Selepas menelan kepahitan kerana terpaksa melepaskan gelaran Liga Perdana England kepada musuh setempat, Manchester City, Manchester United nampaknya mula mengorak langkah awal dengan menjadikan jendela perpindahan musim panas ini sebagai antara masa paling sibuk buat mereka dalam tempoh beberapa musim terakhir. United dilihat antara pasukan paling aktif dalam memburu pemain yang menjadi sasaran mereka sebaik musim 2011/12 berakhir bagi menebus semula kegagalan mereka memenangi sebarang gelaran utama. Dengan Euro 2012 yang semakin berada di penghujung saingan, David Gill dijangka menjadi individu paling sibuk di Old Trafford terutamanya apabila terdapat banyak spekulasi yang mengaitkan minat United dengan beberapa pemain sepertiman yang dilaporkan oleh media. Bagi penyokong-penyokong setia United pula, mereka tentunya berharap akan ada beberapa lagi pemain ternama menyertai Shinji Kagawa di Old Trafford semasa jendela perpindahan di buka mulai Julai ini hingga Ogos nanti. Berikut adalah pemain yang sudahpun secara rasmi berjaya ditandatangani dan pemain-pemain yang dikatakan berpotensi menyertai United musim hadapan:
Sudah Ditandatangani:
Sudah Ditandatangani:
Pemain pertama yang ditandatangani United ialah pemain muda Crewe Alexandra, Nick Powell. Pemain muda berusia 18 tahun itu dilihat memiliki potensi untuk muncul sebagai bintang besar satu hari nanti. Jadi tidak hairanlah mengapa Ferguson beberapa kali menghantar pasukan peninjaunya untuk memerhatikan perkembangan Powell ketika dia beraksi bersama Crewe disaingan League Two (liga divisyen 4). Powell membuktikan keupayaan sebagai pemain muda berpotensi apabila berjaya membantu Crewe melonjak ke League One. Jaringan cantiknya ketika menentang Cheltenham dalam perlawanan play-off di Wembley menjadi hadiah perpisahan Powel buat penyokong-penyokong Crewe. Powel bagaimanapun dijangka menganggotai skuad simpanan United terlebih dahulu bagi menimba pengalaman sebelum diberi peluang beraksi bersama skuad utama. Selepas Powell, United mengorak langkah seterusnya apabila mengumumkan secara rasmi minggu lalu bahawa bintang antarabangsa Jepun, Shinji Kagawa menyertai mereka dengan perjanjian kontrak selama empat tahun. Kehadiran Kagawa diharap menambahkan lagi sengat di bahagian tengah United yang dilihat agak lesu selepas mereka kehilangan khidmat Anderson, Darren Fletcher dan Tom Cleverley hampir keseluruhan musim, hingga memaksa Ferguson memujuk Paul Scholes kembali semula dari persaraan. Meskipun terdapat suara-suara sinis yang mengatakan pembelian Kagawa lebih kepada tujuan komersil, bekas playmaker Cerezo Osaka dan Borussia Dortmund itu dilihat pemain yang tepat dan mampu menghubungkan bahagian tengah dengan serangan United. Jika diambilkira dengan sumbangan yang diberikan bersama Dortmund selama dua musim, Kagawa diyakini bakal muncul pemain utama United musim hadapan dan meskipun terlepas Edin Hazard kepada Chelsea, kehadiran Kagawa pastinya mengubat kekecewaan penyokong-penyokong United.
Berpotensi Sertai United:
Bahagian tengah nampaknya menjadi fokus utama Sir Alex Ferguson untuk diperkuatkan bagi menghadapi cabaran musim hadapan. Selepas Kagawa, Ferguson meneruskan usaha memburu pemain-pemain di posisi tersebut sebagai pengganti jangka panjang kepada Paul Scholes. Nama Luka Modric masih terus dikaitkan dengan United sejak kebelakangan ini biarpun dalam masa yang sama spekulasi turut mengaitkan tentang minat perancang Croatia itu menyertai Real Madrid. Selepas Tottenham Hotspurs terlepas slot di Liga Juara-Juara musim hadapan dan isu pemecatan Harry Redknapp, usaha mereka untuk mengekalkan Modric di White Hart Lane bakal menemui jalan buntu. Spurs dikatakan sudah bersedia melepaskan bintang tengah itu pergi dan dijangka meletakkan tanda harga sebanyak 30 juta Pound ke atas Modric. Bukan sekadar United serta Madrid sahaja yang berminat memburu khidmat Modric, malah Barcelona dan Chelsea juga dikaitkan akan menyertai perlumbaan mendapatkan tandatangannya. James Rodriguez sejak beberapa hari lalu menjadi pemain paling kerap disebut-sebut bakal menyertai United dengan gergasi England itu dikatakan sudahpun mengadakan perbincangan dengan kelab pemain itu, FC Porto. United diberitakan sudah menyediakan tawaran lumayan ke atas Rodriguez yang mungkin sukar untuk ditolak oleh Porto. Ferguson dikatakan tertarik untuk menandatangani Rodriguez kerana kebolehannya bermain sebagai pemain sayap dan juga sebagai penyerang. Dengan masa depan Nani yang masih mencetuskan tandatanya, Rodriguez adalah jawapan kepada United sekiranya Nani mengambil keputusan mahu berhijrah ke pasukan lain. Akhir sekali tentunya agenda mencari pengganti kepada Patrice Evra di sebelah kiri pertahanan akan diberikan keutamaan oleh Ferguson. Untuk itu, nama Leighton Baines muncul dan dikaitkan dengan minat United sebelum skuad kebangsaan England bergerak ke Ukraine bagi kempen Euro 2012 mereka. Masalah kewangan yang melanda The Toffees selain keinginan pemain itu beraksi di saingan Liga Juara-Juara, bererti perjanjian mendapatkan Baines boleh diselesaikan sebelum sepak mula liga dilangsungkan pada 18 Ogos ini. Glory Glory Manchester United!!! - AJ