09 Oktober 2020

KERANA KUALITI ATAU PANIK?



Di barisan hadapan anda dambakan Jadon Sancho, dijentera tengah anda pasti membayangkan perpindahan Thiago Alcantara bakal menjadi kenyataan manakala kelibat Kalidou Koulibaly sudah lama diimpikan untuk menjadikan benteng pertahanan United lebih kukuh. Bagaimanapun realitinya tidak begitu kerana selepas jendela perpindahan pemain musim panas ditutup, United menandatangani pemain-pemain yang mungkin tidak pernah anda fikir untuk menyarung jersi merah The Red Devils musim ini.

 

Bermula dengan kedatangan Donny Van de Beek sebagai rekrut pertama, disusuli dengan Alex Telles, Edinson Cavani, Facundo Pellistri dan Amad Traore menyusul selepas itu. Telles, Cavani, Pellistri dan Traore tiba pada detik-detik terakhir sebelum bursa perpindahan pemain ditutup, jadi tidak hairanlah mengapa mereka dilabel sebagai pembelian panik yang dilakukan United selepas berminggu-minggu manuever mereka dalam usaha mendapatkan pemain baharu dikritik pemerhati dan penyokong sendiri.

 

Meskipun pada awalnya dikaitkan dengan begitu banyak nama, United hanya aktif pada hari terakhir bursa perpindahan pemain dengan menandatangani empat lagi nama baharu. Cavani masih antara nama besar dalam dunia bolasepak ketika ini, tetapi tentunya tidak ramai yang pernah mendengar nama Telles, Pellistri dan Traore jika anda bukan pengikut bolasepak Itali, Portugal apatah lagi Uruguay. Jika anda lega apabila kelab akhirnya mendapatkan empat pemain baharu pada hari terakhir bursa perpindahan pemain, namun tidak kepada Kaveh Solhekol yang juga merupakan jurnalis Sky Sports.

 

Dengan nada yang agak keras, Solhekol melabelkan United sebagai `losers’ dalam bursa perpindahan kali ini. “Anda boleh katakan bahawa Manchester United adalah `losers’ di bursa perpindahan. Mereka gagal merekrut Jadon Sancho sedangkan sepanjang musim panas kami diberitahu bahawa dia adalah sasaran nombor satu United. United salah satu kelab besar dan terkaya di dunia tetapi mereka gagal mendapatkan  pemain yang mereka sasarkan”, kata Solhekol.

 

Kualiti Pemain Baharu

 

Tidak adil untuk kita meletakkan kualiti sebenar kepada lima pemain baharu yang ditandatangani United musim ini. Kecuali Donny Van de Beek yang sudah melakukan penampilan untuk United, empat lagi pemain masih belum menendang bola dengan jersi merah The Red Devils, malah Amad Traore akan hanya tiba di Old Trafford pada Januari tahun hadapan.

 

Selaku pemain paling berpengalaman berbanding empat yang lain, harapan tinggi tentunya diletakkan penyokong-penyokong United terhadap Cavani untuk mengubah wajah barisan hadapan United agar lebih garang. Manakala Van de Beek, Telles, Pellistri dan Traore pula adalah aset jangka panjang kelab yang memenuhi obsesi Ole Gunnar Solskjaer terhadap bakat-bakat muda.

 

Alex Telles: 

 

Di atas kertas, Telles dijangka mampu memberikan dimensi baharu kepada benteng pertahanan United menerusi kemampuan beliau ketika bertahan atau ketika naik membantu serangan dalam situasi offensive. Bolasepak moden memang perlukan seorang bek sisi seperti itu, bukan hanya bagus ketika bertahan tetapi juga mampu membuka peluang kepada rakan dibarisan hadapan menerusi hantaran-hantaran yang dilakukan dari sebelah sisi. Sudah tentu Marcus Rashford bakal menerima impak yang besar berikutan kehadiran Telles.

 

Facundo Pellistri

 

Secara jujur, saya tidak pernah mendengar nama Facundo Pellistri sebelum ini. Ketika United sendiri dikaitkan dengan minat mereka untuk mendapatkan Ousmane Dembele sebagai alternatif kepada kegagalan mendapatkan Jadon Sancho, tiba-tiba nama Pellistri diumumkan sebagai rekrut terbaharu kelab musim ini. Pellistri merupakan pemain yang masih muda, baru berusia 18 tahun, jadi timbul keraguan tentang kemampuan beliau untuk memberikan sumbangan berkesan kepada skuad kendalian Solskjaer dan beradaptasi dengan budaya bolasepak Inggeris.

 

Jangan remehkan seorang budak hanya kerana usianya. Menurut Juan Roman Riquelme, bekas `Si Trequartista’ Argentina dan Boca Juniors ini, hanya segelintir pemain yang memiliki keberanian untuk menjadi `nakal’ di atas padang dan Pellistri salah satu diantaranya. “Dia masih muda dan berbakat. Dia belum menikmati minit permainan yang banyak tetapi dia memiliki teknik individu yang bagus ketika bola berada di kakinya. Itu faktor yang sangat penting”, kata Riquelme. Secara keseluruhannya, Pellistri melakukan 37 penampilan, menjaringkan dua gol dan menyumbang empat assist sejak beliau dipromosikan ke skuad utama Penarol pada Ogos 2019.

 

Amad Traore

 

Dari lima pemain yang direkrut United musim ini, beliau adalah pemain termuda tetapi Traore akan hanya menyertai United pada Januari 2021 berikutan masalah permit kerja. Apakah tarikan yang ada pada Traore hinggakan United sanggup `berjudi’ dengan membelanjakan sehingga £18 juta bagi mendapatkan khidmatnya? Pada awal musim 2019/20, Traore dipromosikan ke skuad utama Atalanta selepas penampilan cemerlangnya bersama skuad remaja.

 

Musim lalu, Traore melakukan tiga penampilan untuk Atalanta di Serie A dan sudah tentu debut beliau pada 27 Oktober ketika berdepan Udinese meletakkan namanya dalam tajuk utama akhbar. Empat minit selepas beliau masuk ke padang, Traore menjaringkan gol pertamanya pada penampilan pertama untuk skuad utama Atalanta sekaligus meletakkan beliau sebagai pemain kelahiran 2002 pertama yang menjaringkan gol dalam saingan tertinggi liga bolasepak Itali.

 

“Dia bermain seperti Messi. Untuk menghentikannya dalam sesi latihan, kami kadangkala terpaksa menendangnya”, kata Papu Gomez yang juga merupakan kapten Atalanta. Selepas penampilan pertama berdepan Udinese, Traore hanya diturunkan Gian Piero Gasperini dalam saingan liga sebanyak dua kali kerana pengendali itu tidak mahu momentum skuadnya yang sedang menikmati musim paling cemerlang mereka terganggu.

 

Bersama skuad U-19 Atalanta, Taore lebih kerap diplotkan untuk beraksi sebagai pemain sayap meskipun memulakan karier remajanya dengan peranan sebagai `pemain nombor 10’. Hasilnya Traore berjaya  menjaringkan tujuh gol dan mencipta sebelas bantuan gol dari 24 penampilan sekaligus membantu skuad remaja Atalanta menjulang kejuaraan Primavera 1. Meskipun cenderung bermain di posisi sayap kanan, namun Traore juga sebenarnya boleh berperanan dengan baik di sebelah kiri.

 

Penutup

 

United sering melakukan pembelian pada saat-saat akhir sebelum bursa perpindahan pemain ditutup, terutamanya pasca persaraan Sir Alex Ferguson. Musim panas tahun lalu, United dikaitkan dengan pembelian Mario Mandzukic, Kalidou Koulibaly dan Paulo Dybala tetapi yang datang ialah Daniel James, Harry Maguire dan Aaron Wan-Bissaka. Pada pertengahan musim pula mereka menandatangani Odion Ighalo hanya beberapa jam sebelum bursa perpindahan ditutup selepas beberapa hari ketibaan Bruno Fernandes di Old Trafford.

 

Musim ini ada peningkatan dari segi kuantiti, kerana kelab berjaya merekrut lima pemain baharu sepanjang bursa perpindahan pemain musim panas dibuka, di mana empat daripadanya (Telles, Cavani, Pellistri dan Traore) merupakan pembelian pada `deadline day’. ESPN pula dalam laporan mereka mengatakan bahawa Solskjaer sebenarnya memiliki empat sasaran pemain yang beliau mahukan. Mereka ialah Jadon Sancho, Dayot Upamecano, Jack Grealish dan Nathan Ake.

 

Namun pengakhirannya seperti sudah dijangka kerana tiada satu pun nama yang disenaraikan ESPN itu berjaya ditandatangani kelab. Meskipun begitu saya berpendapat tiada salahnya dengan pembelian Telles dan Cavani kerana mereka adalah pemain yang memenuhi keperluan kelab ketika ini. Telles  bakal menambah kekuatan di sisi kiri pertahanan United kerana bagi saya Luke Shaw tidak cukup agresif ketika menyerang. Manakala Cavani pula masih penyerang elit dan opsyen yang lebih baik berbanding Ighalo di barisan hadapan.

 

Kehadiran Van de Beek akan menambahkan lagi kreativiti di bahagian tengah cuma kita masih menanti bilakah agaknya Solskjaer memiliki `keberanian’ untuk menyenaraikan beliau dalam kesebelasan utama United pada aksi liga. Pellistri dan Traore pula adalah bakat sedang meningkat naik, jadi tidak adil untuk anda mengharapkan agar dua anak muda ini memberikan impak besar pada musim pertama mereka di Old Trafford.

 

Bagi sesetengah daripada anda, ini mungkin bukan `pembelian impian’ atau pemain yang anda harapkan direkrut United pada bursa perpindahan kali ini. Adakah kehadiran Van de Beek, Telles, Cavani, Pellistri dan Traore mampu meningkatkan kualiti barisan The Red Devils? Atau adakah ini satu lagi siri kegagalan kelab di bursa perpindahan pemain terutamanya menerusi keputusan mereka menandatangani Telles, Cavani, Pellistri dan Traore pada deadline day? Atau juga empat pemain ini satu pembelian panik yang dilakukan kelab pada detik-detik akhir? Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan