15 Oktober 2020

BRIGHTON SUDAH…UNITED BILA LAGI?

 


Martin Edwards dikenali kerana ketegasan beliau mempertahankan Alex Ferguson biarpun berdepan tekanan dari penyokong yang mahukan pengendali dari Scotland itu dipecat berikutan prestasi buruk dipamerkan Manchester United pada musim 1988/89. Keputusan Edwards untuk tetap mempertahankan Fergie di kerusi pengurus akhirnya berbayar apabila United memenangi trofi pertama mereka dalam tempoh lima tahun menerusi kejayaan menundukkan Crystal Palace di pentas final Piala FA pada 1990.

 

Setahun selepas itu, dua jaringan dari Mark Hughes ke gawang Barcelona menyaksikan United sekali lagi berada di podium kejuaraan dan kali ini di pentas Eropah pula menerusi kejayaan mereka menjulang kejuaraan Cup Winners Cup di Rotterdam. Pada 1993 pula, penantian panjang selama 26 tahun berakhir apabila skuad kendalian Fergie melakar sejarah apabila mereka dinobatkan selaku juara pertama Liga Perdana Inggeris.

 

Selepas itu, United tidak lagi menoleh ke belakang apabila mereka muncul kuasa dominan di England manakala kejuaraan demi kejuaraan terus memenuhi kabinet trofi di Old Trafford. Fergie tidak akan berjaya jika beliau tidak disokong Edwards yang merupakan pengerusi United dari 1980 hingga 2002. Kolaborasi antara Fergie dan Edwards menyaksikan United berjaya menguasai bolasepak England dalam tempoh sedekad di mana kemuncaknya berlaku pada musim 1998/99 menerusi kejayaan kelab menjulang kejuaraan `Treble’.

 

Siapa pemain hebat yang berjaya dibawa Edwards ke Old Trafford sepanjang era beliau dalam pengurusan kelab? Antaranya ialah Bryan Robson, Mark Hughes, Brian McClair, Gary Pallister, Eric Cantona, Roy Keane, Andy Cole, Dwight Yorke, Jaap Stam dan Rud Van Nistelrooy. Kesinambungan kejayaan Edwards kemudiannya di teruskan pula oleh David Gill yang menggantikan posisi Peter Kenyon pada 2003 hinggalah beliau meletak jawatan pada 2013, seiring dengan persaraan Fergie selaku pengurus United.

 

Bermula dari 2013 hinggalah sekarang, Ed Woodward meneruskan kesinambungan kerja-kerja yang pernah dilakukan Edwards, Kenyon dan Gill termasuklah urusan bagi merekrut pemain baharu setiap kali jendela perpindahan dibuka. Dan sejak itu jugalah aktiviti United dalam setiap bursa perpindahan pemain dijadikan sasaran kritikan, bukan sahaja oleh pemerhati bolasepak tetapi juga penyokong-penyokong mereka sendiri.

 

Radamel Falcao, Angel Di Maria, Memphis Depay, Morgan Schneiderlin, Bastian Schweinsteiger, Henrikh Mkhitaryan dan Alexis Sanchez antara `blunder’ yang dilakukan Woodward sejak beliau mengambilalih posisi Gill sejak lebih tujuh tahun yang lalu. Manakala `maneuver’ United yang sangat perlahan dalam bursa perpindahan musim panas kali ini juga masih lagi sama sepertimana musim-musim sebelumnya.

 

Pergerakan kelab di bawah seliaan Woodward tidak selincah Marina Granovskala untuk Chelsea atau Michael Edwards untuk Liverpool terutamanya dalam melakukan rundingan. Jadi tidak hairanlah mengapa anda sekali lagi kempunan untuk melihat United merealisasikan perpindahan pemain seperti Jadon Sancho atau Dayot Upamecano, sama sepertimana Woodward menghampakan kita ketika beliau gagal menandatangani Erling Haaland pada Januari lalu.

 

Ketiadaan seorang `Director of Football’ (DoF) antara penyebab mengapa United begitu perlahan dalam setiap bursa perpindahan pemain. Ketiadaan seorang DoF juga bermakna kelab bergantung sepenuhnya kepada kapasiti Woodward dalam hal merekrut pemain-pemain baharu atau melakukan rundingan, individu yang pernah dilabel Louis Van Gaal sebagai `tidak tahu apa-apa tentang bolasepak’.

 

Meletakkan seorang DoF atau pengarah teknikal dalam hierarki pengurusan United sepatutnya menjadi satu keperluan dalam era bolasepak moden. Apatah lagi kelab seperti Brighton & Hove Albion sudah memandang jauh ke hadapan dan mendahului United apabila mereka menamakan Dan Ashworth sebagai pengarah teknikal kelab pada 2019.

 

Isu perlunya seorang DoF atau pengarah teknikal bukanlah isu yang baharu bagi United kerana sebelum ini mereka pernah dikaitkan dengan nama-nama seperti Ramon Rodriguez Verdejo (Monchi), Fabio Paratici, Beppe Marotta, Paul Mitchell hinggalah kepada Darren Fletcher, Rio Ferdinand dan Edwin Van der Sar sebagai DoF pertama di Old Trafford. Selain dari nama yang saya sebutkan tadi, seorang lagi individu yang tidak kurang hebatnya dan layak untuk dipertimbangkan sebagai DoF pertama United ialah Luis Campos.

 

Siapakah individu bernama Luis Campos ini? Ketika ini Campos merupakan DoF untuk kelab yang beraksi di Ligue 1 iaitu LOSC Lille. Untuk rekod beliau jugalah individu yang pernah menyuarakan agar United meletakkan seorang DoF dalam hierarki pengurusan mereka.  “Seorang DoF sangat penting dalam sukan ini. Saya percaya, saya boleh membantu United. Peranan DoF ini sangat-sangat penting hingga anda perlukan mereka dalam bolasepak moden” kata Campos.

 

Keberadaan beliau di Stade Pierre-Mauroy memberikan pengaruh yang besar kepada kebangkitan Lille. Selepas hampir tersingkir dari saingan Ligue 1 musim sebelumnya, Lille bangkit selepas itu untuk menempah tiket ke saingan Liga Juara-Juara musim lalu selepas menamatkan kempen Ligue 1 musim 2018/19 di tangga kedua. Bagaimana pula dengan kemampuan beliau setiap kali berurusan dalam bursa perpindahan pemain?

 

Antara kejayaan Campos yang akan dikenang ialah penjualan Nicholas Pepe ke Arsenal pada tahun lalu dengan nilai €72 juta, sedangkan mereka cuma membayar €10 juta kepada Angers SC ketika menandatangani pemain Ivory Coast itu pada 2017. Kekosongan yang ditinggalkan Pepe kemudiannya diisi Campos apabila Lille mendapatkan khidmat Victor Osimhen dari Wolfsburg.

 

Berapa nilai yang dibayar Lille ketika mereka mendapatkan Osimhen dan berapa pula nilai pemain itu ketika mereka melepaskannya ke Napoli pada Julai lalu? Lille cuma mengeluarkan dana sebanyak €13 juta ketika mereka menandatangani Osimhen dari Wolfsburg pada 2019, tetapi hanya setahun selepas itu mereka melepaskan pemain muda Nigeria itu ke  Napoli dengan nilai perpindahan sebanyak €70 juta.

 

Itu kisah kehebatan beliau di Lille, tetapi bagaimana pula dengan kerja-kerja yang dilakukan Campos ketika masih bersama AS Monaco? Fabinho, Benjamin Mendy, Anthony Martial, Thomas Lemar, Bernardo Silva dan Kylian Mbappe antara bakat yang berjaya dicungkil Campos ketika beliau menjawat tugasnya sebagai DoF untuk AS Monaco. Dimana mereka sekarang? Seperti yang anda tahu pemain yang saya sebutkan tadi kini bertebaran beraksi untuk kelab-kelab besar sekitar Eropah.

 

Campos hanyalah salah satu contoh mengapa seorang DoF boleh memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan sesebuah pasukan. Tugas seorang DoF bukan sekadar merekrut pemain baharu kerana di Brighton & Hove Albion, tugas Dan Ashworth tidak terbatas untuk skuad utama sahaja tetapi meliputi skuad wanita, akademi, sains perubatan dan sukan serta peminjaman pemain.

 

Memecat Ole Gunnar Solskjaer tidak akan menyelesaikan masalah sebenar United, begitu juga jika mereka melantik mana-mana pengurus baharu bagi menggantikan tempat beliau. Louis Van Gaal dan Jose Mourinho antara contoh pengurus berprofil tinggi yang menjadi korban akibat dari sistem kelab yang ketinggalan zaman. Agak malang ketika kelab kerdil seperti Brighton sudah memandang jauh ke hadapan, United pula masih `berjudi’ dengan meletakkan masa depan kelab di tangan seorang `individu yang tidak tahu apa-apa tentang bolasepak’. Glory Glory Manchester United!!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan