05 Oktober 2020

REVIEW: BENCANA DI OLD TRAFFORD



Kecewa, marah dan sedih…hanya tiga perkataan yang mampu saya lontarkan sebaik sahaja melihat bagaimana Manchester United dimalukan buat kali kedua dalam tempoh hanya dua minggu. Kekalahan (1-3) kepada Crystal Palace dalam aksi pertama liga sudah cukup memalukan, dan kini kita terpaksa berdepan dengan satu lagi realiti kekalahan di Old Trafford tetapi kali ini dengan jaringan lebih besar. Apa yang berlaku sebenarnya? Itu pertanyaan yang bermain di fikiran penyokong-penyokong, selepas United tewas dua dari tiga perlawanan awal liga mereka.

 

Paling membimbangkan pintu gol mereka juga sudah dibolosi lawan sebanyak 11 kali hanya dalam tiga perlawanan liga. Ya…anda mungkin boleh katakan bahawa layangan kad merah kepada Anthony Martial penyebab utama kekalahan besar (1-6) kepada Tottenham Hotspurs semalam, tetapi dalam masa yang sama kita juga perlu mengakui bahawa prestasi United sendiri sebenarnya sudah mencetuskan kebimbangan sejak mereka beraksi dalam perlawanan pra musim menentang Aston Villa lagi.

 

Meskipun sempat mendahului pelawat menerusi gol sepakan penalti dari Bruno Fernandes (minit ke-2), tetapi Spurs kemudiannya bangkit dua minit kemudian untuk gol penyamaan menerusi Tanguy Ndombele. Selepas itu bermulalah `malam jahanam’ buat United apabila gol demi gol dihasilkan pelawat menerusi Son Heung Min (2 gol), Harry Kane (dua gol) dan Serge Aurier. Paling malang selepas ketinggalan (1-2), harapan United untuk cuba melakukan kebangkita terpadam gara-gara layangan kad merah yang diberikan pengadil kepada Anthony Martial.

 

Bagi David De Gea, ini adalah kekalahan besar kedua yang dialaminya dalam tempoh sembilan tahun sejak beliau menyertai United pada 2011. Pada Oktober 2011, De Gea juga pernah mengutip bola di gawang sendiri sebanyak enam kali ketika United tewas dengan keputusan sama kepada Manchester City. Ketika kebanyakan dari kita berharap agar aksi menentang Spurs ini berlangsung dengan sengit dan menarik, enam gol yang membolosi pintu gol De Gea tentunya membuatkan kita tergamam.

 

Sorotan pastinya terarah kembali kepada benteng pertahanan United yang menjadi sasaran kritikan sejak perlawanan pertama liga lagi. Bolos sebelas gol hanya dalam tiga perlawanan liga tentunya tidak langsung menggambarkan bahawa empat pemain ini layak untuk kita harapkan mengawal benteng pertahanan United sepanjang musim. Empat gol pertama yang dihasilkan Spurs adalah contoh terbaik bagaimana tidak terorganisasinya empat pemain ini ketika bertahan dalam satu unit.

 

Hantaran ke belakang menerusi tandukan yang dilakukan Harry Maguire kepada Luke Shaw punca berlakunya gol pertama pelawat. Kelekaan Eric Bailly dalam mengawasi pergerakan Son Heung-Min menyebabkan gol kedua Spurs terhasil. Bailly sekali lagi melakukan kesilapan apabila hantaran yang cuba dilakukannya kepada Nemanja Matic dipintas hingga menghasilkan gol ketiga. Di minit ke-37, Son sekali lagi dibiarkan bebas bergerak dalam penalti hingga membolehkan beliau menjaringkan gol peribadi keduanya dalam perlawanan ini.

 

Bukan hanya Maguire dan Bailly kerana sisi kiri dan kanan benteng pertahanan United juga `lubuk’ buat Spurs untuk mencipta peluang apabila sepanjang perlawanan, 10 dari 17 key passes dihasilkan mereka dari dari sisi kiri dan kanan pertahanan United. Dan akhirnya Spurs mengambil kesempatan dari kelemahan Luke Shaw dan Aaron Wan-Bissaka untuk mereka menghasilkan gol keempat dan kelima. Jadi tidak hairanlah mengapa Manchester Evening News memberikan rating 2 serta 0 kepada Wan Bissaka dan Shaw.

 

Ketika bursa perpindahan musim panas semakin hampir ditutup, tiada tanda-tanda bahawa United akan menandatangani pertahanan tengah baharu. Yang kita dengar adalah kelab semakin hampir mendapatkan Alex Telles, bek kiri yang tampil dengan cukup bagus bersama FC Porto serta semakin hampirnya ketibaan Edinson Cavani di Old Trafford sebagai ejen bebas. Jika tiada tambahan kualiti di benteng tengah, saya berharap Bailly, Lindelof dan Maguire meningkatkan semula prestasi mereka atau mungkin kita boleh berharap agar perpindahan Chris Smalling ke AS Roma tidak menjadi kenyataan.

 

Sangat menghairankan bila kita melihat bagaimana struggle-nya barisan The Red Devils dalam tiga perlawanan awal liga setakat ini jika dibandingkan dengan prestasi yang dipamerkan mereka sepanjang fasa kedua saingan liga musim lalu. Ketika benteng pertahanan sering dijadikan sasaran kritikan, Anthony Martial pula masih tercari-cari gol pertamanya selepas mengharungi tiga perlawanan. Untuk itu, saya memang mengharapkan agar perpindahan Cavani menjadi kenyataan kerana United memang perlukan seorang `goal poacher’ seperti beliau di barisan hadapan mereka.

 

Kekalahan ini menyaksikan posisi United terperosok di tangga ke 16 liga, dua anak tangga di atas zon penyingkiran.  Kecuali Donny Van de Beek, skuad United yang beraksi dalam tiga perlawanan liga setakat ini ialah skuad versi musim lalu. Dan ketika bursa perpindahan pemain semakin hampir ditutup, kita masih berharap akan ada keajaiban saat-saat akhir menerusi kehadiran Alex Telles, Edinson Cavani atau sesiapa sahaja bagi meningkatkan kualiti barisan Ole Gunnar Solskjaer. Jika keajaiban itu tidak berlaku, percayalah tempoh Solskjaer sebagai pengendali di Old Trafford semakin menghampiri titik nokhtah. Glory Glory Manchester United!!!


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan