Ada
perasaan bercampur baur selepas Manchester United mengumumkan secara rasmi
bahawa mereka berjaya mendapatkan khidmat Edinson Cavani secara percuma. Selama
berbulan-bulan kita didendangkan dengan cerita-cerita tentang saga perpindahan
Jadon Sancho ke Old Trafford, tetapi akhirnya kelab mengambil `langkah ke
belakang’ dengan menandatangani pemain veteran seperti Cavani untuk
dipertaruhkan di jentera serangan mereka.
Anda
boleh mengambil sikap skeptikal atau sinikal dengan keputusan kelab merekrut
pemain veteran seperti Cavani, tetapi secara peribadi impian saya yang mahu
melihat United menandatangani seorang penyerang tengah tulen (secara tetap)
akhirnya tercapai. Umur cumalah angka kerana pemain seperti Zlatan Ibrahimovic,
Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo sudah membuktikan bahawa mereka masih mampu
beraksi di peringkat tertinggi meskipun usia masing-masing sudah melepasi angka
30 an.
Jangan
lupakan juga bahawa legenda United seperti Ryan Giggs dan Paul Scholes berjaya
membantu kelab menjulang kejuaraan liga ketika usia masing-masing sudah pun
mencecah angka 37 dan 38 tahun. Umur bukanlah satu isu yang terlalu besar
kerana saya percaya Cavani masih bertenaga dan memiliki motivasi yang cukup
tinggi untuk bermain di liga-liga utama Eropah, manakala United pula adalah
lembaran baharu dalam karier beliau.
Bagaimanapun
tetap ada keraguan memandangkan United sendiri pernah berdepan kegagalan dengan
pemain-pemain yang berasal dari benua Amerika Latin. Kleberson, Juan Sebastian
Veron, Diego Forlan, Radamel Falcao, Alexis Sanchez dan Angel Di Maria antara
pemain yang saya maksudkan. Di era kemuncaknya, ketajaman Cavani dalam
menyempurnakan peluang menyaksikan beliau muncul penjaring terbanyak di Itali
(2012/13) dan Perancis (2016/17 dan 2017/18).
Dan
sebagai seorang penyerang yang sangat berpengalaman, kehadiran Cavani diharap
mampu menjadikan jentera serangan United lebih tajam. Meskipun Solskjaer cuba
membina semula United berteraskan kekuatan pemain-pemain muda, namun sosok Cavani
yang berjaya menjaringkan 200 gol dari 301 penampilan untuk Paris St Germain
dalam semua peringkat kejohanan adalah tarikan yang tidak boleh dilepaskan
begitu sahaja. Apatah lagi United tidak perlu membayar kepada mana-mana kelab
untuk mendapatkan khidmat beliau.
Kedatangan
Cavani bermakna Odion Ighalo akan kembali semula ke China dan sudah tentu juga
perubahan strategi akan berlaku. Apa yang dilakukan Solskjaer selama ini kepada
barisan hadapan United ialah meletakkan trio Anthony Martial, Mason Greenwood
dan Marcus Rashford bagi memburu gol. Dengan adanya Cavani, besar kemungkinan
Martial terpaksa dikorbankan bagi memberi laluan kepada penggempur Uruguay itu
berperanan sebagai penyerang tengah, manakala Mason dan Rashford akan bergerak
di kiri dan kanan.
Kedatangan
Cavani juga bermakna, United kini memiliki opsyen tambahan ketika menyerang,
sama ada mereka mahu memberikan tekanan kepada benteng pertahanan lawan
menerusi gerakan dari sisi kanan dan kiri atau melakukan hantaran terus kepada
Cavani di bahagian tengah. Dengan ketinggian 1.84 meter serta postur tubuh yang
tegap, Cavani juga sebenarnya mampu memberikan cabaran kepada benteng
pertahanan lawan menerusi duel-duel bola tinggi.
Kehadiran
Cavani bukan sahaja memberikan energy tambahan kepada jentera serangan
United, tetapi apa yang lebih penting ialah kemampuan beliau menjaringkan gol
dalam pelbagai sudut dan situasi. Selepas kekalahan besar kepada Spurs
tempohari, kedatangan Cavani pada detik-detik akhir sebelum jendela perpindahan
pemain ditutup setidak-tidaknya mengubat sedikit kelukaan penyokong-penyokong
United.
Mungkinkah
Cavani bakal menjadi jawaban kepada ketumpulan jentera serangan United yang
cuma mampu melepaskan lima percubaan ketika berdepan Spurs tempohari? Menurut
Tim Vickery yang juga merupakan pakar bolasepak Amerika Latin, United melakukan
langkah yang tepat dengan merekrut Cavani biarpun kelab berdepan risiko atas
faktor usia penggempur itu yang bukan lagi muda.
“Tidak
diragukan lagi bahawa Edinson Cavani adalah penyerang yang memiliki kelas
tersendiri. Anda boleh mengungkit tentang usianya tetapi dia sudah menjaringkan
banyak gol untuk PSG dan Napoli. Jangan lupakan bahawa dia juga sudah
menjaringkan 50 gol untuk Uruguay”, kata Vickery. Corak permainan Cavani
sebenarnya ada sedikit percampuran antara gaya penyerang moden dan tradisional.
Anda boleh labelkan Cavani sebagai `baka poacher’ kerana naluri semulajadinya
dan sangat klinikal ketika berada di dalam petak penalti lawan.
Bagaimanapun
berbanding `baka poacher’, Cavani ketika era kemuncaknya saya anggap antara
penggempur sempurna dalam dunia bolasepak moden. Memiliki kelajuan, mampu
mencabar mana-mana pertahanan lawan dalam duel bola tinggi, memiliki teknik
kawalan bola yang bagus, tajam dalam menyudahkan peluang serta mampu memberikan
bantuan gol kepada rakan-rakan sepasukan. Paling menarik adakalanya beliau juga
cenderung turun sedikit ke bawah untuk menerima bola sebelum melakukan gerakan.
Bagi
Andy Cole yang juga merupakan bekas penggempur United dan pemenang medal kejuaraan
treble pada 1999, beliau menganggap kehadiran Cavani bakal memberikan
impak positif untuk skuad The Red Devils. Jika ramai pihak meramalkan
kedatangan Cavani bakal membuatkan Martial tersisih, Cole pula mengatakan
bahawa adanya Cavani di barisan hadapan bakal meringankan lagi beban yang
dipikul Martial selaku penggempur utama sebelum ini.
“Anthony
Martial masih seorang pemain yang mentah. Dia masih lagi dalam proses
pembelajaran. Kita semua tahu tugas Martial sebagai seorang penyerang, tetapi
masalahnya dia tidak konsisten. Bagi penyokong United pula mereka mahu melihat
Martial konsisten setiap minggu. Jadi sekarang mereka mahukan seorang penyerang
yang sudah terbukti prestasinya. Faktor itu ada pada Cavani”, kata Cole kepada Talksport.
Di
Old Trafford, Cavani diberikan penghormatan untuk memakai jersi ikonik milik
United, iaitu jersi `nombor 7’, sekaligus meletakkan beliau selaku pemain
kesembilan United yang memakai jersi tersebut dalam tempoh 27 tahun sejak Liga
Perdana memperkenalkan peraturan nombor skuad pada musim 1993/94. George Best,
Bryan Robson, Eric Cantona, David Beckham dan Cristiano Ronaldo antara nama
agung yang pernah diberikan penghormatan untuk memakai jersi nombor 7 United.
.
Selepas
Ronaldo menyertai Real Madrid, jersi nombor 7 United semakin hilang `keramatnya’,
malah pewaris jersi tersebut selepas pemergian Ronaldo hanya membuatkan
penyokong United `panas hati’. Antusiasme dan optimisme Cavani memang cukup
tinggi selepas beliau disahkan secara rasmi sebagai pemain United, tetapi tugas
besar yang digalas beliau selepas ini bukan sahaja menjadikan jentera serangan
United lebih tajam, tetapi juga meletakkan kembali `keramat’ jersi nombor 7 ke
tempat sepatutnya. Mampukah Cavani menjadi seperti Best, Robson, Cantona,
Beckham dan Ronaldo atau setaraf Michael Owen, Memphis Depay, Angel Di Maria dan
Alexis Sanchez? Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan