Jose
Mourinho kembali ke Old Trafford secara rasmi buat pertama kali sejak beliau diarah
mengosongkan pejabatnya di Carrington pada Disember 2018. Kira-kira empat bulan
sebelum Mourinho dipecat, skuad Manchester United kendalian beliau dimalukan Spurs
menerusi kekalahan (0-3) yang dialami mereka di Old Trafford. 2018 adalah tahun
yang malang untuk Mourinho dan sudah tentunya tahun yang tidak mahu dikenang oleh
penyokong-penyokong United.
Ketika
kem United bergolak menerusi protes secara senyap yang dilakukan oleh beberapa
pemain utama, Mourinho pula semakin hilang kawalan yang mengakibatkan prestasi
skuad kendaliannya kian menjunam dari minggu ke minggu. Meskipun beliau
menamatkan musim 2016/17 dengan kejayaan mengemudi kelab menjulang kejuaraan
`treble kecil’ (Perisai Komuniti, Piala Liga dan Liga Europa), aksi menentang
Liverpool pada 16 Disember 2018 merupakan perlawanan terakhir Mourinho selaku pengendali
United.
Untuk
kepulangan pertama beliau di Old Trafford, Mourinho menegaskan `tiada dendam
dihati’ berikutan pemecatannya pada 2018, tetapi pengendali penuh karisma itu tetap
berambisi untuk pulang ke London dengan tiga mata penuh. Jangan salahkan Mourinho
jika ambisi beliau ini agak tinggi kerana United sendiri memulakan kempen liga
mereka musim ini dengan sedikit goyah. Tewas (1-3) kepada Crystal Palace pada
aksi pembukaan, kemudian bergelut sebelum menewaskan Brighton (3-2) pada
perlawanan kedua, timbul persoalan sejauh mana bersedianya United untuk
perlawanan `besar’ seperti ini?
Menyaksikan
ketajaman Harry Kane ketika beliau meledak hatrik ke gawang Maccabi Haifa tempohari,
saya berharap ada rombakan yang bakal dilakukan Solskjaer di benteng pertahanan
United terutamanya posisi yang membabitkan dua pertahanan tengah mereka. Secara
peribadi, saya mahu melihat Eric Bailly diturunkan dalam kesebelasan utama
selepas beliau bermain selama 90 minit ketika United berdepan Luton Town dan
Brighton dalam kempen Piala Liga.
Untuk
menghentikan Kane yang sudah menjaringkan enam gol dan menyumbang enam bantuan
gol dari tujuh penampilan untuk Spurs dalam semua kejohanan setakat ini, United
perlukan pertahanan yang agresif, pantas dan bijak membaca permainan seperti
Bailly sebagai rakan gandingan Maguire di barisan belakang. Jika diambilkira
kenyataan Solskjaer menjelang aksi ini, Maguire nampaknya bakal ditugaskan
untuk merantai pergerakan Kane.
“Harry
merupakan salah seorang penyerang terbaik dunia. Jadi saya senang melihat dia
kembali bermain selepas mengalami kecederaan panjang musim lalu. Kami akan
melakukan yang terbaik untuk membuatkan dia `diam’ kerana kami memiliki Harry
Maguire di belakang sana yang menanti untuk pertempuran ini”, kata Solskjaer.
Selain Bailly, seorang lagi pemain yang saya harap diturunkan Solskjaer sejak
minit pertama ialah Donny Van de Beek.
Dalam
dua aksi awal liga, pemain antarabangsa Belanda ini hanya diletakkan sebagai
pemain gantian tetapi bermain selama 78 minit dan 90 minit ketika United
menyingkirkan Luton Town dan Brighton dalam kempen Piala Liga. Bantuan gol yang
dilakukannya secara bersahaja untuk gol kedua United yang dijaringkan Juan Mata
di Stadium Amex adalah indikasi jelas mengapa Solskjaer patut menyenaraikan
beliau dalam kesebelasan utama United ketika berdepan Spurs nanti.
.
Polemik
yang dihadapi Solskjaer ketika beliau mengambil keputusan menandatangani Van de
Beek ialah bagaimana meletakkan Paul Pogba, Bruno Fernandes dan Van de Beek secara
serentak dalam kesebelasan utamanya. Ketika berdepan Brighton pada Rabu lalu,
Van de Beek digunakan Solskjaer untuk berperanan sebagai `pemain nombor 10’.
Bagaimanapun dalam tempoh 20 minit selepas Daniel James dikeluarkan, Van de
Beek dipindahkan ke sisi kiri manakala Pogba pula mengambilalih posisinya di
bahagian tengah.
Mungkin
apa yang dilakukan Solskjaer di Stadium Amex tempohari adalah petunjuk jelas
bahawa Van de Beek selepas ini akan bergerak di sisi sayap jika beliau mahu
menurunkan Pogba, Bruno (dan Van de Beek) secara serentak sejak minit pertama
perlawanan. Untuk melakukan `kerja-kerja kotor’ di belakang pula, United
perlukan ketenangan dan kekuatan Nemanja Matic bagi melindungi empat pemain di
benteng pertahanan.
Sebagai
pengurus United, Solskjaer masih belum tewas ketika berdepan Mourinho selepas
barisan kendaliannya berjaya menewaskan Spurs (2-1) di Old Trafford dan
kemudiannya seri (1-1) di London dalam aksi liga musim lalu. Kekalahan terakhir
Solskjaer ketika berdepan Mourinho berlaku pada musim 2013/14, ketika Cardiff
City di bawah kendaliannya tewas (1-2) kepada Chelsea.
Untuk
rekod, Mourinho tidak pernah menang ketika berdepan bekas kelab yang pernah
dikendalikannya di gelanggang lawan, jadi ambisi beliau kali ini bukan sahaja
mahu menamatkan `sumpahan’ tersebut tetapi juga membuktikan kepada pihak
pengurusan United bahawa The Special One masih berada dalam kelompok pengendali
terbaik dunia. Menentang Mourinho sentiasa menjadi tugas yang sukar buat
mana-mana pengurus, dan kemampuan Solskjaer bakal diuji adakah dengan skuad `versi
musim lalu’ beliau masih mampu menewaskan The Special One? Glory Glory
Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan