITED DI ST JAMES PARK


Rombakan Di Bahagian Tengah

 

Sekali lagi tiada nama Donny Van de Beek dalam senarai kesebelasan utama United tetapi tetap ada rombakan besar yang dilakukan Ole Gunnar Solskjaer di jentera tengah skuadnya. Tiada juga nama Paul Pogba dan Nemanja Matic sepertimana lazimnya, tetapi dua nama itu digantikan beliau dengan Fred dan Scott McTominay yang berperanan sebagai `double pivot’.

 

Fred dan McTominay melaksanakan tugas mereka dengan berkesan sepanjang perlawanan terutamanya dalam melindungi empat rakan mereka di benteng pertahanan.  Sepanjang perlawanan kombinasi Fred dan McTominay melakukan 4 (tackle), 4 (intercept) dan 1 (clearance) ketika bertahan. Di posisi sayap kanan dan kiri pula, Solskjaer meletakkan Juan Mata dan Daniel James manakala Marcus Rashford bergerak selaku penyerang tengah.

 

Pesta Gol

 

Cemas pada awalnya apabila pintu gol United bolos seawal minit ke-2 tetapi di akhir perlawanan kita akhirnya tersenyum selepas melihat barisan kendalian Solskjaer pulang dari St James Park dengan tiga mata penuh. Bukan itu sahaja, mereka juga berjaya meledak empat gol ke gawang lawan yang dikawal Karl Darlow menerusi jaringan Harry Maguire, Bruno Fernandes, Aaron Wan Bissaka dan Marcus Rashford.

 

Sorotan pastinya terarah kepada Bruno yang gagal menyempurnakan sepakan penalti di minit ke-57. Ini merupakan kegagalan ketiga Bruno dari 31 tendangan penalti yang diambil beliau sepanjang karier profesionalnya. Bagaimanapun kegagalan tersebut di tebus Bruno menerusi gol kedua United yang dihasilkannya di minit ke-86.

 

Selain itu Bruno turut menyumbangkan satu bantuan gol yang disempurnakan Marcus Rashford di penghujung perlawanan. Di barisan hadapan, Rashford bertindak sebagai penyerang tengah berikutan ketiadaan Anthony Martial dan peranan itu dilaksanakan beliau dengan berkesan menerusi satu gol yang dijaringkannya serta dua bantuan gol yang disempurnakan Bruno dan Aaron Wan-Bissaka.

 

`Comeback’ Gaya Maguire

 

Menurunkan Harry Maguire dalam perlawanan ini memang satu perjudian besar yang dilakukan Solskjaer selepas prestasi buruk yang dipamerkan benteng pertahanan United dalam tiga aksi liga sebelum ini. Layangan kad merah yang diterima Maguire ketika aksi antarabangsa menentang Denmark tempohari sekadar memburukan lagi situasi yang dialami kapten United itu.

 

Tatkala suara-suara yang menyarankan agar Maguire direhatkan dalam perlawanan ini begitu kuat kedengaran, Solskjaer pula menongkah arus menerusi tindakan berani beliau yang terus menyenaraikan nama bekas pertahanan Leicester City itu dalam kesebelasan utamanya di St James Park. Kepercayaan yang diberikan Solakjaer dibayar Maguire menerusi satu gol yang dijaringkannya, manakala dalam situasi defensif pula beliau melakukan 4 (intercept) dan 3 (clearance).

 

Gol Wan-Bissaka dan Penampilan Mata

 

Aaron Wan-Bissaka pernah dilabel sebagai bek sisi yang tidak memenuhi spesifikasi bolasepak moden oleh Wayne Rooney. Meskipun punya kualiti yang bagus ketika bertahan, kemampuan offensive Wan-Bissaka kadangkala agak meragukan. Bagaimanapun dalam perlawanan ini bekas bek Crystal Palace itu bukan sahaja berjaya menjaringkan satu gol, tetapi beliau juga melepaskan dua percubaan tepat dan melakukan dua key passes dalam situasi offensive.

 

Bagaimana pula dengan Juan Mata? Keputusan Solskjaer menurunkan Mata dalam perlawanan ini sebenarnya agak mengejutkan tetapi jika anda melihat kepada rekod Mata setiap kali beliau berdepan Newcastle United, keputusan Solskjaer ini sebenarnya ada asasnya. Untuk rekod, Mata terlibat secara langsung dalam sembilan gol ketika beliau bermain menentang Newcastle  di Liga Perdana (empat gol dan lima assist). Awal pagi tadi beliau tidak menjaringkan gol, tetapi assist dari beliau membolehkan Harry Maguire menjaringkan gol penyamaan.

 

Rekod Baharu

 

Kemenangan yang dilakar United di St James Park ini turut menyaksikan Solskjaer melakar rekod peribadi baharu di Old Trafford. Kemenangan ini merupakan kemenangan keenam berturut-turut yang dilakar United di gelanggang lawan, satu catatan yang sebenarnya tidak berjaya dilakukan sama ada oleh Sir Matt Busby dan atau Sir Alex Ferguson sekalipun. Glory Glory Manchester United!!!

 

Rekod 6 Perlawanan Terakhir United Di Gelanggang Lawan:

.

Brighton (3-0) - Greenwood, Bruno (2)

Aston Villa (3-0) - Bruno (pen), Greenwood, Pogba

Crystal Palace (2-0) - Rashford, Martial

Leicester City (2-0) - Bruno (pen), Lingard

Brighton (3-2) - Dunk (GS), Rashford, Bruno (pen)


 

15 Oktober 2020

BRIGHTON SUDAH…UNITED BILA LAGI?

 


Martin Edwards dikenali kerana ketegasan beliau mempertahankan Alex Ferguson biarpun berdepan tekanan dari penyokong yang mahukan pengendali dari Scotland itu dipecat berikutan prestasi buruk dipamerkan Manchester United pada musim 1988/89. Keputusan Edwards untuk tetap mempertahankan Fergie di kerusi pengurus akhirnya berbayar apabila United memenangi trofi pertama mereka dalam tempoh lima tahun menerusi kejayaan menundukkan Crystal Palace di pentas final Piala FA pada 1990.

 

Setahun selepas itu, dua jaringan dari Mark Hughes ke gawang Barcelona menyaksikan United sekali lagi berada di podium kejuaraan dan kali ini di pentas Eropah pula menerusi kejayaan mereka menjulang kejuaraan Cup Winners Cup di Rotterdam. Pada 1993 pula, penantian panjang selama 26 tahun berakhir apabila skuad kendalian Fergie melakar sejarah apabila mereka dinobatkan selaku juara pertama Liga Perdana Inggeris.

 

Selepas itu, United tidak lagi menoleh ke belakang apabila mereka muncul kuasa dominan di England manakala kejuaraan demi kejuaraan terus memenuhi kabinet trofi di Old Trafford. Fergie tidak akan berjaya jika beliau tidak disokong Edwards yang merupakan pengerusi United dari 1980 hingga 2002. Kolaborasi antara Fergie dan Edwards menyaksikan United berjaya menguasai bolasepak England dalam tempoh sedekad di mana kemuncaknya berlaku pada musim 1998/99 menerusi kejayaan kelab menjulang kejuaraan `Treble’.

 

Siapa pemain hebat yang berjaya dibawa Edwards ke Old Trafford sepanjang era beliau dalam pengurusan kelab? Antaranya ialah Bryan Robson, Mark Hughes, Brian McClair, Gary Pallister, Eric Cantona, Roy Keane, Andy Cole, Dwight Yorke, Jaap Stam dan Rud Van Nistelrooy. Kesinambungan kejayaan Edwards kemudiannya di teruskan pula oleh David Gill yang menggantikan posisi Peter Kenyon pada 2003 hinggalah beliau meletak jawatan pada 2013, seiring dengan persaraan Fergie selaku pengurus United.

 

Bermula dari 2013 hinggalah sekarang, Ed Woodward meneruskan kesinambungan kerja-kerja yang pernah dilakukan Edwards, Kenyon dan Gill termasuklah urusan bagi merekrut pemain baharu setiap kali jendela perpindahan dibuka. Dan sejak itu jugalah aktiviti United dalam setiap bursa perpindahan pemain dijadikan sasaran kritikan, bukan sahaja oleh pemerhati bolasepak tetapi juga penyokong-penyokong mereka sendiri.

 

Radamel Falcao, Angel Di Maria, Memphis Depay, Morgan Schneiderlin, Bastian Schweinsteiger, Henrikh Mkhitaryan dan Alexis Sanchez antara `blunder’ yang dilakukan Woodward sejak beliau mengambilalih posisi Gill sejak lebih tujuh tahun yang lalu. Manakala `maneuver’ United yang sangat perlahan dalam bursa perpindahan musim panas kali ini juga masih lagi sama sepertimana musim-musim sebelumnya.

 

Pergerakan kelab di bawah seliaan Woodward tidak selincah Marina Granovskala untuk Chelsea atau Michael Edwards untuk Liverpool terutamanya dalam melakukan rundingan. Jadi tidak hairanlah mengapa anda sekali lagi kempunan untuk melihat United merealisasikan perpindahan pemain seperti Jadon Sancho atau Dayot Upamecano, sama sepertimana Woodward menghampakan kita ketika beliau gagal menandatangani Erling Haaland pada Januari lalu.

 

Ketiadaan seorang `Director of Football’ (DoF) antara penyebab mengapa United begitu perlahan dalam setiap bursa perpindahan pemain. Ketiadaan seorang DoF juga bermakna kelab bergantung sepenuhnya kepada kapasiti Woodward dalam hal merekrut pemain-pemain baharu atau melakukan rundingan, individu yang pernah dilabel Louis Van Gaal sebagai `tidak tahu apa-apa tentang bolasepak’.

 

Meletakkan seorang DoF atau pengarah teknikal dalam hierarki pengurusan United sepatutnya menjadi satu keperluan dalam era bolasepak moden. Apatah lagi kelab seperti Brighton & Hove Albion sudah memandang jauh ke hadapan dan mendahului United apabila mereka menamakan Dan Ashworth sebagai pengarah teknikal kelab pada 2019.

 

Isu perlunya seorang DoF atau pengarah teknikal bukanlah isu yang baharu bagi United kerana sebelum ini mereka pernah dikaitkan dengan nama-nama seperti Ramon Rodriguez Verdejo (Monchi), Fabio Paratici, Beppe Marotta, Paul Mitchell hinggalah kepada Darren Fletcher, Rio Ferdinand dan Edwin Van der Sar sebagai DoF pertama di Old Trafford. Selain dari nama yang saya sebutkan tadi, seorang lagi individu yang tidak kurang hebatnya dan layak untuk dipertimbangkan sebagai DoF pertama United ialah Luis Campos.

 

Siapakah individu bernama Luis Campos ini? Ketika ini Campos merupakan DoF untuk kelab yang beraksi di Ligue 1 iaitu LOSC Lille. Untuk rekod beliau jugalah individu yang pernah menyuarakan agar United meletakkan seorang DoF dalam hierarki pengurusan mereka.  “Seorang DoF sangat penting dalam sukan ini. Saya percaya, saya boleh membantu United. Peranan DoF ini sangat-sangat penting hingga anda perlukan mereka dalam bolasepak moden” kata Campos.

 

Keberadaan beliau di Stade Pierre-Mauroy memberikan pengaruh yang besar kepada kebangkitan Lille. Selepas hampir tersingkir dari saingan Ligue 1 musim sebelumnya, Lille bangkit selepas itu untuk menempah tiket ke saingan Liga Juara-Juara musim lalu selepas menamatkan kempen Ligue 1 musim 2018/19 di tangga kedua. Bagaimana pula dengan kemampuan beliau setiap kali berurusan dalam bursa perpindahan pemain?

 

Antara kejayaan Campos yang akan dikenang ialah penjualan Nicholas Pepe ke Arsenal pada tahun lalu dengan nilai €72 juta, sedangkan mereka cuma membayar €10 juta kepada Angers SC ketika menandatangani pemain Ivory Coast itu pada 2017. Kekosongan yang ditinggalkan Pepe kemudiannya diisi Campos apabila Lille mendapatkan khidmat Victor Osimhen dari Wolfsburg.

 

Berapa nilai yang dibayar Lille ketika mereka mendapatkan Osimhen dan berapa pula nilai pemain itu ketika mereka melepaskannya ke Napoli pada Julai lalu? Lille cuma mengeluarkan dana sebanyak €13 juta ketika mereka menandatangani Osimhen dari Wolfsburg pada 2019, tetapi hanya setahun selepas itu mereka melepaskan pemain muda Nigeria itu ke  Napoli dengan nilai perpindahan sebanyak €70 juta.

 

Itu kisah kehebatan beliau di Lille, tetapi bagaimana pula dengan kerja-kerja yang dilakukan Campos ketika masih bersama AS Monaco? Fabinho, Benjamin Mendy, Anthony Martial, Thomas Lemar, Bernardo Silva dan Kylian Mbappe antara bakat yang berjaya dicungkil Campos ketika beliau menjawat tugasnya sebagai DoF untuk AS Monaco. Dimana mereka sekarang? Seperti yang anda tahu pemain yang saya sebutkan tadi kini bertebaran beraksi untuk kelab-kelab besar sekitar Eropah.

 

Campos hanyalah salah satu contoh mengapa seorang DoF boleh memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan sesebuah pasukan. Tugas seorang DoF bukan sekadar merekrut pemain baharu kerana di Brighton & Hove Albion, tugas Dan Ashworth tidak terbatas untuk skuad utama sahaja tetapi meliputi skuad wanita, akademi, sains perubatan dan sukan serta peminjaman pemain.

 

Memecat Ole Gunnar Solskjaer tidak akan menyelesaikan masalah sebenar United, begitu juga jika mereka melantik mana-mana pengurus baharu bagi menggantikan tempat beliau. Louis Van Gaal dan Jose Mourinho antara contoh pengurus berprofil tinggi yang menjadi korban akibat dari sistem kelab yang ketinggalan zaman. Agak malang ketika kelab kerdil seperti Brighton sudah memandang jauh ke hadapan, United pula masih `berjudi’ dengan meletakkan masa depan kelab di tangan seorang `individu yang tidak tahu apa-apa tentang bolasepak’. Glory Glory Manchester United!!!


09 Oktober 2020

KERANA KUALITI ATAU PANIK?



Di barisan hadapan anda dambakan Jadon Sancho, dijentera tengah anda pasti membayangkan perpindahan Thiago Alcantara bakal menjadi kenyataan manakala kelibat Kalidou Koulibaly sudah lama diimpikan untuk menjadikan benteng pertahanan United lebih kukuh. Bagaimanapun realitinya tidak begitu kerana selepas jendela perpindahan pemain musim panas ditutup, United menandatangani pemain-pemain yang mungkin tidak pernah anda fikir untuk menyarung jersi merah The Red Devils musim ini.

 

Bermula dengan kedatangan Donny Van de Beek sebagai rekrut pertama, disusuli dengan Alex Telles, Edinson Cavani, Facundo Pellistri dan Amad Traore menyusul selepas itu. Telles, Cavani, Pellistri dan Traore tiba pada detik-detik terakhir sebelum bursa perpindahan pemain ditutup, jadi tidak hairanlah mengapa mereka dilabel sebagai pembelian panik yang dilakukan United selepas berminggu-minggu manuever mereka dalam usaha mendapatkan pemain baharu dikritik pemerhati dan penyokong sendiri.

 

Meskipun pada awalnya dikaitkan dengan begitu banyak nama, United hanya aktif pada hari terakhir bursa perpindahan pemain dengan menandatangani empat lagi nama baharu. Cavani masih antara nama besar dalam dunia bolasepak ketika ini, tetapi tentunya tidak ramai yang pernah mendengar nama Telles, Pellistri dan Traore jika anda bukan pengikut bolasepak Itali, Portugal apatah lagi Uruguay. Jika anda lega apabila kelab akhirnya mendapatkan empat pemain baharu pada hari terakhir bursa perpindahan pemain, namun tidak kepada Kaveh Solhekol yang juga merupakan jurnalis Sky Sports.

 

Dengan nada yang agak keras, Solhekol melabelkan United sebagai `losers’ dalam bursa perpindahan kali ini. “Anda boleh katakan bahawa Manchester United adalah `losers’ di bursa perpindahan. Mereka gagal merekrut Jadon Sancho sedangkan sepanjang musim panas kami diberitahu bahawa dia adalah sasaran nombor satu United. United salah satu kelab besar dan terkaya di dunia tetapi mereka gagal mendapatkan  pemain yang mereka sasarkan”, kata Solhekol.

 

Kualiti Pemain Baharu

 

Tidak adil untuk kita meletakkan kualiti sebenar kepada lima pemain baharu yang ditandatangani United musim ini. Kecuali Donny Van de Beek yang sudah melakukan penampilan untuk United, empat lagi pemain masih belum menendang bola dengan jersi merah The Red Devils, malah Amad Traore akan hanya tiba di Old Trafford pada Januari tahun hadapan.

 

Selaku pemain paling berpengalaman berbanding empat yang lain, harapan tinggi tentunya diletakkan penyokong-penyokong United terhadap Cavani untuk mengubah wajah barisan hadapan United agar lebih garang. Manakala Van de Beek, Telles, Pellistri dan Traore pula adalah aset jangka panjang kelab yang memenuhi obsesi Ole Gunnar Solskjaer terhadap bakat-bakat muda.

 

Alex Telles: 

 

Di atas kertas, Telles dijangka mampu memberikan dimensi baharu kepada benteng pertahanan United menerusi kemampuan beliau ketika bertahan atau ketika naik membantu serangan dalam situasi offensive. Bolasepak moden memang perlukan seorang bek sisi seperti itu, bukan hanya bagus ketika bertahan tetapi juga mampu membuka peluang kepada rakan dibarisan hadapan menerusi hantaran-hantaran yang dilakukan dari sebelah sisi. Sudah tentu Marcus Rashford bakal menerima impak yang besar berikutan kehadiran Telles.

 

Facundo Pellistri

 

Secara jujur, saya tidak pernah mendengar nama Facundo Pellistri sebelum ini. Ketika United sendiri dikaitkan dengan minat mereka untuk mendapatkan Ousmane Dembele sebagai alternatif kepada kegagalan mendapatkan Jadon Sancho, tiba-tiba nama Pellistri diumumkan sebagai rekrut terbaharu kelab musim ini. Pellistri merupakan pemain yang masih muda, baru berusia 18 tahun, jadi timbul keraguan tentang kemampuan beliau untuk memberikan sumbangan berkesan kepada skuad kendalian Solskjaer dan beradaptasi dengan budaya bolasepak Inggeris.

 

Jangan remehkan seorang budak hanya kerana usianya. Menurut Juan Roman Riquelme, bekas `Si Trequartista’ Argentina dan Boca Juniors ini, hanya segelintir pemain yang memiliki keberanian untuk menjadi `nakal’ di atas padang dan Pellistri salah satu diantaranya. “Dia masih muda dan berbakat. Dia belum menikmati minit permainan yang banyak tetapi dia memiliki teknik individu yang bagus ketika bola berada di kakinya. Itu faktor yang sangat penting”, kata Riquelme. Secara keseluruhannya, Pellistri melakukan 37 penampilan, menjaringkan dua gol dan menyumbang empat assist sejak beliau dipromosikan ke skuad utama Penarol pada Ogos 2019.

 

Amad Traore

 

Dari lima pemain yang direkrut United musim ini, beliau adalah pemain termuda tetapi Traore akan hanya menyertai United pada Januari 2021 berikutan masalah permit kerja. Apakah tarikan yang ada pada Traore hinggakan United sanggup `berjudi’ dengan membelanjakan sehingga £18 juta bagi mendapatkan khidmatnya? Pada awal musim 2019/20, Traore dipromosikan ke skuad utama Atalanta selepas penampilan cemerlangnya bersama skuad remaja.

 

Musim lalu, Traore melakukan tiga penampilan untuk Atalanta di Serie A dan sudah tentu debut beliau pada 27 Oktober ketika berdepan Udinese meletakkan namanya dalam tajuk utama akhbar. Empat minit selepas beliau masuk ke padang, Traore menjaringkan gol pertamanya pada penampilan pertama untuk skuad utama Atalanta sekaligus meletakkan beliau sebagai pemain kelahiran 2002 pertama yang menjaringkan gol dalam saingan tertinggi liga bolasepak Itali.

 

“Dia bermain seperti Messi. Untuk menghentikannya dalam sesi latihan, kami kadangkala terpaksa menendangnya”, kata Papu Gomez yang juga merupakan kapten Atalanta. Selepas penampilan pertama berdepan Udinese, Traore hanya diturunkan Gian Piero Gasperini dalam saingan liga sebanyak dua kali kerana pengendali itu tidak mahu momentum skuadnya yang sedang menikmati musim paling cemerlang mereka terganggu.

 

Bersama skuad U-19 Atalanta, Taore lebih kerap diplotkan untuk beraksi sebagai pemain sayap meskipun memulakan karier remajanya dengan peranan sebagai `pemain nombor 10’. Hasilnya Traore berjaya  menjaringkan tujuh gol dan mencipta sebelas bantuan gol dari 24 penampilan sekaligus membantu skuad remaja Atalanta menjulang kejuaraan Primavera 1. Meskipun cenderung bermain di posisi sayap kanan, namun Traore juga sebenarnya boleh berperanan dengan baik di sebelah kiri.

 

Penutup

 

United sering melakukan pembelian pada saat-saat akhir sebelum bursa perpindahan pemain ditutup, terutamanya pasca persaraan Sir Alex Ferguson. Musim panas tahun lalu, United dikaitkan dengan pembelian Mario Mandzukic, Kalidou Koulibaly dan Paulo Dybala tetapi yang datang ialah Daniel James, Harry Maguire dan Aaron Wan-Bissaka. Pada pertengahan musim pula mereka menandatangani Odion Ighalo hanya beberapa jam sebelum bursa perpindahan ditutup selepas beberapa hari ketibaan Bruno Fernandes di Old Trafford.

 

Musim ini ada peningkatan dari segi kuantiti, kerana kelab berjaya merekrut lima pemain baharu sepanjang bursa perpindahan pemain musim panas dibuka, di mana empat daripadanya (Telles, Cavani, Pellistri dan Traore) merupakan pembelian pada `deadline day’. ESPN pula dalam laporan mereka mengatakan bahawa Solskjaer sebenarnya memiliki empat sasaran pemain yang beliau mahukan. Mereka ialah Jadon Sancho, Dayot Upamecano, Jack Grealish dan Nathan Ake.

 

Namun pengakhirannya seperti sudah dijangka kerana tiada satu pun nama yang disenaraikan ESPN itu berjaya ditandatangani kelab. Meskipun begitu saya berpendapat tiada salahnya dengan pembelian Telles dan Cavani kerana mereka adalah pemain yang memenuhi keperluan kelab ketika ini. Telles  bakal menambah kekuatan di sisi kiri pertahanan United kerana bagi saya Luke Shaw tidak cukup agresif ketika menyerang. Manakala Cavani pula masih penyerang elit dan opsyen yang lebih baik berbanding Ighalo di barisan hadapan.

 

Kehadiran Van de Beek akan menambahkan lagi kreativiti di bahagian tengah cuma kita masih menanti bilakah agaknya Solskjaer memiliki `keberanian’ untuk menyenaraikan beliau dalam kesebelasan utama United pada aksi liga. Pellistri dan Traore pula adalah bakat sedang meningkat naik, jadi tidak adil untuk anda mengharapkan agar dua anak muda ini memberikan impak besar pada musim pertama mereka di Old Trafford.

 

Bagi sesetengah daripada anda, ini mungkin bukan `pembelian impian’ atau pemain yang anda harapkan direkrut United pada bursa perpindahan kali ini. Adakah kehadiran Van de Beek, Telles, Cavani, Pellistri dan Traore mampu meningkatkan kualiti barisan The Red Devils? Atau adakah ini satu lagi siri kegagalan kelab di bursa perpindahan pemain terutamanya menerusi keputusan mereka menandatangani Telles, Cavani, Pellistri dan Traore pada deadline day? Atau juga empat pemain ini satu pembelian panik yang dilakukan kelab pada detik-detik akhir? Glory Glory Manchester United!!!

07 Oktober 2020

TUGAS BERAT YANG BAKAL MENANTI CAVANI

 


Ada perasaan bercampur baur selepas Manchester United mengumumkan secara rasmi bahawa mereka berjaya mendapatkan khidmat Edinson Cavani secara percuma. Selama berbulan-bulan kita didendangkan dengan cerita-cerita tentang saga perpindahan Jadon Sancho ke Old Trafford, tetapi akhirnya kelab mengambil `langkah ke belakang’ dengan menandatangani pemain veteran seperti Cavani untuk dipertaruhkan di jentera serangan mereka.

 

Anda boleh mengambil sikap skeptikal atau sinikal dengan keputusan kelab merekrut pemain veteran seperti Cavani, tetapi secara peribadi impian saya yang mahu melihat United menandatangani seorang penyerang tengah tulen (secara tetap) akhirnya tercapai. Umur cumalah angka kerana pemain seperti Zlatan Ibrahimovic, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo sudah membuktikan bahawa mereka masih mampu beraksi di peringkat tertinggi meskipun usia masing-masing sudah melepasi angka 30 an.

 

Jangan lupakan juga bahawa legenda United seperti Ryan Giggs dan Paul Scholes berjaya membantu kelab menjulang kejuaraan liga ketika usia masing-masing sudah pun mencecah angka 37 dan 38 tahun. Umur bukanlah satu isu yang terlalu besar kerana saya percaya Cavani masih bertenaga dan memiliki motivasi yang cukup tinggi untuk bermain di liga-liga utama Eropah, manakala United pula adalah lembaran baharu dalam karier beliau.

 

Bagaimanapun tetap ada keraguan memandangkan United sendiri pernah berdepan kegagalan dengan pemain-pemain yang berasal dari benua Amerika Latin. Kleberson, Juan Sebastian Veron, Diego Forlan, Radamel Falcao, Alexis Sanchez dan Angel Di Maria antara pemain yang saya maksudkan. Di era kemuncaknya, ketajaman Cavani dalam menyempurnakan peluang menyaksikan beliau muncul penjaring terbanyak di Itali (2012/13) dan Perancis (2016/17 dan 2017/18).

 

Dan sebagai seorang penyerang yang sangat berpengalaman, kehadiran Cavani diharap mampu menjadikan jentera serangan United lebih tajam. Meskipun Solskjaer cuba membina semula United berteraskan kekuatan pemain-pemain muda, namun sosok Cavani yang berjaya menjaringkan 200 gol dari 301 penampilan untuk Paris St Germain dalam semua peringkat kejohanan adalah tarikan yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Apatah lagi United tidak perlu membayar kepada mana-mana kelab untuk mendapatkan khidmat beliau.

 

Kedatangan Cavani bermakna Odion Ighalo akan kembali semula ke China dan sudah tentu juga perubahan strategi akan berlaku. Apa yang dilakukan Solskjaer selama ini kepada barisan hadapan United ialah meletakkan trio Anthony Martial, Mason Greenwood dan Marcus Rashford bagi memburu gol. Dengan adanya Cavani, besar kemungkinan Martial terpaksa dikorbankan bagi memberi laluan kepada penggempur Uruguay itu berperanan sebagai penyerang tengah, manakala Mason dan Rashford akan bergerak di kiri dan kanan.

 

Kedatangan Cavani juga bermakna, United kini memiliki opsyen tambahan ketika menyerang, sama ada mereka mahu memberikan tekanan kepada benteng pertahanan lawan menerusi gerakan dari sisi kanan dan kiri atau melakukan hantaran terus kepada Cavani di bahagian tengah. Dengan ketinggian 1.84 meter serta postur tubuh yang tegap, Cavani juga sebenarnya mampu memberikan cabaran kepada benteng pertahanan lawan menerusi duel-duel bola tinggi.

 

Kehadiran Cavani bukan sahaja memberikan energy tambahan kepada jentera serangan United, tetapi apa yang lebih penting ialah kemampuan beliau menjaringkan gol dalam pelbagai sudut dan situasi. Selepas kekalahan besar kepada Spurs tempohari, kedatangan Cavani pada detik-detik akhir sebelum jendela perpindahan pemain ditutup setidak-tidaknya mengubat sedikit kelukaan penyokong-penyokong United.

 

Mungkinkah Cavani bakal menjadi jawaban kepada ketumpulan jentera serangan United yang cuma mampu melepaskan lima percubaan ketika berdepan Spurs tempohari? Menurut Tim Vickery yang juga merupakan pakar bolasepak Amerika Latin, United melakukan langkah yang tepat dengan merekrut Cavani biarpun kelab berdepan risiko atas faktor usia penggempur itu yang bukan lagi muda.

 

“Tidak diragukan lagi bahawa Edinson Cavani adalah penyerang yang memiliki kelas tersendiri. Anda boleh mengungkit tentang usianya tetapi dia sudah menjaringkan banyak gol untuk PSG dan Napoli. Jangan lupakan bahawa dia juga sudah menjaringkan 50 gol untuk Uruguay”, kata Vickery. Corak permainan Cavani sebenarnya ada sedikit percampuran antara gaya penyerang moden dan tradisional. Anda boleh labelkan Cavani sebagai `baka poacher’ kerana naluri semulajadinya dan sangat klinikal ketika berada di dalam petak penalti lawan.

 

Bagaimanapun berbanding `baka poacher’, Cavani ketika era kemuncaknya saya anggap antara penggempur sempurna dalam dunia bolasepak moden. Memiliki kelajuan, mampu mencabar mana-mana pertahanan lawan dalam duel bola tinggi, memiliki teknik kawalan bola yang bagus, tajam dalam menyudahkan peluang serta mampu memberikan bantuan gol kepada rakan-rakan sepasukan. Paling menarik adakalanya beliau juga cenderung turun sedikit ke bawah untuk menerima bola sebelum melakukan gerakan.

 

Bagi Andy Cole yang juga merupakan bekas penggempur United dan pemenang medal kejuaraan treble pada 1999, beliau menganggap kehadiran Cavani bakal memberikan impak positif untuk skuad The Red Devils. Jika ramai pihak meramalkan kedatangan Cavani bakal membuatkan Martial tersisih, Cole pula mengatakan bahawa adanya Cavani di barisan hadapan bakal meringankan lagi beban yang dipikul Martial selaku penggempur utama sebelum ini.

 

“Anthony Martial masih seorang pemain yang mentah. Dia masih lagi dalam proses pembelajaran. Kita semua tahu tugas Martial sebagai seorang penyerang, tetapi masalahnya dia tidak konsisten. Bagi penyokong United pula mereka mahu melihat Martial konsisten setiap minggu. Jadi sekarang mereka mahukan seorang penyerang yang sudah terbukti prestasinya. Faktor itu ada pada Cavani”, kata Cole kepada Talksport.

 

Di Old Trafford, Cavani diberikan penghormatan untuk memakai jersi ikonik milik United, iaitu jersi `nombor 7’, sekaligus meletakkan beliau selaku pemain kesembilan United yang memakai jersi tersebut dalam tempoh 27 tahun sejak Liga Perdana memperkenalkan peraturan nombor skuad pada musim 1993/94. George Best, Bryan Robson, Eric Cantona, David Beckham dan Cristiano Ronaldo antara nama agung yang pernah diberikan penghormatan untuk memakai jersi nombor 7 United.

.

Selepas Ronaldo menyertai Real Madrid, jersi nombor 7 United semakin hilang `keramatnya’, malah pewaris jersi tersebut selepas pemergian Ronaldo hanya membuatkan penyokong United `panas hati’. Antusiasme dan optimisme Cavani memang cukup tinggi selepas beliau disahkan secara rasmi sebagai pemain United, tetapi tugas besar yang digalas beliau selepas ini bukan sahaja menjadikan jentera serangan United lebih tajam, tetapi juga meletakkan kembali `keramat’ jersi nombor 7 ke tempat sepatutnya. Mampukah Cavani menjadi seperti Best, Robson, Cantona, Beckham dan Ronaldo atau setaraf Michael Owen, Memphis Depay, Angel Di Maria dan Alexis Sanchez? Glory Glory Manchester United!!!



06 Oktober 2020

SELAMAT DATANG ALEX TELLES

 


Manchester United mengumumkan secara rasmi kejayaan mereka menandatangani Alex Telles dari FC Porto. Menurut laporan BBC, nilai perpindahan Telles ke Old Trafford ialah sebanyak £13.6 juta, dan sepertimana anda tahu pemain Brazil ini didatangkan bagi menambah kualiti di sisi kiri pertahanan United.

 

Telles memulakan karier beliau di Eropah pada 2014 dengan meyertai Galatasaray selepas menghabiskan tempoh tiga tahun kariernya di Brazil dengan beraksi untuk Juventude dan Gremio. Bagaimanapun pada 2015, beliau dipinjamkan ke Inter Milan sebelum menyertai FC Porto setahun kemudian.

 

Porto merekrut beliau untuk mengisi tempat Alex Sandro bagi menghidupkan permainan mereka di posisi bek kiri. Sepertimana tipikal bek-bek sisi dari Brazil yang memiliki attacking minded dalam ciri permainan mereka, Telles juga cukup dikenali kerana kerajinan beliau untuk naik membantu serangan dan melepaskan hantaran-hantaran silang ke arah petak penalti lawan.

 

Sepanjang kariernya di Eropah, Telles berjaya membantu Galatasaray menjulang kejuaraan Super Lig, Piala Turki dan Turkish Super Cup manakala di Portugal beliau memiliki medal kejuaraan Primeira Liga (dua kali), Piala Portugal dan Piala Super Portugal. Musim lalu, Telles melakukan 49 penampilan untuk Porto dalam semua kejohanan, menjaringkan 13 gol dan menyumbang lima bantuan gol.

 

Bersama FC Porto, Telles sudah memenangi kesemua kejuaraan domestik yang ditawarkan, dan kini di Old Trafford beliau akan berdepan dengan cabaran baharu dalam kariernya. Telles merupakan pembelian kedua yang dilakukan kelab musim ini, dan semoga kehadiran beliau bakal menambah kualiti di benteng pertahanan United, terutamanya di sisi kiri. “Selamat Datang ke Old Trafford Alex Telles”. Glory Glory Manchester United!!!

05 Oktober 2020

REVIEW: BENCANA DI OLD TRAFFORD



Kecewa, marah dan sedih…hanya tiga perkataan yang mampu saya lontarkan sebaik sahaja melihat bagaimana Manchester United dimalukan buat kali kedua dalam tempoh hanya dua minggu. Kekalahan (1-3) kepada Crystal Palace dalam aksi pertama liga sudah cukup memalukan, dan kini kita terpaksa berdepan dengan satu lagi realiti kekalahan di Old Trafford tetapi kali ini dengan jaringan lebih besar. Apa yang berlaku sebenarnya? Itu pertanyaan yang bermain di fikiran penyokong-penyokong, selepas United tewas dua dari tiga perlawanan awal liga mereka.

 

Paling membimbangkan pintu gol mereka juga sudah dibolosi lawan sebanyak 11 kali hanya dalam tiga perlawanan liga. Ya…anda mungkin boleh katakan bahawa layangan kad merah kepada Anthony Martial penyebab utama kekalahan besar (1-6) kepada Tottenham Hotspurs semalam, tetapi dalam masa yang sama kita juga perlu mengakui bahawa prestasi United sendiri sebenarnya sudah mencetuskan kebimbangan sejak mereka beraksi dalam perlawanan pra musim menentang Aston Villa lagi.

 

Meskipun sempat mendahului pelawat menerusi gol sepakan penalti dari Bruno Fernandes (minit ke-2), tetapi Spurs kemudiannya bangkit dua minit kemudian untuk gol penyamaan menerusi Tanguy Ndombele. Selepas itu bermulalah `malam jahanam’ buat United apabila gol demi gol dihasilkan pelawat menerusi Son Heung Min (2 gol), Harry Kane (dua gol) dan Serge Aurier. Paling malang selepas ketinggalan (1-2), harapan United untuk cuba melakukan kebangkita terpadam gara-gara layangan kad merah yang diberikan pengadil kepada Anthony Martial.

 

Bagi David De Gea, ini adalah kekalahan besar kedua yang dialaminya dalam tempoh sembilan tahun sejak beliau menyertai United pada 2011. Pada Oktober 2011, De Gea juga pernah mengutip bola di gawang sendiri sebanyak enam kali ketika United tewas dengan keputusan sama kepada Manchester City. Ketika kebanyakan dari kita berharap agar aksi menentang Spurs ini berlangsung dengan sengit dan menarik, enam gol yang membolosi pintu gol De Gea tentunya membuatkan kita tergamam.

 

Sorotan pastinya terarah kembali kepada benteng pertahanan United yang menjadi sasaran kritikan sejak perlawanan pertama liga lagi. Bolos sebelas gol hanya dalam tiga perlawanan liga tentunya tidak langsung menggambarkan bahawa empat pemain ini layak untuk kita harapkan mengawal benteng pertahanan United sepanjang musim. Empat gol pertama yang dihasilkan Spurs adalah contoh terbaik bagaimana tidak terorganisasinya empat pemain ini ketika bertahan dalam satu unit.

 

Hantaran ke belakang menerusi tandukan yang dilakukan Harry Maguire kepada Luke Shaw punca berlakunya gol pertama pelawat. Kelekaan Eric Bailly dalam mengawasi pergerakan Son Heung-Min menyebabkan gol kedua Spurs terhasil. Bailly sekali lagi melakukan kesilapan apabila hantaran yang cuba dilakukannya kepada Nemanja Matic dipintas hingga menghasilkan gol ketiga. Di minit ke-37, Son sekali lagi dibiarkan bebas bergerak dalam penalti hingga membolehkan beliau menjaringkan gol peribadi keduanya dalam perlawanan ini.

 

Bukan hanya Maguire dan Bailly kerana sisi kiri dan kanan benteng pertahanan United juga `lubuk’ buat Spurs untuk mencipta peluang apabila sepanjang perlawanan, 10 dari 17 key passes dihasilkan mereka dari dari sisi kiri dan kanan pertahanan United. Dan akhirnya Spurs mengambil kesempatan dari kelemahan Luke Shaw dan Aaron Wan-Bissaka untuk mereka menghasilkan gol keempat dan kelima. Jadi tidak hairanlah mengapa Manchester Evening News memberikan rating 2 serta 0 kepada Wan Bissaka dan Shaw.

 

Ketika bursa perpindahan musim panas semakin hampir ditutup, tiada tanda-tanda bahawa United akan menandatangani pertahanan tengah baharu. Yang kita dengar adalah kelab semakin hampir mendapatkan Alex Telles, bek kiri yang tampil dengan cukup bagus bersama FC Porto serta semakin hampirnya ketibaan Edinson Cavani di Old Trafford sebagai ejen bebas. Jika tiada tambahan kualiti di benteng tengah, saya berharap Bailly, Lindelof dan Maguire meningkatkan semula prestasi mereka atau mungkin kita boleh berharap agar perpindahan Chris Smalling ke AS Roma tidak menjadi kenyataan.

 

Sangat menghairankan bila kita melihat bagaimana struggle-nya barisan The Red Devils dalam tiga perlawanan awal liga setakat ini jika dibandingkan dengan prestasi yang dipamerkan mereka sepanjang fasa kedua saingan liga musim lalu. Ketika benteng pertahanan sering dijadikan sasaran kritikan, Anthony Martial pula masih tercari-cari gol pertamanya selepas mengharungi tiga perlawanan. Untuk itu, saya memang mengharapkan agar perpindahan Cavani menjadi kenyataan kerana United memang perlukan seorang `goal poacher’ seperti beliau di barisan hadapan mereka.

 

Kekalahan ini menyaksikan posisi United terperosok di tangga ke 16 liga, dua anak tangga di atas zon penyingkiran.  Kecuali Donny Van de Beek, skuad United yang beraksi dalam tiga perlawanan liga setakat ini ialah skuad versi musim lalu. Dan ketika bursa perpindahan pemain semakin hampir ditutup, kita masih berharap akan ada keajaiban saat-saat akhir menerusi kehadiran Alex Telles, Edinson Cavani atau sesiapa sahaja bagi meningkatkan kualiti barisan Ole Gunnar Solskjaer. Jika keajaiban itu tidak berlaku, percayalah tempoh Solskjaer sebagai pengendali di Old Trafford semakin menghampiri titik nokhtah. Glory Glory Manchester United!!!


 

03 Oktober 2020

PREVIEW: MAN UNITED vs SPURS

 


Jose Mourinho kembali ke Old Trafford secara rasmi buat pertama kali sejak beliau diarah mengosongkan pejabatnya di Carrington pada Disember 2018. Kira-kira empat bulan sebelum Mourinho dipecat, skuad Manchester United kendalian beliau dimalukan Spurs menerusi kekalahan (0-3) yang dialami mereka di Old Trafford. 2018 adalah tahun yang malang untuk Mourinho dan sudah tentunya tahun yang tidak mahu dikenang oleh penyokong-penyokong United.

 

Ketika kem United bergolak menerusi protes secara senyap yang dilakukan oleh beberapa pemain utama, Mourinho pula semakin hilang kawalan yang mengakibatkan prestasi skuad kendaliannya kian menjunam dari minggu ke minggu. Meskipun beliau menamatkan musim 2016/17 dengan kejayaan mengemudi kelab menjulang kejuaraan `treble kecil’ (Perisai Komuniti, Piala Liga dan Liga Europa), aksi menentang Liverpool pada 16 Disember 2018 merupakan perlawanan terakhir Mourinho selaku pengendali United.

 

Untuk kepulangan pertama beliau di Old Trafford, Mourinho menegaskan `tiada dendam dihati’ berikutan pemecatannya pada 2018, tetapi pengendali penuh karisma itu tetap berambisi untuk pulang ke London dengan tiga mata penuh. Jangan salahkan Mourinho jika ambisi beliau ini agak tinggi kerana United sendiri memulakan kempen liga mereka musim ini dengan sedikit goyah. Tewas (1-3) kepada Crystal Palace pada aksi pembukaan, kemudian bergelut sebelum menewaskan Brighton (3-2) pada perlawanan kedua, timbul persoalan sejauh mana bersedianya United untuk perlawanan `besar’ seperti ini?

 

Menyaksikan ketajaman Harry Kane ketika beliau meledak hatrik ke gawang Maccabi Haifa tempohari, saya berharap ada rombakan yang bakal dilakukan Solskjaer di benteng pertahanan United terutamanya posisi yang membabitkan dua pertahanan tengah mereka. Secara peribadi, saya mahu melihat Eric Bailly diturunkan dalam kesebelasan utama selepas beliau bermain selama 90 minit ketika United berdepan Luton Town dan Brighton dalam kempen Piala Liga.  

 

Untuk menghentikan Kane yang sudah menjaringkan enam gol dan menyumbang enam bantuan gol dari tujuh penampilan untuk Spurs dalam semua kejohanan setakat ini, United perlukan pertahanan yang agresif, pantas dan bijak membaca permainan seperti Bailly sebagai rakan gandingan Maguire di barisan belakang. Jika diambilkira kenyataan Solskjaer menjelang aksi ini, Maguire nampaknya bakal ditugaskan untuk merantai pergerakan Kane.

 

“Harry merupakan salah seorang penyerang terbaik dunia. Jadi saya senang melihat dia kembali bermain selepas mengalami kecederaan panjang musim lalu. Kami akan melakukan yang terbaik untuk membuatkan dia `diam’ kerana kami memiliki Harry Maguire di belakang sana yang menanti untuk pertempuran ini”, kata Solskjaer. Selain Bailly, seorang lagi pemain yang saya harap diturunkan Solskjaer sejak minit pertama ialah Donny Van de Beek.

 

Dalam dua aksi awal liga, pemain antarabangsa Belanda ini hanya diletakkan sebagai pemain gantian tetapi bermain selama 78 minit dan 90 minit ketika United menyingkirkan Luton Town dan Brighton dalam kempen Piala Liga. Bantuan gol yang dilakukannya secara bersahaja untuk gol kedua United yang dijaringkan Juan Mata di Stadium Amex adalah indikasi jelas mengapa Solskjaer patut menyenaraikan beliau dalam kesebelasan utama United ketika berdepan Spurs nanti.

.

Polemik yang dihadapi Solskjaer ketika beliau mengambil keputusan menandatangani Van de Beek ialah bagaimana meletakkan Paul Pogba, Bruno Fernandes dan Van de Beek secara serentak dalam kesebelasan utamanya. Ketika berdepan Brighton pada Rabu lalu, Van de Beek digunakan Solskjaer untuk berperanan sebagai `pemain nombor 10’. Bagaimanapun dalam tempoh 20 minit selepas Daniel James dikeluarkan, Van de Beek dipindahkan ke sisi kiri manakala Pogba pula mengambilalih posisinya di bahagian tengah.

 

Mungkin apa yang dilakukan Solskjaer di Stadium Amex tempohari adalah petunjuk jelas bahawa Van de Beek selepas ini akan bergerak di sisi sayap jika beliau mahu menurunkan Pogba, Bruno (dan Van de Beek) secara serentak sejak minit pertama perlawanan. Untuk melakukan `kerja-kerja kotor’ di belakang pula, United perlukan ketenangan dan kekuatan Nemanja Matic bagi melindungi empat pemain di benteng pertahanan.

 

Sebagai pengurus United, Solskjaer masih belum tewas ketika berdepan Mourinho selepas barisan kendaliannya berjaya menewaskan Spurs (2-1) di Old Trafford dan kemudiannya seri (1-1) di London dalam aksi liga musim lalu. Kekalahan terakhir Solskjaer ketika berdepan Mourinho berlaku pada musim 2013/14, ketika Cardiff City di bawah kendaliannya tewas (1-2) kepada Chelsea.

 

Untuk rekod, Mourinho tidak pernah menang ketika berdepan bekas kelab yang pernah dikendalikannya di gelanggang lawan, jadi ambisi beliau kali ini bukan sahaja mahu menamatkan `sumpahan’ tersebut tetapi juga membuktikan kepada pihak pengurusan United bahawa The Special One masih berada dalam kelompok pengendali terbaik dunia. Menentang Mourinho sentiasa menjadi tugas yang sukar buat mana-mana pengurus, dan kemampuan Solskjaer bakal diuji adakah dengan skuad `versi musim lalu’ beliau masih mampu menewaskan The Special One? Glory Glory Manchester United!!!